Friday, June 8, 2018

BUNDA TANAH MELAYU - PULAU LINGGA


BUNDA TANAH MELAYU
PULAU LINGGA 

Pada zaman dahulu, Lingga adalah sebuah kerajaan Melayu yang berpusat di kota Daik sebagai Negara Kesultanan Johor - Pahang - Riau - Lingga. Sultan Mahmud Syah II (Sultan mangkat dijulang) adalah Sultan Johor-Pahang-Riau -Lingga yang ke- 10 dan berketurunan sultan-sultan Melaka. Akan tetapi Sultan Mahmud Syah II ini tiada berzuriat. Untuk menjadi penggantinya, dicarinya dari keturunan Datuk Paduka Raja Tun Abdul Jalil (keturunan bendahara) yang dikenali dengan nama Sultan Mahmud Ria'yat Syah III. Selebihnya sila baca wikipedia ya. Aku pun dah pening baca salasilah raja-raja ni.

Pulau Lingga ini adalah sebuah Kabupaten (Wilayah) yang mana di bawahnya ada 9 Kecamatan (Daerah) 7 kelurahan (Mukim) dan 74 desa (kampung). Setiap wilayah mempunyai bendera dan motto tersendiri. Mottonya adalah BERTINGKAP ALAM BERPINTU ILAHI. Terkenal dengan nama julukannya  BUNDA TANAH MELAYU.

Berhenti sebentar : Keliru dengan Kelurahan dan Desa ? 
Kelurahan : Ketuanya dipilih oleh pemerintah kota. Di MY macam Tok Penghulu
Desa : Ketuanya dipilih oleh warga desa. Ketua Kampung

Sistem pembahagian kawasan Indonesia dengan MY memang berbeza. Jadi memang pening kepala jika nak cari persamaan daftar katanya. Aku sampai sekarang masih tak dapat nak faham dengan maksud Provinsi, Regency, Kabupaten, Kecamatan, Kelurahan dan Desa. Aku masih bingung.

Sambung semula, 
Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alamsyah II, baginda telah memerintahkan penanaman pokok sagu (rumbia) secara besar-besaran dan membuka perlombongan timah termasuk di Dabo- Singkep. Kerana itulah makanan tradisi di Lingga kebanyakannya  berasaskan sagu. 

Di sinilah lahirnya perumpamaan dalam sebuah pantun ;

PULAU PANDAN JAUH KE TENGAH,
GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA,
HANCUR BADAN DIKANDUNG TANAH,
BUDI YANG BAIK DIKENANG JUGA

Kerana Gunung Daik ini lah yang membuatkan aku berlayar hingga ke mari.

Cerita hari sebelumnya klik di sini

Setelah turun di dermaga Pulau Penyengat, kami pun berjalan kaki mencari terminal feri ke Pulau Lingga pula. Kaunter tiket pelayaran ke pulau-pulau berdekatan semua ada  di dalam Terminal Feri Sri Bintan Pura.


Setiap penumpang yang mahu membeli tiket wajib membayar pas kemasukan ke pelabuhan terlebih dahulu. Pas pelabuhan tidak sama harganya antara pelabuhan yang lain. Di Bintan Pura harga pas pelabuhan 5,000rp = RM1.50



Selepas membeli, baru dibenarkan masuk ke terminal feri.


Pejabat-pejabat kerajaan kebanyakkanya dibina atas  pelantar sepanjang laluan ke terminal.



Di luar pintu kaunter ada seorang penjaga yang akan meminta tiket pas masuk yang kita beli tadi. Apabila masuk sahaja di  ruang kaunter, ketika itu riuh macam kat kaunter tiket feri Kuala Perlis. Batam  ! Batam ! Jago ! Daik ! Batam di sini..!
Kita tengok pun dah jadi kelam kabut. Akhir sekali jerit " kaunter feri ke Lingga kat mana ?" heh heh heh.






Harga tiket dari Tanjung Pinang ke - Lingga berharga 200,000rp = RM56(sehala) + pas pelabuhan RM1.50, jumlah RM57.50


Beginilah suasana di ruang dalam terminal feri Sri Bintan Pura yang baru dinaik taraf. Sesuai dengan keperluan penumpang, pihak pemerintah telah menyediakan tandas yang selesa dan moden, musolla serta kedai-kedai makan ada di dalam ruang menunggu. Plug untuk cas hp pun ada. Hiks.



Sekitar jam 11 pagi (12 waktu MY) kami masuk ke dalam perut feri. Hari ini perjalanannya sangat panjang. Tidur, jaga, tidur semula, masih tak sampai lagi. Aku mengambil peluang untuk keluar ke dek belakang yang di khaskan untuk penumpang yang hendak merokok.


Feri berlayar dengan perlahan ketika memasuki ruang perairan yang sempit di mana feri akan berhenti di pelabuhan kecil tertentu untuk menurunkan penumpang. Desa Rejai adalah jeti persinggahan pertama untuk menurunkan penumpang. Desa Rejai terletak di Pulau Sebangka.



