BUNDA TANAH MELAYU
PULAU PENYENGAT
Hai kawan-kawan,
Kali ini aku nak berkongsi cerita tentang pengembaraan aku ke sebuah pulau yang jauh sekali. Sudah lama aku memerhatikan pulau ni kerana ada sesuatu yang menarik di dalamnya. Lama juga aku menyimpan hasrat untuk ke sana. Dan akhirnya, apabila masanya tiba, perjalanan pun berlaku dengan mudah. Alhamdulillah. Segala puji bagi tuhan pemilik langit dan bumi yang mendengar bisikan hati hamba-hambanya.
Kali ini aku nak berkongsi cerita tentang pengembaraan aku ke sebuah pulau yang jauh sekali. Sudah lama aku memerhatikan pulau ni kerana ada sesuatu yang menarik di dalamnya. Lama juga aku menyimpan hasrat untuk ke sana. Dan akhirnya, apabila masanya tiba, perjalanan pun berlaku dengan mudah. Alhamdulillah. Segala puji bagi tuhan pemilik langit dan bumi yang mendengar bisikan hati hamba-hambanya.
Bunda Tanah Melayu adalah nama julukan bagi sebuah pulau yang terletak di dalam Kepulauan Riau. Perlu dijelas kan bahawa ada perbezaan antara Kepulauan Riau dan Riau. Dahulunya keduanya adalah satu Kabupaten ( wilayah), tetapi sudah dipecahkan menjadi dua wilayah yang berbeza pada tahun 2004.
Riau terletak di tanah besar Sumatera dan nama ibukotanya adalah Pekan Baru. Mana kala Kepulauan Riau pula terletak di persempadanan dengan Vietnam dan Kemboja di sebelah utara, Malaysia ( Sabah & Sarawak) dan provinsi Kalimantan Barat di timur; provinsi Kepulauan Bangka Belitung dan Jambi di selatan, Singapura, Semenanjung Malaysia dan provinsi Riau di sebelah barat. Ibukotanya adalah di Tanjung Pinang, Pulau Bintan.
Pengembaraan aku kali ini untuk menjelajah di mana asalnya Bahasa Melayu itu lahir. Tanpa sedar, dapat juga tahu dari mana asal usul keturunan aku ni. Tidaklah terus terusan menjadi Melayu yang tidak jelas. Kajian dibuat beberapa bulan sebelum memulakan perjalanan, menitik beratkan tentang kos pengangkutan, penginapan dan makanan. Tiba di hari kejadian, semua peserta akan menuju ke destinasi yang telah ditetapkan, iaitu di perhentian bas Larkin Sentral.
Para peserta terdiri dari 6 orang makcik-makcik ibu rumahtangga yang ranggi. Pernah beberapa kali mengikuti pengembaraan yang aku anjurkan, maka tiada timbul permasalahan kerana masing-masing sudah faham peranan sendiri. Ada juga peserta yang baharu, tapi mereka punya pengalaman dalam pengembaraan jauh. Seperti biasa Bendahari akan dilantik untuk menguruskan perbelanjaan sepanjang 7 hari perjalanan. Wang kompeni akan dikutip dari setiap peserta untuk kos mengangkutan, penginapan, cukai pelabuhan, sewa motorsikal, minyak dan makan. Rm450 setiap seorang, jika kurang akan ditambah lagi.
Hari Pertama, Sabtu (28/4/18)
Kami barangkat dari kediaman masing-masing pada hari sebelumnya, Jumaat malam 27/4/18 dengan menaiki bas ekspress. Para peserta ada yang datang dari Kuantan, Kuala Lumpur , Shah Alam dan Klang. Kami akan ke lokasi temu di perhentian bas Larkin Sentral. Harga tiket dari Shah Alam ke LS = RM45. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam.
Setiba sahaja di sana, Katt sahabat dari Johor sudah lama menunggu untuk menghantar kami ke Terminal Feri Stulang Laut dengan menaiki kereta. Sebelum meneruskan perjalanan, selesaikan dulu tanggungjawab kepada maha pencipta. Ruang masjid di Terminal Larkin Sentral sangat luas dan selesa. Ada mesin air minuman diletakkan di luar pintu masuk.
Terminal feri terletak di dalam bangunan Berjaya Waterfront.
