Senarai masjid - masjid lama ini didapati dari maklumat di internet. Kemudian aku terasa nak mencari semua masjid yang disenaraikan tersebut yang berada di Semenanjung.
Maka inilah gambar-gambar yang dapat aku rakam.
Masjid/Surau Tua di Negeri Sembilan :
01. MASJID KUALA DULANG - 1618 (405 tahun)✅
Merupakan masjid tertua di Jelebu yang dibina di tepi sungai. Diasaskan oleh dua ulama besar Minangkabau pada abad ke 16. Mereka telah meneroka perkampungan ini yang kemudiannya dinamakan kampung Peninjau. Pada mulanya, masjid ini adalah bangsal beratap ijuk yang dijadikan tempat mereka berteduh (Dato Nika dan Mudim Khatib Raja). Nama masjid ini diambil sempena peristiwa kemunculan dulang makanan yang tidak diketahui siapa pemiliknya. Makanan tersebut mencukupi untuk dimakan oleh ramai orang.
Tetapi masjid lama tidak lagi wujud kerana masjid ini adalah masjid yang telah dinaik taraf kepada binaan moden. Mungkin hanya tapak masjid sahaja di tempat yang sama.
Kesimpulannya, masjid ni hanya lama pada tapaknya sahaja. Seni bina asli sudah tiada lagi.
02. MASJID KG PARIT ISTANA - 1796 (227 tahun) ✅
Masjid Lama Kg Parit Istana merupakan bangunan kayu seni bina warisan yang dibina pada tahun 1796. Ia terletak di Kampung Parit Istana, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah dan antara bangunan terawal di Terachi. Reka bentuk unik masjid tradisional Negeri Sembilan ini melambangkan Adat Perpatih yang diamalkan oleh penduduk Negeri Sembilan.
Masa masuk rasa best ja. Macam nak berlama-lama ambik gambo tiang yang berukir tu. Sayang betul dah reput, menanti rebah.
03. MASJID BUNGA TANJUNG- 1828 ( 195 tahun)✅
Diberi nama sempena nama sebatang pokok bunga tanjung yang tumbuh di persekitaran masjid ini. Terletak di tepi sungai yang mana dahulunya menjadi tempat mengambil wuduk bagi para jemaah. Masjid ini masih cantik dan harapan terbesar adalah dipelihara dengan sebaiknya. Dibina pada tahun 1828, bermakna usianya sudah mencecah 195 tahun tetapi keadaan bangunannya masih kukuh berbanding Masjid Lama Kampung Parit Istana (227 tahun) yang telah terlalu uzur menanti rebah. Masjid Kuala Dulang (405 tahun) pun sudah hilang ke asliannya setelah diubah suai.
04)Masjid Kg Nerasau - 1834 (189 tahun)
05. MASJID TERUSAN - 1840 (183 tahun) ✅
Masjid Warisan Kampung Terusan terletak di Kampung Terusan, Juasseh.
Dibina pada tahun 1840 dan diasaskan oleh Dato' Siamang Gagap yang juga merupakan arkitek masjid lama ini.
Penduduk Kampung Terusan turut bekerjasama secara bergotong-royong membina masjid ini yang mengambil masa 6 bulan. Bahan asas binaan asal masjid ini ialah kayu Seraya.
Bumbung masjid pula diperbuat daripada nipah dan ijok. Terdapat 4 batang tiang utama di dalam masjid yang diperbuat daripada kayu jenis Balau Kumus. Lantai masjid pula diperbuat berasaskan rasuk dan pelancar dan dialas dengan kulit kayu kepong.
Struktur lantai masjid pada asanya diperbuat daripada kayu sebelum diganti dengan lantai konkrit pada tahun 1924.
Terdapat penambahbaikan pada masjid ini di mana kubah kecil pyramid diletakkan di atas atap masjid.
Struktur kubah sekarang telah menggantikan struktur kubah pyramidal yang asal.
Antara ciri menarik lain yang ada pada masjid ini ialah jenang pintu masuk masjid yang rendah. Ini bertujuan supaya jemaah berjalan tunduk sebelum memasuki masjid sebagai tanda hormat.
Jumlah jemaah yang boleh dimuatkan dalam satu masa ialah seramai 40 orang. Kerajaan Negeri Sembilan melalui inisiatif pemuliharaan rumah dan bangunan warisan telah mengeluarkan geran bagi membaikpulih dan memulihara masjid ini dan menjadikannya Masjid Warisan Negeri.
