Tuesday, December 3, 2019

Kisah Aku & Baby Chenchorot



*Traveler's Life*

Khilaf manusia, sila ambik iktibar. Allah tegur aku dengan mendatangkan 🐀. Malu. 


Satu hari, datang mood rajin nak kemas laci kasut. Kemas punya kemas, terdengar bunyi🔊. 
Selak plastik nampak anak 🐀bukan tikus tapi cencorot. Bukan sekor, tapi 3 ekor. Ha ha ha, dulu 🐍, kali ni haiwan tauladan yang lain pulak. ( rumah aku memang hotel bagi makhlok semua ni check in😜)

Terus, aku ambik 3 ekor anak 🐀 masuk dalam plastik dan letak kat luar rumah tepi longkang. Plastik tu aku biar terbuka. Tanpa fikir dan tanpa ada sebarang rasa, aku tinggalkan kat situ. Cuaca mendung dan redup hingga ke malam. Kering tak kering hati aku ni 😅. 

Dari waktu Dhuha, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak aku rasa relak ja. Leka tengok YT layan bab kursus dan ceramah Ustaz Wan Hizam bab tauhid, Allah di mana dan kenapa Allah ciptakan manusia.

Tiba-tiba, masa nak solat Isyak, hati aku terdetik. Eh, anak 🐀 tadi apa cerita🤪 ? Nah !. Mula datang rasa takut sebab teringat apa yang ustaz tu cakap. "Allah sangat kasihkan manusia, sebab itu dia ciptakan segala-gala apa yang di dunia ini untuk manusia nikmati."

Dan aku pulak senang-senang letakkan baby🐀baru lahir kat luar kesejukan tanpa ada rasa belas kaseh sayang pada ciptaanNYA. Dush ! Manusia apa aku ni. Erk 🤪. 

Hati aku bisik lagi, INGAT ! Tak lama lagi ko nak buat kembara yang suci, ko rasa Allah nak lepas kan ko macam tu je ke kat sana ?
Haa.. Nanti kat akhirat, bila dia tuntut kenapa aku biarkan mati, aku nak jawab apa ? Dia punya perasaan TAKUT tu bergetar teruk terasa kat dada. Gila gaban rasa tu. 

Serius, solat pun aku tak tenang. Usai solat, aku cepat-ceoat keluar rumah tengok baby🐀 masih hidup lagi atau tak. Alhamdulillah, masih hidup.

Aku ambik dan letakkan 🐀 di sebelah lubang tempat laluan air di dalam tandas. Penutup lubang tu aku buka. Itulah laluan keluar masuk mak🐀. Mudah-mudahan maknya terhidu dan akan ambik anaknya tu.

Tengah malam tu, aku bangun taubat mintak ampun sangat-sangat😭 kat Allah dengan kelakuan buruk aku.

Keesokkan hari nya, aku memang tak berani nak tengok. Aku tahankan hati. Menjelang petang baru aku tengok dalam plastik. Aku selak pelahan-lahan. Alhamdulillah, dah tak ada. Phews !
Serik. 

Moral of the story :

Nah ! Kita sebagai manusia ni memang selalu tak nak fikir dan faham tentang benda-benda ni semua. Kita anggap remeh, padahal Allah dah kata, setiap kejadian yang dia cipta bukan saja-saja. Ada sebab dan kegunaannya.
Pasal takde ilmu la yang kita banyak buat DOSA. Ada ilmu pun, kalau tak nak beramal pun DOSA gak. Erk, aku lah tu😔. 

Contoh :
Nampak ular kat dalam rumah atau kat mana-mana pun kita nak pukul bunuh. Padahal dia tak buat apa pun. Halau je la elok-elok. Kucing atau anjing datang minta makan, kita sepak terajang. Padahal kita lupa, makanan yang kita telan tu Allah yang bagi dengan penuh kaseh, Allah hantar kucing atau semua haiwan tu untuk kita bersedekah. Tak nampak lagi ke Allah nak tambah pahala kita yang entah ada entah tidak tu.
Dosa lagi banyak dari pahala, lagi kita nak kedekut taknak kongsi sikit. Tak sedar diri lagi letew😏. Besar sangat ke kuasa kita hingga mendustakan makhluk ciptaan dia.  Haa esok kat akhirat  menjawab la ya. Tak dapat jawab siap lalalala. Malaikat kiri kanan bahu, tenung ja sambil mencatit. 

