Saturday, June 11, 2016

Aku, Dia dan Gajoh di Route 185 ( Felda Aring-Kenyir) Episod 3

Episod sebelumnya klik di sini

27/5/2016
Jumaat

Setiap hari kami bangun awal. Bergilir-gilir bersihkan diri, solat dan kemas tempat tidur seperti sediakala. Sekitar jam 7 pagi kami sudah sedia untuk memulakan perjalanan. Tapi sebelum tu, nak bersarapan dulu di kedai makan Pok Su. Katanya semalam, esok kedai buka jam 7 pagi, tapi jam 7 masih sunyi ja. Lama juga kami menunggu dan akhirnya aku mengambil keputusan untuk beredar sahaja. Sebelum tu Katt dan aku ada berniat untuk memberikan sedikit saguhati, tapi tak jumpa pulak Pok Su. Aku masuk semula ke dalam bilik dan menyelitkan pemberian tersebut di dalam plastik yang dijadikan pembungkus bantal. Mudah mudahan ketika mereka nak kemas bilik tu nanti akan ternampak jelas. Terima kasih Pok Su beri kami tempat bermalam. Semoga chalet Pok Su akan berkembang maju dan ramai pengunjung yang datang menginap.
Kordinat lokasi kedai Pok Su : 5.178323, 102.645153

Oke Katt jom ! untung-untung dapat jumpa gajah pepagi ni. Perut memang lapar, tapi masih boleh bertahan hingga berjumpa dengan air terjun tepi jalan nanti . Cadang nak makan mee kari kat situ sebab lebih selesa dan ada punca air, konon lah !. Padahal lokasi air terjun tu punya lah jauh lagi.



Aku terlupa seketika dengan rasa lapar kerana terleka dengan panorama di waktu pagi ketika sinaran mentari menyinari di celah- celah dahan pokok, dan sinaran itu menembusi kabus maka terlihatlah jalur jalur sinaran  yang memukau.



Apabila aku menarik nafas dalam-dalam terasa paru-paru aku ni dingin dan lapang ja. Udara pagi yang segar. Makin lambat aku kayuh nampak gayanya. Haish ! " Fabi aiyi aalaa irabbikuma tukaz zibaan " (55/Ar-Rahman )
Aku teruskan kayuhan lalala dengan kadar yang paling lambat dari kura-kura. Dan tiba-tiba satu bukaan di hadapan aku mempamirkan sesuatu yang "subhanallah, alhamdulillah, la ilaa ha illalah, allahuakbar !. 
Kau tahu kawan, rasanya macam filem dinasour yang 'moment' tengah sesat jalan dalam hutan tiba-tiba bila selak pokok-pokok, tu dia..
Tadaaaaa... ! 


Satu pemandangan yang menakjubkan. Dari mana datangnya puncak gunung tu ? Puncak gunung Tebu kah ?Apasal sebelum ni takde info atau gambar menceritakan kecantikkan di sini ? Walawei dengan kabus yang sedang berarak di tengah-tengah membuatkan aku terpaku.



Dari jauh aku berteriak pada Katt, 'Katt jangan bergerak, duk ja situ, aku nak ambik gambo. Lawa gile !'
Oke2 tak pe aku tunggu sebab depan tu dah 'downhill', balas Katt.


Masing-masing dengan muka terpegun, senget-senget mulut nak menunjukkan kekaguman terhadap pencipta  alam semesta yang menciptakan satu makhluk yang berada di depan mata.


Haa, gambar yang ni paling aku suka. Lambai tangan semasa 'downhill'. Terima kasih Katt pantas membuat tembakan yang sungguh menarik. Wee hooo !



Turun saja bukit tu, baru jumpa simpang ke AKS Resort. Resort yang berkonsepkan 'boathouse'. Tempat ni juga sesuai untuk dijadikan tempat bermalam, tapi sebab semalam tak pasti berapa jauh lagi jaraknya maka kami lupakan saja lah. Lawa juga persekitarannya. Tenang dan damai ja. Untuk kaki pancing memang seronok lah. Campak ja umpan depan pintu bilik lepas tu sambung tidur. Aci ?


