Tuesday, May 15, 2018

Menjejak Bunda Tanah Melayu - Pulau Penyengat

BUNDA TANAH MELAYU
PULAU PENYENGAT

Hai kawan-kawan,
Kali ini aku nak berkongsi cerita tentang pengembaraan aku ke sebuah pulau yang jauh sekali. Sudah lama aku memerhatikan pulau ni kerana ada sesuatu yang menarik di dalamnya. Lama juga aku menyimpan hasrat untuk ke sana. Dan akhirnya, apabila masanya tiba, perjalanan pun berlaku dengan mudah. Alhamdulillah. Segala puji bagi tuhan pemilik langit dan bumi yang mendengar bisikan hati hamba-hambanya.

Bunda Tanah Melayu adalah nama julukan bagi sebuah pulau yang terletak di dalam Kepulauan Riau. Perlu dijelas kan bahawa ada perbezaan antara Kepulauan Riau dan Riau. Dahulunya keduanya adalah satu Kabupaten ( wilayah), tetapi sudah dipecahkan menjadi dua wilayah yang berbeza pada tahun 2004. 
Riau terletak di tanah besar Sumatera dan nama ibukotanya adalah Pekan Baru. Mana kala Kepulauan Riau pula terletak di persempadanan dengan Vietnam dan Kemboja di sebelah utara, Malaysia ( Sabah & Sarawak) dan provinsi Kalimantan Barat di timur; provinsi Kepulauan Bangka Belitung dan Jambi di selatan, Singapura, Semenanjung Malaysia dan provinsi Riau di sebelah barat. Ibukotanya adalah di Tanjung Pinang, Pulau Bintan.

Pengembaraan aku kali ini untuk menjelajah di mana asalnya Bahasa Melayu itu lahir. Tanpa sedar, dapat juga tahu dari mana asal usul keturunan aku ni. Tidaklah terus terusan menjadi Melayu yang tidak jelas. Kajian dibuat beberapa bulan sebelum memulakan perjalanan, menitik beratkan tentang kos pengangkutan, penginapan dan makanan. Tiba di hari kejadian, semua peserta akan menuju ke destinasi yang telah ditetapkan, iaitu di perhentian bas Larkin Sentral.

Para peserta terdiri dari 6 orang makcik-makcik ibu rumahtangga yang ranggi. Pernah beberapa kali mengikuti pengembaraan yang aku anjurkan, maka tiada timbul permasalahan kerana masing-masing sudah faham peranan sendiri. Ada juga peserta yang baharu, tapi mereka punya pengalaman dalam pengembaraan jauh. Seperti biasa Bendahari akan dilantik untuk menguruskan perbelanjaan sepanjang 7 hari perjalanan. Wang kompeni akan dikutip dari setiap peserta untuk kos mengangkutan, penginapan, cukai pelabuhan, sewa motorsikal, minyak dan makan. Rm450 setiap seorang, jika kurang akan ditambah lagi.


Hari Pertama, Sabtu (28/4/18)

Kami barangkat dari kediaman masing-masing pada hari sebelumnya, Jumaat malam 27/4/18 dengan menaiki bas ekspress. Para peserta ada yang datang dari Kuantan, Kuala Lumpur , Shah Alam dan Klang. Kami akan ke lokasi temu di perhentian bas Larkin Sentral. Harga tiket dari Shah Alam ke LS = RM45. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam. 


Setiba sahaja di sana, Katt sahabat dari Johor sudah lama menunggu untuk menghantar kami ke Terminal Feri Stulang Laut dengan menaiki kereta. Sebelum meneruskan perjalanan, selesaikan dulu tanggungjawab kepada maha pencipta. Ruang masjid di Terminal Larkin Sentral sangat luas dan selesa. Ada mesin air minuman diletakkan di luar pintu masuk.


Untuk menjimatkan kos pengangkutan, sebuah kereta dimuatkan sehigga 6 orang. Rasa macam pendatang tanpa izin pulak. Kira boleh lah, bukannya jauh sangat dari terminal bas ke terminal feri, 8 km sahaja.


Terminal feri terletak di dalam bangunan Berjaya Waterfront.


Ikut sahaja papantanda yang disediakan di sana. Jika tak pasti boleh terus tanya pada 'Pak Guard'


Kaunter  tiketnya begitu moden dan selesa sekali. Terima kasih Katt sebab sudi menghantar kami berenam ke terminal feri.


Inilah rupa para peserta, dari kiri ke kanan : Jihan, Pink, Jura, aku si penulis, Norela dan Shila.


Tu saja nak tayang kasut yang dibeli masa pengembaraan yang lalu. Semua pakat beli sama brand, sama pattern tapi berbeza warna.



Feri : MV Sentosa 9
Harga tiket Stulang Laut - Tanjung Pinang : RM86
Cukai pelabuhan : RM14
Caj bahan bakar : RM3
Insuren : RM3
Total : RM106 (sehala)
Masa : 09:30 pagi.



