06022016 - 10022016
Pulau yang kurang terkenal di kalangan pelancong dan pengembara dari luar. Kedudukannya yang hampir dengan negeri Melaka menjadikan bahasa melayunya tidak ada beza dengan bahasa melayu Melaka dan Johor. Padahal ianya di dalam jajahan Indonesia. Menarik bukan ? Dan aku sangat teruja sehingga terkesima. Sedikit 'culture shocked ' kerana budayanya, bahasanya serta wajah-wajah masyarakatnya bercampur sehingga aku terkeliru.
Ia berada di Kecamatan Bengkalis, Provinsi Riau di kepulauan Sumatera. Sebuah pulau yang sedang membangun dengan perlahan. Segala infrastukturnya masih kurang terutama pada jalanraya yang masih tidak berturap dengan sempurna. Hanya menggunakan simen konkrit yang dibina sepanjang laluan utama yang menghubungkan ke setiap lokasi. Bekalan air bersihnya juga bergantung kepada air hujan dan air bawah tanah di mana tanah-tanah di situ jenis tanah gambut. Tidak hairanlah jika air yang disalurkan berwarna merah dan berbau seperti besi karat.
Penduduk asal Pulau Rupat adalah dari suku asli Akit. Istilah Akit dipanggil kerana suku asli ini dahulunya hidup di atas rakit. Kemudian datang orang-orang dari tanah Jawa dan Cina Tionghua terus menetap di situ dan ada yang berkahwin dengan suku asli Akit. Mereka hanya dapat dibezakan pada hiasan kain merah di pintu rumah. Jika tidak, perlu bertanya bangsa dan apa agamanya kerana bentuk muka, warna kulit dan bahasa sama seperti kita. Malah lagu-lagu yang mereka dengar juga dari irama berentak dangdut dan lagu-lagu dari Malaysia. Inilah serba sedikit pengenalan tentang pulau yang aku jelajah kali ini.
Hari Pertama.
Tiket Melaka - Dumai - Melaka : RM170
Caj terminal (Melaka) : RM20
Caj pelabuhan Dumai : RP10,000 (RM3)
Aku ke sini tidak seorang, tetapi bersama 18 orang rakan pengembara. 6 orang wanita dan selebihnya lelaki berserta basikal masing-masing. Keterujaan jelas terlihat pada wajah mereka. Aku ? hrm.. boleh la, boleh la..
Kebiasaan jika hendak menyeberang ke Sumatera, kami akan menaiki feri dari Port Klang sebab ia lebih dekat, tapi kali ini terpaksa menaiki dari Melaka. Alasan ; Perkhidmatan feri bercuti sempena Gong Xi Fa Cai. Eh ? boleh ka cam tu ? ~ boleh la, boleh la..
Perjalanan dari Melaka ke Dumai mengambil masa 4 jam. Seperti feri di Port Klang, setiap penumpang diberikan sebungkus makanan dan air sebagai alas perut sepanjang perjalanan. Bezanya di sini hanya seketul kek cawan dan 2 biji jelly. Kenyang ke ? ~ boleh la, boleh la.
Empat jam dalam feri mereput aku kalau duduk di dalam feri. Makanya aku keluar dan naik ke atas dek untuk mengambil udara laut. Panas pun panas lah, janji dapat lihat pemandangan laut lepas.
Empat jam kemudian...
Tiba di pelabuhan Dumai, perlu melalui pos kastam. Bukan beg saja yang mesti melalui pemeriksaan scan, basikal juga turut di scan. Waduh ! terpaksalah buka tayar depan dan angkat naik ke atas konveyer. Lecce !
Hamdi |
Hari Kedua
laluan ke jeti TPI Pattimura |
Sampai di jeti kecil ini, mata aku mencari-cari mana satu bot yang akan aku naiki. Yang besar itu kah ? atau yang kecil ini kah ? Speed bot kecil ini ? Gulps ! Setelah urusan harga caj tambang serta upah mengangkat naik basikal ke dalam bot dipersetujui antara kedua belah pihak, seramai 5 orang penumpang dan 5 buah basikal dimuatkan ke dalam bot kecil ini, sekaligus. Diulangi lagi, sekaligus ! Ada berani ? Tak de 'life jacket', tak ada pelampung hanya pelampung tayar motor ja ada. Basikal pun main ikat tepi hingga ada yang hampir melompat masuk ke dalam laut.