Oke aku dah insof😥. Pasal tu aku redha, semua haiwan yang nak check in kat rumah aku, aku biarkan. Selama mana tak memudaratkan aku dan anak-anak, its oke😎🤗. 

Mohon Allah ampunkan dosa-dosa aku dari sekecil-kecil hingga yang besar-besar selama mana aku tak mensyirikkanNYA, dan izinkan aku menyambut panggilan kembara suci tak lama lagi dengan tenang, sempurna dan tertib. Permudahkan urusan semasa perjalanan, sepanjang tempoh ibadah dan semasa perjalanan pulang ke pangkuan keluarga semula. Insya allah. 
Labbaikkallah. 


Dirgahayu buat...



Hari ini...,
Tanggal 6 Rabiul Akhir 1441H, maka berkuranglah lagi setahun umur aku. ENTAHLAH, berbaki lagi berapa tahun la agaknya🙄.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah, pemilik langit dan bumi serta segala isi di dalamnya. 

Tak terhitung, terlalu banyak nikmat dan kasih sayang yang Allah berikan kepada setiap makhluk yang diciptakanNya, salah satu makhlok ciptaannya itu adalah aku😬.

Kerana Allah izinkan lah, aku dapat menikmati semua ni. Rezeki setiap makhluk berbeza-beza. Maka, rezeki bahagian aku, dapat buat aktiviti kembara lasak.

(a) 2005 :
Mendaki Gunung Kinabalu. 
White Water Rafting Sungai Padas. 

(b) 2007 :
Kembara (duo backpackers) ke Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang

(c) 2008 :
  • Mendaki Gunung Bujang Melaka di Kampar, Perak
  • mendaki Gunung Batu Merah Tasik Pedu, Kedah
  • mendaki Gunung Peninjau Ulu Chepor, Perak
  • mendaki Gunung Ulu Sepat, Perak
  • mendaki Gunung Tangga, Cameron Highland
  • penganjur dan menyertai kembara mencari bunga reflesia di Kg. Bungor , Perak
  • mengikuti aktiviti mencandat sotong di Terengganu.
  • menyertai kembara  pacuan empat roda ‘Ekspedisi Sungai Mekong’ merentas 3 buah negara Thailand - Laos - Vietnam.

(d) 2009 :
  • Menyertai kembara pacuan empat roda bersama PAT (Petronas Adventure Team) dalam misi bantuan kepada orang asli Kuala Mu, Sg. Siput, Perak.
  • melakukan kembara (duo backpackers) ke Pulau Perhentian, Terengganu.
  • mendaki Gunung Batu Putih, Tapah Perak
  • mendaki Gunung Datok, Negeri Sembilan
  • mendaki Gunung Nuang, Selangor
  • mendaki Gunung Stong, Jelawang, Kelantan
  • melakukan kembara Trans Gopeng bersama Kelab PKNS
  • penganjur dan menyertai kembara hutan (jungle trekking) ke Air Terjun Lepor, Ulu  Langat Selangor
  • penganjur dan menyertai pendakian ke Bukit Tabuh, Taman Melawati
  • penganjur dan menyertai aktiviti canyoning & flying fox di Sungai Pisang, Gombak
  • penganjur dan menyertai aktiviti riadah ke FRIM, Kepong


(e) 2010 :
  • penganjur dan menyertai pendakian ke Bukit Broga, Semenyih Selangor
  • melakukan pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk dan Bukit Kutu
  • mengikuti aktiviti berkayak di Royal Belom
  • mengikuti aktiviti berkayak dan laser di ALAM (Akedemi Laut Malaysia) Melaka
  • mendaki Gunung Bintang, Sedim, Kedah
  • mendaki Gunung Tahan, Pahang
  • penganjur dan menyertai kembara mencari air terjun dan gua di Chenderiang, Perak
  • terlibat dalam penganjuran dan menyertai aktiviti pacuan empat roda ke hutan Ulu Muda, Lasor Kedah.
  • mendaki ke Gunung Lambak, Johor
  • mendaki Gunung Suku, Cameron Highland
  • penganjur dan mengikuti aktiviti riadah Skytrex di Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam
  • mengikuti aktiviti ‘abseiling, caving, body rafting dan water rafting’ di Gopeng Perak


