Thursday, January 27, 2022

4 Unit 5 Jiwa ke Pulau Pangkor

Assalamualaikum. 

Kali ini aku nak bercerita tentang kembara selama 4 hari 3 malam ke Pulau Pangkor. Ini adalah bagi meraikan sambutan hari lahir anak yang ke - 25 tahun. Segala susun atur perjalanan sudah aku siapkan sejak bulan Disember tahun 2021 lagi. Dari segi penginapan, tiket feri dan penyewaan motorsikal di dalam pulau semua aku dah buat tempahan. Walaupun begitu, kos pembayaran akan dikutip dari setiap dari mereka. Kira pakat kongsi-kongsi lah, nak harap semua guna duit aku memang kering lah ceritanya.

Pada tanggal 20-01-2022, jam 8 pagi semua sudah berkumpul dengan motorsikal masing-masing. Kami menggunakan motorsikal berkuasa rendah sahaja. Honda Wave 125i, Yamaha Lagenda, EX5 High Power dan Modenas Kriss MR3.

HARI PERTAMA (Khamis 20/1/22)

Jam 8.30 pagi tayar mula golek. Aku mengambil laluan yang kurang kenderaan, kerana anak-anak belum mahir mengenderai motorsikal di laluan awam yang sesak. Kemudian melintasi jambatan ke-3 Klang (Jambatan Raja Nala) menuju ke Rantau Panjang. Sampai sahaja di Kapar, berhenti untuk bersarapan di Warung Abang Kamal. Menu makanan di sini memang menyelerakan terutama mertabak daging. Aku singgah pun setelah membaca ulasan-ulasan pengunjung di peta google. Bermakna memang benarlah rasanya memang sedap dan tidak mengecewakan.

Tiba-tiba aku teringat nak singgah di tempat Wak dan Ija bekerja. Apalagi terus mesej untuk dapatkan alamat lokasi. Ketika ini Wak sedang menyiapkan rumah persinggahan untuk seorang pereka fesyen Salikin Sidek. Memandangkan warung tempat aku berhenti tidak lah jauh sangat dari lokasi tersebut, apalah salahnya singgah ziarah sebentar.


Tayar mula golek semula menuju ke Teluk Intan. Rakamkan kenangan di Menara Condong kemudian terus ke jeti Pulau Bangau. Di situ aku ingin memberi sedikit pengalaman kepada anak-anak menyeberang sungai Perak dengan menaiki bot tambang.

Setelah sampai di jeti Kampung Cina, aku teruskan perjalanan melalui laluan berbatuan.


Masih aku ingat, inilah jalan yang aku ambil ketika melakukan kayuan Pusing Semenanjung Malaysia pada tahun 2013. Sudah 9 tahun berlalu, tapi jalannya masih tidak berturap. Anak-anak mula cuak dengan kondisi jalan yang berkerikil. Mereka bimbang tayar motorsikal bocor tertusuk batu-batu tajam. Mak ! betul ke jalan ni ? Aku buat-buat yakin setelah melihat petunjuk di peta google. Padahal aku pun cuak jugak, apasal jalannya lain dari yang dulu ? Jauhnya..Bila tengok di peta jarak dari jeti ke laluan bertar sejauh 7 km dan laluan ini laluan lain rupanya.

Bila masuk ke simpang Jalan Kg. Sg. Timah, hati aku mulai lega. Kiri kanan adalah hamparan sawah padi yang luas terbentang. Tanpa berlengah-lengah lagi aku teruskan perjalanan hingga masuk ke Jalan Persekutuan nombor 5 yang akan terus menuju ke Kompleks Jeti Pulau Marina.

Motorsikal kami parkir di tempat letak kereta berhampiran, dan untuk motorsikal adalah percuma. 

Alhamdulillah. Cuma, pada mereka yang nak parkir di bawah pokok, mesti menutup kenderaan dengan plastik/ kepingan kotak kerana di situ adalah tempat burung membuang najis. Motor aku dah kena. Jenuh cuci dengan air dan tisu sebelum balik.

Aku menempah tiket feri secara atas talian jam 3.45 petang dan aku sampai pun dah jam 2.30 petang. Mujurlah aku dah kira jarak dan waktu sebelum menempah tiket.

Feri penumpang tiba tepat pada waktu, cuma kedudukan tempat duduk masih secara bebas, tidak mengikut nombor seperti yang tertulis di dalam tiket. Perjalanan cuma mengambil masa kira-kira 10 minit. Tiba di jeti Pulau Pangkor, aku terus menghubungi pengusaha motorsikal sewa. Untuk penyewaan selama 3 hari 2 malam, aku dapat  motorsikal jenis skuter dengan harga rm40(sehari).

