Friday, April 8, 2022

Cerita Kami Pusing Malaya ( Negeri Sembilan )

 AKU DENGAR, AKU DATANG, AKU TENGOK

 DAN 

AKU CUBA FAHAM


Assalamualaikum.

Cerita kali ini berkisar tentang hasrat Si Bujang untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia. Sendiri ? Hrm.πŸ€” Sebagai seorang emak, amat tahu anaknya belum bersedia." Dia perlu dibimbing."🧐

Sebab aku tengok dia bersenang lenang je. Tak buat perancangan, tak semak peta laluan, tempat hentian, penginapan dan segala-galanya. Haish. Dia ingat macam pergi Klang balik hari ke ?

Segala persiapan peta laluan, penginapan dan motorsikal terpaksa lah aku yang membuatnya dan semua sudah aku persiapkan termasuk tong simpanan minyak .


Aku menunggang motorsikal Honda Wave 125i, sementara Si Abang memilih ( bukan memilih, tapi tiada pilihan. Itu saja motorsikal yang dia ada setakat ini) Honda EX5 High Power sebagai jentera kembara. Tak banyak yang aku akan ceritakan di sini kerana perjalanan biasa-biasa saja. Cuma aku akan sisipkan gambar-gambar lokasi yang aku singgah. Ianya lebih kepada mencipta kenangan bersama anak bujang.

Kali ini, aku memilih untuk masuk melalui Negeri Sembilan dahulu. Sebelum itu, mari kita cari tahu tentang negeri ini melalui pembacaan di wikipedia tentang πŸ‘‰ Negeri Sembilan

HARI 1 ( 288km )

Khamis, 3.3.2022

Dari rumah terus ke Restoren Taman Klasik Rumbia sejauh 43km hanya untuk bersarapan pagi sahaja. Kemain πŸ˜….


Kenapa pilih kedai makan yang jauh untuk bersarapan ? Saja nak rasa kedai yang viral dengan pelbagai menu kampung. Bila dah banyak pilihan, aku tak tahu nak pilih apa pulak πŸ˜….
Cuma yang ini ja πŸ‘‡ aku berkenan nak rasa.

Kemudian ke Masjid Sri Sendayan.


Peringatan kepada jemaah wanita, jika hendak menunaikan solat di sini, kena bawa telekung sendiri. Ketika aku datang, pihak masjid hanya menyediakan sejadah sahaja.

Tempat berwuduk bagi jemaah lelaki.

0 KM Seremban 

Lokasi ini berhadapan dengan Pejabat Pos Seremban. Aku bukanlah seorang pemburu 0km, hanya sebagai hiburan sampingan dalam setiap kembaraan aku.



Pelbagai reka bentuk peti pos yang dipamirkan di halaman Pejabat Pos Seremban untuk tatapan orang awam.

Lebuh raya Temiang / Pantai.

Lokasi ni dah jadi viral, pasal tu aku nak datang dan tengok sendiri kenapa boleh viral, apa yang menariknya? Tak lain tak bukan disebabkan lanskapnya yang berada di kawasan perbukitan yang menghijau membuatkan pemandangan menjadi indah.


Aku sengaja memilih untuk lalu di laluan Bukit Putus kerana nak tahu apa yang seram sangat laluan tu ? 


Jika lalu di waktu siang, terasa nyaman dan dingin, kadang berkabus. Jika lalu di waktu malam, memang terasa seram dan mistik.  Banyak haiwan yang bersidai tepi jalan terutama monyet. Keseluruhannya, laluan ini memang sunyi. Jadi, lebihkan  berwaspada.


Tak sangka ada beberapa tempat rekriasi terutama 2 air terjun kecil di laluan Bukit Putus tu. 


Pintu masuk ke Gunung Angsi.


Tugu Tengkolok/Destar Dendam Tak Sudah

Setiap negeri beraja di Semenanjung Malaysia mempunyai tengkolok/destar yang tersendiri dan tengkolok ini bernama Dendam Tak Sudah berasal dari Negeri Sembilan. Setiap lipatan ada makna yang perlu difahami maksudnya.


Batu Kikir

Pekan kecil yang menyimpan sejarah hitam yang tidak didendang. Boleh baca kisahnya di sini πŸ‘‰ Perang Batu Kikir 1945.

"Batu Kikir Jambatan Bosi,
Gulai Udang Sebelango,
Pikir-pikir dalam hati,
Daripado sorang elok bersamo."

Pantun di atas adalah pantun untuk menyatukan orang-orang Melayu ketika berlakunya pergeseran antara orang Melayu dan Kominis Bintang Tiga pada tahun 1945.
- Raja Teromba ( Prof Madya Dato Dr Mohd Rosli Saludin)


Teratak Za'ba 

Siapa Za'ba ni ? Zainal Abidin bin Ahmad atau nama pena Za'ba, adalah seorang sasterawan Bahasa Melayu dan pemikir berketurunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaian beliau dalam kesusasteraan Melayu telah berjaya meletakkan  dirinya sebagai tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.




Tugu Peringatan Perang Sungai Kelamah

Tugu setinggi 8 kaki yang diperbuat dari batu marmar merupakan tugu peringatan bagi memperingati peristiwa pertempuran tentera Australia dan tentera penjajah Jepun yang berlaku ketika perang dunia kedua di jambatan Gemencheh di Sungai Kelamah.




Tinggalan sisa kayu jambatan dipamirkan di tugu ini. Di belakang itulah jambatan yang diceritakan, cuma sekarang telah dibina jambatan yang baharu.


