Friday, August 29, 2014

Bersangka baik dengan musafir [POT]

Hari ke - 4
Kuala Kurau - Sungai Petani
Selasa, 9hb April 2013
KUALA KURAU
Malam itu, aku tidur agak lena juga, hingga hampir waktu subuh aku terdengar-dengar suara orang mengaji. Terkelip-kelip mata memandang keliling,  mata terus mencari-cari beg dan barang-barang aku untuk memastikan ianya masih ada. Setelah berpuashati aku mengeluarkan pekakas mandian, bingkas bangun dan terus menuju ke bilik air. Ada dua tiga jemaah sedang mengambil wuduk, segan juga nak melintas kerana aku seorang saja perempuan. Terpaksa buat muka selamba lah. Haih.



Hari ini perjalanan aku akan menuju ke Sungai Petani, sebelum matahari terbit aku sudah meninggalkan surau Kampung Kuala Kurau. Perlahan-lahan mengayuh di dalam remang- remang subuh. Tiba-tiba aku terpandangkan sesuatu. Sesuatu yang rasanya di zaman kemajuan dan kemodenan tak perlu ada lagi keadaan seperti itu. Di kawasan pokok- pokok bakau berdirinya rumah kayu yang kelihatan terlalu dhaif dan usang. Macam nak roboh pun ada. Bagaimana kalau hari hujan ? dan kalau air pasang macamana ya ? Hrm. Insaf.




KAMPUNG SUNGAI BHARU-BAN PECAH

Aku teruskan perjalanan melalui jalan pintas pesisir laut. Helamak ! pemandangan yang tak terkata indahnya. Di kanan, sawah bendang, di kiri, laut lepas. Di celah-celah dedaun kelapa terbitnya cahaya matahari. Kelihatan burung-burung sudah mula keluar berterbangan mencari rezeki. Penduduk kampung juga sudah mula turun ke bendang. Cuba bayangkan, haaa.. Indah nian dan damai negaraku.






Pagi itu, aku bersarapan agak berat sedikit, nasi putih berlaukkan ikan sembilang masak kari. Uhf, sedap sekali. Beras yang digunakan dari hasil tanaman sendiri. Putih dan gebu. Ikan sembilang pula sudah pasti dari tangkapan terbaru. Manis dan segar isinya. Lokasi kedai tersebut berada di pekan kecil, tak berapa nak ingat mungkin di Kampung Kuala Sungai Baru.


Kedainya tidak lah besar sangat, terletak di tepi jalan utama. Dibina dari kayu dan kelihatan agak uzur. Walaupun begitu, ia menjadi tumpuan penduduk setempat setiap pagi.


TANJUNG PIANDANG

Perut sudah berisi, tenaga pun bertambah cegas. Apalagi, ayoh mulakan kayuhan dengan riang ria. Berbasikal di waktu pagi di kawasan kampung memang teruja. Macam-macam aktiviti aku dapat lihat. Ada yang menghantar anak-anak ke sekolah, ada yang sedang memilih ikan dan sayur untuk dibuat lauk makan tengahari dari peraih yang datang menjual dari rumah ke rumah.



Suasana lebih sibuk bila masuk ke kawasan pekan Tanjung Piandang, di mana pasar basah menjadi tumpuan. Lebih bertambah sesak bila pasar terletak di laluan utama. Lori, kereta dan motor meletakkan kenderaan sesuka hati untuk mengambil dan menurunkan barang. Seronok ja tengok aktiviti penduduk kampung di sini. Bukan itu saja, ada yang sibuk menyusun ikan-ikan di atas para buluh untuk dijemur dan kemudian dijadikan ikan kering/masin. Para-para itu disusun dan diletakkan di tepi jalanraya saja. Oo, macam ni ke proses menghasilkan ikan kering. Ada juga nampak anjing berkeliaran di tepi tempat jemuran. Ops!