Setelah melepasi urusan kastam dan imigresen, kami pun mula berangkat naik ke dalam feri.


Laluan menuju ke pelepasan feri.


Perjalanan mengambil masa selama kira-kira 4 jam untuk sampai ke Pelabuhan Sri Bintan Pura di Tanjung Pinang, Bintan. Berdasarkan Sulalatus Salatin, Tanjung Pinang dahulunya merupakan bahagian dari Kerajaan Melaka. Setelah jatuhnya Melaka ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Syah menjadikan kawasan ini pusat pemerintahan Kesultanan Melaka., kemudian menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor, sebelum diambil alih oleh Belanda setelah Raja Haji Fisabilillah membuat strategi memindahkan pusat pemerintahan kerajaan  keluar dari Pulau Penyengat tahun 1784.


Tiba sahaja di pelabuhan, kelihatan ramai pemandu angkut sedang menunggu mencari penumpang. Aku sengaja ajak kawan-kawan mencari tandas sebagai cara mencari ruang bertenang. Relak kat dalam bangunan dulu supaya tidak hilang punca bila dikerumuni pemandu angkut.


Agak-agak dah reda, baru kami keluar dengan aman. Walaupun tak tahu jalan, kena buat-buat tahu dan penuh yakin. Malangnya tetap tak dapat nak mengelak dari didatangi oleh scam. Seseorang akan datang dengan niat nak membantu kita menunjukkan hotel atau apa sahaja. Walaupun ditolak pertolongannya, tetap juga dia mengikuti kami. Aku dah mula rasa tidak selesa.


Pemandangan bandar Tanjung Pinang.


Perkara pertama yang mesti dilakukan adalah membeli tiket untuk pulang. Jika duit dah habis tidaklah bimbang kerana sudah ada tiket pulang.  Kemudian beli sim kad data telefon untuk 'traveler'. Senang nanti nak mencari jalan dan hotel. Selesai urusan penting tersebut, barulah mencari jeti ke Pulau Penyengat.


Ni aku nak tunjuk laluan ke jeti Pulau Penyengat. Keluar sahaja dari pelabuhan, melepasi pintu tol kecil, akan nampak Hotel Gunung Bintan Jaya, kemudian ambil simpang kiri. Itu dah masuk jalan besar, ada banyak kedai-kedai seperti gambar di atas. Ada pejabat pos, dan Maybank Indonesia.



Berhadapan dengan Maybank, ambil simpang ke kiri. Jalan terus hingga nampak pintu gerbang Selamat Datang Dermaga Penyengat. Ikut ja laluan tu hingga nampak jeti panjang.


Ini lah dia scam yang asyik mengikut kita ke mana sahaja, padahal bukan kita tak tahu mencari. Akhirnya baru lah terbuka cerita, 'berilah saya duit untuk makan bla bla bla.." Kita bagi duit, pandai pulak dia memilih tak mahu duit lama, nak duit baharu. Katanya duit lama dah tak laku. Adoilah... kita baru sampai mana ada duit tukaran kecil, akhirnya tak mahu bising-bising Jihan hulur ja duit RM5 pada dia dan kami pun teruskan perjalanan.




Kaunter tiket pompong ( perahu penumpang) ke Pulau Penyengat dah macam cerita Pendekar Bujang Lapok ja. Walau nampak begini, tetapi ada sistem giliran untuk tukang pengendali bot.


Tambang untuk seorang berharga 7,000rp =RM2 dan perlu cukupkan seramai 15 orang untuk sebuah bot.



Masih cara tradisional. Kiraan pagar. Hiks. Cukup ja 15 orang, penjual tiket akan melambaikan tangan ke arah pengendali pompong yang sedang berlabuh di ruang khas menunggu.


Kebanyakkan penduduk Pulau Penyengat bekerja di Tanjung Pinang. Maka kita akan lihat banyak motorsikal yang diletakkan di pinggir jeti. Ada juga ruangan khas untuk menyimpan motorsikal dengan kadar bayaran tertentu ( mungkin)




Tempoh perjalanan dari jeti ke Pulau Penyengat sekira-kira 15 minit sahaja.





Mercu tanda Pulau Penyengat nampak dari jauh.




Sepanjang perjalanan aku membayangkan suasana zaman dahulu kala. Ketika itu mana ada enjin bot, mesti kena mendayung. Omak aiii.!15 minit  dengan pompong berenjin, kalau mendayung berapa jam agaknya. Huhu.




Anak SMA pulang dari sekolah menaiki pompong dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat.


Perkhidmatan pompong ini bermula dari jam 6 pagi waktu tempatan ( jam 7 waktu MY) hingga ke malam.



Pulau Penyengat ni tidak lah besar mana, kita boleh berjalan kaki sahaja untuk pusing satu pulau tu. Sampai sahaja di Jeti Pulau Penyengat, terasa macam berada di Pulau Tuba. Tenang ja, tiada pencemaran dan pembangunan  yang melampau. Bahasanya pertuturannya, rumah-rumahnya sama macam di MY.




