Thursday, September 14, 2017

Northwest Region Ride 2017 [ Vietnam ]


Northwest Region Ride 2017
Hanoi - Son La - Yen Bai - Sapa - Lao Cai - Hanoi


Hai kawan-kawan, kali ni aku nak bercerita tentang kembara bermotosikal di Utara Barat Vietnam bersama kawan-kawan perempuan aku.

Seperti biasa perancangan laluan dan lokasi henti telah pun aku sediakan 6 bulan sebelum hari kejadian. Tiket penerbangan juga telah dibeli ketika promosi murah di Air Asia dapatlah harga rm427.65 termasuk makan minum.



Seminggu sebelum tarikh perjalanan, aku telah menguruskan insuran perjalanan untuk 7 hari. Selain itu aku bercadang untuk membuat lesen memandu antarabangsa. Gambar ukuran pasport sudah diambil, borang di JPJ juga sudah diisi. Akan tetapi sangkut pada dua perkara,
Pertama, gambar aku salah sebab lesen guna warna latar putih sedangkan aku bawa warna biru (untuk pasport). 
Kedua, tarikh tamat lesen memandu aku tinggal 2 bulan. Syaratnya sekurang kurangnya mesti dalam tempoh 2 tahun. Ah leceh lah. Dah la hari Jumaat, tinggal beberapa minit sahaja kaunter akan ditutup. Fikir punya fikir, ah tawakkal dan berdoa sahaja agar perjalanan nanti tiada masalah. Jimat rm150. Ahaks.

Peserta terdiri dari kawan-kawan yang mempunyai ketahanan mental yang kuat sebab mereka mempunyai asas pendakian gunung dan jiwa backpacker. Maka tidak menjadi masalah jika menghadapi sesuatu kesukaran semasa di dalam perjalanan.
Jura, Fashilah , Norela yang berpangkat macik-macik seperti aku. Ya, macik raged.





Urusan penyewaan motor juga, telah diuruskan melalui atas talian. Sejak tahun 2014 aku sudah mengenali pemilik kedai motorsikal sewa Phong’s Motorbike rental di Hanoi. Jadi lebih mudah untuk aku menguruskannya. Dapatlah aku potongan harga dari $10 ke $9. Sepatutnya wang deposit mesti dibayar dahulu sebagai bukti tempahan. Masalahnya pembayaran mesti melalui Pay Pal. Aku mana ada akaun tu. Akhirnya atas dasar 'percaya' Mr. Phung tetap akan menyimpan dua buah motor untuk aku. Tersentuh hati macik nak.

Perkara penting yang perlu dilakukan sebelum mengembara ke luar negara adalah memaklumkan perjalanan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Hanoi. Memandangkan kami semua wanita dan mahu bermotorsikal di kawasan yang jauh di pergunungan, maka langkah-langkah keselamatan harus dititik beratkan. Hantar emel sahaja, beritahu tentang tarikh dan berapa lama tempoh perjalanan, lokasi serta nama setiap peserta, alamat surat menyurat, no talipon serta nama/ no talipon waris. Itu sahaja. Selesai.

Segala usaha persiapan keselamatan sudah dilakukan maka pada tanggal 2hb jam 10 malam perjalanan pun dimulakan. Aku menaiki Aerobus terus dari terminal Aeon Bukit Tinggi ke terminal KLIA2. Tiket berharga rm13 sehala. Kami berkumpul di KLIA2 dan mereput  sehingga jam 6.20 pagi waktu penerbangan 3hb September.


Penerbangan menaiki AK516 selama 3jam ½ dalam keadaan baik sahaja. ALHAMDULILAH.
Sampai sahaja di Noi Bai Internasional Airport aku terkesima kerana perubahan yang sangat ketara sejak 2011 - 2014 - 2017. WAW ! Negara Vietnam sedang berubah dengan pantas setanding negara MY. Aku tumpang gembira.

Untuk memudahkan perjalanan dan tidak membuang banyak masa ketika perjalanan nanti, aku memilih untuk membeli sim kad telco Viettel. Viettel adalah telco terbesar di Vn. Capaian internet dan telekomunikasi sangat kuat sehingga di pergunungan dan ceruk hujung kampung hatta di puncak Fansipan juga boleh terima dan buat panggilan. Hebat bukan ?
Setelah selesai pembelian, aku menggunakan perkhidmatan Grabcar untuk pergi ke kedai motor.
Segalanya berjalan dengan  lancar.
Harga tambang 249k = Rm46
Tiket masuk lapangan terbang 20kvnd = Rm3.50



Sebelum ini aku telah ceritakan tips pengurusan kewangan sepanjang pengembaraan di laman facebook.
Seorang akan dilantik untuk menjadi bendahari. Segala urusan pembayaran dan pembelian hanya dia seorang akan lakukan. Dia akan mencatit segala-galanya.



Seorang keluarkan rm500 x 4 orang, jumlah keseluruhan rm2000.
Rm1000 tukar kepada nilai dolar
Rm1000 tukar kepada nilai dong
Ini adalah duit syarikat. Akan digunakan untuk bayar hotel, sewa motor, sim kad, minyak, tiket keretapi, jajan dan apasaja. Jika kehabisan, kita akan tambah samarata.

Untuk belanja peribadi pula, bajet sebanyak rm500
Rm250 tukar kepada dolar
Rm250 tukar kepada dong.

Hari pertama
3/9/17 Ahad

Urusan penyewaan motorsikal dilakukan dengan pantas gara-gara tak mahu berlama-lama di bandar Hanoi. Stres dengan keadaan trafik yang serabut. Lagipun perjalanan hari pertama mencecah 206km. Bimbang kemalaman nanti.
Pihak Mr Phung cuma minta salinan pasport atau lesen memandu sebagai simpanan ( cagaran). Macam biasa aku beri lesen memandu yang lama asal ada gambar muka kira ok la tu.
Motorsikal dia dah ganti minyak hitam, periksa angin tayar dan cengkaman brek. Semua sudah sedia. Aku memilih Honda Future dan Honda Neo. 

Ada juga soalan yang bertanya kenapa tak sewa motor besar ?
Pertama jawapannya, motor jenis kapcai sesuai dengan tubuh badan aku. 
Kedua ; motor besar-besar untuk apa ? Nak layan kelajuan kat Vn tak sesuai. Di sini had laju cuma 40kmsj bagi motor dan 60-80kmsj bagi kereta dan lori. 
Sila jangan buat perangai macam kat MY. Lebuh raya kat sini sentiasa ada haiwan ternakan yang bebas bersiar-siar di tengah jalan. Tengah syok laju-laju tiba-tiba ada kerbau, lembu , babi, kambing, kuda lepas selekoh. Apa cerita ? Eksiden kang menyusahkan kedutaan dan semua orang.



Ketiga : Mat saleh pun sewa motor kapcai pandu perlahan untuk nikmati pemandangan. 
Keempat ; aku tak reti guna motor yang ada clutch. Ha ha ha.


Bila aku tanya apa beza motor yang $5 sehari dengan $9/10 sehari ? Mr. Phung jawab ; yang $5 hanya boleh bawa di bawah 50km sehari. Sedangkan motor yang aku sewa ni mampu hadap lebih 100km sehari dalam semua bentuk jalan. 
Oooo….
Beg aku sangkut di rak besi kemudian ikat ja dengan getah. Memang nampak semak dan comot. Tak kesah belasah ja asal kukuh dan tak menganggu ketika pemanduan.




Owh sebelum terlupa, setelah korang dah tandatangan borang perjanjian, perkara paling penting adalah mengambil gambar motor. Mana-mana bahagian yang calar, rosak, pecah, bengkok atau cacat, korang mesti ambik gambar sebagai bukti ketika pemulangan nanti. Jika tidak, masak la membayar ganti rugi jika kerosakan bukan dari pihak korang.
Aku hampir kena, bila Mr. Phung periksa ada rekahan pada badan motor : Awak ada jatuh motor ke ? Terus aku tunjuk gambar hari pertama." The damage was already there before I started to ride." Mr. Phung mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum. Dicatit ya !



Oke, motor sudah ditangan, ON THE BIKE !

Langkah seterusnya mesti membeli gas butane untuk memasak dahulu. Agak sukar juga untuk membeli jika tidak tunjukkan gambar. Tapi takpe dengan kegigihan Shila dia dapat juga membeli di kedai hardware. Syabas betty !
Kenapa mesti beli ? kalau tak nak masak boleh ke ?
Kerana di Vn amat sukat mendapatkan makanan halal. Maka seelokkan kita bawa bekalan dari MY dan selebihnya boleh beli dari pasar di pekan-pekan kecil.
Tak nak masak pun boleh, cuma nanti korang kebulur sepanjang perjalanan di tengah pergunungan.

Aku setkan lokasi seterusnya masjid Al Noor untuk mencari makan tengahari. Nak mulakan pemanduan kat Hanoi ni cukup cuak. Dah la memandu di sisi kanan. Mujur guna ‘google map’ sekurang-kurangnya tidak teragak-agak. Jika salah jalan pun peta akan tunjuk jalan lain. Kelajuan dalam bandar pun 40kmsj. Boleh la, kalau lambat pun tak kena maki macam kat MY. Kena hon ja. Tu biasa la kat Hanoi. Bunyi hon untuk memberitahu kehadiran kenderaan di belakang. Memang rasa tekanan la sikit.
Setelah keluar dari bandar Hanoi terasa jiwa tenang dan aman. Ikut ja panduan melalui aplikasi peta di talipon menuju Bac Yen.
Tidak semua laluan cantik, kadang- kadang lalu dalam kawasan kampung. Jalan yang kecil muat untuk sebuah kereta sahaja. Berlubang, berlopak dan berlecah. Haiwan ternakan girang gumbira bersantai di tengah jalan. Tiada siapa yang marah. Babi, itik, kerbau , lembu, kuda, ayam dan anjing bebas berkeliaran. Kita sahaja yang kena lebih berwaspada untuk mengelak mereka. 
Kadang tengah syok layan jalan highway tetiba ada papantanda gambar kereta yang bermaksud, kereta dan kenderaan besar sahaja yang boleh lalu. Dah kelam kabut bila kena hon bertalu-talu, terpaksa undur motor untuk keluar semula dan ambil jalan khas untuk motor pula. 

Jalan punya jalan berjumpa dengan ladang teh. Cantik bertingkat-tingkat. Berhenti sekejap untuk meluruskan pinggang dan merakamkan pemandangan. Takjub betul dengan pemandangan di Vn ni. Atas bukit tanam teh, di bawah tanam padi. Jika ada tanah secuit pun mereka tanam jagung. Adakah tanah di sini subur atau orang Vn terlalu rajin ? Patut dicontohi.


Hujan gerimis mula turun. Jalan sekejap berhenti berteduh. Hari semakin gelap dan bimbang Shila tak nampak jalan pulak nanti. Aku terus memerhatikan papan tanda “Khach San , Nha Nghi atau Nha Khach “ Maknanya  ‘hotel dan guesthouse’
Akhirnya jumpa sebuah guesthouse di tepi jalan. Sebuah bilik berharga 175,000 vnd = RM32. Ada tempat parkir motorsikal. Malam tu dapatlah berehat, membersihkan badan serta solat dengan selesa.




 Phung’s Motorbike - Kiet Son : 122 km

 ----------------

Hari kedua 
4/9/17 Isnin.



Waktu Vn lewat sejam dari waktu MY. Tapi pukul 5 pagi sudah terdengar suara penduduk keluar memulakan aktiviti harian. Jam 6 pagi kami sudah bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Nasi sudah siap dimasak, nanti di tengah jalan boleh terus makan berlaukkan serunding daging dan ayam. Ada sambal hijau, sambal hitam semuanya ada bawa. Trip macik- macik takkan kebulur punya lah.


Keluar sahaja dari hotel, motorsikal Shila pancit. Kena cari bengkel motor yang bertulis “ Xe May”. Di Vn, bengkel motor bersepah sepah. Jangan lah risau. Pukul 6 pagi waktu tempatan memang dah beroperasi.


Tempat jual minyak pun banyak. Jenis tuang pakai botol atau pakai pam. Tunjuk ja jari nak berapa liter. Kemudian bagi kertas dan pen suruh dia tulis harga. Buat-buat bertenang. Jangan lah cemas sangat.



Hari ini perjalanan agak mencabar dengan pendakian di lereng gunung. Jalannya juga agak berbatu batu bekas tanah runtuh.






Kemahiran ketika mengadap laluan  pendakian berbatuan mesti ada.


Terkangkang-kangkang aku nak menyeimbangkan badan supaya tidak tergolek ketika mendaki.
Sepanjang pendakian jumpa air terjun sesaja. Asal selekoh, ada air terjun. Bukan satu bukan dua malah bercabang-cabang. Memang syok betul.





Untuk sampai ke Ta Xua jaraknya dalam 97km. 13km dari pekan Ta Xua nak ke lokasi tulang dinasor harus menghadapi jalan yang berbatuan. Bukan itu sahaja kabus yang tebal juga menjadi cabaran yang manis. Terasa dingin saja menyapa wajah sehingga bulu mata pun diselaputi air dari kabus.



Gadis-gadis Hmong suka memanjat di lereng bukit ketika menunggu kerbau mereka makan rumput. Anak- anak kecik sekitar umur 3- 5 tahun juga bebas bermain di cerun bukit. Kalau anak kita, baru panjat tangga kita dah menjerit. 








Kampung Ta Xua / Ta Xua Commune


Sebenarnya aku tak pasti dimana lokasi Ta Xua ni, jadi setiap kali aku berhenti aku akan tanya penduduk tempatan. Berhenti isi minyak aku tanya lagi. Siap aku tunjukkan video kat youtube. Akhir sekali tuan kedai yang aku isi minyak dengan rela hati nak tunjukkan di mana lokasinya. Wah, senang hati aku. Betul-betul hebat lah telco Viettel ni. Capaian internet sangat laju walau kat kawasan pergunungan. Senang aku nak cari lokasi.


Jam 11.40 pagi (waktu tempatan) kami sampai di lapangan pemandangan indah Ta Xua ( Ta Sua). Untuk menunggang motorsikal di atas badan dinesor boleh lah turun mengikut laluan tanah merah tu. Dalam video di Youtube dia punya dahsyat macam nak jatuh jurang. Padahal laluan dia datar ja. Itu semua gara-gara lensa wide angle yang bikin gambar menjadi lebih dramatik. Ingatkan tulang dinasor tu yang paling tinggi, rupanya ada lagi tinggi dari dia. Ahaks...





Setelah puas bergambar kami pun buka bekalan makanan untuk makan tengahari. Nikmatnya tidak terkata. Rasa tak syok la kita tumpang makan tempat mereka, anak-anak kecil pandang sahaja, jadi sebelum makan Shila keluarkan biskut cokelat dan diberikan kepada anak-anak kecik yang berada di situ. Biarkan mereka berlapang dada dengan kehadiran kita.








Lebih kurang sejam kami di situ. Cuaca cepat berubah, nampak awan hitam sedang menunggu. Kalau lama lagi nanti habis basah. Kalau setakat hujan tak pe, ini sejuk campur angin di pergunungan. Eloklah dielakkan selagi mampu.
Aku tak tahu kenapa wanita-wanita Hmong ni berkumpul dan berdiri di tepi jurang ni dengan pakaian tradisional yang berwarna warni. Berdiri sesaja tak buat apa sambil memandang menghadap gunung ganang.
Apalagi kami mengambil peluang untuk bergambar bersama. Memang cantik kombinasi pakaian mereka diadun dengan warna gunung ganang sebagai latar belakang. Buat poskad memang cantik.



Semasa kami naik, persekitaran berkabus, bila turun kabus pun hilang dan dihidangkan dengan pemandangan hijau sawah padi yang bertingkat tingkat di lereng gunung.
Sisa kabus bertompok-tompok menutupi sebahagiaan puncak gunung. 

Bukan itu sahaja, dapat lihat kehidupan harian masyarakat Hmong di pergunungan. Aku rasa lah, mereka mana mandi, sebab airnya terlalu sejuk. Cuma mereka kerap membersihkan rambut. Begini lah cara mereka membersihkan diri menggunakan air gunung yang disalurkan menggunakan buluh. Ada sorang anak kecil yang nak dimandikan menjerit-jerit dia menangis. Sejuk gila ! Bila kena air merah ja pipi dorang.




Ada yang baru pulang dari kebun memetik jagung. Jagungnya pula beranika warna. Ada merah, kuning dan ada yang hitam. Bila kita keluar mengembara baru kita tahu betapa sesungguhnya kejadian Allah itu terlalu banyak dan kadang tidak tercapai dek akal untuk memikirkannya. Hari-hari turun dan mendaki gunung dengan bebanan. Dah-syat betul tenaga mereka.  Tak kira kerja berat atau tidak. Lelaki perempuan samarata buat kerja. 


Tentang haiwan ternakan ini memang menjadi tanda tanya hingga sekarang, kenapa lehernya dipasung ?


Baru jalan 500 meter dan berhenti. kejap-kejap berhenti ambil gambar.



Jelas menunjukkan betapa jakunnya kami melihat pemandangan yang sebegitu indah. Sebab kat negara sendiri tak dapat nak tengok kehijauan gunung ganang, hutan rimba kerana sudah ditokak tanpa belas kasihan. Ada pun kat route 4 Hentian Titiwangsa, atau pun terpaksa susah payah mendaki gunung. Kat sini naik motor ja dah dapat tengok. Tak ada orang pun yang akan menganggu pemandangan kita.. Hanya kita-kita sahaja. Lalala.





Rasa malas ja nak meneruskan perjalanan. Terus ambil keputusan , oke nanti jumpa air terjun kita berhenti siap-siap ambik wuduk. Sekarang pun dah masuk waktu zohor. Yang lain bersetuju ja.



Banyak air terjun kat sini. Pilih ja mana satu yang berkenan. Bila sampai kat air terjun, celup tangan dalam air, dia punya sejuk ayoyooo !. Tahankan je la air kena kat muka. Arghhhhh ! Brr sejuk !


 Hidupkan enjin motor terus kan pemanduan sehingga nampak kawasan lapang di tepi jurang.
“Sini ok kot”. Cari arah kiblat dan selesaikan kewajipan. Perghhh…di kelilingi oleh kehijauan, nun di sana kelihatan kelok kelok selekoh, di bawah sana sawah padi yang sedang menguning. Muka  pula dicium angin yang lembut. Suara angin bersiul lembut menyusuk ke halwa telinga.

Kao rasa ?
Rasa nak pacak khemah ja.


Selesai solat, teruskan perjalanan. Dalam setengah jam perjalanan jumpa lagi air terjun yang tinggi. Waduh, tak boleh tahan kena berhenti lama sikit. Buka dapur, masak air teh sambil layan percikan air terjun renjis-renjis kat muka.


Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Ikut dalam peta hanya tinggal 55km sahaja untuk sampai di bandar Nghia Lo.


Jumpa simpang Y. Dalam peta tunjuk simpang kanan, di mana jalan tanah merah dan mendaki. Uhf, biar betul. Boleh ke motor ni lalu kat jalan berbatu- batu. Gila lah. Pada aku jalan tu memang tak masuk dek akal.


Akhirnya aku pilih jalan yang kiri. Ikut suka hati aku ja eh nak pilih jalan mana. Memang jalan cantik, pemandangan berlipat kali ganda menakjubkan.




Boleh leka. Layan ja selekoh, jumpa air terjun, bila  selekoh ja ada air terjun, pandang bawah sawah padi, pandang atas awan nano.





Teruskan perjalanan sehingga masuk ke sebuah kampung. Buntu. Sebab peta tunjuk jalan yang tadi. Aik ? Minyak dah sampai garis merah. Akhirnya bertanyakan kepada orang kampung yang sepatah haram tak paham bahasa Inggeris. Tulis nama lokasi dan mereka semua tunjuk arah laluan aku datang tadi. Sudah sesat daa. Padan muka. Di kampung inilah Shila tak dapat kawal motor ketika menuruni jalan 10% curam bersimen dan di situ juga ada laluan air yang berbatu-batu. Menurut cerita Jura, orang kampung beramai ramai menolong menaikkan motor yang berat tu semula. 
Setelah mengisi tangki motor dengan penuh, perjalanan di teruskan. Jarak ke simpang tadi 11km. Maknanya sudah terbuang masa sejauh 22km pergi/balik.
Ikut kepala aku, redah ja jalan tanah merah tu. Ala 55km ja. Jahaha. Jam sudah menunjukkan 5.30 petang. Sempat lagi ni. Kalau tak sempat kita berhenti ja kat tengah hutan tu. Ceyy kental konon.




Shila dan Jura tak bersetuju dan tidak yakin dengan kondisi motor dan penglihatan waktu malam mereka. Bagi mengukuhkan lagi keyakinan, Jura tahan sebuah motor penduduk tempatan yang melalui jalan tu untuk bertanyakan betul kah ini jalan ke Nghia Lo. Mereka kata dengan bahasa mimik muka dan tangan bahawa kondisi jalan memang begini sepanjang 55km. Tiada rumah hanya hutan.



Baiklah, kita berpatah balik hingga ke simpang Ta Xua sejauh 35km, nanti  bermalam di Hotel Heaven Clouds. Lagi 6km nak sampai, Shila dah beri isyarat berhenti kerana beliau langsung tak nampak akibat hujan dan gelap. Lagipun lampu depan motornya tak menyala. Aku nampak sebuah bangunan yang terang di atas bukit, terus menuju ke sana. Kali ni bahagian aku lak tak dapat kawal motor. Jalan masuk simen, basah dan tinggi, lambat tukar gear lalu gedebak tumbang peluk pintu pagar. Hehehe.
Adil la kan, semua dah dapat cop mohor lebam di sana sini.


 Walaupun tidur merempat, masak tetap masak. Perut mesti didahulukan.


Usai membersihkan diri secara ala kadar, tunai kan solat dan makan, maka masing-masing mencari tempat untuk meluruskan pinggang. Malam itu kami meminta izin penjaga stesen untuk tumpang bermalam.

Hujan terus turun menjadikan keadaan lebih sejuk. Pada awalnya 'sleeping bag'
memang dah masukkan dalam bag. Tapi sebab rasa berat nanti tak lepas bawak masuk kabin, akhirnya keluarkan semula.


Memang mendapat lah malam tu. Sejuk gunung +hujan+ tiupan angin membuatkan langsung tak boleh tidur. Walaupun pakai 3 helai baju tetap sejuk. Mengeleser ke kiri ke kanan tetap rasa sejuk. Jadi marilah kita berzikir secara berjemaah. Padan muka !


Stesyen Penyiaran Televisyen di Bac Yen. Stesen televisyen desa.


Terasa malam cukup panjang. Celik mata tengok jam baru pukul 1 pagi. Adoi. Keras kejung la aku kat sini. Kenangan terindah di Hotel Karlipornia.

 Kiet Son - Ta Xua - Lao Phou Van - Ta Xua - Stesyen Transmisi : 190km

-------
Hari ke tiga
5/9/17 Selasa

Pagi ni agak lewat keluar akibat masing-masing tak cukup tidur. Air di tandas pulak tak ada. Cepat-cepat kemas, hidupkan enjin dan terus jalan sebab nak cari air terjun. Sebab bila ada air terjun mesti ada kolong. Haha. Keluar dari stesen transmisi dia punya pemandangan. Subhanallah. Cuma terdengar bunyi kicauan burung dan loceng dileher kerbau ~ kelentung ,kelentang.


Jalan perlahan-lahan sambil layan awan nano. 


Dah jumpa air terjun yang sangat strategik. Kolongnya juga agak besar untuk memuatkan seorang manusia. Koh koh koh.


Sesi pembersihan diri secara berjemaah. Gosok gigi pandang awan nano, memerut bawah kolong pun layan awan nano, bersarapan pun hadap awan nano. Punya la nikmat yang berganda. Allah maha baik.







Sepanjang menuruni gunung pemandangan memang menakjubkan, kejap-kejap berhenti. Lawa sangat. Mata kena  tengok jalan berbatu, hati nak pandang pemandangan. Jiwa bergetar tak keruan do. Hajat nak buat ‘timelaps’ awan nano langsung tak terbuat. Rugi betul.







Perjalanan hari ini terpaksa ambil jalan jauh, berpusing semula mengikut jalan highway QL37/32 Bac Yen- Phu Yen - Yen Bai  menuju ke Nghia Lo. 



"Traffic safety is the happiness of every home" - Terjemahan tulisan kat dinding batu. Macam ayat cliche di MY  "Pandu Cermat Jiwa Selamat"


Rupanya bandar Nghia Lo bandar besar dan bersih. Laluan sibuk bagi  bas persiaran dan lori kontena untuk ke pintu sempadan di Lao Cai.


Setiap bandar yang kami masuk terdapat banyak kain rentang berwarna merah yang digantung sepanjang jalan. Setelah diterjemah maksudnya “Revolutionary spirit August and National Day 2/9 everlasting”. Ooo. Mereka meraikan hari Kebangsaan.



Dalam pada itu tercari- cari juga, di mana tembusnya jalan DT112  yang aku nak lalu semalam. Semua jalan cantik ja kat sini.

Berbaki lagi 52km untuk sampai ke hotel Mount Street. Laluan highway QL32 memang best. Sejuk dan nyaman ja. Jarak jauh tak rasa pun. Sedar-sedar dah nak sampai hotel penginapan untuk hari ke tiga. Laluannya tetap menyajikan pemandangan sawah padi yang sedang menguning. Sampai tak lalu nak tengok dah. Layan selekoh lagi syok. Ahaks. Kali ni aku banyak rakam video dari mengambil gambar. Nanti dah siap cantum dan edit aku tepek kat penghujung cerita ya.



Sesampai sahaja di tempat penginapan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami sampai agak awal sekitar jam 3 petang.
Memang Allah suruh berehat, qada waktu tidur semalam. Hihi. Hotel pun harga 300k = RM55 agak mahal sikit, tapi tak pe, masih mampu bayar sebab semalam tidur merempat. Jadi hari ni biarlah tidur mewah sikit. 
Petang-petang sikit bila hujan berhenti baru keluar cari bengkel motor untuk baiki lampu hadapan. Dapat la tengok keadaan pekan kecil yang bernama Tu Le. Kiri kanan depan belakang di kelililngi gunung ganang sesaja.


Aku perhatikan, mekanik di sini jika menukar tiub, mereka tidak membuka dan tanggalkan rim motor. Sebaliknya hanya membuka sebelah skru absorber untuk membolehkan mengeluar dan memasukkan tiub semula. Senang ja tengok dia buat.



Masa nak tukar lampu mentol motor, mekanik tanya Thailand ? Kami jawab “ We from Malaysia.” Mungkin komunikasi sukar sangat, maka dia ambil pen dan kertas untuk menulis harga mentol original dan ap untuk kita pilih yang mana satu kita nak. Shila tunjuk yang murah sekitar 80k = rm15. Yang original 150k = RM27



Rasanya tidak lah sukar sangat nak faham perkara2 yang melibatkan komunikasi ketika mengembara di negara yang berbeza bahasa. Asalkan kita kreatif. Seronok tau.
Tak ada aktiviti yang boleh dibuat malam ke 3 ni sebab hujan sepanjang malam. Tidur lagi bagus.

Stesen Transmisi - Bac Yen - Phu Yen -Yen Bai - Nghia Lo - Tu Le : 164 km

-------

Hari ke empat
6/9/17 Rabu

Ini adalah senarai laluan gunung yang menarik di seluruh Vn. No 1 hingga no 6 aku dah merasa sebab terletak di Utara Vn. Selebihnya terletak di bahagian tengah dan selatan Vn.

1. Ma Pi Leng Pass ( Dong Van) King of mountain pass and the most dangerous 
2. Bac Sum Pass (Tam Son)
3. Ma Phuc Pass ( Cao Bang) very steep and sharp curves. 
4. Tram Ton Pass (Sapa) The highest mountain pass 
5. O Quy Ho Pass ( Lai Chau) The longest mountain pass 
6. Khau Pha Pass ( Yen Bai) The most rugged terrain
7. Pha Din Pass ( Son La) Gateaway to northwestern mountanious province.
8. Ca Pass ( Lang Son)
9. Thung Khe Pass ( Hoa Binh)
10. Tam Diep ( Ninh Binh)
11. Ngang Pass ( Quang Binh)
12. Hai Van Pass ( Thua Thien Hue)
13. Cu Mung Pass (Phu Yen)
14. Phuong Hoang Pass ( Dak Lak)
15. Khanh Le Pass ( Lam Dong ) The most beautiful pass in Vn.
16. Prenn Pass ( Lam Dong)
17. Ngoan Muc Pass ( Ninh Thuan)
18. Bao Loc Pass ( Lam Dong)
19. Ham Deo Ca ( Canh Tinh)
20. Da Pass ( Quang Binh)

Sudah memasuki daerah Mu Cang Chai. Pemandangan teres padi di sini lebih cantik dari Sapa. Dipagari gunung ganang seolah-olah menjadi dinding disekeliling hamparan sawah padi.



Gambar di bawah ni seperti pemandangan di Pangururan, Pulau Samosir.







Di tepi jalan banyak terdapat lesung kaki penumbuk padi. Semuanya masih menggunakan cara tradisional. Ada peluang, kita kasi cuba la satu kali.


Misi hari ini adalah mencari Khau Pha Pass. Terletak di daerah ini. Jarak laluannya sepanjang 30km. Ia adalah laluan paling kasar ( tanah runtuh, berbatu, jalan pecah dan tidak rata) dan yang terpanjang di lebuhraya QL32. Berketinggian melebihi 1,200meter dari aras laut. Tak lalu nak kira kelok dia. Layankan kona baring sahaja. 

"Keindahan di altitut tertinggi".



Dari hotel hanya 4.6km untuk sampai ke platfom tinjau permulaan kona baring. Ada la wakaf untuk melihat pemandangan sawah padi dan gunung. Ada sedikit bayaran dikenakan. 10kvnd = rm1.94.




Sebab kita dah bayar, takkan nak duduk sekejap ja kan, jadi buka la bekalan buah buahan yang ada. Berkelah kat situ pulak. Ahaks. Perangai !




Di laluan in juga ada tempat untuk paragliding. Wahh. Kagum aku. Terbang bebas melihat hamparan sawah luas terbentang dan bertingkat-tingkat, sungai, air terjun dan gunung ganang dari udara. pemandangannya memang menakjubkan








" Penduduk stabil. Masyarakat yang makmur. Keluarga bahagia "



"Semua untuk matlamat rakyat yang makmur, kekuatan negara, demokrasi keadilan dan tamadun"


Rupanya setiap papan tanda di seluruh Vn ni adalah kata-kata perangsang dan kata-kata motivasi. Ingatkan nama bandar. 


"Presiden Ho Chi Minh hebat. Hidup selamanya dalam kerjaya kami !


Senarai harga 
Xang ( Sang) Gasolin Ron 92 : 18,140 = RM3.35
Dau Do - Minyak : 14,220 = RM2.62
Waktu beroperasi : 6:00 - 21:00



Kami melalui satu kawasan yang bernama Khao Mang, di mana laluan highway QL32 berhampiran dengan sungai,  Kelihatan tempat ini baru dilanda banjir besar paling dahsyat. Sungai jadi cetek akibat tanah runtuh yang memenuhi dasar sungai. Kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan dan kelihatan juga satu empangan sedang dibina di kawasan ini.



Singgah sebentar di pekan kecil Ho Bon. Saja jalan-jalan tengok apa yang menarik. Hasrat aku memang nak membeli pakaian tradisional Hmong. Tapi kebanyakkan pakaian baju dan skirt nya diperbuat dari kain biasa bukan ditenun. Semua datang dari China. 


Kenapa macik-macik tak buka helmet ? Kerana helmetnya terlalu ringan hingga tak terasa ada sesuatu di atas kepala. Sekali tengok dah macam cerita kamen rider ja. Haha. 



Asal jumpa buah beli. Tak terasa mahal pun sebab guna duit syarikat, lagipun bukan tangan sendiri yang keluarkan duit dari dompet. Lalala. Bila semak semula di Xe.com (tukaran wang) baru terbeliak mata. Rasakan !


Pejabat post.



 Bila perut sudah lapar, di mana-mana sahaja boleh berhenti asalkan ada punca air.


Bila nampak pondok kosong bertentangan dengan punca air, dan di sebelahnya adalah sungai, terus bagi 'signal' berhenti. Lokasi cantik o. Capaian internet pun laju.


Nak menu apa ? nasi goreng kampung, nasi briyani ayam/kambing, nasi tomato, bubur sup cendawan, kopi, teh, coklat, nestum semua ada. 




Di sini bentuk gunungnya macam kon nasi lemak. Sama bentuk seperti di daerah Cao Bang.


Setiap pintu gerbang memasuki sesebuah pekan, bandar dan daerah mesti ada kata-kata yang ditulis untuk ditanamkan ke dalam minda rakyat Vn. Bukan itu sahaja, setiap pagi akan ada orang yang bercakap dicorong-corong pembesar suara memberitahu sesuatu kepada setiap rakyatnya samada di bandar atau di ceruk kampung terpencil. Kalau diamati kita akan lihat speaker diletakkan ditiang-tiang letrik. 
"Semua demi kepentingan kekayaan rakyat, kekuatan, demokratik, beradab dan bertamadun."


Jawatankuasa kumpulan etnik di daerah Tan Uyen. 
"Bersama membina desa baru !"







Tinggal 45km lagi untuk sampai di O Quy Ho Pass. Jadi kami ambil masa sedikit untuk berhenti di Tan Uyen bergambar dengan bermacam-macam gaya. Cuaca redup dan cerah, itu yang leka melihat padi, ada yang petik padi, ada yang makan padi. Padi di Vn kecil dan bulat.
Mungkin pertengahan Oktober semua padi sudah boleh dituai.

O Quy Ho Pass yang terletak di daerah Lai Cau dan ia adalah laluan gunung yang terpanjang sekali dengan  jarak sepanjang 50km. Berada di ketinggian melebihi 2,000 meter dari aras laut. Puncaknya diliputi kabus hampir sepanjang tahun. Nama gelarannya adalah The Cloudy Mountain Pass. Ketika kami lalu hujan renyai-renyai dan kabus terlalu tebal. Jadi tak nampak apa pun.


Aku cuma dapat merakamkan video sahaja, itupun lensa dibasahi dek rintik hujan. Ini kalau cuaca elok tak berkabus, memang lawa gila. Itu pun dapat rakam gambar beberapa buah air terjun yang jatuh dari puncak gunung tu.


Terpaksa berhenti di hentian Tram Ton Pass. Tram Ton Pass pula berketinggian 1900 meter dari aras laut. Dikenali juga dengan nama Heaven Gate Pass dan dikatakan laluan gunung paling tinggi di Vietnam. Di mana ia akan melalui di hadapan pintu masuk ke Love Waterfall dan permulaan trek pendakian Gunung Fan Xi Pan hingga ke Silver Waterfall.
Agak kecewa jugak sebab tak dapat nak rakamkan gambar selekoh dari pelantar pemandangan. Kabus tebal sangat. Kecuramannya juga agak bahaya lebih-lebih lagi ketika hujan. Jalannya nampak berkilat licin ja. Dari pelantar inilah kita akan dapat melihat pemandangan laluan yang berkelok-kelok antara satu gunung ke satu gunung bersebelahan.
Uniknya Tram Ton Pass pada perubahan cuaca yang sangat cepat. Di sebelah Lai Cau hujan berkabus dan sejuk, manakala di bahagian Sapa cuaca terang, panas dan langit biru. Vice versa.


Di hentian ini ada gerai-gerai menjual makanan dan minuman. Minyak motor aku dah habis jadi beli saja di sini. Dan harganya korang tau berapa ? Seliter mencecah RM7. Gila ! Tapi nak buat macamana, keterpaksaan. Tuang aja la.

Bila hujan dah reda, kami teruskan perjalanan menuju ke Sapa. Sapa dah banyak berubah. Aku cuba mengingatkan laluan yang aku pernah lalu dahulu. Berubah. Tanah runtuh di sini sana. Hotel-hotel  makin banyak didirikan. Jalan raya hampir keseluruhannya pecah berlopak dan berair. Tugu peringatan ni pun baru dibina.



Terus mencari hotel untuk malam ke empat. Green Valley Hotel. Malam tetap hujan. Jadi terus masak dan raikan kejayaan dengan buah buahan yang beraneka jenis. Macik-macik kalau masak campak-campak memang sedap rasanya. Lebih-lebih lagi masa hari hujan. Perggh. Makan bertambah-tambah.


Semua buah-buahan ni dibeli sepanjang jalan dan diangkut sejak hari kedua lagi. Gigih.


Bila hujan dah berhenti, berpakatlah keluar jalan-jalan. Konon nak cuci mata ja, tapi terjebak juga membeli tak boleh belah.


Aku suka dengan kasut Keen ni. Masuk ni dah kali kedua aku beli kat Sapa. Bukan tak ada di Hanoi atau MY, ada. Tapi kat sini banyak pilihan warna.  Dia ada 2 jenis. Satu yang biasa tiada jahitan di hadapan dan yang ini berjahit. Yang berjahit lebih elok kualitinya. Harga biasa $25 = RM105, tapi dapat potongan harga jatuh $23 = RM96. Sebelum tu dah tinjau kedai lain. Kasut yang tak berjahit harganya $25. Uih mahal. Akhirnya patah balik masuk kedai yang pertama semula. Pakat semua macik-macik beli dengan pilihan warna yang berlainan.


Sampai sahaja di hotel hujan turun lagi sampai ke pagi. Sejuk.

Tu Le - Sapa : 183km

Hari ke Lima
7/9/17 Khamis

Misi hari ini adalah mencari kenalan dari suku Black Hmong di kg Tavan. Kenal sejak 2011 masa kali pertama datang ke Sapa. Beliau yang menyapa dan mengajak datang ke rumahnya untuk merasa pengalaman hidup dengan orang asli Hmong.


Sebelum tu elok jalan-jalan dahulu untuk mengimbas kembali kenangan waktu dahulu. Seingat aku tahun 2011 dan 2014 nak masuk ke perkampungan ni ada tol dengan bayaran 40kvnd seorang. Kali ni pergi tak ada dah. Ini sudah bagus. Jimat duit aku lagi. Hiks.




Pagi-pagi belum ramai lagi penjual dari suku Hmong yang datang mengerumuni kat pelantar pemandangan ni. Lagipun aku dah pesan, elakkan dari memandang ke mata mereka. Nanti mereka akan mengikut ke mana sahaja kita pergi sambil merayu membeli barang dagangan mereka. Buy from me ! buy from me !
Sekarang aku dah mahir menolak dengan sopan, cuma cakap "Khong, cam on" ( Tidak/tak mahu, terima kasih)


Gadis ini salah seorang yang awal sekali membuka dagangan di pelantar sambil terus leka menjahit. Jika beli terus dari mereka harga agak murah dan boleh tawar menawar. Jahitan mereka juga halus.






Untuk ke kampung Tavan kita perlu merentasi 2 laluan air terjun. Perlu lebih berhati-hati kerana airnya deras dan simennya agak licin berlumut.





Cuaca agak redup dan sedikit gerimis. Berhenti berteduh sambil minum kopi Vn cicah roti di guesthouse & cafe di tepi sungai. Di sini setiap cafe mempunyai wifi. Jadi terus melekat lebih lama hingga ke tengahari.


Aku mengambil peluang untuk pergi ke jambatan gantung yang merentangi sungai. Bayaran untuk melalui jambatan tersebut berharga 10kvnd = RM1.94. Di situ juga aku nampak pakaian tradisional pelbagai warna dipamirkan di situ. Aku terfikir, boleh sewa ke baju-baju ni ? Bersungguh betul aku tanya pada penjaga kaunter tu.


Ternyata memang boleh menyewa kostum pakaian asli dengan harga sewaan sebanyak 50kvnd = RM9.72 . Punya la seronok. Memang idaman aku nak pakai pakaian tu. Nak beli harganya terlalu mahal dan agak membazir kerana bukan nak pakai selalu. Kalau beli pun nak pakai bila dan di mana ? Maka yang terbaik adalah dengan menyewa sahaja.


Jambatan ini dibina menggunakan kabel dan rotan. Dahulu kala, sebelum jambatan besi dibina, inilah laluan penduduk kampung untuk ke seberang. Kepingan-kepingan papan yang dipijak pun dah banyak yang reput. Tali rotan dipintal untuk dijadikan dinding penghadang. Boleh tahan hayunannya ketika berjalan merentasi sungai.


Pelancong tempatan ada juga berminat nak bergambar dengan aku. Macam pelik ja. Terbalik.


Aha, puas rasa di hati bila dapat apa yang dihajati. Alhamdulillah. Lepas ni dah boleh tidur tersenyum.


Minum kopi sudah, bergambar sudah, sekarang boleh keluar semula dan cuba mencari rumah kenalan asli Hmong pula. 

On the bike !

Ini adalah gambar yang masih aku simpan. Aku cetak berwarna dan aku laminet siap-siap. Cadang aku nanti bila nak mencari tunjukkan sahaja gambar ni. Bila dah jumpa aku nak bagi gambar ni kepada beliau untuk dikenang. KONON-KONON la.


Pengembaraan adalah pencarian.
Setiap penduduk yang aku jumpa aku tanyakan dan ku tunjukkan gambar tu. Walau aku tak faham apa yang mereka cakap, tapi gerak bahasa tubuh buat aku cepat paham. Teruskan pencarian, berhenti di kedai, aku tanya dan tunjukkan gambar lagi. Semuanya menunjuk ke arah Sapa.



Aku tetap yakin, yang simpang ke rumah beliau ada berdekatan. Sesungguhnya aku masih ingat lagi simpang itu. 
Akhirnya aku jumpa jalan masuk dan terus mencari. Berhenti di rumah seorang wanita Hmong dan terus aku tunjukkan gambar tadi. Wanita itu sudi untuk menunjukkan rumahnya. Gambar di bawah adalah jalan masuk ke rumah beliau yang aku sempat rakamkan gambarnya pada tahun 2014.


Tahun 2017, pagar buluh sudah bertukar menjadi pagar batu.


Batu tanda di laluan masuk  ke rumah kenalan aku . 
Kaedah perlindungan hutan
1. Mengurangkan eksploitasi produk hutan
2. Memburu binatang secara haram
3. Pencerobohan dan mengubah penggunaan hutan
4. Penebangan hutan hutan bakau


Inilah wajah jiran-jiran yang membantu aku mencari rumah beliau. Untuk mengetahui kisah seterusnya, boleh ketik di sini


BERSAMBUNG.... tinggal sikit lagi nak habis. Sila ketik di sini


HINGGA BERJUMPA LAGI DI LAIN KEMBARA

Tạm biệt 
và 
Hẹn gặp lại !

Ketua petualang : Cik Tun yang ensem segak bergaya.



Perkenalkan Cik Shila sebagai menteri paSOLAR


Navigator atau tukang pegang peta eletronik ialah : Puan Norela


Akhir sekali orang yang paling penting sepanjang kembaraan ini Puan Bendahari : Jura Juju


Korang memang hebat. Masing-masing memainkan peranan dengan begitu bagus sekali. Terima kasih. Tanpa kerjasama korang, kembaraan ini tak akan berjalan dengan lancar.

Syabas !

Nota kuku kaki : gambar memang tak diperkemaskan langsung atas sebab MALAS. 

1 comment:

  1. Congrats Sis and frens. Thanks for sharing this good info thumb up!

    ReplyDelete