Wednesday, May 24, 2023

KESULTANAN DI PULAU BINTAN

 Sambung lagi 

Pencarian terakhir adalah menuju ke tinggalan sejarah orang terdahulu di Sei Carang. Ada yang dapat dijejak, ada juga yang terlepas pandang dan ada juga tapak tidak dijumpai.

JAMBATAN GUGUS SUNGAI CARANG


Sungai Carang, Hulu Riau pernah menjadi pusat pemerintahan Johor-Riau suatu ketika dahulu. Kalau nak dikisahkan memang terlalu panjang, jadi barangsiapa yang berminat boleh lah membaca artikel yang aku lampirkan di sini 👉 Sungai Carang

MAKAM OPU DAENG CELAK

Daeang Celak adalah pahlawan Bugis 5 bersaudara yang datang merantau ke wilayah Kesultanan Riau-Johor bersama ayahandanya yang bernama Daeng Rilaka.

Mereka adalah Daeng Parani , Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Daeng Chelak diangkat menjadi Yang Dipertuan Muda ke 2 menggantikan saudaranya Daeng Merewah.

Daeng Celak juga adalah ayahanda kepada Raja Lumu ( Sultan Selangor yang pertama dengan gelaran Sultan Sallehuddin Shah) dan Raja Haji Fisabilillah.

Mangkat pada tahun 1745 dan dimakamkan di Pulau Bintan.

Kenapa warna kuning dan hijau? Warna-warna ini adalah lambang orang Melayu. Kuning lambang Sultan/Raja sementara hijau melambangkan ulamak. Merah untuk rakyat biasa. Orang Melayu kan sangat sopan dan berseni, berkomunikasi pun melalui bahasa kiasan. Tak perlu bercakap hanya pamirkan tanda; sebagai contoh pemakaian sampin, kain batik/ pelikat.  Kedudukan kepala kain pun menunjukkan status seseorang. Bujang, duda, janda atau sudah berkahwin. Tanjak pun begitu. Pakai keris pun ada cara letaknya di mana dan bagaimana. Begitu lah sopan santun adat budaya orang-orang Melayu zaman dahulu.



Di belakang makam Daeng Chelak, ada satu lagi makam, tapi tiada tanda pengenalan. Dari pencarian dalam pembacaan di blog Seni Lama Melayu, katanya makam tu milik Daeng Bunga. Siapa pulak Daeng Bunga ni ?



MAKAM HABIB ALI BIN HUSEIN AL AIDID

Dalam jarak beberapa puluh meter ada satu lagi makam yang berwarna kuning. Katanya makam alim ulamak. Aku tidak lah masuk dan berkeliling check satu persatu, pergi sorang-sorang kot, ada juga kebimbangan yang tak jelas dalam hati. Dak Anje tunggu di  tepi jalan. Tak kuasa dia nak ikut tempat-tempat tersorok macam ni.


MAKAM DAENG MAREWAH

Dalam jarak 650 meter, terletaknya makam Daeng Marewah. Daeng Marewah pula adalah saudara tua dari Daeng Chelak yang 5 bersaudara. Mereka ini berketurunan Bugis, datang dari Makassar, Sulawesi. Dilantik menjadi Yang Dipertuan Muda yang pertama, setelah berjaya membantu Raja Sulaiman merampas semula Kerajaan Johor. Pangkatnya sebagai pembantu Sultan dalam pemerintahan, kiranya macam Perdana Menteri.



MAKAM BENDAHARA TUN ABAS

Bendahara Tun Abbas adalah anak kepada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Beliau menjadi Raja Bendahara Pahang yang ke 6. Pangkat bendahara berperanan menguruskan hal ehwal khazanah harta benda yang dipegang kerajaan atau perbendaharaan. Di zaman moden ini senang faham sebagai Menteri Kewangan.


ISTANA KOTA REBAH

Kota Rebah adalah pusat pemerintahan kerajaan Melayu Johor -Riau-Lingga di Hulu Riau. Mula dibuka pada tahun 1673 -1777 oleh Laksamana Tun Abdul Jamil atas perintah Sultan Johor ke 8, Sultan Abdul Jalil Shah III


Sisa-sisa bangunan masih ada, di halaman Kota Rebah terdapat kubur-kubur yang nisannya bersalut kain kuning. Entah lah, tiada tanda penerangan pun.