06) Kg Machang Ulu - 1840 (183 tahun)
07) Dato Klana Petra - 1840 (183 tahun)
08. MASJID LAMA LINGGI- 1884 ( 139 tahun) ✅
Masjid ini dibina oleh pemerintah autonomi Luak Linggi iaitu Y.M Dato Muda Muhammad Parghal @ Dato muda Peral. Dato Muda Linggi ke 4. Kompleks makam dihadapan Masjid ini adalah makam beliau beserta ahli keluarganya.
Ada perigi juga tapi aku tak xplore pusing keliling.
Dua pucuk meriam dihadapan masjid ini dipercayai sebagai salah satu alat kebesaran Dato Muda Linggi. Satu bernama Padam Pelita dan satu lagi bernama Gempita Alam. Linggi suatu masa dulu adalah wilayah autonomi dikenali dalam istilah adat "Bergajah Tunggal". Linggi dalam sejarah Negeri sembilan amat penting sekali. Pemerintah Linggi berkuasa memungut cukai dari kapal dan perahu yang membawa bijih timah dari pendalaman Negeri Sembilan ke Melaka. Kemakmuran dan kekayaan pemerintah Linggi terbukti dengan pembinaan Masjid Warisan ini yang dikira cukup elegan dan berqualiti di zaman itu. Dengan bahan binaan batu,beratap genting dan berukiran kayu yang sarat melambangkan dana yang cukup tinggi bagi pembinaannya ketika itu. Masjid ini dipercayai dibina sekitar pertengahan tahun 1800. - enchek Anonymous.
09) Tanjung Beringin - 1892 (131 tahun)
10. MASJID LAMA REMBANG PANAS - 1897 ( 126 tahun) ✅
Jikalau nak tahu cerita dengan lebih lanjut, sila lah klik di link 👇
Aku datang pun ketika hujan, jadi tiada siapa yang boleh ku tanyakan tentang sejarah masjid ni. Mengikut tarikh yang tertera di dinding masjid tahun 1897 bermakna masjid ini sudah berusia 126 tahun.
11. MASJID KAMPUNG SAWAH RAJA - 1898 (125 tahun) ✅
Masjid lama yang paling ringkas rekabentuknya. Dikatakan ia telah dibina pada tahun 1898, tetapi tiada cerita bertulis mengenainya. Hrm, telek- telek jugak takkan tiada satu pun kesenian dalam binaan macam surau atau masjid yang seusia dengannya.
Terletak di tepi sungai Rembau. Pada aku bentuk asalnya memang unik, akan tetapi apabila ditambah-tambah menjadikan masjid ni dah nampak macam rumah. Tak menarik mata yang memandang.
12) MASJID JAMEK SEREMBAN - 1900 (123 tahun)
Cantik rekabentuknya. Masjid yang dibina pada tahun 1900, oleh Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan keluarga Sheikh Abdul Kadir, yang dikatakan antara pendakwah terkenal asal dari Tanah Arab.
Pada asalnya, masjid ini dibina menggunakan separa kayu dan separa simen, bagi memudahkan masyarakat Islam pada ketika itu menunaikan solat, memandangkan lokasinya berdekatan dengan sungai.
Bangunan utama tidak terjejas termasuk menara masjid yang dibina pada 1924, masih kekal di ruang legar masjid ini.
13. MASJID TOK MUAR - 1900 (123 tahun)✅
Masjid ini dikatakan telah dibangunkan sebelum tahun 1900 yang mengambil nama seorang Penghulu Luak Ulu Muar yang pertama yang bernama Dato’ Muar Bongkok Abdul Malik yang hidup sekitar tahun 1839 dan dikatakan beliau disemadikan dikawasan masjid tersebut. To’ Muar Bongkok ini pula sezaman dengan Yam Tuan Radin iaitu Yam Tuan N. Sembilan Yang ke Empat.
Menurut cerita orang-orang dahulu, pedagang-pedagang terutama dari Johor dan Melaka menggunakan laluan sungai ini dan singgah untuk berdagang dengan peduduk tempatan. Dengan kepesatan urus dagangan waktu itu, mereka mendirikan sebuah surau dan lama kelamaan jadilah ia sebuah masjid bagi penduduk Kuala Pilah.
