Tuesday, June 20, 2017

Keluar Pintu di Akhir Ramadhan

Hai kawan-kawan !

Pagi Ahad kelmarin,

Yakni 18/6/17 bersamaan dengan 23 Ramadhan 1438 H, aku meraikan kedatangan seorang  sahabat yang banyak membantu dan mengajar aku dalam hal-hal berkaitan dengan dunia berbasikal kembara jarak jauh, Azizan Zolkipli a.k.a Wak Jan @ Aeron Zizan. Katanya dia bosan dan akan jatuh sakit jika tidak melakukan sesuatu aktiviti di luar pintu. Untuk mengisi ruang hari cutinya yang masih kosong, aku mengajak beliau untuk meneroka lokasi paya bakau yang baru di hujung kampung tempat tinggal aku.
Hari itu, Wak Jan memakai baju batik berbunga merah putih persis seorang YB. Mujur tak pakai songkok.

Jarak dari jalan utama ke lokasi sejauh 7 km sahaja. Tempat ini dahulunya hanya tempat kunci air dan jeti laluan nelayan turun ke laut. Oleh kerana penduduk Kg Sijangkang sudah terdedah dengan informasi tentang kepentingan pemuliharaan alam semulajadi serta ekosistem kehidupan yang terdapat di situ maka mereka bersepakat untuk membangunkan kawasan itu menjadi taman rekriasi awam untuk penduduk kampung datang beriadah.

Segala dana pembangunan adalah dari sumbangan penduduk kampung, Wakil Rakyat, syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak jati kampung Sijangkang itu sendiri. Ada juga sumbangan dari sekolah berdekatan dan pusat pengajian tinggi yang memberikan sumbangan untuk penambahbaikkan prasarana kemudahan di taman ini.


Sebelum memasuki pintu trek paya bakau, aku mengajak Wak Jan untuk menyelusuri laluan ban di sepanjang paya bakau tu. Laluannya bersih dan aku yakin boleh tembus hingga ke hujung kunci air Kampung Tanjung Batu 9.  Disebabkan cuma kami bertiga sahaja, maka hasrat untuk meneruskan perjalanan dibatalkan kerana tujuan asal hanya untuk ke trek paya bakau. Jimat tenaga, nanti ada pulak yang laungkan azan maghrib awal waktunya. Ahaks.
Mungkin di lain waktu boleh pergi bersama geng-geng kaki terjah pesisir pantai.

Kawasan yang luas ini tidak disia-siakan, mereka menjadikan ia sebagai tapak untuk aktiviti latihan berhalangan.


Kelihatan YB kita sedang menguji kekukuhan papan gelonsur yang disediakan.







Lokasi ini sangat sesuai untuk dijadikan tempat untuk membuat aktiviti sukaneka atau perkhemahan. Geng-geng motor dan basikal juga boleh buat perjumpaan tahunan. Suasananya damai, hanya kedengaran kicauan burung dan salakan anjing penjaga kunci air. Sekali sekala kelihatan burung helang yang berlegar-legar mencari makanan di ruang udara paya bakau.


Banyak buaian yang disediakan untuk pengunjung berbuai sambil berehat. Terompah gergasi pun ada disediakan. sekiranya pengunjung ingin mencubanya.


Boleh juga menguji kekuatan dengan menarik bebanan tayar terpakai seperti dalam gambar. Segala peralatan dibina menggunakan bahan-bahan terbuang.


Di sudut ini ada diceritakan asal usul Kampung Sijangkang, sejarah kedatangan orang-orang Jawa dan pembukaan kampung Sijangkang, tapak perkuburan asal kampung ini dan dari mana nama Sijangkang ini diambil.



Di sebelah Laman Jambori ini juga terdapat ladang penternakan madu kelulut.



 Ini adalah Sungai Batu 8, salah satu dari 3 laluan keluar/masuk untuk nelayan ke laut.


Pintu gerbang untuk masuk ke laluan hutan paya bakau begitu 'simple' hanya menggunakan bahan asas semulajadi.. Di sebelah pintu masuk ini ada disediakan sebuah surau dan tandas. Bersih dan selesa untuk para pengunjung menggunakannya.


Kadar sumbangan untuk masuk ke laluan trek paya bakau amat berpatutan. Alhamdulillah pintunya tidak berkunci, dapatlah kami masuk. Walaupun tiada penjaganya sumbangan tetap diberikan tanda sokongan atas usaha-usaha pembangunan taman ini.


Sebagai YgBergaya tentu sekali gambarnya harus dirakam. Untuk kenang-kenangan katanya.
Mudah mudahan kotak sumbangan yang diperbuat dari kayu tidak reput dimakan anai-anai dan tidak dimasuki air hujan. Jika tidak habis kembang dan basah wang sumbangannya.



Kami datang sekira-kira jam 10 pagi. Keadaan di dalam paya bakau sangat tenang, tiada bunyi monyet melainkan bunyi burung yang sedang galak mencari makanan dan bunyi kocakan air dari ikan belacak yang berenang-renang di tepi gigi sungai. Mana monyet ? mana kumbang ? mana ular ? mana semua ? Kok tidur lagi !


Baru pertama kali aku tengok nama species bakau Mata Buaya. Ada juga nama bakau Buta-buta. Pada pandangan mata dan akal aku, ku lihat sama sahaja, semua pokok bakau.



 Hmm. YB melawat kawasan sambil bercekak pinggang.



Sejujurnya aku sangat suka dengan suasana di sini. Tenang, damai dan redup membuatkan suasana terasa sejuk ja. Ketika ini tiada sampah yang kelihatan. Harapan aku, pengunjung yang datang ke sini lebih peka terhadap kebersihan agar alam semulajadi kekal asli.


Cumanya yang tak tahan adalah hurungan nyamuk yang terlalu banyak. Aduh, nak ambik gambar pun tak boleh berlama-lama posing macam YgBergaya ni, kita baru sebut 1, 2, 3 dia dah tak tahan nak tepuk nyamuk. Kita yang tukang ambik pun main ketik ja. Mana tahan ngeung ! ngeung ! dekat mata, hidung dan telinga. Euiii...! (sila bawa ubat nyamuk, losyen anti nyamuk atau paling malas pun bawalah kelambu ya. jajaja )



Sepanjang laluan ni memang sesuai untuk merakamkan gambar  jika pandai menata sudut yang betul. Pemandangan dan susun atur pokok-pokoknya memang menarik.


Okey lah, gambar yang aku rasa aku suka ja aku beri sedikit tatarias. Gambar yang lain cantik juga cuma aku malas, sebab banyak sangat. Gambar ini hasil ketik Si Kakak.


Gambar di bawah iini pula hasil ketik YB Wak Jan. Tiada ubah apa-apa pun. Saja nak tunjukkan begitu bagus lensa kamera dari telefon pintar dan kemahiran beliau mengambil sudut yang menarik.

Di sini ada beberapa wakaf dibina untuk pengunjung berhenti berehat. Setiap wakaf itu diberikan nama dan diletakkan juga nama para penyumbang sebagai tanda wang sumbangan mereka itu dijadikan sesuatu yang bermanafaat.




Ada juga trek laluan hutan mengikut bekas ban pertama dibina  oleh orang-orang terdahulu dengan menggunakan kudrat empat kerat. Oleh kerana perubahan ekosistem di sini, ban ini telah ditengelami air. Sekarang ianya telah diganti dengan pembinaan ban yang baru. Jika mahu melaluinya perlu menggunakan pemandu arah yang berpengalaman.


Laluan kayu terhenti ditengah-tengah hutan paya bakau, kerana laluan selebihnya masih dalam pembinaan. Sekiranya siap sepenuhnya, aku yakin memang cantik keadaannya nanti. Kami pun berpatah balik mengikut laluan ketika datang tadi. Dari jauh aku nampak kelibat sekumpulan monyet, Hrm.. baru bangun tidur la tu. Jeti kayu basah dengan bekas tapak-kaki monyet yang comel-comel. Turun minum air agaknya. Bila nampak manusia, terus hilang monyet-monyet tadi. Pokok -pokok dan daun-daun langsung tak bergoyang. Pandai betul mereka bersembunyi.


Perjalanan keluar diteruskan mengikut  ban jalan tanah merah. Si kakak kata boleh tembus ke kunci air Kampung Batu 7, maka kami pun redah jugak la. Tiba-tiba jumpa satu lagi wakaf. Wakaf-wakaf ini tertulis Tapak Warisan Sejarah Kg Sijangkang di mana di sinilah tapak tanah perkuburan yang pertama untuk penduduk Kg Sijangkang.


Masih dalam pembinaan. Tercari-cari juga di mana letaknya batu nisan yang diceritakan tu.
Tak jumpa pun.





Apalah yang sedang YgBergaya lakukan ?



Puas mencari akhirnya kami meneruskan perjalanan.
Sedang aku membawa motorsikal, tiba-tiba Si Kakak mencuit bahu, Mak ! apa benda tu ? Bila aku toleh ternampak sepasang batu nisan. di tepi sungai.


Adakah ini batu nisan dari tapak warisan ? Ku telek-telek untuk melihat adakah batu nisan itu dipahat dan batu apa yang digunakan. Ternyata pembuatannya hanya menggunakan pasir sungai yang dibentuk sebegitu.


Separuh jalan, kami berhadapan dengan jalan tanah merah yang rosak akibat dari laluan kenderaan pacuan empat roda. Alamak ! macamana ni. Hati rasa macam nak patah balik ja bila mengenangkan motorsikal YB. Boleh ke motorsikal dia hadap laluan yang macam ni. Setakat motorsikal EX5 aku selamber ja, walaupun melambung-lambung langgar lopak. Silap percaturan memang aku boleh terbang masuk parit jugak. Adoi ! sakit pinggang macik nak oi. Ini kalau hari hujan, menangis. Mujur beberapa meter sahaja.


Berjaya juga Siti Fazurina menghadapi laluan jahat tersebut. Tahniah YB menghadapinya dengan senyuman.

Jalan tu tembus hingga ke kilang pembuatan kapal. Kami meneruskan perjalanan ke kunci air Bt 7 yang diberi nama jeti Serindit. Di sini tempat berlabuhnya bot dan sampan nelayan. Ada restoren makan dan tempat karaoke juga. Sering juga pengambaran filem dan drama dilakukan di sini.


Dapat juga aku melihat orang sedang menjala ikan. Ketika ini air cantik nampaknya.


Ini sebahagian ikan yang berjaya ditangkap. Ku tanya wak yang sedang menjala tu, "ikan apa ni wak ?"
"Ikan Selangat, ini kalau digoreng garing-garing sedap nih, macam keropok. Walo banyak tulang, bila digoreng garing tulangnya tak rase." (sila baca dengan slang jawa)


Ooo..ikan selangat. Adakah nama Sungai Langat diambil sempena nama ikan selangat yang banyak terdapat dalam sungai ni ?
Mungkin juga kan !

Pada mereka yang ingin bercuti dan melancong dengan kadar bajet, boleh lah datang ke Kampung Sijangkang, kerana di sini banyak lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi. Di antaranya adalah :

1. Mozid Racing (trek Go-Cart)
2. Taman Rekriasi Paya Bakau
3. The Container House (homestay)
4. Bangkita Ceramic Studio ( Jln Tanjung Kg Sijangkang). Dlm map dia pin Kebun Baru, memang salah lokasi nun pergi jauh ke kampung sebelah.
5. Baloi-Baloi (cafe yang menjual lemang periuk kera)
6. Kilang kerepek

Tak perlu susah-susah cari alamat, cari di google maps sahaja, taip nama lokasi dan plink ! plink !

Selebihnya korang boleh baca maklumat lebih terperinci lagi menarik di sini.(kena klik dan baca tau ! )

Bukan setakat di Sijangkang sahaja, korang boleh juga terus ke Pulau Carey. Di situ kita dapat mengenali budaya orang asli Mahmeri dengan mengunjungi Muzium orang Asli @ Mahmeri Cultural Village.

Seterusnya, Dari Pulau Carey keluar semula dan terus menyeberangi jambatan Kampung Sawah yang akan membawa ke Kampung Bandar. Di situ terletaknya Istana dan masjid Di Raja, Sultan Aleaudin. Terletak berdekatan antara keduanya adalah maqam Di Raja dan tapak masjid Di Raja yang kemudiannya dipindahkan ke tapak sekarang.

Satu lagi maqam DiRaja terletak di atas lereng bukit Jugra. Setelah menziarahi maqam, korang boleh terus mengikut jalan yang sama menuju ke Bukit Jugra untuk melihat pemandangan indah dari atas bukit. Jika bernasib baik boleh  melihat aktiviti paragliding yang dilakukan setiap hari Sabtu dan Ahad mengikut keadaan cuaca dan kelajuan angin. Disyorkan untuk membawa bekal makanan dan air minuman kerana di kawasan persekitaran tiada terdapat kedai makan. Pastikan sisa makanan dan plastik sampah dibuang pada tempat yang disediakan. Jika tiada tong sampah sila bawa turun dan buang ditempat yang sepatutnya. Usahlah jadi pemalas dan pengotor.

Setelah puas menikmati pemandangan atas bukit boleh turun dan melawat ke Muzium Insitu (selekoh kanan ). Masuk adalah percuma. Nak tau muzium apakah itu ? Sila datang sendiri.
Kalau rajin, terus  hingga ke hujung jalan, boleh lihat kem lapang sasar tentera Darat.

Sekiranya kemalaman, boleh singgah bermalam di TubeStay yang berada di selekoh simpang Bukit Jugra.

Jika mahu menikmati keindahan pantai, terus sahaja ke Pantai Kelanang. 
Atau
Terus pergi ke Pantai Morib mengikut laluan pesisir pantai.  Kadang dapat lihat orang asli @ penduduk tempatan sedang mencari pepahat ketika air surut di pantai.

Nah ! Route yang bersambung-sambung aku kongsikan kerana setiap lokasi ini berdekatan antara satu sama lain dan dalam satu laluan.

Kalau nak sambung lagi berjalan, boleh terus ke Pantai Cunang yang terletak di Tanjung Sepat.

Ocey cukup lah cerita tentang lokasi menarik di sini. Dah jelas kan ? Haa apalagi ?

Selamat datang ke Daerah Kuala Langat !


----------------

Berbaki lagi 4 hari...

"Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1438 H"
~*~