Tak ada siapa yang boleh dirujuk ketika datang ke sini. Ada pun seorang penjaga, bila ditanya dia pun tak tahu sebab dari slang bercakap pun dah tahu bukan Melayu Asli Bintan.



Ini sahaja tempat bersejarah yang sempat aku kunjungi. Selebihnya, aku tak cukup masa untuk mencarinya. Jadi pada sesiapa yang berminat boleh lah meneruskan pencarian lokasi-lokasi yang aku tuliskan di bawah ;

MAKAM DAENG KAMBOJA

Makam Daeng Kamboja kena masuk hutan sikit, jadi tidaklah ada kuasa dan berkehendak untuk aku pergi mencari.

MAKAM SULTAN IBRAHIM

MAKAM SULTAN IBRAHIM ( KERAJAAN JOHOR LAMA)

MAKAM PANGLIMA HITAM LANCANG KUNING

Panglima Hitam ni aku tak pasti siapa. Sebab kat MY pun ada nama Panglima Hitam. Tak jelas nama ini adalah gelaran seorang pendekar atau nama asal sesorang.

Makam pahlawan PANGLIMA HITAM

ISTANA KOTA PIRING

Istana Kota Piring dibangunkan pada tahun 1777 oleh Yang Dipertuan Muda Riau IV Raja Haji Fisabilillah. 

Disebutkan dari sumber tulisan Raja Ali Haji bahawa Kota Piring berupa pagar yang terdiri dari piring. Istananya dihiasi dengan piring-piring mewah dari kaca bawaan dari China dan Eropah. Bahkan di tiang-tiangnya terdapat tembaga yang sangat berkilau. Sumber yang lain pula menyebut bahawa Kota Piring merupakan tempat penyimpanan koleksi piring Kesultanan Melayu Riau.

“Kota baru yang bertatahkan dengan pinggan dan piring sangatlah indah, dan sekarang masih ada bekasnya, di ulu Riau adanya. Dan, satu pula balai dindingnya. Cermin adalah tiang balai itu, bersalut dengan kaki pahar. Kaki tiang itu yaitu tembaga, dan kota itu sebelah atasnya berkisi-kisikan bocong. Kota itu ketika terkena sinar matahari memancar-mancarlah cahayanya.”

“Kemudian dibuat pula satu istana di Sungai Galang Besar. Perhiasan istana dari emas dan perak, hingga rantai-rantai setelob-nya dengan rantai perak. Juga talam dan ceper kebanyakan dibuat di negeri China dan seperti tepak dan balang air mawar daripada emas dan perak yang dibuat di negeri Benila (Manila) yang berkarang dan bertakhtakan intan dan yang ber-serodi. Dan, adapun pinggan mangkuk dan cawan khawa dan cawan teh kebanyakan diperbuat di negeri China serta berserut dengan air emas. Pada pantat cawan tersebut tertera nama Pulau Biram Dewa atau Malim Dewa”.

Setelah gugurnya Raja Haji dalam perang Riau 1784 M, istana Kota Piring hancur dan ditinggalkan. Piring-piring yang digambarkan melekat pada tembok-tembok istana sudah banyak yang hilang dicungkil masyarakat.

Istana Kota Piring Biram Dewa

MAKAM SULTAN MAHMUD SYAH

Sultan Melaka ke 8 . Memerintah 1488-1511, 1513- 1528. 

Berpindah dari Melaka ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor dengan pusat ibukotanya di Bintan setelah kalah dengan kemaraan tentera Portugis. Kisah sultan ini lah yang banyak kita dengar terutama tentang nak kawin dengan puteri Gunung Ledang, berkahwin dengan Tun Teja puteri Bendahara Pahang dan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang. Sultan ini lah.

Beliau mangkat pada 1528.

Makam Sultan Mahmud Syah dan Hang Nadim Melaka

MAKAM LAKSAMANA HANG NADIM

Siapa Laksamana Hang Nadim ni ?

