Thursday, September 25, 2014

I'm coming home [POT]

Hari ke - 23
Port Dickson - Jalan Nangka
Ahad, 28hb April 2013

Pengembaraan aku telah tiba ke penghujungnya. Perasaan aku cukup bersemangat untuk memulakan perjalanan pada hari terakhir ini. Tak sabar nak balik rumah, tak sabar nak jumpa anak-anak yang hampir 3 minggu ditinggalkan berdikari sendiri. Rindu pada katil, tilam dan bantal. Paling tak sabar ialah untuk berkongsi cerita dan pengalaman pada kawan-kawan semua.

Subuh itu aku bangun awal, kemas baju-baju yang bersepah, mandi dan terus mendirikan solat.Tidur di atas sofa sudah cukup untuk aku, walaupun Jura mempelawa aku tidur di atas katil yang telah disediakan. Aku menolak, kerana lebih selesa dan tidak mahu menyusahkan dia lagi. Rasa malas nak bangun pula, oleh kerana sudah  berjanji dengan Abang Syaaban yang telah menunggu di pantai Telok Kemang, aku cergaskan badan untuk bersiap. Pagi itu Jura menyediakan sarapan roti + telur goreng dan air milo untuk aku. Selesai bersarapan Jura menghantar aku pula ke kawasan perkhemahan awam.
Sekitar jam 7 pagi aku sampai di lokasi, kelihatan Abang Syaaban sudah siap siaga menunggu aku untuk memulakan perjalanan. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Jura atas layanan yang cukup baik aku pun memulakan kayuhan.


Suasana pagi itu cukup tenang, sinaran matahari menerjah dicelah-celah dedaun pohon kelapa.
Merah dan terang. Kenderaan masih kurang di jalan raya. Aku terus berkayuh diikuti Abang Syaaban di belakangku. Kayuhan pagi itu begitu lancar memandangkan tenaga masih banyak, aku bercadang untuk teruskan perjalanan hingga ke Bukit Pelanduk. Pekan Port Dickson 13.2km  dari tempat aku mula berkayuh, tiba-tiba Abang Syaaban meminta aku berhenti untuk bersarapan pagi dahulu. Aku setuju. Terlupa pula dia belum bersarapan . Ehek !

Selesai bersarapan , kayuhan di sambung semula. Tak banyak pemandangan yang menarik untuk diceritakan di sini kecuali tentang lukisan grafitti yang aku nampak dari arah yang bertentangan.




LUKUT

Dari Port Dickson, aku akan menuju ke Kampung Kuala Lukut. Perjalanan makin terasa kepayahannya kerana laluan semakin berbukit-bukit, kiri kanan hanya ladang kelapa sawit dan kemudian akan memasuki  kawasan kampung- kampung kecil pula. Keputusan diambil untuk mengikut jalan pintas melalui Kampung India dan terus ke pengkalan jeti bot penambang Kampung Cina Bukit Pelanduk kerana aku tau ia lebih cepat untuk sampai ke sempadan negeri Selangor. Lagipun aku tak perlu nak mendaki di jalan utama Bukit Pelanduk. Sukanya aku. Walau pun aku pernah sampai ke situ, tapi tetap juga tersesat. Itu tandanya aku perlu bertanya kepada penduduk setempat. Dua kali aku bertanyakan arah jalan, kali pertama pada seorang auntie (Cina) yang sedang menjemur kain, kali kedua pada seorang uncle (India) yang sedang minum di warung. Aku rasa uncle tu mabuk sikit tapi tetap berusaha menunjukkan aku arah. :P Akhirnya sampai juga. ~ Yepiee



Di jeti bot penambang, kelihatan bot sedang mengambil penumpang di seberang sana. Di seberang sini sudah menanti beberapa orang penumpang yang ingin pergi ke pekan Sungai Pelek. Terasa ingin berehat dulu sambil menghayati suasana damai di jeti ini.
Ini kali kedua aku menaiki bot penambang di sini. Bot ini beroperasi setiap hari mulai jam 6.35 pagi hingga 7.25 petang dan akan  mengambil penumpang walaupun penumpang hanya seorang. Tambang untuk seorang hanya 40sen, motorsikal dan basikal dikenakan harga 20sen saja. Perjalanan menyemberang Sungai Sepang Besar hanya mengambil masa tak sampai 5 minit.

Dahulu, hanya pancang kayu-kayu bakau saja yang menghiasi tebing sungai, kini pembinaan batu dan konkrit sedang dibina sebagai penebat hakisan. Walaupun pembangunan galak dijalankan aku harap agar perkhidmatan bot penampang ini tidak diberhentikan.
Semasa menaiki bot penambang hati rasa tersangat girang. Entah mengapa, terasa seperti seorang pahlawan pulang dari berperang. Ewah. Abang Rosla di seberang sana begitu sibuk mengambil gambar aku dari sudut yang berbeza.


SUNGAI PELEK

Mesej dari rakan-rakan sudah mula menderu masuk ke dalam talipon bimbit bertanyakan lokasi.
Tak sangka aku sampai awal di sempadan Selangor, Bukit Pelanduk/Sungai Pelek, jam menunjukkan baru 9.46 pagi. Aku dijemput oleh Abang Rosla dan Nazry Hassan seorang rakan dari DET-C untuk terus ke rumah pengasasnya iaitu  Pak Ngah di Bagan Lalang.