 BUTTERWORTH

Dari pekan Tanjung Piandang hingga ke simpang empat menuju sempadan Pulau Pinang tidak lah jauh sangat jaraknya dan keadaan jalan rayanya juga agak sesak. Jalan itu adalah laluan yang sering digunakan oleh kenderaan-kenderaan berat menuju ke utara. Persempadanan negeri hanya ditandakan dengan pintu gerbang sahaja. Wah! sekejap rasanya dah sampai Pulau Pinang. Macam tak percaya. 





Cuaca cerah dan sangat panas. Aku mengambil keputusan untuk berhenti rehat di stesyen minyak Caltex. Ketika duduk minum di kerusi yang memang tersedia aku didatangi dua orang gadis yang bekerja di stesen tersebut lalu menghulurkan 2 botol air mineral.
‘Eh, kenapa bagi saya ?‘ Aku bertanya dan mereka cuma jawab, ‘tak pe lah, akak ambik la buat bekalan’. Aku senyum dan sudah mengagak mungkin itu cara untuk mereka memulakan perbualan. Agak lucu bila tengok mereka seperti dalam keadaan tertanya-tanya dan ingin tahu bila melihat aku menaiki basikal yang penuh dengan muatan. Basikal aku ditelek, beg aku dipegang kemudian memandang aku dengan hairan. Soalan demi soalan diajukan. Aku melayan dengan senyuman, semoga minda mereka terbuka bila melihat apa yang aku sedang lakukan ini.



Sedang seronok berbual, talipon aku berbunyi. Panggilan dari seseorang yang tinggal di Butterworth, bertanyakan lokasi aku berada ketika itu. Rickee Lee, siapa ya ? Aku tak pernah kenal, tak pernah berbual, apalagi berjumpa. Ini lah kali pertama aku akan berjumpa rakan kayuhan dari Pulau Pinang. Aku kena cepat, kerana sudah berjanji untuk berjumpa dengannya. Tak sedap pula kalau lambat, aku tak suka buat orang ternanti-nanti. 




 NIBONG TEBAL

18km  menuju ke Butterworth aku dah nampak seseorang yang sedang menunggu di seberang jalan bersama basikal. Aku agak itu mesti uncle Ricky. Wah, ini ke orang nya, simple, segak dan bergaya dengan memakai mafla di leher. Stylo ! Aku melambaikan tangan, dan dia membalasnya. Ramah. Kami berbual sebentar sambil mengambil gambar bersama, kemudian dengan menaiki basikal tayar 700c uncle terus memulakan kayuhan. Mak aih, aku mencungap nak mengejar. Ayo uncle ! lajunya.





Memasuki tanah jajahan Pulau Pinang membuat aku rasa agak tertekan sedikit kerana  kenderaan muatan berat yang begitu banyak, dengan bebanan yang padat aku terpaksa menyusur dicelah-celah lori dan kereta. Bahang enjin dan asap kenderaan membuatkan aku rasa nak meletup. Uhf! bahayanya.




Keadaan lalu lintas mengarah ke bandar Butterworth memang sibuk. Lebih-lebih lagi ketika itu adalah waktu puncak orang keluar untuk makan tengahari. Rasa berdebar dan risau bila terpaksa mencelah-celah di antara kereta dan lori tangki. Jika aku lambat, pasti kena tinggal dengan uncle Ricky. Jika aku tak cekap mesti aku akan tergolek di tengah jalan. Aku kena berani, juga perlu lebih berhati-hati dengan kesesakan lalu lintas.

Kadang-kadang rasa seronok bila menghadapi cabaran ini, ia mengajar kita supaya lebih peka dengan keadaan keliling, cekap mengendali basikal, bijak menggunakan peluang yang ada untuk terus mara kehadapan dan bersaing dengan kenderaan yang lebih besar.



Kenderaan makin banyak, sesak. Bahang enjin kenderaan terasa di muka. Mana uncle Ricky ? Aik, dah melepasi lampu isyarat ke ? Aku nampak uncle sedang menunggu aku di pondok menunggu bas. Tak boleh jadi ni, aku mesti cepat mengayuh, kalau tidak aku akan ketinggalan. Jalan di sini memang bersimpang siur. Aku perhatikan cara uncle mengendalikan basikalnya dengan bersahaja. Beliau terus mengayuh, walau di kiri dan kanan banyak kereta, walau ada kereta cuba masuk ke susur kiri, beliau tetap terus mengayuh. Dan pemandu kereta itu harus akur dan memberi laluan kepadanya. Aku dapat rasakan bahawa uncle ingin menunjukkan bahawa ‘ pengayuh basikal juga punyai hak yang sama di atas jalanraya. Ini jalan aku, beri keutamaan’. Tabik. 

