Perjalanan bermula pada 15/8/23 dan tamat pada 29/8/23.Kali ini aku bersama anak lelaki telah menjelajah Negeri Sarawak dari Kuching sampai Bintulu sahaja kemudian berpatah balik ke Kuching semula.
Di sini aku catitkan lokasi-lokasi yang aku dah senaraikan sepanjang laluan. Beginilah aku membuat peta perjalanan. Yang mana aku dah sampai aku tandakan ✔️. Bila buat begini, kebanyakkannya alhamdulilah aku dapat sampai.
Oleh sebab itu, penelitian sebelum membuat kembaraan itu penting supaya kita tahu hala tuju nak ke mana dan tidak membuang waktu mencari-cari dan berpusing-pusing. Setiap tempat ni aku susun satu persatu.
Hari 1 (15/8 - Selasa)
Klia- Kuching Airport✔️
11.00 pagi- 12.50 tgh
Tambang : rm18
Selama 10 hari tersebut aku menggunakan motorsikal yang disewa daripada Rent & Ride Motorcycle Rental dengan harga sewa sehari rm60. Ini harga membawa motor keluar dari bandar Kuching. Deposit yang perlu aku letak adalah sebanyak rm150 untuk sebuah motorsikal.
Selesai urusan penyewaan motor, aku pun bergerak menuju tempat penginapan untuk hari pertama. Sebelum tu singgah kedai dahulu untuk membeli gas butane.
Woodpecker lodge: RM47✔️
Kat sini ada 2 ekor makhluk yang berbulu sangat lebat. Pada awalnya aku sangkakan anjing, memang nampak macam anjing yang berbulu lebat tu, sampai mata pun tak nampak. Dah nak balik bila ditenung betul-betul, eh rupanya kucing. Tak terfikir pula nak rakam gambar 2 ekor makhluk tu.
Seperti biasa, jadual perjalanan aku yang sediakan termasuk tempat penginapan. Semua aku dah aturkan dari awal. Memandangkan waktu di Sarawak lebih awal dari di Semenanjung, maka perjalanan pun akan dimulai awal pagi sekitar jam 6:30 pagi. Itu pun dah cerah macam jam 8 pagi.
Kuching Word sign✔️
Kuching waterfront✔️
Pada hari pertama aku tak jelajah sangat kawasan bandar Kuching ni, aku simpan untuk hari terakhir nanti.
Hari ke -2 ( 16/8/23- Rabu )207km
Sebelum memulakan perjalanan, kami berhenti sarapan dengan mee kolok di kedai Cina Muslim.
Diceritakan “European Hospital” yang menempatkan Ibupejabat Perubatan Sarawak Kingdom dilengkapi dengan pelbagai asas dan ruang kesihatan yang terkini. Di aras bawahnya sahaja dilengkapi dengan beberapa buah bilik konsultansi, sebuah makmal perubatan dan ruang pejabat para pegawai perubatan. Manakala aras satunya pula menempatkan barisan katil-katil pesakit serta mempunyai beberapa buah bilik ekslusif seandainya ada keluarga Brooke yang tidak sihat.
Perjalanan sejarah bangunan ini sangat panjang, aku singkatkan cerita, sehinggalah pada tahun 2000, penghuni bangunan Pavilion telah berpindah tangan dengan menjadikannya sebagai Muzium Tekstil Sarawak sehinggalah sekarang.
Di Muzium Tekstil inilah berhimpunnya segalanya mengenai sejarah tekstil Sarawak seperti pua kumbu, pakaian tradisi dan banyak lagi. Ianya menjadi antara tempat wajib dilawati apabila berkunjung ke Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang. Dan bangunan Pavilion ini masih utuh lagi dipelihara sebagai antara saksi bisu Sarawak yang telah ditransformasi dari era pemerintahan yang berbeza.
WL - sempadi terminus- ✔️
Aku mencari jeti feri, sebab di Sarawak banyak sungai jadi mesti ada lagi perkhidmatan feri. Inilah Feri Rambungan yang menyambungkan perjalanan melintasi Batang (Sungai) Rambungan.
Pantai Rambungan
Ada banyak pantai di sepanjang laluan menuju ke Telok Melano, aku cuma singgah sebentar, saja nak tengok keadaannya macamana.
