Tour de Borneo
30hb Ogos - 8hb September 2019
Cerita semalam ketik di sini.
3hb September 2019
Muara - WP Labuan
Kami bangun awal, sebab tak nak terlepas feri pertama ke Labuan. Tuan rumah pula hantarkan minum pagi buat kami melalui pembantunya.
Tak lama tu, pembantu rumah datang lagi nak bagi air berperisa. Aku tolak dengan cara baik. Mungkin tuan rumah suruh juga beri pada kami, pembantu datang lagi dengan membawa air mineral pula sambil berkata dengan nada berbisik " Ya udah ambil aja".
Bila tengok riak muka dan gaya dia aku pun..owh oke oke.. Terima kasih banyak-banyak ya.
Sebelum keluar, kami bersihkan rumah sewa tu seperti sedia kala. Singgah ke rumah Haji Hassan untuk mengucapkan terima kasih. Malangnya beliau sudah keluar menghantar cucunya ke sekolah. Kami bertemu dengan isterinya sahaja.
Tatkala kaunter dibuka kami beri laluan pada seseorang untuk menguruskan hal tiket.
Tiket sehala $15 bersamaan 45.50myr.
Di sebelah kaunter tiket ada kaunter pengurup wang, jadi aku mengambil kesempatan untuk menukar wang Brunei yang masih berbaki beberapa $. Duit syiling pun aku tukar. Malas nak simpan. Ahaks.
Jam 9.30 kami dibenarkan masuk ke ruang pelepasan. Segala bag hendaklah diturunkan dari basikal, supaya meringankan kerja-kerja para petugas menaikkan basikal ke atas dek feri.
Penumpang pula boleh duduk di mana-mana kerusi yang kosong.
Amboi, selfie lentiknya. Ha ha ha.
Kesian dia berjemur.
Sampai sahaja di jeti Labuan, kami tak sempat melihat para petugas menurunkan basikal.
Keluar saja dari pintu feri, semua basikal sudah diletakkan di pelantar. Wah pantas betul mereka bekerja. Hebat la orang Labuan.
Bila sudah yakin tiada barang yang tertinggal, kami mendorong basikal masuk ke kompleks dan beratur di checkpoint imigrasen untuk pelepasan masuk ke Labuan.
Setelah semua selesai Naim ajak jumpa kawannya dahulu di kedai makan.
Okey, hari ini santai-santai saja, tiada apa yang mahu dikejar.
Kawan Naim ajak makan di restoren mee sup ikan yang terkenal. Haa beginilah rupanya. Nampak sedap, tapi aku tak makan pun. Dorang makan la, sebab masa tu dah masuk waktu makan tengahari. Aku mesti nak makan nasi jugak. Kalau makan mee ni kejap ja kenyang, lepas tu lapar semula.
Selesai ja dorang makan mee, giliran aku pulak makan. Hehe. Mujur ada Restoren Ayam Penyet Ria kat sebelah bangunan tu ja. Pindah makan kat sana pulak.
Aku order nasi ayam penyek, yang lain pun tetiba order nasi jugak. Aik.. Kuatnya makan. Bukan korang baru ja makan mee sup ke ? (dengan muka tercengang)
Terpedaya la tu macam King ni. Dia order Cendol Cinta. Sekali datang, tu dia punya cinta melimpah-limpah siap ada topping durian lagi. Mengah nak abiskan.
Kami sengaja berlama-lama duduk di dalam restoren yang ada pendingin udara sebab cuaca ketika itu terlalu panas terik, apalagi kedudukannya di tepi laut. Umpama kita sidai kain, 10 minit dah kering. Tu dia punya panas. Sambil-sambil tu berbincang tentang arah tuju seterusnya untuk mencari tiket ro-ro ke Menumbok dan tempat bermalam.
Usai membayar harga makanan, kami bergerak menuju kaunter tiket Ro-Ro untuk membeli tiket pelayaran esok hari ke Menumbok. Harganya 8myr sehala.
Beginilah pemandangan di perairan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
Tiket feri dah selesai, beralih pula ke tujuan seterusnya mencari tempat tidur.
Dalam perjalanan mencari lokasi bermalam, kami ambil peluang meronda-ronda sebentar di padang awam untuk mencari titik 0km, tapi tak jumpa pulak. Akhirnya bergambar di sini saja. Waktu panas terik nak berfoto memang gelap la hasilnya.
Lihatlah betapa teriknya cuaca, haish tak kuasa nak berfoto lama-lama.
