Gass ke Dunia Tersembunyi
6hb-20hb Disember 2017
3 Unit 4 Jiwa
Loen Dari Malaya
~~~~
Kisah kelmarin
Untuk rujukan bila aku terlupa :
Kabupaten : Daerah
Kecamatan : Mukim
Gampong : Kampung
Hujan sejak malam terus membawa hingga ke pagi. Rasa malas sangat nak bangun dan meninggalkan 'sleeping bag' yang menghangatkan badan. Wak, Ija dan Naqi sudah pun bangun dan berkemas. Mahu tak mahu aku paksa juga keluar dari khemah. Aku tak ingat, aku mandi ke tidak eh pagi tu ? Celup tangan rasa air kolah punyalah sejuk, dah sama macam ais. Eii.. mandi P.Ramlee je la. Selebihnya calit minyak wangi banyak-banyak. Oke la tu tak tun tuang !
Di luar pondok, masih gerimis. Cadangnya pagi ini nak turun ke jeram sungai di bawah bukit. Setelah siap meletakkan bag di motorsikal, kami pun turun mengikut laluan berbatuan yang curam. Dari jauh nampak kabus menutupi Banjaran Bukit Barisan dan Taman Negara Gunung Leuser.
Jika banyak masa, boleh 'treking' hingga ke atas lagi untuk pergi ke air terjun.
Turun curam, mendaki pun curam. Berjalan lah masing-masing sambil berzikir penuh tawaduk menunduk ke bumi. Khusyuk. Hahaha.
Wak mencadangkan untuk kami singgah ke rumah Mr. Jali dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Adab tetamu seharusnya begitu. Bagaimana datang, begitu juga ketika mahu pergi. Sampai sahaja di rumah Mr. Jali, hujan pun turun dengan lebatnya. Maka terpaksalah kami menanti hujan reda sambil memanaskan badan dengan hidangan air kopi Gayo.
Siapa Mr. Jali ni ? Eh, aku belum beritahu tentang beliau ke? Oke, beliau adalah seorang jurupandu arah yang sangat berpengalaman membawa pendaki-pendaki seluruh dunia untuk mendaki ke Gunung Leuser dan sekitar Taman Negara Leuser. Oleh kerana itulah, beliau sudah dikenali ramai dan diberikan kepercayaan untuk menguruskan segala hal yang berkaitan dengan aktiviti di Taman Negara Gunung Leuser.
Ketika kami sampai, Pak Jali sedang melayani seorang tetamu yang datang dari Australia. Khidmat Pak Jali diperlukan untuk membantu tetamu tersebut merakamkan audio flora dan fauna yang terdapat di dalam Taman Negara Gunung Leuser. Apa tuh ? Ala, merakam suara burung-burung, cenggerik ka, katak ka, harimau ka, ungka ka, bunyi air terjun ka. Faham ?
Gulung wak gulung !
Dalam pada bersembang-sembang, aku tergerak nak bertanyakan pada Mr Jali tentang keistimewaan kebudayaan yang ada di sini. Mr Jali mengatakan bahawa orang Gayo sangat bangga dengan 'Kerawang Gayo'.
Kerawang Gayo ? apa tu ? Terus dia masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu. Disuakan kepada aku satu bungkusan plastik yang mana, di dalamnya ada sehelai kain yang berjahit dengan warna-warna yang terang.
Kerawang atau sering disebut "Kerawang Gayo" (Penuturan dalam Bahasa Gayo); adalah Busana Adat Suku Gayo yang biasanya dipakai saat melangsungkan acara Resepsi Pernikahan, acara tarian adat dan budaya secara turun-temurun. Kerawang itu sendiri merupakan hasil cipta karsa (daya/kekuatan jiwa yang mendorong makhluk hidup untuk berkehendak) dari manusia yang menjadi nilai estetika dalam prilaku kehidupan yang kemudiannya menjadi budaya. Sedangkan budaya itu sendiri adalah hasil refleksi manusia dengan alam.
Jika mahu mengetahui tentang seni Kerawang Gayo dengan lebih terperinci boleh lah ketik di sini .
Untuk melengkapkan misi sudah sampai, kami menulis nama dalam buku pelawat di rumah Mr. Jali.
Aku nak tulis satu kisah seram dan sadis. Jap nak gelak dulu Ha Ha Ha Ha. *BAHAN lagi.
