Thursday, September 8, 2016

Ekplorasi ke Koh Jam / Koh Pu Thailand

Cerita sebelumnya baca di sini.

Untuk sampai ke Koh Jam ada dua jalan. yang pertama dengan menaiki speed bot melalui jeti di Krabi. Memandangkan tarikh aku datang jatuh dalam waktu 'low season', maka tiada perkhidmatan bot laju di sana kalau adapun pasti mahal. Maka aku pilih cara yang lagi satu iaitu melalui jeti awam di Laem Kruat. Di sini sentiasa beroperasi tak kira waktu. Musim hujan ka, musim panas ka, tetap jalan. Harga pun murah.


Hari kedua membawa kami mengembara hingga ke pekan Laem Kruat melalui jalan nombor 4036. Sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 27km tidak jauh dari lapangan terbang Krabi.


Setiba saja di jeti, seorang mengemudi bot sudah sedia menunggu untuk mengangkat beg-beg kami yang sebesar almari untuk dinaikkan ke dalam bot.



Perbincangan terakhir sebelum menaiki bot untuk memastikan waktu balik nanti akan dijemput.




Kemudahan tempat permainan kanak-kanak pun ada disediakan. Bersih ja.


 Tandas dan kedai makan pun ada di jeti ni..


Tengok ja la gambar-gambar yang aku tampal. Beginilah pemandangan kehidupan di sini.


Setiap bot menuju ke destinasi yang berbeza, di antaranya ialah :
Koh Bu, Koh Hang, Koh Jam, Koh Sri Bo Ya, Koh La Tang dan pulau-pulau kecil yang berdekatan.




Jeti dan bot-bot ini adalah tempat terpenting bagi penduduk pulau untuk keluar dan masuk samada untuk pergi bekerja, ke sekolah, ke hospital atau berbelanja di bandar Nue Khlong.




Setiap penumpang dikenakan tambang sebanyak 50baht. Motorsikal juga boleh dibawa naik dengan tambang 50 baht = RM5.80. Untuk pelancong, harga yang dikenakan sebanyak 100baht = RM11.70


Aha, ada peluang lah kalau nak mengembara dengan motorsikal dan basikal nanti, boleh angkut terus masuk ke Koh Jam @ Ko Sri Bo Ya.



Jadual bot di sini memang menepati masa. Tak  kurang dan tak lebih. Cukup masa, angkat sauh, hidupkan enjin dan..but but but buttt... Lambat tinggal.


Perjalanan ke Koh Jam mengambil masa selama 45 minit. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan jajaran pulau-pulau di perairan Andaman sambil makan buah mata kucing.
Hrm, sedap.


Layan ja angin sepak-sepak muka, rasa nak tidur ja atas bot tu. Dah kata balik kampung kan ? jadi bermesra-mesra lah dengan masyarakat sana. Baby ni nampak ja macam tu, sekali aku dukung, mak aih. Keras dan berat betul badan dia tak sama macam baby yang biasa aku dukung. Benda apa dia makan ???


Penumpang wanita tempatnya di bawah. Penumpang lelaki sahaja yang boleh duduk di atas. Konon-konon nak lah merasa duduk kat atas. Sekali bila nak panjat, makcik-makcik kat situ kata "mei au, mei au ! Perempuan dok di bawoh. Erks ! baikkkk..



Masyarakat di sini nampak ja biasa-biasa, tapi kalau perhatikan betul-betul, kita akan nampak lambang kekayaan mereka. Nampak tak apa dia pakai ?Ya betul ! Emas. Tak main la halus-halus, semuanya sebesar ibu jari. Kau hado ? Kita tak de. Huhu.


Beginilah mereka menurunkan penumpang di setiap pulau.


Sukanya kita dapat naik bot.





Rujuk pada gambar di bawah. Nampak tak gambar  puncak gunung tu ? itulah Gunung Pu. Aku belum bersedia untuk menawan puncaknya. Malas.


Kami sudah sampai di jeti Mu Tu. Yang bertanda bintang itulah lokasi penginapan kami.





Tercengang- cengang jugak la. Tapi jangan bimbang, van aka teksi sudah sedia menunggu di situ untuk menghantar kami ke tempat penginapan. Bayar ja tambang 50 baht seorang.



Jalan raya di sini menggunakan simen konkrit dan hanya jalan utama mempunyai jalan yang baik. Sila rujuk pada gambar peta di atas. Setengah jalan menuju ke tempat penginapan masih bertanah merah.





Pada mulanya aku bercadang untuk menginap di chalet Bo Daeng, sebab harganya paling murah di antara banyak-banyak hotel di situ. Kami dah pergi tengok lokasinya, tapi agak menyeramkan kerana seperti sudah lama ditinggalkan. Atau mungkin ia hanya beroperasi ketika 'high season'. Owh sebelum terlupa, Koh Jam pernah terbabit dengan Tsunami. Semua resort rosak teruk akan tetapi mereka tetap bangkit  dengan membina semula penginapan yang lebih cantik.