Siapa berminat nak menyewa motorsikal boleh hubungi : nazrin.caien

Urusan mengambil motorsikal juga mudah, hanya berurusan di depan Maybank. Sebelum mengambil motorsikal, perkara yang perlu aku lakukan adalah memeriksa keadaan keseluruhan badan motorsikal, termasuk tarikh luput cukai jalan dan insuran mesti diperiksa. Jangan buat main hal ehwal penyewaan ni, silap haribulan sangkut kat sekatan jalanraya. Dah jadi satu hal dan keluar lebih banyak wang.

Setelah beres, terus menuju ke hotel penginapan untuk menunaikan solat jamak zohor/asar dan meletakkan beg. Usai segalanya, kami pun keluar semula untuk mencari makan. Sekali lagi, perkhidmatan peta google untuk mencari tempat makan yang unik di sekitar pulau.

Kedai Mak Lang yang terletak di dalam pasar di pekan Pulau Pangkor menjadi buruan. Di situ ada menjual makanan orang-orang tempatan, iaitu NASI LEMAK IKAN. Kedai beroperasi jam 5 petang, dan aku datang kedai baru ja buka. 



Beginilah rupanya masakan tempatan, nasi lemak ini dimakan dengan 2 pilihan kuah. Satu kuah sambal ikan dan kedua, gulai ikan. Sepatutnya ada pilihan telur mata, tapi sebab dah lapar sangat nasi dan ikan pun sudah memadai. Rasanya..perghh...sedap ! Jadi barang siapa yang datang ke Pulau Pangkor, mesti cuba makanan ini.

Selain itu ada 2 lagi menu tempatan yang mesti cuba. Moi (bubur kanji/nasi) dan laksa Pangkor.

Selepas makan, aku mengambil laluan menuju ke selatan Pulau Pangkor. Ada 4 lokasi yang boleh kita lawati ;

Kota Belanda




Kota yang dibina Belanda untuk menyimpan bijih timah. Dimusnahkan, kemudian dibina semula, dimusnahkan lagi, kemudian dibina semula.

Batu Bersurat

Sebuah batu yang dibinakan bumbung dan pada batu itu berukir lambang Syarikat Hindia Timur Belanda ( Vereenigde Oost- Indische Compagnie ). Itu tanda penjajahan Belanda. Dan kita memeliharannya.


Masjid Terapung

Masjid terapung pertama di negeri Perak yang diilhamkan oleh mantan Menteri Besar Perak yang ke 11, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abdul Kadir. Mampu memuatkan seramai 1500 orang jemaah di satu-satu masa dan ia terletak di Telok Gedong, di bahagian selatan Pulau Pangkor.

Pantai Teluk Segadas

Untuk ke sini kita perlu berjalan dalam hutan selama 10 minit. Laluan masuk bermula dari Teluk Gedung. Pantai yang cantik, sesuai untuk perkhemahan. 

HARI KEDUA (Jumaat 21/1/22)


Pada pagi hari kedua, lokasi tuju untuk bersarapan adalah di Teluk Nipah. Kedai makan yang ada menyediakan sarapan pagi ialah   Warung Manshore . Banyak ja pilihan menu makanan, tapi aku pilih makan ala barat. Hiks, sebetulnya nak jaga perut jangan meragam. Anak-anak yang lain semua pilih nasi lemak.

Di hari kedua baru boleh mulakan aktiviti mencari air terjun. Aku bertanyakan info kepada penduduk setempat, nampaknya masih ada yang tak tahu sehinggalah aku bertemu dengan pengusaha bot pelancong. Dia mengatakan ada sebuah sungai yang telah dihias cantik, untuk dijadikan taman rekriasi. Tepat nya dia sebelah kem Raudhah.

Tanpa berbasa basi, aku pun mengajak semua anak-anak untuk mencari. Sungai yang diceritakan memang cantik setelah di bina empangan kecil. Sesuai untuk anak kecil bermandi manda dan berendam. Walaupun begitu, aku masih tak berpuas hati kerana tidak jumpa laluan masuk ke air terjun tersebut.

Hampir nak keluar dari lokasi, tapi dalam hati tetap yakin air terjun ada di sekitar situ. Ikhtiar terakhir, aku terus bertanyakan pada penduduk yang rumahnya berdekatan dengan jalan masuk dan akhirnya dapat info yang menyakinkan.

Hati rasa berbunga-bunga terus melintasi sungai kecil dan susur naik ke atas denai yang sememangnya ada lorong kecil. Dalam beberapa meter aku terdengan deruan air yang mengalir. Ahahh ! Dah jumpa..yay.

Lama juga aku meronda di sekitarnya. Aku memanjat hingga ke tingkat 3 batuan yang penuh dengan lumut. Tak sedar berekor-ekor pacat sudah berpesta meraikan darah di kaki aku. Sedar-sedar seluar aku habis basah dengan darah sendiri. Aku tak kesah, janji hasrat aku mencari air terjun Sungai Nipah dah tercapai. Alhamdulillah.

Masih ada waktu lagi sebelum waktu Jumaat. 


Aku mengambil peluang untuk pusing pulau dari barat ke timur dan kemudian berhenti makan tengahari di kedai makan Chef Makbul Kitchen.


Jam hampir ke pukul 1 tengahari. Anak-anak lelaki mesti menunaikan solat Jumaat dan aku mengesyorkan mereka menunaikan solat di Masjid Cina @ Masjid Sungai Pinang Kecil yang dikenali dengan masjid Seribu Doa/ Masjid Khairiah. Lagi pun tak jauh dari kedai makan tadi.



Sementara itu aku dan anak-anak perempuan boleh membeli belah sebentar di Hasil Laut Pak Su Pulau Pangkor .

Ini adalah hasil keluaran muslim dan dijamin halal. Aku borong ikan masin, ,ikan kering, sotong kering gelek pedas dan cumi-cumi kering untuk jadi buah tangan. Oleh kerana aku membeli banyak, pekerja di situ memberi saguhati ikan pekasam untuk aku. Alhamdulillah terima kasih ya.


Balik hotel dulu untuk solat zohor, nanti akan sambung aktiviti pusing pulau dan snorkeling di Pulau Giam.

Jam 3 petang, aku keluar semula untuk menjadi ikan kering. Untuk mengambil pakej "Island Hopping", kita cuma pergi di pantai Teluk Nipah sahaja. Di sana ada booth kecil dan boleh terus tempah pada "beach boy". 

Aku cuma ambil pakej 5 orang dengan harga rm150 beserta kelengkapan jaket keselamtan dan gogel. Juru pandu bot akan membawa kita melihat keunikan bentuk batu di pulau berdekatan seperti bentuk kepala buaya, penyu dan gajah. Boleh la buat bantu-bantu ekonomi penduduk setempat.


Seterusnya kami diberi peluang untuk mandi dan berenang melihat ikan di sekitar Pulau Giam. Bila dah puas mandi, kita cuma talipon untuk mereka jemput semula. Tak kira berapa lama kita nak berendam di situ asalkan sebelum jam 6 petang.

Lepas naik ke darat, dengan baju basah terus pulas balik ke hotel semula sejauh 5 km.

Petang jam 6 petang keluar semula untuk menyaksikan aktiviti memberi makan burung enggang. Lokasinya masih di Telok Nipah. Kena masuk ke lorong sebelah Nipah Water Front Beach Resort. Setiap jam 6.30-7.00 petang banyak burung enggang akan datang di kawasan tu. Jadi pengunjung boleh bawa buah-buahan seperti pisang, betik dan makanan diet yang sesuai buat burung enggang tu. Jangan bagi keropok dan jajan  sudahlah. Nanti rosak sistem perut burung dan nanti mengakibatkan gugur bulunya dan akhirnya mati.

Jika ada antara burung yang masih tak dapat makan, mereka akan datang ke restoren dan bertenggek memerhatikan makanan. 

Untuk makan malam, aku tak sempat nak mencari lagi pula terlalu banyak kedai di pantai Teluk Nipah ni. So aku main masuk ja, konon nak makan masakan Thai. Bila dah masuk baru la aku tengok 'review' dalam peta google. Alaaah... 2.3 ⭐ ja ? 

Dan ternyata memang betul. Harganya, amboi tak padan dengan rasa. Oke ini silap aku.

Usai makan malam, aku pun beransur pulang ke hotel semula untuk solat maghrib dan berehat.

HARI KETIGA SABTU (22/1/22)

Pagi hari ketiga hujan gerimis. Jam 8.30 pagi keluar untuk mencari sarapan. Menyusuri jalan besar di Sungai Pinang Besar untuk mencari kedai makan. Nampak sebuah kedai yang ramai pelanggan, maka aku pun berhenti dan mengajak semua anak-anak makan di situ.

Mencari juga roti canai, nasi lemak atau kuih muih, tapi tiada. Menu yang ada cuma Moi, nasi lemak ikan, mee hoon sup, laksa pangkor. Nasi lemak habis, laksa dan mee hoon belum siap, hanya yang ada Moi @ bubur kanji. Moi adalah panggilan penduduk tempatan untuk bubur nasi.

