Sunday, September 15, 2019

Negara Brunei Darussalam

Tour de Borneo
30hb Ogos - 8hb September 2019

Cerita kelmarin ketik di sini.

1hb September 2019
Masjid Mohammad Jamalul Alam- Pantai Seri Kenangan : 73 km


Jam 4 pagi aku dah bangun membersihkan diri. Di sini jam 4.55 pagi  dah masuk waktu Subuh. Sementara menanti azan, aku kemas bag dan kawasan tempat aku tidur seperti sediakala.



Lepas solat subuh ada ceramah, dan kemudian para jemaah  dihidangkan sedikit jamuan. Aku segan nak keluar, jadi baring-baring je. Tiba-tiba aku dengar nama aku dipanggil. Ingatkan kenapa, rupanya aku dibawakan sarapan oleh pembantu imam. Diangkat kan juga meja dan kerusi.



Adoilah.. Malunya. Dilayan dan diraikan sebegitu rupa. Tak lama kemudian King bawa lagi sepinggan mee hoon, kuih dan air. Dia fikir aku tak makan lagi. Aiyayaii..Terima kasih King. Allah beri nikmat bertimpa-timpa di 1 Muharam. Terima kasih Allah.


Seluruh masjid di Brunei mengadakan aktiviti sempena Maal Hijrah serentak, jadi masjid ni ada menganjurkan 'walkathon', aktiviti berjalan kaki mengikut laluan yang dipilih bermula dan berakhir di masjid itu. Aku rasa ia sebagai simbolik penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Wak Jan dan King tak lepaskan peluang untuk turut serta bersama-sama kariah masjid menjayakan aktiviti tersebut.



Bila dah sembang dan berkenal-kenal, baru lah terbuka cerita yang suatu ketika dahulu masjid ni pernah disinggahi oleh SabakBoyz yang dalam rangka projek membersihkan masjid. Masjid ini yang terpilih. Itulah salah satu asbab mereka menyantuni kami selama berada di masjid ini.


Jam 9 pagi kami bersedia untuk memulakan perjalanan.


Pihak masjid memberikan kami bekalan air mineral. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih sangat-sangat. 




Kami singgah dahulu di KBku Ceria. Tempat acara berbasikal yang lebih kurang macam Car Free Day di K.Lumpur /Shah Alam.


Taat Kepada Allah - Setia Kepada Raja - Cinta Kepada Negara



Sesuatu yang buat aku tertanya-tanya bila berada di Brunei ialah, kenapa jalur atas jalan ni bengkang bengkok, apa maksudnya ? Ku tanyakan pada orang tempatan, mereka mengatakan bahawa maksudnya tanda  'berwaspada.' sebab ada simpang kenderaan keluar masuk. Oo.


Tiba-tiba nampak Wak Jan dan Naim membelok masuk ke tempat berpagar. Dorang tengok  benda apa tu ?


Rupanya itu lah pam telaga minyak. Bukan 1 tapi banyak tiada terkira. Sepanjang Jalan Utara kita akan nampak pam ini berada di tepi pantai, di padang golf, taman rekriasi, dalam semak, dalam hutan dan tanpa pengawasan yang ketat. Maksudnya tiada pengawal.

Sedang leka melihat penemuan itu, kami disapa oleh seorang 'rider' yang kami jumpa di KB Ceria tadi. Abang Burn dalam perjalanan pulang ke rumah bertemu dengan kami dan bersungguh-sungguh menawarkan diri untuk membawa dan menunjukkan lokasi  bersejarah yang berkaitan dengan minyak kepada kami.

Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd

Bangunan syarikat minyak dia sempoi ja. Tak de la setinggi KLCC.


Brunei Asia Pasific Shell Learning Hub


Billionth Barrel Monument


Tapak monumen ini dahulunya telaga minyak yang pertama sekali ditemui. Sebuah telaga ni saja dapat mengeluarkan minyak mentah sebanyak 1 billion tong. Setelah minyak di telaga ini habis,  dibinalah satu monumen sebagai simbol kebanggaan pencapaian pengeluaran minyak mentah di Brunei. Setiap elemen reka bentuknya mempunyai maksud yang tertentu. Boleh baca di sini








Kami meneruskan perjalanan melalui Jalan Tengah melalui Panaga - Liang - Telisai hingga ke Tutong dalam cuaca yang panas terik.


