Thursday, September 4, 2014

Perlis Darul Sunnah [ POT ]

Hari ke - 5
Sungai Petani- Kuala Perlis
Rabu 10hb April 2013

Hari baru menjelma lagi. Alhamdulillah, aku masih diberikan nyawa untuk terus menghirup udaraNYA. Sebelum jemaah lain sampai, aku dah bangun dan membersihkan kawasan tempat aku tidur seperti sediakala. Tandas di masjid ini juga cukup luas, ada bilik mandi untuk jemaah yang ingin membersihkan diri. Pendek kata segalanya terjaga. Setelah solat subuh, dengan perlahan-lahan aku menolak basikal hingga keluar dari kawasan masjid. Walau hanya diterangi dengan lampu jalan, perjalanan tetap dimulakan.


Kemana arah tuju aku hari ini ya ? jap tengok peta dulu. Hari ini nak ke Kuala Perlis, jadi aku akan melalui Merbok. Ahah! tempat bersejarah tu. Apa tunggu lagi. Jom.!
Cuaca hari ke 5 amat baik sekali. Laluan yang akan ditempuh juga agak mencabar juga kerana akan melalui jalan berbukit- bukit.





MERBOK
Merupakan sebuah pekan yang terletak di Kedah, Malaysia. Terdapat tempat bersejarah yang terkenal iaitu Lembah Bujang. Merbok terletak dalam kawasan Sungai Petani, Kedah.
Pekan Merbok mendapat namanya dari istilah bahasa Langkasuka iaitu “merbok” yang bererti ‘tempat perisytiharan dipersampaikan’. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi negeri Kedah telah dilakukan di pelabuhan Kuala Merbok yang berhampiran dengan ibu negeri Kedah pada masa itu yang terletak di Bukit Meriam. Dalam erti kata yang lain, nama Pekan Merbok tidak ada kena-mengena dengan nama burung merbok di dalam bahasa Melayu.




Oi, banyaknya sejarah kat sini, sempat ke aku nak melawat semuanya ? Berhenti dulu untuk bersarapan pagi di sebuah gerai di Jalan Semeling. Apa yang menarik mengenai sarapan pagi aku hari ini adalah mengenai kuih muih yang unik namanya.
Apam Lenggang, bentuknya macam tosei tapi digulung dan rasanya manis. Mengapa dinamakan Apam lenggang tidak lah aku selidik. Wallahua’lam.




Macam biasa, bila dah berkelana, kenalah ikut selera harian masyarakat setempat. Bersarapan dengan hidangan yang agak berat. Nasi dan gulai kari ikan. Rasa kari belah Kedah agak masam sedikit, berbanding di Perak. Masam- masam ni kurang memenuhi selera aku la, tapi ku telankan juga. Jangan membazir, membazir kan kawan syaitan.



Selesai bersarapan, aku meneruskan perjalanan. Pemandangan di sini tersangat lah indahnya. Dari jauh terpapar imej banjaran gunung ganang yang diselaputi kabus pagi. Damai rasa di hati. Rasa macam nak berhenti dan duduk lama-lama menikmati pemandangan.



Makin lama terasa perjalanan sudah mulai melelahkan kerana terpaksa mendaki bukit. Makin lama makin berat aku rasa basikal ni. Letih dan sesak nafas aku, lebih baik aku berhenti, minum dulu seteguk dua air sambil menikmati panorama di waktu pagi. Di atas bukit ini juga terletaknya kampus UiTM. Luas betul kawasannya. Tentu seronok dan mudah untuk belajar kerana jauh dari kebisingan kota. Kemudian aku terpandang sesuatu.Tersenyum aku bila membaca papan tanda ini. Bujang dan Segantang Garam. Ada jugak nama tempat macam ni ya. Apakah ada cerita di sebalik nama itu ?. Apapun, yang aku tahu Segantang Garam adalah tempat rekriasi untuk kaki pancing. Penginapan chalet terapung juga ada disediakan.


Aku sebenarnya tak sabar nak menjejakkan kaki ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Dari zaman sekolah selalu belajar tentang sejarah Melayu lama dan kedatangan Islam di Tanah Melayu membuatkan aku begitu teruja untuk datang ke sini. Sebelum sampai ke Lembah Bujang, ada 1 lagi tempat bersejarah yang sepatutnya aku singgah, tetapi melihatkan laluan ke tempat itu agak tersorok membuatkan aku melupakan hasrat itu.

Makam Sultan Muzaffar Shah I yang terletak di Kampung Langgar, Mukim Bujang. Mengikut catatan sejarah baginda adalah Sultan Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Sebelum memeluk agama Islam, baginda dikenali sebagai Maharaja Derbar Raja II dan telah memerintah negeri Kedah dari tahun 1136 hingga 1179. Baginda memeluk agama Islam melalui seorang alim dari Yaman iaitu Sheik Abdullah bin Sheik Ahmad bin Quamiri. Pada tahun 1179, Sultan Muzaffar Shah telah mangkat setelah baginda memerintah Kedah selama lebih kurang 43 tahun.

Tak mengapalah, sasaran utama aku yang perlu diutamakan. Aku sampai di pekan Merbok sekitar jam 8:40 pagi. Terus mencari-cari jalan masuk ke Muzium Arkeolegi. Terdetik hati untuk bertanya arah pada seorang kakak yang kebetulan lalu di situ. Rupanya, di muzium itu tempat dia bekerja. Menurutnya jam 9:00 pagi baru muzium beroperasi. Wah, aku memang menepati masa.



Tanpa berfikir panjang, setelah mengucapkan terima kasih aku pun terus mengayuh basikal dengan senyum simpul. Sedikit pun tak terfikir langsung yang jalan di hadapan begitu dahsyat sekali.
Kayuh dan terus kayuh, dari laju makin perlahan dan perlahan. Akhirnya berhenti untuk menolak.
Tak cukup menolak, sampai tergolek tepi jalan akibat tak dapat nak mengimbangi kecuraman jalan. Semput !



Di jalan yang sepi ada jugak haiwan liar yang mati dilanggar. Sungguh tragis sekali.


Sebelum sampai ke pintu pagar muzium, aku melalui kawasan ladang ternakan madu Kelulut. Mungkin kerana aku sampai awal, ladang belum dibuka lagi. Aku cuma melihat dari luar saja. Jadi tak dapat lah nak mengetahui rahsia khasiat dan keistimewaan madu kelulut tu.



Aku teruskan perjalanan aku dengan menolak basikal. Tak sanggup rasanya aku nak mengayuh basikal  dengan beban yang berat di belakang ni. Haish, otak mula fikir yang macam-macam. Kenapalah bina candi - candi kat tempat tinggi- tinggi dan bagaimana lah orang dulu-dulu bina candi ni. Tentu siksakan ?.
Berkat kesabaran aku menolak basikal, akhirnya sampai juga di perkarangan muzium ni. Ini baru pintu pagar, kena mendaki lagi untuk sampai ke bilik pamirannya. Hadoi.


Walaupun begitu, sila lihat wajah aku yang gembira setelah mampu sampai ke tempat ini hanya dengan berbasikal. Saya sudah, anda bila lagi ?

Lembah Bujang
Aku dah sampai ! terujanya. Masuk adalah PERCUMA dan waktu lawatan seperti berikut :



Jom masuk !


Ini adalah serpihan perahu Sagor yang digunakan oleh masyarakat dahulukala untuk membawa hasil dagangan untuk dijual di Kuala Sungai Merbok. Perahu ini dihasilkan dari kayu jenis Merbau , Bongor dan Pulai.

perahu sagor

Pengisar
Pelapik tiang

batu kepala tangga


botol raksa

Batu bersurat Buddha-Gupta
Puas berlegar-legar melihat artifak dalam galeri, aku pun keluar untuk  pergi ke kawasan candi dibina. Aku memilih Candi Bukit Batu Pahat kerana ia merupakan candi induk kepada candi-candi di Lembah Bujang. Runtuhan candi ini telah dibina semula di tempat asalnya pada tahun 1960. Seni bina ini berunsur Hindu Siva dengan Vimana dan Mandapa sebagai strukturnya.
Bahan binaan utamanya ialah batu granit yang dipahat di Batu Hampar yang terdapat di tebing sungai Merbok Kecil berhampiran tapak ini. Penyelidikan arkeologi menunjukkan atap candi diperbuat daripada daun nipah.




Terdapat empat jenis candi di Lembah Bujang ini iaitu Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pendiat, Candi Lembah Bujang dan Candi Bendang Dalam. Candi-candi ini membuktikan kewujudan tamadun Hindu-Buddha di Lembah Bujang.

