Thursday, April 30, 2015

Guna kuasa magik dewa dewi [DOP]

Semalam punya cerita..

Hari ke sembilan - 14/4/2015
Kampung Kuala Ping - Masjid Keputeraan Paloh 2 ( 124km)

Urusan meminta bantuan dari rakan-rakan dari wassap grup 4x4 telah berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada Abd Salam kerana usaha beliau mencarikan rakan yang tinggal berdekatan Kampung Kuala Ping untuk membantu aku merentasi Tasik Kenyir hingga ke Felda Aring 10 menaiki kereta. Ahaa magik kan ? magik !

Sesudah subuh aku meminta diri untuk meneruskan perjalanan pada keluarga bilal Yaakob. Mudah mudahan keluarga beliau dirahmati dan dimurahkan lagi rezeki. Dibekalkan aku nasik kerabu sebungkus. Aku gantungkan nasi tu pada handle basikal. Terima kasih banyak-banyak.

Mengikut perjanjian dengan Zuki (rakan 4x4), dia akan berjumpa aku di Pengkalan Jeti Gawi di Tasik Kenyir. Maknanya aku kena kayuh menuju ke lokasi tersebut. Orang tak pernah sampai ke Kenyir, manalah tahu keadaan jalan kat sini. Keluar dari kampung Kuala Ping dengan muka riang ria. Lebih-lebih lagi lalu kawasan hutan. Suka benor.

harapan aku nak jumpa gajah
kampung yang terakhir
tu dia kelok sampai ke langit
Nampak ja papan tanda ni aku dah lemau, apakan daya kena gak hadap. Berhenti kat sini lama jugak sambil ambik napas. Hiff..hiff..!


Bukit Sipor
Lagi 1 km nak ke simpang Tasik Kenyir, aku terpaksa berhenti bila berhadapan dengan bukit ni. Terkedu aku, boleh ke aku kayuh naik bukit ni ? Seram betul. Lori pun boleh terhenti tengah jalan. Aku cuba kayuh, cuma dapat di bawah 10 kayuhan. Dah la tak bergerak, dada macam nak pecah pulak tu. Owh tak boleh. tak boleh macam ni. Tahap dewa dewi mana boleh siksa diri. Lebih baik aku turun dan tolak ja basikal ni. Paling sedih, tolak basikal pun cuma dapat 5 langkah lepas tu mencungap. Ayo yo..!
Selepas selekoh tu ada lagi mendaki, sebaik saja aku sampai kat simpang Tasik Kenyir sebuah 4x4 memintas dan pemandunya turun. Rupa-rupanya Cikgu Abd Rashid yang semalam datang mengejar aku. Dia kata rasa bersalah tak dapat nak bantu aku. Kemudian dia bantu naikkan basikal aku atas 4x4 dan dia hantar masuk sampai ke Pengkalan Jeti Gawi dalam kawasan Tasik Kenyir. Menurutnya masa ni adalah waktu rehat di sekolah, jadi dia ambik peluang keluar sekejap. Allahu Akbar !

mesti percaya yang Allah akan datangkan orang yang baik-baik membantu kita.


Lepas Cikgu Rasyid belanja aku minum dan belikan aku sebotol 100 plus dia pun balik ke sekolah semula. Aku kena tunggu Zuki pulak datang.  


Sekitar hampir jam 1100 pagi, Zuki pun sampai. Oleh kerana maklumat yang dia terima terlalu lewat, dia tak dapat nak bawa kereta pacuan empat roda kerana sudah keluar untuk mengambil barang. Berkerut jugaklah dahi aku. Bukan tak boleh bawak basikal dalam kereta Myvi, boleh ja cuma rosak dan calar pulak kereta orang ni nanti. Zuki kata 'jangan risau. tak pa.' ~ Alahai sangat tak best.