Jam sudah menunjukkan pukul 11 lebih, berhenti sebentar di  Taman Rekriasi Jubli untuk makan tengahari. Tiada kedai makan ? No problem ! Chef King masak.



Kami ada bawa serunding daging, sambal bilis, kari ayam dan sambal ikan masin talang. Sardin pun ada.



Taman rekriasi ni memang cantik dan damai ja. Rasanya sesuai untuk pacak khemah, ada tandas dan surau. Cuma bahayanya kat sini banyak monyet dan dalam tasik ni ada buaya. Kalau pacak khemah tepi tasik, bimbang esok pagi bila bangun ada buaya bersidai depan pintu khemah. Acanner tu ?



Kayuh di Jalan Telisai pun dah mental. Panas terik, berangin, jalan yang lurus, tiada pokok yang rimbun untuk berteduh apalagi gerai chendol. Nda ada !



Akhirnya tiba di Tutong dan terus menuju ke Pantai Seri Kenangan. Tempat kami bermalam untuk hari kedua.

Pantai Seri Kenangan
Bentuk muka buminya memanjang lebih kurang seperti di Kampung Mangkok, Penarek. Di kiri sungai, di kanan pantai dan laut. Kawasan rekriasi ini dijaga kebersihannya. Tapi awas, ada buaya juga.


Kelihatannya lokasi ini menjadi tempat berkumpul anak-anak muda sambil menunjuk kehebatan kereta masing-masing. Sepanjang-panjang jalan mereka melepak beramai-ramai dengan menekan -nekan pedal enjin supaya orang tahu hebatnya enjin kereta dia. 

Motorsikal ? Jangan harap la nak tengok kat Brunei ni. Kalau ada pun motorsikal berkuasa tinggi. Kapcai-kapcai hanya digunakan untuk penghantaran oleh Pondok Pizza.


Kemudahan tandas ada, keadaannya sama macam kat Semenanjung. Pintu tandas tak ada kunci, sinki tiada kepala paip. Jam 6 petang sudah dikunci. Sebenarnya jika nak bermalam di tempat-tempat rekriasi diseluruh Brunei ni perlu dapatkan kebenaran pihak yang bertanggungjawab. Contoh kalau kat tempat kita , Majlis Perbandaran. Kalau main terjah aja adalah suatu kesalahan kerana ia berkait dengan keselamatan. Mujur Naim, King dan Wak Jan dah kawtim dengan penjaga tandas warga Indonesia di situ supaya memberi maklum pada bosnya tentang perkhemahan kami.


Mujurlah tengah malam aku tak terjaga nak bangun pergi tandas. Kalau tidak, jenuh la nak cari port panggilan alam yang taleh buat bincang itu. Huhu.


La..ku fikirkan gambar apa..nampak khemah kuning ja. Sekali tengok kat lap top, aku tengah solat rupanya. Ni Wak Jan punya kerja la ni.

Oke pasal situasi ni pun ada cerita jugak. Waktu ni dah masuk Maghrib. Tapi ada beberapa orang anak muda masih bersidai di tepi jalan sambil rem-rem enjin kereta. Entah apa lah yang dia nak tunjukkan sebenarnya. Bunyi enjin kereta bukan merdu sangat, meletop-letop ja. Jadi aku baru selesai mandi, keluar dari tandas dan lalu depan budak-budak kereta tu dan terus ke khemah. Keadaan gelap macam dalam gambar tu la. 
Aku nak terus solat sebab macam dah nak habis waktu jadi pakai la telekong dalam samar-samar gelap tu. 
Rakaat pertama terganggu dengan bunyi rem kereta tak berhenti-henti siap gelak ketawa, masuk rakaat kedua dan slow. Bila rakaat akhir dah reda tak ada bunyi rem-rem lagi. Tak lama lepas tu dorang start enjin dah blah. Aku agaklah dorang nampak kain putih dalam gelap bergerak-gerak ditiup angin kot. Macam hantu. Atau mereka memang tak melepak sampai tengah malam. Maghrib ja semua balik rumah. 

