Permulaan cerita...
Salam Petualang..,
Ketika ini masih terasa lemah dan lesu akibat kayuhan tempohari. Kerja gila kan ? Langsung tak beri ruang untuk berehat satu hari dari kayuhan. Apa boleh buat, hari yang diperuntukkan amat terhad. Walau bagaimana pun aku bersyukkur kerana perjalanan ini telah selamat dilaksanakan.
Tercetusnya idea bila melihat bentuk semenanjung MY ni comel ja macam orang dulu-dulu cakap seperti bentuk ubi kayu. Hati berbisik ' cam senang ja, apakata kalau aku naik basikal mengelilingi semenanjung menyelusuri pesisir pantai dan sempadan. Mesti ada jalan kampung yang menghubungkan di setiap negeri. Pling!
Dengan pantas, terus menggunakan khidmat abang gogel. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang sedikit, ditambah pula dengan pembacaan dari pengalaman pengembara-pengembara dalam dan luar negara, maka laluan pun dirangka. Diambil kira juga purata kemampuan diri untuk mengayuh basikal dalam 1 hari, maka telah menetapkan hanya 70-90km sehari sahaja. Sekiranya lokasi2 tertentu yang memerlukan lebihan km, maka terpaksa digagahkan juga untuk sampai ke destinasi.
Perancangan dibuat dalam tempoh 3 bulan. Bulan pertama merangka laluan. Bulan kedua memperlengkapkan keperluaan basikal, bulan ketiga mulakan kayuhan. Projek ini hanya diwar-warkan kepada rakan-rakan terdekat seminggu sebelum hari kejadian kerana pada hemat ku ' buat dulu baru cakap' bimbang jika terlalu banyak cakap ia tak mampu dilaksanakan.
Nah! Alhamdulillah, Allah telah menetapkan hati dan minda ini untuk meneruskan hasrat tanpa berbelah bahagi. Orang pertama yang aku luahkan hasrat ini adalah kepada Azizan Zolkipli. Beliau telah memberikan perangsang dengan mengajarkan tips-tips tentang kayuhan jarak jauh, tatatertib ketika di jalan raya, cara membaiki tayar dan menampal tayar, pelbagai nasihat telah diberikan juga. Orang kedua ialah Ija Zahri dan suami, di mana mereka berdua begitu bersungguh-sungguh mencarikan pihak penaja yang sudi untuk menampung keperluan perjalanan ini. Sejak itu, makin ramai rakan-rakan 'pesikal' yang telah maklum dan ada yang telah bermurah hati untuk memberi sumbangan dan itu telah menambahkan lagi semangat 'kemestian' untuk melakukan projek ini.
Bila sebut tentang kayuhan 'SOLO', ada juga di kalangan rakan-rakan yang membantah atas sebab-sebab keselamatan kerana aku seorang wanita. Tapi, aku yakin mampu melakukannya sendirian. Sesungguhnya ramai rakan-rakan akan memantau sepanjang perjalanan ini. Apakan daya, telah tertulis bahawasanya pengembaraan ini harus ada pengiringnya. Baiklah.
Aku amat sedar, untuk mengembara jarak jauh wajib ke atas seseorang itu memperlengkapkan diri dan basikalnya dengan sebaik mungkin. Basikal adalah kekasih dan teman rapat kita, ia harus dilayan dengan cermat kerana sepanjang perjalanan ini kita amat memerlukan khidmatnya. Tanpanya, kita tak akan kemana-mana dengan mudah. Oleh itu, aku harus memahami kehendak dan kemampuan basikal ku dengan berperikemanusiaan.
Barang muatan dianggarkan seberat 20kg, dan kemampuan 'rack' hanya 25kg. Itu pun sudah dikira berat. Walaubagaimana pun, sepanjang laluan aku mengelak untuk melanggar lubang, jalan-jalan yang tidak rata atau 'bumpy' untuk mengelakkan hentakan kuat yg boleh menyebabkan jejari @'spoke' pada roda basikal patah. Semua perkara yang dianggap remah-temeh harus diambil kira. Tidak boleh terlepas pandang.
Begitu lah serba sedikit cerita sebagai pembuka bicara.
Dan pengembaraan pun bermula...Jeng..jeng..jeng..
No comments:
Post a Comment