Aku berhenti di atas jambatan dan diam. Hanya bunyi kicauan burung dan kocakan dari sambaran ikan terhadap mangsanya saja yang kedengaran. Owh bunyi cengkerik krik krik  juga tak ketinggalan. Rasa macam malas ja nak bergerak, seronok sangat duduk situ. Aku nampak Katt lama termenung memerhatikan persekitaran, aku dah mula berkayuh dia masih terpaku di situ. Menikmati le tu.



Menurut Pok Su, jambatan ini lah sempadan untuk gajah. Selepas jambatan ni, dah bebas dari habitat gajah. Gajah banyak bermain-main di sekitar Sungai Ketiar hingga ke situ. Kadang-kadang gajah ada juga datang ke kawasan kedainya, dan Pok Su memberi makan roti kepada gajah-gajah liar tu. Wah macam tak percaya ja gajah tu begitu jinak. 

Perut makin memedih, tenaga makin lemah, dalam hati berdoa agar Allah adakan sumber air di hadapan. Kelihatan banyak bekas tanah runtuh di sepanjang jalan ni dan pekerja-pekerja binaan sedang sibuk memperbaiki jalan yang habis terhakis akibat air hujan.


Aku terus berbisik mana air terjun ni ? mana ? mana ? Tak semena- mena aku terdengar bunyi air mengalir deras. Wah ada punca air kat sekitar sini, aku kayuh laju sedikit agar cepat sampai.
Bila tiba saja di kolong ni aku terus memakirkan  basikal di penghadang besi jalan. Nak gak tengok mana datangnya bunyi air tu. 
Alamak ! kolong air dah jadi macam bilik mandi la, tapi tengok airnya bersih dan jernih. Kira boleh lah. 


Aku berjalan pun dan terhoyong- hayang sebab gula dalam badan dah habis langsung. Mujur tak nampak bintang-bintang atas kepala. Cepat-cepat keluarkan dapur dan segala keperluan memasak. Tak lama kemudian Katt pun sampai. Lokasi tempat kami berhenti memang strategik. Redup.


Aku keluarkan bekalan mee rebus Kuala Berang pemberian EL. Harap tak basi la hendaknya. Nampak sedap dan menyelerakan. Tak ada siapa boleh tolak rezeki serupa ini. Yummeh !


Kombinasi yang sesuai, air teh panas dan mee rebus special. Makan tak pandang kiri dan kanan dah.



Katt termenung mengenang nasib diri di laluan nombor 185. Pemandangan yang sangat indah, kalau bentang tikar sambil baring minum teh pun manis juga ni.


Sedapnya Katt menghirup air teh yang aku buat. Hihi. Padahal dialog untuk gambar ni " Katt tolong habiskan air teh ni, tinggal sikit ja lagi. Sayang nak buang. Minum lah ! minum lah kasi habis. Tak payah pakai cawan. Tegok ja cam tu."


Perjanjian asal, aku masak, Katt basuh pinggan. Tapi bila cubaan demi cubaan Katt gagal untuk turun ke dalam kolong ni, maka akhirnya aku dengan rela hati turun dan basuh. Tinggi betul dinding kolong tu. Dek kerana badan aku ringan maka mudah la melompat turun. Bila dah turun nak naik semula punya la payah. Nasib baik Katt gagah, dengan kekuatan yang dia ada, dengan dua kali tarik saja dah naik. Har Har Har..


Sempat rakam aksi membasuh pinggan cara mudah. Tak payah nak beria gosok hilangkan minyak kuah . Semua tu biar air yang buat. Kita cuma letakkan serbuk sabun dan kemudian campak ja ke bawah air yang deras. Ching ! Beres.


Perjalanan diteruskan setelah perut diisi dengan penuhnya. Kenyang la pulak, mengah nak kayuh, jangan muntah sudah. Ngee ! Tak berapa lama, aku jumpa air terjun lagi yang agak menarik, cumanya terlalu jauh untuk sampai ke gigi air. Semak pulak tu.


