Wednesday, September 10, 2014

Marissa Kedai Hijau No 1 [POT]

Hari ke- 14
Seberang Takir - Paka
Jumaat 19hb April 2013 

Dari dalam hammock mata aku terkelip-kelip. Intai sekeliling, aku nampak adik-adik pengakap masih tidur lagi. Eloklah aku segera bangun dan bersiap. Perlahan-lahan aku turun dari hammock dan mengambil alatan kebersihan serta baju untuk pergi mandi. Kedudukan tandas agak jauh juga dari khemah aku, jadi kena berjalan di dalam gelap, mujur aku bawa ‘headlamp’. Sampai di tandas, penuh dengan adik-adik pengakap. Cit ! aku ingat aku lah yang paling awal tapi ada lagi awal. Bilik air semuanya dah penuh. Takkan  nak tunggu. Aku keluar semula dan memilih untuk menggunakan tandas tambahan.
Tandas tambahan yang dibina menggunakan zink sebagai dinding mempunyai bekalan air  tetapi tiada bekalan letrik. Kalau nak ikut memang lah seram, sebab aku seorang saja guna tandas tu. Sudah lah gelap gelita. Tak ada siapa pun yang lalu di situ.Tak pa lah. Aku kan ada ‘headlamp’, gantung ja dalam tandas tu, nanti teranglah. Jangan takut, jangan fikir yang bukan-bukan. Hati aku terus memujuk.  Cepat-cepat aku mandi, berus gigi dan pakai baju. Ha, selesai pun. Cepat-cepat aku keluar. Phews!
Dengan selamba aku berjalan balik ke khemah konon-konon berani la tu. Aku terus mendirikan solat subuh, kemudian kemaskan hammock dan barang-barang lain. Hampir jam 7 pagi, RP  masih tak nampak batang hidung lagi. Aku dah rasa stres. Pagi ini Budi yang akan menunjukkan aku jalan keluar dan dia sudah pun siap sedia dengan basikalnya.


Tak lama kemudian aku nampak kelibat RP dalam keadaan tergesa-gesa. Ha, sampai pun.
Tepat jam 7 pagi aku memulakan kayuhan. Sempat juga tengok saat-saat matahari mula terbit dari tepi pantai Telok Ketapang.


SEBERANG TAKIR
Hari ini Budi akan mengiringi aku  hingga ke bandar Kuala Trengganu melalui jeti bot penambang di Seberang Takir kerana En. Jaafar ada urusan yang sangat penting untuk dilaksanakan. Jadi dia wakilkan Budi untuk menjadi host untuk pagi tu.

 Pengalaman yang menarik untuk aku kali ni. Sampai saja di jeti aku tengok tiada seorang pun penumpang. Mungkin disebabkan cuti umum maka semua orang berehat di rumah. Bot pertama sudah sedia untuk bertolak, tapi aku cakap nanti lah dulu kerana aku nak menikmati pemandangan dan aktiviti penduduk tempatan puas-puas.


Selama setengah jam juga lah, aku duduk di tepi jeti mengambil gambar dan memerhatikan gelagat orang-orang di situ. Akhirnya aku dah bersedia untuk menaiki bot yang berikutnya. Jarak antara pelantar dan bot agak tinggi , jadi terpaksa Budi dan RP mengangkat basikal untuk dimuat naik ke atas bot. Bukan mudah untuk mengangkat basikal yang penuh dengan muatan naik ke atas bot, silap perkiraan mahu masuk ke dalam air.




Ini lah pengangkutan awam yang mudah dan cepat bagi penduduk di sekitar untuk pergi ke bandar Kuala Trengganu. Tambang untuk seorang cuma RM1. Tahukan anda Seberang Takir ada sejarahnya yang tersendiri. Jika tidak kerana masa yang terhad, memang aku nak menjelajah di seluruh  kampung Seberang Takir ni. Banyak tempat-tempat yang menarik di sini, begitu juga pada sejarahnya. Di kampung nelayan ini masih terdapat perusahan batik blok secara tradisional, proses membuat ikan bilis, ikan kering dan belacan dan yang paling menarik boleh melihat proses membuat keropok lekor dari awal hingga akhir. Tak pe lah mungkin di lain masa boleh buat penjelajahan terperinci.

Tempoh perjalanan menyemberang sungai lebih kurang 10 minit saja. Seronok jugak naik bot penambang ni. Kita boleh rasa bagaimana penduduk ulang alik menyemberang sungai ke bandar. Boleh juga membayangkan suasana di zaman dulu-dulu sebelum jambatan Sultan Mahmud dibina. Epik.

Setiba saja di jeti di bandar Kuala Trengganu, Budi mengajak untuk bersarapan pagi dahulu sebelum memulakan perjalanan menuju ke Paka. Aku tak ingat aku makan apa, tapi bila tengok RP memesan ‘nasi air’ cam pelik pula. Ye lah, selama aku hidup mana pernah dengar nama menu ni. Bila dah jumpa semestinya lah aku kena cuba. Aku tergoda untuk memesan menu yang sama. Rasanya macam soto, cuma dia nasi dengan kuah sup dicampur dengan daging ayam yang disiat serta ditambah dengan taugeh.


Ada lagi hidangan kuih yang unik. Orang Trengganu panggil tepung pasung, org Kelantan panggil kuih serunai @ suna@ sunai. Tak tau la kenapa orang panggil tepung pasung. Yang serunai tu mungkin sebab bentuk dia mcm serunai. Kuih ni memang diletakkan dalam daun pisang yang berbentuk kon. Menurut Budi,  warna putih tu santan manakala yang bawah berwarna coklat ialah gula melaka. Bila makan akan rasa lemak-lemak manis.


PANTAI BATU BUROK
Budi menghantar aku hingga ke Pantai Batu Burok. Dia kemudiannya berpatah balik pulang ke Seberang Takir.



Hai beruntungnya penduduk negeri Terengganu, negeri yang kaya dengan keindahan pantainya. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan aku di sini, memang akan nampak laut dan pantai saja. Terlalu banyak pantai yang telah diwartakan sebagai lokasi pelancongan. Pilih saja yang mana berkenan di hati. Untuk aku pula, aku akan cuba untuk singgah di setiap pantai yang aku jumpa untuk mengambil gambar. Apa yang menarik, pantai-pantai di Terengganu sangat bersih. Kesemuanya dijaga dan kelihatan pokok-pokok rhu nya tersusun saja. Di pantai Batu Buruk struktur pantainya agak merbahaya, jadi pengunjung tidak dibenarkan untuk mandi di pantai ini. Walaubagaimana pun mereka tetap boleh melakukan aktviti seperti menaiki ATV,menunggang kuda dan bermain layang-layang yang ada disediakan.

KUALA IBAI
Aku melalui Kuala Ibai, ternampak masjid yang sangat indah. Hati menyuruh aku untuk masuk dan menjelajah di sekitarnya. RP pula mengambil peluang untuk bersolat dhuha di situ.
Masjid Tengku Tengah Zaharah adalah masjid terapung sebenar yang pertama di Malaysia.


Ia terletak berhampiran muara Sungai Kuala Ibai, 4 km dari Bandar Kuala Terengganu. Pembinaan bermula pada tahun 1993 dan selesai pada tahun 1995. Masjid ini telah dibuka secara rasmi pada bulan Julai 1995 oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Masjid ini menggabungkan seni bina moden dan Moor, menggabungkan penggunaan marmar, seramik, mozek dan turapan bomanite. Struktur putih masjid meliputi kawasan seluas kira-kira 5 ekar dan boleh menampung sehingga 2000 jemaah pada satu masa. Di keliling masjid disediakan kawasan rehat dan riadah untuk orang awam.

Beginilah suasana di pagi Jumaat ketika aku lalu di satu kawasan pekan sebelum melalui jambatan Marang. Agak hairan kerana begitu banyak kenderaan yang diletakkan di bahu jalan. Ada pasar pagi ke ? Bukan takat kereta saja, orang ramai berpusu-pusu menuju ke masjid terdekat. Ada juga yang duduk berkumpul bersama keluarga sambil makan di tepi jalan. Aku memperlahankan kayuhan untuk mengetahui sebab, terdengar suara dari corong pembesar suara sedang memberi ceramah. Owh ! ceramah agama rupanya. Ingat ada keraian apa tadi. Kalau kat tempat aku kalau ada ceramah, mana ada ramai macam ni. Tu yang pelik sangat.


MARANG
Ini pula pemandangan dari atasi jambatan Marang, kelihatan banyak kapal-kapal nelayan berlabuh di Sungai Marang. Di situ juga terletaknya Komplek Lembaga Kemajuan Ikan Daerah Marang. Dari atas jambatan aku dapat melihat kapal-kapal nelayan berlabuh yang membuatkan pemandangan begitu menarik sekali. Itu lah kelebihan mengembara dengan basikal, bebas berhenti di mana-masa saja.


RHU MUDA
15 minit kemudian aku sampai ke Kampung Rhu Muda. Di sini kita akan lihat banyak gerai-gerai makanan laut yang berasaskan ikan berada di tepi jalan. Pilih saja yang mana kita suka. Setiap gerai menjual makanan tradisi orang Terengganu seperti sata dan keropok lekor. Aku pilih untuk berhenti di gerai no 1 ni sebab aku pernah singgah di sini dulu untuk membeli keropok lekor rebus.


 Setiap peniaga mempunyai resepi dan cara tersendiri dalam membuat, memasak dan menjual keropok lekor mereka. Memang segar dan sedap. Lagipun ia mengembalikan nostalgia aku semasa kali pertama bertandang ke Marang. Selepas ini aku nak ke satu tempat yang telah menambat hati aku dengan suasana dia yang sangat damai.


Tempat yang aku maksudkan adalah di Rhu Muda Beach Motel. Jaraknya tak sampai  500 meter dari gerai keropok lekor ni. Aku membelok masuk ke kawasan motel dan terus menuju ke pangkin di tepi pantai. Rindu betul aku kat tempat ni. Dah lah pemandangan cantik, redup, angin pulak bertiup tak henti-henti. Boleh tertidur dibuatnya.
Kawasannya menghadap laut dan ada sebuah buaian kayu yang digantung di sebuah pokok berhampiran pantai. Aku menghela nafas yang panjang, kegembiraan aku tak dapat dibendung lagi. Dapat jugak aku kembali ke sini lagi. Ikut kata hati, hendak saja aku berhenti rehat lama-lama. Sayangnya, tak boleh. Aku keluarkan keropok lekor yang aku beli tadi, duduk di kerusi batu menghadap laut. Sambil makan sambil layan pemandangan, sambil layan pemandangan sambil berangan.




Aku nak lepaskan rindu aku pada buaian kayu tu. Tak kira, aku tak kesah apa orang nak kata. Aku nak naik juga dan aku buai laju-laju, buai tinggi-tinggi.


Susahnya nak tinggalkan tempat ni, sebab tempat ni tak ramai yang singgah, jadi tak sesak sangat, kalau nak beristirehat memang tempat paling bagus. Syyhh.

PANTAI KELULUT
Ada lagi pantai peranginan yang betul-betul di tepi jalan. Pantai Peranginan Kelulut. Cantik dan bersih juga. Aku sekadar mengambil gambar papan tanda sahaja kerana cuaca terlalu panas, lagipun dari tepi jalan aku sudah boleh nampak laut dan pantainya. Pantai ini adalah salah satu pantai pelancongan dan tapak Pesta Budaya yang diadakan setiap tahun. Ia juga merupakan tempat sukan antarabangsa seperti Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang.