Aku ? boleh la, boleh la... Bila lagi nak merasa keperihan pendatang tanpa izin yang menggadai nyawa menyeberang selat Melaka menuju ke Semenanjung MY dengan hanya menaiki bot-bot kecil atau tongkang. Aku dah rasa dah. Luar biasa ngeri !
Setengah jam kemudian...
Bot laju tiba di jeti bot Kecamatan Rupat di Desa Batu Panjang. Satu persatu basikal diangkat naik ke atas pelantar jeti. Aha ! Satu cerita yang lucu, bilamana seorang bapak yang mengangkat naik basikal folding, tiba-tiba handlenya longgar, seakan macam patah. Barangkali bapak itu cuak kerana dia fikir dialah yang menyebabkan basikal itu patah. Abg Haris menerangkan bukan patah cuma basikal tu boleh dilipat. Lega bapak tu, kalau tak mana nak cari wang juta-juta nak ganti basikal mahal. Menurutnya, dia tak pernah lihat basikal yang boleh dilipat-lipat. Kali pertama basikal jenis itu berada di pulau itu. Tak mengapa bapak, tenang-tenang aja.
Dari Desa Batu Panjang ke Pantai Ketapang jarak perjalanannya sejauh 67km dengan bentuk jalannya 80% offroad.
Waduh, risau juga ni. Bimbang tayar terkoyak bila kena batu-batu kerikil yang tajam. Kena lebih berhati-hati dan fokus. Kayuhan aku tak laju, semampu otot kaki aku yang lemah. Dengan jalan yang macam tu, dengan menghadap angin yang kuat, aku memang mental. Rasa dalam hati menyumpah tak habis. Akan tetapi aku kayuh juga pelahan-lahan. Layankan ja, walau 'view' tak berapa nak ada. Boleh la, boleh la..
~ Sekali MERDEKA tetap MERDEKA. Sekali HONDA tetap HONDA ~
Mula- mula okey la..kayuh dengan senyum simpol. Lepas satu jam, bila cuaca makin panas. Dia dah jadi macam ni.
Masuk dua jam seterusnya bila mengadap jalan 'offroad', aku mulai tarik nafas panjang. Lepas tanah merah, jalan bersimen, lepas jalan simen jalan berpasir dan batu kerikil. Berulang-ulang mengadap jalan yang sebegitu sejauh 67km. Nak lagi nikmat bila tiupan angin kuat yang berterusan menolak-nolak aku serta basikal membuatkan kayuhan semakin berat sangat. Pancit ke tayar basikal aku ni ? tengok ok ja. Aku dah mula malas. Haish, bila nak sampai ni.
Keputusan drastik telah diambil, bila mana semua kawan-kawan berhenti jangan lepaskan peluang untuk melelapkan mata. Ya.. itu yang terbaik ! Asyiik.
aku, dia dan nenas. Zzz |
Tidur, bangun, kayuh basikal. Tidur lagi, bangun lagi, kayuh lagi. Tak sampai- sampai. Hampir senja baru la nampak pokok rhu dari kejauhan. Kayuhan makin dipercepatkankan, tapi rasa masih tak sampai-sampai. Hadoi.
Melintasi sebuah jambatan kecil di laluan menuju ke Pantai Ketapang, tersergam sebuah menara kecil berwarna merah jambu. Comel. Aku tertanya-tanya untuk apakah menara tinjau itu dibina. Nak melihat apa ? Aku halakan renungan mata ke seberang parit kecil, di sebalik pokok-pokok yang menjadi dinding menutup pandangan, aku nampak sesuatu yang berwarna kekuningan. Padi ke tu ? Biar betul. Buah padi sedang menguning, menunggu masa untuk dituai. Begitu harmoni sekali. Di kiri sawah bendang, di kanan ditanam pokok getah dan pokok kelapa sawit sebelah menyebelah. Nun di hujung jalan terletak pantainya. Mahu apa lagi ?
Hari semakin gelap, aku tak boleh berlama-lama di sini. Kayuhan diteruskan hingga ke hujung jalan. Makin kuat aku kayuh makin lambat mahu sampainya. Kuasa angin yang menderu meminta aku supaya turun dari basikal dan segera menuntun saja. Rakan- rakan yang lain sudah lama sampai. Aku terus memerhatikan lokasi chalet yang sesuai untuk berhenti berehat. Chalet yang berada berdekatan dengan tandas menjadi pilihan aku. Tanpa membuang masa aku parkir kan basikal di tepi tiang chalet serta memunggah turun segala beg.