Bangunan masjid ni dibaiki beberapa kali, cuma bahagian atap tu masih kekal bentuk asal.
Sekarang masjid ni jadi tempat kuliah anak-anak tahfiz.
14) Pekan Juasseh - 1900 (123 tahun)
15) Tanah Chembong - 1900 (123 tahun)
16. MASJID WARISAN KG KUALA SERDANG - 1908 (115 tahun) ✅
Masjid ini terletak di Kampung Kuala Serdang di atas permukaan tanah tinggi berdekatan dengan cabang Sungai Muar. Pengasas masjid ini ialah Dato' Orang Kaya Bongsu Kitong dan kini diwarisi oleh Puan Kathom binti Zainal Abidin.
Masjid ini telah dibina sekitar awal abad ke 18 di kawasan sawah padi oleh seorang tukang kayu yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera secara bergotong - royong bersama masyarakat kampung.
Peralatan pertukangan yang digunakan pada masa itu untuk membina masjid ini ialah kapak,beliung, ketam kayu dan gergaji. Dari segi rekabentuk senibina, masjid kayu ini mempunyai 20 batang tiang serta dilengkapi dengan tingkap dan sisi angin yang banyak untuk tujuan pengudaraan.
Binaan bumbung masjid ini adalan jenis limas dua tingkat dengan tunjuk langit berbentuk kubah kecil pada puncak bumbung. Bahan binaan yang digunakan untuk membina masjid ini adalah daripada jenis kayu keras yang diambil dari pokok hutan berhampiran dengan menggunakan kerbau melalui kerjasama seorang penduduk Cina yang nama islamnya Hassan sebagai pemilih kayu. Bumbung pula diperbuat daripada atap ijok sebelum ditukarkan kepada atap zink. Tangga masjid pada asanya diperbuat daripada kayu dan kemudian ditukar kepada tangga batu. Jumlah jemaah yang boleh dimuatkan dalam satu masa ialah seramai 80 orang. Kerajaan Negeri Sembilan melalui inisiatif pemuliharaan rumah dan bangunan warisan telah mengeluarkan geran bagi membaik pulih dan memulihara masjid ini dan menjadikannya Masjid Warisan Negeri.
17. MASJID LAMA PELANGAI - 1910 (113 tahun) ✅
Pada tahun 1910, Masjid Lama Pelangai ini dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Senibina masjid menggunakan rekabentuk Melayu lama dan pengaruh seni Demak selain mempunyai maksud tersirat di sebaliknya.
Contohnya, 7 anak mata tangga yang masih lagi kukuh hingga kini membawa maksud kukuhnya ilmu yang diajar. Selain itu, 5 tiang gantung di tengah-tengah bumbung masjid pula membawa maksud 5 Rukun Islam. Tambahan pula, masjid tersebut juga mempunyai sebuah kolah yang digunakan untuk mengambil wuduk.
Pada sekitar tahun 1930-an pula, Shamsiah Fakeh, reformis Parti Komunis Malaya (PKM) pernah menjadikan masjid tersebut sebagai pusat pengajiannya.
Masjid yang berusia 113 tahun ini dianggap mempunyai nilai sejarah kerana wujud sekitar zaman Allahyarham Maulana Lebai Maadah Layang yang merupakan ulamak tersohor Kuala Pilah pada ketika itu.- Sumber enchek wikipedia
18. SURAU BATU KAMPUNG GADONG - 1920 (103 tahun) ✅
Surau Batu Rembau atau nama khas sebenarnya Surau Warisan Undang Dato' Lela Maharaja Hj Sulong bin Ambia (Undang Rembau 1917-1921).
Boleh semak perkembangan terkini masjid ini di sini.
19. MASJID TUAN TULIS - 1921 (102 tahun) ✅
Syeikh Tuan Tulis atau nama sebenar beliau Haji Ismail Hussein merupakan seorang tokoh agama dan wali Allah yang terkenal di Negeri Sembilan, khasnya di sekitar Kuala Talang, Kuala Pilah. Beliau dilahirkan pada tahun 1840 (ada juga keterangan yang menyebut dalam tahun 1860-an) dan meninggal dunia pada tahun 1922, dalam bulan Ramadhan ketika berzikir selepas solat subuh. Beliau telah membina masjid yang dikenali sebagai masjid Tuan Tulis di Kuala Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah dan masih digunakan sehingga kini.
