RIDE HALA TUJU KE HATI AWAK 0.2
14HB - 23 HB OGOS 2020
Assalamualaikum.
Lama tak menulis. Baiklah, mari membaca kisah kembara selama 10 hari menyelusuri kawasan tengah Semenanjung Malaysia.
Perjalanan bermula pada hari Jumaat 14hb Ogos 2020, aku berdua sahaja dengan sahabat kembara, Anje.
Setiap plan kembara biasanya aku lah yang menyusun jadual perjalanan dan mencari lokasi-lokasi menarik untuk diterjah serta mencari tempat bermalam. Akan tetapi jika ada cadangan lain yang lebih menarik, tiada masalah untuk merubahnya mengikut masa yang ada.
Jam 11 pagi tayar motor mula bergolek. Tujuan pertama adalah menuju ke Tasik Cermin Ipoh, Perak.
14082020
KLANG - TASIK CERMIN - PADANG RENGAS : 285km
Aku lebih suka mengikut laluan persekutuan, kalau boleh memang mengelak mengikut lebuhraya sebab aku rasa ianya lebih selamat dan mudah mendapatkan pertolongan jika berlaku sesuatu masalah yang datang secara tiba-tiba. Perjalanan agak lancar, cuaca sepanjang hari redup sahaja. Motor pun dipandu tidak lah laju, 60-80kmsj. Itu permintaan Anje. Aku ikut sahaja demi keselamatan kami berdua.
Setiap kali arah ke utara mesti 'main point' dia di Telok Intan. Kemudian baru memilih arah yang seterusnya samada laluan arah ke Lumut / Bota atau Kampar / Tapah. Setiap laluan mempunyai pemandangan yang menarik termasuk lah laluan arah ke Kampar. Sawah padi terbentang luas kemudian nun di hujung horizon kelihatan jajaran gunung ganang yang diselaputi kabus.
Lalu di simpang masuk Gua Tempurung berhenti sebentar untuk rakamkan gambar sahaja kerana sudah 2 kali masuk menjelajah. Kali ni rakam nama cukup lah.
6 jam kemudian baru sampai ke Tasik Cermin.
Sebelum ni nampak sahabat-sahabat motorsikal masuk hingga ke pintu masuk berbentuk terowong batu, siap bergambar dengan motor masing-masing. Bila tiba masa aku, nah sudah ada penjaga parkir. Sebuah kenderaan rm2 dan motor tak boleh melepasi hingga ke pintu masuk. Kena jalan kaki pula. Hrm. Uncle Cina tu kata, jangan risau motorsikal dia akan jaga, anjing pun ada juga kat situ. Hati aku risau gak, tapi tawakkal setelah mengunci tayar motor dengan rantai pengunci.
Begini lah pemandangan di persekitaran pintu masuk ke Tasik Cermin. Bukit-bukit batu kapur menjadi seperti tembok mengelilingi kawasan tersebut. Cantik.
Pintu masuknya berupa terowong sama macam terowong arang batu di Sungai Lembing. Laluan dalam terowong memang gelap, kena lebih berhati-hati memijak lantai terowong agar tidak tersandung batu dan terjatuh.
Sampai di hujung pintu terowong terlihatlah cahaya dan satu pemandangan yang cukup indah. WoW. Terasa damai dan tenang ja. Macam nak duduk dan tenung lama-lama pemandangan yang persis pemandangan di Tam Coc Vietnam, tapi disebabkan perjalanan untuk hari pertama belum berakhir, maka aku terpaksa melupakan hasrat untuk berlama-lama di situ.
Jam menunjukkan sudah pukul 5 petang. Aku ni jenis cepat cemas. Bimbang kemalaman untuk sampai ke tempat penginapan. Ada dua pilihan laluan, laluan persekutuan atau laluan lebuhraya. Ikut lebuhraya lagi dekat dan cepat, hanya 52 km sahaja sedangkan ikut laluan persekutuan 68 km memusing jauh sikit ikut Sungai Siput. Ok, lalu lebuhraya je la.
Untuk malam pertama kami tumpang bermalam di rumah Kak Manja. Rumah Kak Manja juga menjadi tempat bermalam ketika projek Ride Hala Tuju Ke Hati Awak tahun 2019. Kira dah biasa jugak lah.
15082020
LATA PERAHU - LATA KEKABU - SUMPITAN - AIR TERJUN TEBING TINGGI - BATU KURAU - PADANG RENGAS : 155km
Hari kedua Kak Manja ajak ronda-ronda, kononnya nak melawat ke ladang rusa di sebuah resort berdekatan dengan Lata Perahu, malangnya ianya ditutup semenjak kes Covid ni. Kami teruskan perjalanan hingga ke Lata Kekabu. Dulu aku dah sampai hingga ke simpang masuk, tapi sebab ketika tu dalam projek The Dot of Peninsular , aku kayuh basikal, maka aku tak kuasa nak masuk ke dalam turun naik bukit dengan tenaga aku yang hampir 0%, aku skip aja lah.
Ternyata rezeki aku untuk ke tempat ni sudah tertulis untuk tahun 2020.
Bila masuk ja simpang Lata Kekabu memang aku tersenyum, sebab teringat keputusan yang aku ambil dulu memang tepat. Walaupun laluan nya redup tapi berbukit naik turun naik turun. Itu yang aku paling lemah tu. Untuk kali ni seronok lah sebab pulas - pulas dah sampai.
Kami teruskan perjalanan hingga ke Sumpitan. Lokasi henti geng-geng kembara di Route A76 Lenggong menjadi pilihan aku. Pekena nasi goreng rusa, roti dan kuah kari rusa serta air limau asam boi, sebelum meneruskan perjalanan ke air terjun Tebing Tinggi. Sempat lah menampal sticker sendiri dia ruang papan sticker sebagai tanda sudah sampai.
Memasuki laluan A6 sangat mengujakan. Aku pula yang mengetuai perjalanan sebab Kak Manja tak tau apa yang aku nak tunjukkan pada dia. Jalannya cantik,redup dan macam ular kena palu. Memang kena bawa motorsikal dengan kelajuan 50-60kmsj. Nak laju-laju pun buat apa, kita nak menikmati pemandangan dan suasana nyaman udara dalam laluan hutan tu. Mana tau, untung-untung keluar beruang madu ke, gajah ke, rusa ke..haa mana lah tahu kann..Meminta sangat 😜.