Iya lah. Bila kita masuk dalam komuniti baru kita tahu keadaannya. Walau bagaimana pun ia satu hal yang boleh dipuji. Kalau kat MY, lagi ditegur lagi dia menjadi-jadi. Dia punya degil taleh simpan langsung. Nak kena flying kick baru ada akal.


Bila angin mati, nak tidur dalam khemah pun tak lalu. Badan dalam khemah kepala keluar kat pintu. Panas. Makan malam pun entah pukul berapa sebab gelap dia macam pukul 11 malam. 


2hb September 2019
Pantai Seri Kenangan - Muara : 83 km

Pagi yang indah cantik dan nyaman. Sepanjang malam tiada gangguan dari bunyi enjin kereta. Hari ni masih cuti umum di Brunei. Terlihat beberapa buah kereta sudah di parkir di tepi jalan.  Orang Brunei suka beriadah sambil ber-bbq bersama keluarga. Rata-rata yang aku nampak begitu lah keadaannya.

Kami keluar mengikut Lebuh raya Tutong - BSB sambil mencari-cari kedai makan. Alhamdulillah ternampak sebuah kedai makan di seberang jalan.


Inilah pengusaha restoren kedua milik warga Brunei yang kami jumpa. Rider Big Bike. Yang lain semua peniaga dari India, guna proksi.


Cara orang Brunei, setiap hidangan mesti dihidangkan dengan sup.


Nasi lemak daun pandan. Hijau. 


Tutong 0km



Tutong Waterfront 



Sungai ni ada  🐊 B U A Y A.


Aku rasa semua sungai di Brunei ni ada buaya. 


Hari ini akan menuju ke Muara sejauh 77 km dengan melalui Bandar Seri Begawan.

Kampung Luagan Dudok


Kayuh naik turun, naik turun tak habis-habis. Bila nafas hampir putus, cepat-cepat berhenti mencari tempat berteduh di bawah pokok buah mata kucing. Nak membawang tiada data, jadi duduk diam-diam melihat  mereka ketawa  sambil mengodek hp masing-masing. Tak pe..kau sabar jap. Masuk Labuan nanti, I'm alive !


Bila dah hilang lelah, aku sambung semula kayuhan menanjak bukit. Kiri kanan dusun buah. Nak mintak malu, nak ambil takut dosa. Haa kayuh aja lah.


Dari jauh nampak reben warna warni di sebuah gerai buah. Eh menariknya. Ada jual buah durian la.


Harap-harap Naim berhenti la nanti. Telahan aku tepat, Naim ajak berhenti. Yahoo.



Inilah buah Tampoi, kulitnya macam duku, isinya putih tapi ada sikit macam isi rambai tang selaput nipis pada ulasnya.


Kali ni nak merasa durian Brunei pulak. Dapat pakej rasa buah Tampoi dan Dalit sekali. 

Tanah ini milik Haji Zakaria bersama isterinya. Beliau adalah bekas askar, walaupun umur sudah mencecah 70an, tapi fizikal masih gagah mencari buah di kebun. 


Kecik comel ja Bonda Hajah Rosnah@Limah, isterinya Haji Zakaria. Duduk bersembang macam dah kenal lama. Suka betul dia bila kami singgah dan makan buah. Beriya-iya dia kopekkan durian nak bagi kita rasa. 


Hai, pakkal lah tujuan kami masih jauh. Jika tidak, bawah rumah ni jadi tempat bermalam kami.  Sudah lah sejuk, berangin pulak tu. Dapat gantung hammock ni memang belayar jauh sampai ke Labuan. 




Kebun dia bukan macam kebun kita kat Semenanjung, kebun dia hutan padat. Nak kutip buah kena jalan kaki meredah bukit bukau dan mengelak dari haiwan liar seperti beruang madu.