Pantai awam Tanjung Purun
Pada mulanya kami berkayuh hingga ke pantai Navy, kawasan yang menarik, pemandangan yang indah dan redup cuma tandasnya ditutup awal.
Wak Jan keluar semula untuk mencari lokasi lain yang mempunyai kemudahan tandas. Yang ada cuma di Pantai Tanjung Purun. Tandas tutup jam 6 petang. Hrm., apa boleh buat pandai-pandai la nanti.
Sementara menanti petang kami berehat aja. Nak pasang khemah cuaca masih panas, lagipun ramai yang lalu lalang, tak selesa pulak. Wak Jan usah cakap la, kat mana-mana dia boleh tidur.
King tetap dengan kerja-kerja pejabat yang belum selesai.
Jam sudah melewati jam 6 petang. Aku terlupa nak mandi sebelum tandas dikunci. Kelam kabut berlari ke tandas minta kakak tu bagi masa sekejap untuk aku mandi. Alhamdulillah dia angguk saja.
Itulah mandi tanpa rasa nikmat sebab mengejar waktu. Huh. Nak berangan ala-ala mandi kat hotel pun tak sempat. Sebab apa aku cakap macam tu, sebab kepala shower dia cantik. Berbentuk empat segi besar terletak di atas kepala. Bila kita buka paip, air turun macam air hujan. Ce bayangkan.
He he he.
Dah la cuaca panas, nak lama-lama pun tak sempat. Ehek.
Malam tu kami tinggalkan kejap khemah untuk mencari makan malam di Medan Selera Labuan. Menarik juga medan selera dia sebab ada band busker yang menghiburkan pelanggan.
Macam biasa bila larut malam cuaca agak panas, tiada angin pun yang sudi menghembus mendodoikan aku tidur. Aku tumbangkan khemah jadikan lapik dan tidur saja di bawah langit bersama berjuta bintang.
4hb September 2019
Labuan
Jam 7.50 pagi kami dah sampai di terminal feri. Para penumpang dan kenderaan sedang menunggu isyarat naik ke Ro-Ro.
Sebelum naik, tiket diperiksa oleh salah seorang pegawai bertugas yang berbaju oren dan memakai topi keselamatan.
Basikal, kami letakkan di ruang tempat duduk yang berpalang. Ikat molek-molek agar tidak bergoyang.
Kemudian kami naik ke atas dek.
Suasana di ruang legar dek agak sibuk, penumpang bebas duduk di mana-mana yang mereka suka. Kebiasaannya aku ni akan duduk di luar kapal untuk melihat pemandangan, tapi kali ni aku memilih untuk duduk di ruang kabin penumpang yang ada pendingin udara.
Ada juga kedai jualan. Harga barang yang dijual kalau stended aku "bila terdesak baru beli". Faham-faham aja la ya. Ehek.
Jam 10 pagi kami tiba di terminal feri Menumbok. Tak banyak yang aku boleh ceritakan sepanjang pelayaran ni selain dari melihat pemandangan pulau-pulau dan lautan.
Berbeza dengan Wak Jan, King dan Naim, ternampak mereka disapa oleh beberapa orang pendakwah tabligh yang datang dari serata ASIA untuk menghadiri majlis Musyawarah Program Ijtima' Beaufort Sabah Malaysia dari 7-9 September 2019. Kena tazkirah ke tu ?
Menumbuk- Homestay Baloi Maai : 32km
Feri sudah menghampiri jeti. Kami biarkan semua kenderaan keluar dari platform ro-ro. Saja tak nak berebut-rebut.
Jejak sahaja di tanah Menumbok, mata sudah melilau melihat keadaan pekan kecil itu. Bas-bas sudah menanti penumpang untuk dihantar ke Kuala Penyu atau Beaufort.
Naim pantang nampak orang jual buah-buahan terus dia berhenti dan bertanyakan harganya. Kali ni makan buah tarap pulak.
Ada cerita lucu tentang buah tarap ni. Maklumlah, tak pernah makan, jadi tak tahu cara nak kopek buahnya.
Rasa buah tarap ni unik, pada lidah dan tekak aku rasanya manis yang ada sikit rasa vanila, tekstur isi hampir macam cempedak. Kalau makan tu leka macam makan kuaci. Ye la sebab dia kecik-kecik.
Bambangan pula macam buah Kuini. Selalu dorang buat jeruk. Katanya buah ni elok untuk membunuh sel kanser. Tapi masam la, aku kalau masam-masam ni kurang sikit minatnya.
Satu lagi buah yang aku dah rasa adalah buah Belunu, orang Dusun panggil Bundu. Orang Semenanjung panggil Binjai. Dia dalam keluarga Binjai cuma dia manis. Isinya rasa macam yogurt mangga. Rasa manis yang tersendiri.