Dalam perjalanan aku lihat pemandangan sangat cantik, cuma laluan agak terbuka dan sudah pasti memang panas. Nampak jugak Perkampungan Gajah , tapi mungkin lain kali saja aku singgah. Laluan Kenyir - Felda Aring sememangnya berbukit-bukit dan jauh. Seandainya aku meneruskan kayuhan memang tak kan sampai dalam satu hari. Dahsyat.

Air terjun Buih
Air terjun ni menjadi tempat hentian bagi pemandu-pemandu lori untuk mengambil air atau berhenti rehat. Ada trek menuju ke atas dan aku pasti mungkin lagi cantik pemandangan di bahagian atas. Ada jugak aku nampak beberapa buah chalet dibina di tepi tasik. Hrm..boleh jadi tempat bermalam kalau kayuh basikal ni, bisik dalam hati. Aku cuma terkilan sebab tak dapat merakamkan gambar di sempadan antara Trengganu dan Kelantan di tengah-tengah laluan Jalan Felda Aring.


 Lebih kurang 107 km dari Tasik Kenyir kereta berhenti di sebuah hentian. Aku rasa itu lah Felda Aring 10. Banyak lori- lori membawa kayu balak berhenti di situ. Aku segera turunkan basikal dan beg di tepi kedai makan. Tanpa berlengah lagi aku pasang kedua-dua tayar basikal aku, naikkan beg ke atas rack. Ok siap ! Aku mengajak Zuki menjamu selera dulu kerana aku dah berniat nak belanja dia makan. Selepas itu Zuki akan pulang semula ke Kuala Ping dan aku meneruskan kayuhan melalui Felda Aring ke Chiku.



Untuk laluan kat Felda Aring ni aku tunjuk gambar je lah. Sebab tak ada pemandangan yang menarik selain dari pokok kelapa sawet dan bukit.







Di tengah perjalanan hujan turun dengan lebatnya. Aku teruskan kayuhan kerana bila hujan aku rasa lebih bertenaga untuk mengayuh. Hati mula berbisik ; mana simpang Chiku ni. Perasaan glabah mula menganggu, sebab jam hampir ke pukul 5 petang. Aku kayuh jugak tanpa henti, makin lama nampak kereta makin banyak berselisih, itu tandanya simpang dah tak jauh di depan. Uh uh kayuh laju sikit dan akhirnya aku dah nampak simpang Chiku. Sekarang kena tambah 4 km lagi nak ke Masjid Keputeraan Paloh 2.


Pokok pisang ni ditanam di halaman masjid. Ada beberapa batang pokok di tanam dan semuanya berbuah. Aku memang pelik, sebab tak pernah tengok dan tak pernah tahu wujudnya pokok pisang yang macam ni.


 Buah nya boleh makan ke ? Apa nama pokok pisang ni ? Betul-betul pelik lah.


Aku sampai di masjid hampir masuk waktu maghrib. Terus aku bersihkan diri dah bersedia untuk solat Maghrib dan solat Isyaq berjemaah. Bila habis waktu Isyaq, aku menegur seorang kakak bertanyakan siapa yang menjaga masjid ni. Dia pun memanggil suaminya. Riuh lagi keadaan bertanya itu dan ini. Setelah aku menerangkan situasi aku ketika itu, ahli qariah terus memberi aku ruang untuk berehat di bilik imam. Kunci bilik diberinya aku pegang. Bukan setakat itu ja, ada yang membelikan aku makanan lagi. Terharu sungguh lah.


Dalam bilik imam ada meja, kerusi dan penghawa dingin. Bilik air pun ada. Sangat ok buat aku. Malam ke sembilan berlalu dengan tenang sekali. Alhamdulillah. Zzz

Cerita hari esok..