(f) 2011 :
  • mendaki Gunung Fansipan,Vietnam.
  • kembara bermotorsikal dari Sapa - Ha Giang - Bac kan - Cao Bang - Ban Gioc Fall - Hanoi,Vietnam (11 hari)
  • Kembara backpackers ke Thailand, Cambodia dan Laos.
  • terlibat dalam penganjuran dan menyertai aktiviti kembara berkumpulan (backpackers) ke Pulau Pinang dan Perlis.
  • melakukan pendakian Trans Jelawang 10 puncak gunung di Jelawang, Kelantan.


  • terlibat dlm penganjuran Program Hari Keluarga WOA (Wild Outdoor Adventure) di Paya Indah Wetland
  • mengambil bahagian ‘flying fox’ dalam acara pembukaan Karnival Sejuta Belia di Kluang, Johor
  • menganjur dan mengikuti kembara air terjun dan gua ‘ Discover Ulu Kenaboi ’ Kenaboi Negeri Sembilan
  • menganjur dan mengikuti  Ekspedisi ke Gunung Chemerong, Berembun dan Air Terjun  Langsir
  • terlibat dalam penganjuran program 4B Ramadhan (berbuka, bertarawih, bersahur sambil beramal) bersama anak-anak yatim dan ibu tunggal di Taman Rekriasi Suara  Hutan Sungai Congkak.
  • terlibat dalam penganjuran serta mengikuti aktiviti ‘white water rafting’ di Kuala Kubu Baru.
  • menyertai aktiviti berbasikal ‘Kayuhan Upu Cendana Burung’, Kuala Selangor

(g) 2012 :
  • penganjur dan mengikuti pendakian Gunung Korbu dan Gunung Gayong, Hulu Kinta Perak
  • penganjur dan mengikuti pendakian Gunung Yong Yap, Cameron Highland
  • mendaki gunung Yellow dan Gunung Pass, Cameron Highland
  • penganjur dan mengikuti pendakian Gunung Yong Belar, Cameron Highland.
  • Kayuhan duo "Eksplorasi Daerah Kuala Langat" laluan  Banting - Bukit  Jugra Pantai Kelanang - Pantai Morib - Banting.
  • kembara berbasikal duo "Eksplorasi Sungai Sepang" bagi mencari laluan pendalaman sekitar Bukit Pelandok, Negeri Sembilan ke Sungai Pelek, Selangor.
  • kembara berbasikal trio laluan Shah Alam - Teluk Panglima Garang - Pulau Carey
  • menyertai aktiviti berbasikal “ Merdeka Raya’ anjuran Darul Ehsan Touring-Club.

(h) 2013 :
  • kembara (duo backpackers) ke Koh Pha Ngan dan Koh Phi Phi, Thailand.     
  • Mengikuti ekplorasi 7 buah pulau di Semporna, Sabah;  Mabul, Kapalai, Selakan, Bohey Dulang, Mantabuan, Maiga dan Sibuan.      
  • mendaki gunung Bunga Buah, Genting Highland
  • mendaki gunung Chamah, Kelantan
  • kembara berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia selama 23 hari.
  • kembara berbasikal  ‘Tasik ke Tasik’. Temerloh- Tasik Bera - Tasik Chini.
  • Kembara berbasikal ke Danau Toba, Indonesia. 

(h)   2014 :
  • Kembara berbasikal ekplorasi daerah Kuala Langat
  • Kembara berbasikal ke Satun, Thailand
  • Kembara berbasikal merentas Kepulauan Riau ( Karimun, Kundur, Galang dan Batam) 
  • bermotorsikal menjelajah utara Vietnam; Hanoi-Sapa- Ha Giang - Ninh Binh(12 hari).


(i) 2015 :
  • Ekplorasi ke Pulau Tuba, Langkawi. 
  • Kembara berbasikal mencari titik tengah Semenanjung (20 hari).
  • bermotorsikal dari Klang - Taman Negara Kuala Tahan- Kampung Mat Daling (3 hari).        
  • bermotorsikal dari Klang ke Gua Musang - Jeli - Gerik  - Cameron Highland (4 hari).

(j)  2016 :
  • Menyertai kembara berbasikal ke Pulau Rupat, Indonesia
  • kembara berbasikal ‘Mencari Gajah’ dari Gua Musang - Felda Aring - Tasik Kenyir - Kota  Bharu (5 hari)
  • bermotorsikal ke Johor - Melaka dan Negeri Sembilan dalam misi mencari batu  Megalith (3 hari)
  • Ekplorasi backpacker ke Koh Pu, Thailand.

(k) 2017 :
  • Kembara bermotorsikal ke 4 sempadan negeri; Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  • Kembara berbasikal ke Tak Bai dan Narathiwat. 
  • Kembara bermotorsikal ke Utara Vietnam mencari ‘Dinasour Spine’; Hanoi, Yen Bai dan Lao Cai (7 hari)
  • Kembara bermotorsikal jelajah ke ‘Dunia Tersembunyi Tanah Gayo Acheh’, Indonesia

(l)  2018 :
  • kembara menjejak Bunda Tanah Melayu di Bintan, Pulau Penyengat dan Lingga.
  • Kembara bermotorsikal ke Utara Vietnam mencari Legendary Ho Chi Minh Trail. Dari Hanoi ke  Hoi An. 


(m) 2019 :
  • Kembara backpacker '15 Ramadhan' di Narathiwat, Thailand.
  • Kembara bermotorsikal dijemput mengambil TEMPOYAK 😜 di MasTana, Melaka. 


  • Kembara bermotorsikal ‘ Ride Hala Tuju Ke Hati Awak’ mengelilingi Semenanjung Malaysia termasuk  negara Thailand & Singapura (16 hari)
  • Kembara berbasikal merentas Sarawak, Brunei dan Sabah selama (10 hari)
  • Kembara backpacker ke Pakistan selama (17 hari)
  • Insya allah, Kembara menunaikan ibadah Umrah (12 hari). 


Semua yang aku tulis ni sebagai rekod peribadi untuk bacaan anak cucu cicit aku kelak. Biar dorang tahu, yang suatu ketika dahulu, emak/uwan dorang pernah mencipta cerita. Paling tidak boleh dijadikan motivasi untuk mereka melakukan lebih dari ini. 

Alhamdulillah, terima kasih Allah. Melalui sisa baki umur aku ni, aku bermohon agar dikekalkan iman dan Islam pada diri aku ni. 

Ya Allah ya Rahman ya Rahim, kau ampunkanlah segala dosa mak dan abahku, tempatkan lah mereka di dalam syurgamu, jauhkan lah mereka dari siksaan kegelapan kubur dan siksaan api neraka.

Ya allah, ampunkan lah dosa-dosa ku, dosa anak-anak ku, dosa abang dan kakakku, dosa saudara-mara, sahabat, kawan-kawan dan kenalan yang mengenali ku.

Ya allah ya Razzak, kau berkatilah dan percukupkanlah rezeki yang kau beri kepada ku, lindungilah keselamatan ku dibawah pandangan rahmat dan kaseh sayangmu. Kurniakanlah aku dengan kesihatan yang baik agar mudah beribadat kepadamu. Jika kau uji dengan kesakitan, kau berilah kekuatan untuk aku menanggungnya. Mudah mudahan ia suatu kebaikan buat aku. 

Ya allah, kau teguh serta tetapkan hati aku di dalam iman untuk agamamu, kau tutup lah aib-aib ku, kau jauhkanlah aku dari hasad dengki manusia dan kelalaian nikmat dunia. Kau buangkanlah sifat sombong, malas, kedekut, riak dan ujub pada diri aku.

Jadikan anak-anak aku anak-anak yang soleh dan akan berbakti dan mendoakan aku kelak. 



Dan pagi ni, 4 ketul budak dalam gambar ni buat 'surprise' kejutkan aku dari tidur dengan keadaan mamai dorang suh aku tengok apa ada kat dapur. Allahuakbar, terima kasih Allah😭




Ya Allah yang maha bijaksana, Terima kasih😍. 

Aaaaaamin. 