Lundu ni sebuah daerah yang bersempadan dengan Kalimantan Barat. Bandarnya pun bernama Lundu. Walaupun bertaraf bandar, keadaan pembangunan di sini seperti sebuah pekan kecil. Masih ada bangunan kayu yang lama tapi masih diselenggara dengan baik.
Pantai Pandan✔️
Aku mengambil peluang untuk singgah di beberapa buah pantai yang terkenal di daerah Lundu.
Aku dapat tahu bahawa papan tanda KM0 Telok Melano sudah diganti baharu dengan gambar yang lebih menarik gara-gara kedatangan YDPA tempohari. Rasa terkilan juga lah kenapa tak tukar awal sikit masa aku datang. Haish.
Pos Telok Melano
Alang-alang dah dekat, aku pun terus menuju ke sempadan Telok Melano di pos Sematan. Pada awalnya memang tak berani nak dekat bila pegawai-pegawai pandang ja, tapi aku beranikan diri bertanya dan meminta izin untuk masuk bergambar.
Bila dah puashati, cepat-cepat aku keluar. Pada masa tu baru aku sedar yang tangki minyak perlu diisi. Untuk makluman, stesyen minyak memang tak ada dari Sematan hingga ke Telok Melano. Stesyen minyak terakhir cuma di pekan Lundu. Di situ ada Petron, Shell dan Petronas. Jadi kalau penduduk nak beli minyak terpaksa pergi ke pekan Lundu dengan jarak 58km sehala.
Walaubagaimana pun, ada satu tempat yang menjual minyak petrol dalam botol. Terletak di simpang bulatan menuju ke pos sempadan Telok Melano.
SEMATAN
Ketika aku sampai, kawasan waterfront sedang dinaik taraf. Jadi tak nampak lah pemandangan. Berhenti ambil gambar dan singgah ke kedai membeli air minuman sahaja sebelum menuju ke tempat penginapan untuk malam ke dua.
Putra Sentosa Retreat rm114.52✔️
Ini saja penginapan yang paling murah di ketika itu. Rata-rata chalet, hotel dan rumah inap harga sekitar rm150 satu malam. Ini adalah harga biasa di Sarawak. Bila dapat harga di bawah rm150 siap sarapan pagi, aku rasa paling bahagia. Aku tempah melalui agoda VIP ya 😬. Pasal tu semua hotel yang aku dapat harga cun-cun belaka.
Day 3 (17/8/23 - Khamis) 208km
Pos Biawak✔️
Selepas pos Telok Melano, aku nak pergi ke Pos Biawak pula. Saja nak tengok keadaan tempat yang tak pernah aku sampai.
Aku sangkakan kalau penempatan jauh dari bandar dan di sempadan negara, tempat tu mundur dan tiada kemudahan yang sepatutnya seperti yang ditayangkan dalam televisyen.
Ternyata lain halnya jika di Sarawak. Percaya atau tidak, di sini ada sekolah yang cantik, bersih dan cukup keperluannya. Jaringan internet pun penuh bar.
Tugu Peringatan Jangkar
Ceritanya begini, di sinilah telah gugur 15 anggota batalion ke 7 Rejimen Renger Diraja (7RRD), manakala 4 lagi anggota pasukan itu cedera parah dalam serang hendap yang dilancarkan segerombolan komunis kira-kira 60 orang pada 26 Mac 1972. 9 bulan sebelum kelahiran aku.😪.
Replika pelombong emas dan pokok periuk kera menjadi mercu tanda pekan Bau.
Tasik Biru ✔️
Difahamkan tasik biru ni bekas lombong emas. Sekarang dah jadi tempat rekriasi awam.
Serombong Asap Bau✔️
Aku ternampak tinggalan cerobong asap yang diperbuat dari batu bata merah. Tiada maklumat yang aku jumpa di internet. Adakah cerobong asap ini cerobong kilang sagu ?
Tasik ni tak dijaga seperti Tasik Biru. Kedudukan juga jauh dari pekan. Tak ada yang menarik di sini selain tempat orang memancing. Kenapa dinamakan Tasik Orkid, mungkin pada waktu tertentu banyak pokok orkid liar mula berbunga. Masa aku datang, tak ada pun pokok orkid. Lalang ja banyak tumbuh meliar.
