Friday, June 11, 2021

Pak Mid The LEGEND (9W2TU)

Setelah beberapa hari perginya Pak Mid untuk bertemu Penciptanya, aku rasa ada yang tak beres dalam lubuk hati ni. Aku masih teringat kebaikan Pak Mid pada semua orang yang mengenalinya termasuk aku. Barangkali aku harus menulis untuk meluah rasa dan ulang kenang apa yang aku rasa sepanjang kenal dengan beliau.

Siapa Pak Mid yang aku kenal selama 13 tahun ni ? Tak banyak, tapi ada lah untuk dikenang.

Anak jati Johor, pernah berkecimpung dalam sukan perlumbaan Rally, berpengalaman dalam bidang perhotelan, otai camper, sifu overland/offroad 4x4, Radio Amatur, sukarelawan gelandangan/ orang Asli/ mangsa banjir/ Misi Korban di Cambodia, pencinta kopi hingga membuka cafe bernama KOPI Kamper . Kuning adalah warna rasmi Pak Mid.

Aku mula kenal pada tahun 2008 melalui hantaran e-mail, kerana waktu itu Pak Mid akan menganjurkan satu trip merentas negara iaitu Mekong Expedition 2.


Jadi isi kandungan emel tu nak minta maklumat terperinci diri aku termasuk lah ukuran saiz badan untuk buat baju rasmi ekspedisi.

Baju kemeja ni aku masih simpan hingga hari ini sebab cantik design dia, siap ada nama aku lagi tu. Tengok lah hasil kerja Pak Mid yang begitu bersungguh-sungguh dalam menganjurkan sesuatu event.

Bukan itu sahaja, siap ada sijil penyertaan lagi. Hebat tak hebat cara kerja Pak Mid.

Sejujurnya pengetahuan aku awal-awal dahulu  tentang Pak Mid ni zero. Ye lah, aku baru nak berjinak-jinak dalam dunia pengembaraan kemudian Allah tuliskan perkenalan ini masuk ke dalam cerita hidup aku. Mula-mula memang segan dan terasa rendah diri kerana jurang status kehidupan aku sangat-sangat lah jauh.

Bayangkanlah, aku bukan dari kalangan orang yang berkerjaya, apalagi berpangkat tinggi, kenal dengan orang yang berpengaruh pun tidak alih-alih mula nak bergaul dengan orang yang boleh dikatakan 'have-have'. Terkedu jugak lah. Kekok rasanya nak membawa diri masuk dalam dunia mereka selama 17 hari. Kau rasa ?

Sepanjang ekspedisi aku melihat dan belajar cara Pak Mid menguruskan perjalanan konvoi 4x4. Senarai aturcara yang Pak Mid buat sangat tersusun rapi. 



Dari tempat mula berkumpul, tempat berhenti rehat, makan dan penginapan semua siap ditentukan setiap kali briefing.


Aku fikir aku akan rasa terpinggir sebab aku cuma sebatang kara tiada siapa pun yang aku kenal di kalangan mereka. Ternyata tidak. Pak Mid dan semua ahli kumpulan ekspedisi melayan aku macam biasa tiada beza walaupun mereka adalah dari kalangan pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi, tawkey kayu balak dan ahli perniagaan yang berjaya. 

Aku cuba beradaptasi dengan cara mereka dengan perlahan-lahan. Satu perkara yang pertama kali Pak Mid ajar aku adalah penggunaan payung ketika tiada tandas. Yang itu aku tak pernah lupa hingga bila-bila.

Pada tahun 2015, banjir besar melanda di daerah Dabong. Pak Mid lah di antara orang terawal pergi memberikan bantuan dan berkampung di sana. Dapat  jugak lah aku menyelit ikut serta dalam misi bantuan tersebut.




Masa diadakan perjumpaan ADVENTURE TOURING Malaysia tahun 2016 di Taman Pertanian Johor, aku gigih ride dengan X5 semata-mata nak jumpa dan mendengar kisah pengalaman beliau. 


Sesampai saja, Pak Mid lah orang pertama aku cari. Entah tak tau, aku rasa seronok untuk menyapa beliau dulu tanda hormat.


Tahun 2017 sekali lagi aku diajak untuk mengikuti pengembaraan bersama Pak Mid bertajuk Ekspedisi Somtam 3. Lokasi tuju semua best dan rare.




Aku tak akan pernah menolak untuk mendengar cerita dan celotehnya sepanjang perjalanan tersebut lagi-lagi bila mendengar tagline ;

"Assalamualaikum kawan-kawan, Pak Mid ni". Aku rasa comel sangat.

Pak Mid tak pernah lokek untuk berkongsi ilmu ataupun lokasi-lokasi baharu yang 'rare' kepada kawan-kawan. Siap bagi maklumat terperinci seperti loc gps sesuatu tempat. Pak Mid juga begitu merendah diri bertanya kan pada aku tentang tempat yang dia belum pernah sampai tapi aku yang sampai dulu. Sempoi ja saling berbagi info.

Kali terakhir aku bertemu beliau adalah ketika aku melakukan kembara bermotorsikal mengelilingi Semenanjung tahun 2019. Sampai saja di Johor, otak aku dah ingat Pak Mid. Aku sanggup berpatah balik dari laluan asal semata-mata nak datang berziarah. Sekejap pun takpe lah, janji tunjuk muka.


Kalau dah dapat sembang dengan Pak Mid, memang leka. Lepas satu kisah ke satu kisah. Disamping itu diselitkan juga dengan tips, idea-idea baharu dan nasihat.
Hasrat beliau nak buat pitstop di Johor route (aku lupa la nombor jalannya) tak kesampaian. Walaupun begitu, beliau berjaya membina cafe Kopi Kamper yang pada hemat aku ia untuk memudahkan kawan-kawannya datang berkumpul bertemu muka.

Untuk Gegurl yang sentiasa menjadi pendamping, teruskan semangat perjuangan Bapak. Gegurl sangat bertuah kerana dapat menimba banyak ilmu kehidupan sekaligus dapat menabur bakti menjaga dan memenuhi keperluan Bapak selama ini Banyak pahala untuk anak soleh.

Pak Mid, "THE BEST AMONG THE BEST."



Untuk rujukan :





9/6/21.

Seusai solat subuh, aku tengok fb, lalu di dinding fb aku berita ini. Terkedu. Termenung kejap. Lepas tu berderai air mata taleh tahan lagi.



Selamat jalan ke negeri abadi wahai legend, 
ABDUL HAMID BIN SULAIMAN
Terima kasih atas segala tunjuk ajar ilmu pengalaman hidup dan nasihat-nasihat selama ini. Mudah-mudahan ianya menjadi asbab dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. Insya allah.
Ya Allah, lapangkan dan terangilah kuburnya, kau terimalah segala amal ibadahnya selama ini.
 🤲aamiiinnn.



* Kredit gambar pengkebumian kepada : Abu Muhsin(fb). Terima kasih.

Noktah

No comments:

Post a Comment