Kami sampai pun dah pukul 3 petang, sejak mendarat di Tanjung Pinang belum makan tengahari lagi. Di jeti ada sebuah kedai makan yang menyediakan ikan bakar. Asap ikan yang dibakar tu buat semua tak tertahan nafsu lagi dah. Terus masuk dalam kedai dan buat macam rumah sendiri. Dia punya kecoh ya amponn.


Perihal makan aku serahkan pada Jihan dan Shila untuk memilih menu, tukang bayar Si Jura. Ahh terasa macam orang belanja aku makan. Makanan 'rare' pertama yang aku rasa di sini adalah siput gonggong bakar. Biasa jugak nampak kulit siput ni kat tepi pantai, tapi umang-umang yang pakai buat rumah. Jadi kali ni agak teruja juga lah dapat merasa kesedapan daging siput ni. Agak kenyal dan manis, dicicah pula dengan sambal dan sedikit potongan limau nipis. Perghh.. Sambal dia sedap banget !


Cara nak keluarkan isi siput ni dengan menggunakan lidi buluh yang orang selalu guna buat cungkil gigi tu. Kalau siput sedut, dia ada macam kulit nipis yang sebelum makan kita kena buang, manakala siput gonggong ni pula ada kulit keras macam sepit sekeping. Itu kena buang, jangan kau telan semuanya, nanti tercekik pula. Yang uniknya, siput gonggong ini hanya ada di perairan Pulau Bintan sahaja.



Oleh kerana itu, siput gonggong ini telah dijadikan mercu tanda bagi Pulau Bintan. Dari dalam feri kita akan nampak tugu Gonggong Lagenda tersergam di Taman Tepi Laut. Masa mula-mula nampak terfikir juga, apasal ada siput "Gary SpongeBob" kat situ. Ahaks.


Ini adalah sistem giliran untuk perkhidmatan bemor ( beca motor) di pulau ini. Guna tutup botol ja.


Bemor yang dihias berwarna warni untuk menarik perhatian pelancong.


Cas untuk perkhidmatan bemor ini untuk satu jam 30,000rp =RM8.50. Untuk betul-betul pusing dan melawat tempat yang bersejarah kami sendiri pun mengambil masa 2 jam setengah. Itu pun cuma melawat sekejap-sekejap. Paling bagus bawa basikal sendiri dan kayuh puas-puas.


Pintu gerbangnya sahaja dah nampak gah warna diraja. 
*SELAMAT DATANG KE PULAU PENYENGAT*


                         


Ada juga basikal untuk disewa, tapi aku tidaklah bertanya berapa harganya untuk satu jam.


Sejarah Pulau Penyengat ada ditulis di situ.


Mari aku ceritakan serba ringkas tentang Pulau Penyengat dari pemahaman aku yang lemah ni ya.
Pada zaman dahulu, pulau ni terkenal kerana menjadi tempat persinggahan pedagang dan pelaut untuk mengambil bekalan air tawar. Menurut cerita, mereka telah melanggar pantang larang sehingga haiwan yang dikenali sebagai penyengat menyerang mereka. Dari situlah pulau Penyengat mendapat nama.

Pulau dan seisinya ini juga telah menjadi mahar atau mas kahwin kepada salah seorang isteri Sultan Mahmud Riayat Syah III yang bernama Engku Puteri ( Raja Hamidah), anak Al Marhum Raja Haji. Setelah itu namanya dikenal sebagai Pulau Penyengat Indera Mulia.

Bukan itu sahaja, pulau ni juga pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan, adat istiadat, Agama Islam dan Kebudayaan Melayu Riau - Lingga - Johor - Pahang. Justeru itu terlalu banyak kesan-kesan peninggalan sejarah yang masih dipelihara dengan baik hingga telah dicalonkan ke UNESCO untuk dijadikan salah satu Warisan Dunia.



Di Pulau Penyengat, masih kurang hotel dan tempat penginapan. Jadi sebelum aku datang, aku dah kaji betul-betul tempat penginapan yang ada. Seboleh-bolehnya aku nak juga bermalam di pulau itu dan merasa menunaikan solat di dalam Masjid Raya Sultan. Cuma satu sahaja tempat yang ada iaitu Penginapan Sulthan. Penginapan ini dibina menggunakan dana dari  Masjid Raya itu sendiri.


Satu malam biliknya berharga 150,000rp = RM42, mempunyai dua katil bujang, kipas angin, bilik air yang bersih dan diberikan tuala beserta air mineral.


Beliau inilah yang menguruskan penginapan ini. Namanya Wan Shamsu (kalau tak silap). Orangnya ramah, bila berbicara penuh seloka dan berpantun. Aku jadi kagum, adakah semua orang di sini bila bercakap menggunakan bahasa pantun sahaja kah ?