Hampir jam 1.30 petang, kami berhenti untuk makan tengahari. Di situ lah baru dapat berbual-bual dengan uncle. Seronok mendengar cerita pengalaman beliau berbasikal ke Laos secara solo. Beliau juga tak lokek berkongsi ilmu pengembaraan. Whoa ! memang membuatkan aku teruja. Hingga makanan pun aku jamah sedikit saja. Terlalu asyik dan terpegun dengan ceritanya. Inspirasi !.





 SUNGAI PUYU

Selesai makan, uncle terus mengajak aku berkayuh melalui jalan pintas yang jarang orang gunakan. Lajunya uncle mengayuh, aku asyik tertinggal di belakang. Tak sangka, seronok betul kayuh ikut jalan ni, ikut bawah jambatan, lalu tepi paya bakau, redup dan tenang sekali. Jauh dari kesibukan lalulintas. Sekali lalu, Uncle menunjukkan lokasi untuk komuniti setempat beriadah. Menurutnya, di situ lah beliau dan rakan-rakan akan berjumpa dan menghabiskan waktu lapang. Sempat juga aku merakam gambar walaupun sedang mengayuh basikal. :)






Jauh juga uncle bawa aku mengembara, masuk kampung keluar kampung. Lalu di tengah-tengah sawah bendang, sampai sesat . Haha. Bila penat, kami berhenti di warung tepi sawah sambil menikmati teh ais dan kuih muih yang ada dijual. Menjelang petang, kami pun sampai ke penghujung pertemuan. Uncle terpaksa berpatah balik ke Butterworth dan aku harus meneruskan perjalanan ke utara. 



Terima kasih buat uncle, kerana begitu berbesar hati menyambut dan menemani aku sepanjang perjalanan walau pun dengan waktu yang singkat. Maaf juga kerana aku terpaksa menolak pelawaan untuk bermalam di rumahnya. Selamat jalan uncle semoga kita akan bertemu lagi di masa depan.




 PENAGA

Perjalanan diteruskan sehingga berhenti di Masjid Jamek Penaga, kerana RP mahu bersolat Asar. Lama juga berhenti di situ. Hrm* Buat solat jamak qasar sudah lah, kita kan sedang bermusafir, bisik hati. Ketika menunggu, tiba-tiba rasa lapar lah pulak. Cuba cari saki baki makanan yang ada dan terjumpa beberapa biji buah pisang, itu pun dah lebam. Ah tak kesah, makan je. Sambil itu, mata meninjau-ninjau persekitaran masjid. Aku lihat di bahagian hadapan masjid adalah kawasan perkuburan. Agak pelik juga lah sebab aku tak pernah melihat suasana seperti itu sebelum ini. Rumput tak ada, tanahnya pun berpasir putih. Bersih.






 KOTA KUALA MUDA

Kini aku sudah memasuki negeri Kedah. Negeri yang dianggap sebagai negeri "Jelapang Padi" , Ia juga salah satu negeri pelancongan dan negeri bersejarah. Untuk sampai ke Sungai Petani, aku tidak perlu masuk  ke Kota Kuala Muda, tetapi disebabkan aku mencari  jalan pintas seperti jambatan atau bot penambang yang boleh dilalui, maka aku terus saja menuju hingga ke pekan lama Kota Kuala Muda. 



Ketika melintasi jambatan Sungai Muda aku berselisih dengan sekumpulan pelumba berbasikal muda yang sedang berlatih dengan gigihnya. Sempat juga melambaikan tangan tanda sokongan. Hebat juga anak-anak muda di negeri Kedah ini. Syabas!