Tiba di rumah Pak Ngah, aku sekali lagi disambut oleh beberapa rakan basikal yang datang dari Putrajaya. Riuh rendah jadinya. Masing-masing bertanya khabar, menyatakan kekaguman mereka kerana aku seorang wanita. Tiada apa yang hendak aku ceritakan kerana perjalanan tiada mengalami apa-apa masalah yang besar, segalanya baik baik saja. Sambil berbual, Pak Ngah menghidangkan air sebagai penghilang dahaga.



Aku nak balik. Hati tak sabar nak jejak kaki ke rumah dengan segera. Abang Syaaban dah beri isyarat mata untuk segera meneruskan perjalanan. Aku menganggukkan kepala dan dengan rendah diri aku mohon undur diri dahulu.
Masih berbaki 66 km lagi dari Bagan Lalang ke rumah aku. Nak mengadap jalan yang lurus dari Bagan Lalang ke Morib sememangnya menguji kesabaran, dengan angin laut yang kuat lebih-lebih lagi dengan perut lapar. Rasa macam tayar basikal aku pancit ja sebab berat sangat masa mengayuh. Panas terik jangan cerita, kadang nampak fatamorgana kat atas jalan raya tu. Phews !





Berselisih dengan satu kumpulan basikal yang sedang menjalani latihan. Hanya mampu  berikan lambaian semangat ja


Tanjung Sepat telah ku lalui, selepas itu aku tiba di Batu Laut. Singgah sebentar untuk melihat permandangan yang menarik. Hajat hati nak berhenti makan tetapi tiada gerai makan yang beroperasi.


MORIB
Seterusnya ke Pantai Morib. Aku memberi isyarat pada Abang Rosla dan Abang Syaaban untuk berhenti makan. Ini kali sudah tak boleh tahan. Tahap menggigil dah. Laparrrrr !


Sesudah perut dah berisi, barulah datang semula tenaga yang telah habis tadi.
Kelajuan basikal aku makin dipertingkatkan. Mujur jalan landai dan mengikut pesisir pantai. Kenderaan pun tak banyak. Dalam hati menjerit-jerit.. Cepat lah..cepat lah ! lagi sikit nak sampai. Kayuh dan terus kayuh hingga nampak jambatan yang menghubungkan Sungai Buaya dan Pulau Carey. Oww yes ! waktu tu, aku rasa macam aku dan Abang Syaaban berlumba-lumba mendaki jambatan tu. Abang Rosla terus memecut melintasi aku dan Abang Syaaban dengan motor untuk mendapatkan shot gambar yang termahal. Tiba di tengah jambatan , aku rasa sesuatu yang amat puas telah aku lepaskan, sambil berdiri aku meluncur laju sambil menjerit puas. Yehaaaawwwww…! dan Abang Syaaban pun memintas laju dengan gembiranya seperti telah sampai ke garisan penamat.




Lagi beberapa km lagi aku akan sampai ke garisan penamat, iaitu rumah aku. Terus kayuh !
Sekitar jam 5 petang, aku selamat tiba diperkarangan rumah dengan selamatnya. Syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT atas pertolongan dan kasih sayangnya yang tidak terhingga.


Jarak kayuhan aku dicampur dengan kes sesat barat adalah 3300km. Itu lah kisah perjalanan berbasikal aku yang paling jauh setakat ini yang berjaya aku lakukan dengan bantuan rakan-rakan seluruh semenanjung.



Info kayuhan hari ke 23 :
Jarak kayuhan : 141km
Tempoh masa : 7:00 pagi - 5:00 petang

Nota tambahan :
Setinggi-tinggi penghargaan dan TERIMA KASIH buat anda yang sentiasa memberikan sokongan moral, wang saku, tempat tinggal, makan dan minum, nasihat dan idea sehingga impian ini terlaksana :

Azizan Zolkipli
Ija Zahri
Rahim Mahmudin
Kak Ann
Rosla Mustakim
Norela Mustakim
Shudairi Sabri
Kurt Kurik Kudean
Husin Janggut
Mohd Farid Rahmat
Nazry Hassan
Toh CK
M Yusuf Musa
Tok ji
Zai Kona & suami
Pak Ngah Ishak

Semua ahli :
DET-C
Cycle2 See Club
As Sakinahcc
Darul Takzim Randonneurs

Geng Taiping
Sham Shahrul
Jamell Chiru
Tok Chiru
Mohd Shafiz Awang

Geng Penang
Ricky Lee

Geng Perlis
Mizi Belantik
Ronn Rahmani
Suhardi Salleh

Geng Kedah
Azriel Hakimi

Geng Kelantan
Dzulkapri Hakim

Geng Trengganu
Mohd Jaafar Taib
Syamsu Budiman

Geng Kuantan
Zaini Abdullah

Geng Johor Bharu
Sahid Selamat
Rahman Kbc
Katya John
Azmi Zakaria

Geng Muar
Acid Mustafa
Normawati Ahmad Nurddin
Nizam Shah
Deen Deens
Shahrul Nizam dan isteri

Geng Melaka
Syaaban Saadon

Geng Port Dickson
Jura Juju

Jika ada nama yang tertinggal mohon ampun dan maaf.  Tanpa anda semua, projek ini tidak akan berjaya. Terima kasih ya.

No comments:

Post a Comment