Bengoh Dam ✔️
Dari Bau ke Bengoh Dam berjarak 36 km. Laluannya cukup cantik dengan pemandangan gunung batu kapur yang banyak.
Kampung Sting✔️
Curtain waterfall✔️
Jika nak ke air terjun, kita perlu menaiki bot lagi.
Susung waterfall✔️
Inilah rupa air terjun yang viral tu. Keadaan cuaca di sini tidak menentu. Dalam sekelip mata dia boleh hujan. Masa aku sampai keadaan di sini memang dah redup dan gelap ja. Memang tak dapat nak duduk lama-lama konon nak healing sampai lebam.
Day 4 (18/8/23- Jumaat)
Sekitar jam 8 pagi, Kikik menghantar kami berdua ke jeti empangan.
Kolam Air Panas Anna Rais
Di sebabkan ada satu tempat tumpuan pelancong yang cuma 18km sahaja dari Bengoh Dam, aku membuat keputusan untuk pergi melihat-lihat. Laluan masuk ke sini boleh tahan mencabar, jalan berbukit bukit tinggi naik turun tapi jalanrayanya bertarmac elok.
Tasik Danu Serian ✔️
Tasik ini terletak dalam laluan aku menuju ke Sri Aman. Jadi memang tak pusing merata lah. Dulu tasik ini cuma sebuah paya dan penduduk setempat menjadikannya tempat untuk menanam padi. Kemudian seorang pegawai teknikal Majlis Daerah mencadangkan untuk menjadikan ia sebagai kawasan rekriasi. Maka inilah yang terjadi sehingga hari ni.
Place to Stay Hotel : rm78✔️
Hotel yang sangat selesa, sebelah hotel ada dobi. Lagi mudah kerja aku tak payah pergi jauh jauh nak membasuh pakaian.
Sri Aman Waterfront✔️
Ikon Sri Aman adalah burung merpati. Ada beberapa pusingan jalan ada replika burung merpati lambang keamanan.
Bujang Senang
Replika buaya tembaga ni pulak ikon sungai Batang Lupar agaknya. Menurut penduduk, kadang ada nampak buaya timbul di tebing.
Ia dibina sebagai salah satu kawasan santai dan riadah di samping menjadi tempat untuk menyaksikan fenomena air pasang (benak) yang viral yang mana orang boleh bermain papan luncur ketika air pasang.
Asal nama kubu ini adalah kubu Simanggang. Tapi ditukar namanya sempena Margaret Alice Lili de Windt, isteri Charles Brooke setelah Brooke berjaya menawan kubu tersebut.
Engkilili - Lubok Antu ✔️
Ini semua gara-gara mitos seekor ular gergasi bertukar menjadi batu. Aku pun nak mencari lah. Papan tandanya jumpa, tapi bila nak cari batunya, hati jadi ragu-ragu sebab kena masuk dalam hutan yang aku sendiri tak tahu apa yang ada dalam tu. Separuh perjalanan, aku buat keputusan untuk keluar semula demi keselamatan kami berdua.Tak pe lah, batu je tidak la penting sangat. Itu lah ceritanya.
Batu 0km tak ada, 1km pun jadi lah.
Pos Sempadan Lubok Antu✔️
Saja masuk sini nak cari pos imigresen. 44km dari jalan besar Pan Borneo.
Menurut cerita yang diperturunkan daripada beberapa keturunan dan orang-orang tua di Daerah Lubok Antu, nama Lubok Antu wujud kerana di kawasan-kawasan Ulu-Ulu Sungai Batang Ai, sering berlaku peperangan dalam masyarakat Iban. Lantaran itu mayat-mayat orang yang terlibat dalam peperangan itu dibuang atau kemungkinan terjatuh kedalam sungai dan dihanyutkan oleh aliran deras sungai Batang Ai. Mayat-mayat yang dihanyutkan ini telah berkumpul di satu kawasan atau lubuk di hilir Batang Ai. Mayat-mayat berkenaan telah tersekat dan tersadai di lubuk berkenaan tanpa sesiapapun yang berani menguruskannya.
Kerana itu penduduk tempatan beranggapan bahawa kawasan atau lubuk itu telah menjadi "keras" atau "berhantu". Lalu lahirlah nama Lubok Antu yang mengambil sempena nama lubuk tempat mayat-mayat dari ulu sungai Batang Ai tersekat atau tersadai.