Hammock dibuka dan terus diikat ke 2 penjuru tiang pagar chalet. Selesai semuanya aku terus masuk ke dalam hammock.
chalet yang paling basic, cuma bilik kosong saja |
Dari dalam hammock aku melihat rakan-rakan yang lain sibuk mengambil gambar pemandangan pantai dan laut. Ada juga yang menantikan saat matahari terbenam. Aku ? malas. Dengan angin kuat membadai pantai, ombak pun kelihatan ganas membuatkan aku hilang rasa. Nanti minta izin guna pakai saja pada mereka yang punya kamera canggeh. Ahaks. Lalala
Suasana malam tu agak gegak gempita dek kerana tiupan angin yang sangat laju dan kuat. Segala benda jika tidak diletakkan pemberat pasti terbang entah ke mana. Makan malam sudah diuruskan oleh Ija dengan penduduk tempatan. Bak kata Ija, makan malam bukan diserikan dengan angin sepoi-sepoi bahasa, tapi dengan angin tak faham-faham bahasa. Ribut nak oii.
Bila dah lapar, ribut ka hapa ka, perut kasi isi dulu. Lauk sambal ikan, sayur goreng dan telur dadar cukup nikmat rasanya. Sedap. Ribut sepak-sepak muka pun tak heran dah.
Hari ketiga
Perjalanan untuk hari ketiga tidak begitu jauh. Dari Pantai Ketapang ke Pantai Lapin, jaraknya lebih kurang 30km saja. Dengan keadaan jalan dan cuaca yang sama seperti hari sebelumnya, maka potensi untuk bergerak selaju kura-kura dan siput babi amat tinggi rasanya. Ahh wai boder wai boder. Kayuh saja. Oleh kerana tak jauh boleh lah menghayati kehidupan masyarakat di sini.
Dalam diam, Pak Latif, salah seorang rakan kembara ada membawa sedikit jajan untuk diberikan kepada anak-anak di pulau ini. Jajan yang berupa gula-gula lolipop dibahagi-bahagikan kepada kami untuk diberikan pada setiap anak-anak yang ditemui sepanjang jalan. Anak-anak ini amat pemalu dah sukar untuk menerima jajan, kecuali disuruh oleh ibu bapa mereka. Suka tengok raut wajah anak-anak ini yang hairan bila dapat gula-gula percuma.
Dua hari pengembaraan, kami berjumpa 2 buah rumah yang sedang meraikan kenduri perkahwinan. Pada awalnya ingatkan sambutan Tahun Baru Cina kerana pelaminnya sekali pandang seperti tulisan cina. Bila diteliti rupanya motif berbentuk bunga.
Sebuah rumah lagi masa aku lalu, mereka sedang meraikan acara memotong kek. Berhenti sekejap untuk melihat bagaimana adatnya. Lebih kurang sama dengan cara kita di MY. Selepas itu aku terus beredar meneruskan kayuhan. Rezeki aku cuma dapat lihat pembukaan majlis saja, tapi rezeki rakan-rakan yang lain dapat tengok majlis joget lambak.
Ketika berhenti makan di sebuah rumah makan, aku ada bertanya kepada seorang kakak tentang adat budaya masyarakat di sini. Dia menceritakan bahawa masyarakat di Pulau Rupat masih mengamalkan adat ritual mandi Safar. Mereka menyambutnya tak ubah seperti menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha. Yang jauh akan pulang beramai-ramai untuk meraikan pesta itu pada minggu ke empat bulan Safar, yang mesti jatuh pada hari Rabu.
Teringin benar aku nak tengok pesta mandi Safar ni. Dulu-dulu aruah mak aku pernah la bercerita tentang mandi Safar, dikuatkan lagi dengan gambar-gambar lama aruah masa muda-muda dulu. Meriah. Masa pesta mandi Safar juga adalah saat mencari jodoh bagi bujang dan dara. Dang !
------------
Setiap perjalanan yang mempunyai ramai peserta tidak boleh tidak pasti akan berlakunya kesilapan menerima maklumat. Lebih-lebih lagi di kawasan yang begini. Info awal memang sudah sedia maklum, tapi bila sudah bercampur dengan sembang kosong dan dengan keadaan yang terpisah jauh, maka maklumat asal sudah menjadi mengelirukan. Kononnya pilihan terbaru berkhemah di Pantai Lapin, sedangkan perancangan asal adalah di Pantai Teluk Rhu.