Panas terik. Itu saja yang boleh aku cakap. Dari jauh aku nampak gerai jual buah dan air nira. Tandanya aku wajib berhenti. Sampai saja di gerai tu RP terus baring di pangkin gerai. Eh pewai ke ? Aku pula dengan dahaganya menyedut air nira dengan gelojoh sekali. Haus. Tak cukup dengan tu aku beli buah tembikai. Makan separuh, simpan separuh. Tu dia. Senyum ja pemilik gerai tu tengok gelagat aku yang macam orang tak makan tiga hari. Ha ha.


Bila dah rasa kenyang dan cergas, aku sambung semula perjalanan. Sebelum tu, aku kejut RP bangun tidur dulu, kalau dilayan penat memang tak bergerak nanti.

Perkampungan orang-orang cacat ? Kalau kita melalui jalan pantai Kuantan-Marang mesti nampak papantanda ni. Mata aku tercari-cari juga tempat yang dikatakan perkampungan tu. Tak nampak pulak. Aku cuma nampak  Bengkel Pemulihan Kebajikan yang berhampiran dengan Perkampungan Taman Rahmat, tapi aku tak singgah pun. Bila aku cari maklumat di internet baru aku tahu tempat itu adalah untuk orang kurang upaya yang diberikan latihan kemahiran hidup.


Kayuh punya kayuh nampaklah kereta bersusun-susun berhenti kat tepi jalan. Macam biasa, sifat ingin tahu aku memang nombor satu. Walau dah terlepas, aku sanggup berpatah balik gara-gara nak tau kenapa orang ramai berhenti. Perlahan-lahan aku jenguk di celah-celah orang yang ramai tu. Aku nampak mereka sedang membeli roti. Aku tanya lah, apa nama roti ni, penjual tu jawab ‘roti paung’. Roti paun ialah roti yang dibentuk kecil-kecil, dalamnya diisi dengan mentega dan beberapa inti berperisa kaya dan pandan. Ini adalah salah satu makanan istimewa orang Terengganu. Mungkinkah namanya roti paun, oleh kerana slang Trengganu ada huruf ‘g’, maka berbunyilah ia dengan bunyi ‘paung’. Munasabah juga.


Entah bila masanya aku dan RP terpisah. Rupanya selepas dari tempat membeli roti paung, aku kayuh sendirian saja. Aku ingat RP ada mengekori di belakang. Mesti dia berhenti tidur ni. Semua ni gara-gara tidak cukup tidur malam semalam bila berjumpa kawan lama, berborak sakan hingga ke pagi akibatnya pewai. Aku pun memperlahankan kayuhan, aku sengaja  berhenti-henti dengan harapan dia boleh mengejar aku.

PAYA GELAM
Aku tiba di satu kawasan paya. Seingat aku, macam pernah lalu di sini. Sebuah kawasan paya tetapi tidak tahu lokasi tepat. Yang pasti dulu ada batu tanda tertulis 57km. Bermakna 57km lagi hendak sampai ke Kuala Trengganu. Inilah gambar tempat  yang aku ambil gambarnya masa kali pertama. Tempat yang sangat cantik dan akan membuatkan sesiapa saja yang meminati seni fotografi akan jatuh cinta bila berada di situ.



Puas aku cari, kalau nak ikutkan logik akal, kalau naik basikal lagi lah mudah jumpa, tapi semuanya rasa macam sudah berubah. Atau aku terlepas pandang ? Ini saja yang aku jumpa bila melalui jalan raya pesisir pantai di Marang.


Sudah banyak perubahan yang aku nampak terutama pada jalanraya yang aku perhatikan sedang di naik taraf menjadi lebih lebar. Tak banyak maklumat yang boleh aku dapat melalui pencarian di internet. Yang ada cuma tentang Paya Gelam. Berdasarkan gambarnya seakan-akan sama saja lokasinya.

HUTAN LIPUR JAMBU BONGKOK
Berdekatan dengan paya ni terletaknya Hutan Lipur Jambu Bongkok, nama asal ialah Hutan Lipur Rantau Abang. Menurut maklumat, hutan simpan Jambu Bongkok ini merupakan antara 3 hutan simpan tanah rawan atau beris yang masih wujud di Semenanjung. Aku sempat ambil gambar simpang masuk dari jauh sebab ia terletak di seberang jalan.


