Salam kembara.
Kembara kali ini hanya menjelajah di sekitar Negeri Selangor sahaja. Jika tidak kerana PKPB, tak mungkin idea kembara ni akan terbit di minda aku. Mari lah melihat-lihat apa yang menarik di dalam Negeri Selangor. Aku tak nak menceceh-ceceh cerita panjang-panjang tentang sejarah sesuatu lokasi tu. Hanya menunjukkan keadaan semasa tempat tersebut. Kalau nak tau sejarah korang boleh cari di wikipedia.
Selangor mempunyai 9 daerah. Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang. Aku berada di daerah Kuala Langat, maka perjalanan aku dimulakan dari mukim Telok Panglima Garang.
Peserta kali ini seramai 4 orang dan 4 buah motorsikal. Projek kali ini lebih kepada memberi tunjuk ajar kepada anak-anak muda bagaimana kembara bermotor jarak jauh.
Hari Pertama, Ahad (28/3/21)
Kami berkumpul di depan Balai Polis Telok Panglima Garang , bila semua dah bergabung kami berhenti untuk bersarapan dulu di sebuah kafe baharu bernama Kopi Senget. Menu tak banyak sangat, boleh lah buat lapik perut. Sekadar mendukung peniaga tempatan.
Lokasi pertama yang aku tuju adalah ke Istana Bandar. Dah banyak kali aku datang menziarah, maka kali ini cukup sekadar merakam gambar kenangan di luar istana sahaja. Masuk adalah percuma ya.
Di sebelah Istana Bandar pula terletaknya Masjid Di Raja, tapi aku tak pergi sebab terlupa nak masukkan dalam jadual perjalanan. Hahaha.
Aku terus bawa mereka semua menuju ke Makam Raja-Raja di Bukit Jugra, tapi sayang pagarnya berkunci pulak.
Meneruskan perjalanan ke Batu Hampar. Dahulunya, Batu Hampar ini adalah sebuah pelabuhan tempat pemunggahan bijih. Sekarang ia telah menjadi tempat kaki pancing melempar mata kail.
Di kaki Bukit Jugra juga terletaknya Muzium Insitu di mana asalnya adalah Rumah Pasung / Balai Polis/ Penjara Lama. Penjara ini adalah penjara yang pertama dibina di Selangor. Bangunan dua tingkat ini menempatkan ruang mahkamah di bahagian atas dan blok penjara di bahagian bawah. Masuk adalah percuma juga ya.
Menghampiri simpang menuju ke rumah api, terdapat sebuah perigi lama. Ia dipercayai dibina untuk mendapatkan sumber air ketika itu. Periginya kecil sahaja tetapi binaan batu- batunya aku tengok cantik sangat. Jika perigi itu dibersihkan airnya, barangkali lebih menarik perhatian para pelancong.
Hari itu hari minggu, maka kedatangan pengunjung luar biasa ramai. Jalan menuju ke rumah api penuh dengan kenderaan. Difahamkan komuniti masyarakat Cina sedang mengadakan gotong royong membersihkan jirat di lereng Bukit Jugra. Itu yang menambahkan lagi kesesakan.
Aku tak nak buang masa, terus memulas pendikit minyak menuju terus ke atas kem tentera dengan berhati-hati.
Beralih ke lokasi seterusnya, Pantai Kelanang. tempat yang mempunyai pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik. Ketika aku sampai air masih surut. Di sini juga disediakan tapak perkhemahan, surau dan tandas awam.
Sebelum aku meneruskan perjalanan lebih jauh, aku singgah sebentar ke kebun abang aku di Kampung Kelanang. Masa dulu-dulu, bila musim durian, kebun ni lah tempat aku lepak menunggu buah durian gugur. Tapi bila mak aku dah tak de tinggal pokok durian ja. Pokoknya dah tak berbuah lagi. Sekarang abang aku pulak ambil alih menjaga kebun ni. Rajin dia ulang alik KL - Kelanang semata-mata bersihkan kebun nak jadikan seperti padang golf.
Selepas ini aku ke Pantai Morib. Tak boleh nak masuk sebab sesak dengan kenderaan. Akhirnya cuma ambil gambar disudut tepi. Asal nampak tulisan Pantai Morib kira boleh lah untuk buat syarat sudah sampai.
Beralih pula ke Pantai Batu Laut yang berjarak cuma 13km sahaja dari Pantai Morib. Tahukah korang, di pantai ini ada Pusat Latihan Perahu Layar ? Kalau bernasib baik dan kena dengan waktunya dapatlah melihat kapal-kapal layar di tengah laut. Aku sampai pun waktu pagi, air masih surut. Tak ada apa yang nak dilihat.