Data peribadi Hang Nadim tidak banyak diketahui. Sumber "Sejarah Melayu" hanya menyebut; bahawa ibunya bangsawan Bugis bernama Dang Wangi dan bapa Melayu berketurunan Bugis (Ayah Hang Nadim masih diperdebatkan kerana bapanya dibunuh semasa kecil, tetapi ada idea teori mengatakan bahawa dia adalah berkemungkinan menjadi anak/anak angkat Hang Jebat kerana susur galur Melayu berketurunan Bugis), beliau dilahirkan di sebuah kampung (mungkin sama dengan tempat pengebumiannya di kampung Busung) di Pulau Bintan.

Hang Nadim mengahwini Tun Emas Jiwa (anak Laksamana Hang Tuah). Daripada perkahwinan ini, Hang Nadim mendapat seorang anak lelaki bernama Tun Mat Ali.

Laksamana berperanan sebagai ketua angkatan laut dan pengawal peribadi sultan.

TAMAN BUDAYA RAJA ALI HAJI


Ketika keluar dari komplek makam-makam, ternampak tempat ni. Tak pasti tempat apa, tapi ada dibina bangunan yang menyerupai Masjid Pulau Penyengat, rumah minang, rumah batak dan rumah masyarakat Cina. Bila cari di google tempat ini akan dijadikan kawasan Bumi Perkhemahan.




Artikel tu pada tahun 2019. Kini tahun 2023 keadaannya sangat menyedihkan. Bangunan pun sudah mulai rosak dengan vandalisme dan sampah.


KAMPUNG BUGIS JAMBATAN LENGKAR


Kampung Bugis - Senggarang terletak di wilayah setinggan pesisir pantai. Jadi pemerintah nak jadikan kawasan yang bersih maka diperbaiki infrastuktur dengan membangun jambatan dan pelantar yang dihiasi warna pelangi untuk menjadi tarikan pelancongan.


Tapi malangnya, sejak covid melanda 2 tahun lalu. Lokasi ini telah terbiar dengan kerosakan yang nyata.



Akhir sekali, aku mencari perkampungan Melayu yang masih tersisa di Pulau Bintan. Terletak dihujung dan terperosok di hujung jalan. Di sini sajalah yang ada menjual masakan tekak orang Melayu seperti asam pedas, sambal udang dan rendang jering.
Selain dari tempat ni, hari-hari lah kena hadap bakso, ayam penyet dan masakan minang.Terpaling kuat bau MSG.



Aku kongsikan lokasi kedai ni, tapi kena datang awal sekitar jam 10 @ 11 pagi, kalau tak habis lauknya. Di kawasan ni banyak gerai masakan Melayu. 



Korang tahu 5ribu rupiah berapa duit ringgit ?
1.50 je. Tu asam pedas ikan seketul besar, rendang jering (kalau kat MY rm5) dan nasi semuanya harga singgit setengah. Gila bapak murah meriah. Walau pun pedas pada lidah aku, sanggup gak aku makan sambil menangis. Meleleh-leleh air mata dan air hidung. Dah hari-hari akhir baru jumpa masakan Melayu. Sedih.


Cukup lah, pengembaraan aku tamat di sini. Titik 0KM Tanjung Pinang - Kijang.




Siput Gonggong sebagai ikon Tanjung Pinang.


Lambang Kepulauan Riau



Kesimpulannya, orang Melayu Kepulauan Riau terlalu baik, sopan santun, bertolak ansur sehingga pada akhirnya ditolak beransur-ansur. Lenggok Bahasa Melayu di sini pun sudah hilang. Yang banyak menguasai adalah perantau dari Tionghua, Tanah Jawa dan Sumatera.
Mudah mudahan orang Melayu di Pulau Lingga sebagai mana jolokan Bunda Tanah Melayu dapat mengekalkan tanah adat dan bahasa Melayu selama-lamanya.

T E R I MA  K A S I H

1 comment:

  1. Baca blog ni rasa macam dah sampai sana. Lengkap semua cerita dan gambar2. Terimakasih.

    ReplyDelete