Wanita tak dibenarkan bermalam di masjid. [DOP]

Cerita semalam

Hari ke lapan - 13/4/2015
Bukit Besi - Kampung Kuala Ping (74 km)

Keputusan aku untuk bermalam di surau tepi jalan tu memang terbaik, sebab sesampainya aku di Bukit Besi aku kena masuk simpang yang menghala jauh dari laluan utama. Masjid dan surau di tepi jalan pun tak ada. Naya ja kalau aku ikut hati semalam.


Aku terus ikut jalan Kuala Berang. Ketika melintas satu jambatan kecik aku memalingkan muka memandang air di dalam sungai di bawah jambatan tu. Teruja betul. Hijau dan jernih. Nampak batu batu kat dasar sungai tu. Kalau ada kawan ni, memang terjun terus. Kalau berkalau.. cit !

tanda lokasi, bila-bila boleh datang lagi


Penghujung jalan ni baru jumpa simpang yang menghubungkan Jalan Bukit Besi -Dungun menghala ke Kuala Berang. Di simpang tu ada banyak gerai makan dan stesyen minyak jadi aku berhenti makan dulu sebelum meneruskan perjalanan.

 Pagi -pagi kena layan trek felda jugak. Bertabahlah.


warna dan bentuk kubah menarik perhatian aku
pelan-pelan kayuh akhirnya sampai jugak
Aku tak berhenti kat bandar Kuala Berang hanya lalu ja sebab baru jam 1330 petang. Nak cari masjid atau surau dulu untuk berhenti rehat. Setelah meninggalkan bandar Kuala Berang aku melalui beberapa buah kampung seperti Kampung Tajin, Kampung Paya Akob, Kampung Matang, Kampung Kepah dan akhir sekali aku berhenti di Masjid Tengkawang. Sewaktu aku sampai di pintu masjid, aku ditegur oleh seseorang sambil memberikan aku ais krim roti, kemudian beliau bertanya tujuan dan ke mana arah aku seterusnya. Beliau adalah guru SMK Matang. Begitu teruja cikgu Abdul Rashid mendengar cerita pengembaraan aku. Bersungguh-sungguh benar beliau nak membantu perjalanan aku. Terima kasih cikgu.


Cikgu Rasyid ni juga seorang traveler, kerana itulah dia memahami kehendak dan keperluan pengembara. Bukan itu saja, cikgu Rasyid sentiasa menghubungi aku untuk mengetahui lokasi dan keadaan aku. Aku pulak yang naik segan dengan keperihatinan beliau. 

Hari semakin petang, oleh kerana aku tak pernah sampai ke kawasan ni, jadi aku tak pasti bagaimana rupabentuk jalan di hadapan. Aku ni cepat cemas dan gelabah tak keruan bila setiap perkara yang sudah aku tetapkan tidak menepati masa atau tidak capai sasaran. Aku cemas kerana tak mahu tanggung risiko yang boleh memudaratkan aku. Sebelum aku lagi gabra, aku kena buat plan kecemasan. Hahaha. Berhenti di masjid Kuala Ping. Masa tu pun dah masuk waktu Asar. Masjid dia besar dan ramai orang. Aku dah garu kepala, camana nak minta izin ni. Pada siapa ? Dah la kawasan kampung, boleh ke mereka terima pengembara wanita, sorang lak tu. 

Masa aku duduk kat tangga masjid ada seorang pakcik menegur. Dari mana nak ke mana ? Terus aku nyatakan tujuan dan hasrat untuk tumpang bermalam di situ. Lepas solat Asar ramai pulak yang datang berkerumun nak tau cerita. Imam tu cakap, terus terang dia tak benarkan tidur di masjid ni atas sebab-sebab keselamatan, kat kawasan situ ramai penagih jadi dia cadangkan tidur di rumah bilal. Bilal tersebut adalah pakcik yang mula-mula menegur aku tadi. Namanya bilal Yaakob. Aku tak ada pilihan selain dari menerima pelawaan bilal Yaakob.