Cuaca makin panas berbahang, di kiri dan kanan jalan tiada langsung pokok rendang untuk berteduh. Laluan terbuka dan bahu jalan landai. Memang sesuai untuk gajah melintas. Sesekali terdengar bunyi pokok patah. Aku tahu tapi diamkan saja. Katt juga terdengar jeritan haiwan yang dia sendiri tidak tahu, bunyi haiwan apakah itu. Masing-masing menyimpan persoalan dalam hati. Dari jauh aku nampak papan tanda yang besar. Cepat-cepat ku kayuh menuju ke situ. Menyandarkan basikal di tiang papan tanda dan mencari tempat redup untuk berteduh. Ahh..enaknya. macam nak tidur ja kat sini.
Tiba-tiba hp aku berbunyi tanda mesej diterima. Eh kat sini ada 'line coverage' la. Mesej dihantar oleh Ija Zahri yang bertanyakan khabar berita dari aku. Owh dari semalam tiada 'update' dari aku membuatkan kawan-kawan merasa bimbang dengan keselamatan kami di sini. Terima kasih kerana cakna tentang keberadaan kami di sini.


Bila agak redup, aku cepat-cepat capai basikal dan terus kayuh. Katt aku jalan dulu eh. Katt cuma jawab OK, sambil sambung lelapkan mata.


Ahah ! akhir bertemu juga dengan air terjun ni. Air terjun yang tak bernama. Tak kesah lah apa pun namanya, asalkan cantik dan persekitran menarik. Cuma sikap pengunjung yang masih pengotor membuatkan tempat ini sedikit cacat. Sampah sarap bersepah- sepah. Huh!


Di sini kalau nak ikutkan memang sesuai untuk berkemping. Ada ruang untuk dirikan khemah. Katt mengambil peluang untuk memanjat hingga ke atas. Ada lagi tingkat paling atas cuma treknya agak licin. Mungkin ada kolam kat atas sana. 


Lokasi yang memang syok, baring dan mengadap air terjun. Boleh lena dibuatnya. Kalau tak diingatkan memang aku nak ja duduk kat situ lama-lama. Ala, misi dah berjaya, tak de apa nak dikejarkan lagi. Relak la.


Walau hati kata tak nak, tapi akal kata jom gerak, nanti lambat sampai. Sebagai ingatan, aku mintak Katt rakamkan gambar kami berdua di sini bukti sudah sampai.



Kayuh punya kayuh tiba-tiba nampak papan tanda tamadun. Eh eh dah sampai ke ? Antara air terjun dan KECV ni tak la jauh, kejap ja dah sampai. Ish, kalau duduk kat air terjun tadi barang sejam dua kan seronok. Bisik hati aku.
Ada juga aku nampak simpang masuk ke tempat perkelahan air terjun Buweh. Cuma kena masuk jauh ke dalam. Malas la pulak nak mencari- cari, jadi aku lepaskan saja. Mungkin aku akan kembali lagi dengan konsep kembara bermotosikal. Tak le penat sangat kalau tersesat. 
Kami sampai di 'Kenyir Elephant Village' jam 1230 tengahari. Masa tu nampak seorang petugas sedang menyusun kon merah menutup jalan masuk ke situ. Agaknya dia tengok kami ni beria-ria nak mengambil gambar lalu dia pun tegur untuk memberitahu bahawa tempat tu akan ditutup sementara kerana waktu solat Jumaat.
Oleh kerana kami baru sampai, nafas lelah pun tak reda lagi, maka agak tersentak jugaklah. Hapa ? ditutup ?? Ala..penat-penat kami kayuh jauh-jauh datang nak tengok gajah. Alih-alih ditutup ? Kecewanya. Petugas tu cuma tersengeh, dan menerangkan semula; Tak, ditutup sementara sebab kami nak g solat Jumaat. nanti jam 2.30 petang buka semula. Kalau nak masuk berehat boleh la berehat di kafe kat dalam tu ..
Ooo..lega dengar. So kami boleh masuk la ni ? tapi sebelum tu boleh tolong ambikkan gambar kami kat tulisan ni tak ?
Boleh, tak de masalah, jawabnya.
Yay !