Dibina pada 1858 di atas Bukit Betong. Kubu terbabit sangat unik kerana ia diperbuat daripada kayu berlian dan struktur atapnya menggunakan daun nipah. Sekarang usianya sudah mencapai 165 tahun.
Kubu Betong kemudiannya ditukar nama kepada Kubu Lily mengambil nama Ranee of Sarawak Margaret Alice Lili de Windt iaitu isteri Rajah Charles Brooks yang menjadi Raja Sarawak yang ke 2.
Dalam perjalanan nak ke Sarekei melalui lebuhraya Pan Borneo, di tepi jalan simpang nak ke pekan Saratok, aku nampak macam hentian RNR, banyak kereta dan nampak macam ada gerai makan. Aku dah terlepas, tapi membuat pusingan semula sebab aku nak rakam nama Saratok tu je. Kat sini ada gerai jualan produk pertanian dan gerai makan, surau kecil pun ada.
Bila dah balik rumah, waktu nak tulis blog sambil mencari maklumat tambahan, baru lah aku tahu bahawa jika aku masuk ke pekan Saratok cuma 6km sahaja aku dah boleh rakam mercu tanda Saratok iaitu udang, ikan keli dan buah sawit. Selain itu ada lagi satu tinggalan sejarah Kubu Ranee yang telah dibina pada tahun 1888 ( 135 tahun ) di pekan Saratok.
Taman Sebangkoi adalah taman rekriasi di tepi lebuhraya Pan Borneo. Jika penat memandu, boleh lah berhenti rehat di sana. Aku nak ke sana tak boleh sebab kena cari susur pusingan yang entah berapa km jauhnya.
Pusat persinggahan Sebangkoi.
Barangkali macam nak buat hentian rawat dan rehat. Tapi nampak sepi je, pintu pagar pun bertutup.
Sarekei✔️
Selamat datang ke bandar pengeluaran nenas tersedap di Sarawak.
Menara jam Sarikei
Hotel Oyo Payang Puri Baru: rm53.78✔️
Hari ke- 6 (20/8/23- Ahad)265km
Jambatan besi yang merentasi Batang Mukah.
Selangau waterfront ✔️
4rty Inn : rm74.40✔️
Masuk ja Bintulu aku terus menuju ke tempat penginapan. Cuaca panas wooo nak cari ekon, nak cari ekon.
PANTAI TANJUNG BATU✔️
Setelah berehat secukupnya, pada sebelah petang aku pun keluar bersiar-siar hingga ke Pantai Tanjung Batu. Punya la ramai orang sampai sesak di kawasan parkir. Aku pun jadi hairan, ada karnival dan pesta ke kat sini.
Aku terlupa, yang hari tu hari Ahad. Setiap petang dan hujung minggu memang lah penuh kawasan rekriasi ni.
Banyak kemudahan yang telah dinaik taraf oleh Lembaga Kemajuan Bintulu untuk menjadikan Bintulu sebagai Bandar Raya Perindustrian Mesra tahun 2025.
Taman Lasar Kenyalang✔️
Hari ke-7 (21/8/23- Isnin) 264km
Monument council of state✔️
Monumen apa ni ?
Bintulu adalah rumah kepada mesyuarat dewan undangan pertama Sarawak. Ia telah diadakan pada tahun 1867. Selain Charles Brooke, Rajah putih kedua Sarawak di kerusi, terdapat 5 orang Pegawai British dan 16 Ahli (Ketua) Melayu dan Melanau untuk menandakan era baru dalam pengendalian urusan negara.
Jambatan Batang Mukah ✔️
Tapak pesta kaul Mukah✔️
Di sini tempat berlangsungnya pesta tradisi suku kaum Melanau yang disambut secara tahunan yang menghimpunkan pelbagai acara dan adat resam. Ia terletak di tepi laut. Kawasannya bersih dan ada disediakan wakaf-wakaf untuk berteduh.
Tinggalan serombong kilang rumbia ini adalah mercu tanda bandar Mukah. Dengan ketinggian 20 meter ianya masih kukuh dan merupakan tinggalan sebuah kilang sagu pada anad ke-19 untuk perusahaan sagu dan kanji.