basikal aku kunci di bawah rumah
Aku ni segan lah kalau bermalam rumah orang. Nanti buat tuan rumah sibuk buat itu dan ini. Kesian menyusahkan pulak. Lagi-lagi isteri bilal Yaakob tidak berapa sihat. Beliau tak boleh berjalan akibat belakang badannya ditimpa dahan getah masa umur 26 tahun masa sedang menoreh getah (kalau aku tak silap la. Maaf, ingatan aku dah tak kuat sangat ni. huhu ). Sekarang di rumah ni cuma tinggal pak Yaakob, isteri dan seorang anak perempuan yang bernama Ita.
Masa aku sampai di rumah bilal Yaakob cuma isterinya ja yang ada, anaknya Ita ke bandar Kuala Trengganu. Boleh pulak dia talipon anaknya suruh balik cepat. Ala, lecce la ganggu masa orang.
Lewat petang baru Ita balik. Sembang -sembang sambil minum petang , Ita ajak pergi mandi sungai. Dia pun bercerita, masa banjir dulu rumah dia naik air tenggelam jugak la sampai ke lutut. 





budi baik dikenang hingga mati. Terima kasih daun keladi
Sebelum maghrib, masa duduk kat beranda datang lah jiran dan sorang anak lelaki bilal Yaakob, ada lah bersembang tentang laluan yang akan aku ambil esok hari. Semua menasihatkan aku supaya tidak melalui jalan itu sendirian. Bahaya katanya. Dorang memang tak benarkan langsung. Aku terkedu. Lebih baiklah aku dengar nasehat orang kampung kerana mereka lebih tahu hal ehwal kawasan kampung  mereka. Nak tak nak terpaksalah aku gunakan kuasa magik yang kedua.

Lepas solat Isyaq, kami makan bersama dengan hidangan yang mudah atas permintaan aku. Nasi, ikan bakar , ulam- ulam dan budu. Tak payah susah-susah makcik. Makan macam ni pun dah buat aku makan bertambah. Terima kasih atas layanan terbaik.

*K U A S A   M A G I K  D I A K T I F K A N*

sambungan cerita seterusnya..

Wednesday, April 29, 2015

Elak 1 bukit mendapat 10 bukit [DOP]

Cerita semalam semalam semalamnya..

Hari ke tujuh - 12/4/2015
Pantai Kemasek - Bukit Besi ( 76 km )

Selamat pagi Kemasek ! Huarrggh.



Malasnya nak keluar dari hammock. Rasa macam nak sambung 'camping' kat sini ja. Aduhai. Layan 'sunrise' lepas subuh kemudian kemas khemah dan hammock. Ingat tandas dah buka tapi sampai jam 0800 pagi masih berkunci. Owh berraq ! Aku sorong basikal menuju tandas awam yang di kawasan kedai makan. Mintak kakak tu buka tandas sebab dia yang pegang kunci.
Selesai membersihkan diri aku terus bersarapan. Hari ni aku nak ambil jalan yang mana satu. Ada banyak laluan yang boleh aku ambil. Jalan yang senang kalau ikut jalan Bukit Besi -Dungun via Kampung Che Lijah. Tapi kena hadap Bukit Bauk dulu. Aduih, malasnya dengar nama bukit.

Jalan kedua sebelum Bukit Bauk ada simpang Jalan Durian Mentagau, nanti tembus jalan Bukit Besi- Dungun jugak. Okey yang tu macam mudah ja. Jadi aku pun kayuh la ikut papan tanda yang ada. Lepas ja Paka ada papan tanda tunjuk arah ke Bukit Besi/ Kuala Berang. Aku dah keliru. Ikut sini ke atau depan lagi ? nanti kalau asik depan lagi terus hadap Bukit Bauk. Nak dijadikan cerita, aku pun terus ambil jalan menghala ke Bukit Besi. Ho ho ho ambik kau. Bukan 1 bukit malah berpuluh-puluh bukit kena hadap. Tu dia rasakan. Aku g ikut jalan Jerangau - Jabor. Jumpa Ketengah Jaya kemudian Al Muktafi Billah. Aku tepok dahi. Apasal lah aku lalu tang sini.