Kaunter tiketnya begitu moden dan selesa sekali. Terima kasih Katt sebab sudi menghantar kami berenam ke terminal feri.
Tu saja nak tayang kasut yang dibeli masa pengembaraan yang lalu. Semua pakat beli sama brand, sama pattern tapi berbeza warna.
Harga tiket Stulang Laut - Tanjung Pinang : RM86
Cukai pelabuhan : RM14
Caj bahan bakar : RM3
Insuren : RM3
Total : RM106 (sehala)
Masa : 09:30 pagi.
Setelah melepasi urusan kastam dan imigresen, kami pun mula berangkat naik ke dalam feri.
Perjalanan mengambil masa selama kira-kira 4 jam untuk sampai ke Pelabuhan Sri Bintan Pura di Tanjung Pinang, Bintan. Berdasarkan Sulalatus Salatin, Tanjung Pinang dahulunya merupakan bahagian dari Kerajaan Melaka. Setelah jatuhnya Melaka ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Syah menjadikan kawasan ini pusat pemerintahan Kesultanan Melaka., kemudian menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor, sebelum diambil alih oleh Belanda setelah Raja Haji Fisabilillah membuat strategi memindahkan pusat pemerintahan kerajaan keluar dari Pulau Penyengat tahun 1784.
Tiba sahaja di pelabuhan, kelihatan ramai pemandu angkut sedang menunggu mencari penumpang. Aku sengaja ajak kawan-kawan mencari tandas sebagai cara mencari ruang bertenang. Relak kat dalam bangunan dulu supaya tidak hilang punca bila dikerumuni pemandu angkut.
Tiba sahaja di pelabuhan, kelihatan ramai pemandu angkut sedang menunggu mencari penumpang. Aku sengaja ajak kawan-kawan mencari tandas sebagai cara mencari ruang bertenang. Relak kat dalam bangunan dulu supaya tidak hilang punca bila dikerumuni pemandu angkut.
Agak-agak dah reda, baru kami keluar dengan aman. Walaupun tak tahu jalan, kena buat-buat tahu dan penuh yakin. Malangnya tetap tak dapat nak mengelak dari didatangi oleh scam. Seseorang akan datang dengan niat nak membantu kita menunjukkan hotel atau apa sahaja. Walaupun ditolak pertolongannya, tetap juga dia mengikuti kami. Aku dah mula rasa tidak selesa.
Pemandangan bandar Tanjung Pinang.
Ni aku nak tunjuk laluan ke jeti Pulau Penyengat. Keluar sahaja dari pelabuhan, melepasi pintu tol kecil, akan nampak Hotel Gunung Bintan Jaya, kemudian ambil simpang kiri. Itu dah masuk jalan besar, ada banyak kedai-kedai seperti gambar di atas. Ada pejabat pos, dan Maybank Indonesia.
Tambang untuk seorang berharga 7,000rp =RM2 dan perlu cukupkan seramai 15 orang untuk sebuah bot.
Masih cara tradisional. Kiraan pagar. Hiks. Cukup ja 15 orang, penjual tiket akan melambaikan tangan ke arah pengendali pompong yang sedang berlabuh di ruang khas menunggu.
Kebanyakkan penduduk Pulau Penyengat bekerja di Tanjung Pinang. Maka kita akan lihat banyak motorsikal yang diletakkan di pinggir jeti. Ada juga ruangan khas untuk menyimpan motorsikal dengan kadar bayaran tertentu ( mungkin)
Tempoh perjalanan dari jeti ke Pulau Penyengat sekira-kira 15 minit sahaja.
Pulau Penyengat ni tidak lah besar mana, kita boleh berjalan kaki sahaja untuk pusing satu pulau tu. Sampai sahaja di Jeti Pulau Penyengat, terasa macam berada di Pulau Tuba. Tenang ja, tiada pencemaran dan pembangunan yang melampau. Bahasanya pertuturannya, rumah-rumahnya sama macam di MY.
Oleh kerana itu, siput gonggong ini telah dijadikan mercu tanda bagi Pulau Bintan. Dari dalam feri kita akan nampak tugu Gonggong Lagenda tersergam di Taman Tepi Laut. Masa mula-mula nampak terfikir juga, apasal ada siput "Gary SpongeBob" kat situ. Ahaks.