Nak dijadikan cerita, ( baling belakang sat). Masa mula sampai di rumah Mr Jali, Wak tinggalkan helmetnya di 'handle' motorsikal. Kemudian dia masuk, dia duduk dan bersembang dengan tetamu Aussie tu. Sambil bersembang dia minum kopi. Lepas tu dia gelak-gelak, dia selfie, dia gulung rokok, dia hisap rokok. Nampak dia begitu tenang, bahagia dan gembira sekali. Macam tak de masalah.
Bila hujan dah berhenti, dia bangun konon-konon dia nak bersedia dulu lah hidupkan enjin motor. Sekali terdengar Wak berteriak. Alaaah ! Kok boleh lupa.
Kami kat dalam rumah masing-masing menoleh ke arah Wak. Alamak ! Sayang betul, aku lambat 'on' kan kamera. Kalau tak memang dapat bahan bukti yang paling rare untuk tahun 2017. Lambat sebab aku bantai gelak puas-puas dulu kat Wak. Mana tak nya, helmet kesayangannya sedang menakung air hujan. Wakakaka. Penuh air dalam helmet tu.
Walau bagaimana pun, dah namanya W.A.R.M ( Wak Abdul Rahim Mahmudin ), macho kena terus maintain, gaya mesti nak 10. Walau pun terpaksa pakai helmet basah. Kah !
Kalau tegur kang dia jawab ; KORANG APA TAU !
Keluar sahaja dari rumah Mr Jali, kami terpegun dengan keindahan lanskap banjaran yang diselaputi kabus.
Dari Penosan kami menghala ke Kuta Panjang untuk mencari sarapan pagi.
Hebat betul Aceh ni. Walau berstatus negeri, tapi mampu membina bank sendiri. Dah boleh bina negara sendiri dah ni.
Gas percuma untuk warga yang kurang mampu.
Dari Kuta Panjang kami menghala ke Kutacane / Blang Kejeren.
Setiap kali memasuki sesuatu Kecamatan ( mukim) atau perkampungan, mesti ada pintu gerbang sebagai panduan. Pada aku tanda-tanda yang begini amat penting untuk dirakam sebagai bahan rujukan ketika menulis nanti. Lagipun dalam google map, tidak ditemukan laluan jalan raya kerana sebahagian besar Taman Nasional Leuser mengelilingi Kecamatan Putri Betung ni.
Bermula di jalur ini, setiap selekoh pasti ada sumber air @ air terjun. Menunjukkan betapa kayanya tanah ini dengan limpahan air bersih dari gunung.
Dalam perjalanan, kami berselisih dengan anak- anak yang pulang dari sekolah dengan hanya berjalan kaki.. Jarak dari sekolah ke rumah agak jauh. Oleh kerana itu mereka berhenti berteduh dari terik matahari di bawah pohon beramai-ramai sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Setelah melalui beberapa buah kampung seperti Uning Pune, Gumpang Lempuh dan Gumpang Pekan, makan kami pun tiba di Kampung Singgah Mule, Dusun Air Panas, di mana terletaknya sebuah mata air panas semulajadi. Lokasinya terletak di belakang sebuah musolla. Kawasan yang berpagar, mempunyai beberapa buah kolam yang dibina. Sayangnya seperti tidak diselenggara dengan baik.
Suasana nya agak nyaman, di kelilingi dengan kehijauan pohon buluh. Air panas keluar dari mata air di dalam tanah dan mengalir jatuh ke dalam sungai. Terhasillah air sungai yang suam.
Entah bila Wak menghilangkan dirinya pun aku tak perasan. Sedar2 ja aku nampak dia dah siap berkain untuk mandi sungai. Kain siapa lah dia rembat tu. Euii..
Setelah puas mandi dan berehat, kami pun meneruskan perjalanan. Mulai dari tempat ini pemandangan sudah mulai berubah. Kedudukan jalan raya yang sangat hampir dengan Sungai Alas membuatkan ianya lebih menarik. Apatah lagi bila nampak beberapa buah jambatan gantung yang dibina untuk kegunaan orang kampung begitu banyak.
Di sepanjang jalan ada sahaja cerita masyarakat yang aku lihat. Nenek tua sedang menjemur biji koko, ditemani cucu perempuannya. Terzahir rintihannya hasil coklat (koko) makin berkurangan dan kualiti kurang baik. Sempat juga dia berpesan, "sudahkah meminta izin untuk ke mari pada ibu mu ?" Kami mengangguk-anggukkan kan kepala sahaja.
