Wednesday, June 1, 2016

Aku, Dia dan Gajoh di Route 185 ( Felda Aring-Kenyir) Episod 1

Kau tahu kawan ? Dah lama aku mengimpikan kembara santai lalala. Sebelum ni kembara aku semuanya 'tough point to point '. Setelah dikaji selidik baru aku tahu rakan kayuhan yang sesuai memainkan peranan paling utama.
Seperti biasa bila ilham mengembara sudah dikurniakan oleh Allah, maka tugas mem'plotting' laluan pun bermula mengikut jarak kemampuan kudrat aku. Masa diambil 6 hari 5 malam dengan jarak 304km (kiraan semula setelah selesai kembara ). Kebiasaan kalau jarak macam tu orang akan buat cuma 3 hari dah selesai, paling cepat 2 hari : Chiku - Kuala Berang - Chiku. 

Nah ! Cabaran utama aku adalah mencari rakan kayuhan. Siapa yang nak ikut kalau trip jatuh di hari bekerja dan bukan cuti umum atau cuti sekolah ? Bila tau lokasi pilihan aku adalah tempat gajah bertendang memang semua menolak. Tak takut ke ? Kawasan hutan kan ? dan bla bla bla..Well aku tak kesah. Lagi 'rare' tempat tu, lagi teruja aku nak pergi. Hanya yang terpilih dan istimewa saja yang akan menyahut cabaran dan pelawaan aku.

Allah lebih hebat merancang untuk aku. DIA datangkan seorang teman kembara yang sempoi. Katt (bukan nama sebenar)  yang akan bersama aku sepanjang kembara nanti. Aku tak banyak soal kerana aku memang yakin dengan kemampuan kayuhan dan pengalaman beliau dalam dunia basikal. Kami berbincang perkara yang penting seperti tarikh, jumlah hari dan tarikh beli tiket bas pergi/ balik saja. Selesai.


Bila tiba hari kejadian, kami berjanji akan bertemu di Gua Musang. Malam 24hb, dengan bantuan Raja Hassan, aku dihantar hingga ke Terminal Bas Klang Sentral. Sampai di sana telah menunggu 3 orang rakan 'supporters' yang tak pernah jemu- jemu memberikan sokongan moral pada setiap projek kayuhan aku sejak tahun 2013 lagi. ~ sangat menyentuh hati. Doa aku, mohon Allah membalas segala budi baik mereka-mereka ini  dengan memberi kemurahan rezeki yang melimpah ruah.

Ija, Wak Rahim, Wak jan dan Raja Hassan.

Tepat jam 8.15 malam, bas pun mula bergerak menuju ke destinasi ~ Gua Musang. Sepanjang perjalanan, aku memang tak tenang. Seriau dengan kelajuan bas yang melalui jalan Kuala Lipis- Merapoh - Gua Musang. ~ Tidur-tidur ayam. Bas berhenti rehat cuma sekali saja selama 1/2 jam di Hentian bas di Merapoh.


Jam 2.30 pagi aku dah sampai di simpang masuk Hospital Besar GM dan meminta pemandu bas menurunkan aku di situ, kerana Katt menginap di sebuah hotel berhadapan dengan hospital. Beliau sudah sampai sehari awal dari aku kerana jarak Johor lebih jauh. Dalam gelap malam, hanya diterangi cahaya lampu jalan aku memasang tayar basikal dan menaikkan bag ke atas rak. Aku 'call' dan menghantar 'whatsapp' memaklumkan yang aku sudah sampai, tapi tiada balasan. Tidur lena kepenatan 'partner' aku ni barangkali. Ah, biarlah.

itu lampu jalan, bukan bulan ya.
Aku mencari tempat untuk berehat, mujur ada sebuah kedai makan berhadapan dengan Petronas yang ada kerusi panjang. Lokasinya agak tersorok, bagus untuk aku sebab boleh tidur dengan aman. Aku menyorong basikal dan menyandarkan di kerusi. Bila rasa selamat, aku pun baring sambil melihat bulan. Terang pulak bulan malam tu. 

Aku cuba pujuk mata dan minda supaya lena sekejap, takut esok siang 'pewai' pulak. Baru nak lena, dua ekor kucing bergaduh pulak kat sebelah kerusi. Adeh. Syuhhh  syuhh ! Pi gaduh tempat lain la..
Tengah dok berkhayal tiba-tiba aku terima panggilan dari Katt. Aku tengok jam pukul 4.19 pagi. Katanya, dia baru perasan yang hp dia dalam mod ' silent'. Adeh .
Katt menjemput aku untuk berehat di biliknya sementara menunggu hari siang. Alhamdulillah.

25/5/2016 
Rabu

Berdebar-debar rasa di hati bila nak mulakan kayuhan menyiksa diri kali ni. Mana tidaknya, aku langsung tak buat latihan, apatah lagi nak pegang basikal ronda-ronda di kawasan rumah. Kali terakhir aku kayuh basikal adalah ketika trip ke Pulau Rupat. Sejak hari itu, rutin harian aku cuma makan , tidur dan bersihkan kebun. Aku ni, dari projek POT (2013) dan DOP (2015) memang tak pernah buat latihan. Hari kejadian terus ja kayuh. Alhamdulillah baik-baik aja. Ching !


Pagi ni kami ditemani oleh rakan basikal dari jajahan Gua Musang. Abang Dzul dan Kak Ina isterinya. Suka aku nak cerita lagi tentang Abg Dzul, beliau lah yang bersusah payah menjemput aku dari Jeli ke Gua Musang dalam hujan lebat semata-mata nak suruh aku bermalam di rumahnya. Cuba kira jarak GM-Jeli-GM berapa ? Seratus sebelas @ 111 km sehala. Macamana hati aku tak jatuh sayu ? Pergi balik dah 222 km. Cara mana lagi aku nak balas budi beliau kalau tak dengan  berdoa semoga Allah terus terusan memberikan rezeki kesihatan yang cukup baik kepada beliau suami isteri. Allahu akhbar !


Sebelum memulakan kayuhan, kami bersarapan di gerai Nasi Kerabu Aye Katok bersama dua lagi rakan kayuhan yang meraikan kami, Kimi dan Fendi. Gerai yang sama pernah aku berhenti makan ketika trip Kapcai 2015 yang lalu. Kolaborasi masakan Kelantan dan Indonesia yang sedap hingga menjilat jari. Korang kena cuba. Kedainya dekat dengan stesten keretapi lama. Maaf, aku tak ada nombor kordinat gps Garmin. Guna Penduduk Setempat (GPS) ja. Tanya !




Sekitar jam 9 pagi kayuhan pun dimulakan. Abg Dzul akan kayuh mengiringi hingga ke simpang Felda Aring lebih kurang 45km sehala. Kimi dan Fendi menghantar sampai takat kem tentera saja kerana mereka  ada urusan yang lain. Itu pun sudah memadai bagi kami. Terima kasih kerana sudi meraikan perjalanan ini.


Masuk saja simpang jalan No 8 (Gua Musang - Kota Bharu), dah nampak pemandangan dua buah bukit batu kapur tersergam indah seolah-olah menjadi pintu gerbang untuk kita lalu di tengah-tengahnya. Di tambah dengan kabus pagi yang menjadi latar belakang pemandangan untuk hari pertama.






Bila matahari mula menampakkan diri, cuaca makin berbahang. Ketika itu mula lah terasa mental. Jauh pulak aku rasa 45km ni. Hari ini aku belajar suatu hal dari Abg Dzul aka abam kawasan Gua Musang. Satu soalan penyedap hati ditanyakan pada Abam Dzul : "jauh lagi ke simpang Kenyir / Kuala Berang ?
Eh jauh lagi. Lepas ni downhill, downhill, up hill lepas tu downhill , downhilll ja.
Ok aku tersenyum mendengar penjelasan tentang downhill tanpa berfikir panjang. Kembali bersemangat.
Masa kayuh baru le aku tahu nak dapatkan 'downhill' kena 'uphill' dulu. Dang !

Moralnya : belajar memberi jawaban cara orang lama yg bijaksana tanpa sebarang harapan. Ching !

Berkali-kali jugak berhenti sambil mencari perlindungan dari terik matahari yang menggigit, akhirnya sampai juga di persimpangan arah ke Kuala Berang. Setakat ini saja kayuhan Abg Dzul mengiringi kami. Beliau harus pulang semula ke Gua Musang sebelum hari hujan. Apapun kayuhan Abg Dzul tetap steady, kita yang tak terkejar. Semoga kita akan bertemu lagi ya Abg Dzul, daaa..


Ok, tinggal aku berdua dengan Katt. Pengembaraan bermula sekarang. Jeng jeng jeng !
Katt awal-awal dah maklumkan yang beliau ingin menjadi 'sweeper' sepanjang 6 hari nanti. 
Alamak, harap aku tak lambat kayuh dan menyusahkan dia nanti.
Katt cakap, "relak Tun, kayuh lalala ja"
Kayuh lalala je ? Oke aku cuba.





Sampai satu tahap, kayuhan lalala pun tak mampu melawan keadaan cuaca yang terik. Aku terpaksa mencari tempat berlindung. Basikal dibaringkan perlahan-lahan di atas rumput agar bag tidak rosak. Bukan tak mahu pasang tongkat, dah 3 kali tongkat patah kerana tak mampu menampung berat muatan.


Ada beberapa hal yang aku perhatikan, Katt ni ramah sungguh. Sepanjang jalan kalau ada orang ka, lembu ka, kambing ka, semua dia tegur. Ada saja benda yang dia nak cerita. Pasal tu rezeki sentiasa murah. Berhenti minum kat kedai kakak ni pun airnya diberi percuma. Kakak ni sedekah.
Katt, Katt.. kau ni memang lucu la.


Lagi satu, bila mendaki bukit, aku boleh dengar Katt menyanyi-nyanyi kat belakang aku. Mak oi, banyak betul nafas dia ni. Aku dah tahap putus nyawa, serupa bunyi nafas kuda nak melepaskan azab mendaki. Dia masih boleh lalala..


Hai, jauh lagi ya Kuala Koh. Sampai papan tanda pun senget. Sesak nafas tengok jarak km tu nak oii.


Menjelang pukul 4 petang, awan hitam sudah berkumpul di langit Felda Aring 6. Katt mendahului aku di hadapan kerana tanjakan semakin menjadi-jadi. Aku memang kalah dengan bukit tetapi bagi Katt itu makanan dia. Katt hilang dari pandangan, dan hujan mulai merintik. 



Aku di tengah-tengah ladang kelapa sawet , di kiri kanan tiada tempat berlindung. Ah ! sudah. Aku berhenti dan mula mengeluarkan baju hujan. Terus sarungkan dengan kadar segera sebelum hujan makin lebat. Basikal ku kayuh semula di dalam angin kencang berserta petir dan guruh berdentum dentam. Terhoyong-hayang basikal aku ditiup angin. Matilanakkk..! depan ada kereta. Mencicit aku tarik brek depan dan belakang. Adoi la. Hujan makin lebat. Aku terpaksa berhenti di antara dua batang pokok untuk berlindung. 
Langkah keselamatan sentiasa dalam ingatan. Bawah pokok tak boleh. Mata aku mencari-cari bahan getah untuk dipegang. Dah la basikal aku besi, memang agen terbesar arus tenaga. Ayoyo !
Aku meninjau-ninjau di hadapan. Kelihatan seperti atap rumah. Mungkin aku boleh tumpang berteduh. Dalam hujan lebat aku menyorong basikal melintas jalan. Hujan pun hujan lah janji tak kena petir. Hif hif hif !

Dari jauh aku nampak Katt memanggil-manggil dari dalam pondok . Risaunya dia menunggu aku sambil menceritakan kisah dia mencari tempat berteduh di dalam hujan. Ha ha ha. Terima kasih Katt risaukan aku.



Mujurlah ada pondok bit ( tempat untuk kiraan jumlah muatan buah kelapa sawet) di tepi jalan. Dapatlah kami tumpang berteduh. Sambil berbual-bual dengan kakak yang bertugas , mata aku menerawang melihat kemudahan yang memungkinkan kami tumpang bermalam di situ. Pada aku cuma satu ja, jika sesuatu tempat itu mempunyai tandas, itu sudah kira cukup bagus. Aku berbisik pada Katt menyuarakan cadangan untuk bermalam saja di situ. Katt bersetuju dan mula berkias-kias dengan kakak penjaga pondok tersebut. Jawapan yang diterima sedikit terkilan kerana tandas di situ tiada bekalan air. Akan tetapi kakak tu mengesyorkan untuk bermalam di sebuah surau di Felda Aring 6 yang tak jauh dari situ. Cuma minta kebenaran masuk di pondok polis saja.

Hujan masih belum reda, jarum jam sudah menunjukkan hampir ke jam 6. Suka tak suka kami terpaksa meredah hujan untuk mencari tempat bermalam. Katt ok, aku lagi ok. Lokasi simpang masuk Felda Aring 6 terletak di antara ' downhill' dan 'uphill'. Acaner tu ? Turun bukit tinggi dalam hujan lebat dan jalan licin ? AWAS ya !
Kami kayuh hingga melalui pondok polis seraya memberi salam, setelah perkenalkan diri aku terus meminta izin untuk masuk dan bermalam di surau. Alhamdulillah tiada banyak soalan dan diberi keizinan. Mudah saja.

Tiba di surau, kelihatan ramai anak-anak sedang dalam kelas mengaji. Kami terus menyorong basikal hingga ke bahagian belakang. Sekejap saja basikal kami di kerumuni anak-anak di situ. Bertanya itu dan ini. Soalan yang paling sentap adalah : Kak juai apa ? Aku nak tergelak dengar. Aduhai la anak. Kami tak juai apa, kami mengembara saja. Aku dan Katt melayan apa saja yang ditanyakan mereka sambil menunjukkan kehebatan bag kami yang seperti bag DORAEMON.

Kami bawak keluar dapur, gas, bahan makanan, khemah, bantal, tilam dan hammock. Semua tergangga melihat bag Doraemon kami yang warna merah tu, macam-macam ada tau !
Ustazah mereka pun tumpang sekali mendengar cerita kami. Siap ajak tidur di rumah dek kerana terlalu risaukan kami tidur di surau berdua saja. Dengan waktu yang singkat, dapat juga kami tahu tentang penduduk di Felda Aring ni. Mereka sebenarnya bukan di kalangan peneroka, tetapi hanya sebagai pekerja. Mereka asalnya dari negeri lain seperti dari Johor, Trengganu, Kedah dan Kelantan yang diberi rumah kediaman di kawasan felda oleh pihak syarikat. Bila hari cuti semuanya pulang ke kampung asal, maka sunyilah kawasan felda ni. Hanya penduduk di Felda Aring 1 sahaja peneroka asal.


Malam selepas solat Isyaq, aku menyediakan juadah makan malam yang mudah. Masak nasi dan air teh ja pun. Makan dengan sambal hitam, bekal yang diberikan kakak aku untuk dimakan sepanjang perjalanan.



Hujan-hujan makan nasi panas dan sambal hitam, memang terbaik. Nampak sikit, tapi mengah nak habiskan. Syukur alhamdulillah, terima kasih Allah.


Beginilah aku 'set-up' tempat tidur aku. Tak perlu pening-pening kepala nak cari tempat gantung hammock. Tidur lena hingga ke subuh. Katt pada awalnya tidur di sebelah aku, entah jam berapa dia lari masuk ke dalam surau aku pun tak sedar. Kalau korang nak tau suasana kat surau ni sangatlah menyeramkan, kawasan sekeliling terlalu gelap dan sunyi. Hanya bunyi cengkerik dan katak kodok yang besar menyanyi-nyanyi sepanjang malam disulami dengan bunyi hujan yang sangat lebat. Mujur aku tidur pengsan, langsung tidak terkesan dengan gangguan-gangguan nakal dari makhluk halus (kelkatu). Ha ha ha. Katt je la yang kerap terjaga dan dia perasan yang ada polis berulang alik mengawal surau tu. Jangan bimbang, kami baik-baik aja.


Jarak kayuhan hari pertama, lebih dan kurang 60 km.


Bersambung ke Episod 2.

No comments:

Post a Comment