Konon-kononnya nak berhenti di Pantai Cunang, pantai yang dahulunya sangat tenang dan sepi dari pengunjung. Bila aku sampai saja, nah ! Parkir penuh, dan telah didirikan pondok menjual tiket masuk dan parkir. Ala..
Terus keluar balik menuju ke Tanjung Sepat. Cuaca ketika tu memang sangat panas. Mood pun dah bertukar malas. Letih jangan cakaplah.
Perjalanan diteruskan untuk mencari kolam air panas Sungai Lalang di Semenyih dengan melalui Sungai Pelek, Sepang, Jenderam dan Bangi Lama. Rupanya di Semenyih banyak ladang buah naga. Aku tak de lah berhenti mengambil gambar, sekadar melayan pemandangan sepanjang laluan.
Sejauh 66 km dari Bagan Lalang ke kolam air panas, bila sampai di sana, pintu pagar berkunci. Kau rasa ? Tertulis di papan tanda buka jam 4 petang. Sedangkan aku sampai baru jam 3 petang. Argghh..bahang panas membuatkan badan aku makin letih. Malas tunggu. Aku tengok budak-budak pun dah mendung ja mukanya. Dengan perut lapar, cuaca yang terlalu panas, akhirnya aku buat keputusan, jom teruskan perjalanan.
Lalu kat depan Sungai Tekala pun aku tak berhenti bergambar. Ramai orang, malas. Cuma berhenti sekejap di Empangan Semenyih.
Kemudian aku mengambil jalan potong Jalan Sungai Tekali (B116) ke Hulu Langat. Dapatlah layan kejap kelok-kelok berbukit.
Dari pekan Hulu Langat terus ke Ampang dan berhenti rehat di Danau Kota. Untuk hari pertama kami bermalam di Taman Melawati.
Hari Ke-dua, Isnin ( 29/3/21)
Hujan sejak awal pagi membantutkan jadual perjalanan aku untuk hari kedua. Sehingga jam 12 tengahari, hujan terus turun tanpa ada tanda-tanda berhenti. Aku ambil keputusan untuk memulakan perjalanan juga. Masing-masih mengenakan baju hujan, dan perjalanan dimulakan dengan "Bismillahitawakkaltu alallah."
Keadaan jalan yang licin membuatkan aku menunggang dengan perlahan dan berhati-hati. Dari Taman Melawati aku masuk ke susur Gombak dan seterusnya melalui jalan Selayang dan Templer Park. Kali ini aku nak menikmati pemandangan dari atas jambatan tertinggi di Malaysia yang dipanggil Rawang Bypass.
Oleh kerana baru pertama kali melalui jalan tersebut aku jadi keliru dengan papantanda yang ada. Berpusing-pusing bila terlepas simpang. Cubaan kali kedua pun sama, salah masuk simpang. Aku dah hilang idea macamana nak patah semula mengikut jalan yang sedia ada.
Jika diteruskan ia mengambil jarak yang sangat jauh. Akhir sekali terpaksa mengikut idea anak-anak muda. Undur 300 meter untuk masuk ke susur keluar ke pusingan U.
Alhamdulillah semuanya selamat. Dapatlah aku melintasi jambatan baharu yang menghubungkan dari Rawang ke Serendah.
Sampai di Serendah hujan pun berhenti. Kami berhenti sekejap untuk membuka baju hujan dan set lokasi seterusnya menerusi aplikasi peta di google.
Taman Rekriasi Perigi Tujuh. Secara ringkasnya ia adalah suatu bentuk binaan seperti perigi untuk mengelakkan kawasan sekitar dilanda banjir. Ada 7 buah perigi untuk menyalurkan lebihan air keluar ke 7 buah pintu empangan. Di sini tak sesuai untuk mandi, tetapi untuk memancing ia dibenarkan.
Ada lagi satu tempat rekriasi yang berdekatan dengan perigi ini. Air Terjun Serendah. Jaraknya cuma 4 kilometer sahaja. Disebabkan hujan pada awal pagi, maka kualiti air tidak cantik langsung.
Cadangnya nak lah berhenti mandi, tapi bila tengok warna airnya macam air teh susu, terus aku batalkan hasrat.
Berhenti makan dan isi minyak dulu di Kuala Kubu Baru, kemudian sambung perjalanan ke Kerling melalui Kampung Serigala, Kalumpang, Felda Gedangsa, Sungai Dusun dan akhirnya sampai lah di sempadan Sabak Bernam.
Menjelang jam 6 petang baru kami sampai di pekan Sabak Bernam. Itu pun berpusing-pusing nak mencari batu tanda 0km.
Malam itu kami menginap di My Desa Stay di kabin untuk backpacker.
Hari Ke-tiga, Selasa (30/3/21)
Dalam perjalanan nak ke Kuala Selangor, aku berhenti untuk melihat Pantai Sungai Kajang. Aku rasa tempat baru buat ni.
No comments:
Post a Comment