Saturday, November 9, 2019

Darra Bazaar yang Hampir Mati [ Pasar Senjata ]

DARA BAZAAR, DARRA ADAM KHEL
KOHAT, PAKISTAN


Kali ini aku nak bercerita tentang pengalaman masuk ke kawasan industri  senjata api yang terbesar di Pakistan. Aku dapat tahu tentang lokasi ini pun dari abang aku yang bercerita beberapa hari sebelum keberangkatan aku ke Pakistan. Dengan masa yang singkat aku mula mencari maklumat tentang keadaan keselamatan di sana. Melalui video-video di YT yang terkini, dapat disimpulkan bahawa kawalan keselamatan tidak seketat 5 tahun sebelumnya. Baiklah , aku akan cuba untuk pergi ke lokasi ini walaupun sebenarnya ia bukanlah lokasi pilihan pertama aku.


Memandangkan Darra Adam Khel ni cuma 186km dari Karapa Kaley, dan ia berdekatan dengan Peshawar dan Kohat maksudnya boleh lah balik hari, tak perlu lah bermalam di sana. Untuk pengetahuan, Karapa Kaley ni kampung Ihsan, suami kepada kawan aku, Anje. Kami menyewa sebuah teksi dengan tambang 6500pkr bersamaan RM172 pergi dan balik termasuk kos minyak. Pada aku, tak kesah la harga tambangnya macamana asalkan aku dapat masuk ke kawasan tu dengan mudah. Tempat ni bukan semua orang dapat masuk kalau tiada permit dan diiringi polis tempatan yang digelar Khasadars. Untuk situasi aku pula, aku yakin dengan strategi menggunakan penduduk tempatan (suami Anje dan pemandu teksi) sebagai 'bodyguard' yang menjaga keselamatan aku. 

Pengembaraan di Pakistan ni agak renyah sikit sebab setiap kali melintasi wilayah atau negeri, warga asing perlu berhenti untuk lapor diri ke pos-pos polis di setiap sekatan. Maklumat di passport kita akan dicatit dalam buku kerana pemerintah Pakistan amat menitik beratkan keselamatan warga asing yang berada di negara mereka.


Suatu ketika dahulu lokasi ini mendapat kemasyhuran dari aktiviti perdagangan dadah dan pembuatan serta penjualan senjata api. Pekan ini terdiri daripada satu jalan utama yang dibarisi dengan pelbagai kedai, bersama dengan beberapa  lorong  yang mengandungi bengkel. Ia kebanyakannya didiami oleh kaum Pashtun dari klan Afridi, iaitu Adamkhel. Tengok bentuk muka mereka pun agak gerun macam nak makan orang. Tapi bila senyum, lega sikit cuak di hati ini.


Macam biasa, kalau sampai ke sesuatu tempat yang baharu bagi aku, perangai jakun tu memang tak leh buang😅. Teruja sangat bila tengok kedai-kedai menjual senjata berderet-deret di sepanjang jalan. Jual senjata macam jual talipon bimbit. Kiri kanan, depan belakang kedai senjata sesaja. Kau rasa ? Pakkal lah aku wanita, terpaksa tengok dari dalam kereta ja. Sebab di kawasan pendalaman Pakistan, wanita dibenarkan keluar pada waktu tertentu sahaja. Ada juga kawasan, wanita cuma keluar bila sakit. Ye lah sebab nak dapatkan rawatan di hospital. Tentang budaya ini nanti aku cerita di tajuk yang lain.

Sampai di Dara Bazaar, kami (aku dan Anje) tidak dibenarkan keluar dari kereta sementara mereka ( Ihsan dan pemandu teksi) pergi bertanyakan tentang kedai dan bengkel pembuatan senjata. Bila mereka dah dapat maklumat lokasi, barulah dibenarkan keluar dan terus menuju ke celah-celah kedai kerana bengkelnya terletak di belakang deretan kedai-kedai.




Ketika aku sampai, azan zohor berkumandang. Bengkel-bengkel pun banyak yang bertutup. Tak tahulah ia ditutup kerana waktu rehat atau tutup selama-lamanya. Cuma ada satu bengkel yang terbuka dan ada pekerja di dalamnya. Dalam keadaan rasa cuak yang terlampau, aku paksa diri untuk masuk dan merakam aktiviti mereka yang sedang gigih membentuk pistol.



Banyak benda aku nak tanyakan pada mereka ni, tapi tu lah, bila tengok muka mereka yang serius, senyum pun tidak apalagi nak memandang.