Berbalik cerita tentang Kota Kuala Muda, kota ini menyimpan sejarah  dan merupakan bekas ibu negeri Kedah yang dibina pada abad ke-17 dan 18. Ia dijadikan ibu negeri bagi menggantikan Kota Setar akibat ancaman serangan dari Siam.

Terletak berhampiran pekan Kuala Muda, Sungai Mas dan Kuala Sungai Muda. Ia menjadi tapak istana Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah, pusat pentadbiran kerajaan. Pada akhir tahun 2004, Tsunami telah mengakibatkan banyak kemusnahan kepada komuniti perikanan Kuala Muda. Banyak rumah di tepi jalan raya pantai yang menuju ke Kuala Muda telah dimusnahkan oleh ombak Tsunami termasuk pengkalan dan pasar basah. 



Ikut perancangan, aku nak terus ke Pantai Merdeka. Teringin sangat nak pergi sebab nama pantai tu sangat popular lebih-lebih lagi bila nama tu dijadikan lagu. Nak juga tahu apa yang menarik sangat, tapi nanti aku terpaksa berpatah semula kerana tiada jalan alternatif seperti jambatan atau bot tambang yang menyemberang hingga ke Tanjung Dawai. Untuk mendapatkan maklumat yang tepat, selain menggunakan peta yang aku bawa, aku mesti menggunakan GPS ( Guide Penduduk Setempat ) Maka aku pun mula bertanya arah jalan pada kakak- kakak yang berniaga di tepi jalan. Beria-ria mereka memberitahu bahawa memang tiada jalan yang menghubungkan terus ke seberang. Jadi, aku harus berpatah balik.




Seperti biasa, menjadi pengembara mesti peka dengan keadaan sekeliling, lebih-lebih lagi bila perkara itu berkaitan dengan keunikan dan sejarah. Di hadapan aku ada sebuah masjid lama. Antara masjid jamek Penaga dan masjid ini, yang ini lagi unik dan epik. Kawasan perkuburan betul-betul di depan masjid. Menyeramkan. Jika mahu masuk ke dalam masjid, kita harus melalui di tengah-tengah lorong kecil di mana kiri dan kanan adalah kubur dan ditanam dengan pokok kemboja. Hajat hati ingin masuk ke dalam tetapi kelihatan pagarnya berkunci. Ala.



Masjid Kota Raja dan Pintu Gerbang Kota Kuala Muda adalah 2 tinggalan sejarah Melayu lama yang masih kekal di situ. Malangnya, aku tak berkesempatan untuk melawat ke lokasinya.
Sehingga jam 5:30 petang aku masih di jalanan. Lokasi perhentian masih jauh lagi. Bermacam-macam nama tempat yang unik aku temui sepanjang laluan ke Sungai Petani, antaranya ialah..




SUNGAI PETANI
Perjalanan menuju ke Sungai Petani terpaksa aku hadapi dalam cuaca hujan renyai, tapi itu sedikit pun tak mematahkan semangat aku. Kayuh tetap kayuh, hujan ribut taufan tetap  di tempuh. Menjelang senja, baru aku sampai di bandar Sungai Petani. Bandarnya agak besar juga, yang pasti harus mencari masjid dahulu. Ketika berhenti di lampu isyarat aku terus bertanya pada seorang lelaki menaiki motor yang berhenti disebelah aku. “ Assalamualaikum, bang tompang tanya boleh, kat mana masjid besar Sungai Petani ?. Dengan senyuman beliau menunjukkan arah ke masjid. Macam tu la yang aku selalu buat bila tak yakin dengan hala tuju setiap lokasi. Malu bertanya sesat jalan. Bukan kena bayar pun. Percuma.
Tiba di Masjid Abu Bakar As-Siddiq hampir waktu maghrib, terasa segan juga la bila setiap jemaah yang datang memandang penuh hairan. Ada juga yang bertanya kisah. Lagi lah serba salah bila aku masih dalam keadaan uzur. Apa nak buat ni ? takkan nak duduk kat situ ? mesti berbakul-bakul sangkaan buruk percuma ja aku dapat. Keputusan terbaik adalah keluar dari kawasan masjid dan pergi ke stesen Petronas yang berhampiran walau pun hujan gerimis mulai turun.
Nak dijadikan cerita, hari itu ada ceramah agama. Walawei, terpaksa tunggu hingga jam 9:30 malam dalam hujan. Badan dah sangat letih dan kotor. Apa yang mampu buat adalah ‘bertabahlah.’
Alhamdulillah, rezeki yang Allah beri sentiasa melimpah ruah, datang lah seorang kawan dari Baling untuk menyambut aku. Datang dari jauh tu. Terima kasih Pak Teh sebab belanja aku makan KFC. Dah la hujan, tengah lapar pula tu, memang terbaik. 



