Wednesday, September 7, 2016

Koh Jam @ Koh Pu ( Pulau Ketam ) Thailand

Kau tahu kawan,
Dah lama aku tidak ber 'backpacking'. Rindunya lahai.
Untuk kali ini aku diminta oleh seorang sahabat dan kakak aku sendiri untuk membawa mereka mengembara. Hrm ke mana ke kita ya ?
Mula mencari lokasi.

Krik ! krik !

Aku ni specis tak suka pergi ke lokasi yang  terlalu ramai orang. Rimas. Jika tempat tu aku dah pernah pergi, aku tak kan pergi lagi dan lagi. KECUALI lokasi tu ada 'sentimental value'.
Cari punya cari, akhirnya aku memilih untuk ke pulau di perairan Andaman dan kurang terkenal.
Seperti sebelum ni, aku memilih ke Koh Phi Phi berbanding ke Phuket. Aku tak minat nak ke Koh Samoi, lebih tertarik pada Koh Pha Ngan. Ramai yang suka ke Pulau Langkawi tapi aku memilih ke Pulau Tuba. Orang berebut-rebut nak ke Ao nang, tapi aku nak buka jalan cerita kembara terbaru aku ke Koh Jam.

Hampir sebulan jugaklah aku mencari maklumat. Semua maklumat aku tulis dan aku cetak macam dalam gambar ni. Ini cara tradisional yang tok guru aku ajar, hingga kini aku masih tetap ikut aturannya. Kenapa ejaannya Koh Jum tapi orang tempatan sebut Koh Jam ? Alahh.. biasalah slang lidah mat saleh.


Hari Pertama
Selasa, 30/8/2016

Di hari kejadian, kami berempat memulakan perjalanan dari KL Sentral menuju Padang Besar. Harga tiket ETS sehala RM80 x 2 = RM160. Aku beli siap-siap tiket untuk balik sekali.


Oo seronok ya nak ke luar negara.


Hari biasa koc banyak kosong. Jadi satu koc ni hanya kami berempat dan seorang 'uncle' yang juga mengembara.



Perjalanan mengambil masa selama 5 jam 1/2. Hah ! mereputlah  dalam koc ya. Tidur duduk la semua. Masa ni memang rindu sangat dengan perkhidmatan keretapi Senandung Malam/ Senandung Langkawi. Lebih 12 jam dalam keretapi pun aku rela sebab boleh tidur golek-golek atas katil dua tingkat.


Kemudahan yang ada di dalam train ETS ini di antaranya ialah ruang solat. Ia bersebelahan dengan kantin di koc C. Telekung dan tempat berwuduk juga disediakan. Makanya tiada alasan untuk tidak menunaikan solat sepanjang perjalanan ya.
Tiba di Padang Besar jam sudah menunjukkan pukul 15:15. Kalau nak terus ke Krabi memang tak sempat, mesti sampai lewat malam. Memang ngam jadual yang aku reka, di mana kami perlu bermalam di Hatyai sahaja.


Jika mahu menaiki 'shuttle train' ke Hatyai, boleh terus membeli tiket di kaunter di tingkat atas. Tapi aku saja nak mendera, Jom kita naik bas awam. Kata nak bajet, kata nak 'backpack'. Apalagi moh jalan kaki la.


Keluar dari stesen keretapi, terus melintas melalui jambatan yang panjang menuju ke seberang pintu sempadan.


 Lapor diri di kaunter kastam Malaysia dulu.


 Jalan kaki lagi.


Proses imigrasi di bahagian Thailand pula. Mintak kertas putih (arrival/depature card) pada pegawai kastam  Thailand, ianya percuma. Kemudian 'arahkan' mereka semua isi maklumat sendiri.
Pasal tu aku suruh bawa pen. Esok-esok boleh masuk Siam sendiri.
Owh lupa, selit RM1 dalam passport tu ya. Niatkan sedekah. Mudah mudahan perjalanan dalam keadaan baik-baik saja.


Duit ringgit belum tukar lagi. Cadang nak tukar di KL Sentral, tapi kedai 'money changer' jam 09:00 belum beroperasi lagi. Haish. Tak pe, nanti dah masuk Siam cari la kedai tukaran wang. Kompiden ja aku, konon.


Keluar saja dari pagar sempadan, mata melilau mencari kedai 'money changer'. Ada ke kat sini ? Kalau tak tukar, macamana nak naik bas/van/tuk tuk ? Aku masuk ke pejabat pos dengan tujuan untuk bertanya lokasi kedai tukaran wang asing. Nah ! khabar gembira buat aku bila pekerja pos bagitahu yang di situ juga boleh menukar wang. Lega. Ka ching !


Setelah wang ringgit berjaya ditukar ke nilai baht, masing-masing menyerahkan 3000baht = RM350 kepada seorang 'banker'. Duit tersebut akan digunakan untuk membayar kos pengangkutan, penginapan dan makan selama berada di Thailand. Oke selesai, dah tak pening nak fikir pasal duit.

Dari Pejabat Pos Padang Besar ke tempat penginapan, kami menaiki van putih dengan harga tambang hanya 50baht = RM5.80 dengan jarak sejauh 55km. Untuk hari pertama ni, memang terpaksa bermalam di Hatyai. Jadi tempat penginapan yang biasa aku bermalam adalah di Cathay Guesthouse. Dulu harganya cuma 250bath = RM25, tapi sekarang bila nilai ringgit sudah jatuh nilai 300 baht = RM35.~ Ohoi


Sebab apa aku suka menginap di sini, satunya sebab dekat dengan stesyen keretapi, tempat makan halal dekat melambak-lambak dan yang paling best adalah pihak CGH tak pegang passport kita. Dia cuma ambil maklumat pada passport kita kemudian dipulangkan semula. Bayar harga bilik dan dapat kunci. Selesai. Wifi percuma, laju lak tu.


Pada orang lain, aku pasti memang tak selesa tidur di hotel yang macam ni, tapi bagi aku, ini pun sudah mewah. Asal ada bilik air, tandas, katil dan kipas, aku lena.


Lagipun nak tidur untuk beberapa jam saja, pada aku cukup la begini. Harga mampu bayar. 


Tengok luas biliknya, boleh letak satu katil lagi tu.


Yang penting tandasnya bersih, ada 'shower', tuala dan sabun. Tengok, tinggi betul maqam mangkuk tandas tu kan ? Ja ja ja.


Lepas solat Maghrib dan berehat, aku ajak keluar makan kat gerai tepi jalan depan Lee Garden Plaza. Tempat  makan yang sempoi dan sedap. Masing-masing pesan menu yang berlainan kemudian bertukar-tukar rasa. Lepas satu, satu menu. Yummeh ! Dah kenyang, si banker akan bayar harga makanan. Wuihh ! rasa macam orang belanja makan ja. Kih kih kih.. Nampak tak permainan minda ?



Teh tarik Thailand memang tak boleh tanding, dia punya kesedapan, likat dan lekat. Tak kedekut susu langsung. Standard 'potong kaki' punya lah. Kakak aku dah teringat-ingat akan kenikmatan teh tarik ni. Ayok ! Tak tahu, kena datang lagi...


Aku jumpa 'kaolam', beli la 2 batang, pulut hitam dan pulut biasa. Mengidam betul aku dengan benda alah ni. Kali pertama aku jumpa dan cuba makan masa kembara aku dari Cambodia nak ke Laos. Ketika tu makanan halal payah nak jumpa, dalam bag aku cuma ada serunding daging dengan roti perancis yang keras bedengkang macam batu tu ja. Perut lapar belum sarapan apa-apa pun, bila nampak benda ni, cuba tanya apa benda tu. Bila ditunjuk isinya hanya pulut, aku pun terus beli. Cicah makan dengan serunding daging memang sedap. Teringat-ingat sampai sekarang.

                            

Tak ada serunding daging, makan dengan sambal hitam pun enak juga.


Bila perut dah kenyang, aku heret kakak aku jalan- jalan tengok kehidupan malam di Hatyai pulak. Dah macam kat Malaysia ja. Kiri kanan semua orang dari Malaysia. Hik hik. Di sebabkan hujan renyai malam tu, hajat nak meronda lama-lama dibatalkan serta merta. Jom balik tidur.


Ada dua cara jika hendak ke Krabi menggunakan pengangkutan awam. Naik 'flight' tak masuk dalam ini cerita ok.

Menggunakan perkhidmatan bas :
- naik tuk-tuk ke stesyen bas ( tambang 20baht = RM2.30), mencari-cari kaunter tiket ke Krabi, tengok jadual berlepas selari dengan jadual kita atau tidak. Kalau ok beli dan terus jalan. Kalau tidak, kena balik ke hotel semula ( 20baht ) dan pergi keesokan harinya ( 20baht lagi)
Harga tiket bas dalam anggaran 220-250 baht.

Menggunakan perkhidmatan van putih (shuttle-van) :
- turun tangga Cathay Guesthouse terus booking Hatyai ke Krabi dengan harga 250baht = RM29 seorang.

Aku pilih yang senang ja. Banker, sila bayar ya.

Van : 50b + 250 b
Hotel : 150 baht
Makan : 100 baht

Total untuk hari pertama bermula dari Padang Besar, seorang : 550baht = RM64.50

Hari kedua
Rabu, 31/8/2016

Pagi-pagi lagi semua dah pakat bangun. Jam 0700 dah siap. Mungkin kerana masih keliru dengan waktu. Van datang jam 0900 waktu Thai, maknanya waktu MY jam 1000. . Sementara menunggu ke jam 0900, aku ajak pergi jalan-jalan sekitar stesen keretapi.


Dengan bag sebesar almari baju, mereka terpaksa ikut ke mana saja aku pergi. Ha ha ha. Bukan apa, aku tak nak dorang jadi macam aku masa mula-mula belajar kembara backpack. Kerana dek bimbang sesat dan tak tahu jalan pulang, aku rela mereput kat stesen keretapi berjam-jam. Masa tu mana ada talipon pintar nak tengok map atau waze. Keluar dari kawasan keretapi pun aku takut. Tercongok la kat dalam tu sampai keretapi malam ke Bangkok tiba. Uhf, rugi.




Sempat jugak lah dengar dan berdiri hormat lagu kebangsaan negara Thailand yang dimainkan setiap hari jam 0800. Tengok, penjual belon pun berhenti ketika lagu berkumandang.


Sebelum jalan jauh, elok isi perut dulu. Kedai makan ni betul-betul depan stesen keretapi. Ada 2 kedai muslim sebelah menyebelah. Aku pilih makanan yang unik ja. Telur dadar dikukus dalam daun pisang. Di bawah telur tu dilapikkan dengan daun pudina. Hrm, kreatif betul. Sedap pulak tu. Ulam, sambal belacan, air kosong diberi percuma. Kebiasaan kedai makan di Thailand akan sediakan ulam-ulaman secara percuma. Ulang sekali lagi, PERCUMA ya.


Tinggal beberapa minit saja lagi van akan sampai. Duduk la menunggu depan GH sambil cari wifi percuma.


Cathay GH menjadi lokasi hentian kedua, van masih kosong. Selama satu jam, kami  dapat perkhidmatan 'city tour' sekitar bandar Hatyai dengan percuma. Kerana van akan mengambil penumpang di setiap hotel atau agensi pelancongan. Bila dah penuh baru van memulakan perjalanan.


Hrm, sukar dimengertikan. Kepercayaan dan akidah.


Pemandangan ini akan sentiasa kita lihat di Thailand. Lori penuh dengan muatan durian yang disusun kemas. Bukan durian sahaja malah kayu getah, buah kelapa, nenas atau apa saja benda, ianya akan disusun satu persatu.


Sepanjang perjalanan kelihatan keadaan lebuhraya mereka sungguh bersih. Menghampiri Trang, pemandu van mencuit dan menyuruh aku mengambil gambar pada satu kawasan perlancongan yang baru dibina. ~ Andaman Gateaway. Banyak betul patung menyerupai gajah dibina untuk menjadi tarikan pelancong. Pemerintah Thailand ni bersungguh-sungguh menjadikan sektor pelancongan sebagai hasil pendapatan negara mereka.


Alah, tak sempat nak fokus, dapat gambar separuh ja.


Perjalanan dari Hatyai ke Krabi akan berhenti rehat di kawasan rehat di Trang. Di situ ada bilik solat, tandas dan ruang makan. Kami diberikan selama 20 minit untuk melonggarkan otot-otot yang tegang ketika di dalam van.


Tu dia, dah nampak dah papan tanda arah ke Koh Jam. Dalam perancangan, aku nak berhenti di Nue Klong. Dari situ boleh terus naik tuk-tuk menuju ke jeti Laem Kruat. Tapi pemandu van tak bagi turun. Lokasi henti hanya di Krabi. Haish lecce. 


Untuk pergi ke jeti Laem Kruat, Kita kena naik tuk-tuk yang warna biru ni. Tambang dari Krabi hingga ke jeti berharga 100baht sejauh 38km.



Pemandu van memberhentikan kami di sebuah kedai agen pelancongan. Huh. patut lah, ada agenda rupanya. Oke lah oke la, masing-masing dah tunjuk muka letih. Takkan aku nak suruh dorang jalan kaki lagi untuk mencari tuk-tuk kaler biru tu, nak kena sumpah ?  Setelah berbincang, kata sepakat diambil untuk menggunakan khidmat agen ni kerana tak mahu membuang lebih banyak masa.


Sessi tawar menawar pun bermula. Siap kira duit depan agen tu, konon-konon nak tunjukkan yang duit kami memang tak cukup. Ahaks, menjadi jugak taktik tu. Akhirnya dia bersetuju beri kami harga diskaun :
230 baht = RM27 seorang meliputi pengangkutan dari Krabi- jeti- Koh Jam.
Eleh, itu kira dia masih dapat untung jugak. Macam la aku tak tau, tambang tuk-tuk dari Krabi ke jeti 100baht. Tambang bot pun 100baht. Ada lebih 30baht. Lagi mau mintak 250baht = RM29. Cit !

500 baht = RM58 seorang  dari Koh Jam - jeti - Krabi + Hatyai
Ni pun sama dia masih dapat untung 20baht = RM2.30


Tengok, betapa berkira, kedekut dan bakhilnya aku kalau dalam mode backpacker. Gagaga. Terima kasih pada 'converter' kerana memudahkan cara mengira. Cepat dan tepat.


Ini lah kenderaan yang akan kami naik menuju ke jeti. Pemandunya dikatakan orang kaya Koh Jam. Namanya Mr. Kordet dan seorang muslim.



Memiliki sebuah resort yang bernama Golden Pearl Resort. Aku dengar je nama resort terus ternganga. Harga satu malam 1,400 baht dan ke atas. 'Kensel' la nak menginap kat situ. Tahap kasta aku cuma dalam lingkungan 500 baht dan ke bawah.




Dapat tahu hal ni pun bila Mr. Det berhenti di rumahnya untuk menukar kereta dari lori pick up kepada van commuter VIP. Di garaj bukan ada sebuah, tapi 3 buah van commuter yang sama. Tengok rumah orang kaya ni, biasa-biasa ja kan ?  Rumah orang yang acah-acah kaya kat MY lagi besar dan cantik dari ni.