Akhirnya sampai di jambatan di mana terletaknya air terjun Tebing Tinggi. Puas hati aku bila dah dapat sampai ke sini. Walau pun cantik begini tapi tidak ramai yang berminat nak mandi kerana laluan menuju ke air terjunnya agak curam dan bahaya. Tempat yang sunyi dan menyeramkan juga. Cukup sekadar rakam gambar sudah lah.
Hari kedua pun, aku bermalam di rumah kak Manja. Seronok lepak rumah dia ni sebab nanti dapat belajar cara masak sambil tolong-tolong apa yang patut, setidak-tidaknya dapat gak ilmu masakan. Dulu dia bekerja sebagai tukang masak, hingga sekarang dia memang suka memasak. Seawal jam 4 pagi dia dah bangun masak sarapan. Tak berhenti asyik masak ja, tak tahu letih. Kita yang tengok pula rasa penat. Kat dapur tu makanan sentiasa ada lagi-lagi laksa. Datang situ asyik disuruh makan ja. Mengah pulak kita asyik mengunyah aja. 😄. Alhamdulillah, syukur dipertemukan dengan orang yang baik-baik.
16082020
PADANG RENGAS - RIVERINE NATURE CAMP : 57km
Sebenarnya kalau ikut plan asal, hari ke 3 baru nak menjelajah sekitar Lenggong termasuk ke air terjun Tebing Tinggi. Tapi itu lah, bila ada host ni kita kena simpan plan kita bagi meraikan kesudian host membawa kita jalan-jalan. Makanya, perjalanan hari ke 3 cuma 57 km. Bermalam pula di Riverine Nature Camp pada hari Ahad. Sampai awal tak tahu nak kemana, ditambah dengan hujan. Alamatnya jadi cengkerik la kat tepi sungai. Lagi adventure, hanya kami berdua sahaja yang menginap di situ. Talian internet langsung tak de. Kau rasa ?
Bayaran untuk berkhemah di kem ini :
Caj faciliti untuk seorang : RM5 (tandas, air, letrik)
Satu tapak : RM15 (khemah sendiri)
Tapak + sewa khemah : RM35
Di sini juga ada pakej hidangan nasi dalam buluh dan pakej makan dalam sungai. Pakej-pakej ini kena buat tempahan terlebih dahulu. Selain dari itu ada banyak lagi produk ekotourism yang diuruskan oleh RNC. Keterangan lanjut boleh lah melawat ke laman : https://www.facebook.com/riverinenaturecamp .
17082020
RIVERINE NATURE CAMP - GERIK - PULAU BANDING - RNR AIR BANUN RIMBA : 102km
Sebelum tu kita kasi tepek sticker pengenalan diri dulu kat papan sticker yang disediakan.
Lokasi debu volkanik Toba di Bukit Sapi cuma 7 km dari RNC. Dalam video ni, Pak Li ada menerangkan hal-hal mengenai asal debu volkanik Toba.
Pendapat aku, sayang seribu kali sayang kerana tempt ini tidak dijaga dengan sepatutnya. Pihak bertanggungjawab kawasan Lenggong cuma menyediakan papan tanda dan pelantar kayu kemudian dibiarkan tanpa urus selia yang berterusan. Akibatnya, pelantar kayu sudah roboh ditutupi rumput dan bersemak, tak nampak seperti warisan bersejarah yang harus dipertahankan.
Di sini aku ada rekod gambar dari google map waktu pelantar pejalan kaki masih baru. Tengok lah perbezaannya. Aku tinggalkan kisah debu volkanik Toba di sini. Doa aku agar ada perubahan di masa hadapan.
Puas merakamkan gambar untuk kenangan, kami pun bergerak keluar dan mengucapkan Terima Kasih dan Selamat Tinggal kepada Pak Li.
Setelah menunggang motor sejauh 25 km, aku berhenti di Tugu Peringatan Lebuhraya Timur Barat. Seingat aku tahun 2013 ada 2 wakaf kayu dibina untuk dijadikan tempat berehat para pemandu yang melalui jalan tersebut, tapi tahun 2015 aku lalu lagi tengok telah dimusnahkan oleh gajah. Kini hanya tugu batu sahaja yang kekal berdiri di situ.
Sebenarnya bukan nak cerita pasal batu, tapi nak tunjuk sesuatu tempat berehat sambil mandi manda yang tak ramai yang singgah. Di sebelah tugu ada satu jalan menuju ke tepi sungai. Airnya agak deras juga dan ada air terjun kecil. Cantik tempat tu, cuma suasana dia agak seram sikit la pada aku. Dulu terfikir juga nak cuba bermalam kat situ, tapi tak ada kawan yang berani ikut serta. Ada juga yang pesan kat situ memang tempat laluan gajah, terus padam hasrat aku tu. Hehehe. Jumpa jauh-jauh aku berani la, kalau gajah dah berdiri depan khemah, nak lari mana pulak. Ye tak ?
Kawasan ni cantik, tapi masih lagi mentaliti rakyat kita yang pengotor. Segala sampah dan pampers anak diletak ja kat pangkal pokok tepi sungai tu. Tak boleh ke bawa keluar hingga jumpa tempat pembuangan sampah di rnr ? Lecce.
Berhenti di situ tak lama, selesai merakam gambar dan video kami pun meneruskan perjalanan melintasi jambatan 1 dan 2 tasik Temenggor. Kelihatan tasik Temenggor dan pulau Banding cantik seperti dahulu. Yang banyak perubahan adalah di bahagian jeti bot. Lebih tersusun dan moden. Wakaf tempat aku tumpang bermalam pun dah tak ada.
Motorsikal terus meluncur dengan perlahan sejauh 31km hingga berjumpa kawasan rehat Air Banun Rimba. Tempat kegemaran aku bila melalui jalan ni. Lauk-lauk kat sini semua sedap.
Kali ini baru berpeluang untuk bersembang dengan pemilik kedai makan tersebut. Pada awalnya memang aku fikir pakcik ni penduduk tempatan yang datang membuka kedai makan di tengah-tengah hutan belantara. Sikit demi sedikit baru la kisahnya tersingkap.