Aku berada bersama kumpulan awal yang tiba. Berhenti menunggu kumpulan belakang selama hampir 2 jam. Dek kerana info baru diterima mengatakan lokasi diubah ke pantai Lapin, maka kami pun menuju masuk ke simpang pantai Lapin. Suasana persekitaran bagus, tempat berkhemah pun luas. Tandas dan surau bersih dan tak jauh dari kawasan perkhemahan, persetujuan bersama diambil untuk bermalam di situ saja.
Hampir menjelang petang kumpulan yang akhir masih tidak muncul. Whatapp dan panggilan talipon dibuat oleh Kak Ann kerana bimbang dan risau. Rupanya kumpulan akhir telah melintasi pantai Lapin dan sedang menuju ke pantai Teluk Rhu. Kecoh jugak la sekejap, tapi bincang semula dan persetujuan diambil mengekalkan lokasi masing-masing. Sebenarnya tidaklah jauh mana pun hanya dalam lingkungan tak sampai 2 km. Yang di depan tak akan berpatah balik, dan yang dah pasang khemah/sewa chalet tak akan buka khemah dan sambung kayuh semula. Wai border. Jangan ribut-ribut dong. Bertenang saja. Nanti boleh berbagi cerita.
Cadangnya nak makan besar secara berjamaah, disebabkan terpisah terpaksalah beli makanan sendiri. Aku minta tolong Thor belikan nasi berlaukkan ikan parang bakar. Risau gak kalau harganya mahal, tapi alhamdulillah, murah sangat. Nasi (2 org makan) + sayur kobis goreng + kicap bercili + limau + sambal belacan + kuah lemak cili api + ikan parang bakar separuh, semuanya berharga 35,000rp = RM11. Ikan ni 4 orang makan pun mengah.
Pantai Lapin ni sememangnya tempat wisata yang terkenal, kemudahan asasnya semua lengkap. Surau, tandas, taman permainan kanak- kanak, pentas untuk acara dan kedai makan ada disediakan. Apa yang menarik, tempat ini bukan dibawah pengurusan pihak pemerintah. Ia diuruskan oleh sukarelawan yang terdiri dari guru-guru sekolah yang akan datang membersihkan kawasan persekitaran setiap hari. Dari mengutip sampah hingga memasang lampu di kawasan perkhemahan. Tiada bayaran dikenakan. Atas dasar itu, Abang Haris ada memberi sedikit saguhati atas kerja-kerja murni mereka itu.
Kalau nak kata pantai ni cantik sangat tu tidak lah, warna airnya, pasang surut sama seperti di Pantai Morib. Mungkin kerana ada permainan seperti dalam gambar di atas dan juga aktiviti menunggang kuda yang menjadi tarikan kepada masyarakat setempat dan pengunjung dari Dumai. Aku kat MY pun tak pernah naik kuda lagi tau.
Setelah membersihkan diri dan memasang khemah, kami mengambil peluang untuk menantikan saat matahari terbenam. Berbagai aksi dibuat untuk mendapatkan gambar yang menarik. Oleh kerana ini blog aku, maka gambar aku je la yang akan ditepek di sini. Gagaga.
Kumpulan yang terpisah bergabung kembali di rumah makan Pantai Teluk Rhu. Masing- masing bercerita kisah yang terjadi. Sementara menikmati hidangan sarapan pagi, perjalanan berikutnya disusun semula mengikut jadual feri ke Dumai.
Berkayuh dalam satu kumpulan mengundang perhatian penduduk tempatan. Asal nampak keluarga Cina Tionghua makan di anjung rumah, ada saja di antara rakan-rakan akan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada mereka. Jadi riuh rendah gelak ketawa sepanjang jalan menuju ke jeti feri desa Tanjung Medang dengan telatah masing-masing. Seumpama pulau tu kami yang punya. Ada juga yang berhajat untuk bergambar bersama. Layankan saja.
Hari-hari terakhir banyak pula pemandangan menarik yang dapat dilihat. Ada orang sedang menganyam batang buloh untuk dibuat dinding. Kehidupan mereka ringkas dan sederhana saja. Keperluan hidup semua berasaskan alam semulajadi.
Ketika aku berselisih anak kecil ni bersama ibunya aku terpandangkan rambutnya yang secuit. Lucu. Oleh kerana kamera hp kehabisan bateri, aku hanya rakamkan dalam ingatan. Tak sangka ada juga rakan yang sempat mengambil gambar ini, dapatlah aku guna pakai untuk berkongsi cerita bergambar. Kembar versi Indonesia Upin dan Ipin.