Masuk sahaja ke dalam bilik, kami mengambil peluang untuk berehat sebentar sebelum keluar semula untuk mula mengekplorasi segenap pelusuk pulau.




MASJID RAYA SULTAN RIAU

Dari kejauhan, masjid inilah yang aku nampak berwarna kuning, seolah-olah menyatakan 'aku di sini, mari lah ke mari". Apa yang menarik sangat tentang masjid ni ? Di ceritakan bahawa dahulu, masjid ini dibina dari campuran pasir, kapur dan putih telur (pelekat). Ia adalah peninggalan Kerajaan Riau-Lingga yang utuh dan masih digunakan oleh warga di pulau ini. Masjid tua yang unik mempunyai 13 buah kubah dan 4 buah menara jika dijumlahkan kesemuanya ada 17 buah yang mewakili jumlah rakaat dalam solat setiap hari.


Pernah dikatakan bahawasanya, semalas-malas orang yang ikut membantu membina masjid ini adalah dengan membaling batu kecil ketika melewati tapak masjid, akhirnya siap dibangunkan pada tahun 1812. Dalam era pemerintahan Yang Dipertuan Muda VII Raja Abdurrahman tahun 1832, masjid ini mengalami renovasi seperti sekarang.
Tempat mengambil wuduk  agak unik kerana dibina seperti gambar di bawah ini.


Sebenarnya dilarang untuk mengambil gambar ruangan dalam Masjid Raya ini. Disebabkan aku tak tahu, dah ambil gambar baru diperingatkan oleh penjaga masjid. Tu nak kira camana  eh ? heh heh heh.


Di dalam masjid ini juga diletakkan mushaf  Al-Quran bertulisan tangan di dalam peti bercermin kaca. Mushaf ini ditulis oleh Abdurrahman Stambul, anak jati Riau, Pulau Penyengat, yang diutus Sultan untuk belajar di Turki tahun 1867. Oleh kerana di pintu hadapan ada penjaga, maka sendiri mau faham la kamera kena simpan dalam bag. Sesungguhnya tulisan tangan dimaklumkan seperti gaya Istambul. Mashaallah sebiji macam cetakan mesin. Lawa sangat.


Mimbar berwarna kuning tu diperbuat dari kayu jati khas didatangkan dari Japara, sebuah kota kecil di pesisir pantai Jawa yang terkenal dengan kerajinan seni ukirnya sejak dahulu.




Peti tabung masjid yang dibuat daripada besi padu. Macam ini lah agaknya kisah-kisah lanun dan harta karun punya peti besi. Aku cuba angkat, mak oii beratnya. Rupanya peti besi ini ada juga kisahnya. Nantikan cerita yang akan aku tulis tentangnya. Bila ? wallahu a'lam.


Ada dua buah almari kayu berukir yang diletakkan di kiri dan kanan pintu masuk masjid, di mana ada 300 buah kitab dan sebuah lagi mushaf Al-Quran tulisan tangan karya Abdullah Al Bugisi yang dikarang pada tahun 1752 M disimpan di dalam almari tersebut.



Di hadapan masjid dibina dua buah balai, yang mana balai ini digunakan bagi para musafir berehat atau ketika menunggu waktu solat dan tempat menjamu hidangan berbuka puasa ketika bulan Ramadhan




Senyuman dari wajah penjaga Masjid Raya. Namanya lupa mau tanya. Hiks.




Masih menggunakan bedug untuk memanggil jemaah ketika masuk waktu solat.



Aku berpeluang untuk mendengar bunyi bedug / tabuh dipukul setelah masuk waktu Asar. Pada awalnya aku memang tak tahu sebab leka mengambil gambar bangunan yang di panggil Rumah Sotoh (tempat pertemuan). Ada dua buah rumah sotoh yang dibina, satunya digunakan untuk tempat bermesyuarat atau tempat pengajian ilmu. Yang lagi satu terletaknya bedug dan barang-barang pemberian cenderahati. Aku nampak seseorang melambai supaya aku masuk ke dalam. Seseorang sedang memegang rotan  bersedia untuk melakukan sesuatu. Terus aku petik picu rakaman.

                                          

Bila bedug dipukul, getarannya sampai ke jantung. Tab ! tab ! tab ! tab tab. Uhhf. Nostalgia sungguh. Macam nak melompat ke bintang ja masa tu, tapi kena tahan sebab kena hormat waktu solat sudah tiba. Tersengeh-sengeh la aku sendirian. Di luar rumah sotoh tergantung bedug yang berlainan bentuk, dulu masa kecil di surau Kampung Pasir aku panggil 'kentung'. Mungkin sebab bila diketuk bunyinya kentung ! kentung !




Pandangan dari aras Masjid Raya Riau. Kawasan lapang itulah dataran untuk semua warga berkumpul ketika ada acara. Bangunan dua tingkat itu hotel Sulthan, satu-satunya tempat penginapan di Pulau Penyengat.