Pakcik ni bernama Yusuf. Dia bahasakan dirinya Pak Usop dan dia mudah dikenali dengan panggilan Usop Musang. Seorang bekas tentera berpangkat Mejar, kini sudah bersara dan yang masih hidup. Berasal dari Melaka dan kini menetap di belakang kedai makan Air Banun selama 16 tahun. Dia baru mendapat geran pemilikan tanah yang dia tinggal sekarang tu sebanyak 22 ekar (jika tak silap dengar dia bercerita la).
Penampilannya simple, tapi jangan cuba-cuba nak tunjuk kerek. Kalau kau speaking, dia pun akan balas dengan speaking London. Mempunyai kilang herba sendiri, ubat herba yang dia jual di situ adalah dari pengeluaran kilang dia lah. Jadi tak hairan lah kereta Merc menjalar di halaman kedai. Menurut Pak Usop, dia telah mendapat kebenaran untuk menjual air rebusan ketum dan herba-herba yang lain. Kalau siapa yang singgah boleh cuba. Periuk tanah berisi air rebusan ada saja atas meja .
Dulu di belakang kedai makan ada mini zoo menempatkan beberapa ekor haiwan liar, tapi sebab dapat saman dari pihak Perhilitan, haiwan tu telah dirampas. Kawasan rehat ni memang menarik sebab ada disediakan surau dan tandas. Air pula datang dari bukit di belakang kedai yang mengalir dengan banyaknya. Sejuk dan segar.
Ada beberapa buah kabin yang disediakan Pak Usop, untuk mereka yang hendak menumpang rehat terutama pada pemandu lori jarak jauh. Begitu juga kisah aku pada hari tersebut. Aku tiba dalam jam 11 pagi dan memang bercadang nak makan tengahari di situ. Sambil makan sambil bersembang dengan Pak Usop ni. Terkeluarlah cerita pasal gajah. Dia kata, gajah selalu lalu di belakang kabin untuk mencari makan. Kadang-kadang beruang madu pun datang minta makan di dapur. Aku bagitau yang aku nak sangat tengok gajah liar depan mata. Terus Pak Usop cakap, kalau nak tengok kena tidur di sini satu malam lalu dia menghulurkan kunci kabin. Nah ambik, Pakcik bagi duduk percuma.
Aku dan Anje saling berbalas pandangan. Pelawaan menarik, jarang-jarang nak dapat peluang macam ni. Mujur la Anje pun kepala gila macam aku sukakan 'adventure'. Anje cakap, "boleh kot, kita bukan ada kerja pun nak balik awal". Apalagi, terus aku ambik kunci kabin dan masukkan ke dalam beg. Lepas tu baru nak fikir benda lain.
Letrik takde, talian internet pun tak de. Dang ! Camana nak buat ni, sebab dah janji dengan abang kawasan Che Siti Wan Kembang akan berjumpa awal pagi di daerah sana. Jenuh la keluar cari talian internet sepanjang 16 km menuju ke Hentian Titiwangsa untuk menyampaikan pesanan. U-Mobile is dead !
Hrm. Kami patah balik ke kabin Air Banun, parkir motor di belakang surau dan kunci siap-siap. Bila buka pintu kabin, kelihatan ada satu katil, kerusi dan meja kecil. Tiada plug, suis mahupun kipas. Apada hal. Aku gantung hamok ja, Anje boleh tidur atas katil tu. Tengah hutan sejuk, tak payah kipas. Lampu pun aku ada bawa. Petang tu kami cuma bersantai-santai, mandi air bukit yang sejuk dan solat dengan tenang. Hampir maghrib Pak Usop mempelawa kami ikut dia meraikan hari jadinya di Gerik. Sebenarnya Pak Usop pun bimbang juga nak tinggalkan kami kat situ jadi dia bawak kami pergi sekali. Nanti balik mesti jumpa gajah katanya. Workey, we will follow.
Di Gerik , kami berhenti dulu di pekan untuk membeli kek harijadi dan kemudian terus pergi ke rumah adik iparnya di taman berdekatan. Malam tu dapatlah makan laksa, kek dan menghantar infomasi perjalanan aku kepada abang kawasan CSWK. Alhamdulillah. Sekitar jam 10 -11 malam kami pun bergerak pulang ke kabin Air Banun. Mata aku memang dah berat sangat. Kejap-kejap terlelap, tiba- tiba Pak Usop cakap " Haa, tu dia. cepat rakam. Terus celik mata aku mencari kat mana gajah.
Dalam gelap pekat malam, nampak juga lah kelibat gajah yang sedang berdiri di tepi jalanraya. Tak cukup dengan sekali, Pak Usop buat 3 pusing untuk kami betul-betul dapat rakamkan gambar. Kali ke 3 lah yang bikin panas sebab lori yang lalu sebelah kami bunyikan hon betul-betul sebelah gajah tu. Memang nak pedajal kami ka. Walau bagaimana pun syukur Alhamdulillah hasrat nak tengok gajah liar dengan mata yang bogel tercapai.
Malam tu kami tidur dalam kesamaran lampu yang diberikan Pak Usop. Pesannya, kalau ada orang ketuk-ketuk jangan buka. Yelah situ kan tempat terbuka banyak lori-lori balak dan lori kontena berhenti rehat. Dia bimbang.
18082020
AIR BANUN - GUNUNG RENG - KG KALAI - JELI - TANAH MERAH - TEMANGAN - KUALA KRAI : 187km
Ketika kami mula gerak keluar cuaca kelihatan cantik dan nyaman. Kabus tebal masih menyelubungi, rasa seronok bila motorsikal dengan perlahan membelah kabus. Fuh, indahnya hidup. Pulas pemicu minyak dengan kelajuan sederhana, sambil mata melilau kiri dan kanan memerhatikan kot-kot ada rezeki lagi nampak kelibat gajah keluar mencari sarapan pagi.
Kali ni masuk hingga pintu gua pula. Rupa-rupanya sudah berubah wajah. Lanskap yang menarik dengan papan nama tempat yang berwarna warni pasti menarik minat para pelancong. Aku mencari-cari wakaf kayu yang pernah menjadi tempat tidur aku, ketika projek kayuhan DOP 2015. Hrm dah bertukar kepada wakaf batu.
Motorsikal kami parkir bertentangan dengan pintu masuk gua. Kami tinggalkan sekejap sebab nak masuk dan meneroka apa lagi perubahan yang telah dilakukan. Di dalam gua Reng sememangnya cantik. Terutama di bahagian atas, kalau kita mendongak, akan kelihatan kubah-kubah berbentuk bulat yang sangat menarik. Ada tangga yang membawa hingga ke platfom atas dan ada lagi laluan hingga ke puncak barangkali. Aku malas nak mendaki, naik separuh kemudian turun semula. Risau pulak tinggalkan motorsikal lama-lama.
