Saturday, November 9, 2019

Darra Bazaar yang Hampir Mati [ Pasar Senjata ]

DARA BAZAAR, DARRA ADAM KHEL
KOHAT, PAKISTAN


Kali ini aku nak bercerita tentang pengalaman masuk ke kawasan industri  senjata api yang terbesar di Pakistan. Aku dapat tahu tentang lokasi ini pun dari abang aku yang bercerita beberapa hari sebelum keberangkatan aku ke Pakistan. Dengan masa yang singkat aku mula mencari maklumat tentang keadaan keselamatan di sana. Melalui video-video di YT yang terkini, dapat disimpulkan bahawa kawalan keselamatan tidak seketat 5 tahun sebelumnya. Baiklah , aku akan cuba untuk pergi ke lokasi ini walaupun sebenarnya ia bukanlah lokasi pilihan pertama aku.


Memandangkan Darra Adam Khel ni cuma 186km dari Karapa Kaley, dan ia berdekatan dengan Peshawar dan Kohat maksudnya boleh lah balik hari, tak perlu lah bermalam di sana. Untuk pengetahuan, Karapa Kaley ni kampung Ihsan, suami kepada kawan aku, Anje. Kami menyewa sebuah teksi dengan tambang 6500pkr bersamaan RM172 pergi dan balik termasuk kos minyak. Pada aku, tak kesah la harga tambangnya macamana asalkan aku dapat masuk ke kawasan tu dengan mudah. Tempat ni bukan semua orang dapat masuk kalau tiada permit dan diiringi polis tempatan yang digelar Khasadars. Untuk situasi aku pula, aku yakin dengan strategi menggunakan penduduk tempatan (suami Anje dan pemandu teksi) sebagai 'bodyguard' yang menjaga keselamatan aku. 

Pengembaraan di Pakistan ni agak renyah sikit sebab setiap kali melintasi wilayah atau negeri, warga asing perlu berhenti untuk lapor diri ke pos-pos polis di setiap sekatan. Maklumat di passport kita akan dicatit dalam buku kerana pemerintah Pakistan amat menitik beratkan keselamatan warga asing yang berada di negara mereka.


Suatu ketika dahulu lokasi ini mendapat kemasyhuran dari aktiviti perdagangan dadah dan pembuatan serta penjualan senjata api. Pekan ini terdiri daripada satu jalan utama yang dibarisi dengan pelbagai kedai, bersama dengan beberapa  lorong  yang mengandungi bengkel. Ia kebanyakannya didiami oleh kaum Pashtun dari klan Afridi, iaitu Adamkhel. Tengok bentuk muka mereka pun agak gerun macam nak makan orang. Tapi bila senyum, lega sikit cuak di hati ini.


Macam biasa, kalau sampai ke sesuatu tempat yang baharu bagi aku, perangai jakun tu memang tak leh buang😅. Teruja sangat bila tengok kedai-kedai menjual senjata berderet-deret di sepanjang jalan. Jual senjata macam jual talipon bimbit. Kiri kanan, depan belakang kedai senjata sesaja. Kau rasa ? Pakkal lah aku wanita, terpaksa tengok dari dalam kereta ja. Sebab di kawasan pendalaman Pakistan, wanita dibenarkan keluar pada waktu tertentu sahaja. Ada juga kawasan, wanita cuma keluar bila sakit. Ye lah sebab nak dapatkan rawatan di hospital. Tentang budaya ini nanti aku cerita di tajuk yang lain.

Sampai di Dara Bazaar, kami (aku dan Anje) tidak dibenarkan keluar dari kereta sementara mereka ( Ihsan dan pemandu teksi) pergi bertanyakan tentang kedai dan bengkel pembuatan senjata. Bila mereka dah dapat maklumat lokasi, barulah dibenarkan keluar dan terus menuju ke celah-celah kedai kerana bengkelnya terletak di belakang deretan kedai-kedai.




Ketika aku sampai, azan zohor berkumandang. Bengkel-bengkel pun banyak yang bertutup. Tak tahulah ia ditutup kerana waktu rehat atau tutup selama-lamanya. Cuma ada satu bengkel yang terbuka dan ada pekerja di dalamnya. Dalam keadaan rasa cuak yang terlampau, aku paksa diri untuk masuk dan merakam aktiviti mereka yang sedang gigih membentuk pistol.



Banyak benda aku nak tanyakan pada mereka ni, tapi tu lah, bila tengok muka mereka yang serius, senyum pun tidak apalagi nak memandang.




Jadi agak mustahil untuk aku seorang wanita nak bertanyakan soalan-soalan  berkaitan dengan perusahaan ini. Terus hilang soalan ingin tahu aku tu. Akhirnya aku rakam ajalah suasana persekitarnya. Banyak juga benda yang terlepas nak tengok seperti tempat dan cara mereka uji senjata, aku hanya dapat mendengar bunyi tembakan sahaja.





Setelah melihat, memegang dan menggayakan beberapa laras senapang, kami pun keluar dari kawasan bengkel untuk melihat kedai tempat menjual pula. Kedai menjual di bahagian luar, sementara blok-blok bengkel terletak di bahagian belakang deretan kedai.


Setiap bandar dan pekan di bahagian utara barat Pakistan, memang tak akan nampak wanita tempatan di jalanan. Semua orang lelaki. SEMUA. Jadi korang boleh bayangkan macamana pandangan mereka yakni orang lelaki melihat kami berdua. Ya, pandangan hairan, pelik dan pandangan mata yang tak berkelip.  Macam nak makan orang. Ye la sebab kami tak pakai burqa. Hehehe. 

Di bandar ni juga kita akan nampak senjata api di bawa ke mana-mana. Aku ada ternampak seorang lelaki dengan motorsikal bawa senapang yang disangkutkan di bahu  sambil bersembang tepi jalan. Gempak an ? Ya senjata api adalah tradisi dan budaya orang di sini sejak berabad lamanya. Mereka akan menggunakan senjata api selain dari untuk keselamatan diri mereka juga akan gunakan ketika menyambut perayaan seperti perkahwinan dan majlis kesyukuran.


Kami singgah di sebuah kedai, di situ juga ada ruang membuat senjata. Rasanya macam kedai milik sendiri. Dia buat, dia jual. Jadi kemungkinan harga boleh dapat lagi murah.


Dalam sembang menyembang, tak sangka pemandu teksi kami tu membeli sepucuk pistol. Eh eh, macam tu ja beli ? Pistol dibungkus dengan plastik dan diikat dengan getah. Ha ha ha macam beli tempe ja.


Dan pistol itu diukir dengan nombor pengenalan diri pemandu teksi di bahagian hujung pemegang pistol.


Harganya 11,000 pkr bersamaan RM290. Peluru pula dikira 10 biji berharga 2,000pkr bersamaan dengan RM53. Nampaknya harga senjata api di sini lebih murah dari harga talipon pintar. Dah-syat.

Begitu lah tradisi kehidupan di sini. Kemahiran hidup penduduk di sini hanya dengan menghasilkan senjata api. Kemahiran  ini akan diturunkan  dari bapa kepada anak turun temurun. Dengan undang-undang baharu yang mensyaratkan setiap pemilik senjata mesti memiliki lesen dari kerajaan wilayah atau persekutuan membuatkan mereka rasa sudah tiada kebebasan. Pengeluaran rekabentuk setiap senjata pun mestilah mengikut bentuk yang ditetapkan pihak berkuasa. Untuk mengetahui lebih lanjut boleh klik dan baca info dari AlJazeera di sini.

Patutlah ketika aku datang suasana pekan ini agak lesu. Kedai dan bengkel banyak yang dah tutup. Tidak mustahil lepas ni ia menjadi makin sukar untuk masuk atau pasar ini akan terus sepi. Entah lah.


Tugu ini pula terletak di tengah pusingan laluan masuk ke Darra Bazaar. Memang aku tak kenal pun, tapi bila aku fikir kenapa ia dibina, mesti beliau seorang yang terkenal. Aku terus ambil gambar, balik baru buat rujukan di wikipedia tentangnya.

Beliau bernama Khūshāl Khān Khaṭṭak, juga dipanggil Khushal Baba. Seorang pejuang Afghanistan, penyair, ketua dan pejuang kebebasan suku kaum Khattak di kalangan bangsa Pashtun. Khushal mengajar kesatuan Pashtun dan menggalakkan pemberontakan terhadap Empayar Mughal, mempromosikan nasionalisme Pashtun melalui puisi.

Sebelum terlupa, bandar ini juga menjadi kubu pertama bagi puak Taliban suatu ketika dahulu. Masih ada bekas lori-lori yang dibakar oleh puak Taliban dan ianya dibiarkan menjadi tanda sejarah oleh pemerintah di situ.

Kesimpulannya,

Rasa bertuah sangat sebab dapat jejakkan kaki ke sini. Kira gempak gak lah dapat tengok pasar pembuatan senjata dengan mata kepala sendiri. Bukan kaleng-kaleng 😎. Setakat ni belum terjumpa di blog dan youtube pengembara dari MY yang dah sampai ke sini. Mungkin ada, cuma tak diwar-warkan kot.

Pada aku, cerita tentang pasar senjata ni paling menarik dan  'rare' selama 17 hari mengembara di bumi 🇵🇰. Allah tak izinkan aku ke Gilgit- Khunjerab Pass, tapi dia beri izin aku ke sini  kerana perancangan DIA lagi terbaik. Alhamdulillah.

Perjalanan ke sini hanya untuk melawat dan sekadar untuk ingin tahu. Tiada berkaitan dengan hal-hal yang lain. Ia ditulis sebagai catatan perjalanan seorang pengembara untuk diceritakan di hari tua.

Oke cerita lain, nanti aku tulis. Itu pun kalau ada ilham turun mencurah-curah😜

Bersambung.