AKU DENGAR, AKU DATANG, AKU TENGOK
DAN
AKU CUBA FAHAM
Assalamualaikum.
Cerita kali ini berkisar tentang hasrat Si Bujang untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia. Sendiri ? Hrm.π€ Sebagai seorang emak, amat tahu anaknya belum bersedia." Dia perlu dibimbing."π§
Sebab aku tengok dia bersenang lenang je. Tak buat perancangan, tak semak peta laluan, tempat hentian, penginapan dan segala-galanya. Haish. Dia ingat macam pergi Klang balik hari ke ?
Segala persiapan peta laluan, penginapan dan motorsikal terpaksa lah aku yang membuatnya dan semua sudah aku persiapkan termasuk tong simpanan minyak .
Aku menunggang motorsikal Honda Wave 125i, sementara Si Abang memilih ( bukan memilih, tapi tiada pilihan. Itu saja motorsikal yang dia ada setakat ini) Honda EX5 High Power sebagai jentera kembara. Tak banyak yang aku akan ceritakan di sini kerana perjalanan biasa-biasa saja. Cuma aku akan sisipkan gambar-gambar lokasi yang aku singgah. Ianya lebih kepada mencipta kenangan bersama anak bujang.
Kali ini, aku memilih untuk masuk melalui Negeri Sembilan dahulu. Sebelum itu, mari kita cari tahu tentang negeri ini melalui pembacaan di wikipedia tentang π Negeri Sembilan
HARI 1 ( 288km )
Khamis, 3.3.2022
Dari rumah terus ke Restoren Taman Klasik Rumbia sejauh 43km hanya untuk bersarapan pagi sahaja. Kemain π .
Kemudian ke Masjid Sri Sendayan.
0 KM Seremban
Lokasi ini berhadapan dengan Pejabat Pos Seremban. Aku bukanlah seorang pemburu 0km, hanya sebagai hiburan sampingan dalam setiap kembaraan aku.
Lebuh raya Temiang / Pantai.
Lokasi ni dah jadi viral, pasal tu aku nak datang dan tengok sendiri kenapa boleh viral, apa yang menariknya? Tak lain tak bukan disebabkan lanskapnya yang berada di kawasan perbukitan yang menghijau membuatkan pemandangan menjadi indah.
Aku sengaja memilih untuk lalu di laluan Bukit Putus kerana nak tahu apa yang seram sangat laluan tu ?
Teratak Za'ba
Siapa Za'ba ni ? Zainal Abidin bin Ahmad atau nama pena Za'ba, adalah seorang sasterawan Bahasa Melayu dan pemikir berketurunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaian beliau dalam kesusasteraan Melayu telah berjaya meletakkan dirinya sebagai tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Tugu setinggi 8 kaki yang diperbuat dari batu marmar merupakan tugu peringatan bagi memperingati peristiwa pertempuran tentera Australia dan tentera penjajah Jepun yang berlaku ketika perang dunia kedua di jambatan Gemencheh di Sungai Kelamah.
Sebenarnya untuk makan tengahari, tapi sebab nak selesaikan misi untuk hari pertama, aku boleh terlupa nak makan. Masa kat pondok menunggu bas lah baru aku makan, itu pun masih tak fokus kerana sibuk mencari hotel yang terdekat dan yang termurah. Itu bukan kerja mudah. Saat indah yang aku ingat adalah bila Si Abang menghidangkan lemang di pondok bas dalam hujan lebat.
"Mak, makan dulu mak". Ok, itulah saat dan ketikanya aku rasa hati aku terusik (touching). Aku tak tahu lah kalau dia nak simpan memori waktu itu sebagai kenangan atau tidak.
Kendong Village Resort.
Untuk malam pertama, aku dapat tempah penginapan berharga RM47. Yak yak yay. Tenang sikit hati aku, kalau tidak stres. Pada aku, boleh lah dengan harga yang diberi. Kau jangan nak harap servis 5 bintang pulak. Janji, motorsikal aku boleh parkir di luar pintu saja. Tenang.
HARI 2 ( 176km )
Jumaat, 4.3.2022
Sasaran seterusnya melalui jalan-jalan kampung. Si Abang minta nak lalu jalan yang kurang kenderaan. Aku pun ikutkan saja kehendak dia. Boleh juga aku tengok apa yang ada di sepanjang laluan tersebut.
Masjid/surau Lama Kampung Gedong
Kompleks Warisan Lanjung
Ini pula terletak di sebelah masjid lama Kampung Gedong. Kelihatan seperti bangunan kayu ini dipelihara oleh pewarisnya. Kerja-kerja pemuliharaan sedang dilakukan untuk pembaikpulih Madrasah Haji Abu Bakar, Teratak Rahmah dan Teratak Mardhiah.
Reka bentuk ukiran kayunya sangat halus. Aku memang teruja bila melihat rumah-rumah kayu lama, lagi-lagi yang hanya menggunakan cantum pasak.
Yang aku faham, dahulukala rumah ini dijadikan madrasah untuk anak-anak belajar mengaji.
Kebijaksanaan orang dulu-dulu membina rumah dengan mencipta ruang udara di dinding dan atap biar angin senang masuk dan keluar. Ia menjadikan dalam rumah terasa sejuk.
Replika Istana Raja Melewar
Batu Kasur (Batu Timbang)
Replika batu ini adalah contoh bentuk asal yang terdapat di Alam Minangkabau Sumatera Barat, Indonesia. Batu ini adalah tempat ujian bagi anak-anak raja dan mereka mesti lulus ujian sebelum ditabalkan menjadi raja di Negeri Sembilan.
Antara ujiannya adalah, mereka mesti tidur di atas batu ini dengan dilapik dengan daun 'jelatang' yang sangat gatal, disamping gangguan lain selama tempoh yang ditetapkan.
Hanya mereka yang bertahan menghadapi ujian tersebut dianggap lulus dan seterusnya diangkat menjadi raja. Raja Melewar telah lulus ujian dan ditabalkan menjadi raja Negeri Sembilan.
Makam Raja Melewar
Siapa Raja Melewar ni ?
Baginda adalah Yamtuan Rembau yang pertama pada tahun 1727 dan baginda berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera Indonesia.
Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas
Pantai Cermin
Bersebelahan pantai Cermin ada rumah api Racardo, pada asalnya ingatkan boleh bergambar di bawah rumah api sahaja, tapi rupanya kena mendaki tangga naik ke atas pula. Aku fikirkan keselamatan, dan taknak tinggalkan motorsikal bersama barang- barang di tempat parkir, akhirnya aku berlalu pergi untuk masuk ke Negeri Melaka pula.
Hello M E L A K A !
No comments:
Post a Comment