Melewati sebuah pekan kecil, kami berselisih dengan sebuah lori yang sangat laju, aku sempat melintasi jalan yang sempit, tetapi Naqi gagal menggelak. Oleh kerana bahu jalan yang kecil, bag Naqi tergesel dengan sebuah motor yang diparkir di tepi jalan. Motor itu tumbang. Alamak ! Cepat-cepat Ija datang menghampiri pemilik motor itu untuk menenangkan keadaan. Phewwss !
Jika mahu mengembara ke Indonesia, mulut mahu ramah jika bertemu dengan polisi. Jangan sampai polisi menahan anda dahulu. Itu masalah. Sebaliknya berhenti dan menyapa mereka dahulu. Itu yang aku perhatikan selama aku mengembara bersama Wak dan Ija. Kini baru aku sedar apa manafaatnya.
Usai menjamah hidangan makanan yang begitu sederhana kami pun beredar untuk mencari tempat bermalam pula. Memilih Objek Wisata Ketambe yang terletak di tepi sungai Alas sebagai lokasi henti untuk hari ke- 7.
Pada aku, di mana-mana sekalipun tempat tidur, tidak menjadi masalah bagi ku kecuali, pastikan mempunyai tandas. TANDAS itu sangat penting pada aku, tak ada air tak mandi tak apa, asal ada tempat memerut. Urusan hidup dan mati tak boleh diremehkan. Penting gila. Hahaha.
Jam 08.30 pagi kami berhenti di sebuah pekan kecil. kelihatan ada pasar pagi di situ. Berhentikan motor untuk melihat suasana di waktu pagi di kampung tersebut. Kabus masih terlihat di atas gunung sana. Anak-anak sekolah siap berpakaian seragam sudah mulai keluar mencari sarapan pagi dan berjalan-jalan melihat jualan sementara menunggu waktu mula belajar.
Ija mengambil kesempatan untuk membeli cendawan... ala lupa lah nama dia. Harga murah tapi banyak betul dibaginya. Boleh lah buat makan dua kali masak.
Anak-anak sekolah ramai yang berkerumun di tempat menjual alat tulis dan buku-buku. Walau pun tidak membeli, cukup sekadar melihat sahaja membuatkan mereka bahagia.
Di kesempatan itu juga kami singgah di sebuah warung untuk mengisi perut buat tambahan tenaga untuk hari itu. Kuih muihnya lebih kurang sama macam di MY. Cuma tak ada nasi lemak la. Lontong menjadi hidangan wajib setiap pagi.
Dalam perjalanan ke Kutacane, aku ternampak suasana yang jarang aku lihat lagi. Membasuh kain di depan rumah. Kedudukan rumah warga yang terletak di kaki banjaran gunung, membuatkan sumber air dari pergunungan mengalir terus di hadapan rumah penduduk. Di belakang gunung, di hadapan pula sungai. Nikmat kurniaan Allah yang tidak pernah putus.
Bandar Kutacane. Kami ke bandar ini hanya untuk melihat-lihat sahaja. Di sebabnya lokasinya tidak jauh dari tampat kami bermalam hanya sekitar 35km, maka agak rugi rasanya jika tidak singgah. Bandarnya besar dan bersih.Di setiap tiang lampu ada tergantung zikir-zikir supaya siapa yang memandang akan ingat kepada Allah.
Berpusing-pusing sebentar untuk melihat suasana di sana. Kemudian kami berpatah balik menuju ke simpang Blangkejeren untuk ke Takengon
Tiba-tiba terdengar bunyi honk kereta. Bila aku menoleh nampaklah sebuah pick-up yang diubah suai menjadi kenderaan awam penuh dengan kanak-kanak yang baru pulang dari sekolah. Sampai atas bumbung mereka duduk. Bas sekolah ke ni ?
Dalam pengembaraan di dalam dunia ni, perkara yang paling bagus adalah, apabila dapat mencari sahabat kembara yang jujur. Perlu diingatkan juga pengembaraan yang paling bermakna adalah kerana adanya kawan-kawan seperti dinyatakan tadi, berbanding jarak perjalanan. Apabila berkembara bersama kawan-kawan ni, kena ambil lebih sikit suntikan dos kesabaran dan toleransi. Itu adalah kunci untuk menjadi pengembara yang hebat.
No comments:
Post a Comment