Malam itu, aku dibenarkan tidur di ruang legar masjid dengan selesanya. Di sini juga, diberi kepercayaan memegang kunci pagar masjid. Apa ? kunci pagar masjid ? uhf. Betapa baiknya AJK Masjid Abu Bakar As- Siddiq sentiasa bersangka baik kepada sesiapa saja.



Selepas membersihkan diri, aku mula menyusun beg-beg untuk menjadi penghadang ketika aku tidur. Bila rasa selamat aku pun merebahkan badan yang sememangnya sudah kehabisan tenaga. Perlahan-lahan melelapkan mata. Letihnya perjalanan hari ini.  
Bismillahirrahmanirrahim al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.

Info kayuhan hari ke 4 :
Jarak kayuhan : 150.68km
Masa : 7.00 pagi- 7.00 petang

Nota tambahan : 

Setelah setahun pengembaraan aku, baru aku dapat maklumat bahawasanya dari Pantai Merdeka ke Tanjung Dawai ada perkhidmatan bot yang telah lama beroperasi. Tempoh perjalanan hanya 10 minit untuk menyeberang. Tambang yang dikenakan hanya RM2 satu perjalanan atau RM12 untuk sewa sebuah bot. Ah ! kenapa penduduk tempatan di situ tak tahu ?  Mungkin Allah sudah menetapkan perjalanan aku ketika POT hanya sampai Kota Kuala Muda sahaja. Redha.

Tunggu, tunggu, tunggu [POT]

Kisah hari kedua di sini..

Hari ke 3
Sitiawan - Kuala Kurau
Isnin 8hb April 2013

Terjaga dari tidur, aku lihat jam menunjukkan 5.30 pagi. Rasanya baru sekejap aku melelapkan mata. Gangguan nyamuk dan rasa panas di dalam khemah membuatkan aku gelisah sepanjang malam. Tidur pun tak lena. Oh! mengantuknya. Perlahan-lahan aku bangun, lutut dan pinggang aku mulai rasa sakit dan berdenyut-denyut. Adoi. Gagahkan juga untuk membersihkan diri.

Ketika azan subuh, aku sudah pun siap mandi dan terus mengemaskan barang-barang serta khemah. Setelah selesai aku duduk di sudut garaj sambil menunggu RP (rakan pengiring) menyelesaikan tanggungjawabnya bersolat subuh.


Jam menunjukkan sudah 7:00 pagi , perjalanan akan dimulakan bila-bila masa saja. Ketika itu, datang seorang lelaki dengan sebuah motor dan memberi salam sambil menghulurkan sesuatu kepada RP. Katanya kiriman dari rakan ‘facebook’. Mungkin rakan RP agaknya yang menitipkan sarapan pagi. Syukur alhamdulillah, rezeki di hari ketiga. Dua bungkus air teh dan nasi lemak bertukar tangan. Tidak banyak yang dibualkan hanya mengucapkan terima kasih kemudian kami meminta diri untuk memulakan perjalanan. Moga Allah murahkan lagi rezeki kepada hamba allah itu.


Destinasi hari  menuju ke Pantai Remis dan kemudian terus ke Kuala Kurau. Keadaan masih gelap dan agak tenang pagi itu, walaupun hari pertama bagi mereka yang bekerja dan anak-anak  ke sekolah, tidak banyak kenderaan yang berada di jalan raya. Mungkin masih awal pagi. 