Setelah puas meneroka masjid, kami pun menyewa 2 buah bemor untuk menjelajah ke setiap lokasi yang bersejarah.


Sebuah bemor naik 3 orang. Sudahnya aku teringat cerita Seniman Bujang Lapuk pulak. Dua orang duduk di atas, yang seorang duduk di bawah, tapi kena bayar sama harga. Kah. Di sini tarif harga bemor sudah ditetapkan. Jadi jangan risau kena paw, kecuali atas budi bicara kita nak bagi lebih sebagai saguhati. 
2 orang = 30,000rp. (RM8.50) 
3 orang = 40,000rp. ( RM11)



Benda yang pertama sekali yang aku terpikat adalah, ada banyak papantanda nasihat berbentuk pantun mengenai menjaga kebersihan di pulau ini. Setiap simpang dan lorong akan ada papan tanda pantun. Jadi setiap kali jumpa, aku minta pemandu bemor berhenti sebab aku nak rakamkan gambar, dah macam 'explorace' jadinya. Dalam kiraan aku ada 18 buah papantanda pantun / gurindam. Mungkin adalagi yang aku tak jumpa. Pada aku ini adalah sesuatu yang menarik sekali.





Tempat pertama yang ditunjukkan oleh pemandu bemor adalah tinggalan bangunan batu yang dahulu dikenali dengan Rumah Tabib Kerajaan. Kira ini rumah doktor di Raja dan klinik. Segala hal ehwal kesihatan dan perubatan akan bertumpu di sini la.






Perjalanan diteruskan ke Komplek Makam Raja Hamidah ( Engku Puteri). 
Siapakah beliau ?
Beliau adalah anak kepada Yang Di Pertuan Muda Muda ke-4 Raja Haji, isteri dan pemilik Pulau Penyengat serta seisinya kerana pulau ini adalah mahar pada perkahwinannya bersama Sultan Mahmud Ria'ayat Shah III. Bukan itu sahaja beliau juga penasihat kerajaan, pemegang kekuasaan adat dan tradisi dan pemegang Regalia Kerajaan. Apa itu Regalia ? Klik di sini . Untuk mengetahui dan memahami dengan lebih lanjut tentang Engku Puteri sila baca di sini sebelum datang ke Pulau Penyengat.


Di Komplek Makam ini juga disemadikan makam tokoh-tokoh penting dan bersejarah Riau seperti sasterawan negara Raja Ali Haji yang telah diangkat menjadi Pahlawan Nasional, Raja Ahmad ( Penasihat Kerajaan)  dan Raja Abdullah ( Yang Di Pertuan Raja Muda 9 )





Di dalam bangunan ada tercatit gurindam 12 karya Raja Ali Haji yang terukir di dinding batu mar mar mengelilingi makam Engku Puteri.




Begini la akses perantara di Pulau Penyengat. Ada jalan bersimen, ada jalan batu bata. Yang pastinya memang menarik untuk berbasikal. Redup sahaja laluannya. Satu perkara yang aku lupa nak maklumkan. Dari pandangan mata aku, pulau ni adalah pulau kubur. Kenapa aku kata begitu, sebab mata aku asyik nampak kubur sesaja. 



Jika aku nak cerita satu persatu tentang setiap makam yang ada di sini, entah bila nak tamatnya cerita pengembaraan aku ni. Maka aku tepek kan sahaja link yang berkaitan dengan Raja Haji Fisabilillah ( Engku Kelana)


Jikalau kita hendak memahami perjalanan sejarahnya, paling baik ketahui sejarah awalnya. Kalau tidak nanti kita keliru kerana nama-nama orang terdahulu yang banyak yang sama. Di bezakan hanya dengan nama pangkat atau nama panggilan.



Di semua tempat pemakaman ada disedia kan buku pelawat dan tabung derma seikhlas hati.





Ini pula makam Raja Jaafar dan Raja Ali. Raja Jaafar ini adalah anak kepada Raja Haji Fisabilillah. Beliau adalah Yang Di Pertuan Muda ke-6 yang telah berpindah ke Selangor dan membuka lombong bijih timah di Klang. 

Sementara Raja Ali ini pula anak Raja Jaafar menjadi Yang Di Pertuan Muda ke 8. Beliau adalah seorang Raja yang kuat berpegang pada ajaran Islam yang sentiasa menjemput para ulamak supaya mengajar di Riau. Juga telah banyak membina pusat-pusat pendidikan Islam serta menguatkuasakan undang-undang syariah pada abad ke-19. Baginda melarang rakyatnya bermain judi dan meminum arak serta mengharamkan segala bentuk muzik yang melalaikan.


Dahulunya makam ini sebenarnya masjid.





Jelas menunjukkan bahawa asal makam ini adalah sebuah masjid kerana terdapat ruang mimbar di situ.




Kolam untuk mengambil wuduk. Bentuk binaan tempat berwuduknya seperti di Masjid Raya, tangga menurun ke bawah.