Girang sungguh di hati. Kata nak tengok gajah kan ? haa tu dia. Di mana-mana jumpa gajah. Dari papan tanda gajah, tahi gajah, replika gajah dan sebentar lagi dapat tengok gajah sebenar. Hidup punya ! Sebelum tu pekena teh O ais dulu. Sedut sampai beku otak. Arrkk !


Aku sebenarnya malu pada Katt sebab dia banyak belanja aku itu ini. Nak masuk sini pun dia nak belanja. Aku memang tak mampu nak bayar harga tiket masuk, ye lah maklum lah, bajet 'travel' aku ni jenis cukup-cukup makan ja. Bila diajak masuk ke sini rasanya. alamak. Tak pe lah Katt ko je la masuk, bio Tun jaga beskal ya. Tapi aku kena marah balik. Erk. Cakap macam tu pun kena marah ke ?


'Ko jangan cakap banyak Tun, ko ikut ja aku masuk nanti", bentak Katt. Matilanak Katt dah marah.
"Baik Katt", aku menjawab sambil tunjukkan kepala memandang ke bumi. Huhu.


Sementara menunggu petugas membenarkan masuk, aku mengambil peluang untuk berlegar-legar di lobi. Ada kawasan pamiran tentang penubuhan kampung gajah ni, siapa pemiliknya dan sejauh mana pencapaiannya. Menurut eksekutif yang bertugas melayani aku ketika itu (lupa lah namanya, harap jika dia membaca blog ni, sila lah menghubungi aku dengan menghantar PM di laman FB aku untuk aku menambah maklumat yang terkurang tentang KEV) "Segala rekabentuk dalaman dilakarkan oleh CEO nya sendiri iaitu Mr. Ang Ching Yang dan kemudian diberikan kepada arkitek yang dipilih untuk diperkemaskan lagi dan rekabentuk beliau ini telah mendapat pengiktirafan PAM awards 2015."
Apa itu PAM ? Ia adalah singkatan kepada Pertubuhan Arkitek Malaysia. Perkampungan gajah ini dibina dengan tujuan untuk pendidikan tentang cara menyantuni semua haiwan terutamanya gajah. Di sini akan ditunjukkan cara mengendalikan gajah, belajar berinteraksi dengan gajah dan pelbagai lagi yang aku rasa memang berbaloi untuk kita sebagai manusia untuk belajar. 


Tiba masa untuk melangkah masuk. Di hadapan aku tersergam sebuah platform yang besar. Wow kena panjat tangga. Harap lutut aku dalam keadaan baik-baik sihat walafiat. Warna platform diwarnakan dengan warna coklat seperti warna batang kayu. Katt dah jauh di hadapan. Aku sibuk mengambil gambar sana sini. Jakun.


Platform ini dibina supaya boleh menghubungkan jambatan gantung dari satu platform ke satu platform yang lain. Di bawahnya kita akan lihat gajah- gajah yang baru dihantar oleh perhilitan untuk dilatih mengawal emosi. Oke, memang nampak seekor ke dua ekor gajah dirantai kakinya. Sebenarnya itu bukan menyiksakan akan tetapi suatu proses untuk melatih gajah-gajah liar (yang baru diselamatkan perhilitan) untuk 'behave' bila berada di tempat baru. Jika tidak gajah-gajah akan bertindak merosakkan pokok-pokok yang ada di persekitaran. Gajah itu tidak dirantai sepanjang masa. Ada waktu-waktunya saja.