Ini adalah sistem giliran untuk perkhidmatan bemor ( beca motor) di pulau ini. Guna tutup botol ja.
Bemor yang dihias berwarna warni untuk menarik perhatian pelancong.
Cas untuk perkhidmatan bemor ini untuk satu jam 30,000rp =RM8.50. Untuk betul-betul pusing dan melawat tempat yang bersejarah kami sendiri pun mengambil masa 2 jam setengah. Itu pun cuma melawat sekejap-sekejap. Paling bagus bawa basikal sendiri dan kayuh puas-puas.
Pintu gerbangnya sahaja dah nampak gah warna diraja.
*SELAMAT DATANG KE PULAU PENYENGAT*
Pada zaman dahulu, pulau ni terkenal kerana menjadi tempat persinggahan pedagang dan pelaut untuk mengambil bekalan air tawar. Menurut cerita, mereka telah melanggar pantang larang sehingga haiwan yang dikenali sebagai penyengat menyerang mereka. Dari situlah pulau Penyengat mendapat nama.
Pulau dan seisinya ini juga telah menjadi mahar atau mas kahwin kepada salah seorang isteri Sultan Mahmud Riayat Syah III yang bernama Engku Puteri ( Raja Hamidah), anak Al Marhum Raja Haji. Setelah itu namanya dikenal sebagai Pulau Penyengat Indera Mulia.
Bukan itu sahaja, pulau ni juga pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan, adat istiadat, Agama Islam dan Kebudayaan Melayu Riau - Lingga - Johor - Pahang. Justeru itu terlalu banyak kesan-kesan peninggalan sejarah yang masih dipelihara dengan baik hingga telah dicalonkan ke UNESCO untuk dijadikan salah satu Warisan Dunia.
Di Pulau Penyengat, masih kurang hotel dan tempat penginapan. Jadi sebelum aku datang, aku dah kaji betul-betul tempat penginapan yang ada. Seboleh-bolehnya aku nak juga bermalam di pulau itu dan merasa menunaikan solat di dalam Masjid Raya Sultan. Cuma satu sahaja tempat yang ada iaitu Penginapan Sulthan. Penginapan ini dibina menggunakan dana dari Masjid Raya itu sendiri.
Satu malam biliknya berharga 150,000rp = RM42, mempunyai dua katil bujang, kipas angin, bilik air yang bersih dan diberikan tuala beserta air mineral.
Beliau inilah yang menguruskan penginapan ini. Namanya Wan Shamsu (kalau tak silap). Orangnya ramah, bila berbicara penuh seloka dan berpantun. Aku jadi kagum, adakah semua orang di sini bila bercakap menggunakan bahasa pantun sahaja kah ?
Masuk sahaja ke dalam bilik, kami mengambil peluang untuk berehat sebentar sebelum keluar semula untuk mula mengekplorasi segenap pelusuk pulau.
MASJID RAYA SULTAN RIAU
Dari kejauhan, masjid inilah yang aku nampak berwarna kuning, seolah-olah menyatakan 'aku di sini, mari lah ke mari". Apa yang menarik sangat tentang masjid ni ? Di ceritakan bahawa dahulu, masjid ini dibina dari campuran pasir, kapur dan putih telur (pelekat). Ia adalah peninggalan Kerajaan Riau-Lingga yang utuh dan masih digunakan oleh warga di pulau ini. Masjid tua yang unik mempunyai 13 buah kubah dan 4 buah menara jika dijumlahkan kesemuanya ada 17 buah yang mewakili jumlah rakaat dalam solat setiap hari.
Tempat mengambil wuduk agak unik kerana dibina seperti gambar di bawah ini.
Peti tabung masjid yang dibuat daripada besi padu. Macam ini lah agaknya kisah-kisah lanun dan harta karun punya peti besi. Aku cuba angkat, mak oii beratnya. Rupanya peti besi ini ada juga kisahnya. Nantikan cerita yang akan aku tulis tentangnya. Bila ? wallahu a'lam.
Ada dua buah almari kayu berukir yang diletakkan di kiri dan kanan pintu masuk masjid, di mana ada 300 buah kitab dan sebuah lagi mushaf Al-Quran tulisan tangan karya Abdullah Al Bugisi yang dikarang pada tahun 1752 M disimpan di dalam almari tersebut.