Cukup-cukup lah ya, kalau nak tahu selanjutnya kenalah datang melawat sendiri. Selama satu jam aku berada di situ, tiba lah masa untuk meneruskan perjalanan menuju ke lokasi seterusnya. Masa untuk meluncur turun yang paling seronok, hanya mengambil tak sampai 5 minit ja,yay ! Sedangkan ketika naik tadi, masa yang diambil kira-kira 1 jam 15 minit. Mencabar sungguh.

YAN
Destinasi  selepas ini adalah Yan. Cuba lihat, lokasi daerah Yan. Terletak di sebalik bukit yang tinggi, jadi kesimpulannya aku terpaksa menghadap bukit yang tinggi selepas ini. Ayoyo.



 Penat mendaki aku berhenti rehat, kemudian sambung mengayuh semula. penat lagi, berhenti lagi. Ikut suka hati aku mana nak berhenti. Tiada siapa nak marah. Kereta yang lalu lalang ada yang membunyikan honk. Ah, ada aku kesah ?





Walau bagaimana pun setelah bersusah payah mendaki akhirnya aku disajikan dengan permandangan yang menakjubkan di mana, jalanraya terletak di tepi tebing bukit. Ini memboleh kan aku melihat pemandangan laut dari tempat yang tinggi. Indah bukan ?



Sebenarnya banyak lokasi-lokasi menarik dan tempat pelancongan di daerah Yan, terlalu banyak untuk dilawati. Ada pulau-pulau, hutan lipur, air terjun, tempat-tempat bersejarah dan Gunung Jerai pun terletak di daerah Yan. Memang tak mencukupi untuk menjelajah dalam masa yang singkat. Mungkin lain kali. In sya allah.

Aku sampai di daerah Yan jam 12 tengahari, kemudian singgah berehat di stesyen Petronas. Ada seorang posman sedang mengisi minyak, beg berisi surat diletakkan berhampiran dengan basikal aku. Apalagi, aku ambil peluang lah bergambar dengan beg posman yang lebih kurang sama dengan beg pannier aku. Sama tak ? ha ha ha.



Selepas ini, aku akan menghala ke Yan Besar, Yan Kecil, Sungai Limau Dalam, Kota Sarang Semut, Sala dan Kuala Kedah sebelum sampai ke Kuala Perlis. Seronok ikut jalan kampung sebab kurang dengan kenderaan, lagipun redup dengan pokok-pokok yang tumbuh di kiri dan kanan jalan. Pemandangan pun cantik. Walau jauh, ia menyeronokkan..







KUALA KEDAH







Menjelang petang baru aku sampai di Kuala Kedah, terpaksa mencari kedai basikal kerana basikal RP ada masalah. Sementara dia mencari kedai basikal aku berhenti makan di gerai tepi jalan. Tiba-tiba hujan turun dengan sangat lebat. Habis lencun basikal  dan beg aku. Apa boleh buat biarkan saja, aku memandang sayu dari kejauhan. Sambil makan mee hoon sup, aku bertanya kepada pelanggan yang ada di situ sekiranya ada jalan pintas ke Kuala Perlis. Kata mereka ada, tetapi jalannya terlalu ‘offroad’ dan merbahaya untuk basikal. Oleh kerana hari makin gelap, ditambah pula dengan hujan lebat aku membatalkan hasrat untuk ikut jalan pintas. Termenung aku.






Terkandas lagi. Tengok gaya hujan takkan berhenti. Tak boleh jadi, aku mesti teruskan perjalanan. Hujan pun hujan lah. Redah ja. RP pun tak dapat nak baiki basikalnya, kerana tiada kedai yang mahir untuk membaiki kerosakan tersebut. Aku mencadangkan supaya meneruskan perjalanan dengan perlahan untuk mengelakkan berkayuh hingga lewat malam.
Hujan masih turun dengan lebat, aku mulakan kayuhan dengan berhati-hati agar tidak tergelincir.




Menyelusuri jalan kampung yang kecil, aku terpaksa bersaing dengan kereta, motor dan lori yang bersimpang siur, ditambah dengan hujan. Entah jalan mana yang aku redah, hanya berpandukan gerak hati dan maklumat yang diperolehi dari orang yang aku tanya tadi. Katanya, akan jumpa satu jambatan yang jadi penghubung. Memang betul aku jumpa satu jambatan dan jambatan tu bernama Jambatan Tok Pasai.




Jambatan Tok Pasai dinamakan sempena seorang pendekar yang juga seorang ulama yang berasal dari Pasai, Indonesia. Di Indonesia beliau merupakan seorang pejuang mempertahankan Agama Islam dan justeru itu beliau menjadi buruan pihak Belanda hingga terpaksa berhijrah dari tempat asalnya.