Pada anad ke 20, harga sagu jatuh teruk dan banyak kilang sagu tidak dapat meneruskan operasi. Dinasti Brooke telah mengabaikan tanaman rumbia dan telah memperkenalkan tanaman dagangan yang baharu.
Pekan Oya✔️
Oya adalah sebuah pekan kecil yang terletak 26km dari bandar Mukah.
Majoriti penduduk di sini terdiri dari orang Melanau beragama Islam. Jadi tidak sukar untuk mencari makanan halal.
Feri Igan- Matu ✔️
Ini adalah feri yang kedua, setelah feri di Rambungan.
Style Inn : rm60✔️
Di ceruk-ceruk tempat pun masih ada hotel. Sarawak memang pantas membangun. Cuma mereka buat relak ja, tak de nak kecoh-kecoh. Bila kau datang baru kau tahu betapa up to date nya mereka di sini.
Pekan Daro✔️
Daro ialah sebuah daerah dan pekan di Bahagian Mukah. Majoriti penduduk Daro terdiri daripada kaum Melanau.
Mengikut ceritanya nama Daro berasal dari "Dao Aro" yang bermaksud "Bagus Ke" menjadi singkatan Daro. Kini pekan Daro pesat membangun dengan terbinanya pasar-pasar baru dan beberapa buah hotel.
Ikan terubuk pula menjadi mercu tanda pekan Daro.
Hari ke-8( 22/8/23- Selasa)270km
Feri Muara Lassa - Feri Pulau Bruit✔️
Pagi-pagi lagi aku dah keluar dari hotel sebab nak mengejarkan feri.
Pulau Bruit✔️
Pulau Bruit adalah pulau kedua terbesar di Malaysia selepas Pulau Banggi, Sabah. Beginilah pemandangan di Pulau Bruit. Tanahnya landai, jalan rayanya lurus sahaja sejauh 24km menuju ke jeti feri Batang Paloh. Pekerjaan penduduk di sini kebanyakkannya sebagai nelayan dan petani sebab nampak ladang pokok kelapa. Mereka kat sini pergi kebun naik ATV saja.
Feri Batang Paloh✔️
Selama ini feri lah yang menjadi penghubung antara pulau dan tanah besar.
Feri Saribas - Feri Pusa ✔️
Feri ke 7
Hotel Maludam rm88✔️
Hari ke- 9 ( 23/8/23) Rabu 146km
Feri Batang Lupar - Feri Triso✔️
Keluar saja dari hotel Maludam, hujan masih turun tanpa henti. Aku teruskan juga perjalanan, biar cepat sampai, mungkin di hadapan hujan sudah berhenti. Dari hotel ke jeti feri Triso cuma 16 km sahaja.
Ini adalah feri ke-8.
Senarai feri yang telah aku naiki. Ini adalah laluan tepi laut dari Mukah ke Kuching.
Feri Rambongan
Feri Igan-Matu
Feri Muara Lassa-Pulau Bruit
Feri Batang Paloh
Feri Paradom- Feri Tanjung Kunyit
Feri Kaba Saratok ( Feri Sg. Krian)
Feri Saribas -Pusa
Feri Triso
Place To Stay Riverside✔️RM69
Terlupa nak ambil gambar hotel ni. Sama juga terlupa nak bawak beg duit pergi ke dobi. Nak basuh baju duit takde. Kemudian, rasa tenang ja bawa motor tanpa lesen. Bila tersedar, baru kelam kabut kecut perut takut kena tahan dengan polis.
Hari ke- 10 (24/8/23- Khamis) 61km
Kampung Sapit✔️
Sebenarnya Kampung Sapit tak ada dalam jadual. Malam sebelum tu badan dah rasa tak sedap, macam nak demam. Bila tengok cuaca pagi tu cerah dan cantik, gagah jugak lah keluar. Nanti menyesal pula kalau tak pergi. Terletak sejauh 62 km dari bandar Kuching dan kampung ni adalah kampung paling hujung bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.
Keluar dari Kampung Sapit aku berhenti di kedai cuci kereta untuk membersihkan motorsikal aku yang sudah teruk rupa parasnya. Harga cucian biasa untuk sebuah motorsikal rm10.