Senyuman dari wajah penjaga Masjid Raya. Namanya lupa mau tanya. Hiks.
Masih menggunakan bedug untuk memanggil jemaah ketika masuk waktu solat.
Aku berpeluang untuk mendengar bunyi bedug / tabuh dipukul setelah masuk waktu Asar. Pada awalnya aku memang tak tahu sebab leka mengambil gambar bangunan yang di panggil Rumah Sotoh (tempat pertemuan). Ada dua buah rumah sotoh yang dibina, satunya digunakan untuk tempat bermesyuarat atau tempat pengajian ilmu. Yang lagi satu terletaknya bedug dan barang-barang pemberian cenderahati. Aku nampak seseorang melambai supaya aku masuk ke dalam. Seseorang sedang memegang rotan bersedia untuk melakukan sesuatu. Terus aku petik picu rakaman.
Pandangan dari aras Masjid Raya Riau. Kawasan lapang itulah dataran untuk semua warga berkumpul ketika ada acara. Bangunan dua tingkat itu hotel Sulthan, satu-satunya tempat penginapan di Pulau Penyengat.
Setelah puas meneroka masjid, kami pun menyewa 2 buah bemor untuk menjelajah ke setiap lokasi yang bersejarah.
Sebuah bemor naik 3 orang. Sudahnya aku teringat cerita Seniman Bujang Lapuk pulak. Dua orang duduk di atas, yang seorang duduk di bawah, tapi kena bayar sama harga. Kah. Di sini tarif harga bemor sudah ditetapkan. Jadi jangan risau kena paw, kecuali atas budi bicara kita nak bagi lebih sebagai saguhati.
2 orang = 30,000rp. (RM8.50)
3 orang = 40,000rp. ( RM11)
Benda yang pertama sekali yang aku terpikat adalah, ada banyak papantanda nasihat berbentuk pantun mengenai menjaga kebersihan di pulau ini. Setiap simpang dan lorong akan ada papan tanda pantun. Jadi setiap kali jumpa, aku minta pemandu bemor berhenti sebab aku nak rakamkan gambar, dah macam 'explorace' jadinya. Dalam kiraan aku ada 18 buah papantanda pantun / gurindam. Mungkin adalagi yang aku tak jumpa. Pada aku ini adalah sesuatu yang menarik sekali.
Tempat pertama yang ditunjukkan oleh pemandu bemor adalah tinggalan bangunan batu yang dahulu dikenali dengan Rumah Tabib Kerajaan. Kira ini rumah doktor di Raja dan klinik. Segala hal ehwal kesihatan dan perubatan akan bertumpu di sini la.
Perjalanan diteruskan ke Komplek Makam Raja Hamidah ( Engku Puteri).
Siapakah beliau ?
Beliau adalah anak kepada Yang Di Pertuan Muda Muda ke-4 Raja Haji, isteri dan pemilik Pulau Penyengat serta seisinya kerana pulau ini adalah mahar pada perkahwinannya bersama Sultan Mahmud Ria'ayat Shah III. Bukan itu sahaja beliau juga penasihat kerajaan, pemegang kekuasaan adat dan tradisi dan pemegang Regalia Kerajaan. Apa itu Regalia ? Klik di sini . Untuk mengetahui dan memahami dengan lebih lanjut tentang Engku Puteri sila baca di sini sebelum datang ke Pulau Penyengat.
Di Komplek Makam ini juga disemadikan makam tokoh-tokoh penting dan bersejarah Riau seperti sasterawan negara Raja Ali Haji yang telah diangkat menjadi Pahlawan Nasional, Raja Ahmad ( Penasihat Kerajaan) dan Raja Abdullah ( Yang Di Pertuan Raja Muda 9 )
Begini la akses perantara di Pulau Penyengat. Ada jalan bersimen, ada jalan batu bata. Yang pastinya memang menarik untuk berbasikal. Redup sahaja laluannya. Satu perkara yang aku lupa nak maklumkan. Dari pandangan mata aku, pulau ni adalah pulau kubur. Kenapa aku kata begitu, sebab mata aku asyik nampak kubur sesaja.
Ini pula makam Raja Jaafar dan Raja Ali. Raja Jaafar ini adalah anak kepada Raja Haji Fisabilillah. Beliau adalah Yang Di Pertuan Muda ke-6 yang telah berpindah ke Selangor dan membuka lombong bijih timah di Klang.