Kebanyakkan pulau-pulau di perairan ini tiada berpantai, hanya pokok-pokok bakau yang tumbuh. Oleh itu penduduk kebanyakan membina rumah di atas air. Melihatkan bentuk rumah yang sama, barangkali itu rumah bantuan dari pemerintah untuk penduduk yang miskin di pulau-pulau.



Selain dari menjadi nelayan, mereka juga menghasilkan perusahaan membina perahu / sampan / pompong.


Kelihatan sebuah perahu sedang dalam pembinaan.





Persinggahan kedua feri di Desa Tanjung Kelit. Desa ini letaknya di Pulau Bakung. Pulau ini telah dicalonkan sebagai pulau yang berpotensi  menjadi pusat kuarantin dan penternakan lembu di Indonesia.


Aku mengintai dari belakang dek feri, seseorang memunggah barang dagangan yang banyak naik ke pelantar, berkemungkinan dia seorang peniaga yang membeli stok barangan keperluan dari Tanjung Pinang untuk dijual di atas pulau ini. Patut barang keperluan dan makanan agak mahal.



Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba feri memperlahankan kelajuan kemudiannya berhenti. Ada sebuah pompong datang dari pulau yang berdekatan dan menghampiri feri. Aku jadi tertanya-tanya, kenapa eh ?
Menjenguk di tingkap aku nampak ada beberapa orang penumpang menaiki feri sambil dibantu oleh awak-awak.

Owh, aku berpendapat bahawa itu adalah penumpang dari pulau-pulau yang kecil yang tidak dapat dijangkau oleh feri. Jadi mereka akan menanti waktu  feri melintas, bila nampak sahaja terus kejar. Kiranya bagus betul tahap penerimaan komunikasi talipon di RI. Di tengah laut pun masih boleh menerima maklumat dengan kadar segera. Hebat.


Perhentian seterusnya adalah di jeti Sei Tenam. Rupanya ada perkhidmatan feri dari Batam terus ke sini. Batam - Sei Tenam - Batam. Jadual perjalanannya pada jam 09.45 pagi (vice-versa) Tiket berharga 185,000rp = RM52 . Lokasi jeti Sei Tenam ni terletak di bahagian utara Pulau Lingga. Maka, jika turun di sini, kita perlu menaiki angkutan berupa kereta jenis mpv dengan harga 40,000rp = RM11 sejauh 30km.

Di sini jika turun dari feri mesti terus naik van angkutan, kerana jika kita berhenti minum atau makan di kantin dahulu nanti dah tak ada van angkutan lagi yang tinggal. Dah la tempat ni jauh dari penempatan. Jadi kita mesti dah ada tempat penginapan untuk memudahkan pemandu angkutan menghantar kita ke destinasi seterusnya.



Ini adalah jeti Pulau Mepar, setelah menurunkan penumpang di sini feri akan menuju ke Pelabuhan Dabo dan kemudian ke perhentian terakhir iaitu di Tanjung Buton.




Ahah ! Itu dia, aku dah nampak cabang Gunung Daik dari dalam feri. Teruja sungguh aku dapat tengok dengan mata sendiri. Selama ini cuma baca pantun dan lihat gambar dari internet. Nah ! sekarang berada di hadapan mata. ~wee


Maka benarlah, pantun orang dahulu bukan kosong tetapi berkait dengan apa yang ada dipersekitaran. Cuma Pulau Pandan sahaja yang aku tak dapat tengok kerana menurut pengendali pompong yang aku tanyakan, rata-rata mengatakan pulau ini memang jauh ke tengah dan kedudukannya berada sebelum sampai ke Pulau Lingga.



Untuk pengatahuan, wilayah pemerintahan Lingga merangkumi 604 buah pulau, dan di dalamnya ada beratus-ratus pulau yang tidak berpenghuni. Pulau Pandan salah satunya pulau yang tiada berpenghuni. Gambar yang dipaparkan di bawah ini sebagai contoh dan tidak dipastikan adakah benar kedudukan Pulau Pandan di situ.


Puncak Gunung Daik mempunyai nama tersendiri ; yang paling tinggi itu namanya puncak Daik, yang tengah puncak Pejantan dan yang patah pula bernama puncak Cindai.


DARI JAUH TERLIHAT DIA,
DULU TIGA SEKARANG DUA,
ASYIK MENDENGAR KINI BERSUA,
BUKAN REKAAN TERNYATA BENAR BELAKA


GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA,
PATAH SATU TINGGAL DUA,
TIADA KU SANGKA TIADA KU DUGA,
MENJEJAK KAKI KE TANAH LINGGA

TIADA SANGKA TIADA KU DUGA,
MENJEJAK KAKI KE TANAH LINGGA
GEMBIRA SEBAK MENYESAK DADA,
MELIHAT DAIK DI DEPAN MATA.

Dua pantun di atas ni hasil nukilan kakak aku, tetiba sahaja dia hebat berpantun. Haaa, nampak tak ? nampak tak ? betapa masuk sahaja ke wilayah ni tiba-tiba sahaja jiwa jadi lembut dan ilham mula turun mencurah-curah. Kuasa apa entah yang ada di sini aku pun tak tahu. Oleh sebab itu lah Raja Ali Haji seorang ulamak, sejarawan dan pujangga telah diangkat menjadi Pahlawan Nasional atas perjuangannya memartabatkan Bahasa Melayu dengan menulis syair, puisi, kamus loghat Melayu - Johor - Pahang -Riau-Lingga penggal pertama, Tuhfat Al-Nafis (Bingkisan berharga tentang sejarah Melayu) dan banyak lagi.

Marilah kita mendengar dan memahamkan maksud dan erti yang disampaikan. Gurindam ini adalah nasihat untuk membentuk peribadi diri menjadi insan yang lebih baik.


Ini pula gurindan 12 yang telah diberi nafas baharu. Menarik untuk didengar anak-anak muda, tetapi tidak jelas apa maksud yang hendak disampaikan. Pengertian gurindam pasal ke-9 pun tidak selari dengan para penyampainya untuk dijadikan contoh. Sekadar untuk berhibur sahaja. 


Tepat jam 1600 waktu tempatan ( 1700 waktu MY), kami tiba di jeti Tanjung Buton, Pulau Lingga. Fuh, 5 jam dalam feri. Habis waktu di jalanan sahaja. Lemau.


Cuaca ketika itu hujan renyai, jadi aku  menyimpan kamera dalam bag bimbang kebasahan. Dari dermaga jeti Tanjung Buton pun kita dapat melihat puncak Gunung Daik tersergam megah.


 Jetinya pula panjang dan jauh. Ya ampun.



Seperti yang aku tulis tadi, keluar sahaja dari jeti mesti terus naik van angkutan yang dah menunggu di pintu keluar dermaga.. Oleh kerana kami ni meleca-leca, jadi semua van angkutan sudah beredar. Dataran menunggu pun sudah kosong.  Alamak, macamana nak ke pekan Daik ? Aku cuba mencari pondok menyewakan motorsikal seperti yang aku baca dalam blog seseorang. Tak ada. Kelihatan dermaga ini baru dinaik taraf. Ia nampak lebih terurus dan cantik. Bertanyakan tentang pengangkutan lain pada penjaga pintu masuk jeti, menurut beliau motorsikal sewa ada tapi yang menguruskannya tiada ketika itu.
Akhirnya dengan budi baik penjaga jeti tu, dia buat panggilan kepada kawannya. Alhamdulillah, dapat juga kenderaan yang akan menghantar kami ke hotel dengan harga 100,000rp = RM28 /6 = RM4.60 seorang.


Sementara menunggu bapak supir datang, kami singgah mengisi perut dahulu di tepi dataran Tanjung Buton. Masing-masing dah menggigil kelaparan. Di situ ada beberapa gerai makan siap dengan payung, kerusi dan meja.

Ada satey padang, masakan goreng-gorengan dan masakan asli Lingga. 

 
Tapi yang paling bestnya, masakan asam pedas dia memang terbaik. Kita fikir masakan asam pedas tu datang dari Melaka ? silap la. Sejarah asal usul pun semua datang dari Lingga yang membawa ke Melaka, Johor, Pahang dan Selangor.
Makanan dia kebanyakkannya berasaskan sagu. Gambar di bawah namanya Lempeng Sagu. Bahan-bahannya adalah sagu + kelapa parut dia bikin lempeng. Lempeng tu garing di luar lembut di dalam memudian cicah dengan kuah asam pedas ikan pari atau ikan tamban. Argghh..sedapnya. Makan itu pun dah kenyang.


Gambar di bawah ini pula Lenggang Sagu, ianya diadun buat bentuk keropok lekor kemudian digoreng. Lepas goreng dia potong-potong, campur dengan timun dan kuah dia rasa kuah yong tau fu tapi cair.


Menjamu selera sambil layan pemandangan Gunung Daik di balik kabus. Kau rasa ?


Agak lama juga la kami mengisi perut di situ.  Kami pesan makanan yang berbeza-beza kemudian pakat rasa sorang sedikit. Memang layan la duduk lama-lama kat situ. Warung-warung ni dibuka sebelah petang membawa ke malam. Bila malam, baru ada musik buat menghibur pelanggan yang datang. Sebab tenaga elektriknya bergantung kepada tiang lampu jalan.
Dari Tanjung Buton ke tempat penginapan sejauh 7 km. Hotel yang kira terkenal di sini adalah Lingga Pesona.


Nama supir ini adalah Pak Dahalan.


Jehan agak terkesima dengan kreativiti masyarakat di sini menggunakan bahan terbuang dijadikan perhiasan di ruangan hotel. Ahli GreenPeace tegar.


Setibanya di hotel, kami menghubungi seorang kenalan yang diperkenalkan oleh Katt. Maya, seorang PolWan ( polis wanita) asal Dabo yang sudi meraikan kami selama berada di sini. Segala urusan penyewaan motorsikal beliau yang uruskan. Kita cuma bayar harganya. Untuk sebuah motor 100,000rp = RM28 sehari.



Hari ketiga, Isnin (30/4/18)

Seperkara yang menarik adalah, sekarang musim mangga. Di sekeliling hotel ini banyak ditanam pokok mangga, dan semuanya berbuah lebat. Selak tingkap ja nampak buah mangga bergayut-gayut. Nak petik senang ja. Sebenarnya bukan di kawasan hotel sahaja, malah seluruh kepulauan Riau ni pokok mangga sedang rancak berbuah termasuk di Pulau Penyengat tempoh hari.




Hari ke tiga adalah hari bermulanya pengembaraan bermotor. Sebanyak tiga buah motorsikal telah dihantar terus ke hotel. masing-masing memilih motorsikal yang sesuai dengan kemampuan. Dalam pada itu menjeling juga mata ni ke arah motorsikal Maya. Pergh ! segak ranggi dan 'rugged' . Pakkallah aku tak mahir mengendali motorsikal yang menggunakan clutch, sudah la rendah, kaki tak sampai pula. Tumpang bergaya pun boleh lah. Jangan tak tahu, motorsikal polis kat sini semua jenis macam ni.


Pink memilih motorsikal skooter, kerana dia memang tak mahir mengendalikan motorsikal sebelum ni. Kiranya inilah pertama kali dia menunggang motor jarak jauh. Syabas, kerana berjaya menunggang tanpa masalah. Dah boleh ambil lesen motorsikal lepas ni.


Sebelum memulakan perjalanan, benzin perlu diisi dahulu. Di sini tiada petrol pam, jadi benzin dijual di kedai-kedai runcit atau di tepi jalan dengan sukatan botol. Sebotol harganya 13,000rp = RM3.60



Jadi  isi semua tangki motorsikal sekali gus. Senang kerja dan kepala aku pun tak pening nak memikirkan hal duit. Itu semua kerja bendahari. Heh !


Pekan kecil Daik


Kami lalu di hadapan RUMAH TEKAT TUDUNG MANTO HALIMAH, tetapi tidak singgah kerana terlalu awal kami sampai, belum lagi buka untuk tetamu. Apa yang menariknya tentang tempat ini ?
Pertama, rumah tekad ini diberi nama Halimah  kerana bersempena nama isteri datok bandar yang menghibahkan  tanah ini untuk dijadikan rumah tekad Manto untuk meneruskan warisan seni dan budaya yang semakin hilang.
Kedua, rumah ini adalah pusat kebudayaan dan aktiviti kemasyarakatan setempat untuk menghasil produk kesenian sekaligus menaikkan taraf ekonomi masyarakat.



Ketiga, rekabentuk rumah tekad ini dibina mengikut ciri-ciri rumah Melayu Daik. Dekorasi, ukiran lebah bergantung, tunjuk langit dibuat dari bahan kayu untuk menambahkan kerapian dan menunjukkan kemegahan binaan rumah itu.


Bagi masyarakat Kabupaten Lingga Provinsi Kepulauan Riau nama Tudung Manto sudah tak asing lagi karana selain telah dibuat sejak tahun 1755, ia juga berfungsi sebagai penutup kepala bagi kaum wanita yang sudah bersuami. Cara pemakaiannya sama seperti memakai selendang biasa yang ditutup di kepala. Tudung Manto dipakai pada acara tertentu, seperti acara kenduri perkahwinan, kegiatan-kegiatan adat dan budaya. Tudung Manto juga diletakkan di atas keranda (bagian kepala) pada saat kematian.


Harga tudung Manto berdasarkan saiznya. Ini harga tahun 2015. Kalau harga tahun 2018 ? krik ! krik ! krik
Harga            : 150 cm x 50 cm                     Rp. 1.800.000 = -+ RM504
Harga            : 100 cm x 50 cm                     Rp. 1.400.000 = -+ RM392

sumber dari internet
Sebenarnya, kami nak mencari warung makan untuk bersarapan. Berpusing-pusing mencari kedai makan yang buka. Akhirnya berjumpa dengan Warung Pak Tani. Jangan pandang sebelah mata, nama warung tapi ada pakej wifi tau.


Oke, ini aku nak memperkenalkan  Nasi Dagang. Nasi Dagang di Kepri dikukus dengan santan kelapa, lauknya sambal ikan tamban, ikan bilis basah, ikan tongkol dan telur, kemudian dibungkus dengan daun pisang. Cara bungkus pun unik. 


Ianya bukan nasi lemak, sebab rasanya berbeza sedikit kerana bahan campuran masakan nasinya menggunakan bawang merah, halba dan daun serai. Selain nasinya yang enak, sambalnya juga sama macam sambal di MY. Sedapnya. Kenapa dipanggil nasi dagang ? kerana pada zaman dahulu, nasi ini dibuat bekalan untuk mereka yang pergi berdagang atau keluar bekerja di sawah atau kebun. Cara bukanya pun ditunjukkan ketika di Pulau Penyengat. Cabut lidi tu dan biarkan dia posisi bentuk kon. Jadi tak perlu gunakan pinggan. 


Kami hanya makan kuih- kuih sahaja. kerana mungkin belum serasi dengan menu di pulau Lingga.


Selepas mengisi perut, Maya membawa kami ke Masjid Jamek Sultan Lingga. Masjid ini adalah tinggalan Sultan Mahmud Ria'ayat Shah III yang telah dibangunkan pada tahun 1800. 


Memandangkan tujuan asal adalah untuk mencari titik 0 Katulistiwa, maka Maya hanya menunjukkan lokasi masjid sahaja. Kelihatan pagar masjid bertutup. Tidaklah aku terfikir langsung untuk membukanya kerana aku fikirkan masjid itu berkunci.


Ketika aku menulis cerita ini, aku telek semula gambar di bawah ini, baru aku terifikir, memanglah pagar masjid ditutup tetapi tidak berkunci. Untuk mengelakkan haiwan masuk. Adoiii...Arrghh..! Kalau nak masuk, boleh ja buka selak pintu tu. Grr.. dah dua tempat aku melepas. Macam kena datang lagi ja.


Di dalam kawasan masjid ini juga terletaknya makam Sultan Mahmud Ria'ayat Syah III. Di katakan juga mimbar masjid ini sama dengan mimbar di Masjid Raya Sultan Riau di Pulau Penyengat yang diukir oleh pengukir dari Japara Jawa Tengah.


Perjalanan diteruskan ke Pusat Pelancongan Damnah. Pemandangan di sini cukup menarik. Persekitarannya sangat bersih dan nyaman, di hadapannya terlihat banjaran gunung di mana Gunung Daik tersergam dengan cukup gah.


Pintu gerbang ke Perkampungan Warisan Budaya Melayu Lingga.



Ini adalah maqam Raja Muhammad Yusuf Al- Ahmadi, Yang Di Pertuan Muda Riau X. Beliaulah yang mendirikan istana Damnah pada tahun 1860 M diperuntukkan sebagai kediaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah II.


Melintasi satu bangunan, aku terpandangkan susunan tempayan lama yang sangat banyak. Terkesima aku melihatnya. Kalau kat MY ni dah lama hilang. Di sini tempayan lama dibuat pagar.


Dahulunya bangunan ini dijadikan muzium.



Sedang aku leka melihat-lihat persekitaran, aku ternampak seorang pakcik  sedang membersihkan kawasan Pejabat Pelancongan. Orangnya ramah. Bila saja dia bersuara, aku jadi seronok sangat sebab loghat bahasa yang dituturkan sama macam di MY. Rasa macam nak sahaja duduk tepi longkang bawah pokok tu bersembang lama-lama.
Tapi disebabkan aku mengejar masa untuk pergi ke lokasi lain, terpaksa lah aku memendekkan bual bicara. Walau bagaimana pun aku sempat merakam video sebagai rujukan akan datang. Paling memeranjatkan adalah pakcik ini adalah orang yang telah menghibahkan tanahnya untuk dibina Muzium Linggam Cahaya.


Di dalam buku Muzium Linggam Cahaya yang aku dapat tertulis bahawa pakcik ini yang bernama SULAIMAN BIN ATAN telah menghibahkan tanah miliknya yang berkeluasan 2.600 meter persegi dengan harapan Pemerintah Kabupaten Kepulauan Riau bermurah hati untuk membantu memperkerjakan penghibah atau keluarganya di muzium sebagai Penjaga Muzium. 


Tengok, punya besar tanah pakcik tu dijadikan tapak muzium. Memang dahsyat jiwa perjuangan dia !


Kenapa di namakan Linggam Cahaya ? Linggam bererti batu berwarna merah, cahaya bererti bersinar. Diibaratkan muzium ini sebagai sesuatu yang amat berharga setara dengan batu Linggam yang bercahaya.


Di dalam muzium ini ditempatkan pelbagai barangan sejarah dan budaya warisan Kerajaan Melayu di Lingga yang mana sedikit demi sedikit ianya dikumpulkan sejak tahun 2001 sehingga memperolehi data akhir pada 31 Disember 2016 telah berjumlah 4,869 buah koleksi.


Bila aku masuk je ke dalam muzium ni, sekali lagi aku jadi tak keruan bila melihat barang- barang antik yang dipamirkan melebihi apa yang aku pernah lihat. Nah ! nampak tak  tempurung kelapa di atas dulang tembaga tu ? Kalau nak tahu, itulah lah yang dipanggil BATOK. Batok inilah yang dimaksudkan di dalam peribahasa "Seperti melepaskan batok di tangga". Kerana selepas menggunakan batok untuk membasuh kaki, hendaklah diletakkan semula di atas tempayan. Bukan diletakkan di atas tangga sahaja. Ertinya, seperti membuat kerja sambil lewa.








Tempat air panas ini memang menarik perhatian aku. Ku fikirkan zaman moden sahaja ada bekas air panas, rupanya di zaman dahulu kala pun sudah diciptakan bekas seperti ini siap dengan paipnya.









Ini Quran tulisan tangan yang masih dipelihara walaupun sudah banyak yang reput.











Baju Berkalimah ini menurut orang yang menghibah, dikatakan sudah mula digunakan semasa Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah. Pakaian ini dipakai oleh pahlawan bangsawan di istana seperti Datuk Laksamana, Temenggung dan lain-lain. Baju yang ditulis doa-doa di dalam bahasa arab digunakan untuk dijadikan TANGKAL atau pendinding diri dari hal-hal yang membahayakan si pemakai.



Dipamirkan juga di sini rangka seekor ikan sebesar ikan paus, cuma yang misterinya adalah rangka ikan ini menunjukkan ianya mempunyai gading seperti seekor gajah. Tak pernah tengok pula species ikan ni. 





Sebelum kami berundur diri, pihak pengurusan muzium telah memberikan kami cenderamata berupa sebuah buku tentang Perjuangan dan Kepahlawanan SULTAN MAHMUD RI'AYAT SYAH. Yang Dipertuan besar Kerajaan Riau-Lingga-Johor-Pahang.


Berbunga-bunga rasa di hati kerana buku ini tidak dijual di mana-mana toko buku.


Setelah mengucapkan terima kasih sera bersalam salaman, kami meneruskan perjalanan menuju ke bekas tapak istana Damnah. Barangkali nama istana Damnah tidak terkenal seperti istana Melayu Riau Lingga di Pulau Penyengat. Istana ini dibangunkan oleh Yang Dipertuan Muda Riau X Raja Muhammad Yusuf Al- Ahmadi pada abad ke -19 diperuntukkan untuk kediaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah II, yang sebelum itu tinggal di istana Kota Baru.



Di sebelah tapak asal, sudah dibina replika mirip Istana Damnah. Bangunannya terbahagi 2. Di bahagian hadapan adalah balairung seri sebagai tempat bermesyuarat dan tempat pertemuan para petinggi di zaman itu.


Kesenian ukiran orang-orang melayu dahulu tiada tolok bandingya. Ukiran yang sangat jelas aku lihat dan mudah mengenal ciri-ciri rumah melayu adalah dari ukiran Lebah Bergantung yang biasanya untuk hiasan di pinggiran cucur atap. Jika mahu mengenal lebih lanjut tentang motif ukiran sila klik di sini



Di bahagian belakangnya pula terletaknya istana Damnah. Nama Damnah ini diambil dari nama sebuah kampung bernama Damnah dimana terletaknya istana ini. Menurut pembacaan aku di blog Sinar Harian makna Damnah adalah dua  perkataan harian Melayu lama  yang digabungkan. Dam bererti jauh dan Nah ertinya betul. Begitulah  anggapan orang terdahulu mengenai kedudukan perkampungan dan istana ini  jauh betul masuk ke dalam hutan. Cuma sekarang akses jalanraya sudah dibina hingga ke perkarangan istana.





Istana Damnah mempunyai lima balai utama ;
Balairong Seri - ruangan perbincangan antara Sultan dan pembesar
Balai Titah - tempat menerima mengadap diplomat asing dan rakyat jelata.
Balai Peraduan - tempat beradu Sultan dan Permaisuri
Balai Gambang - tempat pertemuan sulit Sultan melibatkan hal keselamatan negara
Balai Lintang - ruangan untuk menguruskan kematian kerabat di raja



Tak lengkap rasanya jika tidak mengabadikan potret di atas pelaminan.


Penuh di dinding ruang dalaman istana dengan ukiran.



Sedang kami leka meninjau ruangan dalam istana, entah siapa ternampak seekor ular menjalar di daun tingkap istana. Dengan pantas aku ke tempat ular itu berada, terus laraskan lensa dan..klik..klik..


Cantik warna badan ular ni. Adakah ular ini menjaga istana Damnah ini ? atau sekadar tumpang berteduh ?


Kami di Istana Damnah tidak lama, kerana hendak ke Jeti Sei Tenam sebelum lewat petang. Jarak ke Jeti Sei Tenam sejauh 30km.



Untuk melihat atau merakamkan pemandangan indah puncak Gunung Daik, disyorkan untuk pergi ke Kantor Bupati Lingga. Ketika kami melintasi kawasan itu kelihatan dari jauh puncak Daik dilitupi kabus tebal. Tiada rezeki.


Seterusnya motor terus memecut melalui jalan tarmac yang cantik dan bersih. Melintasi sebuah jambatan berhampiran dengan sebuah masjid, dan aku sempat memandang air sungai yang sedang mengalir. Sungainya tidak begitu besar, kalau nak bayangkan seperti sebuah parit. Subhanallah, jernihnya hingga nampak pasir di dasarnya. Luar biasa sekali, kerana sungai itu mengalir di celah-celah kediaman warga.


Sekilas pandang aku ternampak perkataan Kampung PAHANG, terus aku berpatah balik untuk merakamkan gambar. Ternyata memang benarlah sejarah tentang Kerajaan Melayu bermula di sini. Perhubungan masih tetap diteruskan antara Pahang -Lingga. Menurut sejarah, kampung ini dibuka oleh orang-orang yang datang dari Pahang. Terkilannya aku adalah, langsung tak dapat nak bersembang dengan penduduk untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang masyarakat di sini. Bagaimana lenggok  bahasanya, apa masakan aslinya, adakah sama seperti masakan orang Pahang. Uhf !


Tidak jauh dari Kampung Pahang, terletaknya pintu masuk pendakian ke Gunung Daik. Ketinggian gunung ini 1.165m dan puncaknya berupa tebing batu yang sukar didaki. Puncak itulah yang kita nampak bercabang dua dari jauh.


Selain dari Gunung Daik, ada lagi lokasi yang menarik untuk pendakian iaitu Bukit Permata dan Gunung Sepincan, berketinggian 1001 m


Laluan kami sudah jauh menuju ke utara. Sudah tiada kelihatan rumah- rumah warga. Hanya hutan di kira dan kanan. Aku tengok paras meter minyak masih banyak. Oke, lega. Cuaca agak baik, cerah dan nampak langit membiru dan awan berkepul-kepul. Jalan yang cantik membuatkan hati tercuit-cuit untuk meningkatkan kelajuan motorsikal. Dia punya selekoh pun boleh tahan menarik.




Terlintas di fikiran aku, kalaulah tiba-tiba tayar pancit, macamana eh ? Dah la jauh. rumah tak ada, bengkel motorsikal apatah lagi.


Aku layankan sahaja, pemandangan kiri, kanan dan hadapan. Tiba-tiba aku rasa tak selesa dan motorsikal seakan-akan membuang ketika mengambil selekoh. Haih apasal ni. Lama kelamaan makin kuat terasa.
Aku ambil keputusan untuk berhenti. Aku tengok tayar pancit.
Innalillahiwainnailaihirajiunnn..


Adoi ! Haa, itu lah. Fikir lagi hal yang negatif. Kan Alloh dah bagi. "Aku adalah apa yang kau fikirkan".
Di tengah jalanraya yang entah di mana. Kawan-kawan yang lain sudah jauh di hadapan. Matahari sedang tegak di atas pundak. Maka, marilah kita berhuhu bersama-sama.
" Angah ! cuba call dorang ". Aku cuba mencari solusi.
Malangnya tiada langsung 'signal ' talian komunikasi.
Ahh sudah ! What to do meh ?


Ketika kami sedang mencari-cari kawasan yang mempunyai 'signal,' melintaslah  sebuah van dan motorsikal. Kami  melambai tapi tiada siapa yang mahu berhenti. Krik ! krik!
Hrm. Apasal lah dorang ni tak mahu patah balik cari ? Sadis sungguh. Apalagi idea ni ? tak kan nak tunggu ja. Buang masa lah.


Plan Z yang aku boleh fikir adalah, 
Oke Angah, naik ja..aku bawa perlahan-lahan. 15 kmsj. Asal lalu selekoh ja, rasa tayar  membuang. Lenguh lengan aku nak seimbangkan 'handle' motor. Asal lalu selekoh ja, nampak jalan lurus, lepas jalan yang lurus jumpa bukit. Sampai puncak ingat nampak laut, tapi nampak bukit dan selekoh lagi..Adooooii ! bila nak sampaiiii ni ? Huwaaa... Aku rasa, jarak adalah dalam 5 km baru sampai kat tempat dorang lepak menunggu. 
Cis ! bolehnya dorang bersantai kat sini. Tak patut ! tak patut !


Nak dijadikan cerita, dorang ada tanya pada penunggang motor yang lalu,
" Nampak tak kawan kami di jalan tadi ?" 
Orang tu jawab ; "ada nampak tapi tengah mengambil gambar "
Aku : WHAT ??. bila masa lah kitaorang tengah ambil gambar. Itu tengah mencari signal lah !
Ingat tengah selfie ke ? adehhh.
Jeti dah tak jauh dalam 500 meter sahaja. Untuk meneruskan perjalanan, kakak aku naik motor dengan Maya. Aku teruskan hingga ke jeti.


Tiba di jeti, Maya meminta bantuan kawannya untuk memperbaiki tayar motor aku. Kami tinggalkan sahaja motorsikal di situ, dijamin selamat. Setelah menguruskan hal motorsikal, kami terus mencari tukang bot yang mahu membawa kami ke lokasi titik 0 Khatulistiwa.


Disebabkan amat jarang orang yang hendak ke sana, maka berlakulah sedikit tawar menawar ketika mahu menyewa sebuah bot. Dapat lah kami harga 100,000 rp (pergi/pulang). Boleh lah tu. Alang-alang dah sampai, kira on je la.


Kami mula menaiki bot pada jam 1 petang. Di tengah perjalanan awan kelihatan gelap, diseparuh perjalananan hujan tiba-tiba turun. Mujurlah pemandu bot ada kanvas buat penutup kepala.


Kedudukan tugu yang berada di hujung membuatkan tiada akses jalan darat. Memang perlu menaiki bot. Gigih betul aku mencari.





Tempoh perjalanan aku anggarkan dalam 15 - 20 minit dari Sei Tenam ke  lokasi.


Laluan masuk dia seperti dalam gambar ni. Turun bot memang kena redah air dahulu.


Kami sampai sahaja, tiba-tiba hujan turun lagi sekali dengan lebatnya. Kelam kabut berlari mencari tempat berteduh. Nak terus naik, laluan tangganya agak licin, maka terpaksa berteduh di wakaf pertama. Hujan lalu ja. Lepas tu cuaca bertukar cerah semula.


Dah lama tak mendaki , sesak dan semput juga lah dada ni. Phews !




Akhirnya, sampai juga kaki aku jejak ke sini. Sebelum ni memang tak pernah terfikir, dan tak pernah tahu pun garisan Khatulistiwa melintasi Pulau Lingga. Selepas membaca 'wikitravel' tentang Pulau Lingga, barulah sel-sel otak aku berkembang dan tercetuslah idea untuk mencarinya.




Sekitar 20 minit kami berada di atas menikmati pemandangan laut  dan pulau-pulau di perairan ini, selepas itu kami pun bergerak turun untuk pulang.


Sebelum menaiki bot, pemandu bot menunjukkan sebuah perigi air tawar yang berada betul- betul tepi gigi air. Walau pun hampir sangat dengan laut, tetap airnya tawar.





Sampai sahaja di jeti Sei Tenam, motorsikal belum siap dibaiki. Kami terpaksa menunggu kerana orang yang menolong tadi belum pulang dari pekan Daik. Jauh juga nak ke pekan Daik, 30km sehala. 


Sementara menunggu, kami semua masuk ke dalam kantin. Ada waktu terluang, aku lari sekejap mencari surau. Nak kata selesa tu, tidak lah. Kira boleh la, dari tak ada.


Hampir sejam menunggu akhirnya motorsikal pun siap. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Air terjun Resun sejauh 21km melalui jalan yang sama ketika kami datang tadi.


Lokasi yang menarik, dijaga kebersihannya. Mempunyai wakaf-wakaf untuk beristirehat. Cumanya cuaca ketika itu tidak membenarkan untuk kami berlama-lama. Apalagi nak bermandi manda. Haish.


Pada aku tempat ini kalau dapat bermalam sehari dua memang asyik. Tenang dan damai ja. Airnya pun bersih. Pasang khemah atau hammock pun dah kira  macam syurga. Servis internet pun laju kat tengah hutan ni. Apa nak lagi ?





Hujan turun lagi, kali ni cukup lebat. Masing-masing mengeluarkan makanan yang dibawa. Sementara menanti hujan reda, kami makan bekalan yang ada. Hari semakin petang. memang rasa sangat terkejar-kejar trip kali ini, kerana kami terpaksa mengikut jadual host kerana dia mesti menaiki  RORO ke Dabo jam 5 petang.


Perancangan awal, memang aku nak meredah mencari-cari sendiri. Ikut masa dan keselesaan sendiri. Memang tak terfikir pun ada yang sudi nak host. Bila sudah ikut rancangan orang ni, agak susah lah nak 'setting' semula ikut cara aku. Aku dah jadi 'blur'. Balik dari air terjun dah basah lencun kena hujan. Masuk hotel pun dengan baju basah. Hilang semua mood aku nak keluar semula ronda-ronda kampung. Akhirnya, tidur awal kerana esok pagi-pagi dah nak berlayar ke Pulau Singkep pula. 

Tempat-tempat yang aku tak dapat jejak sepenuhnya :
1. Masjid Sultan Mahmud Ria'yat Shah III
2. Makam Sultan Mahmud Ria'yat Shah III
3. Benteng Kuala Daik
4. Lubuk Papan
5. Benteng Bukit Cening
6. Pantai Pasir Panjang
7. Rumah Tekad Manto
8. Perkampungan Suku Laut
9. Bangsal sagu milik Sultan Sulaiman II 
10. Sekolah Arab berusia 150 tahun (SDN 001 Lingga)
11. Benteng Lekok, Desa Mepar
12. Benteng Bukit Cengkeh

Cukup itu sahaja yang aku senaraikan. Lagi aku baca, lagi aku korek, lagi banyak lokasi yang tersembunyi aku jumpa nanti. Dah bikin hati aku bertambah galau. 

Bersambung...

3 comments:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Apakah Anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ untuk info selengkapnya.
    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete
  2. Dari mana awak dapat info banyak2 pasal Pulau Lingga ni ? Camna boleh dapat geng 6 org satu kepala? Biasanya org sekarang travel tempat2 untuk posting gambar ke instagram je.

    ReplyDelete
  3. Info melalui pembacaan wikipedia, wikitravel, google map dan blog2 yang berkaitan dgn Lingga. Kajian dilakukan 1-2 bulan sebelum travel. Geng2 ni semua kenalan rakan pendakian gunung. Macamana satu kepala ? Sbb semuanya nya jenis " aku oke ja " Yang penting dorang dapat travel. Pi mana pun tak kesah.

    ReplyDelete