BALAI ADAT INDERA PERKASA

Balai adat ini ini adalah sebuah replika rumah adat Melayu yang biasanya digunakan untuk menyambut tetamu atau mengadakan pertemuan dan jamuan untuk orang-orang penting.


Di dalam gedung ini terdapat set pelaminan yang mempunyai 3 ruang bersemayam. Aku kurang pasti, apa keperluan tempat semayam yang lagi dua tu. Mungkin, tempat bersemayam untuk kedua ibu bapa pengantin lelaki dan perempuan ketika majlis persandingan. Pelamin ini juga digunakan oleh pengantin dari kalangan penduduk tempatan ketika melangsungkan perkahwinan.


Dalam rumah adat ini ada mempamirkan pakaian tradisi Melayu, sedikit senjata melayu dan Gurindam 12. Jika kita berminat nak memakai busana melayu tradisi, ada disediakan pakaian untuk disewa dengan harga 30,000rp = RM8.50





Bukan sahaja pelamin, bilik tidur pengantin juga disediakan dan dihias dengan indah. Aku pun tak nak melepaskan peluang untuk bergaya di sana dan di sini. Ehem !




Di bawah balai adat ada sebuah perigi yang dikatakan sudah ada sejak kerajaan terdahulu. Kedalaman perigi itu cuma 2.5 meter sahaja dan airnya tidak pernah kering. Walaupun jarak perigi ini tidak jauh dari pantai, airnya tidak berasa masin atau payau malah mempunyai banyak mineral di dalamnya.


Menurut kepercayaan cerita dari mulut ke mulut, air perigi ini banyak khasiat keberkatannya. Salah satunya untuk mendapat jodoh. Euui..Entah, aku tak ada rasa nak mencuba  minum, cuci muka ke atau berwuduk macam aku buat di rumah Cut Nyak Dien dahulu. Aku cuma tapau sebotol bawa balik ke hotel. Terfikir juga, kalau aku bawak balik MY air ni tak jadi apa-apa ke ? Mana lah tahu, tak pasal-pasal kena hantar semula kat tempat asalnya. Akhirnya aku tinggalkan sahaja dalam bilik hotel.





Lebih menarik bila aku melihat di sekeliling halaman rumah adat ini diletakkan papan yang bertulis pantun, syair dan gurindam sebagai tarikan untuk para pelancong. Leka aku dibuatnya bila membaca satu persatu papan tersebut.




Di hadapan Balai Adat sedang dibina pelantar jeti, tapi dari pandangan aku mereka macam nak buat dataran tempat pengunjung bersantai di tepi laut. Bila dah siap nanti aku pasti pemandangannya sangat cantik.




ISTANA KANTOR

Dari Rumah Adat, pemandu bemor membawa kami ke Istana Kantor. Istana  ini dibina oleh Raja Ali Haji sebagai kediaman keluarga dan kerabatnya. Sebahagian komplek bangunannya telah hancur, cuma yang masih tinggal adalah pintu gerbang, tembok keliling dan menara pengintai. Lantai papan di tingkat atas istana juga sudah begitu uzur. Aku fikir nak naik tapi melihat kan tanda yang tidak selamat aku batalkan hasrat.


Bilik di bahagian kanan adalah ruang bilik mandi. Sebab ada perigi dan kolah air.


Ruang atas bilik mandi nya terbuka tiada atap.


Bahagian kiri pula tandas. Tandasnya sangat berbeza dari tandas kita. Bukan duduk mencangkung sebaliknya melunjurkan kaki mengikut bentuk batu itu. Jika ikut tradisi perempuan dalam pantang, begini la posisi jika hendak membuang air besar. Tak sangka pula cara tersebut sudah dipraktikkan sejak zaman dahulu.



Pintu bilik air pandangan dari luar.

Menara Pengintai


Ketika kami sampai di komplek Istana Kantor, terdapat beberapa buah khemah sedang didirikan. Nampak ada beberapa buah banner yang bertulis "PULAU PENYENGAT MEMANAH 2018". Tanpa berlengah lagi aku terus bertanyakan hal itu kepada petugas yang sedang berehat. Menurut salah seorang petugas, keesokkan hari ada acara pertandingan memanah. Para peserta yang bertanding diwajibkan memakai busana melayu siap dengan bertanjak. 


Selain acara memanah, ada slot mempamirkan jenis-jenis tanjak, cara pemakaian dan cara mengubah tanjak mengikut nama khas lipatan tanjak. Gubahan tanjak yang paling popular adalah Bugis Tak BalikTanjak jenis ini hanya dipakai oleh Al-Marhum Sultan Mahmud (1914-1917). Daunnya berlipat dan telunjuk sebelah kiri tegak keluar ke atas.




Tapi sayang lah, aku tak dapat nak tengok, kerana acara bermula di sebelah petang. Sedangkan aku dah mula bergerak keluar dari pulau jam 9 pagi esok.