Sementara Raja Ali ini pula anak Raja Jaafar menjadi Yang Di Pertuan Muda ke 8. Beliau adalah seorang Raja yang kuat berpegang pada ajaran Islam yang sentiasa menjemput para ulamak supaya mengajar di Riau. Juga telah banyak membina pusat-pusat pendidikan Islam serta menguatkuasakan undang-undang syariah pada abad ke-19. Baginda melarang rakyatnya bermain judi dan meminum arak serta mengharamkan segala bentuk muzik yang melalaikan.
Dahulunya makam ini sebenarnya masjid.
Jelas menunjukkan bahawa asal makam ini adalah sebuah masjid kerana terdapat ruang mimbar di situ.
BALAI ADAT INDERA PERKASA
Balai adat ini ini adalah sebuah replika rumah adat Melayu yang biasanya digunakan untuk menyambut tetamu atau mengadakan pertemuan dan jamuan untuk orang-orang penting.
Di dalam gedung ini terdapat set pelaminan yang mempunyai 3 ruang bersemayam. Aku kurang pasti, apa keperluan tempat semayam yang lagi dua tu. Mungkin, tempat bersemayam untuk kedua ibu bapa pengantin lelaki dan perempuan ketika majlis persandingan. Pelamin ini juga digunakan oleh pengantin dari kalangan penduduk tempatan ketika melangsungkan perkahwinan.
Bukan sahaja pelamin, bilik tidur pengantin juga disediakan dan dihias dengan indah. Aku pun tak nak melepaskan peluang untuk bergaya di sana dan di sini. Ehem !
Menurut kepercayaan cerita dari mulut ke mulut, air perigi ini banyak khasiat keberkatannya. Salah satunya untuk mendapat jodoh. Euui..Entah, aku tak ada rasa nak mencuba minum, cuci muka ke atau berwuduk macam aku buat di rumah Cut Nyak Dien dahulu. Aku cuma tapau sebotol bawa balik ke hotel. Terfikir juga, kalau aku bawak balik MY air ni tak jadi apa-apa ke ? Mana lah tahu, tak pasal-pasal kena hantar semula kat tempat asalnya. Akhirnya aku tinggalkan sahaja dalam bilik hotel.
Di hadapan Balai Adat sedang dibina pelantar jeti, tapi dari pandangan aku mereka macam nak buat dataran tempat pengunjung bersantai di tepi laut. Bila dah siap nanti aku pasti pemandangannya sangat cantik.
ISTANA KANTOR
Dari Rumah Adat, pemandu bemor membawa kami ke Istana Kantor. Istana ini dibina oleh Raja Ali Haji sebagai kediaman keluarga dan kerabatnya. Sebahagian komplek bangunannya telah hancur, cuma yang masih tinggal adalah pintu gerbang, tembok keliling dan menara pengintai. Lantai papan di tingkat atas istana juga sudah begitu uzur. Aku fikir nak naik tapi melihat kan tanda yang tidak selamat aku batalkan hasrat.
Ruang atas bilik mandi nya terbuka tiada atap.
Bahagian kiri pula tandas. Tandasnya sangat berbeza dari tandas kita. Bukan duduk mencangkung sebaliknya melunjurkan kaki mengikut bentuk batu itu. Jika ikut tradisi perempuan dalam pantang, begini la posisi jika hendak membuang air besar. Tak sangka pula cara tersebut sudah dipraktikkan sejak zaman dahulu.
Pintu bilik air pandangan dari luar.
Menara Pengintai
Ketika kami sampai di komplek Istana Kantor, terdapat beberapa buah khemah sedang didirikan. Nampak ada beberapa buah banner yang bertulis "PULAU PENYENGAT MEMANAH 2018". Tanpa berlengah lagi aku terus bertanyakan hal itu kepada petugas yang sedang berehat. Menurut salah seorang petugas, keesokkan hari ada acara pertandingan memanah. Para peserta yang bertanding diwajibkan memakai busana melayu siap dengan bertanjak.
Tapi sayang lah, aku tak dapat nak tengok, kerana acara bermula di sebelah petang. Sedangkan aku dah mula bergerak keluar dari pulau jam 9 pagi esok.
Aku dah bayangkan betapa meriahnya acara memanah nanti. Semua peserta berbusana melayu lengkap bersampin dan bertanjak. Sebelum memulakan acara mesti berpantun dahulu. Hellamak. Epik.
Meneruskan perjalanan menuju ke Bukit Kursi. Di kaki Bukit Kursi ada bangunan stor peluru. Menarik sungguh binaan stornya berbanding yang ada di Bukit Jugra dan Klang.
Jelas kelihatan dinding yang dibina cukup tebal. Aku cuma mengintai sekali lalu sahaja kerana pemandu bemor yang bertindak sebagai pemandu pelancong mengajak untuk pergi ke Bukit Kursi dahulu. Agak seram juga sebab waktu pun dah hampir petang membawa ke maghrib.
Stor peluru dan makam Yang Di Pertuan Muda 7 ni letak berdekatan di lereng bukit menuju ke Bukit Kursi. Sebelum mendaki, singgah sebentar di makam ni.
Pada zaman pentadbiran baginda, lanun-lanun sangat berleluasa tetapi berjaya dihapuskan secara berperingkat-peringkat dengan bantuan pihak Belanda.
Kain-kain kuning yang membaluti nisan akan sentiasa diganti tanpa membuang kain yang lama.
Batu nisan di sini semuanya tinggi-tinggi. Setiap makam yang terdapat di pulau ini diuruskan dengan cukup baik.
BUKIT KURSI
Benteng pertahanan Bukit Kursi adalah bukti kebijaksanaan pemerintah Raja Haji Fisabilillah kerana Pulau Penyengat terletak dalam jalur pelayaran. Ada 3 benteng yang dibina iaitu Benteng Bukit Senggawe, Benteng Bukit Kursi dan Benteng Pulau Siantan. Ketiga-tiga benteng pertahanan ini dahulunya mempunyai 90 buah meriam sebagai pertahanan dari serangan Belanda, tapi kini hanya tinggal 5 buah sahaja yang berada di atas Bukit Kursi.
Jun 1842 -( Perang Kedah & Siam )Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah kehilangan Perlis dan Satul / Satun dimasukkan ke dalam jajahan Siam.
Julai 1842 - James Brook pergi ke Brunei meminta pengesahan kuasanya di Sarawak
Ogos 1842 - Hasil rundingan bersama Sultan Omar Ali Saifuddin, James Brook dengan rasminya berkuasa di Sarawak.
VOC atau Syarikat Hindia Timur adalah Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1602 oleh Belanda yang memberikan hak memonopoli untuk menjalankan aktivti penjajahan di Asia. Ia juga dianggap syarikat pertama yang menerbitkan saham. Tidaklah diketahui samada meriam ini dibeli dari VOC atau harta rampasan perang.
Kami akhiri penjelajahan hari pertama ketika hampir memasuki waktu maghrib. Semua naik ke bilik, bersihkan diri dan selesai kan solat maghrib dan Isyak. Bila dah selesai, jom keluar cari makan ! Aku fikirkan pulau ni mati selepas solat Isyak, ternyata jangkaan aku salah. Kelihatan ramai yang berehat, bersantai di halaman dataran masjid. Kedai makan di sebelah hotel pun penuh dengan pelanggan. Wah ! Ramainya umat melepak. Mungkin cuaca terasa panas, itu yang semua pakat keluar dari rumah.
Di suatu sudut kelihatan ramai anak-anak muda duduk berkumpul. Muka masing-masing bersinar nur sambil tunduk dan tawaduk. Wow, bagus la anak-anak muda kat sini. Bila aku datang dekat baru la nampak rupanya itu kawasan WIFI percuma. Cit, patut lah semua berkumpul, sampai kat tangga masjid pun ada. Teringat masa kembara ke Masjid 300 tahun di Narathiwat. macam ni juga la keadaannya.
Kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan menikmati udara malam hingga ke jeti. Sambil duduk-duduk bersembang, terus la buat perkiraan semula berapa modal yang dah digunakan setakat hari pertama. Bagus ada bendahari dalam setiap pengembaraan. Tidak lah kita bermewah-mewah. Hihi.
Hari kedua, Ahad(29/4/18)
Hari berikutnya menjelma dengan indah sekali. Matahari terbit dari arah timur dan memancarkan cahayanya tepat ke arah masjid Raya. Maka makin bercahayalah kelihatan masjid ini dari jauh.
