Thursday, March 19, 2015

Pulau Chenta [Pulau Tuba]

Pulau Tubaaaa tunggu aku datanggg... Ehek. Hati ku tertinggal di Pulau Tuba lagi. Kenapa eh ? Seronok sangat ke kat sana ? Entahlah. Nak tau sila ikuti pengembaraan pertama aku ke Pulau Tuba. Mesti baca dulu baru dapat gambaran bentuk rupabumi pulaunya.

Pengembaraan aku kali ni dengan hasrat untuk berkongsi perasaan dengan adik beradik, anak, anak saudara serta rakan taulan. Di samping itu aku nak tunjuk dan mempraktikkan bagaimana untuk menjadi seorang pengembara 'budget' kepada anak-anak aku. Selamat mengembara dalam pembacaan. !

HARI PERTAMA

Perjalanan bermula dari depan pintu rumah. Keluar dan berjalan kaki hingga ke 'bus stop' dengan bag disandang di bahu. Menunggu, menunggu dan menunggu. Setengah jam kemudian baru bas muncul. Owh ! bas penuh padat dengan penumpang. Haa rasakan sendiri bersesak-sesak dengan penumpang pelbagai negara Nepal, Indonesia, Myammar dan Bangladesh. Pergghh ! mujur wangi. Okay la tu tada hal lah. Kemudian bayar tambang RM2 pada pemandu/konduktor bas. Selama 45 min berdiri tak bergerak-gerak akhirnya baru sampai di Little India Klang. Phews ! Jalan kaki lagi menuju ke Stesen keretapi Klang.

Dari Klang kami menaiki komuter ke KL Sentral. Masing-masing ku biarkan membeli tiket sendiri dengan harga seorang RM3.60 sehala.

gambar guna kamera Go Sport (ala2 GoPro)
Perjalanan dari Klang ke KL Sentral mengambil masa selama 1 jam. Selama itulah aku melayan perasaan, menikmati pemandangan di luar gerabak dan sekali sekala aku tidur. Tiket keretapi ke Arau sudah aku beli 2 minggu awal sebab bimbang habis. Maklumlah ini kan waktu cuti sekolah lagipun LIMA'15 pun akan bermula juga. Jadi kena rebut segera.
Aku sampai awal sekitar jam 8 malam di KL Sentral, aku perlu menunggu pengembara-pengembara yang lain sebelum jam 10 malam.
Harga tiket ke Arau :
Tempat duduk : RM42 (ekonomi)
Katil                : RM48 (atas)
                        : RM54 (bawah)

Kerana lewat beberapa jam, aku hanya dapat beli tiket untuk katil atas. Katil bawah semua sudah habis terjual secara 'online'. Lece ! Tapi tak mengapa, bagi budak-budak merasa. Kalau nak ikutkan aku dah puas rasa katil bawah.

gambar guna kamera Samsung Ace 3

HARI KEDUA

Jam 0730 sampai di Stesen Keretapi Arau yang baru. Besar dan cantik sekali. Ada ruang khas untuk perkhidmatan kereta sewa. Kemudahan yang lain ada di tingkat 2 seperti kaunter tiket, bilik menunggu (penghawa dingin), surau dan tandas juga di aras yang sama.


Pengembara-pengembara muda umur 10-18thn.
Kereta sewa dari stesen keretapi ke Kuala Perlis (vice versa) berharga RM26. Paling jimat jika kita mengembara berempat. Boleh kongsi bayar harga teksi. Kereta sewa tidak menggunakan meter. hanya teksi saja yg bermeter. Di Kedah, Perlis dan bandar-bandar kecil hanya ada kereta sewa dan mereka tertakluk dlm undang-undang SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat). Jika didapati mereka meletakkan harga yang tinggi melebihi harga yang ditetapkan oleh SPAD, maka pengguna/penumpang boleh terus buat aduan ke no talian seperti yang terpapar di dalam gambar di bawah ni. Berikan maklumat seperti : tarikh, waktu dan paling penting no plat kereta sewa tersebut. Dalam tempoh 3 hari (seperti yg diceritakan), SPAD akan mengambil tindakan terhadap pemilik kereta sewa tersebut.


Abang yang bawa kereta sewa ni bagus, ramah dan sangat bertolak ansur. Pasal tu la aku tahu maklumat ni. Maklumat lain yg diberitahu ialah :
Jarak 1km = RM1.25. 
Dari Arau ke Jeti Kuala Perlis mengikut kiraan google map 18.8km. (yg ni aku yg 'study' sebelum datang sini) 
Cas naik kereta sewa saja 50 sen seorang.
Jom kira : 18.8 x 1.25 = 23.50 
                 23.50 x 0.50 x 4 (orang) = 25.50
                 50 sen lagi tu anggap je la sebagai tips : RM26. 

