Saturday, April 19, 2014

Pulau Tuba

" Pulau Tuba ? tak pernah dengar lah. Kat mana eh ? Ala, pulau tu mana ada apa-apa. "
Itu lah kata-kata yang aku dengar ketika aku war-warkan lokasi yang hendak aku jelajahi. Tak banyak maklumat tentang pulau ni aku dapat di internet. Walaubagaimana pun hati aku bagai ditarik-tarik untuk pergi dan melihat sendiri akan kewujudannya. Sehingga tiba di hari kejadian, segala urusan dipermudahkan oleh Allah. Alhamdulillah.

imageedit_2_4700494941.jpg

Aku hanya berpandukan peta ini untuk menjelajah dan memahami laluan di seluruh pulau. Tak de lah aku terkial-kial mencari lokasi. Kiranya aku dah katam la Pulau Tuba ni. Hujung gambar peta yang sekerat tu ada sambungannya tapi terpotong pulak. Situlah terletaknya Tanjung Rami.

Jeti Marble

Seperti biasa dari KL Sentral, aku menaiki keretapi. Tiba di Kuala Perlis aku menaiki feri pula ke jeti Kuah, Langkawi dengan tambang RM18 sehala selama satu jam perjalanan. Ulat-ulat jangan cerita lah, terlalu banyak menunggu di pintu terminal. Rimasnya. Keluar saja dari terminal feri Kuah aku terus menuju ke jeti Marble yang terletak lebih kurang  100 meter di sebelah kanan terminal. Jetinya kecil saja. 


Sistemnya sama dengan pemandu teksi, mengikut giliran. Tambang menaiki bot ni kadar biasa sebanyak RM5, dan bot akan bergerak bila dah penuh. Selagi tak penuh, terpaksalah menunggu berjam-jam. Sekiranya kita tak suka menunggu, bolehlah menyewa sebuah bot ni dengan harga RM60. 
* Tips untuk mengelak dari membuang masa ketika menunggu bot ialah, mesti berada di jeti seawal jam 6-8 pagi dan 5 petang di kedua-dua belah jeti kerana itu adalah waktu puncak penduduk pergi dan balik kerja. 


Aku sampai di jeti pun dah jam 10:30 pagi. Beriya-iya lah aku ingat senang naik bot. Rupa-rupanya kena tunggu sampai bot penuh. Hingga satu tahap aku dah pakat dengan satu keluarga untuk sewa bot, tak pe lah bayar lebih sikit janji aku cepat sampai, tapi rezeki aku masih dapat yang murah. Bot dah nak mulakan perjalanan. Keching ! keching ! Lima ringgit aja. Yay !


Ketika aku nak naik bot aku terpandang sebuah feri yang menarik sekali. Di hadapan feri tu ada ditulis           "WATER TOUR". Mungkin tarikan baru di Pulau Langkawi agaknya, entah berapalah harga untuk sekali pusing pulau ni. Jika ada sesiapa berminat boleh lah cuba.


Tempoh perjalanan dari jeti Marble ke Pulau Tuba sekitar 20-25 minit mengikut keadaan pasang surut air laut menggunakan kuasa enjin seperti yang ditunjukkan. Aku bagi semua orang naik, bila bot dah nak jalan baru aku naik, dapatlah aku duduk di belakang kepten bot. Jelas skit pemandangan aku nanti.




Telok Bujur

20 minit kemudian, aku sampai di jeti Teluk Bujur, Pulau Tuba. Di sinilah jeti utama di pulau ni. Ada beberapa lot bangunan yang dibina di kawasan jeti, tetapi kelihatan kosong. Berdekatan dengan jeti ada sebuah Klinik 1 Malaysia dan restoren.







Sampai ja kat jeti ni, aku jadi 'blur'. Kat mana nak sewa motor ? motor yang banyak tu ke motor sewa ? tapi mana kaunter atau pejabat untuk menyewa ? Auch, termanggu-manggu aku. Aku tengok ada yang ambik motor dan terus pergi. Eh ! Ada seorang abang yang saing naik bot tadi menyarankan aku naik van dulu, kemudian nanti akan dibawa ke tempat untuk menyewa motor. Maka, naik lah aku ke dalam van yang bertindak seperti teksi di atas pulau tu. Van pun cam nak roboh ja. Huhu. Tambang van tu RM2 seorang. Gambar van aku tak teringat nak ambil sebab masih dalam keadaan kecelaruan fikiran. Setelah memilih motor dan menetapkan harga yang paling murah, aku bersetuju dengan harga RM20 sehari. Motor yang elok dan 'auto' harga RM35. Ah, tak kesahlah motor 'manual' yang tak berapa elok, janji boleh bergerak dan ada brek. Kata destinasi budget, mesti pilih yang paling murah kan ? Nak pusing lengkap 1 pulau, aku isi minyak RM5x2. Ala, baru RM10.


Berpandukan peta yang aku buat hasil dari kajian aku sebelum datang ke sini, aku mencari lokasi chalet yang dikatakan memang 'best', Chalet Barkat yang terletak paling hujung di Kampung Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting. Sampai saja di situ, suasana sepi. Hanya ada seekor anjing yang menjaga kawasan tempat tu. Aku jenguk di sekeliling kawasan tak da orang pun. Beri salam pun tak de orang yang menyahut. Akhirnya aku keluar semula dan mencari chalet lain. Asal ada jalan ja aku masuk hingga ke hujung, hingga lah aku bertemu dengan kawasan yang memang menarik.

Telok Puyoh


Di sebelah jeti ni ada kedai makan, jadi aku singgah dan saja-sajalah bertanya tentang nama jeti dan chalet yang berada di sekitar situ. Seorang gadis yang ramah memberitahu, di situ juga ada chalet. Satu malam cuma RM50. Bila aku tanya apa nama chalet, dia cuma kata, belum ada nama kerana masih baru dan dalam pembinaan. Kira boleh lah, aku pun dah letih atas motor ke hulu hilir mengendong bag. Sakit bahu oi.


Perut aku pun dah lapar. Aku jenguk ke dapur, cadangnya nak tengok kot ada menu apa untuk makan tengahari, tapi kakak yang sedang masak tu kata belum siap lagi. Nanti bila dah siap dia panggil. Eh ! camtu pulak. Tak pe lah sambil-sambil tu aku leh ambil gambar pemandangan. Ketika aku sampai air laut masih lagi pasang, jadi aku boleh nampak ikan berenang-renang di tepi pelantar kedai makan. Seingat aku, aruah mak cakap nama ikan ni ikan jenjulung. Iya la kot.


Lokasi chalet pilihan aku terletak berdekatan dengan Chalet Tok Wan, tapi paling hujung sekali di Telok Puyoh. Sunyi dan damai ja. Tak ada pencemaran bunyi selain bunyi enjin bot. Di sini kita hanya akan dengar bunyi desiran ombak, suara burung, cengkerik krik..krik dan tokke.


Pemandangan kedudukan chalet dari atas jeti. Bila air surut, kita boleh pergi ke pulau batu tu yang berada si sebelah kiri jeti.


Bilik yang boleh inap terletak di bahagian atas kerana di bahagian bawah masih dalam pembinaan. Luas sungguh ruang anjung, boleh tidur golek-golek ja kat situ.


Ruang dalamannya pun boleh muat 5-6 orang. Luas.


Pemandangan dari ruang legar anjung memang 'superb'. Lepas solat jamak qasar zohor/asar, aku bawak toto dan bantal bentang tepi pagar tu, meniarap sambil pandang ke laut. Angin sepoi-sepoi bahasa sepak-sepak muka aku dengan lembutnya. Terlena juga sejam dua.



Haish ! damainya. Rasa malas nak ke mana-mana lagi. nak duduk ja depan anjung ni tengok laut dan pulau puas-puas.


Tengah syok layan pemandangan, ada suara memanggil dari bawah, menjemput untuk turun makan." Kak ! makan dah siap." Nah, sampai saja aku di kedai makan, aku cukup teruja. Uhf ! aku tak terfikir langsung makanan dihidang begini. Lauknya pun boleh tahan, sambal sotong petai, sup ikan, sambal belacan, ikan kering goreng dan air teh'o ais.


Voila ! makan menghadap jeti dan laut. Tiada kata yang mampu ku gambarkan betapa 'heaven' nya ketika itu.


Lepas makan, aku pun mula menjelajah keliling pulau ni, seperti biasa, mana ada jalan aku redah, asal boleh lalu aku terjah aja. Paling kuat pun kalau sesat tidaklah sampai ke Thailand. Iye tak ? Entah mana jalan aku pergi aku pun tak tau.

Jeti Telok Rami

Aku pun tak tahu ke mana arah motor dipandu. Ikut naluri ja. Sampai ke hujung jalan, aku jumpa jeti yang baru nak buat ni. Ada laluan lagi, tapi tengok macam semak samun ja, walau ada jalan tarmac. Cuak ah nak teruskan. Aku ambil keputusan berpatah balik ikut arah masuk tadi.




Pemandangan Indah

Aku cuma mengikut papan tanda yang ada terletak di tepi jalan. Mengikut peta yang aku bawa tulis Tanjung Peluru, selepas itu kawasan hutan simpanan yang terletak di tepi pantai. Di sini tebingnya berbatu batu. memang tak sesuai untuk berenang atau mandi. Lagipun air laut pasang surut. Sekali sekali nampak penduduk kampung mencari siput di celah batu. Jika nak tengok keadaan jalan ke sini boleh la klik di sini.





Jeti Kampung Tepi Pantai

Aha, inilah jeti yang terpanjang sekali di Pulau Tuba. Lokasi bagi 'photographer' memburu 'sunrise'. Waktu aku sampai pun dah pukul 4 petang. Keadaan cuaca boleh tahan rentongnya. Dapatlah tengok lanskap yang luas terbentang. Ada banyak bot-bot nelayan yang ditambat di tepi jeti.




Di hujung jeti ada sebuah bot. Cantik suasananya.



Aku pergi hingga ke hujung jeti. Ada seorang kakak yang datang untuk menyambut suaminya pulang dari laut. Anaknya pula duduk di tangga sambil menunggu emaknya memilih lebihan ikan yang bapanya bawa pulang. Sempat lah bersembang sekejap. Cerita tentang penduduk pulau dan bla bla bla. Tercerita pulak tentang keinginan aku untuk melihat dan merasa 'bronok' dan makanan exotik yang lain. Kakak tu cakap, boleh ja minta pada pengusaha chalet untuk masakkan. Di Pulau Tuba macam-macam jenis siput dan kerang. Paling sempurna untuk menikmati semua jenis siput dan kerang kita mesti tinggal di situ selama seminggu.


Ke esokannya, lepas solat subuh, aku dah keluar. Beginilah suasana ketika matahari naik di jeti ini jam 7 pagi. Aku hanya menggunakan kamera versi lama, maka hasilnya tidaklah menarik mana. Kira bolehlah buat syarat.




Lebih kurang jam 7:30 pagi baru aku nampak beberapa orang nelayan datang untuk turun ke laut. Aku macam hairan sikit, kenapa mereka tak terus pergi ke hujung tangga jeti untuk naik bot. Apa fungsi batang-batang buluh yang diikat di tepi jeti tu dan kenapa..kenapa..kenapa.. Lama aku perhatikan, macamana cara kehidupan mereka sebenarnya. Akhirnya segalanya terjawab.







Pekan kecil Pulau Tuba

Lepas puas tengok matahari naik, aku singgah bersarapan di pekan kecil bersebelahan dengan jeti. Pekan nya tak lah besar mana. Balai polis pun terletak di situ. Tak ada kedai supermarket atau cybercafe. Hanya yang ada 2 buah kedai makan dan sebuah pokok yang ada tergantung hammock untuk berbuai di tepi pantai. Tak ada pasar basah jual ikan dan sayur pun. Kalau penduduk nak ikan, mereka akan terus pergi ke jeti menunggu nelayan pulang dari laut. Haa  nak apa lagi ?







Jambatan Selat Bagan Nyior

Untuk sampai ke sini aku akan melalui tanah bendang terbiar yang kini menjadi tempat beriadah untuk haiwan teladan seperti, itek, ayam, lembu, kerbau, burung dan anjing. Sekali imbas tengok macam taman safari pulak. Cuma tak ada gajah dengan zirafah ja. Dari jauh nampak gunung ganang yang menghijau  dan berbalam-balam. Selepas itu akan tempuh hutan simpanan yang kebiasaannya berbukit-bukit. Siapa yang nak berbasikal di sini memang menarik sangat layan tanjakan.





Jambatan ini menghubungkan Pulau Tuba dengan Pulau Dayang Bunting. Jangan keliru, penempatan di pulau ini hanya terdapat di pesisir selat Bagan Nyior saja dan yang selebihnya adalah hutan dan tasik Dayang Bunting terletak di sebalik gunung tu. Jika nak ke tasik kena sewa bot, tiada jalan pintas ke sana.  Di tepi selat ni ada projek penanaman pokok bakau.





  

Untuk mendapatkan pemandangan yang lebih indah kena datang di atas jambatan ni waktu air pasang
dalam jam 11 pagi. Ketika aku datang air baru nak pasang. Jadi warna air tak begitu menarik.

 




Jeti Kampung Selat Bagan Nyiur

Dari jeti ini juga penduduk boleh terus pergi ke Pulau Langkawi. Tapi kena tunggu lama la..Penumpang pun bukan ramai pun, kadang seorang ja. Kalau nampak bot lalu, dari jauh dah melambai-lambai. Nanti pemandu bot akan singgah sebelum terus ke Pulau Langkawi.






 Jeti yang lengang, semua orang dah pergi kerja.


Pemandangan jambatan Selat Bagan Nyior dari jeti Kg. Selat. 


Kampung ni kecik je, jalanraya pun kecik. Pasal tu aku senang naik motor, boleh redah masuk mana-mana lorong. Tiba-tiba termasuk kat lorong ni. Masa tu semua kerbau-kerbau dok dendiam berendam dalam kolam tu. Aku pun perlahan-lahan menghampiri sedekat yang boleh. kemudian terus sibok ambik gambo klik ! klik !, dan-dan tu semua kerbau lari lintang pukang menyembunyikan diri. Kerbau ni pemalu juga rupanya. Ha ha ha.


Selain menjadi nelayan, penduduk di sini masih mempunyai kebun getah, tapi tak pasti lah jika mereka masih menoreh getah atau tak. Tengok pokok getah pun macam dah tua ja. Walaupun begitu, kebun mereka bersih. Memang cantik untuk buat photoshoot.



Jeti Bakar Arang

Sekiranya aku tak bawa peta, dah pasti ke semua tempat di pulau ni aku tak akan jumpa. Whoa ! sangat rugi oo.. motor terus melalui jalan kampung yang agak sunyi. Kiri kanan cuma ada beberapa buah rumah, tapi dah banyak yang terbiar kosong. Ramai penduduk dah berpindah ke tanah besar.


Segalanya sudah ditinggalkan. Tiada lagi bendang untuk ditanam padi. Hanya padang rumput yang luas menjadi tempat ragut untuk sang kerbau.






Sampai ja di jeti, cuma ada beberapa buah rumah yang didirikan di tepi tebing. Hai, macamana la mereka boleh hidup terpencil macam ni. Sunyi betul. Huhuhu.


Di hujung jeti ada seorang ibu dan anak sedang leka mengail ikan. Si anak elok ja bermain dengan ikan yang ibunya tangkap. Di susun satu persatu kemudian dia masukkan ke dalam tong semula. Anak kecil tu tiada alat permainan yang mahal dan canggih, tapi masih boleh menghiburkan hati sendiri.






Tanjung Pandan


Destinasi seterusnya aku nak tengok camana pemandangan di Tanjung Pandan. Setelah bertanya pada penduduk kampung arah lokasinya, perjalanan di teruskan. Dalam perjalanan ternampak pulak gerai menjual buah tembikai. Hellamak, kegemaran aku lah pulak. Aku sanggup berpatah balik semata-mata nak membeli buah tu. Buah tembikai ini akan aku jadikan buah kejayaan ketika sampai di puncak Bukit Licin nanti.


Aku tanya pakcik ni, buah ni tanam sendiri ke ? Pakcik tu jawab memang  tanam sendiri sambil menunjukkan lokasi kebunnya yang terletak di seberang jalan. Seronok betul aku, dapat juga makan buah tembikai kat sini. Aku mintak dia potong, biar senang aku makan nanti. Harga selepas timbang berharga RM5.


Aku sudah sampai di Tanjung Pandan. Kelihatannya masih ada kerja-kerja penambakan pantai yang sedang dilakukan. Di sebelah kanan seperti ada tempat untuk berkhemah. Ia agak terhadang oleh bukit yang menjadikan ia seperti lengkungan teluk. Aku tak pasti tempat ni boleh mandi atau tak kerana keseluruhan persekitaran Pulau Tuba ni pantainya berlumpur. Memang tak sesuai untuk mandi manda.

Di sini juga khabarnya akan dibina UiTM Perlis, tapak tanah sudah pun dibeli dan jalan masuk ke lokasi telah ditarah. Eh ! kenapa buat kat sini ? Cerita ni pun aku tau dari pekerja yang menjaga rumah rehat Dato' la. Tapi memang nampak jalan masuk sudah diratakan. Bila siap, betul-betul mengadap laut. Jahanam lah ekosistem kat sini nanti.


Inilah wakaf yang aku nampak dari jauh, sewaktu dalam bot hendak ke Pulau Tuba. Hajat hati naklah pergi ke sana, tapi dihalang oleh salah seorang pekerja yang ada di situ. Menurut pekerja tersebut, kawasan ini adalah hak milik persendirian yang dipunyai oleh YB apa tah. Tiada siapa yang dibenarkan masuk hatta orang kampung sekali pun dilarang untuk masuk. Choi !





Bukit Licin

Selagi aku tak dapat naik ke bukit ni, aku tak akan berputus asa. Siapa saja yang aku jumpa, mesti aku tanya laluan masuk ke bukit ni. Akhirnya, ada yang sudi menunjukkan lokasinya. Guna kabel orang kampung lagi mudah pekerjaan aku ni. Ngeh..ngeh..ngeh.. Setelah mendapat keizinan untuk masuk ke kawasan sekolah, pendakian pun bermula mengikut trek yang memang tersedia.







   



Pendakian mengambil masa kira-kira 45 minit. Itu pun jalan lengang kangkung. Dah lama tak mendaki, itu pasal lah berhenti berkali-kali. Lagi dekat nak sampai lagi berat kaki aku nak melangkah. Hadoi ! cepat lah sampai. Akhirnya jam 11: 55 pagi aku sampai ke puncak Bukit Licin. Ketinggian bukit ni cuma 225 meter dari aras laut. Sila klik di sini untuk melihat tayangan video yang dirakam di puncak bukit.


Tembikai kejayaan sentiasa mengiringi aku di mana juga aku berada. Tak kira berapa jauhnya perjalanan aku, tak kira berapa tingginya pendakian aku, bawak tetap bawak. Weehoo !


Lepas turun dari Bukit Licin, aku berhenti minum di gerai bawah bukit makan laksa dan cendol. Dari sini boleh nampak batu di atas Bukit Licin tu.






Bronok 

Sekarang aku nak bercerita tentang makanan yang mesti cuba, ketika berada di sini. Aku meminta kakak kedai makan tu masakkan hidangan 'bronok' sebab aku teringin sangat nak cuba merasa. Tanpa berlengah, dia menyuruh anak lelakinya mencari 'bronok di dalam air laut yang berlumpur. Kebiasaannya ketika air sedang surut. Kemudian meminta suaminya memetikkan mangga yang lebat berbuah di atas pokok di belakang chalet. 



Aku ingat nak lah cuba mencari bronok, tapi bila tengok nak kena masuk dalam air, dan kena berendam dalam air yang berlumpur, rasa malas pulak. Menurut kakak tu, nak cari bronok kena rasa dengan kaki kat tanah berlumpur tu, kalau kita terasa licin ja boleh la terus tangkap. Dalam badan bronok ni cuma ada air dan lumpur, tu pasal bulat gemuk ja.



Bahagian yang tirus tu tempat dia keluarkan air. Bila dalam badan dah penuh air dia akan memancutkan air keluar dari bahagian tu. Masa aku pegang, ingat lembik tapi badan dia kenyal.


Jika kita tengok benda ni banyak-banyak, memang geli. Meliuk lintok, kemudian dia pancut air. Eiwww..!


Cara nak siang bronok ni senang ja, belah bahagian tengah, kemudian buang perut dia ja. Nanti dia terus kecut.


Bronok ni kita makan mentah, memang tak boleh masak, goreng, rebus atau bakar sebab nanti dia cair macam jeli. Menu yang sesuai untuk bronok ni cuma dibuat kerabu saja. Kerabu mangga campur bronok. Rasanya kenyal, bronok yang dihiris kecil-kecil bila dah bercampur dengan mangga langsung tak rasa apa, selain rasa mangga ja. Sedap.



                                                                       Kerang Bulu

Masa aku dok bersembang dengan kakak tu, dia cerita juga tentang kerang bulu. Katanya di pekan harganya cukup mahal. Aku macam pelik sikit, kerang ada bulu ? camana rupanya kak ? saya tak pernah tau apalagi nak makan. Haish ! aku memang jakun bab-bab macam ni. Petang tu masa nelayan balik dari laut, dia suruh anak perempuannya yang kecil pergi beli. Dah la terkedek-kedek si kecil tu mengangkat sekilo kerang bawa naik ke darat.


Nampak tak bulu-bulu halus di seluruh cengkerang kerang tu ? Subhanallah. Bermacam-macam jenis rupa bentuk haiwan yang Allah ciptakan. Berpuluh tahun aku hidup, baru sekarang aku tahu. 


Cara nak makan kerang ni lain sikit. Nampak ja sama macam kerang yang biasa tu, tapi jangan tak tahu. jeng..jeng..jeng..


Sebelum makan, pastikan kita buang dulu tali pusat kerang ni dulu. Nampak tak ada macam benang kat isi kerang tu ? Kita kena cabut dan buang, kemudian baru makan cicah dengan sambal belacan. Enak !


Di sini jugalah kali pertama aku makan udang lipan. Selama ni tengok ja bila jumpa kat pasar, tak de hati langsung nak cuba makan. Mungkin sebab tak reti camana nak siang dan cara masak agaknya. Kira berbaloi-baloi jugak lah aku datang ke sini, banyak perkara aku dapat rasa. Ni menu makan malam hari pertama. Ikan bakar, kerang bulu, ketam dan udang lipan rebus, Sayur campur, sambal belacan dan kerabu bronok.


Menu makan malan hari kedua pulak, ketam dan udang lipan rebus, sotong masak lemak, kerabu bronok dan ikan bakar . Saja suh masak lagi menu tu. Untuk 3x punya makan, campur beli jajan selama atas pulau ni, duit makan aku tak habis RM50 pun. Boleh la kan ?


Masih seperti dahulukala

Selama 2 hari aku di sini, seluruh pelusuk pulau ni aku jelajah, pelbagai perkara aku nampak. Walau pun keadaan jalanraya di sini cantik dan baik, tetapi tidak sekali pun aku nampak belia-belia kampung ni merempit menunjuk-nunjuk kehebatan di jalan raya. Bila berselisih pun mereka yang memperlahankan kelajuan motor mereka. Bukan takat itu saja turut berikan senyuman. 
Ada ketika, aku nampak anak-anak dalam umur belasan tahun 15-19 tahun berkumpul ramai-ramai di bawah pokok mangga yang lebat dengan buah. Maklumlah sekarang kan musim buah mangga, seluruh pokok berbuah. Mereka ni sibuk mengutip buah mangga yang jatuh melambak di tanah. Hey, seronoknya petik buah mangga guna kayu dan batu. Teringat masa aku kecil dulu, baling kayu pada buah mangga, kalau kena dan buah jatuh memang rezeki lah.


Kali kedua aku lalu di jalan yang sama, ada seorang budak muda tengah leka mengutip buah mangga. Aku berhenti dan saja bertanya, tengah buat apa ni, kutip buah mangga eh. Mangga apa ni ya, kecik-kecik ja. 
"Ni pelam teloq.." jawab budak muda tu. Nak rasa satu boleh ? Terus dia bagi banyak. Aku cakap tak mau banyak-banyak cuma nak rasa satu ja. 


Waktu petang dan waktu lapang apa aktiviti masyarakat kampung ni ya ? Jom kita tengok. Kebiasaan kita cuma lihat orang lelaki saja yang suka memancing. Tapi di pulau ni, orang perempuan yang kerap aku jumpa mengail ikan. Petang-petang sambil duduk di tepi jeti, mereka mengail. Mereka cerita kadang-kadang boleh nampak kelibat ikan lumba-lumba di persekitaran jeti Telok Bujur ni. Aktiviti ni mereka kata sebagai hobi petang-petang. Sekurang-kurangnya tidak lah membuang masa macam tu ja, jika ada rezeki dapatlah bawak balik ikan untuk lauk esok.





Anak-anak kecil pula, selain berbasikal mereka leka main di limbah. Bila aku tanya tengah buat apa ? mereka jawab, main dengan lintah. Huhuhu.. Anak-anak kita mana maunya main kat situ.


Yang remaja lelaki pula leka bermain karom di pondok depan rumah. Berkumpul ramai-ramai, dua tiga kali aku lalu depan pondok tu, tak tamat-tamat 'game' lagi ke ?..Ha Ha Ha. Belia yang dah bekerja, ada jugak aku nampak mereka bermain sepak takraw petang-petang depan rumah. Aku sempat tangkap gambar masa atas motor. 


Warga yang berumur pulak kebanyakkan duduk berkumpul depan umah. Setiap rumah memang ada hammock tergantung di bawah pokok. Jadi memang akan nampak mereka berkumpul ramai-ramai kat situ. Bila aku lalu ja, walau jauh mereka mesti melambai atau senyum macam dah lama kenal. Tapi tak de lah aku ambil gambar mereka. Ahaks.



Cuma anak-anak dara ja agak 'up to date' sikit. Yang aku nampak mereka leka dengan talipon bimbit. Ada yang lepak tepi jeti sambil 'selfie'. Mungkin mereka-mereka ini bersekolah atau bekerja di Pulau Langkawi. Tapi bukan semua. Mana yang aku jumpa ja. Untuk haiwan tauladan pula, tempat biasa mereka berkumpul tidak lain tidak bukan hanyalah di padang ragut bekas bendang. Bila petang ja memang penuh padang ragut dengan kerbau dan lembu. Bila pukul 7 petang, pandai pulak balik rumah tuannya.



Di pulau ni, cara nelayan menangkap sotong tak sama macam cara nelayan di Terengganu. Di sini guna jala terus. Ha Ha Ha. cepat dan banyak dapat. Umpannya hanya menggunakan lampu dengan warna tertentu. Lepas maghrib nanti nampak beberapa buah bot menuju ke tengah laut. Dari jauh nampak berderet satu barisan ja lampu dari bot. Mula-mula mereka akan pasang lampu yang cerah, kemudian selang beberapa jam, akan bertukar lampu warna hijau. Bila lampu merah dinyalakan, masa tu lah aktiviti menjala sedang berlangsung. Satu malam mereka boleh dapat berbelas-belas kilo. Jika musim sotong, satu malam mereka boleh dapat RM700 - RM1k. Hasil tangkapan mereka akan terus jual ketika di laut kerana peraih akan datang ke bot-bot mereka. Perghh ! Jadi jangan sangka kehidupan mereka yang kelihatan sederhana menyusahkan mereka. Hey hey hey.. mereka tenang dan gembira di sini.


Sebelum aku balik, aku singgah untuk tangkap gambar papan tanda ni saja. Gua ni dah jarang orang lawat jadi, takkan aku nak pergi sendiri kot. Keselamatan diutamakan.

Pengembaraan aku berakhir dengan satu kali lompatan kejayaan. Weeho ! Pengalaman yang begitu indah dan menarik sekali di Pulau Tuba. Jika ada yang ingin datang, sila jaga keharmonian dan kebersihan pulau. Janganlah mengambil kesempatan atas kebaikkan dan keramahan penduduk di sini. Biarlah ianya kekal dengan tradisi, jangan pernah terfikir untuk membawa kemodenan dan pembangunan yang akan merosakkan ekosistem  pulau ni. Inilah satu-satunya tempat yang mendamaikan yang masih tinggal di MALAYSIA. 


~TAMAT~