Seawal jam 6 pagi, semua warga Pulau Penyengat sudah keluar dan berkumpul di dataran balai Kelurahan. Tak kira tua, muda, kecil, besar dan bayi pun turut memeriahkan acara pada hari itu. Siap berbaju dan berkasut sukan. Tak de kasut, selipar pun boleh. Yang penting SEMANGAT !
Suka benar kakak aku ni rakam gambar. Ke sana ke mari sampai naik atas pentas gara-gara nak rakamkan suasana yang meriah ni. Lagi pula muzik yang dimainkan adalah lagu-lagu Salem dan Amy Search yang telah di remix jadi lagu dandut.
Aku kagum dengan mentaliti mereka di sini. Walaupun memakai jubah, itu tidak menghalang mereka untuk turut serta untuk berzumba. Pakkal lah aku dah nak keluar pulau, kalau tak memang aku tumpang dua kaki berzumba sebelah kakak-kakak dan makcik-makcik tu.
Tepat jam 9 pagi , kami pun mula bergerak keluar dari pulau untuk menaiki feri ke Pulau Lingga pada jam 11 pagi waktu tempatan (1200 tgh waktu MY).
Sewa motor 25,000rp = RM7. Naik bemor 30,000rp = RM8.50 sejam. Pilihan ditangan anda.
Para peserta sudah mulai memasuki ke Pulau Penyengat untuk acara memanah. Dari jauh aku nampak dua orang pemuda memakai tanjak, waduh..waduhh..segak gagah perkasa sungguh.
Jika dihidupkan kembali pemakaian tanjak, aku rasa segak juga kan ? Orang Jawa bangga dengan Blangkon, kita orang Melayu bangga lah dengan Tanjak. Setuju ? Kalaulah perempuan boleh pakai tanjak, memang lama aku pakai masa kayuh basikal. Ehek !
Gambar di bawah ini adalah masakan asli Pulau Penyengat, gonggong masak lemak dan gonggong masak berlada. Itu pun aku tak dapat nak rasa. Huh.
Kesimpulannya, Pulau Penyengat ini adalah pulau yang menyimpan khazanah sejarah yang amat bernilai. Tersimpan sejarah keagungan pemerintahan masa lalu. Berdirinya sebuah pemerintahan kerajaan Riau Lingga yang hebat kuasa jajahannya hingga ke Selangor, Melaka, Johor dan Pahang. Kini hanya tinggal simbol-simbol kemegahannya yang telah dimusnahkan oleh Belanda dan pihak kerajaan sendiri kerana TAK SUDI wilayahnya diduduki kaum penjajah. Yang tinggal hanyalah kitab-kitab tua dan makam para raja.
Pada aku, pulau ni lebih kepada sebuah kampung yang tenang, aman dan damai. Kena datang lagi ni. Insya allah.
Pesanan kuku kaki : Jika ada terdapat kesilapan mengenai sejarah dan tahun, mohon maaf kerana sedikit maklumat diambil dari pembacaan di wikipedia dan blog internet.
Sejarah untuk diketahui. Cukuplah jika kita mengambil cakna. Tidaklah kita menjadi bangsa yang tidak jelas.
PULAU PENYENGAT TANAH BERDAULAT
TEMPAT LAHIR GURINDAM, PANTUN DAN PUISI
PANJANG UMUR GAGAH KUDERAT
INSYA ALLAH KITA KEMBALI LAGI
Terimakasih kerana telah berkongsi pengalaman. Saya tak pernah tahu begitu banyak sejarah Melayu di situ. Gambar2 yang cantik, penerangan yang baik, dan penulisan yang menarik membuatkan saya suka membaca blog anda.
ReplyDeleteSatu catatan pengembaraan yg membantu kepada yang mahu berkunjung. Tahniah, amat jelas penerangan.
ReplyDeletesalam dari masa depan (2023)., tuari ada tnye tp xde feri langsung ke pulau bintan dari stulang, harus transit kt pulau batam duluan., huhu
ReplyDeleteMungkin pengurusan yang baharu telah mengalih laluan feri agaknya. Yg terkini cuma ada 1 saja feri dari Stulang Laut ke Pulau Bintan setiap jam 3 petang
Delete