Aku pun suruh anak-anak cuba rasa.

Semangkuk moi berharga rm4 dan di dalamnya ada bubur nasi dimasak dgn  ketam, separuh telur masin, lobak masin, ikan masin, sambal dan potongan kacang panjang. Rasanya sungguh S H E D A P !!

Nyesal pula tak tambah semangkuk lagi. 

Untuk hari terakhir  , aku ambil keputusan untuk tawaf Pulau Pangkor buat kali terakhir sebelum memulangkan motorsikal semula. Kemudian, jam 12.45 tgh dah masanya untuk menaiki feri.



Motorsikal aku letakkan saja di depan Maybank. Kunci motorsikal dimasukkan ke dalam ruang poket handle motor.

Aku rakam video kemudian aku hantar melalui pesanan 'what's up' kepada pengusaha motor sewa sebagai tanda bukti pemulangan semula.

Waktu untuk pulang ke tanah besar. 12.45 tgh feri mula berlayar.

Di persekitaran kompleks feri ada banyak ruang untuk berfoto, jangan bimbang ia percuma.

Puas bergambar kami menuju ke tempat parkir motorsikal. Tahu tak betapa terkejutnya bila melihat motorsikal penuh dengan tahi burung gagak. Alamak !

Terpaksa lah cuci dulu dengan tisu dan air. Leceh betul.

Dah jam 1 petang perut mula lapar, berhenti makan dulu nasi ayam cincang di Abe Wa Corner sebelum meneruskan perjalanan ke perhentian seterusnya.

Aku bercadang nak ke ladang bunga matahari di Bagan Datuk. Tengok dalam peta macam dekat ja. Sekali di lapangan, masya allah jauh gila. 

Waktu tu sekitar jam 4.30 petang membawa ke pukul 5. Sedangkan ladang bunga matahari tutup jam 5 petang. Mana sempat. Dah la tiket masuk rm13 seorang. Tak berbaloi untuk masuk sekejap ja. Kesian kakak, dia dan adik beria-ria nak ber ootd dalam ladang tu.

Dari Hutan Melintang nak sampai ke Bagan Datuk pun hampir 30 km sehala. Nak keluar tiada jalan lain, kena ikut jalan yang  sama, bila dikira cecah 60km pergi/pulang. Melainkan naik bot potong terus ke Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Tapi itu lah, tengok kondisi anak-anak nampak letih sangat untuk harung jalan batu kerikil lagi.

Sampai di dataran jeti Bagan Datuk, aku ambil masa untuk buat keputusan. 



Macam nak buat masjid terapung yang kedua ja.

Akhirnya keputusan terbaik, patah balik ikut jalan masuk tadi.

Sampai di Sabak Bernam, singgah sebentar di rumah kenalan fb. Sebelum balik dibekalkan dengan buah markisa dan cendawan yang mereka tanam sendiri. Terima kasih sebanyak- banyaknya.


Jam 6 petang baru sampai di penginapan terakhir Inap D'bondang Homestay Berehat dengan tenang menikmati pemandangan indah di tengah sawah padi sambil makan kuaci. 




HARI KE EMPAT (23/1/22)

Jam 12 tengahari masa untuk daftar keluar.

Sebelum pulang, kena raikan kejayaan kembara anak-anak di Ketam Merah Cabin. Jujur cakap, masakan ketam masak cili dan udang lipan berlada di sini memang sedap. Korang kena cuba.


Alhamdulillah, Terima kasih Allah kerana memakbulkan hasrat mengembara bermotorsikal bersama anak-anak. 

Kiraan kasar perbelanjaan, tidak termasuk makan dan buah tangan.

Minyak sebuah motor : rm15 (sekali isi rm5)

Tiket feri (atas talian)  : rm8.05(sehala)

                                           rm16.10(dua hala)x5

Harga tiket feri di kaunter : rm7

Motor sewa (skuter)    : rm80 (2 hari)x3 buah

Minyak skuter              : rm5 ( pusing 1 pulau)

Penginapan   Pangkor Mutiara Hotel             

                                     : rm183.68 (2 malam,2 orang)

                                     : rm285 (2 malam, 3 orang)

Sewa bot pusing pulau : rm150 (5 orang)

Inap Desa                        : rm230 (satu mlm)


Ini cerita tentang perjalanan hidup aku, yang aku ciptakan untuk dikenang hingga masa hadapan. 

Cerita korang camana pula ?

~ S E L E S A I ~