Dengan masa yang banyak, kami terus beli tiket feri siap-siap. Tiket yang berharga RP105,000 = RM35 sehala.
Hampir jam 3 petang semua basikal diarahkan untuk dibawa turun ke pelantar feri. Setelah basikal dan bag dimuat naik ke atas feri, perjalanan pun dimulakan.
Ruang dalam feri agak sempit. Aku ambil keputusan untuk duduk di bahagian belakang berhampiran dengan enjin dan tandas. Terasa sesak nafas kalau duduk di ruang penumpang.
Feri ini akan berhenti di beberapa jeti yang tertentu untuk mengambil penumpang. Antaranya jeti Titi Akar, Pasir Panjang dan beberapa jeti kecil yang aku dah lupa namanya. Setiap kali berhenti, penumpang makin bertambah hingga padat ruang dalam feri tu. Setiap kali berhenti awak-awak yang menjaga bahagian enjin akan memberitahu aku nama tempat. Lokasi henti ni semua kebanyakkan penduduknya dari suku asli Akit dan Cina Akit. Khabarnya masih ada suku asli Akit di kawasan pendalaman di Titi Akar dan Kubu. Kita tak punya masa untuk menjelajah ke setiap ceruk pulau ni.
Dua jam kemudian...
Feri memasuki laluan ke pengkalan Pattimura, tetapi ia terus menyelusuri hingga ke tengah pekan Dumai. Sepanjang laluan sungai yang sempit itu, aku melihat banyak kapal-kapal nelayan yang besar-besar tersusun di pinggir sungai. Diulangi, BANYAK ! Berkerut dahi aku memikirkan bagaimana kapal yang sebesar itu mampu dibawa ke sungai yang sempit. Memang tempat strategik untuk menyembunyikan kapal.
Kelajuan feri mulai perlahan kerana sudah hampir pada pengkalan. Di bawah jambatan aku nampak ada orang membina rumah di situ. Aku lihat mereka bahagia. Aku lihat mereka tertawa dan senang hatinya. Yang pastinya mereka terpaksa. Keterpaksaan membuatkan mereka menerima seadanya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan aku.., tak mampu membalas senyuman mereka apalagi untuk terus bertentang mata. Tiada kata-kata lagi. Noktah.
Keluar dari jeti feri, tekanan sudah terasa kerana aliran trafik sentiasa sesak. Kena ada kemahiran berani mati kalau nak melintas jalan atau membuat pusingan U. Kalau ada kak Ann sudah cukup untuk membuatkan semua kereta berhenti dan memperlahankan kenderaan bila dengar suaranya. Amannn..
Sebelum pulang ke hotel, ada yang berhajat untuk membeli sesuatu dari Dumai. Aku yang sudah ditarik nikmat 'shopping' hanya menunggu di luar kedai sambil menikmati 'streetfood'.
Kali ni aku nak cerita tentang makanan yang tak ada di MY.
'JASUKE' singkatan dari JAgung+ SUsu + KEju. Wallah wallahh ! orang Indonesia sangat kreatif. Aku ingat apa benda la jasuke tu, ingat makanan Jepun. Rupanya jagung rebus + butter macam di MY. Adunannya jagung rebus dicampur susu dan digaul rata, kemudian masukkan dalam cawan. Keju diparut atasnya, akhir sekali dituang susu coklat. Harganya 10,000rp = RM3
.
Tak pernah dijangka, sambutan dari bumi Sumatera cukup mesra. Dua kali kami dijemput untuk 'nongkrong' sambil mendengar lagu-lagu yang dipasang dari lori burger kawan Hamdi. Siap belanja air dan dibentangkan tikar untuk duduk bersantai di tepi jalan. Layanan rakan-rakan dari Dumai memang terbaik. Mudah-mudahan silaturrahim akan terus tersimpul kukuh. In sha allah.
Makanan sarapan pagi yang popular disini adalah lontong, lontong, lontong dan lontong. Mana-kedai mesti jual menu ni. Lagi satu MISO singkatan dari MI SOp.
Hari- hari menu ni buat aku erk. Jadi aku olah sarapan pagi aku menjadi soto. Nasi impit + ayam + sup atau nasi impit + kuah kacang. Kuih muih nya ada dijual cuma jarang jumpa. Yang aku perasan Hamdi ada beli kuih muih berupa karipap inti mee hoon, kuih samosa inti kentang tetapi kulitnya disalut dengan serbuk roti mcm warna nugget. Ada satu kuih Hamdi makan bersulamkan cili api. Entah apalah namanya dan bagaimana rasanya.