Aku dah bayangkan betapa meriahnya acara memanah nanti. Semua peserta berbusana melayu lengkap bersampin dan bertanjak. Sebelum memulakan acara mesti berpantun dahulu. Hellamak. Epik.



Meneruskan perjalanan menuju ke Bukit Kursi. Di kaki Bukit Kursi ada bangunan stor peluru. Menarik sungguh binaan stornya berbanding yang ada di Bukit Jugra dan Klang.


 Stor ini tempat penyimpanan serbuk peluru dan bahan letupan.



Jelas kelihatan dinding yang dibina cukup tebal. Aku cuma mengintai sekali lalu sahaja kerana pemandu bemor yang bertindak sebagai pemandu pelancong mengajak untuk pergi ke Bukit Kursi dahulu. Agak seram juga sebab waktu pun dah hampir petang membawa ke maghrib.


Stor peluru dan makam Yang Di Pertuan Muda 7 ni letak berdekatan di lereng bukit menuju ke Bukit Kursi. Sebelum mendaki, singgah sebentar di makam ni. 


Siapa Raja  Abdul Rahman ? Raja Abdul Rahman ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke-7. Dilantik pada tahun 1831 menggantikan ayahandanya, Raja Ja'afar Ibni Raja Haji oleh Sultan Muhammad Shah. Bermula daripada baginda, semua Yang Dipertuan Muda selepas baginda ialah keturunan Daeng Chelak, Yang Dipertuan Muda II.

Pada zaman pentadbiran baginda, lanun-lanun sangat berleluasa tetapi berjaya dihapuskan secara berperingkat-peringkat dengan bantuan pihak Belanda.


Kain-kain kuning yang membaluti nisan akan sentiasa diganti tanpa membuang kain yang lama.

    

Batu nisan di sini semuanya tinggi-tinggi. Setiap makam yang terdapat di pulau ini diuruskan dengan cukup baik. 



BUKIT KURSI

Benteng pertahanan Bukit Kursi adalah bukti kebijaksanaan pemerintah Raja Haji Fisabilillah kerana Pulau Penyengat terletak dalam jalur pelayaran. Ada 3 benteng yang dibina iaitu Benteng Bukit Senggawe, Benteng Bukit Kursi dan Benteng Pulau Siantan. Ketiga-tiga benteng pertahanan ini dahulunya mempunyai 90 buah meriam sebagai pertahanan dari serangan Belanda, tapi kini hanya tinggal 5 buah sahaja yang berada di atas Bukit Kursi.





Kedudukannya yang menghadap laut memang menjadikan Bukit Kursi lokasi strategik sebagai benteng pertahanan untuk Pulau Penyengat.



Tahun meriam dibina 1842. * Selingan *
Jun 1842 -( Perang Kedah & Siam )Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah kehilangan Perlis dan Satul / Satun dimasukkan ke dalam jajahan Siam.
Julai 1842 - James Brook pergi ke Brunei meminta pengesahan kuasanya di Sarawak
Ogos 1842 - Hasil rundingan bersama Sultan Omar Ali Saifuddin, James Brook dengan rasminya berkuasa di Sarawak.


VOC atau Syarikat Hindia Timur  adalah Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1602 oleh Belanda yang memberikan hak memonopoli untuk menjalankan aktivti penjajahan di Asia. Ia juga dianggap syarikat pertama yang menerbitkan saham. Tidaklah diketahui samada meriam ini dibeli dari VOC atau harta rampasan perang.





Kami akhiri penjelajahan hari pertama ketika hampir memasuki waktu maghrib. Semua naik ke bilik, bersihkan diri dan selesai kan solat maghrib dan Isyak. Bila dah selesai, jom keluar cari makan ! Aku fikirkan pulau ni mati selepas solat Isyak, ternyata jangkaan aku salah. Kelihatan ramai yang berehat, bersantai di halaman dataran masjid. Kedai makan di sebelah hotel pun penuh dengan pelanggan. Wah ! Ramainya umat melepak. Mungkin cuaca terasa panas, itu yang semua pakat keluar dari rumah. 


Di suatu sudut kelihatan ramai anak-anak muda duduk berkumpul. Muka masing-masing bersinar nur sambil tunduk dan tawaduk. Wow, bagus la anak-anak muda kat sini. Bila aku datang dekat baru la nampak rupanya itu kawasan WIFI percuma. Cit, patut lah semua berkumpul, sampai kat tangga masjid pun ada. Teringat masa kembara ke Masjid 300 tahun di Narathiwat. macam ni juga la keadaannya.


Kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan menikmati udara malam hingga ke jeti. Sambil duduk-duduk bersembang, terus la buat perkiraan semula berapa modal yang dah digunakan setakat hari pertama. Bagus ada bendahari dalam setiap pengembaraan. Tidak lah kita bermewah-mewah. Hihi.


Hari kedua, Ahad(29/4/18)
Hari berikutnya menjelma dengan indah sekali. Matahari terbit dari arah timur dan memancarkan cahayanya tepat ke arah masjid Raya. Maka makin bercahayalah kelihatan masjid ini dari jauh.