Durian, dalit, tarap, tampoi dan belunuk adalah buah yang dijual di hadapan rumah pusakanya. Rumahnya pun dah uzur. 



Dimaklumkan bahawa beliau mahu menjual tanah tapak rumah beserta kebunnya ini.  Kerana beliau sudah dikurniakan Sultan sebuah rumah yang baharu. Usia pun sudah tua tak larat nak keluar masuk hutan lagi. 


Ditanya tentang kenapa reben berwarna warni  diikat di halaman rumah, jawabnya mudah, itu untuk menghalau monyet dan kera. Monyet takut dengan warna dan bunyi reben bila ditiup angin. Oo.



Kampung Katimahar

Ya, itu bukit lagi, kau tinggal naik turun, naik turun terus.




Bila asyik nampak bukit, kau rasa macam nak campak basikal ja. Dengan cuaca panas terik sampai kepala kau berdenyut-denyut, muka kau macam rasa kembang bak kuih pau yang dikukus.


Di saat itu lah kau mencari sesuatu yang sejuk. Hanya batu tanda tu ja yang kau nampak yang paling sesuai sangat untuk dipeluk sambil letakkan pipi kau yang tengah panas tu. Aahhh.. Lega rasanya. 


Macam tanak lepaskan batu tu. Nikmat yang aku tak nak dustakan. 


Bandar Seri Begawan


Akhirnya kami sampai jua. 




Tambang bot ke rumah air di sini sehala 50 sen Brunei bersamaan 1.60myr.



Nak mencari titik 0km di Bandar Seri Begawan nda jumpa pulak. Lepas papan tanda bertulis BSB 1km cari-cari memang terus hilang km0 nya. Cuma ada la ternampak roundabout kecik terletak ja kat tengah-tengah jalan besar. Takkan itu kot. 


Jalan Sultan Bolkiah / Jalan Kota Batu

Tanjakan yang ini boleh tahan dia punya jahat. Laluan bukit paling tinggi yang terpaksa dihadap. Jika jalannya landai memang akan berhenti di makam Sultan Bolkiah dan Taman Arkeologi Kota Batu. Menanjak ni pun dah mintak nyawa, jadi tak kuasa aihh, pandang sekali lalu je la. Balik nanti google wiki.. Aci ?



Masjid Sungai Besar.

Satu insiden dah berlaku kerana kecuaian aku. Masa tu aku berhenti untuk ke tandas. Porch bag kebiasaannya aku tak pernah tanggalkan dari badan. Tapi kali ini aku buka dan letak atas tangki flush. Usai melepaskan hajat, aku dengan selamba keluar tandas pakai glove dan topi kemudian mulakan kayuhan.

Kayuh macam biasa, naik bukit turun bukit, naik bukit turun bukit lagi. Entah macamana terasa nak pegang bag yang slalu aku selempang di bahu. Pegang kosong. Zasssst ! Aku terus berhenti. Cemas dan mengelabah sebab aku fikirkan tentang nyawa aku iaitu passport. Yang lain-lain macam duit, kad pengenalan dan talipon bimbit aku tak fikir langsung. PASSPORT ! Alamak, dah la hari ni mesti sampai ke Muara sebab keesokkan hari dah nak masuk Labuan.

Aku dah rasa bersalah kerana memberi beban pada kawan-kawan dengan kelalaian aku. Argh. Nak patah balik memang TAK la, sebab 6 km laluan bukit dan hampir maghrib wei. Aku kan insan yang lemah. Hehe. Grab mana ada kat Brunei. Cubaan terakhir adalah minta tolong orang yang ada kat sekitar. Dua tiga orang menolak. Aku faham sebab apa. Tak pe cuba lagi.

Nampak sorang brother baru keluar dari pasaraya dengan anaknya. Wak Jan datang dan beri salam serta nyatakan hasrat meminta tolong. Memang dorang ragu-ragu nak menolong. Dalam serba salah brother tu setuju juga. Aku dengan muka cemas naik la kereta, yang lain tunggu ja kat kedai. Sepanjang perjalanan aku rasa jauh benar. Risau orang masuk dalam tandas tu dan jumpa bag tu dulu sebab dah hampir masuk waktu maghrib.