Dari atas laluan kanopi ni kita dapat lihat gajah dan keseluruhan pemandangan kawasan. Sangat luas. Di setiap platform ada ditampal maklumat tentang gajah. Jadi pengunjung macam aku dan Katt kena rajin-rajinlah membaca untuk menambah ilmu pengetahuan tentang apa itu gajah, perbezaan gajah Asia dan Eropah, kegunaan belalai, berat belalai, gajah suka apa  dan banyak lagi. Sedang aku berjalan tiba-tiba kedengaran suara gajah yang seakan-akan bunyi trompet. Katt terus memanggil aku; "Tun !..
"Ha apa ? terkejut aku Katt.. apadia ?"
"Bunyi ni lah yang aku dengar tadi masa kayuh. Serius beb ! sama beb ! Aku ingat bunyi apa, aku buat dek je la. Sekarang baru aku tau itu bunyi gajah rupanya." Bersungguh Katt bercerita.
"Haa la..memang bunyi gajah macam ni. Aku tadi cuma dengan bunyi pokok dipatahkan ja. Nak gak berhenti tapi kawasan lapang tak de tempat berteduh, so terus je la kayuh."
"Gempak tak Katt kalo time kita kayuh tiba-tiba keluar gajah. woo..best betul. Gajah takkan serang kita kalau kita tak buat apa. Diam-diam sudah la. Betul tak Katt ? kan kan kan ?
~ Katt masih dalam keadaan tak percaya yang dia dah dengar bunyi gajah di route 185.
nGEE !


Ini Katt. Katt suka membaca. Di setiap laluan yang ada info tentang gajah, Katt akan berhenti untuk membaca. Jadilah seperti Katt.


Kawasan ni luas, letih juga nak merayap kalau dalam keadaan perut kosong. Jadi, marilah kita berhenti rehat. Masa ni masih zero tentang gajah-gajah di sini. Jadi tiada 'rasa'.


Di penghujung platform ada ruang untuk pengunjung menunggang gajah. Setiap tunggangan dikenakan harga RM10. Kita akan duduk di atas badan gajah tanpa lapik. Ada yang mahu mencuba ? Aku dah cuba tapi bukan di sini, masa tu di Kuala Gandah. Kulit gajah kasar dan bulunya sangat keras, lebih keras dari berus sabut. Ngee !
Masa kat sini dah ada sedikit 'rasa' bila terpandangkan mata gajah-gajah di sini.


Kemudian aku dan Katt dibawa untuk melihat anak-anak gajah yang comel. Alolo, comelnya. Di sini pula tempat untuk bermesra dengan gajah sambil memberi makanan kegemaran mereka iaitu tebu. Sebakul tebu berharga RM5. Gajah- gajah di sini telah dilatih untuk berinteraksi dengan pengunjung dengan bahasa isyarat. Ha kann, haiwan pun boleh dilatih dan dengar kata, kenapa manusia ni pulak yang degil ? Ngee. Peace & chill ya !


Tiba lah masa untuk persembahan dari gajah-gajah yang comel. Sebelum tu biar aku cerita sikit tentang kisah hidup gajah-gajah di sini. Mereka yang ditempatkan di sini berjumlah 13 ekor setakat ni. Diselamatkan oleh pihak perhilitan dari ancaman manusia. Kenapa manusia ? kerana manusia ceroboh hutan, manusia tebang balak, manusia bunuh gajah untuk dapatkan gading, manusia tamak dan bla bla bla. Jadi bila kemusnahan hutan berlaku, maka musnahlah habitat gajah juga. Gajah nak cari makan kat mana ? Tiada tempat lagi. Jadi gajah merayau dan masuk ke dalam kawasan kampung dan kebun. Eh eh, manusia pulak marah, katanya gajah musnahkan tanaman. Panggil perhilitan. Perhilitan tangkap dan selamatkan gajah dari manusia. Badan gajah ditandakan, kemudian dilepaskan semula ke habitat yang lain jauh dari manusia. Jika gajah yang sama dilaporkan membuat onar lagi di kawasan baru, maka kali ini gajah itu akan terus diselamatkan, dikuarantin di santuari gajah untuk dijinakkan. Setelah jinak, barulah gajah-gajah itu diberikan kepada KEV untuk dilatih.
Nah ! kebanyakkan gajah-gajah di sini yatim piatu. Sebatang kara. Masa ni baru datangnya sesuatu 'rasa'. Uhf. Tacing.