dia punya penangan panas, lazat berkrim !
tak de tempat berteduh langsung

Sampai waktu zohor, entah kat kawasan felda mana, aku berhenti rehat sebab nampak ada gerai ABC. Minum dan minta tompang solat zohor sekali. Lepas solat, bila nak mula kayuh aku tengok tayar belakang pancit. Adoii !
Segera turunkan semua bag dan tanggalkan tayar. Periksa tayar kot-kot ada dawai ka hapa ka. Hrm ada besi tertanam dalam tayar. Selesai ganti tiub yang baru, aku kemaskan semula beg naik ke atas rack. Moga-moga tak akan pancit lagi. Bismillahirrahmanirahimmm.. kayuhhh!


Lagi 1 km nak sampai Bukit Besi aku berhenti kat sebuah restoren. Kalau tak silap nama restoren tu Tiga Serangkai. Sebelah restoren tu ada surau. Macam strategik ja kalau aku tompang tidur malam ni. Aku order makan dulu sebab aku belum makan tengahari rupanya. Patutlah lapar. Masa aku nak bayar harga makanan, terus aku tanya pada pemilik restoren tu tentang surau tersebut. Boleh tak kalau aku nak tumpang bermalam kat situ. Dia jawab boleh, tapi malam pukul 3 pagi lepas habis berniaga, dia tutup suiz letrik restoren terus dengan surau sekali. Aku jawab tak pe, tak kesah janji ada tempat berteduh.


Bila dapat kebenaran terus aku sorong basikal ke surau tu. Turunkan beg dan kunci basikal pada tiang pagar batu. Ada sedikit waktu, selepas aku mandi dan solat aku terus basuh baju. Kain baju aku sidai bawah kipas dalam surau. Sementara berehat menunggu maghrib, mula akal dan hati dok mencuit. Kenapa berhenti kat tempat ni. Dah la sunyi, belakang hutan lak tu. Pintu surau ni pun dah rosak tak boleh kunci. Aku hampir-hampir nak kemas barang dan blah. Oleh sebab malas punya pasal akal jawab ; ala, hadap je la. Tawakal. Lagi pun banyak kereta singgah makan dan solat. Sampai pukul 3 pagi je pun.
Cuak juga rasanya, bunyi cengkerik bingit kat belakang surau tu. Pukul 9 malam aku dah sendal pintu dengan beg aku. Malam tu memang tidur tak lena sangat. Mesti ada yang cakap kenapa pilih tempat yang sunyi. Kenapa tak teruskan ja 1 km hingga ke bandar Bukit Besi. Jawapan aku adalah, kalau boleh aku tak mau ada di kawasan ramai orang. Ramai orang banyak ragam dan soalan yang aku kena jawab. Rimas. Dalam keadaan aku yang mengembara solo, rasanya tak perlu aku mempamirkan diri aku sangat di khalayak. ~ atas sebab keselamatan. Cukup hanya orang tertentu saja yang tahu seperti pemilik restoren yang aku tumpang suraunya, bilal, imam atau siak di sesebuah masjid.


Tepat jam 3 pagi aku dengar pemilik restoren sibuk berkemas. Terdengar pagar besi ditarik dan dikunci. Kemudian TAP ! semua lampu terpadam. Sunyi. Bunyi cengkerik dan katak ja. Aku tarik 'sleeping bag' selubung kepala  dan rapatkan badan ke dinding. Tidur lah..tidur lah..Nyet. nyet nyet !


 *T I D U R - T I D U R   A Y A  M *
Cerita esoknya..

Aku, Pantai Kemasek dan KITA [DOP]

Cerita semalam..

Hari ke enam - 11/4/2015
Kem PGA Galing - Pantai Kemasek ( 88 km )

Pagi ni, aku akan ditemani oleh abang Zaini dan kenalan baru Penaluka Kersani. Keluar dari kem, aku meminta untuk bersarapan dahulu sebelum menghadap Bukit Berserah. Satu perkara yang aku rasa sangat bersalah adalah bila aku tertinggal 'powerbank' di Kelab Basikal tempat aku bermalam. Mana taknya, Abang Zaini lah yang jadi mangsanya untuk berpatah balik mengambil benda alah tu. Abang Zaini suruh aku dan Penaluka Kersani teruskan kayuhan hingga ke Pantai Batu Hitam. Adeihh.. Pada aku jauh oo sebab kena mengadap 2 bukit. ~ Aku yang lalai. Haprak.

Abang Zaini dan aku
Sampai di Pantai Batu Hitam, kami berhenti rehat sambil menunggu abang Zaini. Ada lah dalam 15 minit kemudian muncul abang Zaini. Abang Zaini minum dan mengambil nafas sekejap dan kami teruskan perjalanan hingga ke persimpangan perindustrian Gebeng. Abang Zaini dan Penaluka Kersani akan berpatah semula ke Kuantan dan beliau berpesan, bila masuk ja kawasan tu, sila tutup hidung dengan mask kerana kualiti udara kat situ sangat teruk. Debu dari kuari sangat tebal. Baiklah aku ingat pesan tu. Terima kasih banyak-banyak kepada Abang Zaini Abdullah atas bantuan kali kedua yang diberikannya sepanjang aku berada di kawasan jajahan Kuantan. Kepada Penaluka Kersani '~ Salam kenal dan keep gowes !.'

Penaluka Kersani dan aku
Semoga berjumpa lagi, didoakan agar dimurahkan rezeki untuk  Abang Zaini dan Penaluka Kersani untuk bertandang ke daerah Kuala Langat. Mudah mudahan peluang aku untuk membalas semula budi yang diberikan dimakbulkan. Amiin.


Gebeng, Gebeng, Gebeng. Kena pakai mask. Eh bukan aku memang pakai mask ke sepanjang kayuhan ni. Ahaks !. Bila lalu kat situ, rasanya debu tak la berterbangan sangat kerana malam semalam hujan. Jadi tanah agak lembab sikit. Lori pun belum banyak sangat keluar masuk ke kawasan tu. Ada lah sikit-sikit bukit, mengah gak la. Sampai di Kampung Sungai Ular aku berhenti rehat. Rasa macam lapar, tapi tak lalu nak makan. Kena paksa jugak isi perut nanti tak de tenaga nak kayuh basikal. Di sebabkan warna nasi minyak ni menarik. Pink. haa, Ping ??? Aku pun tergoda untuk merasa.

warna warni nasi minyak
Cuaca hari ni cukup terik dan terang. Aku lebih minum dari makan. Di pandangan khayalan aku cuma nampak ais kosong yang sejuk ja. Ais kosong, teh O ais, lai chee kang. Owh imaginasi yang merosakkan tumpuan pemanduan. Hepp ! hepp..!

selamat sampai ke sempadan Trengganu/Pahang
Dulu aku pernah lalu di kawasan ni, kering kontang cuma ada pokok bakau dan debu-debu dari projek naik taraf jalanraya. Kini dah berubah menjadi tempat rekriasi. Jika ada umur, sihat tubuh badan dan kelapangan masa, mungkin boleh datang lagi. Ndak gak tau, sampan tu boleh bawa pusing ke mana ? Apa tarikan yang ada di kawasan pokok bakau ni dan bla bla bla...

Taman Bakau Tinggi, Chukai, Kemaman 


Berbaki lagi 25 km nak sampai ke Pantai Kemasek. Hari ni jalan agak landai, jadi 60 km tak terasa siksa. Anggaran jam 1530 petang dah boleh sampai. Hari ni nak rehat lebih sikit. Perkara pertama yang aku nak buat adalah merialisasikan imaginasi aku yang selama ini aku dendamkan.

Dengan semangat berkobar-kobar aku kayuh selaju mungkin supaya cepat sampai. Mesti mendaki bukit dulu baru jumpa. Mana dia, mana dia dan akhirnya..,Itu dia  ! Yay !
Erks ramainya orang. Owh aku lupa hari ni hari Sabtu. Dang !

Ah aku tak kira, mesti dapatkan wakaf depan pantai. Aku sorong basikal melalui khalayak. Aku tak peduli dengan pandangan-pandangan sinis. Sampai di depan wakaf tu ada 2 orang budak muda sedang baring sambil leka dengan talipon bimbit. Aku buat bodoh ja, terus sandarkan basikal pada tiang wakaf. Buka helmet ,vast dan glove. Terus duduk kat pangkin tu. "Sorry ya dik, tompang rehat jap." Sapa aku dengan bersahaja. 
Aku keluarkan bekalan makan tengahari dan aku makan. Budak muda tu mungkin tak selesa. Lama kelamaan dorang blah. ~wee aku berjaya kongker ini tempat.

If you want something, you fight for it ! win or loose not the issue. The point is DO IT !

Meh aku tunjuk pemandangan di persekitaran lokasi yang aku rebutkan ni. Wakaf ni terletak di tengah-tengah antara teluk kecik. Di kiri kanan teluk ada bukit berbatu. Nah ! inilah impian aku selama ini. Nak pasang khemah dan bermalam di sini. Dah pun tercapai. Hurrayy..!

terpaksa amik gambar sekerat sebab mata sakit ~ sampah bersepah-sepah.
pemandangan dari dalam khemah

wish you  were here ~
malam pertama guna lampu picit pelbagai guna pemberian Wak Jan.
Berdekatan dengan wakaf ni ada tandas, dan aku tak kesah walau kena bayar mahal sebab ia berjaga dan bersih. Walaupun begitu, tandas ni hanya beroperasi dari 7 pagi - 7 petang. Lecce !



Di pendekkan cerita, bila malam aku nak ke tandas terpaksa berjalan kaki sejauh 300 meter hingga ke kawasan restoren rawat dan rehat. Kat sana hanya 1 tandas OKU yang tidak dikunci. Dalam gelap tu aku berjalan dengan penuh yakin. Kalau tak yakin pun kena berpura-pura yakin. Lampu picit di tangan kanan, pisau di tangan kiri, wisel tergantung di leher. Aku lebih bimbangkan manusia daripada hantu. Dah la malam minggu, budak-budak motor ada la dua tiga orang berkumpul. Aku berjalan dengan laju pergi dan balik. Mungkin budak-budak motor tu pun takut tengok aku jalan dalam gelap, terus menuju ke wakaf tepi laut dan hilang. Hihihi.. Perempuan bertudung kelabu. Har har har.
Ada juga terdengar motor datang sampai ke wakaf tempat aku tidur, aku dalam hammock dah sedia pegang pisau. Kot-kot lah ! tapi dorang tengok dan pergi. Phews!

Aku terjaga jam 0300 pagi. Jenguk keluar hammock nampak suasana terang dek sinaran cahaya bulan. Terus aku keluar dari hammock, capai kamera dan pasang tripod. Baru nak belajar guna slow shutter. Berjam- jam jugak lah nak dapatkan gambar yang memuaskan hati aku. tapi hampa. Akhirnya aku kemas tripod dan masuk balik dalam hammock. Lebih baik aku tidur. Apa daa...


Hanya aku, ombak, laut, bulan dan kamu.
Aku lena diulit bayu laut. Dalam hammock berbuai-buai. Didodoikan dengan irama desiran ombak menghempas ke batu dan pasir pantai. Dan kamu.. wish you were here too.

G O O D   N I T E !



Cerita seterusnya..