Hari ini ada acara " Jalan Santai & Senam Sehat" . Dalam rangka sambutan Hari Ulang Tahun Parti Demokratik Indonesia ke - 45. Semua warga akan berkumpul di Balai Kelurahan untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam acara tersebut. Wah ! ini yang aku tunggu-tunggu, dapat merasai suasana kehidupan dan aktiviti masyarakat setempat.




Seawal jam 6 pagi, semua warga Pulau Penyengat sudah keluar dan berkumpul di dataran balai Kelurahan. Tak kira tua, muda, kecil, besar dan bayi pun turut memeriahkan acara pada hari itu. Siap berbaju dan berkasut sukan. Tak de kasut, selipar pun boleh. Yang penting SEMANGAT !


Suka benar kakak aku ni rakam gambar. Ke sana ke mari sampai naik atas pentas gara-gara nak rakamkan suasana yang meriah ni. Lagi pula muzik yang dimainkan adalah lagu-lagu  Salem dan Amy Search yang telah di remix jadi lagu dandut.


Aku kagum dengan mentaliti mereka di sini. Walaupun memakai jubah, itu tidak menghalang mereka untuk turut serta untuk berzumba. Pakkal lah aku dah nak keluar pulau, kalau tak memang aku tumpang dua kaki berzumba sebelah kakak-kakak dan makcik-makcik tu.



Tepat jam 9 pagi , kami pun mula bergerak keluar dari pulau untuk menaiki feri ke Pulau Lingga pada jam 11 pagi waktu tempatan (1200 tgh waktu MY). 


Selamat Tinggal Pulau Penyengat Indera Sakti @ Indera Mulia @ Pulau Mas Kahwin, murah rezeki, Insya allah aku akan kembali.


Sewa motor 25,000rp = RM7. Naik bemor 30,000rp = RM8.50 sejam. Pilihan ditangan anda.



Kaunter tiket pompong di jeti Pulau Penyengat sama seperti di Tanjung Pinang.




Ayuh ! marilah kita pulang.


Di tengah laut pun masih boleh akses internet. Hebat bukan ?


Aku duduk berhadapan dengan makcik berdua ni. Suka aku dengar mereka bersembang. Nada dan lenggok bahasanya sama macam kita. Rasa macam nak menyampuk ja, tapi tidak lah manis berbuat begitu. Eceywah.




Para peserta sudah mulai memasuki ke Pulau Penyengat untuk acara memanah. Dari jauh aku nampak dua orang pemuda memakai tanjak, waduh..waduhh..segak gagah perkasa sungguh.


Jika dihidupkan kembali pemakaian tanjak, aku rasa segak juga kan ? Orang Jawa bangga dengan Blangkon, kita orang Melayu bangga lah dengan Tanjak. Setuju ? Kalaulah perempuan boleh pakai tanjak, memang lama aku pakai masa kayuh basikal. Ehek !



Nah ! Barang siapa yang berminat untuk membeli tanjak, ada dijual di gerai berhadapan dengan Masjid Raya. Harga tidaklah aku tanyakan kerana otak masih tak keruan, senang cakap di dalam keadaan " culture shocked" . Itu nak tengok, ini nak tengok, sana nak pergi. Itu nak cuba, ini nak rasa, akhirnya semua krik krik. Padan muka.


Gambar di bawah ini adalah masakan asli Pulau Penyengat, gonggong masak lemak dan gonggong masak berlada. Itu pun aku tak dapat nak rasa. Huh.


Kesimpulannya, Pulau Penyengat ini adalah pulau yang menyimpan khazanah sejarah yang amat bernilai. Tersimpan sejarah keagungan pemerintahan masa lalu. Berdirinya sebuah pemerintahan kerajaan Riau Lingga yang hebat kuasa jajahannya hingga ke Selangor, Melaka, Johor dan Pahang. Kini hanya tinggal simbol-simbol kemegahannya yang telah dimusnahkan oleh Belanda dan pihak kerajaan sendiri kerana TAK SUDI wilayahnya diduduki kaum penjajah. Yang tinggal hanyalah kitab-kitab tua dan makam para raja.

Pada aku, pulau ni lebih kepada sebuah kampung yang tenang, aman dan damai. Kena datang lagi ni. Insya allah.

Pesanan kuku kaki : Jika ada terdapat kesilapan mengenai sejarah dan tahun, mohon maaf kerana sedikit maklumat diambil dari pembacaan di wikipedia dan blog internet.

Sejarah untuk diketahui. Cukuplah jika kita mengambil cakna. Tidaklah kita menjadi bangsa yang tidak jelas.

PULAU PENYENGAT TANAH BERDAULAT
TEMPAT LAHIR GURINDAM, PANTUN DAN PUISI
PANJANG UMUR GAGAH KUDERAT
INSYA ALLAH KITA KEMBALI LAGI