Sebelum bergerak keluar aku saja ambil kesempatan bertanya kepada pakcik RELA tentang pos sempadan Malaysia/Thailand. Katanya laluannya ke Kampung Kalai. Saja ja tanya untuk pastikan jalan yang aku ambil nanti betul. Dengan penuh semangat aku mulakan pencarian mengikut petunjuk dari google maps sampai lah ke simpang masuk yang ada tulis Kg Kalai. Jarak dari simpang ke pos tentera sejauh 5 km.
Sampai ke hujung aku pergi, dan ternyata jalannya ada palang. Di balik palang itu adalah pos tentera. Alamak. Aku kalau unit beruniform ni aku memang lemah. Automatik akan gelabah. Padahal bukan buat salah pun, tapi itu lah..sifat semulajadi. Dengan perasaan cemas aku mintak Anje rakam ja gambar aku di depan palang tu. Kemudian kami pun patah balik. Dalam perjalanan keluar aku bermonoloq, eh ! kenapa aku tak mintak izin nak masuk tengok. Kenapa tak luahkan hasrat, dapat atau tidak itu belakang cerita. Yang penting usaha dulu. Adoi la.
Dah kenapa otak aku tak berfungsi sangat. Akhirnya, bila tengok geng motor yang lain post gambar batu sempadan tu pada minggu yang sama aku pergi, baru menyesal. Dia kata memang kena jumpa askar yang jaga kat pos kawalan, bagitau tujuan. Dapat lah masuk tapi dengan syarat hanya rakam batu sempadan sahaja. Lepas tu keluar. Dan aku was like ðŸ˜.
Gambar yang aku letak ni, aku ambil dari geng motor yang bertuah itu sebagai rujukan. Tak pe, bila border dah buka aku nak cuba masuk ikut Thailand pulak. Keh keh keh.
Rupanya di sempadan ni ada saja penduduk yang keluar masuk sebab kebun getah mereka banyak di tanam di kawasan ni.
Ada satu ketika sedang asyik melayan perasaan ada seekor kucing sedang melintas. Pada mulanya aku tengok biasa saja, tapi bila dah begitu hampir, baru nampak tompok-tompok hitam di badannya yang menandakan ianya bukan kucing biasa tapi kucing batu. Ingatkan nak rakam, tapi tak sempat sebab mungkin dia pun terkejut lalu terus melompat masuk ke dalan semak. Aku tepekkan jugak gambar kucing yang diambil dari google untuk rujukan juga.
Jalan punya jalan dah sampai Sungai Mekong. Tak perlu cop passport pun. Mesti ada cerita di sebalik namanya kan ?
Lokasi seterusnya adalah mencari Lalang's Chalet & Campsite. Di tepi-tepi jalan ramai peniaga durian. Mula lah tergoda dengan lambakan durian yang dijual di tepi jalan. Aku tanya Anje nak makan durian tak ? Dia jawab nak. Apalagi pusing balik cari kedai yang nampak meriah sikit. Durian sebagai alasan ja, sebenarnya nak tumpang caj talipon. Pada hari itu kami berpeluang merasa durian dari Kelantan pula. Menurut kakak yang menjual, musim durian di bahagian Kelantan baru bermula. Kami pun cubalah, harapan tinggi pada rasanya. Ternyata durian kampung semua isinya nipis, dan setiap ulasnya mesti nampak biji. Harga yang dia letak untuk durian kampung RM10 sekilo.
Lalang's Chalet & Campsite dah jumpa. Cantik juga tempat ni, nampak begitu esklusif dengan reka bentuknya. Cadang memang nak bermalam di sini sebab ada tapak perkhemahan, tapi bila tengok jam baru nak cecah 12 tengah hari. Macam rugi masa saja sebab tiba awal. Aku susun semula jadual perjalanan untuk berhenti setakat mana yang mampu sampai, sebelum jam 5 petang.
Lokasi seterusnya mencari Karat England Cafe. Ini semua permintaan Anje. Aku cuba tunaikan mencari sampai jumpa. Baru sahaja dibuka dan terletak di Tanah Merah. Apa yang membuatkan kafe ni jadi menarik adalah hiasan dalamannya penuh dengan barang-barang antik dan klasik. Semua barangannya adalah yang asli dari England. Masa aku datang sajian menu nya cuma untuk sarapan pagi sahaja. Aku datang pun dah lewat jadi juadahnya semua dah habis. Untuk menampung rasa lapar kami berdua memesan air minuman saja lah. Yang menariknya, pada waktu yang sama dapat bertemu dan berbual dengan pemilik kafe itu sendiri. Dapatlah bersembang serba sedikit mengenai barang-barang yang dipamirkan dalam cafe tersebut.
Kepada peminat-peminat barangan klasik dan vintaj, boleh la datang ke kafe ini sambil mencuci mata dengan keunikan barang-barang zaman dahulu. Yang terlibat dengan pengurusan hartanah juga pun boleh datang kerana pemilik kafe ini juga mempunyai bisnes berkaitan dengan hartanah.
Di sini juga lah aku membuat janji temu dengan abang kawasan CSWK, sebab dia yang sudi menunjukkan jalan ke jeti feri Pasir Kelang. Sebelum gerak, kami nak bayar harga air yang kami minum, tapi pembantu kafe kata bos belanja. Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak semoga perniagaan terus bertambah maju dan mahsyur. Insya allah, aminn.
Jarak untuk ke pengkalan feri sejauh 31 km dari bandar Tanah Merah. Sepanjang laluan menghala ke Temangan banyak pula penjual durian. Abang kawasan tiba-tiba memberhentikan 4x4nya. Singgah beli durian rupanya. Penjual durian terdiri dari keluarga berbangsa Cina tapi loghat percakapannya slang Melayu Kelantan. Langsung tak pelat. Kagum sekejap.
Melintasi laluan keretapi di Temangan, seterusnya menyelusuri di tepi sungai Kelantan yang redup. Tiba-tiba macam dah sampai di Chiang Rai pula lah. Nampak macam feri yang mengangkut kenderaan menyeberang sungai Mekong sedang menunggu. Acah-acah berangan nak ke Laos.
Rupa-rupanya di sini masih menggunakan khidmat feri/bot tambang dan perkhidmtan feri ini dibawah kawal selia Koperasi Pasir Kelang Berhad. Ada pondok tiket masuk dan keluar. Harga untuk seorang RM1, kereta RM5 dan motor RM1 untuk perjalanan sehala. Menurut Abang kawasan, di daerah Kuala Krai ni ada 3 perkhidmatan rentas sungai untuk kemudahan penduduk di seberang sungai Kelantan pergi ke pekan Tanah Merah dan Kuala Krai. Yang ini salah satu perkhidmatan rentas sungai yang aku ceritakan tadi. Feri ni beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam. Mampu memuatkan 6 buah kereta dan 20 buah motorsikal.
Penduduk di kampung seberang yang dipisahkan oleh sungai Kelantan memang bergantung sepenuhnya pada perkhidmatan feri kerana kebanyakan mereka terdiri dari pekebun, penoreh getah, guru, pelajar sekolah dan kakitangan klinik yang sering berulang alik ke pekan berhampiran. Feri ni beroperasi sejak tahun 2013. Setelah tujuh tahun baru aku tahu.
Teruja sungguh dapat peluang naik feri yang 'rare' ni. Sampai di seberang, satu persatu kereta dan motor naik ke darat kemudian baru bayar di pondok tiket. Di pondok tiket pula sudah menunggu beberapa buah kenderaan yang mahu menaiki feri. Begitu lah keadaannya setiap hari.
Setelah membayar harga tiket kami pun terus mengikut jalan kecil di pesisir sungai hingga ke satu lagi pengkalan bot tambang. Yang ini hanya untuk motor dan orang. Pengkalan jeti ni dipanggil jeti Pasir Kelang Lama.
Ada lagi pengkalan jeti tapi kena tempuh laluan tanah merah. Pengkalan tu betul-betul hampir dengan pekan Kuala Krai. Boleh naik ikut Tangga Krai. Yang itu jenis bot panjang. Siapa yang nak mengimbau kenangan zaman dulu-dulu boleh lah mencubanya jika datang ke Kuala Krai.
Kami menaiki feri semula untuk ke Kuala Krai. Azan sudah berkumandang menandakan sudah masuk waktu Asar, kami berhenti solat di masjid berdekatan sebelum meneruskan perjalanan mencari tempat penginapan untuk hari ke 5.
Damar Inn menjadi pilihan aku sebab harga murah rm60 satu malam. Kedudukan bilik dan tempat parkir motor pun hanya depan pintu sahaja. Bila dah 'check -in', kemas bag masuk dalam bilik dan kunci motor, aku dan Anje pun berpindah menaiki pacuan empat roda abang kawasan. Kali ni nak pergi cari Lata Berangin.
DAMAR INN - LATA BERANGIN - LATA REK : 75KM
Dari hotel ke Lata Berangin sejauh 28km, tapi 3 km nak sampai lokasi air terjun, jalannya sangat mencabar. Hanya pacuan 4 roda dan yang hati kering ja boleh lalu. Mujurlah aku tak pegi cari naik motor, kalau tak sia-sia ja jatuh tergolek akibat curam dan tanah merah.
Pemandangan nya subhanallah. Cantik ! Ketika tu keadaan cuaca pun mendung nak hujan, sempat lah jugak makan durian yang dibeli tadi. Kemudian cepat-cepat kemas dan mula beredar.
Melalui jalan yang sama sejauh 17 km ada lagi satu tempat menarik yang dipanggil Lata Rek. Kami sampai pun dah maghrib, hujan pulak tu. Jadi turun sekejap untuk rakam suasana di waktu malam saja. Kemudian patah balik ke Kuala Krai melalui jalan persekutuan bernombor 8 sejauh 30 km untuk kembali ke Damar Inn. Aktiviti berakhir setakat malam itu, kami pun bersurai dan mengucapkan terima kasih kerana abang kawasan sekali lagi sudi menjadi host selama kami berada di Kelantan.
19082020
DAMAR INN - LATA REK - GUA MUSANG - FELDA ARING - TASIK KENYIR - KUALA BERANG : 294KM
Sudah masuk hari ke 6. Perjalanan hari ni agak jauh juga, tapi aku cuba nak buat secara santai dan tidak terkejar-kejar. Padahal dalam hati masih ada rasa cuak sebab untuk laluan hari ni perlu merentasi Felda Aring menuju ke Tasik Kenyir. Dia punya undang-undang sama macam merentasi laluan 4 Banjaran Titiwangsa." Jangan sampai lewat petang. Malam adalah bahaya."
Hari ni juga aku banyak bermonolog dalam diri kerana laluannya membuatkan aku mengimbau kembali perjalanan kayuhan berbasikal secara solo Dot Of Peninsular 2015.
Biasanya aku akan memulakan perjalanan di awal pagi sekitar jam 7 pagi. Tapi dalam projek kali ni aku cuba nak lewat-lewatkan. Hampir jam 9 pagi baru tayar golek. Sumpah tak best sebab cuaca dah agak panas 😅.
Sebab semalam tak dapat tengok pemandangan jelas Lata Rek, maka pagi ni aku singgah dahulu di situ.
Dari Lata Rek terus ke Gua Musang, 89 km. Naik motor ni aku rasa jauh sangat. Naik bukit, turun bukit yang tak terkira. Sampai aku terfikir ; "bukan ini ke jalan yang aku kayuh basikal dulu?". Gila bapak mental, tapi kenapa masa dulu aku kayuh rasa macam rata ja. Rasanya aku tak de tolak basikal kat laluan ni. Kenapa bila dengan motor aku rasa macam bukit ni tinggi ? Berkerut dahi aku memikirkannya. Motor terus ku pandu melalui jalan bernombor 8. Aku cuba mengingat masjid yang pernah aku tumpang bermalam di Paloh 2. Nostalgia betul.
Mengingat kembali waktu tu terasa sedih pun ada, sendirian menghadap rasa cemas, bila malam hampir menjelma tapi belum nampak tempat berlindung. Dalam blog aku tak cerita, pasal minta tumpang di kedai pun orang tak bagi. Uhf, rasa tercekik tengkorok ni menahan tangis. Itulah perancangan Allah, dia bagi kita rasa takut dan cemas supaya kita bergantung harap pada DIA je tanpa sedar kaki mengayuh menuju ke rumahNYA. Di situ layanan yang aku dapat sungguh tak tersangka.
Sebenarnya apa yang aku nak cari di Gua Musang ? Sampai sanggup berpatah balik 43 km untuk ke simpang Felda Aring ?
Ni ha nak cari Masjid Buluh dan Masjid Razaleigh yang ala-ala di Mekah tu.
Masjid Razaleigh pula masih dalam pembinaan. Cuma dapat berlegar-legar dari luar sahaja. Nak masuk macam takut ja sebab ada helikopter asyik berlegar-legar di atas . Aku jadi cuak pulak kot-kot dikatakan menceroboh.
Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang, aku masih di Gua Musang berhenti makan di Secret Recipe. Kau rasa ? bukan main mewah lagi ya makan tu. Ala, makan kek ja buat alas perut sebelum masuk Felda Aring.
Ok, 43 km nak kena hadap di jalan yang sama dengan cuaca yang panas terik tapi pemandangan batu-batu kapur di kanan jalan sungguh mempersonakan. Nampak tumbuhan putih di celah-celah batu kapur berwarna hitam. Walawei lawa lah. Pakkal lah tengah atas jalan. Rasanya nak saja berhenti dan rakam.
Jeng..jeng..jeng..sudah sampai di simpang Felda Aring. Mengamit memori lagi ! Kayuhan DOP dan kayuhan mencari gajah. Laluan Felda Aring ni memang mencabar, lagi-lagi kalau tengok laluan belakang naga dia memang boleh mendongak terutama di Felda Aring 6. Yang tu paling tinggi. Selebihnya macam laluan di felda-felda yang lain, bukit sesaja.
Seterusnya 9 km lagi untuk ke sempadan Kelantan/Terengganu di mana terletaknya sebuah pokok comel macam cendawan. Alhamdulillah ia masih kukuh berdiri di atas batu sana.
Aku sasarkan dapat keluar dari laluan ni sebelum jam 5 petang. Cuaca pun nampak mendung dan kemudiannya hujan. Terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikal kerana jalanraya nya banyak yang rosak, berlubang dan bertampal-tampal. Memang bawa tak laju, saja lah kot-kot dapat jumpa gajah lagi sepanjang 66 km sebelum sampai ke Pengkalan Gawi Tasik Kenyir.
Perlahan-lahan pulas pemicu minyak sambil melayan angin cuit-cuit pipi, mata menjeling kiri dan kanan hutan, masih mengharap.
Tiba di satu air terjun di tepi jalan aku saja berhenti sebab nak bagi Anje tengok dan rakam gambar di situ. Tak sangka pulak namanya Air Terjun Juwita. Sejak bila letak nama di google map ?
Keputusan segera perlu dibuat dan aku memilih untuk bermalam di Kuala Berang sahaja.
WARISAN PAHLAWAN RESORT
Sebelum datang aku dah bertanyakan tentang harga bilik. Bila dapat tahu harga bilik paling murah adalah rm60, aku terus bersetuju nak menginap, apalagi terus lah buat tempahan. Tempat cantik harga mampu bayar, nak apa lagi. Kasi ON je la.
Aku berpeluang untuk bertemu dan bertanyakan beberapa persoalan dari minda aku kepada pemiliknya.
Namanya Tun Ahmad bin Tun Abdullah. Mula membina tahun 2006, ketika awal dulu hanya sebuah rumah tradisional sahaja dibina secara berperingkat. Kini dah hampir 12 rekabentuk rumah tradisional Terengganu yang dibina tanpa mengunakan paku. Hanya dengan teknik pasak. Keseluruhan rumah ini menggunakan kayu cengal dari Terengganu. Memiliki bengkel membuat perabut sendiri.
Disyorkan untuk datang menginap bagi yang nak merasa suasana rumah tradisional kerana setiap rekabentuk rumahnya berbeza-beza dan unik. Lagi pula tempatnya mesra keluarga, terutama yang ada anak-anak kecil dan harganya pun mampu bayar. Bermula dari rm60 - rm500, memang puashati.
20082020
WPR - KUALA BERANG - KAMPUNG JAMBU BONGKOK 72km
Hari ke 7 memang tak ada plan nak ke mana-mana melainkan nak terus ke Kampung Jambu Bongkok.
Jarak pun cuma 72 km, ala dekat sangat. Dapat cadangan dari Cikgu Besor @ abang kawasan Trengganu untuk pergi melawat ke Pusat Konservasi Tuntung tak jauh dari resort ni, hanya 5 km sahaja. Rasanya boleh kot untuk menambah pengetahuan.
Tak jauh dari warung roti binjai, terletaknya tapak asal batu bersurat Terengganu ketika dijumpai. Batu bersurat yang asli telah berpindah ke muzium, di sini cuma memorial saja. Hasrat hati nak lah masuk untuk membaca kisahnya, tapi tidak mendapat kebenaran dari penjaga di situ. Hrm, nak tengok batu je kot, itu pun tak bagi.
Amat malang bila mana aku nak menggunakan tandas awamnya, kelihatan sungguh sadis. Rosak teruk dan tidak berjaga. Tengok macam rumah hantu ja. Arhh sayang seribu kali sayang. Apa nak dikata.
Perjalanan untuk hari ke 7 sudah sampai ke lokasi henti, Kampung Jambu Bongkok.
Dah banyak kali aku lalu di kawasan Jambu Bongkok ni, tapi tak pernah tahu kampung ni rupanya kena masuk ke dalam hingga ke tepi pantai. Nah kali ni, aku sampai juga. Telah viral mengenai kampung ni dek kerana pemandangan deretan pokok kelapa yang tersusun sepanjang jalan. Lagipula sejak terbinanya pondok dan buaian kayu di tepi pantai menambahkan lagi kemahsyuran dan keterujaan para pelancong untuk datang ke kampung ini. Semua ini adalah hasil gotong royong pemuda- pemuda kampung Jambu Bongkok untuk memperkenalkan kampung mereka kepada mata ramai orang.
Dalam gambar yang dirakam memang nampak menarik, bila dah ada di lapangan macam biasa ja tak ada la cantik mana. Sebenarnya teknik mencari sudut itu lah yang menjadikan sesuatu gambar itu menjadi WOW.
Aku berhenti di sebuah warung. Di belakang warung terdapat sebuah wakaf yang menghadap pantai dan laut. Aku bercadang untuk bermalam saja di wakat tersebut dan Anje pun bersetuju. Jadi aku memberanikan diri untuk meminta izin pemiliknya agar membenarkan kami tumpang bermalam di situ. Keizinan diberikan. Yahoo.
Malam hampir menjelma. Hammock berkelambu sudah siap aku gantung. Usai solat Isyak , kami pun mula belayar.
21082020
KJB - KEMASIK - CHERATING - BALOK : 134 km
Seawal jam 4 pagi aku mendengar pemilik warung mula memasak. Tercium bau gulai nasi dagang. Aku dah tersenyum sebab Akak tu sudi menunaikan kehendak aku untuk merasa masakan nasi dagangnya. Ini semua pasal anak-anaknya lah yang bercerita pasal makanan tradisi di kampung Jambu Bongkok. Rata-rata penduduk kampung ni bersarapan dengan nasi minyak dan nasi lemak. Nasi dagang dimasak bila ada perayaan atau sesuatu yang istimewa. Kira masakan 'rare' la ni. Dah sah-sah lah sedap. Pasal tu lah aku buat permintaan.
Jam 8 pagi kami dah siap berkemas, menunggu masa nak bergerak ke destinasi lain pula. Terdengar laungan mengajak kami bersarapan di warung. Apalagi, dengan pantas kami datang. Alahai sedapnya bau nasi dagang ni. Bila dah masuk ke tekak uiii, enaknya sebab masak dengan penuh kaseh sayang.
Bukan itu saja, pau goreng pun kakak ni jual selain goreng pisang. Pau goreng ramai yang pernah makan, tapi kalau pau goreng inti serunding ikan pernah rasa ? Haa..Laku keras kat warung ni setiap pagi.
Selain dari itu, kat sini pun ada ada laksa. Pada aku, memang tak pernah dengar laksa Terengganu. Inilah pertama kali aku dengar. Dan ianya dihasilkan secara tradisional di kampung ini sahaja. Mungkin ada lagi di tempat lain, tapi rasanya takkan sama lagi-lagi pada kuahnya.
Mendengarkan tentang laksa gandum , aku terus teruja nak tahu dengan lebih lanjut. Habis ja makan, anak kakak tu pun menunjukkan rumah pembuat laksa gandum. Dapat lah tengok cara pembuatannya.
Sebenarnya penduduk kampung Jambu Bongkok di bahagian pantai ni semuanya adalah bersaudara. Semua nya ada kaitan antara satu sama lain. Yang buat laksa gandum pun saudara mara juga.
Bila dah tengok proses pembuatannya, dipelawa pula untuk rasa laksa gandum. Daripada beria-ria nak mulakan perjalanan, terpaksa tangguh hingga ke jam 12 tengahari. Ini semua laksa punya pasal.
Menurut kakak tu, rebus laksa ni guna dapur kayu lebih sedap. Kalau guna dapur gas, laksanya akan mudah putus-putus.
Laksa Terengganu ni ada dua jenis kuah. Satu kuah merah, pada aku rasanya macam gulai kari. Satu lagi kuah putih seperti kuah laksam. Menurut tekak aku, kuah putih lagi sedap, rasanya macam sos spegetti cabonara.
Inilah keistimewaan Kampung Jambu Bongkok yang sebenarnya. Kalau siapa ke Marang, cubalah singgah dan cari makanan yang aku ceritakan ni. Laksa dijual pada setiap hari kecuali hari Khamis. Bermula dari jam 3 petang hingga habis. Mesti CUBA !
"Akak kira kak, berapa harganya ?"
"Apa pulak nak bayar-bayar, tak payah, , akak belanja". Tercengang kami.
Nasi dagang tadi pun percuma. Masa aku nak bayar harga nasi dan pau goreng, kakak tu cakap dah ada orang bayarkan. Malu aihhh, dah la bagi tumpang tidur, tumpang caj talipon, makan sarapan pun diberi percuma. Ini lah budi baik yang susah aku nak balas. Hanya cara bercerita inilah yang boleh aku bantu , mudah-mudahan mereka yang membaca blog ni terbuka hati nak datang ke kampung Jambu Bongkok untuk mencari menu 'rare' yang aku khabarkan ini. Semoga kampung JB menjadi maju dan terkenal.
Dah dah jom gerak. Lama-lama kat sini berubah fikiran lagi kang. Langsung tambah lagi satu malam.
Melintasi lokasi yang dah biasa aku singgah, Hutan Simpan Paya Gelam,
Rantau Abang,
Kuala Abang, Pantai Kemasik, Pantai Chendor dan Pantai Cherating semuanya penuh dengan pengunjung. Sambil jalan-jalan tu cuba gak cari tempat untuk bermalam. Malangnya, full house.
Bagus lah pengurusan Pantai Balok, tandas pun banyak dan bersih. Surau pun dekat. Kira selesa jugak lah. Sampai guard yang bertugas kat kaunter pendaftaran tu beri izin, nanti kalau hujan nak tidur dalam surau pun boleh. Memang betul, malam tu hujan lebat. Aku yang lebih selesa tidur di hammock lari masuk dalam khemah. Selesai cerita hari ke 8.
22082020
PANTAI BALOK - KUANTAN - TITIK TENGAH SEMENANJUNG - PUSAT KONSERVASI KUALA GANDAH : 182 km
Aku bercadang nak singgah di Kula Cakes, dah lama teringin nak makan kek cheese mangga yang terkenal tu. Bila datang ja beratur, datang ja beratur. Kali ni datang pun nampak dari jauh ramai orang beratur panjang. Malas betul la nak menunggu lama-lama. Perjalanan pun masih jauh lagi. Akhirnya aku terpaksa lupakan saja kempunan aku tu.
Motorsikal terus aku lajakkan ke Temerloh, lokasi Titik Tengah Semenanjung. Bila sampai, kenderaan pula tak boleh masuk ke dalam, semua kena letak di luar. Harga tiket rm5 seorang. Hrm.
Ambik gambar dari luar pun cukup lah. Bukan soal harga tiket, tapi sebab nak tinggal motor dan barang-barang kat luar tu yang aku tak kuat 😎 .
Lokasi seterusnya, jom tengok gajah.
Kali terakhir aku datang ke sini 15 tahun yang lalu. Pusat Konservasi Gajah ni banyak dah berubah. Gajah-gajah pun hanya tinggal beberapa ekor sahaja. Kebanyakkan ada yang masih kecil dan memerlukan penjagaan khas. Mungkin gajah yang dewasa sudah dilepaskan.
Geram pula aku tengok anak gajah ni, kemain cerdik. Bila tunjuk tebu baru nak pandang kita. Bila kita nak pegang dia cepat-cepat dia lari.
Puas berlegar-legar , kami pun mula beredar ke tempat penginapan untuk malam yang ke 9.
Gandah Forest Park Chalet yang terletak di sebelah pusat konservasi sahaja. Menyediakan tapak perkhemahan, chalet, kolam renang untuk kanak-kanak, kolam memancing, aktiviti ATV, menunggang kuda, memanah dan berbasikal.
Ha macam-macam ada dalam 1 tempat. Untuk kami yang hanya nak berkhemah dikenakan yuran sebanyak rm20 sahaja. Pilih la kat mana nak pacak khemah. Akhir sekali kami pilih nak tidur kat surau ja. Sebab ada kipas angin besar dan plug. Keh keh keh.
Seperti biasa, aku kan suka nak tahu tentang sesuatu tempat yang baharu. Tak sangka pula orang yang aku ajak bersembang tu adalah pengusaha tempat ni. Muda sangat orang nya. Bekas pekerja bank yang berasal dari Kota Bharu dan berkahwin dengan suami orang Pahang. Dia cerita dia dapat pajak tempat ni selama 35 tahun dari kerajaan negeri. Katanya bukan senang nak dapat, kena buat macam-macam kertas kerja dan ikut segala macam prosedur.
Wah ! Aku respect dengan kekentalan dia suami isteri sanggup labur modal untuk bina tempat ni. Bukan sikit-sikit, siap ada kandang kuda lagi tu. Dahsyat.
Sayangnya aku tak rakam gambar dia la.
23082020
GFPC - FRASER HILL - TELOK PANGLIMA GARANG : 253km
Hari ni hari terakhir kembara. Jadi tak perlu terkejar- kejar. Keluar dari GFPC dengan kelajuan yang sederhana. Ternampak papan tanda Masjid Lama, lalu aku pun berhenti dan terus masuk ke halaman rumah orang. Ketika tu penghuninya sedang mengecat rumah. Aku pun beri salam dan meminta izin nak lawak masjid tersebut. Selesai merakam gambar, perjalanan diteruskan kerana Anje nak mengisi minyak motor.
Memang dah tertulis, talipon yang aku letak di kocek jaket boleh jatuh dan tercicir entah di mana. Sampai di jalan utama baru aku perasan talipon aku dah tak ada. Berpatah semula mengikut jalan yang sama sambil mata meninjau-ninjau kelibat talipon tu. 3 kali pusing tak jumpa. Kalau jatuh di jalan mesti hancur berkecai dan pecahan pelindung plastik bersepah di atas jalan. Tapi ini tidak, langsung tak nampak bayang. Aku redha. Kami teruskan perjalanan mencari stesen minyak. Kemudian berhenti untuk bersarapan pagi.
Pulas-pulas dah sampai New Zealand, korang ada ?
Anje nak ke Fraser Hill, ok aku ubah laluan ke Raub. Bila lalu ja jalan dalam ni, baru aku teringat yang aku pernah kayuh basikal ikut laluan ni dulu ketika nak ke Lanchang melalui Felda Mempaga dan Felda Lakum. Macam tak percaya ja aku sanggup kayuh di tengah-tengah ladang kelapa sawit. Ingat lagi, ketika matahari tegak atas kepala aku masih mengayuh untuk cepat-cepat keluar dari kawasan felda. Nak cari tempat berteduh pun tak de. Jumpa pintu gerbang, aku menyorok celah tiang batu semata-mata nak berlindung dari terik matahari. Cari penyakit betul😅.
Masuk daerah Raub, nampak papantanda ni. Wah ! Raub sudah claimed lah. Peneroka haram diiktiraf ?
Sampai di Gap, berhenti sebentar untuk ke tandas. Aku lihat ramai sungguh grup motor dan basikal berkumpul. Pasti semua nak naik ke atas. Setiap papan tanda dipenuhi dengan mereka. Meriahnya. Aku dan Anje meneruskan perjalanan naik sejauh 8 km. Laluan menaik agak sesak kerana ada acara larian yang sedang berlangsung, ditambah dengan grup basikal yang mendaki dengan perlahan. Kami mengekori belakang kereta, sekali sekala memintas supaya cepat sampai.
Tiba di dataran tugu jam, suasana begitu hingar bingar dengan bunyi deruman enjin motorsikal berkuasa tinggi dan berkuasa rendah yang berlegar-legar mencari ruang bergambar. Berebut-rebut nak dapatkan spot menarik hingga terpaksa minta mereka memberi kami peluang bergambar sebentar. Rimas dengan keadaan tu, aku ajak Anje beredar turun hingga terlupa nak mencari KM0 di kawasan masjid. Ya sudah lah. Lain kali boleh datang lagi.
Sampai bawah pun masih ada grup yang nak bergambar di papan tanda Fraser Hill. Kami nak bergambar pun terpaksa cepat-cepat sebab grup tu dah menunggu dengan ramainya. Kami yang cuma berdua ni naik segan pulak.
Memasuki sempadan negeri Selangor menandakan perjalanan kembara kami sudah hampir tamat. Dari situ kami mengambil laluan lebuh raya menuju ke Klang seterusnya ke Telok Panglima Garang.
Alhamdulillah sepanjang perjalanan Allah lindungi dari sebarang malapetaka. Terima Kasih Allah.
Mudah mudahan diberikan lagi kesihatan yang baik agar dapat keluar mengembara lagi di lain waktu Insya Allah.
Di bawah ini adalah anggaran kasar perbelanjaan sepanjang 10 hari perjalanan.
Jarak : 1641 km
Minyak : -+rm42
Penginapan kongsi 2 orang : rm93 seorang
Servis tukar minyak pelincir : rm25
Makan + shoping keropok: rm200
Tang minyak tu macam tak percaya ja. Aku menggunakan motorsikal Honda Wave 125i. Katanya memang untuk perjalanan jauh , jimat minyak dan mempunyai ruang simpanan yang besar di bawah tempat duduk. Betul lah tu.
No comments:
Post a Comment