RANTAU ABANG
Dulu masa sekolah, cikgu geografi selalu cakap Rantau Abang terkenal dengan pendaratan penyu Belimbing untuk bertelur. Sekarang, bila aku dah sampai, tak sempat pula nak jelajah semuanya. Kalau aku nak tengok pun kena bermalam di sini dulu. Mungkin lain kali sajalah aku datang. Aku cuma merakamkan beberapa keping gambar dari luar tanda aku dah sampai, kemudian teruskan kayuhan. Aku tunggu RP, tapi dia masih tak muncul lagi.




KUALA ABANG
Selepas Pantai Rantau Abang, aku berhenti di Pantai Kuala Abang pula. Dari tepi jalan kita dah boleh lihat pemandangan laut dan pantainya yang cantik. Tempat ni sesuai untuk beristirehat, tetapi tiada kemudahan asas seperti tandas dan gerai makan. Kalau nak berkelah di sini elok di waktu awal pagi dan lewat petang kerana di sini kawasannya terbuka dan sangat panas bila menjelang tengahari. Lagipun tak de pokok-pokok untuk berteduh. Sedang aku leka mengambil gambar, RP pun sampai.


TANJUNG JARA
Persinggahan aku sebelum sampai ke Paka ialah di Pantai Tanjung Jara. Baki buah tembikai yang aku beli tadi aku keluarkan dan makan sambil menghayati keindahan alam ciptaan Allah. Aku berhenti rehat tak lama sebab nampak awan gelap di hadapan. Aku dah dapat agak yang hujan lebat akan turun tak lama lagi.




Betul apa yang aku rasa, hujan berserta ribut melanda ketika aku melintasi jambatan Kuala Dungun menghala ke Dungun. Ketika menaiki jambatan, terasa angin menolak-nolak dengan kuat macam nak menerbangkan aku, bukan itu saja , aku dengar bunyi angin bertiup dengan kuat. Gerun dan menakutkan.  Aku berhenti di atas jambatan, sebab aku nampak pemandangan sekelompok awan sedang menurunkan hujan tapi hanya di satu bahagian saja.  Pemandu  yang lalu lalang ada yang memperlahankan kenderaan mereka, mungkin pelik tengok keadaan aku sedang bersuka ria di dalam hujan lebat.


PAKA
6:35 petang baru sampai Paka. Lencun. Sepanjang jalan, orang akan menegur; tengah panas wei! atau hujan lebat wei ! Dalam hati aku cakap, habis bila masa boleh kayuh? Hujan ke panas ke, aku tetap kayuh. Salji je aku belum rasa . Aku berhenti makan dulu. Menu untuk malam ni ala kadar saja. Ketika badan sejuk menggigil, sup panas, teh tarik dan nasi kosong sudah memadai. Lepas makan baru aku mencari masjid.


Masjid Jamek Paka menjadi pilihan untuk malam yang ke 14. Setelah mendapat keizinan untuk bermalam, aku pun membawa beg-beg aku masuk ke ruang solat untuk wanita. Di sebabkan hujan lebat, air hujan penuh bertakung di dalam beg jadi aku terpaksa keluarkan ke semua barang-barang dan aku jemur di bawah kipas. Selesai solat Isyak, aku pun bersedia untuk tidur.


Barang-barang yang penting seperti bag duit, telefon bimbit dan kamera aku susun di sebelah bantal. Di dalam masjid itu cuma ada 3 orang termasuk aku dan RP. Seorang lagi adalah budak muda yang sedang bertadarus. Aku abaikan kerana yakin di rumah Allah pasti keselamatan aku terjamin. Aku pejamkan mata, tetapi telinga masih mendengar suara orang bertadarus. Lama kelamaan aku terus terlena.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi.

Info kayuhan hari ke 14 :
Jarak kayuhan : 160.64km
Masa : 7:00 pagi - 7:30 petang

No comments:

Post a Comment