Ada juga bersembang, sebab apa dorang agak susah nak menolong pada masa sekarang sebab dah banyak berlaku jenayah. Dari pemerhatian aku selama 2 hari pun dah boleh rasa, di sini penduduknya bukan orang Brunei saja tapi warga India, Filipina dan Indonesia sangat ramai. Patutlah mereka agak curiga.

Setiba di  masjid Sg Besar, aku terus meluru masuk ke tandas. Tengok porch bag masih di situ. Phews ! Syukur , Alhamdulillah. Baru boleh bernafas dengan tenang. Ucapan terima kasih aku pada brother tu dan isterinya.

Masa nak turun dari kereta aku selitkan $ saguhati pada tangan anak brother tu. Aku tau,duit tu tiada bernilai sangat kalau nak dibandingkan dengan bantuan yang diberikan. Sekurang-kurangnya  biar dia rasa yang aku ni orang yang baik-baik, aku bukan scammer dan aku memang orang yang sedang diuji dengan masalah. Minta Naim rakamkan gambar sebagai bukti peristiwa Hari Ini Dalam Sejarah aku. Ehek.


Kami berhenti solat maghrib di Masjid Kampung Sungai Buloh, kemudian meneruskan perjalanan ke Muara. Ini malam kita overtime.

Tiba di Muara, Naim nak berhenti makan dahulu. Kami pun mencari-cari kedai makan di komplek perniagaan sebelum round-about menghala ke pekan Muara.

Kedai Gunting Rambut. Kedai Dhobi. Kedai Jahit. Pasaraya. Restoren. Pengusahanya semua warga India. Mulai dari Panaga, 5 perusahaan ini ada di mana-mana. Malah ada juga yang berdekatan sebelah menyebelah.

Aik ? Kenapa langsung tak de orang tempatan yang berniaga ?

Hilang selera bila tengok warga dia sesaja. Sini kedai gunting, sana kedai gunting. Orang Brunei hari-hari gunting rambut ka ?


Naim beli sebungkus  nasi dan lauk. Kami teruskan kayuhan untuk mencari tempat bermalam. Dalam perancangan, Wak Jan memilih Pantai Muara.
Melalui jalan yang kiri kanan dipayungi pokok-pokok ara yang berjuntai dan berjurai di malam yang gelap buat diri rasa hrm. Saja sembang nakal dengan Wak Jan. Eh ! kalau buat photoshoot epik ni..lawa oo. Wak Jan diam ja.

Aku teruskan kayuhan hingga masuk ke simpang taman Rekriasi Pantai Muara. Jalan masuk berpalang. Pada papan tanda tertulis waktu beroperasi 6 pagi hingga 6 petang. Wak Jan dan Naim masuk untuk memeriksa keadaan selamat dan mempunyai kemudahan tandas atau tidak.

Aku dan King hanya tunggu di luar pagar sebab tempat tu gelap sangat.
Beberapa minit kemudian Wak Jan bagi isyarat supaya masuk.
" Kat sini cuma ada surau ja, tandas tak ada pulak " kata Wak Jan.

Aku dah mula tak setuju nak bermalam kat sini. Bagi aku ,tanpa tandas, hidup aku jadi murung. Lagi pula rasa takut pada undang-undang negara orang. Ini dah dikira menceroboh.

Wak Jan dan Naim terus memujuk. King yang dari tadi diam, mula bercakap dengan berikan cadangan supaya bermalam di masjid atau Pantai Serasa. Masing-masing diam. Diam sebab dah letih, lapar dan malas nak mencari-cari lagi.

Lama jugak la kami bermonolog dalam gelap bawah pokok kayu yang agak sesuatu itu.
Dengan rasa serba salah masing-masing bangun, konon nak keluar dari tempat tu. King tiba-tiba mengomel " Ya ya nak pergi la ni..nak keluar la ni."

Dang ! Aku agak dah, mesti King nampak sesuatu. Cepat-cepat dorong basikal ke jalan tarmac yang berlampu. Terus aku tanya King. "King ada benda ke ?"
'Aah, nampak kelibat ja, tu yang cepat-cepat keluar tu."

Tiba-tiba baru terasa meremang. Ha Ha Ha. Tadi elok ja duduk sorang-sorang kat wakaf dalam gelap. Bila dah tau automatik terus seram sejuk. Apalagi aku kayuh laju sikit sambil baca ayat qursi non stop. Bila aku toleh belakang tak de orang. Apasal lah King, Wak Jan dan Naim kayuh lambat sangat ni. Masa tu aku tengah lalu kat bawah pokok ara tadi, mata aku fokus kat depan ja. Dah tak macam awal masuk tadi, mata melilau sampai ke pucuk pokok aku telek. Huhu.

Kami keluar semula ke jalan besar dan menuju ke masjid. Naim pulak jadi jurucakap. Yang lain tunggu kat luar.

Jawapan yang kami terima mendukacitakan, akan tetapi Imam masjid sedaya upaya nak bantu juga dengan memberi cadangan menginap di salah sebuah rumah sewa milik kariahnya. Boleh aja lah, walau kena bayar pun oke ja kata Naim.

Kami pun pergi la dengan salah seorang anak muda masjid yang menjadi penunjuk arah. Kayuh punya kayuh punya kayuh, sampai satu simpang budak tu berhenti. Kami fikir dah sampai lah..sekali nah dia bagi bukit mencanak tinggi memanjang, kalau tak silap macam kelok ke 5 Bukit Jugra. Bukan 10% lagi dah. Tenaga dah tinggal 0.01% ja lagi. Kau rasa ?

Aku bukan nak kata apa lah, kalau aku pakai basikal lain memang lama dah tergolek lepas tu jatuh terseret berguling-guling. Dengan basikal chempion King ni..fuhh..semua bukit aku dapat tapau. Ha Ha Ha..gelak riak.

King basikal ni jangan sekali-kali kau jual tau. Legend tu.


Oke sambung balik. Bila kami sampai di rumah Haji Hassan, beliau sudah lama menunggu. Bersungguh dia menunjukkan rumah sewa yang kosong. Bila Naim nak bayar harga penginapan, beliau menolak dan kata dia sedekah. Uhf. Masha allah.


Malam tu tidur atas tilam empuk dan kipas nombor 5. Agak selesa jugak la. Alhamdulillah.

Yang menarik perhatian dari pandangan mata aku selama 3 hari.
Di sini :

Tulisan jawi diutamakan. Kedudukannya juga yang paling tinggi. Sekolah Cina pun kena tulis dalam tulisan jawi. Kau nak kata apa ?


Pondok Piza. Nak tengok motorsikal kapcai hanya perkhidmatan penghantaran sahaja yang guna. Lagipun harga motorsikal lagi mahal dari harga kereta. Motorsikal kalau rosak tiada bengkel tepi jalan. Semuanya kena pergi ke Bandar Seri Begawan. Itu yang diceritakan warga setempat.


Harga minyak Ron97 cuma 53 sen = 1.60 sen duit MY . Harga air mineral lagi mahal.


Taraf kampungnya semua rumah banglo luas tanah satu ekar. Nak nampak rumah kampung kayu nisbah 100 : 1 
Kita kat MY kalau nama kampung rumahnya kayu papan. 

Jadi kalau orang Brunei cakap dia tinggal di "Kampung" atau apa pun nama kampungnya. Set dalam otak yang  kampungnya stended Beverly Hill. Bukan macam rumah kampung kita yang rumah papan atap zink. 


Tak ada nama Lorong atau Jalan. Brunei guna istilah Simpang.

Tak ada gerai jual air kelapa, air tebu, warung kopi atau gerai nasi lemak Cik Bedah kat sepanjang jalan dari Kuala Belait hingga Muara. Bawa la bekal siap-siap. Sultan tak suka comot-comot bersepah nampak semak di sepanjang jalan. Kedai makan harus di bangunan yang disediakan. Kebersihan terjaga.

Warga India yang banyak menguasai bidang perniagaan.

Sambungnya  di sini

2 comments: