Tuesday, January 10, 2017

Kayuhan Lenggang Kangkung melawat keindahan di Daerah KUALA LANGAT

KAYUH KE MANA KE KITA ?

Hari Pertama
Sabtu 7hb Jan 2017

Pembukaan tirai tahun 2017 yang mengujakan. Perjalanan yang tidak dirancang, hanya mewar-warkan dan mempelawa rakan-rakan yang berminat di laman sosial Facebook kurang dari seminggu. Ternyata masih ada yang sudi mahu menyertai kembara ini.

Peserta yang ikut berkayuh adalah terdiri dari rakan yang baru sahaja melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal, maka menjadi tanggungjawab aku untuk menguruskan laluan yang paling santai dan selamat. Tidak mahu membebankan mereka dengan laluan yang menyesakkan dada sehingga mereka serik untuk meneruskan aktiviti ini.

Di hari kejadian sekitar jam 7.30 pagi, tayar mula bergolek. Peserta pertama adalah seorang rakan yang pernah bersama-sama aku mendaki gunung suatu ketika dulu. Kaki skydiving, freefall, scuba diver juga. Jadi aku tak perlu bimbang dengan kemampuan yang dia ada. Mental dan fizikal sudah tentu dalam ranking teratas. Aku cuma pesan, " kita nak berkhemah satu malam di mana-mana lokasi yang sesuai. Bawa keperluan sama seperti kita naik gunung." - Noktah.

Eija Don menggunakan basikal Muddy Fox Synergy 20, 6 kelajuan, gear 3. Tayar berbunga untuk offroad. Pannier bag Roswheel. Uhf.


Peserta kedua adalah kakak aku sendiri. Mula berjinak-jinak dengan aktiviti luar pintu yang lasak hanya 2 tahun kebelakang. Itu pun setelah diracun oleh aku dengan mengajak mendaki CBL. Hihi.
Beliau adalah salah seorang yang memberi sokongan moral dalam semua aktiviti yang aku lakukan. Jadi, amatlah berbesar hati jika aku dapat meraikan beliau untuk merasai nikmat mengembara dengan basikal. Menggunakan basikal TRS Congo 24" dengan 8 kelajuan. Aku beri dia pakai helmet BERN yang ringan supaya tidak rasa terbeban.


Peserta berikutnya adalah aku sendiri, merangkap pemandu pelancong yang masih menggunakan basikal Bridgestone MB-6 keluaran Taiwan dengan 7 kelajuan. Inilah rupa bentuk basikal secara jelas.



Tanpa disangka-sangka, di hari kejadian, sifu agung aku turut turun padang untuk membantu perjalanan ini dan memberi sokongan padu, walaupun kesihatan beliau tidak begitu baik - batuk/demam. Beliau gagahkan diri untuk membantu aku dari belakang sebagai sweeper bertemankan Siti Fazurina kekasih kedua beliau. ( Uh ! pedih lak mata ni, ada orang potong bawang pulak isk ! ) Sepanjang jalan beliau memerhati dan mengawal perjalanan kayuhan dengan kelajuan poh ! peh ! poh ! peh ! peh ! peh..! Ranking kesabaran yang tiada tandingannya. 




Bukan setakat menjadi sweeper, Sifu Agong aku ni sangat teliti dalam cara kayuhan. Sempat juga beliau memberi tunjuk ajar kepada Eija cara kayuhan, cara menggunakan gear dan kelajuan dengan betul. Alhamdulillah, sepanjang kayuhan tiada adengan krem dan kejang kaki. Terima kasih Wak Jan.

Laluan yang aku ambil adalah ; Petronas Bt 9 - Pekan Telok Panglima Garang - Taman Datok Hormat - Jalan Parapat - Jambatan Kampung Sawah. Nah ! ujian pertama untuk kedua-dua mereka adalah menghadapi pendakian melintasi Sungai Langat. Aku sebagai Gogo kenalah boleh menanjak walaupun jantung macam nak pecah, nafas hampir putus. Hift! hift ! 9 bulan tak kayuh, tiba hari kejadian baru pegang basikal, memang minta nyawa la. Apapun gogo kena steady. HA HA HA.


Berlatar belakangkan satu-satunya bukit tertinggi di Kuala Langat ~ Bukit Jugra.


Tahniah kerana berjaya melepasi ujian pertama.


Boleh ya kak ? Tentu lah boleh.


Take 5 dulu sambil melihat keindahan dari atas jambatan. Tidak lupa juga memberikan tips ketika menuruni bukit.



Inilah lokasi pertama yang aku bawa melawat. Istana ini asalnya tempat bersemayam Sultan Selangor ketika Jugra menjadi ibu negeri Selangor. Sultan Selangor ke-5, Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah pernah menetap di sini selama 35 tahun , sejak 1905. Ketika itu ramai pegawai British dan tetamu asing datang ke sini. Di istana ini turut diadakan majlis keramaian dan majlis keagamaan kerana baginda seorang sultan yang warak serta tinggi ilmu agamanya, amat berpengaruh dan berkuasa .


Sebelum ini istana diwarnakan dengan warna kuning, akan tetapi telah ditukar ke warna asal iaitu warna putih.








Pintu gerbang diberi nama Pintu Kecelaan kerana ia merupakan laluan utama pesalah yg akan dibicara dan menerima hukuman.

"Allah "
Ingat-ingat
- Jalan Kecelaan -


Aku tertarik dengan rekaan tingkap di tingkat atas istana ni. Lapisan kepingan papan yang berbentuk seperti tingkap kaca kat rumah kita, boleh dibuka/tutup hanya menggunakan sebatang kayu. Ia mengingatkan aku kepada kembara aku bersama rakan-rakan " Softpannier BikePacker MY" yang mencari batu megalith di sekitar Melaka dan sempadan Negeri Sembilan. Dalam kembaraan kami dulu ada berjumpa dengan tinggalan rumah-rumah lama yang mempunyai tingkap berbentuk begini.



Menurut Eija Don, rumah pusaka keluarga beliau di Sri Menanti juga mempunyai tingkap yang begitu. Hrm..
Gambar dibawah ini adalah gambar yang aku ambil ketika kembara yang lalu. Tingkap sebuah rumah kayu yang dibina tanpa menggunakan sebatang paku. Hanya menggunakan teknik pasak. Lihat tingkapnya sama dengan tingkap di istana tadi.


Sebelum beredar, perkara wajib lakukan adalah : ~ Penggambaran,


Untung naik basikal, boleh bersiar-siar dalam taman istana. Jika Sultan masih ada mau kena hukum nih. Matilanak ! Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang istana ini, sila baca dipautan ini


Berehat sebentar untuk beri laluan kepada Wak Jan untuk mengambil sarapan dulu. 


Kami memulakan kayuhan setelah Wak Jan menambah semula tenaga. Lokasi cadangan kedua adalah Masjid DiRaja yang terletak lebih kurang 100 meter dari Komplek Istana, tetapi malangnya ia dalam proses baik pulih secara keseluruhan. Menurut sumber penduduk tempatan ia mahu kembalikan semula dengan rekabentuk asal. Sama-sama kita nantikan wajahnya apabila ia siap kelak. 

Kayuhan diteruskan hingga ke tepi Sungai Langat. Di situ dapat kita lihat aktiviti harian kapal-kapal pelantar yang membawa besi-besi buruk. Pemandangan di situ juga sangat menarik.


Laluan tepi sungai juga membawa ke makam Di Raja. Memasuki kawasan makam, kami bertemu dengan penjaga makam yang bernama Pak Atan. Dengan keramahan bicara Wak Jan, maka melekatlah kami duduk mendengar kisah yang berkait-kait tentang Sultan-sultan dan sejarah dahulukala. Ternyata Pak Atan bukan saja penjaga makam malah beliau amat mahir dan minat dengan sejarah. Dapatlah juga sedikit maklumat tentang keturunan aku dari susur galur Bugis Palembang. Menurut beliau Bugis di Selangor asalnya dari Palembang. Manakala Bugis di Johor asal dari Riau.~ Ohoi kena siasat lagi ni. Wiki mana wiki ?


Kotak rokok daun milik Pak Atan.


Jika tidak kerana perjalanan masih panjang, mahu rasanya aku duduk lebih lama untuk mendengar cerita dari Pak Atan. Seronok oo, dengan keadaan redup, angin pulak bertiup lembut dan nyaman membuatkan mata makin layu.
Okeh tips rahsia dari aku, sekiranya talipon bimbit korang kehabisan bateri, korang boleh saja tumpang cas di tiang makam ni. Aku nampak ada dua unit 'plug' 3-pin kat situ. Gara-gara melihat pekerja makam yang mengecas talipon. Ahaks.


Sebelum beredar, Pak Atan memberitahu bahawa ada lagi seorang yang masih menyimpan buku atau kisah sebenar tentang sejarah pemerintahan di Jugra. Beliau juga membesar dengan mendengar cerita dari orang yang bernama Raja Sulong. Dahulunya Raja Sulong ni bekerja sebagai penjaga makam di situ juga. Kini menetap bersama anak angkatnya kerana sudah terlalu uzur. Pak Atan ada sebutkan lokasinya tapi lupa lah pulak. Eheks. Pak Atan juga mengesyorkan kami untuk menziarah ke makam Sultan Abdul Samad yang terletak di kaki Bukit Jugra. Tersebut juga tentang Datok Panglima Garang atau nama lain Datok Panglima Harimau Berantai. Beliau juga dimakamkan di Jugra juga. 
Aku apa lagi makin bersemangat lah mencari sesuatu yang baharu. (pada aku je la) maklumlah tinggal pun di jajahan Telok Panglima Garang, mahu juga tahu akan kisah sebenar bukan hanya sekadar mitos.


Kena mendaki la pulak. Alahai, basikal macik tak mampu nak oiii.




 Kelihatan bentuk makamnya seperti makam Dato' Dol Said di Taboh Naning.



Pintu makamnya dikunci, tidak diketahui apa sebabnya. Hanya penjaga makan sahaja yang tahu. 


Sempat mengintai melalui tingkap.


Sambil berehat meredakan kelelahan mendaki, kami melayan kesukaan Wak Jan membaca buku pelawat yang disediakan di pintu masuk. Dalam buku tu ada tertulis nama-nama pelawat berbagai kaum termasuk Cina dan India. Ada antara sebab-sebab mereka datang adalah untuk menyampaikan nazar minta cemerlang dalam pekerjaan/kehidupan, menziarahi makam nenek moyang dan macam-macam lagi. Lucu pulak kita baca. Sebaik-baiknya kita sebagai orang mukmin hadiahkan saja dengan surah Al fatihah dan doakan kesejahteraan mereka. Tak mau  minta yang bukan bukan di sini ya. Minta pada yang satu iaitu Pemilik langit dan bumi. ~Allah yang Esa



Cuaca tiba-tiba bertukar menjadi redup. nampak awan sedikit gelap dan hujan mula merintik. Bimbang kehujanan, maka kami pun terpaksa beransur. Sebelum itu : Penggambaran dulu.


Ketika menuruni bukit, di sebelah kiri jalan, aku ternampak satu lorong yang di hujungnya ada nampak seperti makam yang berwarna kuning. Dalam kelajuan aku cuba memberhentikan basikal dengan pantas. Brek brek brekkk..(bunyi brek mulut). Terus ajak Wak Jan pergi menyelidik makam siapakah itu. Mengapa pula ia terpinggir jauh dari makam Di Raja ?


Di dalam blog ini ada sedikit catatan mengenai makam dan bentuk makam tersebut dan ia ditulis tahun 2015. Kini makam  tersebut sudah dirobohkan. Hanya yang tinggal seperti dalam gambar ini.


Dalam blog itu juga menyatakan bahawa makam ini milik isteri kedua Sultan Abdul Samad dari keturunan orang kebanyakkan. Benarkah ?


Dibelakang makam itu terdapat satu kawasan yang dipenuhi dengan tiang batu. Kelihatan juga tangga batu.