Sebaik saja kaki mula  berkayuh, lutut dan pinggang yang sakit tidak terasa lagi lebih-lebih lagi bila dapat melihat matahari terbit dan menghidu udara pagi yang segar, terus hilang rasa sakit. Aku lihat rutin harian penduduk di sini sama saja seperti di tempat aku, masing-masing berlumba-lumba untuk sampai ke destinasi. Masing-masing mempunyai urusan yang perlu dilakukan. Inilah kehidupan yang harus dilalui oleh semua umat manusia.


Dari jauh aku sudah nampak jambatan Raja Permaisuri Bainun gagah merentangi Sungai Dinding. Dibina pada 19 Ogos 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 2000. Dibawah jambatan itu, kalau nak tahu mempunyai 13 gerbang yang mewakili negeri-negeri di Malaysia. Jambatan ini juga adalah jambatan kedua terpanjang di semenanjung Malaysia setelah jambatan Sungai Johor di Johor. Dari apa yang aku baca, apabila malam, lampu yang pelbagai warna akan menghiasi setiap gerbang di bawah jambatan. Sayangnya aku tak berpeluang menikmati pemandangan itu.



Jalanraya masih lengang, kenderaan pun sekali sekala melintas. Aku ambil peluang berhenti di tengah-tengah jambatan untuk  merakamkan suasana menjelang matahari terbit. Suasana persekitaran agak tenang, nampak awan dan cahaya matahari bergabung membentuk satu lukisan yang cantik di langit. Di satu sudut, nun jauh di hadapan sana, kelihatan kabus melitupi bukit bukau. Dengan perlahan aku menghela nafas dalam-dalam dan terasa udara dingin menderu masuk ke dalam ruang paru-paru. Haih, nyamannya.


Seronok rasanya berkayuh di hari ketiga. Aku fikir untuk hari ni, perjalanan pasti lebih teratur dan akan mencapai sasaran kayuhan mengikut apa yang telah dirancangkan, tiba-tiba RP minta berhenti sebentar di Masjid Khairul Jariah di kampung Segari, kerana RP mahu bersolat Dhuha. Ok, berhenti sekejap.

Setelah melalui beberapa kampung dan pekan-pekan kecil akhirnya, aku sampai ke Pantai Remis. Sedang leka mengayuh basikal, tiba-tiba terdengar bunyi honk kereta. Aku hanya menoleh sepintas lalu. Sebuah kereta berwarna biru terus membunyikan honk. Entah siapa la tu.
Galak benar membunyikan hon. Aku ketawa sendirian.



Aku membelok masuk ke stesen Petronas untuk berhenti berehat dan bersarapan. Tiba-tiba datang seorang lelaki lewat 40’an sambil menghulurkan air 100 plus. Eh ? cam kenal ja mamat ni. Siapa ya ? Cuba merangsang otak untuk berfikir. Ahah ! Ingat dah. Seorang rakan ‘touring’ yang ku kenal melalui laman ‘facebook’. Beliau juga baru menamatkan kayuhan menjelajah semenanjung awal tahun 2013.
La, kau ke Sham Shahrul ! Kau ke yang bunyikan honk tadi. Aku Ingatkan siapa. Ha la, nampak dari jauh, itu yang kejor sambil bunyikan honk. Dia menjawab sambil ketawa.



Sambil bersarapan, sambil berkongsi cerita. Sambil bercerita sambil bergambar, sambil bergambar sambil ketawa. Ha ha ha!
Lama juga berhenti di situ. Kalau tak bergerak mahu sampai ke petang asyik bersembang. Begitu juga Sham Sharul, dia harus segera ke tempat kerja semula. Walau apa pun terima kasih kerana sudi bertemu dengan aku.