Lama jugak la kami duduk makan dan minum kat kedai kopi tu. Semua makanan tempatan nak dicuba. Seperti gambar di bawah ni nasi pulut berintikan sambal kosong dan dibungkus dengan daun nipah.
Pekan Menumbuk ni kecil ja tapi sambutan Selamat Datang dia sangat menarik. King berhenti untuk bergambar di replika ketam, udang dan sotong. Entah kenapa ada ketam pulak. Macam tau-tau ja King suka ketam.
Hari ini kayuhan hanya sampai ke Homestay Baloi Maai sejauh 32km. Tapi dia punya 32 km terasa cukup jauh. Itu la, biasa kita ukur jarak di google map nampak macam dekat saja. Itu yang set dalam minda kayuh lenggang kangkung. Sikit-sikit berhenti konon dekat katanya boleh la meleca-leca.
Sekali bila di atas lapangan, nah ! ambik kau rasakan. Dia bagi bukit silih berganti. Bukan itu saja, ladang sawit dan hutan sepanjang jalan. Ditambah dengan cuaca terik matahari tegak atas kepala sebab takde pokok-pokok yang sudi menaungi. Matilanak.
Teruskan kayuhan dengan redha hingga melalui Kampung Melikai. Nampak gerai menjual ketam nipah. Naim berhenti. Aku dah fikir, aik takkan Naim nak beli ketam ni. Mahal kot.
Ku peratikan anak muda yang menjual ketam tu boleh tahan hensem. Oke la tu dia tak malu nak menjual ketam tepi jalan. Ketam pun dibahagi-bahagikan mengikut saiz dalam beberapa sangkar dengan harga tertentu. Kalau tak silap paling besar kira gred A sekilo 30myr, gred B 25myr yang lebihnya aku tak peduli pulak. Hiks.
Naim pilih gred A yang besar-besar 4 ekor, kira nanti makan sorang sekor la. Bila ditimbang harganya 51myr. Mak aih biar betik. Macam tak caya ja harganya cenggitu. Kat Semenanjung pun aku tak berani nak beli sebab harganya hanya mampu tengok ja.
Haa, besar tak ? Sepit dia pun memang banyak isi. Puas la makan.
Aku memang syorkan, jikalau sesiapa yang datang ke Menumbok - Beaufort, nampak orang menjual ketam nipah, singgah la beli. Berbaloi.
Kami singgah di Masjid Al Falah di Kampung Berangkok untuk berehat dan berteduh dari terik matahari, peluang tu aku ambil untuk mandi. Ye la, mana maunya pagi tadi mandi dengan wet tisu ja. Euui, rimas.
Satu kenikmatan bila dapat mandi tengah-tengah panas. Lega. Dah segar dan selesa barulah best nak bersolat.
Naim kata dah tak jauh, tak pe kita rehat lama sikit. Uhf, aku rasa nak tidur ja. Masa-masa macam ni aku rasa menyesal sebab tak bawak hammock. Bila bawak, takde pokok. Bila tak bawak, banyak pulak tempat best yang boleh gantung hammock. Terkilan betul la.
Keadaan cuaca tetap panas, kami teruskan perjalanan. Baru kayuh 7 km Naim dah ajak berhenti minum di Rumbia Information Centre. Tempat apa ni ?
Rumbia Information Centre.
Pusat maklumat ini terletak di Kampung Kasugira, ia adalah tempat pameran mengenai kraf tangan yang diperbuat daripada tumbuhan sagu dan demonstrasi bagaimana membuat makanan sagu. Kira macam muzium la.
Di Kuala Penyu ethnik yang mendiaminya adalah dari suku Kadazan (Dusun Tatana). Sagu yang kaya dengan karbohidrat merupakan makanan ruji alternatif bagi orang Bisayas dan Kadazan dan dikenali sebagai "ambuyut". Kanur atau sagu diekstrak dari batang rumbia yang sudah matang.
Semua bahagian pokok rumbia/sagu boleh digunakan. Penduduk tempatan menggunakan daun sebagai bahan bumbung dan dahan (dikenali sebagai kumbar) untuk membuat dinding rumah mereka. Tikar, bakul pelbagai saiz dan bentuk adalah beberapa contoh perkara yang dibuat sepenuhnya dari pelbagai bahagian pokok ini. (sumber wiki)
Baru aku tahu, banyak cabang rupanya ethnik di Sabah. Bukan hanya Kadazan dan Dusun, tapi pecahan-pecahan sukunya banyak. Itu lah, kalau duduk rumah ja mana nak tahu. Kalau tahu pun belum tentu faham jika tidak masuk ke dalam lapangannya.