Menurut En. Azman, zoologist yang diamanahkan untuk mentadbir KECV ni, setiap ekor gajah diberikan dua orang penjaga (mahouts). Kesemuanya ada 17 orang. Mahouts nya pula 6 orang didatangkan dari Thailand dan selebihnya dari anak jati Trengganu itu sendiri. Kos belanja seekor gajah sebanyak RM7k SEHARI. Diulangi SEHARI. Termasuk makan, makanan tambahan, penjagaan kesihatan dan kos penjaga. Harga tiket masuk sebanyak RM40 keseluruhan untuk keperluan gajah sahaja. Pecahan 70% untuk gajah, 30% untuk pekerja. Ok aku insaf, tak berkira dah. Huhu.


Persembahan dimulakan dengan memperkenalkan diri seekor demi seekor bersama penjaganya.
Kelihatannya perlakuan gajah-gajah ini sangat santai dan tidak terlalu dikawal ketat seperti dalam sarkas. Ini bukan sarkas. Aktiviti ini dilakukan untuk mengeluarkan tenaga dalaman setiap gajah-gajah, kerana jika tidak melakukan aktiviti, gajah akan cepat bosan,stres dan akan mengamuk. Secara alaminya gajah memang akan mengeluarkan tenaganya dengan bermain-main di dalam hutan seperti mematah-matahkan pokok kayu, ranting atau sebagainya. Jadi pihak KECV telah memainkan peranan yang begitu baik kerana berjaya menyalurkan tenaga gajah-gajah ini kepada perkara yang lebih positif dengan aktiviti sebegini.
.

Dalam persembahan ini gajah itu sendiri yang akan melakonkan aksi tentang kisah hidup gajah. Aku dengan Kat terkekek-kekek gelak tengok anak gajah tu terkedek-kedek berlari mengikut perbarisan yang dilakukan gajah yang lebih tua.


Ada satu sketsa yang memaparkan kisah seekor anak gajah yang masih menunggu di sisi ibunya yang telah mati sambil mengejutkan ibunya suruh bangun. Sangkanya ibunya masih tidur sedangkan ibunya telah lama mati dibunuh oleh manusia. Begitulah keadaan pilu ketika pihak perhilitan terjumpa anak gajah tersebut di dalam hutan.


Di hujung persembahan, ada sesi semburan. Alahai, dah la kami berdua duduk depan sekali. Memang jadi sasaran utama la dengan si gajah sekelian. Bila kali pertama semburan, semua penonton melarikan diri. Kali kedua pun semua mengelak. Tapi aku dengan Katt boleh pulak duduk situ tak berganjak-ganjak.  Agaknya gajah tu pun pelik, udah kenapa manusia dua orang ni. Dah kena sembur pun tak lari lagi. Berkali-kali gajah tu sembur kami sampai mahoutsnya beri arahan; "eh sudah la, sudah !"
Kamera Katt kalis air, tu yang dapat tangkap gambar semburan air ni.


Ingatkan dah selesai aktiviti, rupanya ada lagi. Sekarang ni semua pengunjung dijemput untuk mandi bersama gajah. Kami ditunjukkan arah ke sebatang sungai yang tak jauh dari situ. Katt begitu teruja nak mandikan gajah.


Semua gajah dilepaskan bebas masuk ke dalam sungai. Bukan main seronok semua gajah tu berendam. Yang mahoutsnya pulak duduk saja ditepi gigi air sungai memerhatikan saja dari jauh.
Aku paksa Katt supaya pergi mandi dengan gajah. Kalau tak buat entah bila lagi dapat peluang begini. Dah la tak de pengunjung lain, hanya kami berdua saja. Seronoknya. Aku pulak kenapa tak ikut sama ? ngeh ngeh ngeh. ABC da.. Lecce. Pasal tu aku paksa Katt buat. Sebagai pengganti diri. nGEE!