TAMAN SAHABAT MALAYSIA-CHINA
Taman yang bersih dan cantik ni dikenali juga dengan nama Taman Sahabat. Ada kolam ikan di tengah-tengahnya dan ikan yg boleh kita beri makan. Terletak dalam kawasan taman perumahan. Ia dibina atas dasar meraikan ulangtahun ke 30 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Rent & ride (Pulang motor)✔️
Setelah cukup 10 hari menyewa, tiba masa untuk pulangkan semula motorsikal. Motor aku dah siap cuci bersih dan tangki minyak aku dah isi penuh. Aku pulangkan dalam keadaan yang sama macam aku ambil dulu.
Aku bagitau yang aku dah cicirkan pemegang talipon (phone holder) dan tanya berapa dia ambil kos untuk ganti rugi. Tokey tu cakap, tak apa lah. Tak perlu ganti sebab benda tu pun memang dah longgar. 😬 Alhamdulillah. Kalau tak duit deposit aku kena potong.
Selesai dia memeriksa keadaan motorsikal tersebut dia terus minta nombor akaun bank aku untuk pulangkan semula duit deposit rm300.
Servis dari kompeni ni sangat memuaskan. Layanan pun baik sangat. Motorsikal yang ditawarkan pun semua yang baharu. Tiada masalah ketika dalam perjalanan yang jauh.
Bacaan mula perjalanan 3,182km
Bacaan tamat : 4,925km
Total : 1,743km
One stop hotel : rm69✔️
Aku pilih menginap di hotel ini sebab dekat dengan lapangan terbang dan Sentral Terminal Kuching.
Hari ke 12 - di Kota Pontianak
Hari ke 13 - Keluar dari Kota Pontianak dan kembali semula ke Kuching.
Hari ke- 14
Bandar Kuching
Tahun 1827- menjadi pusat pemerintahan ke 3 Sarawak di bawah Empayar Brunei.
1841- Diserahkan pada James Brooks kerana membantu kerajaan Brunei menamatkan pemberontakan.
1942-1945 perang dunia ke -2, tentera Jepun menguasai.
1946 -perang tamat, Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak menjadi sebahagian daripada Mahkota British.
1963- pembentukan Malaysia.
1988- mendapat status bandar.
Kalau lah tanah Kuching ni macam orang, memang kental betul sejarah kehidupan dia. Macam benda saja diberi ke sana sini. Begitulah siksanya rakyat pribumi ketika itu yang berjuang habis habisan, pada akhirnya dianggap pemberontak.
Ah sama saja macam sejarah di Semenanjung. Titik.
Patung Kucing✔️
Aku perasan, patung kucing bukan sahaja ada di sini malah ada di beberapa lokasi. Ada yang di tepi jalan bawah pokok. Cumanya aku tak sempat nak ambik gambar sebab sekilas pandang masa kat lampu trafik. Kenapa kucing menjadi lambang bandar Kuching ?
Ada pendapat yang menyatakan bahawa Kuching mendapat nama sempena sebatang sungai kecil, Sungai Kuching yang mengalir di antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong. Sungai Kuching pula barangkali memperoleh nama daripada Kucing Hutan yang kerap mengunjunginya.
Di sinilah terletaknya sungai tersebut. Kini sudah dihiasi dengan air pancut yang ada arca burung enggang.
Sungai tersebut juga berhampiran dengan sebuah bukit yang banyak ditumbuhi oleh pokok Buah Mata Kucing. Lantaran tersebut ianya diberi nama Bukit Mata Kucing.
Terdapat teori yang menyatakan Brooke mengambil nama Kuching dari perkataan 'Cochin' yang bermaksud pelabuhan pada zaman itu. Sebelum meneruskan pelayaran, pedagang-pedagang dari India mahupun China sering singgah sebentar Kuching (Borneo) untuk mendapatkan bekalan dan ada yang mengambil kesempatan untuk memperbaiki kapal-kapal mereka.
Jambatan Darul Hana ✔️
Jika melihat dengan mata kasar saja kita dah boleh nampak yang jambatan ni berbentuk huruf S- awalan huruf Sarawak. Jambatan ini menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan. Jika korang tahu, bandar Kuching dibahagi menjadi dua wilayah pemerintahan yang dikawal selia oleh dua pemerintah bandar yang berbeza.
Di puncak dua batang tiang yang menampung jambatan ni ada diletakkan simbol Burung Kenyalang, burung kebanggaan negeri Sarawak.