Di ruang legar ada beberapa buah kedai cenderahati. Dari sinilah kami mendapat maklumat tentang kepelbagaian ethnik di sini. Pakaian yang dipamirkan pun dari suku Dusun Tatana. Semua ini untuk disewa.
Aku ada ternampak tanjak dijahit dari kain songket. Saja tanya harga. Dia bilang 100myr. Lipatan tanjaknya tak sama macam tanjak orang melayu. Silap la aku tak ambik fotonya.
Gambar ke 2, 3 dan 4 adalah bentuk perisai pahlawan suku Tatana. Gambar di bawah pula penampakan sosok sorang lagi suku Tatana sedang membantu proses mendapatkan sagu.
Homestay yang kami tempah hanya 1.4km dari Rumbia Informationn Centre.
Penginapan homestay ini dimiliki oleh Uncle Bian dan Aunty Grace.
Selain mengusahakan homestay, mereka berniaga pelbagai barang di gerai depan rumah. Menurut Aunty Grace, masa dahulu dia berniaga buah buahan di pekan Kuala Penyu, tapi sekarang bila umur sudah meningkat dia berniaga di hadapan rumah sahaja.
Konsep berniaga dia mudah saja, setiap barang diletakkan harga. Kemudian dia letakkan tong duit. Jadi siapa yang nak beli boleh ambil dan masukkan harga barang tu ke dalam bekas yang disediakan.
Bila aku tanya, kalau orang ambil saja dan tak bayar macamana ?
Jawabnya mudah, "apa buli buat, kita anggap seja itu sedekah"
Dush !
Walaupun mereka beragama Kristian tapi mereka menyambut, meraikan dan melayan kami dengan ramah sekali. Basikal kami pun dia suruh simpan di dalam rumahnya.
Petang tu kami bersembang, konon nak ke Pekan Kuala Penyu dengan berbasikal. Jarak sehala dalam 10km. Tapi Uncle Biam kata tak usah kayuh basikal, biar dia yang bawa bersiar-siar dengan keretanya.
Kami agak serba salah kalau boleh tak mahu menyusahkan dia. Katanya dia berbesar hati dapat bawa tetamu melawat ke tempat dia.
Akhirnya kami bersetuju. Masing-masing bersegera masuk membersihkan diri dan berwangi-wangi. Ketam yang 4 ekor tu pun bawa sekali. Sepanjang perjalanan Uncle Biam bercerita tentang tempat-tempat yang kami lalui.
Dahulunya di Kuala Penyu ada sawah padi. Tapi sekarang hanya tinggal tanah sawah yang terbiar. Memang betul, kiri kanan seluas luas tanah dah jadi semak. Generasi sekarang dah tak berminat nak teruskan penanaman padi.
Hingga ke Pantai Sawangan kami dibawa berjalan. Kata Uncle Biam pantai ni menarik sebab boleh nampak Pulau Tiga, ala lokasi pengambaran siri Survivor yang popular tu la.
Nampak tak pulau Tiga yang kat belakang tu. Kalau ada masa yang panjang, mau aku lepas ke sana jugak. Malang nya nda ada masa bha.
Melompat bersuka ria ya. "Aku peratikan ja", kata penunggu pokok ara itu.
Akhir sekali kami berhenti di Anjung Sitompok, medan selera di tepi muara. Naim nampak lagi penjual buah, dia berhenti lagi beli buah durian dan dukong.
Nak merasa durian Kuala Penyu pulak.
Haa, ketam yang dibeli tadi, kami minta tukang masak yang masakkan. Nanti kita bayar upah masak ja.
Sementara menunggu hidangan siap dimasak kami makan buah dulu.
Wak Jan pula sibuk mengambil foto persekitaran tempat makan ni.
Aunty Grace dari tadi rancak bersembang dengan kawan-kawan datang bawa buah rambutan pulak. Sudahnya meja tu penuh dengan buah.
Tadaa.. Ketam masak cili sudah siap. Sambal dia sangat sedap, kena dengan tekak aku.
Cumanya, nak makan ketam separuh pun dah mengambil masa berjam-jam. Nak kopek pun payah sebab kulitnya tebal. Teknik yang Naim ajar dengan ketuk menggunakan sudu.
Memang berkesan tapi tu la comot merecik sana sini. Kesian uncle dan aunty menunggu lama. Mesti penat. Jadi aku cakap pada Naim, kita bungkus je la nanti sambung makan kat homestay.
Bukti bahawa Wak Jan yang tak makan ketam pun terjebak. Tapi dia, makan cincai. Sepit yang masih ada isi pun dia buang. Hai la Wak Jan. Dia tak suka makan benda yang renyah. Kalau ada tukang kopek baru dia makan. Macam Si Phen Dhee Ther, abang aku yang seorang itu.
Sampai homestay, uncle dan aunty terus masuk rumah tak keluar-keluar dah. Sebenarnya orang sini memang tidur awal. Kami ja masih duduk berborak sambil makan durian. Entah pukul berapa Naim dan King masuk tidur. Wak Jan lama dah tergolek kat ruang depan, talipon dan dompet terletak macam tu ja. Haish.
*Ada cerita mistik yg terjadi pada Naim, Wak Jan dan King di bilik sebelah.
Bilik aku oke ja. Aku tidur sorang-sorang lena sampai subuh. Si dia nak ngusik aku pun malas sebab tidur mati, jadi dia usik la Naim. Hehehe.
5 September 2019
Kuala Penyu - Beaufort : 31 km
Setiap pagi automatik aku akan jaga jam 4 pagi, bangun mandi dan solat. Kemudian siap berkemas. Bila keluar tengok Naim masih berkain pelikat. Aik, nak gerak pukul berapa ni ?
Katanya nak bersarapan dulu, habiskan lauk malam semalam. Oke la kalau macam tu. Ringan lagi beg aku nanti.
Tolak campur bahagi, kami keluar jam 9 pagi juga. Masa tu matahari dah tegak. Aduh panas. Huhu. Laluan hari ni katanya landai dan lurus saja. Ngerinya sebab jenis kayuh-kayuh yang tak sampai-sampai.
Kalau jalan berbukit walau minta nyawa tapi bila menurun dah boleh cover beberapa kilometer, lagi la cepat sampai. Itu ja pro dan kontra nya.
Dari homestay ni ke Beaufort 30 km. Tentangan yang harus dihadapi adalah cuaca panas, angin dan kenderaan yang sibuk.
Kami melintasi simpang ke Monkey Top Safari tapi waktu tu masih awal pagi, sedangkan trip menaiki cruise di Sungai Klias jam 3. 30 petang sebab waktu itu baru monyet belanda keluar.
Kami teruskan perjalanan. Baru mengayuh sejauh 7 km dari MTS dengan cabaran kepanasan dari bahang sinar matahari tiba-tiba ada kedai jual cendol kat depan mata. Eh kau rasa ? Fatamorgana ke tu ? Menakjubkan lah. Allah mendengar permintaan hambanya. Hiks.
Nama kedainya Cendol Kasih. Hiasan dalaman nampak hipster dengan menggunakan barang-barang antik bernostalgia dan seni anyaman. Banyak gambar pemilik kedai beserta ayat-ayat motivasi digantung di dalam kedai.
Nak memilih menu cendol pun berjam-jam sebab cendolnya banyak sangat pilihan.
Saja lah nak merasa cendol yang lain dari kebiasaan.
Ini bukti bergambar yang Wak Jan minta tambah cendol kali kedua.
Melihatkan ayat-ayat di dalam kedai ni dah dapat rasa yang pengusaha ini barangkali seorang ibu tunggal yang bangkit dengan usaha sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Beaufort
Kami sampai di Beaufort jam 12 tengahari.
Wak Jan terus ke kaunter tiket untuk mencari tiket ke Tenom. Malangnya keretapi yang biasa beroperasi rosak. Keretapi yang ini tak mampu menarik gerabak barang ke Tenom jadi hanya gerabak penumpang sahaja yang beroperasi. Basikal tak boleh bawa sekali.
Ala.
Alang-alang dah sampai, takkan nak lepaskan peluang ni. Jadi aku cadangkan teruskan plan ke Tenom dengan cara backpacked. Basikal kita tinggalkan di stesen keretapi dan minta
jasa baik pegawai tolong simpankan.
Lagi sekali Wak Jan masuk ke dalam pejabat cuba mendapatkan budi bicara dengan pegawai bertugas Mr Edmund untuk simpankan basikal kami.
Alhamdulillah Mr Edmund memahami dan memberi cadangan kami menyimpan basikal di dalam gudang di sebelah pintu masuk.
Tiket berlepas jam 1 petang. Harga untuk perjalanan sehala cuma 2.75myr. Berbaloi la dengan harga begini dan aku akan dapat pengalaman yang sangat mahal.
Bersambung, ketik di sini.
No comments:
Post a Comment