Di sebelah masjid ada makam beliau dan tabuh lama. Aku tak masuk sebab tujuan utama cuma nak tengok rekabentuk masjid tu sahaja.
Kenapa dipanggil Tuan Tulis adalah disebabkan beliau suka menulis , dalam ertikata menyalin semula kitab-kitab yang dipelajarinya.
20. SURAU LAMA KG PILIN - 1926 (97 tahun) ✅
Bila tambah atap, tambah pagar telah menutup dan mengubah wajah asal masjid. Dibina pada tahun 1926, kini umurnya 97 tahun.
Di sini juga letaknya makam Ustaz Ashaari Muhammad ( pengasas Al Arqam)
21. MASJID LAMA NILAI - 1928 ( 95 tahun )✅
Inilah masjid lama Nilai yang dibina tahun 1928. Terletak di pekan Nilai. Bentuk bumbung piramid bertingkat tiga lapis yang merupakan bentuk tradisional masjid Alam Melayu tapi
masjid ni dimakmurkan oleh masyarakat India Muslim setempat bersama penduduk Melayu tempatan.
Ambik gambar dari luar ja.
22. MASJID QARIAH KG MENDUM - 1928 (95 tahun)✅
Masjid yang dibina pada tahun 1928 ini antara masjid tertua di Lenggeng. Bahan asas bangunan masjid ini telah diganti dengan binaan batu keseluruhannya. Sudah tidak nampak keasliannya melainkan bahagian menara.
23. MASJID LAMA KAMPUNG BATU SERAMBAI ✅
Masjid ni dipercayai dibina pada era 1930-an dan kini kajian terperinci sedang dilakukan pihak berkaitan bagi merungkai sejarah masjid yang dipercayai berusia lebih 100 tahun. Buat masa ini, masjid ni menjadi tempat anak-anak kariah belajar mengaji.
24. MASJID LAMA ULU BERANANG - 1935 ( 88 tahun)✅
Masjid Qariah Ulu Beranang telah dibina pada tahun 1935 oleh penduduk setempat. Tapak masjid ni telah dikurniakan oleh kerajaan negeri. Masjid ini pernah dibaiki dan dibesarkan pada tahun 1993. Sejak covid melanda selama 2 tahun lalu, jemaah sudah tidak datang lagi ke masjid ini Dengar2 masjid ini akan dirobohkan setelah 88 tahun memberi khidmat.
25. MASJID LAMA KAMPUNG BONGEK - 1936 ( 87 tahun) ✅
Tak de kisah yang boleh didendang, cuma ada tertulis tarikh pada kolah masjid pada tahun 1936. Kalau itu tarikh dibina bermakna usia masjid ni baru 87 tahun.
26. MASJID LAMA PORT DICKSON- 1945 ( 78 tahun) ✅
Terletak di atas sebidang tanah bertingkat, masjid ini mempunyai bumbung tiga tingkat, dan anjung hadapannya dihiasi dengan kubah emas kecil.
Tangga batu ala Melaka menghala ke anjung hadapan. Bumbungnya disokong oleh tiang konkrit dengan gerbang berbentuk ladam yang dihiasi dengan kubah warna emas.
Di katakan bina tahun 1945, kalau betul masjid ni baru 78 tahun umurnya.
27. MASJID WARISAN SUNGAI RELAI ✅
Masjid ini terletak di tepi jalan sahaja. Telah mendapat status masjid warisan dan dibaik pulih pada tahun 2007. Dikatakan ia dibina pada tahun 1950. Beginilah keadaan terkini masjid ini.
28. MASJID LAMA KUALA KLAWANG - 1965 ( 58 tahun)✅
Telah dibina pada tahun 1965. Pengasasnya ialah Allahyarham Tuan Haji Ibrahim bin Haji Mansor. Tapak masjid ini telah dikurniakan oleh kerajaan negeri.
Sejarah bermula apabila seorang pekerja Jabatan Ukur, Allahyarham En.Shafie ( Bapa Tan Sri Ghazali) menyediakan sebidang tanah untuk tapak surau di tepi Sungai Teriang. Hasratnya diteruskan oleh En.Munshi (peniaga India Muslim) dan berjaya mendirikan surau dagang di simpang Ulu Jelebu. Masjid yang ada sekarang telah dibina dan dinaik taraf pada tahun 1988, 2003, 2008, 2009 dan 2010.
* Akan ada lagi penambahan masjid lama.
No comments:
Post a Comment