'Makanan jalanan' atau 'streetfood' yang diperkenalkan oleh Ija pada aku ialah roti bakar Bandung. Aku mesti rasa. Kalau setakat makanan yang selalu jumpa di MY, aku tak akan makan kecuali terdesak. Koh koh koh.
Di Dumai, aku diperkenalkan dengan jus terung belanda. Memang aku tak pernah tau dan rasa seumur hidup. Nah, harus dirasa. Rasanya ada sedikit macam rasa strawberry tapi tidak terlalu masam. Kecap-kecap masam manis. Eh sedap la pulak. Gambar aku ambik dari internet je la.
Bila mengembara dengan kawan-kawan, kita akan bertukar-tukar cerita. Pagi ni, kau sarapan apa ? kau pulak makan apa ? Dari situ aku dapat mengetahui info tentang makanan yang ada di sini. Ini bubur Kampiun. Walaupun aku tak makan tapi seperti yang diceritakan ianya manis. Bebola yang warna ungu tu rasanya seperti keladi. Yang putih tu tepung beras+ santan, mungkin.
Apalagi makanan yang aku makan kat sini ya ? Oo sate padang. Sate ni ada dua pilihan kuahnya. Satu kuah kacang dan satu lagi kuah yang dibuat dari tepung. Kedua-duanya aku dah rasa, ternyata tekak aku lebih suka kepada sate kuah kacang seperti di Tanjung Balai, Pulau Karimun. Ahaks, maaf, tertunjuk pula makanan dari Kabupaten lain. 555
Sebenarnya banyak makanan unik yang telah diubah suai dan dicipta oleh masyarakat di sini. Salah satunya ialah pisang karamel. Hati rasa nak beli, tapi masa tu perut dah kenyang tahap senak, Akhirnya pandang dari jauh saja. Nampak macam sedap. Seperti pisangnya dibungkus dalam kulit popia dan digoreng garing. Agaknya lah.Haish ! terkenang-kenang pulak.
Hari ke lima
Hari akhir pengembaraan ini, aku pulang dengan kenangan, pulang dengan pengajaran dan keinsafan.
Setiap perjalanan sudah tentu ada kisah suka dan duka. Tidak semua perjalanan itu sentiasa molek belaka. Setiap tempat/negara tidak dibina untuk keselesaan kita. Bersyukurlah kerana kita sebagai pengembara/pelancong punya pilihan untuk pergi dan tidak terpaksa untuk kekal hidup di sana. Cuba letakkan diri kita ditempat mereka, yang harus menerima apa yang ada. Harus terima setiap hari, mungkin sepanjang hidup mereka ; mandi, membasuh, memasak dengan air yang berbau tanah. Kita hanya datang sekejap dan mampu lari pulang. Mereka ? Hu-hu.
Sejujurnya aku tak sanggup. Cukuplah aku merasa selama 2 hari, cukuplah. Aku belajar menerima perbezaan. Aku belajar ketidakcukupan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Aku belajar untuk memandang dengan senyuman pada tetamu asing.
Di satu sisi mereka nampak kurang, tetapi di sisi yang lain mereka sebenarnya lebih kuat semangatnya dan berkemahiran tinggi dari kita. Makanya aku jangan sombong !
(uhf, mata masuk abuk la.)
-------
Terima kasih buat gogo, Ija Zahri dan suaminya Wak Rahim kerana menganjurkan pengembaraan ini.
Terima kasih buat rakan kayuhan : King, Wak Jan, Kak Ann,Wani, Adi, Pak Latif, Thorique, Sara, Katt, Jai, Kyrul, Abg Haris, Hamdi, Singh, Sharil dan Shukri kerana bersama-sama menghadapi apa saja rintangan bersama-sama selama 5 hari dengan tabah.
Mohon ampun sekira ada tuturkata dan perbuatan yang tersakiti di hati masing-masing.
Mohon diizinkan juga untuk gunapakai gambar-gambar menarik untuk dimuat naik ke dalam blog ini.
Semoga diberikan rezeki umur yang panjang serta kesihatan yang baik agar dapat mengembara bersama-sama lagi. Jangan serik dan jangan putus asa. Teruskan mengembara untuk membentuk peribadi dan jati diri.
* penghasilan video kredit pada Abg Haris.
S A L A M K E M B A R A
No comments:
Post a Comment