Lebih kurang 15 minit, sampai sudah di Terminal Feri Kuala Perlis. Terus beli tiket di kaunter. Nampak macam lenggang tapi bila tanya, tiket yang masih ada jam 1300 petang. Ingat tiada orang, rupanya dah habis terjual. Cit. 2 jam menunggu oi. Lepak di masjid terapung la jawabnya.
Harga tiket feri masih dalam kadar yang sama RM18 (dewasa ) RM13 (kanak2)

Dua jam kemudian...
Here yee here yeee...'on aboard'

Tak banyak yang boleh dinikmati ketika di dalam feri. Dulu boleh ja kalau nak naik ke atas dek bila dalam pelayaran. Dah berangan dah, konon-konon nak bawak budak-budak semua naik dan ambil gambar pemandangan. Sekarang dah tak boleh pulak. Ada larangan tertulis di pintu belakang feri. Owh bosannye duduk menegak 90 darjah dalam feri.

Satu jam kemudian...
Aha. Sampai sudah di Terminal Feri Kuah.

 gambar gelap, menandakan matahari masih terpacak panas dan terik.
Aku tak berlengah lagi, memberi isyarat kepada 10 orang pengembara 'junior' termasuk pengembara 'senior'  untuk menuju ke jeti Marble. Kat jeti ni tak perlu beli tiket. Hanya berbincang dengan pemandu bot mahu sewa satu bot atau tidak.






Kak Ani yang berniaga di situ mengsyorkan supaya aku sewa 1 bot sebab ia lebih cepat. Pesan aku pulak, kalo nak sewa pastikan kumpulan berjumlah 12-15 org. Baru lah murah, seorang jatuh harga 4-5 ringgit.
1 kepala : RM5
Sewa     :  RM60
Kumpulan aku 11 orang, seorang bayar RM5.45. Lebih 45 sen. Ahaks. Pengembara 'budget' macam aku ni memang kena berkira. Walaubagaimana pun di sebabkan kekangan masa, tutup mata bayar ja RM60. Selesai. Kalau nak bayar ikut kepala, tunggu lah sampai bot tu penuh. Ho ho ho bila mau sampai daa. Masak oo.

Bagi yang nak menggunakan khidmat pergi/balik ke Pulau Tuba dengan perasaan riang ria tanpa pening kepala boleh lah menghubungi :
Mirul : 013 4295326
Tok Anjang : 019 4143583

Se eloknya isi lah perut di warung Kak Ani dulu. Kalau kenyang pun sila lah tapau makanan sebelum masuk ke Pulau Tuba sebab bimbang korang tak tau lokasi gerai makan kat area pulau. Masakan Kak Ani pun sedap, sebab aku dah rasa daging goreng kunyit dengan sotong masak kicap. Oii sotong dia fresh oo..
Qaiys makan sotong dengan mata-matanya sekali. 
Perjalanan seterusnya... Pulau Tuba. ~ wee



Perjalanan menaiki bot laju memang seronok. Hentakan bot di atas permukaan air membuatkan masing-masing hilang imbangan badan. Apa-pun aku gembira lihat mereka tersenyum riang. Leka dengan pemandangan keliling tak sedar bot sudah sampai di jeti Teluk Bujur. 10-15 minit ja.

Lokasi wajib ambil gambar 
Wah sekarang sudah banyak van sewa menunggu di jeti. Pilih saja dan nyatakan lokasi mana yang hendak dituju pada pemandunya. Tambang mengikut jarak. Kalau sampai di pekan kecil RM2, tapi aku minta hantar hingga ke Telok Puyoh jadi kena bayar RM3 seorang.


Memandangkan aku berurusan dengan Mirul sejak dari menaiki bot dan van, jadi aku terus minta dia uruskan tentang penyewaan motor. Setengah jam kemudian motor terus dihantar ke chalet. Sewa untuk sehari RM20. Whoa~ harga masih sama. Ngeh..ngeh.

Aku masih suka menginap di Telok Puyoh. Lokasinya jauh dari kebisingan, pemandangan cantik, tenang dan damai. Tiada rangkaian talian telefon ya, jadi jangan merungut. Dah bagitau dah ni.


Sewa semalam hanya RM60. Cuma ada 4 unit saja. Chalet ni milik Pak Anjang Man. Nak dapatkan nombor untuk dihubungi agak sukar sikit sebab yang menguruskannya jarang jumpa. Jika nak menginap kena 'walk-in' dan minta bantuan pemandu van yang menghantar. Itu pun bergantung pada rezeki. Kalau dah penuh. Carilah chalet lain.


Di sebelah chalet ni ada sebuah rumah rehat. Agak besar dan hiasan dalamannya memang menarik. Sewa satu malam RM180. Jika nak rasa ala-ala di Bali atau Phuket boleh lah.




Pemandangan di waktu malam
Aktiviti untuk hari pertama hanya menguruskan/mencari pengangkutan, penginapan dan makan. Cadangnya nak makan di kedai makan di chalet ni, tapi malangnya dah lama ia tak beroperasi disebabkan pemilik chalet tidak begitu sihat.