Setelah beberapa minit yang telah ditetapkan, semua gajah-gajah diajak naik semula. Semuanya berlaku dengan aman saja. Tiada jeritan memaksa dari mahouts. Kesemua gajah berjalan sebarisan menuju ke lokasi seterusnya.


Bahagian akhir yang ni aku terasa nak mengabadikan kenangan bersama gajah pulak.
"Katt tolong ambikkan gambar boleh ? Cepat Katt..! dia dah nak pergi dah ni"
"Ko pegang bontot dia Tun ? hahaha" Katt membahan aku.



Aku dengan Katt tertanya-tanya ke mana pulak gajah-gajah tu pergi ? sambil tu kaki terus melangkah mengikut penunjuk arah menuju ke pejabat semula. Nampak gajah- gajah dilepaskan di kawasan semak dan berumput. Uik ? apa pulak ni. Semua gajah berkumpul di situ dan dilepas bebas lagi sekali. Ada yang makan rumput, ada yang patah-patahkan pokok, ada yang bermain sembur debu tanah ke badan sendiri. Macam 'playgound' untuk gajah saja. Oke, mereka seronok hidup di sini.



Selesai sudah aktiviti untuk waktu ini. Sekarang aku dan Katt berfikir masalah tentang tempat bermalam. Hrm. Saja-saja tanya pada pekerja di situ, mereka semua syorkan untuk terus berjumpa dengan En Zul. Baiklah, aku akan cuba tanya. Bila tanya En. Zul, beliau kata, nanti tanya bos nya En Azman pula. Alamak. macam tak dapat ja. Maklumlah, kebiasaan kalau aku meminta izin pasti jawapannya 2 saja. Boleh dan tak. Senang, dan tak buat jantung aku berdebar. Yang ni macam suspen ja. Kena jumpa bos kepada bos pulak. Malunya aku. Aku dah la orang kampung biasa-biasa, mana pandai nak berprotokol bagai. Apalagi berjumpa dengan orang-orang yang hebat. Aduh. Matilanak !


En. Zul membuat panggilan talipon, dan katanya sebentar lagi bosnya En Azman akan datang. Tak lama kemudian datang la seorang lelaki yang menaiki motorsikal kapcai lama, peh poh peh peh ! Berbaju t.shirt putih, berseluar jeans dan bertopi hijau. Beliau juga seorang zoologist (pakar orang utan). Gulps !

"Perkenalkan, inilah bos saya", kata En Zul. Aku dengan Katt tercengang. Bukan biasa bos pakai baju berkot / kemeja elegant ke ? Mak ai sempoinya. Bisik aku dalam hati.
Saraf otak aku berlaku kejutan budaya sekejap.  Aku suka cara ni. Persekitaran tempat kerja yang santai dan 'cool'.

En. Zul menerangkan kepada En Azman hajat aku dan Katt. Ada juga ayat-ayat sokongan yang ditekankan dalam kata-kata En Zul seperti waktu dah hampir malam, mereka berdua bimbang tak sampai ke lokasi seterusnya sebelum hari gelap. Terima kasih lah En Zul bagi ayat 'power'. Lama juga En Azman berfikir. Kerana katanya belum pernah ada orang yang meminta untuk bermalam di sini. Kebiasaan pengembara akan berhenti untuk melawat saja kemudian berlalu pergi. 
Aku tahu tanggungjawab keselamatan di atas bahu mereka cukup tinggi. En. Azman tidak membuat keputusan sendiri, malah dia membuat penggilan kepada bos paling atas iaitu CEOnya, En Ang Ching Yang. 
Dan yang paling terharu lagi apabila CEO KECV sendiri mahu bercakap dengan aku menerusi talian telefon. 
HAPA ?? Langsung terkesima woo. aku cuma mintak izin nak bermalam ja kot, tapi dapat bercakap secara langsung dengan pemilik KECV ni. Aku hilang di awang-awangan sekejap. 
Pada mulanya aku memang tak sangka, aku ingatkan bos besar KECV ni orang Melayu. Habis saja berbual aku bagi salam. Sungguh ! cara dia bercakap lenggok bahasanya sebijik macam orang Melayu. Setelah diterangkan oleh eksekutifnya siapa sebenarnya bos besar, siap ditunjukkan lagi gambar beliau di papan maklumat, baru la aku jelas. Kau tahu kawan, eksekutif nya cuma pakai selipar, berbaju T dan berseluar jeans saja. ( Tengok gambar di atas pemuda yang memakai baju t-shirt warna oren) Ku fikirkan penjaga di kaunter. Minta maaf ya. Saya sudah silap menterjemahkan konsep bekerja di sini. Hek. Ya amponnn..jangan marah saya tidak tahu kok !
Setelah kebenaran untuk bermalam diberikan oleh pihak atas, maka aku dan Katt diberi pesanan berkali-kali tentang penjagaan keselamatan. Hanya dibenarkan berada di kawasan surau dan kafe sahaja, kerana dikuatiri akan ada haiwan seperti babi hutan yang akan berlegar-legar di kawasan persekitaran.
Permintaan akhir dari bos besar adalah merakamkan gambar kami sebagai bukti orang pertama yang bermalam di situ.


Lama juga kami berbual tentang perihal perkampungan gajah ni. Menurut En Azman projek akan datang, KECV bercadang untuk membina chalet penginapan dan pakej-pakej berkhemah di platform dengan cas harga yang berpatutan. Jadi para pengunjung akan lebih dekat dengan alam semulajadi, dapat merasa tidur di dalam habitat gajah dan lebih memahami habitat kehidupan sebenar haiwan di hutan. Cuba korang bayangkan tengah malam sedang asyik lena diulit mimpi tiba-tiba dengar suara gajah bersahut-sahutan. wOw ! terasa macam cerita Tarzan pulak.
Ini adalah kad En Zul, beliau bertindak sebagai Pengurus Keselamatan. Tugasnya lebih kepada menjaga disiplin para pekerja kerana beliau adalah bekas komando (elit). Jika ada sesiapa yang berhajat untuk bermalam di KECV macam aku, boleh lah berurusan dengan beliau ya. 


Ini pula nombor talipon En. Azman, jika ada sebarang pertanyaan boleh lah menghubungi beliau. Jangan bimbang, mereka semuanya sangat mesra. Jadi apa tunggu lagi, rangka percutian korang segera untuk datang ke sini. Pasti berpuas hati.


Malam itu, seusai solat maghrib, Katt dan aku terasa lapar pulak. Jadi cadangnya nak berkayuh sahaja keluar mencari makanan di RnR yang berdekatan. Tiba-tiba terasa rintik hujan pulak. Hrm. Camana ya. Jom kita pergi kat pondok pengawal dan kita pinjam motorsikal dia nak ? Nanti kita bagi la duit minyak sikit. Set.
Sesuatu yang menarik berlaku kerana Allah telah memudahkan urusan kami. Pengawal yang sedang bertugas tanpa banyak bicara memberikan kami kunci motorsikalnya untuk kami guna. Wah !
Terima kasih ya.

Makanan sudah dibeli, perut sudah diisi, maka sedang eloklah jika  kami meminta diri mau bobok dulu. Daa..

Kayuhan hari ke-3 :


AKHIR KATA DARI KAMI BERDUA :
TERIMA KASIH YANG TIDAK TERHINGGA KAMI UCAPKAN BUAT PENGURUSAN KECV, KERANA BERBESAR HATI MERAIKAN KEDATANGAN DAN PERMINTAAN KAMI UNTUK BERMALAM DI SANA. LAYANAN KE SEMUA STAFF DARI PERINGKAT ATASAN HINGGA KE PERINGKAT MAHOUTS SANGAT PROFESIONAL. IA TELAH MEMBUATKAN HATI KAMI INGIN KEMBALI DATANG BUAT KALI KEDUA. INSYA ALLAH. HARAP KONSEP BERMALAM DI PLATFORM DIADAKAN DENGAN KADAR SEGERA. 
TAHNIAH DAN TERIMA KASIH SEKALI LAGI.