Kubu Margherita✖️
Tak pergi pun. Tengok dari Kuching waterfront sahaja.
Nampak dari jauh sahaja.
Water cascade✖️
Aku baru sedar yang aku tak pergi pun kat bahagian Kuching Utara. Banyak berpusing-pusing di bahagian selatan sahaja.
Nurul Hana Musical Fountain✔️
Air pancut berirama Nurul Hana ni diurus selia oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara.
Bangunan empat segi ini dahulunya adalah Rumah Pasung kerana pernah menjadi tempat tahanan sementara bagi menempatkan pesalah sebelum dikurung di Kubu Margerita. Sekarang dah jadi tempat informasi Pelancongan.
Di sepanjang laluan pejalan kaki di Kuching waterfront ada dibina beberapa siri plat tembaga ‘History Walk’ menceritakan tentang kisah sejarah negeri Sarawak. Kalau nak memahami tentang negeri Sarawak, cari lah dari awal plat nombor 1.
Setakat itu sahaja cerita pengembaran aku di bumi Sarawak. Banyak lagi tempat yang aku tak pergi dan ada yang terlepas pandang. Insya allah, rasa macam nak datang lagi. Tapi entah bila.
Hari ke-15
Ayoh lah kita pulang.
Hari terakhir, sekali lagi aku menginap di One Stop Hotel. Kali ni dapat harga rm49 sebab tingkat paling atas.
Jam 9 pagi dah tempah grab yang berharga rm5 untuk 5 km ke lapangan terbang.
Catatan ringkas aku selama 12 hari di Sarawak :
Pandangan aku untuk 12 hari ni, rasanya best sangat. Negeri yang dari hujung ke hujung sangat menitikkan soal kebersihan. Setiap daerah, mukim dan kampung semua ada disediakan tong sampah. Tong sampahnya pun sentiasa kosong.
Jalan raya kebanyakkannya halus mulus. Hatta masuk ke dalam kampung -kampung pun jalan berturap halus.
Para pekerja buruh pun semua dari anak tempatan.
Majlis Daerah di semua daerah macam berlumba-lumba untuk mencantikkan daerah mereka.
Trafik walaupun sesak, tapi semua relak ja. Jalan kosong pun grab boleh bawak santai-santai. Dalam hati aku boleh cakap “ala tekan je la minyak tu kasi laju sikit🤭”.
Takde langsung bunyi honk. Kalau ada bunyi honk itu bermakna pemandu dari negeri lain.
Orang-orang Sarawak sangat ramah. Tak buka mulut nampak sombong dan garang. Bila dah buka mulut, cerita sambung menyambung senyum aja.
Termasuklah pelayanan sewa motor dan tempahan hotel. Hotel ada yang terpaksa dibatalkan kerana penuh, seboleh-bolehnya mereka nak bercakap dengan kita dan uruskan pulangan duit kita serta merta. Lembut dan berkali-kali minta maaf.
Makan, aku ni cerewet bab makan. Siap bawak pek Brahim’s takut jadi mcm kat Sabah dulu. Asyik makan Mcd ja. Tapi alhamdulillah masakan orang Sarawak aku boleh terima dan sedap. Masuk kampung-kampung pun sedap masakannya. Aku cuma makan KFC 2 x itu pun sebab nak rasa burger satay. Kali kedua sebab kat Terminal Sentral Kuching cuma ada bakso dan ayam penyet. Tak mau lah.
Orang Sarawak suka bersukan dan beriadah. Setiap daerah, mukim dan kampung akan ada padang dan gelanggang tempat untuk mereka beriadah.
Aku simpulkan, kerajaan Negeri Sarawak sangat bijak mentadbir negerinya, lebihkan keperluan rakyat seperti jalanraya yang bagus dan kemudahan awam.
Yang lebih penting adalah jaringan internet yang kuat. Sepanjang aku mengembara, masuk ke ceruk -ceruk kampung yang berada di tengah gunung ganang, data internet ada ja. Penuh. Aku guna U-Mobile dan Digi.
Kalau tak ada bendera Malaysia dipasang berganding dengan bendera Sarawak, aku boleh kata Sarawak ni sebuah negara. Ini hanya pandangan aku yang cetek sahaja.
No comments:
Post a Comment