Maka bingung jugaklah, tapi Mirul cakap nanti dia minta mak dia masakkan. Selesai masalah 'lapar'. Kami ke kedai beli beras 5 kg dan minyak masak kemudian hantar ke rumah Mirul. Lauk pula kami beli dari nelayan. Minta mak Mirul masak untuk 3 kali makan dan kami bayar upah masak saja. Bertolak ansurlah dari segi upah, biar sama-sama gembira. ~win-win. Kalau berkira sangat tentang upah masak, boleh bawak dapur dan masak sendiri.


Ikan masak 3 rasa
sotong goreng tepung
Menjelang petang aku tengok budak-budak kampung datang ke sini mandi laut. Sambil mandi boleh cari 'bronok'. Aku terdengar budak-budak tu bersembang. Kemudian mula cabar mencabar sesama sendiri " Kalau kau tak terjun, kau pondan ! 1, 2, 3, lompat !.". Dah puas mandi, budak-budak tu pun balik sambil bawa bekas tong yang kosong. Aku saja bertanya, " aik. tadi kata nak cari bronok, dah dapat ke ? Budak tu jawab '' uihh.. payoh nak tangkap lah.". Ahaks. Cerdik sungguh cari alasan cakap kat mak nak cari bronok tapi mandi laut.





Malam tu, bila semua dah masuk tidur, aku senyap-senyap keluar bawak kamera dengan tripod menuju ke jeti. Konon nak ambik gambar ' milky way'. Baru nak belajar. Kira boleh la gambar cam ni kan untuk 'beginner'. Kalau korang nak tau, bintang banyak bertaburan di ruang angkasa pulau ni. Jelas dan terang, nampak berkelip-kelip ja dari jauh. Geram dan leka punya pasal aku masuk tidur jam 2 pagi.



 HARI KEDUA

Pagi-pagi lagi aku dah suruh semua bersiap. Aku nak bawak mendaki Bukit Licin. Di sebabkan motor aku sewa 3 buah ja, Maka kena hantar separuh-separuh dulu ke lokasi. Sementara menunggu pakat-pakatlah jalan kaki.


Singgah kedai isi minyak dulu.

minyak seliter Rm2.10

Suka betul anak-anak aku dapat bawak motor kat sini. Kalau kat KL jangan harap aku nak benarkan.

cuba baca tulisan yang kecik tu.. 
Pintu masuk ke Bukit Licin bermula di sini. Terletak bersebelahan sekolah menengah. Kalau dulu aku masuk ikut sekolah, tapi sekarang sekolah kan cuti, mana boleh masuk. 



Sekarang musim kemarau. 3 bulan hujan tak turun. Pokok-pokok di sini habis kering dan gugur daunnya. Lumut-lumut di batu pun turut kering. Lanskap di sini dah tak menarik. 



Aku perhatikan jejak dan tanda laluan banyak yang tak jelas. Bermakna bukit ni dah lama orang tak panjat. Banyak yang mengelirukan, pokok-pokok tumbang dan mati akibat dimakan anai-anai. Silap langkah memang boleh sesat. Di nasihatkan pada yang ingin mendaki bukit ini meminta bantuan orang kampung untuk menjadi penunjuk arah. Berilah saguhati sebagai upah.


kekabu bersepah-sepah kat sekitar trek
lalat paling besar aku pernah jumpa
Setelah hampir 2 jam mendaki termasuk sesat sekejap, akhirnya berjumpa juga titik 'pemandangan indah'.


lompat kejayaan satu kali ~ wee


Bila dah puas bergambar, semua pakat turun segera sebab bekalan air dan makanan dah habis. Perut pun mula rasa lapar.



Kedai wajib singgah bila turun dari mendaki Bukit Licin ialah  kedai Mak Long Nab. Kedai dia lebih kurang 200 meter dari simpang masuk BL. Kedai dia ada jual laksa dan cendol. Waktu panas terik macam ni memang sedap makan cendol. Lagi-lagi cendolnya buat sendiri. Pergh.





Ini adalah kuih SPERA. Bentuknya seperti kuih karipap tetapi intinya macam inti cucur badak. Kelapa + udang + cili. Ingat guna udang kering tapi Mak Long Nab ni guna udang hidup. Nah ! seketul udang ada dalam inti tu. Gila sedap. 4 biji RM1.


Pisang ni pulak namanya pisang 'kapal'. Kisahnya dulu-dulu pisang ni ditanam atas kapal buat makan orang yang belayar mengerjakan haji. Yang menariknya, pisang ni dia buat macam cucur badak. Kulit luar rasa cekodok tetapi dalam ada inti sama macam kuih spera dan dibentuk 4 segi. Aku lupa la namanya. Hanya pisang ni ja yang boleh buat kuih macam aku cerita tadi. Kalau teringin nak rasa boleh minta Mak Long Nab buatkan. Kena pesan awal-awal. Sebab dia buat atas permintaan.

Bila semua dah kenyang, kembara diteruskan. Meneroka Gua Wang Buluh. Gua yang aku tak sempat nak jelajah ketika pengembaraan pertama dulu.

Selamat membaca !

No comments:

Post a Comment