Selepas melintasi Pantai Remis aku akan melalui Trong mengikut jalan Changkat Jering, Sri Manjung, Kg. Koh dan jalan A 101 sejauh 26.2 km saja tapi kenapa RP  mengarah ke laluan Batu Hampar ? Ni dah jauh tersasar dari peta perjalanan yang aku buat. Alasannya, hendak menziarah sepupunya di Batu Hampar. Eh ! siapa yang buat keputusan ni ? Aku tak puas hati langsung kerana aku harus membazir waktu pada urusan yang bukan keperluan aku. 
*cuba untuk bertenang, cuba juga untuk bermanis muka. Kerana itu aku lebih suka duduk di luar rumah. Panas.


Sudah lebih 3 jam menghabiskan masa di rumah sepupu RP. Itu pun masih nak tambah lagi masa untuk dia solat zohor. Padahal baru jam 12:30 tengahari. Halo, ini bukan kayuhan pribadi menziarah saudara mara, ini misi kayuhan mengelilingi Semenanjung. Sudah lupa niat atau tersembunyi sesuatu agenda ?  Aku dah tak boleh berdiam diri lagi, terus bersiap-siap untuk memulakan kayuhan. 
Jika nak dikirakan empat jam lebih termasuk jalan lencong masuk ke Batu Hampar telah aku sia-siakan. Dan 4 jam itu juga lah harus aku ganti untuk sampai ke Kuala Kurau nanti. Bermakna, aku akan sampai lewat malam untuk hari ke 3. Aku terus mengayuh basikal tanpa banyak bicara. Bermacam-macam perkara bermain dalam otak aku. Terbuku.


Tiba di Terong, perjalanan terhenti lagi untuk RP bersolat zohor pula. Cuaca ketika tu sungguh panas, sepanas cuaca di dalam hati aku. Setelah memberi ruang kepada RP mendirikan solat, perjalanan diteruskan hingga sampai di satu persimpangan jalan yang aku tak pasti arah mana yang patut aku ambil. Di hadapan, aku nampak ada beberapa buah gerai di tepi jalan, elok juga kalau aku memberhentikan kayuhan untuk menyejukkan badan sambil-sambil tu boleh juga bertanyakan arah.



Mee rebus dan air batu campur (ABC) menjadi pilihan aku. Sengaja aku pesan menu tu untuk merasa. Entah tak tahu kenapa tak lalu pulak nak makan, sekadar buat syarat saja.
Sambil-sambil tu aku memandang sekeliling, memerhati gelagat masyarakat kampung yang aku kira sedang sibuk, maklumlah musim pilihanraya sedang berjalan rancak di seluruh negeri. Tak semena-mena mata aku terpandang pada seorang tua yang tidak terurus, sedang bercakap-cakap sendirian, di tangannya memegang sebatang tebu.



RP menegur dan bertanya, “nak minum kopi ?” Dia mengangguk-angguk sambil menghulurkan tebu yang dibawanya. Mungkin dia mahu menukarkan tebu untuk membayar harga kopi tu. Tak mengapa, harga kopi telah dibayar. Sedekah. Aku perasan, pandangan mereka-mereka yang berada di situ, ada yang tersenyum sinis, ada yang berbisik sesama sendiri bila melihat RP melayan orang tua tersebut.  Abaikan je la, kerana suatu hari kita juga akan berada di tempatnya. Entah lebih teruk lagi keadaannya. Mana tau kan ?


Hari yang paling letih. Semuanya letih. Hingga nak mengambil gambar yang menarik pun sudah hilang rasa. Melalui jalan lurus, melintasi ladang kelapa sawit, di tengah panas ditambah dengan kepanasan di dalam dada amat memerihkan. Lebih-lebih lagi bila punggung aku dah mula rasa lunyai dek kerana terlalu lama duduk di atas basikal. Sakit oo.







Satu pemandangan yang aku tak boleh nak lepaskan bila terlihat sebuah pokok yang rendang dahannya membentuk seolah-olah pintu gerbang. Unik. Sepanjang jalan dari Simpang Empat ke Bagan Serai hanya pokok ini yang masih dibiarkan kekal tumbuh di tepi jalan. Punggung sakit pun sakitlah, berhenti tetap berhenti untuk mengambil gambar.




Kaki terus mengayuh basikal tanpa henti. Di hadapan terpampang jumlah kilometer ke destinasi untuk hari ini. Bagan Serai 19 km. Kuala Kurau ? uh! masih jauh lagi. Senja sudah munculkan diri ternyata aku tiada pilihan lain, mesti teruskan kayuhan. Dari jauh aku nampak orang sedang menjala ikan. Beberapa orang kanak-kanak juga ada bersama, ditemani seorang lelaki tua. Barangkali datuk mereka. Suasana itu telah membentuk satu lanskap menarik apabila matahari merah mula terbenam di hujung horizon.



Melintasi papan tanda Pusat Konservasi Burung Laut (perhilitan) Kuala Gula ~> 5 km. Hanya mampu memandang sekali imbas. Ah! tak dapat nak singgah. Tiada masa untuk melawat kerana hari sudah gelap. Terus kayuh.


Akhirnya, jam 8:15 malam baru sampai Kuala Kurau. Melalui perkampungan nelayan, aku melihat rata-rata penduduk bersantai di luar rumah berbual-bual sambil menghirup angin malam. Sayang rasanya kerana tidak dapat melihat dengan jelas keadaan perkampungan Cina di sini. Samar-samar aku lihat bot kecil ditambat di tepi rumah. Bukan satu, bukan dua tapi banyak. Mesti menarik pemandangannya jika waktu siang. 

Satu lagi keistimewaan Kuala Kurau ialah jambatan yang menyeberangi Sungai Kurau. Biasanya jambatan boleh digunakan oleh pelbagai kenderaan tetapi jambatan di Kuala Kurau ini hanya boleh dilalui motosikal, basikal dan pejalan kaki. Jambatan ini hanya untuk menghubungi pekan dengan kampung nelayan di seberang. Menyeberangi jambatan batu yang sangat tinggi dan sempit membuatkan aku bertambah lesu untuk terus mengayuh basikal. Ah ! tolak aja lah.




Aku mengambil peluang berhenti di tengah-tengah jambatan sambil mengambil gambar suasana malam di Kuala Kurau. Cantik.


Telefon berbunyi, terdengar suara lelaki di hujung talian bertanyakan lokasi aku berada. Aku memaklumkan bahawa telah sampai di pekan Kuala Kurau. Siapa pula yang nak berjumpa agaknya. Kerana terlalu lapar aku berhenti di gerai bersebelahan  jambatan batu, untuk mengisi perut yang benar-benar minta diisi. Mee hoon sup istimewa. Apa yang istimewa sangat ya ?


Ya, memang sedap. Sedap pada kuah supnya dan daging ayamnya. Daging ayam yang digunakan seperti ayam tua atau orang biasa panggil ‘ayam pencen’. Kenyal dan tidak lembik. Aku bukan seorang ‘food chaser’ atau ‘food  tester’, tapi bila aku kata ianya sedap, memang betul sedap. Kalau tak percaya, sila rancang pengembaraan anda ke sini.


Lebih kurang 15 minit, sebuah kereta berhenti di ruang parkir gerai tersebut. Rupanya kawan-kawan dari Taiping datang untuk berjumpa aku. Sham Shahrul, Tok Chiru, Jamell Chiru dan Shafiz. Alahai meriahnya. Sampai Kuala Kurau pun dicarinya. Kepada mereka-mereka yang akan mengembara melalui negeri Perak, dinasihatkan untuk berhenti di Taiping, jika tidak anda akan dikejar hingga ke lubang cacing. Peace !


Malam itu, makan malam aku ditaja oleh geng Taiping. Tengah-tengah malam pun dipaksa makan nasi berlaukkan kari ikan pari. Sumpah memang sedap! Terima kasih geng Taiping, budi baik anda, anda, anda dan anda akan ku kenang hingga mati. Dengan bantuan mereka juga, aku dapat tumpang bermalam di surau Kampung Kuala Kurau. Alhamdulillah, segala- galanya telah dipermudahkan. Perjalanan yang panjang untuk hari ke 3.



Info kayuhan hai ke 3 :
Masa : 7:00 pagi -8:15 malam.
Jarak : Sitiawan- Kuala Kurau : 170km