Jadi agak mustahil untuk aku seorang wanita nak bertanyakan soalan-soalan  berkaitan dengan perusahaan ini. Terus hilang soalan ingin tahu aku tu. Akhirnya aku rakam ajalah suasana persekitarnya. Banyak juga benda yang terlepas nak tengok seperti tempat dan cara mereka uji senjata, aku hanya dapat mendengar bunyi tembakan sahaja.





Setelah melihat, memegang dan menggayakan beberapa laras senapang, kami pun keluar dari kawasan bengkel untuk melihat kedai tempat menjual pula. Kedai menjual di bahagian luar, sementara blok-blok bengkel terletak di bahagian belakang deretan kedai.


Setiap bandar dan pekan di bahagian utara barat Pakistan, memang tak akan nampak wanita tempatan di jalanan. Semua orang lelaki. SEMUA. Jadi korang boleh bayangkan macamana pandangan mereka yakni orang lelaki melihat kami berdua. Ya, pandangan hairan, pelik dan pandangan mata yang tak berkelip.  Macam nak makan orang. Ye la sebab kami tak pakai burqa. Hehehe. 

Di bandar ni juga kita akan nampak senjata api di bawa ke mana-mana. Aku ada ternampak seorang lelaki dengan motorsikal bawa senapang yang disangkutkan di bahu  sambil bersembang tepi jalan. Gempak an ? Ya senjata api adalah tradisi dan budaya orang di sini sejak berabad lamanya. Mereka akan menggunakan senjata api selain dari untuk keselamatan diri mereka juga akan gunakan ketika menyambut perayaan seperti perkahwinan dan majlis kesyukuran.


Kami singgah di sebuah kedai, di situ juga ada ruang membuat senjata. Rasanya macam kedai milik sendiri. Dia buat, dia jual. Jadi kemungkinan harga boleh dapat lagi murah.


Dalam sembang menyembang, tak sangka pemandu teksi kami tu membeli sepucuk pistol. Eh eh, macam tu ja beli ? Pistol dibungkus dengan plastik dan diikat dengan getah. Ha ha ha macam beli tempe ja.


Dan pistol itu diukir dengan nombor pengenalan diri pemandu teksi di bahagian hujung pemegang pistol.


Harganya 11,000 pkr bersamaan RM290. Peluru pula dikira 10 biji berharga 2,000pkr bersamaan dengan RM53. Nampaknya harga senjata api di sini lebih murah dari harga talipon pintar. Dah-syat.

Begitu lah tradisi kehidupan di sini. Kemahiran hidup penduduk di sini hanya dengan menghasilkan senjata api. Kemahiran  ini akan diturunkan  dari bapa kepada anak turun temurun. Dengan undang-undang baharu yang mensyaratkan setiap pemilik senjata mesti memiliki lesen dari kerajaan wilayah atau persekutuan membuatkan mereka rasa sudah tiada kebebasan. Pengeluaran rekabentuk setiap senjata pun mestilah mengikut bentuk yang ditetapkan pihak berkuasa. Untuk mengetahui lebih lanjut boleh klik dan baca info dari AlJazeera di sini.

Patutlah ketika aku datang suasana pekan ini agak lesu. Kedai dan bengkel banyak yang dah tutup. Tidak mustahil lepas ni ia menjadi makin sukar untuk masuk atau pasar ini akan terus sepi. Entah lah.


Tugu ini pula terletak di tengah pusingan laluan masuk ke Darra Bazaar. Memang aku tak kenal pun, tapi bila aku fikir kenapa ia dibina, mesti beliau seorang yang terkenal. Aku terus ambil gambar, balik baru buat rujukan di wikipedia tentangnya.

Beliau bernama Khūshāl Khān Khaṭṭak, juga dipanggil Khushal Baba. Seorang pejuang Afghanistan, penyair, ketua dan pejuang kebebasan suku kaum Khattak di kalangan bangsa Pashtun. Khushal mengajar kesatuan Pashtun dan menggalakkan pemberontakan terhadap Empayar Mughal, mempromosikan nasionalisme Pashtun melalui puisi.

Sebelum terlupa, bandar ini juga menjadi kubu pertama bagi puak Taliban suatu ketika dahulu. Masih ada bekas lori-lori yang dibakar oleh puak Taliban dan ianya dibiarkan menjadi tanda sejarah oleh pemerintah di situ.

Kesimpulannya,

Rasa bertuah sangat sebab dapat jejakkan kaki ke sini. Kira gempak gak lah dapat tengok pasar pembuatan senjata dengan mata kepala sendiri. Bukan kaleng-kaleng 😎. Setakat ni belum terjumpa di blog dan youtube pengembara dari MY yang dah sampai ke sini. Mungkin ada, cuma tak diwar-warkan kot.

Pada aku, cerita tentang pasar senjata ni paling menarik dan  'rare' selama 17 hari mengembara di bumi 🇵🇰. Allah tak izinkan aku ke Gilgit- Khunjerab Pass, tapi dia beri izin aku ke sini  kerana perancangan DIA lagi terbaik. Alhamdulillah.

Perjalanan ke sini hanya untuk melawat dan sekadar untuk ingin tahu. Tiada berkaitan dengan hal-hal yang lain. Ia ditulis sebagai catatan perjalanan seorang pengembara untuk diceritakan di hari tua.

Oke cerita lain, nanti aku tulis. Itu pun kalau ada ilham turun mencurah-curah😜

Bersambung. 

Thursday, October 10, 2019

Allah itu Maha Mendengar.


PAKISTAN
16hb Oktober-1hb November 2019

Tercetus impian ni bila hari-hari tengok kawan-kawan post gambar ride di Karakoram Highway. Asal join komen ja dorang ajak pergi. Bila tanya modal 5k dan ke atas. Haish. Nda mampu aku bha😢.

Hari berganti hari, bulan dan tahun. Terus berimpian tapi tiada nampak cara. Duit syiling terus dikumpul dalam pasu. Nak ke sana perlu mohon visa, visa pula perlukan gerento atau atas jemputan. Haish. Rumitnya. 


Suatu hari, bff ajak teman dia balik kampung jumpa mertua. Nak memang nak tapi dekat sangat dengan projek hujung tahun. Aku abaikan.

3 minggu sebelum hari kejadian, bff cerita lagi tentang family mertua dia bersungguh-sungguh menunggu dia datang. 5 tahun kawin, baru ni nak jumpa. Epic woo. Masa tu pulak projek hujung tahun baru berubah tarikh. Hati dan akal aku ⚖️ menimbang-nimbang.
Apa yang aku fikir adalah :

1) Kalau tak pergi sekarang bila lagi ? 2021 lama lagi.

2) Kesian pulak dengan bff aku  pergi sendirian jauh pulak tu. I can feel her.

3) Ini peluang aku nak tengok suasana sambutan terhadap orang asing yang masuk ke dalam keluarga mereka. Waaa.. Adat dan budaya berbeza weii. Aku suka aku suka. Aku nak rakam ! 


Akhirnya dengan machonya aku tanya tiket flight berapa ? Dia cakap bla bla bla, harga tiket nanti dia support sikit.
"😌Oke aku teman". Pergh, melompat kesukaan, dia terus booking tiket flight🙄. 

Untuk mendapatkan visa benda yang diperlukan adalah :
a) 2 keping gambar berlatar belakang putih, bersaiz 35mm x 45mm. 
b) Satu salinan passport
c) Satu salinan kad pengenalan
d) Satu salinan tiket penerbangan
e)Satu salinan kad pengenalan dan passport  gerento. 

Dalam kes aku ni, suami bff aku yang jadi gerento. Dia rakyat Pakistan jadi lebih mudah prosesnya. 

Kemudian isi borang. 

Kita akan diberi resit dan tarikh untuk ambil semula passport. 


Balik rumah ja terus aku study dan buat route ke lokasi-lokasi HEAVEN ON EARTH. 17 hari, kau rasa ? Bikin apa bos ku ! 
Takkan nak dok umah mertua 17 hari kot. Kita get lost la kawan😏. Ngeh ngeh ngeh.

Win-Win situation😎.


Visa sudah lulus, tunggu apa lagi kawan, jom kemas baju.
Yak yak yay !


Jangan pernah berhenti bermimpi. Semangat kita biar setinggi langit. Bersujud dan berdoa biar separas lantai. Walau berbisik, hati berdetik, Allah tahu. Allah dengar.
Bila tiba waktunya, Allah tunaikan. Yang penting kita  sabar, solat, dan bersedekah. 

Terima kasih Allah.

Road to 🇵🇰.