Hari makin menganjak petang, aku masih ingat lagi, ketika jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, aku masih dijalanan. Sepatutnya aku dah sampai di tempat penginapan tapi disebabkan hujan lebat mencurah-curah dan perut lapar yang tak tertahan. Akhirnya aku berhenti berteduh di pondok bas. Mujur lah aku ada beli lemang, rendang maman dan rendang daging. 

Sebenarnya untuk makan tengahari, tapi sebab nak selesaikan misi untuk hari pertama, aku boleh terlupa nak makan. Masa kat pondok menunggu bas lah baru aku makan, itu pun masih tak fokus kerana sibuk mencari  hotel yang terdekat dan yang termurah. Itu bukan kerja mudah. Saat indah yang aku ingat adalah bila Si Abang menghidangkan  lemang di pondok bas dalam hujan lebat.

"Mak, makan dulu mak". Ok, itulah saat dan ketikanya aku rasa hati aku terusik (touching). Aku tak tahu lah kalau dia nak simpan memori waktu itu sebagai kenangan atau tidak.

Kendong Village Resort. 


Untuk malam pertama, aku dapat tempah penginapan berharga RM47. Yak yak yay. Tenang sikit hati aku, kalau tidak stres. Pada aku, boleh lah dengan harga yang diberi. Kau jangan nak harap servis 5 bintang pulak. Janji, motorsikal aku boleh parkir di luar pintu saja. Tenang.

HARI 2  ( 176km )

Jumaat, 4.3.2022

Sasaran seterusnya melalui jalan-jalan kampung. Si Abang minta nak lalu jalan yang kurang kenderaan. Aku pun ikutkan saja kehendak dia. Boleh juga aku tengok apa yang ada di sepanjang laluan tersebut. 

Masjid/surau Lama Kampung Gedong


Tak ada maklumat langsung tentang masjid kecil ni yang aku boleh rujuk samada di internet ataupun di lapangan. Jadi aku cuma mampu merakamkan gambar seni rupa masjid ini saja.

Kompleks Warisan Lanjung

Ini pula terletak di sebelah masjid lama Kampung Gedong. Kelihatan seperti bangunan kayu ini dipelihara oleh pewarisnya. Kerja-kerja pemuliharaan sedang dilakukan untuk pembaikpulih Madrasah Haji Abu Bakar, Teratak Rahmah dan Teratak Mardhiah. 

Reka bentuk ukiran kayunya sangat halus. Aku memang teruja bila melihat rumah-rumah kayu lama, lagi-lagi yang hanya menggunakan cantum pasak. 

Yang aku faham, dahulukala rumah ini dijadikan madrasah untuk anak-anak belajar mengaji.



Lihatlah, bagaimana telitinya tukang memotong batu merah untuk dijadikan alas tiang rumah.


Kebijaksanaan orang dulu-dulu membina rumah dengan mencipta ruang udara di dinding dan atap biar angin senang masuk dan keluar. Ia menjadikan dalam rumah terasa sejuk.


Replika Istana Raja Melewar


Tapak replika istana ini didirikan di atas tapak asal istana Raja Melewar. 

Batu Bertikam
Ini adalah contoh asal batu yang terdapat di Kecamatan Lima Kanun Batu Sangkar. Batu ini dikaitkan dengan bekas tikaman keris Dt Pepatih Pinang Nan Sebatang tanda sumpah setia perdamaian mengakhiri perselisihan faham dalam hal pemakaian sistem Adat Koto Piliang yang dicetuskan oleh kakaknya di Katumanggugan.

Batu Kasur (Batu Timbang)

Replika batu ini adalah contoh bentuk asal yang terdapat di Alam Minangkabau Sumatera Barat, Indonesia. Batu ini adalah tempat ujian bagi anak-anak raja dan mereka mesti lulus ujian sebelum ditabalkan menjadi raja di Negeri Sembilan.

Antara ujiannya adalah, mereka mesti tidur di atas batu ini dengan dilapik dengan daun 'jelatang' yang sangat gatal, disamping gangguan lain selama tempoh yang ditetapkan.

Hanya mereka yang bertahan menghadapi ujian tersebut dianggap lulus dan seterusnya  diangkat menjadi raja. Raja Melewar telah lulus ujian dan ditabalkan menjadi raja Negeri Sembilan.

 

Makam Raja Melewar

Siapa Raja Melewar ni ?

Baginda adalah Yamtuan Rembau yang pertama pada tahun 1727 dan baginda berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera Indonesia.



Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas


Sebenarnya tempat ini penempatkan sebuah makam dan batu megalith. Sheikh Ahmad Majnun adalah seorang pendakwah yang menyebarkan syiar Islam di zaman kesultanan Melayu Melaka. Semasa dalam perjalanan, beliau telah meninggal dunia dan jasadnya dimakamkan di sini.
Sheikh Ahmad Majnun telah dianggap sebagai seorang wali oleh para pengikutnya.  Dipercayai makam ini adalah makam Islam yang tertua sekali di Malaysia berdasarkan inskripsi batu bersurat yang berukir 1467-1468 tarikh Sheikh Ahmad Majnun meninggal dunia.


Batu Megalith atau orang Melayu panggil 'Batu Hidup'. Apa benarkah batu ini hidup dan semakin membesar ? Aku tanya je.

Pantai Cermin



Bersebelahan pantai Cermin ada rumah api Racardo, pada asalnya ingatkan boleh bergambar di bawah rumah api sahaja, tapi rupanya kena mendaki tangga naik ke atas pula. Aku fikirkan keselamatan, dan taknak tinggalkan motorsikal bersama barang- barang di tempat parkir, akhirnya aku berlalu pergi untuk masuk ke Negeri Melaka pula.

Hello M E L A K A !


No comments:

Post a Comment