Wak Jan merayau hingga ke hujung dan di dapati ada satu tangga menuju ke bawah bukit, tetapi laluan tu telah ditutupi dengan belukar. Hrm.


Ternyata pihak Arkeologi sudah datang untuk mengkaji tetapi macam terbengkalai saja. Tiada yang menarik kah ?




Aku tinggalkan lokasi ini setelah mengambil beberapa gambar  untuk rujukan dan terus menuju ke destinasi berikutnya, ~ Batu Hampar.
Kelihatan Hotel Manderin dari kejauhan. "Boleh check -in, tak boleh check-out" . Itu adalah istilah geng paraglider untuk jirat Cina. Ahaks.


Dahulunya diceritakan bahawa Batu Hampar ini menjadi pelabuhan utama di Jugra. Sebelum itu Jugra dikenali dengan nama Tanjung Kera, oleh kerana ia menjadi pelabuhan dan kawasan perdagangan yang maju, maka namanya diubah menjadi Bandar Temasya. Aku pernah pergi sekitar tahun 2000-2005, tak berapa ingat tarikh tepat, tempat yang dikatakan Batu Hampar ni memang ada sebuah batu yang besar terletak ditebing Sungai Langat. Mungkin kerana hakisan, tempat ni sekarang sudah ditambak dan dibina pelantar berpagar. Sememangnya tempat ni menjadi lokasi untuk kaki pancing.


Setibanya di Batu Hampar, kekasih Wak Jan mengalami masalah. Jadi Wak Jan meminta izin untuk pergi mencari kedai motor untuk dibaiki. Setelah selesai nanti Wak Jan akan kembali semula. Oceyy !
Hati-hati di jalanan ya.

Kami berpatah balik melalui jalan yang sama untuk ke Muzium Insitu atau maksud mudah faham erti 'In Situ' adalah usaha-usaha mengekalkan alam semulajadi yang dilakukan dalam habitat asalnya. Ia dibina menggunakan tapak bekas Rumah Pasung ( Balai Polis). Apa yang ada dalam tu ? nak tau datang sendiri dan tengok.


Gambar benda ni ja yang aku minat nak rakam. 


Bila sampai kat sini, aku bersembang dengan pakcik pengawal bertanyakan tentang makam Datok Panglima Garang atau Datok Panglima Harimau Berantai. Katanya tak jauh dari selekoh tokong cina. Jadi aku terpaksa berpatah balik. Mujur tak jauh. Siapa Datok Panglima Garang ? Baca di sini


Laluan masuknya agak tersorok dan ditutupi pokok buluh. Tiada tanda atau bukti bertulis yang mengatakan makam ini adalah milik Datok Panglima Garang. Jadi aku pun tak nak la mengiyakan apa yang didengar dari cerita pak Atan dan pakcik pengawal tadi.


Keadaannya di situ memang terjaga kebersihannya. Terlindung di sebalik bukit yang dibina tokong Cina.

Ada dua kubur yang berpagar batu, nisannya satu berbentuk bulat  dan satu lagi berbentuk leper. Bagi mereka yang minat sejarah akan tahu jenis nisan untuk  lelaki dan perempuan.


Selebihnya adalah kubur yang hampir tertanam nisannya. Semua berbalut kain kuning dan hijau.
Aku bukan la peminat fanatik yang akan menyelak kain kuning untuk melihat tanda atau bukti yang terdapat di setiap nisan. Owh tidak. Cukup la dengan melihat tanpa memegang. Kasi orang yang mahir saja buat kerja-kerja penyelidikan.


Ada jugak bekas kemenyan.
Entahlah. Terlalu banyak cerita-cerita yang dibaca hingga aku pun keliru mana satu yang sahih. Akhirnya malas nak cari maklumat. Siapa punya makam la ni ya. Sama juga dengan makam isteri Sultan Abdul Samad tadi. Tiada bukti kukuh. Pihak Muzium negeri pun tak bersungguh memulihara peninggalan sejarah yang banyak terdapat di tanah Jugra.


Jam menunjukkan hampir pukul 2. Destinasi seterusnya Bukit Jugra. Baru sikit dah terasa kepayahan untuk mengayuh kerana basikal yang kakak aku guna tak ada tukaran gear. Hanya boleh melaras kelajuan sahaja. Memang tak mudah bagi dia untuk mendaki. Kakak aku dah mula patah semangat. 
" Ko berdua je lah naik, aku tunggu kat bawah ni."
"Ha ? tade..tade.. walau apa juga caranya, mesti naik jugak sampai atas. Sekali seumur hidup dah datang dengan basikal, teruskan ja. "
Tak boleh kayuh tolak, janji sampai. Tolak atau kayuh sama saja siksanya jadi jangan mengalah. 


Aku memberhentikan kayuhan, kerana mahu merakamkan saat-saat mahal buat Eija. Hanya dengan 6 speed dia gagah menanjak. Ternyata mental dan kehendak yang kuat mampu melawan kekurangan.


Oo yea ! Dah-syat dia ni.



Walaupun berkali-kali berhenti rehat, tapi kayuh tetap kayuh. Syabas dan Tahniah ! Berjaya menawan Bukit Jugra dengan bebanan buat pertama kalinya. Ho yeaaaa !


Terasa jugak macam nak panjat papantanda ni. Gagaga..



Waktu kami sampai di sini, ada sessi penerbangan paragliding. Hajat nak tengok mereka mulakan penerbangan, tapi di sebabkan angin terlalu kuat maka aktiviti terpaksa diberhentikan sementara. Alamak, perut dah lapar sangat ni, solat pun belum. Tak apa lah, mungkin lain kali boleh tengok. 

Turun time. Zasttt !
 Oke dah sampai. 

Aku berselisih dengan sebuah pacuan empat roda yang menarik  beberapa buah 'trike drift'. Ini adalah tarikan baru buat penggemar aktiviti lasak tahap dewa. Sebuah basikal tiga roda yang menuruni selekoh bermula dari pintu kem tentera atas lagi dari tempat paragliding hingga ke kaki bukit. Hanya guna brek kaki di mana bahan getah dibuat dari tayar lori yang diletakkan di kasut. Harga sekali main adalah RM30 (termasuk topi keledar, pelindung lutut dan siku ) Jika berminat, boleh berurusan dengan TUBESTAY. 
Apa tu ??


Masa mula sampai di kaki Bukit Jugra, kami melintasi sebuah tempat penginapan baru dibina yang dinamakan TUBESTAY. Cakap dalam hati nanti waktu balik baru singgah lah. Nah, bila dah turun bukit Wak Jan terus pergi tanya kot-kot boleh tumpang solat. Alhamdulillah salah seorang staff yang menguruskan TUBESTAY bernama Fifi dengan ramahnya mempelawa kami masuk dan terus dia sediakan kami air sejuk.
Wow ! Terkesima Cik Tun. Dengan cuaca panas terik dihidangkan dengan air sejuk tiada siapa yang mahu tolak. Terima kasih Cik Fifi.


Untuk permulaan, hotel ini menyediakan 10 unit penginapan yang di dalamnya mempunyai katil bersaiz queen dan penghawa dingin. Kalau badan kecik macam aku boleh muat 3 orang. Tandas dan bilik solat ada disediakan di luar tube.
Untuk mereka yang suka berkhemah, ada disediakan tapak untuk memasang khemah dengan harga RM10. Mahu tahu lebih lanjut sila klik link ini.


Harapan aku agar pihak TUBESTAY akan membuka cafe seawal jam 10 pagi kerana  pengembara / pelancong memang memerlukan tempat untuk minum dan makan setelah penat melawat Muzium atau melakukan aktiviti berbasikal/paragliding. Sepanjang jalan dari Permatang Pasir memang tiada kedai makan halal. Jadi amatlah rugi jika pihak TUBESTAY tidak mengambil peluang ini.


Kami terpaksa beredar dulu kerana hari makin petang, lagipun perut dah rasa sangat lapar. Keutamaan sekarang adalah untuk menyampaikan kayuhan hingga ke Pantai Kelanang sejauh 6 km. Di sana baru ada kedai makan. 

Oke gambar makan takde. Lapar tahap menggigil  sampai takde mood nak ambik gambar.

Singgah solat Asar di surau Pantai Kelanang. Kemudian meneruskan kayuhan ke Pantai Morib melalui jalan pesisir pantai.

Alamak ! Jalan rabak.

Terpaksa melencongkan laluan ikut jalan tengah. Kemudian masuk semula ikut jalan pesisir pantai. Hanya sikit saja jalan yang terhakis. Ternyata pemandangannya sudah banyak berubah. Dengan ketiadaan pokok bakau, pantai akan terus terhakis. Itulah kepentingan pokok bakau yang Allah ciptakan jika manusia mahu berfikir.




Hampir jam 6.30 petang baru kami sampai di Pantai Morib. Kami disambut oleh Tok Iski dan Cik Tas yang pada awalnya mahu turut serta dalam kayuhan ini, akan tetapi bila tiba di tengah-tengah jambatan Kg Sawah, Cik Tas terasa mahu pitam. Tanpa berlengah lagi Tok Iski terpaksa meninggalkan Cik Tas sebentar dan menahan kereta minta ditumpangkan hingga ke Petronas batu 9 (tempat letak kereta). Mungkin kerana lewat mulakan kayuhan dan cuaca jam 3 petang yang masih terlalu panas membuatkan Cik Tas pewai. Kebiasaan mula kayuh di awal pagi. 


Cadangnya mahu bermalam di Pantai Cunang. Oleh kerana masih lagi berbaki 17km, dan matahari semakin terbenam, aku ambil keputusan untuk bermalam di Pantai Morib sahaja. Untuk 'niubie' cukup lah berhenti setakat ini. 


Jom layan matahari terbenam.



Sekitar jam 9 malam, Wak Jan meminta diri untuk pulang ke Shah Alam. Tiada daya untuk menahannya kerana beliau berhasrat untuk berkumpul bersama-sama rakan jajahan Kapar di pantai Remis pula. Baiklah, TERIMA KASIH yang tidak terhingga atas kesudian membantu perjalanan untuk hari ini. Hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. In sya allah.

Setelah Wak Jan pulang Tok Iski juga mohon berundur kerana Cik Tas berasa kurang sehat. Maka tinggallah kami bertiga. Mujur ada sebuah keluarga yang berkhemah di sebelah tempat kami tu. Terima kasih  juga buat Tok Iski dan Cik Tas kerana meluangkan masa bertemu dengan kami walau sebentar. In sya allah ada rezeki kita berkembara bersama ya.

Malam itu, angin sangat kuat menderu-deru seperti membawa hujan. Ribut ke apa ni ? Air laut mulai pasang, bercampur dengan bunyi angin. Segala macam sampah dan pasir berterbangan menolak khemah yang sudah dipasang. Sehingga ke jam 4 pagi, aku masih tak boleh lena. Pertama kerana ribut dan bunyi ombak yang menjulang tinggi setinggi menara peninjau, keduanya kerana bimbang tentang keselamatan basikal yang ditambat pada tiang wakaf. Ha ha biasalah bila tidur di kawasan awam. 


Terfikir juga, adakah malam ini fenomena alam yang luar biasa ? Dah jam 4 pagi pun masih ada lagi orang yang bersiar-siar. Ada juga yang duduk menghadap benteng dan menunggu air ombak menyimbah mereka. ~ kesukaan orang tak boleh diduga.


Aku cuba juga lelapkan mata, dapat juga lena dalam dua jam. Boleh la tu. Oke jugak tidur kat sini, kedai makan pun senang, surau ada, tandas pun ada. Tandas biasa akan dikunci jam 12 malam. hanya tanda OKU sahaja yang dibuka hingga ke pagi.

Berakhirlah cerita untuk hari pertama. Dari rumah nak ke Pantai Morib hanya 30km +-, tapi mengambil masa 7.30 pagi- 6.30 petang. 11 jam. Champion betul ! betul2 lenggang kangkung. 

...bersambung untuk cerita hari kedua. Nak g dobi sat.

No comments:

Post a Comment