Dipertengahan jalan menuju Ayer Hitam, aku ternampak air nira dijual. Apa lagi aku segera berhenti untuk membeli air nira bagi melegakan dahaga. Aish ! nikmatnya. Tengah panas, tengah haus, bila dapat air nira yang sejuk memang menyegarkan.




KUALA PERLIS
Di hari ke 5 aku sudah sampai ke negeri Perlis. Negeri yang dikenali dengan nama Perlis Indera Kayangan atau Perlis Darul Sunnah merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Ia terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Provinsi Satun dan Songkhla, Thailand di sebelah utara dan Kedah di sebelah selatan. Perlis pernah dipanggil Palit (Bahasa Thai) dalam masyarakat Siam ketika Perlis pernah berada dibawah pengaruh Siam dahulu. Kuala Perlis adalah bandar kedua terbesar dan pelabuhan utama di Perlis. Kuala Perlis juga terkenal dengan makanan laut, terutama laksa. Ia juga salah satu laluan masuk ke Pulau Langkawi.

Hari makin gelap, hujan gerimis terus menemani aku. Dengan gigih aku meneruskan kayuhan aku menuju Kuala Perlis. Sentiasa memerhatikan papan tanda tunjuk arah yang banyak di tepi jalan. Walau bagaimana pun aku tekad untuk sampai malam itu juga. Akhirnya pada jam 8:00 malam aku tiba di Komplek Jeti Kuala Perlis. Tanpa berlengah aku terus menghubungi kawan aku Adi yang mana sebelum ini aku memang sudah meminta izin untuk tumpang bermalam di rumahnya. Sementara menunggu Adi sampai, RP pergi bersolat maghrib.

10 minit kemudian Adi pun sampai, tapi RP masih tak muncul-muncul. Dah jadi kerja aku nak tunggu dia pulak. Adoi, tolong lah buat solat jamak, dalam keadaan musafir tak perlu lah nak solat berjemaah. Takkan tak faham-faham lagi. Aku jadi malu, tuan rumah kena menunggu pulak. Hampir jam 9:00 malam baru RP keluar. Adi mengajak untuk pergi makan kemudian baru terus pulang ke rumahnya. Aku menurut saja kerana dah terlalu letih. Sedang aku makan, terima panggilan talipon dari Abang Ronn bertanyakan lokasi aku. Wah, seronoknya, Abg Ronn nak datang. Hoyee!

Sekejap saja Abang Ronn dah sampai. Tak sangka dapat jumpa orang yang berpengalaman dalam pengembaraan berbasikal ni. Banyak benda yang boleh aku kutip dari cerita-cerita dan nasihat dia. Sambil makan, sambil berborak. Aku rasa aku kenyang mendengar cerita dari kenyang makan nasi goreng udang ni.




Lepas makan aku minta Abang Ronn tengokkan apa yang  menjadi masalah pada basikal RP, manalah tahu Abang Ronn boleh bantu memperbaiki. Menurut kata Abang Ronn kerosakkannya agak banyak, kena hantar ke kedai juga.


Aku dah penat sangat, tak larat, lunyai rasanya. Aku meminta izin dari abang Ronn untuk beransur pergi dulu dan esok Abang Ronn akan jadi host bagi menunjukkan aku jalan menuju ke lokasi seterusnya. Lagipun banyak kerja yang perlu aku lakukan. Setibanya di rumah Adi, Tok Aisyah dah lama menunggu. Tok Aisyah ni emak Adi. Sebelum ni aku memang dah pernah datang ke sini, jadi dah memang kenal. Alhamdulillah, Tok Aisyah tetap sihat seperti dulu.
Terasa kesian dan bersalah pulak menyusahkan Tok Aisyah tengah-tengah malam ni. Sebelum Tok Aisyah masuk tidur aku  meminta izin untuk menggunakan mesin basuh. Baju kotor yang aku simpan selama 5 hari  semuanya aku masukkan dalam mesin basuh. Aku tunggu sampai cucian aku selesai dibasuh. Kemudian aku terus sidai di bawah kipas angin. Harap cepat lah baju-baju aku kering. Hampir jam 2:00 pagi baru siap. Aku rebahkan badan di kerusi panjang menemankan Tok Aisyah tidur di ruang tamu. Letih sungguh.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.

Info kayuhan hari ke 5 :
Jarak kayuhan : 172.25km
Masa : 6.45 pagi- 8.00 malam

1 comment: