Friday, January 5, 2018

Gayo Highland ( Dunia Tersembunyi Negeri Seribu Bukit)

Gass ke Dunia Tersembunyi
6hb-20hb Disember 2017

3 Unit 4 Jiwa
Loen Dari Malaya
~~~~

Baca cerita sebelumnya di sini

Ahad, 10hb Disember 2017

Pagi ini kami  menumpang mandi di masjid Al- Munawwarah. Di situ lebih selesa. Macam biasa, tugas meminta izin ni diserahkan pada yang pakar, Wak Rahim (bukan nama sebenar). Yang lain bersiap sedia sahaja nak menerjah bilik air.  Strategi lagi tu.


Banyak tugu dan mercu tanda dibina di setiap bulatan. Yang ini terletak di pintu masuk Komplek Kantor Bupati Aceh Jaya.


Sepanjang aku menjelajah di Aceh, masjid-masjid terlalu banyak dibina. Tak terbilang. Gambar di bawah menunjukkan lokasi masjid di Desa Keudu Krueng Sabee sahaja. Itu belum desa, pekan dan bandar lain. Kedudukannya terlalu hampir. Masjidnya pula besar dan cantik.




Tugu Semangat Perjuangan atau Tugu Keude Krueng Sabee, yang dibangunkan oleh masyarakat setempat sebagai tonggak sejarah serta saksi bisu pada masa konflik dahulu. Ketika Tsunami, tugu ini hancur, kemudian dibangunkan semula. Ia menjadi kebanggaan masyarakat di mukim ini kerana ia mempunyai ciri-ciri khas yang belum ada di tempat lain. Dirasmkan oleh Bupati Aceh Jaya Ir. Azhar Abdurrahman. Di belakangnya adalah Masjid Besar Baitul Makmur. (sumber : singgahkemasjid.blogspot)


Teunom , kelihatan sawah padi di kiri kanan jalan, nampak menghijau sepanjang jalan. Suasana di waktu pagi memang indah dengan aktiviti warganya yang sibuk di bendang. Tenang dan udara juga bersih. Teringat suasana  yang sama ketika aku di Utara Vn. Cuma berbezanya tiada kelihatan kerbau yang sedang ditarik anak kecil untuk dibawa masuk ke sawah. Walaupun begitu , aku tetap suka dengan suasana seperti ini.


Masih tersisa perjalanan di jalur pesisir pantai menuju ke Meulabouh sejauh 63km.



Melintasi satu permukiman kecil yang bernama Kuala Bubon, Samatiga. Kami berhenti di atas jambatan untuk melihat pemandangan persekitarannya yang begitu menarik. Jambatan ini sepanjang 105 meter merupakan jambatan terindah dan jambatan kedua terpanjang di Aceh. Kedudukannya di muara sungai  berhadapan dengan pantai dan laut, menambahkan lagi keindahannya


Kuala Bubon pernah hancur musnah dihentam badai Tsunami, kini mukim ini sedang pesat membangun terutama dari segi penghasilan tangkapan ikan terbesar di daerah Meulaboh dan pelancongan.


Bukan itu sahaja, di sini terdapat banyak rumah yang posisinya dibina di atas air. Antara sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain dihubungkan dengan jambatan kayu. Macam kat Pulau Ketam, Port Klang. Saiz rumahnya juga seragam dan dicat dengan perbagai warna. Di tepi rumah terikat perahu nelayan. Itu yang jadi tarikan jika kita lihat dari jauh. Cantik. Menurut sumber internet, dahulu jika mahu menuju ke Meulaboh, harus menggunakan jasa perahu untuk menyeberang. Sekarang sudah ada jambatan. Malangnya kami tidak berhenti lama untuk lebih mengenali kehidupan masyarakat setempat. 



Dari satu kampung ke kampung yang lain, kami lewati dengan kelajuan yang sederhana. Tiba-tiba keadaan jalan raya menjadi sedikit sesak. Aku jadi terpinga-pinga, ada apa kat situ orang berkumpul ramai-ramai ? Wak memberhentikan motorsikal di tepi jalan. Ija terus  turun dari motorsikal untuk bertanyakan kepada warga yang berdekatan.




Katanya ada pemilihan jawatan Pak Keuchik  Aku syorkan  Ija masuk ke kawasan khemah  tu untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Apa itu Pak Keuchik ? Di MY pangkatnya seperti Tok Penghulu. Di sini, Tok Penghulu dipilih warga kampung.


Aku tak perasan bila masa melintasi bandar Meulaboh. Meulaboh merupakan ibukota dari Wilayah Aceh Barat. Kota inilah tempat kelahiran Pahlawan Nasional Teuku Omar, suami kepada Cut Nyak Dhien. Apasal tak masuk Meulaboh eh? Semak gambar-gambar langsung tak ada gambar yang boleh mengaitkan tentang Meulaboh. Hari hujan ke sampai aku tak rakam apa-apa pun. Bingung juga.

Bila nak menulis blog ni, aku tengok dalam google map macam padat ja penempatannya. Ada Masjid Agung Baitul Makmur, ada bank. Aik ? Apasal aku tak nampak masjid punya besar kat tepi jalan ? Barangkali ada perasan, tapi mungkin tak tahu yang sebenarnya sedang memasuki bandar Meulabuh. Bawak motorsikal laju sangat ke ? Banyak kenderaan hingga perlu penumpuan yang bersungguh ke ? Allahu akbar ! Aku ni dah kenapa ?
Ija, Wak dan Naqi pun tak ada rakam apa-apa tentang bandar Meulaboh. Mungkin mereka nampak, tapi buat tak kesah sebab alasan yang sama juga macam aku, tak tahu sedang memasuki bandar Meulaboh.

Perjalanan diteruskan.
Lima belas minit kemudian, sekali lagi keadaan jalan menjadi begitu sesak. Nampak asap, nyalaan api dan kayu di atas jalan. Ramai orang berkumpul melihat kejadian itu. Kelihatan juga polis siap siaga dengan selaras senapang di tangan. Ada apa an nih ? Aku segera mengeluarkan kamera, sebelah tangan masih mengawal  pemanduan. Sebab ada polis, aku rasa cuak sedikit jika perbuatan aku dianggap salah. Dengan pantas aku halakan lensa  secara rambang dan klik. Kemudian terus  sembunyikan kamera semula. Fuh, dapat juga gambar jelas.

hasil tembakan aku

tembakan dari kamera Ija
Kami meneruskan perjalanan  tanpa mengetahui apakah itu, sehingga melalui sebuah kampong yang  rata-rata menjual buah-buahan di hadapan rumah. Wak dan  Ija ternampak buah ciku bersusun cantik lalu mengajak aku dan Naqi berhenti  rehat dahulu.



Cuba korang tengok buah ciku ni ? Buah ciku kat sini punyalah besar, sebesar kentang. Sudah lah besar, manis pula. Sudah lah manis, murah juga. Kau rasa ? Aku rasa jakun.





Bila tahu kami datang dari MY, terus  mereka memanggil anak-anak mereka. Katanya Kak Ros , Upin dan Ipin sudah datang. Di mana sahaja kami pergi, hatta di ceruk kampung paling hujung, Upin Ipin sudah jadi fenomena. Luar biasa sekali !



Wak memang rajin,  lagi-lagi kalau ada anak dara, dia akan terlebih lagi rajin. Anak dara pulak cikgu sekolah. Semua kerja dia nak tolong. Oleh kerana Wak begitu peramah, kami diberikan rambutan percuma untuk bekalan dalam perjalanan. Alhamdulillah. Bijak Wak Rahim memainkan peranannya. Kah.



Di kesempatan itu juga Wak mula bertanyakan kepada si penjual tentang kejadian  pembakaran dia atas jalan raya tadi. Menurut mereka,  jika ada kemalangan maut, darah orang yang mengalir di atas jalan akan dibakar supaya tidak mengundang kecelakaan di masa akan datang.
Oo ingatkan ada rusuhan.

Kami tiba di simpang ke Babahrot agak awal. Mengikut perancangan Ija, kami memang perlu tidur di situ sebab keesokkan harinya sudah mula memasuki Trangon jalur lintas pergunungan pula.  Aku memerhatikan keadaan sekeliling perkampungannya agak lesu. Masjidnya juga dalam pembinaan. Erk, kita nak tidur kat mana ni ?

Mod  pencarian diaktifkan.
Motorsikal  dihalakan mengikut jalan ke Blang Pidie, berpusing-pusing tanpa tujuan. Sambil mata meninjau-ninjau jika ada lokasi yang sesuai. Wak mengambil keputusan untuk berhenti makan tengahari dahulu. Kami berhenti di rumah makan  yang terdapat beberapa buah lori sedang diparkirkan di hadapannya.  Rupanya rumah makan itu memang tempat hentian rehat bagi pemandu lori yang berulang alik ke bandar berdekatan. Di sebelahnya terdapat tempat rehat terbuka yang dibina bertingkat. Aku mengambil peluang untuk  tumpang menunaikan solat sambil mula memeriksa ; tandas ada, air dalam kolah penuh, tempat rehat di tingkat atas luas, ada tikar dan yang paling penting ada ‘power plug’. Oke lulus !



Usai solat, aku terus  berbincang dengan Ija dan Naqi menyatakan perkara-perkara yang aku lihat tadi. Wak seperti biasa seronok bersembang dengan warga yang datang minum kopi, nanti Ija akan maklumkan pada Wak dan Wak lah ejen untuk menyampaikan hasrat kami kepada pemilik kedai makan tersebut. Haa, nampak tak komplot bersistematik kitaorang ?

Keizinan menginap sudah diberi, tapi masa terlalu banyak untuk disia-siakan.  Kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan melihat pekan kecil Blang Pidie yang berada beberapa kilometer sahaja.  Naqi sudah lama hilang dari pandangan mencari Pertamina untuk  mengisi minyak sebagai persediaan laluan pergunungan  keesokkan hari.


Dari jauh nampak orang menjual ikan kelah di tepi jambatan. Ija teringin sangat nak rasa, tapi bila tanya harganya membuatkan Wak perlu berfikir dua kali. Memanglah harga yang ditawarkan murah sangat kalau nak dibandingkan di MY, tapi sebab wang di saku yang tidak membenarkan pengeluaran berlebihan  .Wak terus berlalu pergi dan Ija hanya mampu berhuhu sahaja.


Tayar motorsikal Wak kurang angin, jadi dia singgah di bengkel untuk menggantikan tiub baharu. Sambil menunggu aku  dan Ija duduk di kedai membuat mee Aceh.  Aku perhatikan cara pembuatannya. Kerana ingin tahu, aku bertanya mengenai tepung yang digunakan.  “ Tepung trigu”, jawab pengusaha  tu.
Dialah yang mengadun, dia mengelek, dia merebus, dia mengirai, dia juga yang membungkus. Bukan itu sahaja, dia juga yang menghantar mee kepada pelanggan.




Ketika dia hendak keluar menghantar mee kepada pelanggan, aku bertanya;
“Eh eh tinggalkan kedai macam tu je ke ?”
“Ngak apa-apa, ngantar sebentar saja”.
Owh ok. Aku membuat kesimpulan, patutlah orang Aceh kat MY maju perniagaannya. Semua kerja dia buat dan rajin pulak tu. Muda-muda dah ada kedai sendiri walau hanya menjual mee. Hrm.


Kami kembali semula ke  tempat penginapan, Naqi sedang tidur. Aku mencari ruang pribadi untuk membentangkan alas  tidur setelah membersihkan diri  sementara menunggu  masuknya  waktu solat maghrib.


Wak pula bersedia memulakan peranannya sebagai chef.  Badan dah penat, ada orang sediakan makanan . Gila tak bahagia. Aku tersengeh -sengeh sambil  goyang-goyang kaki. Tengok kaki Ija dan kaki aku. Kami mengkakikan kepala wak secara berjamaah. Ha Ha Ha !



Ahad, 11 Disember 2017



Setiap hari kami tidak pernah gagal untuk bangun awal, selepas solat subuh kami terus bergerak dari penginapan menuju ke simpang ke Trangon. Dalam kesamaran dinihari, kami  berselisih dengan seorang warga tempatan yang sedang berjalan ke kebun  tanpa memakai kasut.  Wak memberhentikan motorsikalnya. Aku dibelakang tidak mendengar  dengan jelas apa yang dibualkan. Hanya terdengar  “berjalan tanpa kasut  untuk menjaga kesihatan”. Kasutnya ada dalam bakul. Menurut Wak suara bapak itu sungguh sedap dan lemah lembut. Dari raut wajahnya pun aku nampak tenang dan manis.  





Cuaca pagi ketika itu sungguh dingin. Apalagi bila menentang angin.  Kabus  kelihatan berkepul-kepul menutupi kanopi  hutan.




Cuba teka kenapa Naqi tersengeh ? Nampak tak apa yang Naqi dan aku nampak ?


B I N G O !


Seni Kerawang Gayo dipamirkan di bahagian atap bermotifkan Awan larat @ Awan berarak


Sengaja bertanyakan arah jalan pada kakak yang sedang duduk bersantai di tepi jalan. Itu cara Wak untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan. Kalau dia bagi lagi ayat power mau dapat sebiji sorang buah durian dalam kereta sorong tu. Aku rasalah, Wak tak nampak buah durian tu kot. Aku rasa ja.




Jalan rayanya juga bagus dan agak sunyi. Beginilah rupa jalan Gayo Lues  yang menghubungkan antara Babahrot , Tongra hingga ke Trangon . Laluan ini juga masih dalam pembinaan melintasi  kawasan Balai Besar Taman Nasional Gunung Leuser.






Nantikan aksi “ one rider down , twice “


 Bentuk permukaan jalan mulai berubah setelah melepasi jambatan ini.

 






Kami sangkakan tiada langsung penempatan di sepanjang jalan , rupanya ada sebuah kedai makan di tengah-tengah hutan sebagai hentian rehat bagi warga tempatan yang berulang alik ke luar kota.  Kalau lah kami tahu, dari semalam dah boleh terus  gass ( pulas).



KALAU ber KALAU !


Memandangkan kami belum bersarapan, sudah semestinyalah kami berhenti untuk mengambil sesuatu sebagai  alas perut.  Menunya cuma ada pop mee dan mee rebus. Uhf. Aku sekadar memesan kopi paket kapucino  cicah biskut.  Ija dan Naqi makan mee rebus. Wak masuk ke dapur mintak makan  nasi lauk kobis  goreng dan ikan masin. Sebenarnya itu sarapan tokey kedai untuk keluarganya. Ahh.. takkan tak kenal Wak. Apa benda yang dia tak boleh dapat. Katanya nak merasa masakan orang tempatan menggunakan dapur kayu. Baru seru. Lantak la Wak !


Sedang  rancak berbual, aku terpandangkan sesuatu di dinding. Bulu burung apa tu ? macam burung enggang. Tanya tokey kedai katanya burung Bujang Raja, rupanya seperti burung enggang. Owh. Mesti banyak kat dalam hutan ni.



Dari pintu dapur keluar seorang anak kecil mengintai, dengan perlahan-lahan dia menghampiri kami dengan wajah polos. Inilah wajah asli Gayo.


Jalan tanah merah berbatu kerikil terus dihidangkan sepanjang laluan. Aku terpaksa berhati-hati apabila mendaki atau menuruni bukit yang curam, bimbang tayar dan brek  tidak mampu mencengkam , akibatnya mengelongsur ke bawah semula nanti. Ketajaman batu kerikil juga harus aku awasi, jangan merosakkan tayar dan tiub nanti. Tengah hutan belantara mana nak cari bengkel oi.


Lihat lah Naqi, tersenyum lebar apabila menghadapi jalan begini. Seronok dia dengan gaya 10 goyang inul.
Korang apa tau !


Kerana sukar untuk mendaki dengan bebanan, Wak terpaksa menurunkan bag, kemudian berpatah semula untuk mengambil Ija yang terpaksa turun berjalan kaki.






Jumpa lagi satu kawasan rehat di atas puncak gunung. Ada wakaf dan musolla serta warkop.
KALAUlah.. Huh.



Bermalam di sini menjanjikan kesejukan paling maksima sehingga ke tulang sum-sum. Menjelang pagi pula  menjanjikan dengan awan nano dan kabus meliputi keseluruhan kawasan ini. 




Kami meneruskan perjalanan menuruni bukit yang curam dan di hadapannya ada selekoh. Kus semangat ! Tanjat kita. Aku dah cuak . Aku tengok ada jambatan yang masih dalam pembinaan. Naqi dah lepas  dahulu. Camana nak lalu ni ? sebelah kiri berlubang, jadi aku kena pilih yang sebelah kanan. Tanah pulak lembik, silap perkiraan mahu aku tergolek. Waduhh !




Mahu tidak mahu aku harung jugak, lepas ! Alhamdulillah.Phews.


Bila dah turun bukit kena  terus  pulas minyak untuk  mendaki , mendaki dan terus mendaki semula. Tak ada peluang untuk berhenti.



Di sini lah kisah cinta bermula.  Aku mengikut rentak Naqi di hadapan sambil mengelak lopak pada kecuraman 45 darjah. Cukup berhati-hati untuk tidak jatuh. Entah macamana ketika mengelak alur lopak aku boleh terlebih pulas ( ketika itu gear 1), Nah ! sekelip mata, aku  terlepas 'handle' motorsikal dan terus aku melompat.  Cit.



One rider down.  Ting ! ting !
Lecce.
Semangat aku mula hilang 20%. Demi semangat Cut Nyak Dhien, aku teruskan jugak tunggangan dengan hati bergetar. Heh heh heh.



Kemudian lalu pula jalan yang mempunyai alur air. Aku pilih lalu dalam air kerana aku yakin ianya tidak licin berbanding jalan tanah lembik dan becak. Sebaik keluar sahaja dari laluan air, tayar belakang aku membuang.
Nah ! aku melompat untuk kali kedua. Aduh !  Aku hilang semangat lagi. Aku rasa masalah sebenar adalah dari tayar motor belakang yang botak. Mana mungkin aku buat kesilapan lebih dari sekali. TIDAK MUNGKIN. Eheks.


One rider down, twice . Ting ! ting !
Huh.
Hello, aku bukan rider oke. Aku hanya seketul macik kentin yang menunggang motorsikal  ulang alik pergi pasar ja.
Tombiruo bilang ; "kau Hilang semangat lagi ".
Asal jumpa jalan tanah merah ja aku dah owh man ! Bila mau habis daa.

Yang sebenarnya aku risaukan motorsikal ja. Kalaupun aku jatuh, benda pertama sekali aku periksa adalah keadaan motor. Aku luka tak apa, jangan motor yang luka. Kopak kocek aku kang. Dah la datang bawak duit cukup-cukup, tak lebih tak kurang. Masuk buku 555 lagi ada lah. Ngerti ?


Kami ada berselisih dengan penduduk yang bekerja sebagai buruh binaan di laluan ini. Cuba perhatikan motorsikalnya.


Bekal makanan dia sempoi ja. Ini baru dinamakan gantung ikat tepi.


Kami selamat tiba di pintu gerbang perbatasan Blang Kejeren. Kelihatan dua buah motorsikal melewati kami yang terdiri dari pasangan suami/isteri, masing-masing mengendong anak kecil.  Kami melambaikan tangan tanda selamat jalan.




Aku terfikir,  takkan nak lalu jalan macam tu dengan anak kecil ?  Dah-syat betul ‘skill’ dorang ni dengan laluan ‘offroad’  macam tu pun layan dengan senyuman. Walau bagaimana pun tak lama lagi, jalan ini akan siap dan menjadi laluan hutan paling cantik. Mau ulang gass ?


Di sini tak perlu risau tentang tempat untuk menunaikan ibadah. Asal ada punca air, di situ akan ada pondok kecil untuk menunaikan solat. Untuk dijadikan tempat bermalam pun boleh cumanya, harus berhati-hati. Haiwan liar masih banyak di sini. Aumm.

tempat berdiang api

sejadah



Berhenti sambil ber selfie sementara menunggu Wak yang sedang menghadap tanjakan dengan gear 1 kayuh.




Buktinya dapat dirakamkan dari kamera  Wak. Ketika itu aku dan Naqi telah mendahului Wak  di hadapan.  Menurut Ija, sebaik sahaja kami lalu, seekor haiwan berwarna hitam keluar dari tepi hutan sambil memandang ke arah Wak, kemudian terus menyelinap masuk ke semak dan  terus  hilang. Bila di selidik dengan ranger perhutanan, ternyata itu adalah harimau akar. Rezeki di siang hari.


Jam sudah menunjukkan 1138. Cuaca makin terang dan panas. Berhenti sebentar di kedai berhadapan Pos Perbatasan Blang Kejeren untuk menambah jumlah minyak dan membeli air minuman.  Sambil itu Ija dan Wak bertanyakan tentang laluan seterusnya kepada pemilik kedai itu.


Beginilah cari kami mengembara. Lebih gemar menggunakan GPS (Guna Penduduk Setempat) dalam mencari laluan, lokasi-lokasi menarik atau cerita yang tersembunyi. Itulah yang akan memberi pengisian ilmu yang bermakna dalam sesuatu kembara. Secara tidak langsung, kita akan lebih memahami budaya peradaban mereka yang tidak pernah kita ketahui.



Cuba lihat anak kecil ini, raut wajahnya begitu redup. Kening dan alisnya tebal serta hitam menunjukkan ciri-ciri asli orang Gayo . Aku ingat kenapa dia buka peti ais kemudian duduk diam terkelip-kelip matanya melihat kami. Rupanya nak kurangkan rasa bahang dek cuaca panas. Cerdik.


Sudah memasuki kawasan perkampungan Bukut, Terangon Gayo Lues. Pemandangan pun super duper cantik. Tulis panjang berjela  tak guna, biar gambar yang berbicara.






Anak-anak  berehat di tepi jalan kerana perjalanan pulang berjalan kaki dari sekolah amat melelahkan.



Tengoklah betapa hebatnya Allah dengan ciptaannya yang begitu teliti dan teratur menjadikan pemandangan  begitu  menakjubkan.  Gunung  ganang sebagai latar belakang, dihiasi dengan pokok pain, disalirkan sebatang sungai untuk mengairi petak-petak sawah. Sawah pulak bertingkek-tingkek. Pokok kelapa sebagai penyeri.  Subhanallah, Masya Allah, Tabarakallah. Ini di Blang Kala.


Tanaman padi di sini masih kelihatan hijau. Dalam beberapa bulan pasti akan bertukar menjadi kuning keemasan.





Pokok padi yang ditanam oleh penduduk di sini tidak serentak. Macam di Blang Kala, padinya baru menghijau, tetapi di Kampung Garut sudah pun boleh dituai. Padahal jarak antara keduanya cuma 4 km sahaja. Seluruh penduduk Kampung  Garut keluar bergotong royong bersama-sama membantu menuai padi. Tak kira tua, muda dan kanak-kanak, kelihatan mereka melakukannya dengan riang gembira. Kita yang tengok pun teruja, macam ada pesta pulak.











Kampung Penosan, Blang Jerango jam 1600. Kedinginan mulai terasa. Wah, lihat itu, kelihatan jajaran gunung seakan benteng yang kukuh memagari lembah. Kiri kanan tanaman padi sedang menghijau, saluran air kecil dibina bersebelahan batas sawah untuk mengalirkan air dari gunung untuk keperluan masyarakat, tanaman serta haiwan ternakan.




Ini lah pintu masuk jika kita nak mendaki ke Gunung Leuser yang berketinggian 3,404 meter dari aras laut. Gunung Leuser terletak di dalam Taman Nasional Gunung Leuser, yang mana Taman Nasional ini menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Untuk malam ke 6 kami akan bermalam di sebuah pondok berdekatan dengan sebuah jeram berlatar belakangkan jajaran banjaran Gunung Lueser





Macam biasa, Wak pakar masak, Naqi pakar buat air. Ija tukang hidang. Dah siap aku tukang makan. Jangan bangkang ! hahaha.


Anak siapa lah tu, sejuk perut mak dia. Alhamdulillah. 'Still Single and Available'. Berminat ? Oke go !


Tengah malam sejuk terlampau, dengan hujan di ketinggian entah berapa ribu kaki aras laut ni aku tak tahu. Perut pulak tak sedap. Terpaksa turun dalam gelap-gelap tu pergi tandas. Anjing pemilik tempat ni memang sentiasa berkeliaran, kemudian melolong macam nampak hantu. Aku yang dalam keterpaksaan ni dah tak kesah dengan semua tu, jalan terus. Sampai depan pintu bilik air. Kus semangat ! betul- betul terkejut bila seekor katak besar duduk  depan pintu. Ketinggian dia kira-kira sejengkal tangan aku. Kalau dah tinggi macam itu, besar dia korang mesti boleh agak. Besar betul haiwan kat sini. Dulu pernah tengok masa kat Kenaboi, Negeri Sembilan.
Ala, ni yang lemah ni, geli ! Macamana nak halau. Perut memang tengah sakit tahap maksima. Ahhh. Lantak ah, aku buka ja pintu, jadi katak tu pun tertolak ke belakang. Geli campak tepi, asal katak tu pergi jauh dari laluan aku. Lega. Urusan dengan alam selesai dengan jayanya.

Oke, boleh sambung tidur semula.

Bersambung di sini.

No comments:

Post a Comment