Walau pun Mr. Det ada resort, beliau langsung tak promosi supaya kami menginap di resortnya. Dia cuma tanya malam nanti menginap di mana ? Aku cuma jawab Bo Daeng. Beliau cuma angguk-anggukkan kepala dan senyum.




Berbalik semula pada perjalanan ke jeti, tiba- tiba Mr Det memberhentikan lorinya. Katanya; ' you can go to the market for 20 minutes before boat depature." Wah, dapat peluang melihat-lihat pasar harian lah. Namanya 'Thentuai market'. Berbunga- bunga hati aku bila masuk ke dalam pasar.


Bukan apa, terkena kejutan budaya sekejap. Terkesima bila tengok pasarnya di dalam kebun kelapa sawit. Semua masyarakatnya muslim. Sama warna kulit, sama pakaian tetapi berbeza bahasa dan budaya. Kuih muih juga masih tradisional yang berasaskan tepung pulut dan tepung beras. Macam-macam warna. Rasa macam nak pergi lagi ja.


Apam balik yang dimasak menggunakan dapur arang. Intinya juga berbeza. Menggunakan kelapa muda yang diparut kasar sebagai salah satu intinya. Ada kaya, kacang tanah dan beberapa jenis inti lagi. Pilih ja nak campur dengan yang mana. Menarik sungguh kepelbagaian makanan yang mereka cipta.



Saat berkomunikasi pada mulanya macam itik dan kanggaroo, mujur ada seorang gadis yang mahir berbahasa Inggeris. Namanya Yohari. Apalagi macam-macam soalan kami ajukan. Setiap kuih yang dijual kami tanyakan nama dan rasanya.



Yang ni tak sempat nak jenguk dan beli. Macam-macam pilihan. Tak pe lain kali kita cuba.


Tahukah anda apakah benda ini ? Sekali pandang macam tauge kasar. Bila diamati, dibelek dan dihidu, rupanya eh eh petai ke ? Perghh ! Petai yang dah tumbuh akar memang dah-syat lah penangannya. Masak apa sedap ya ?


Makanan dan buah- buahan di sini sangat murah. Buah mata kucing sekilo cuma 40baht sahaja. Buah itu ja yang kami beli sepanjang berada di sini. Masuk Padang Besar nah sekilo RM7 dia hentam. Tak patut..


 Ikan salai.



Rasanya ini lauk yang dah dimasak. Kuantitinya pun banyak. Tomyam, kari hijau, gulai lemak dan bla bla bla...berapa la harga sebungkus tu agaknya.


 Muka aku dah sama macam orang tempatan kan ?


Ini pulak apa ya ? Aku tanyakan namanya pada Mr. Det. Katanya ; "Hoi supitai".
Hah ? bunyinya macam hospital ja. Hek hek hek.


Kenderaan yang banyak digunakan di sini. Boleh naik ramai-ramai. Pergi pasar sama-sama. Rukun dan damai ja.


Mr Det beri kami masa  masa 20 minit ja tapi kami leka sampai terlepas bot pukul 1600.
Kan dah kelam kabut. Padan muka.


Dari simpang pekan Nue Khlong ( sebutannya Nuwe Klong ) ke jeti Leam Kruat sejauh 27km. Jalan rayanya cantik dan bersih. Sangat sesuai kalau nak mengembara dengan basikal.




Sementara menunggu waktu 1730 untuk menaiki bot, kami minta Mr. Det berhenti di masjid dulu sebab masing-masing belum solat. Tak susah nak cari masjid kerana sepanjang laluan masuk ke Laem Kruat memang penempatan orang Islam. 




Selesaikan kewajipan dulu, kemudian baru seronok nak berjimba-jimba. Tak gitu ?

Oke la, cerita akan disambung ke bahagian ke- 2. Tak banyak cerita yang menarik sepanjang perjalanan ke Koh Jam. Tepek gambar je la ya.

Bersambung...klik di sini

No comments:

Post a Comment