Oleh kerana hari makin gelap, keputusan pantas harus dibuat untuk mencari tempat untuk bermalam.
Akhirnya, mungkin telah ditakdirkan kami memilih Golden Pearl Resort. Eh kejap, bukan ke resort ni yang Mr Det punya ? Alamak, matilanak harga dia nanti tak mampu nak hadap.


Tak pe, cuba cari bilik yang paling murah. Bincang punya bincang kami dapat sebuah chalet yang berharga 500 baht satu malam. Dengan rasa berani mencuba, kami mintak izin 4 orang duduk dalam satu chalet. Boleh ke tidak ?
Jawapannya boleh. Whoa ! Tanjat akhak kaoo.
Tokey tu siap tanya kita balik, Boleh ke ? selesa ka ?
Serentak kami jawab.."can can, no worry."
Cuma minta tambah 2 biji bantal sahaja.
Bukan bantal je yang diberi, tikar, selimut, tuala dan kipas pun dia beri.
Ho ho mewah sungguh. Rezeki 'low season'.
Untuk dua malam harga 1,000 baht = RM116 ( Seorang bayar RM29 )


Korang tengok hiasan dalaman bilik ni. Teruja tak ? katil guna batang kayu ja. Bilik air dia sempoi. Tak perlu cat. Tepek dengan kerang dan siput ja. Lawa sangat.









Hari ke- tiga.
Khamis 1/9/2016

Orait, tempat tidur sudah, kita sewa motorsikal pulak. Sebuah motorsikal dia letak harga 200 baht + minyak x 2 : 400 baht = RM47. ( Seorang bayar RM11.75 ja )



Pagi ni nak ronda seluruh pulau. Kita ronda bahagian utara dahulu. Ayoh !


Jumpa masjid pertama. Namanya Darul Atfal. Singgah la sebentar tengok keadaannya.



Lawa mimbar dia.


Tengah seronok membawa motorsikal sambil melihat-lihat kiri dan kanan jalan, tiba -tiba ternampak makcik ni tengah masak sesuatu. Ramai pulak orang mengerumuni makcik ni. Oish ! ajak patah balik sebab nak tahu.


Nama kuih ni 'Num Krok'. Dibuat dari tepung beras + garam + santan dan dibancuh cair.




Mudah sahaja untuk mencari rezeki. Duduk atas pangkin dengan bahan dan peralatan yang mudah dan murah. 10 ketul 20 baht.


 Sabut kelapa digunakan untuk menyapu minyak ke acuan.



Inilah salah satu menu sarapan pagi di Koh Jam. Tiada roti canai, tiada nasi lemak. Jujur cakap, makan ni pun dah rasa kenyang. Bila nak makan baru tabur gula di atasnya. Garing diluar lembut di dalam. Rasanya masin lemak manis.


Okeh, kita sambung meronda semula. Punca rezeki penduduk Koh Jam ni selain dari menjadi nelayan, berniaga, menguruskan resort@ chalet, kebanyakkan mereka menoreh getah. Keseluruhan tanah di pulau ini ditanam dengan pokok getah. Harga getah di Thailand memang tinggi daripada harga di MY. 


 Cuba lihat, dalam kebun getah pun papan tanda jalan dia bukan main lawa, sama macam di bandar.


Dan jalannya cuma begini saja. Apa korang rasa ?


Kemas dan tersusun tak kebun getah dorang ? Kebun getah kita pulak macamana ? Hrm, ada lagi ke getah kat MY ? Koh koh koh


Ini pula sumber air bersih untuk penduduk di Koh Jam.




Laluan tanah merah yang kami lalui. Kadang melintas anak sungai yang jernih airnya. 


Cuba jugak mencari punca, manalah tau ada air terjun pulak. Tapi hampa. Air keluar dari dalam tanah, seterusnya membentuk kolam kecil.



Aku redah sampai ke hujung jalan. Yang mengikut pun kena lasak jugak ya layan 'offroad'.


Ini adalah salah satu tempat penginapan yang popular. Tapi kelihatan terbiar kerana dalam tempoh 'low season'. Sepi dan menyeramkan.









Ambik peluang berayun ~ wee huuu.. !


Orang kata, jika mahu melihat kehidupan penduduk tempatan, keluar lah pagi-pagi. Nah, memang betul pun. Sedang asyik melayan jalan tanah merah sekali terpandangkan sesuatu. 
Membasuh kain di tepi sungai ? Erk, sungai ke ni, macam kecik ja. Tapi airnya jernih.


Nak jugak tahu dari mana datangnya air tu. 




 Cari dan cari ternyata kena masuk ke dalam hutan. Hok aloh ! Lecce.


Walaupun begitu, senyuman mereka tetap tampil bahagia. Kau mampu ? ehek.


Muka makin masam mencuka. Kenapa ? owh lapar ya. Oke oke, kita berhenti makan dulu ya. Menu apa yang ada eh. Nasi goreng kerabu, pulut dan bubur. Alahai tak ada selera la pulak. Aku tetap ambik, tapi sikit je la nasi goreng dan air teh untuk buat syarat dah terlanjur masuk ke kedai.



Aku nampak seorang makcik datang menjual tanaman kacang panjangnya ke kedai ni. Oo, lagi satu sumber kecil kecilan penduduk di sini. Asal rajin, pasti tidak kebulur.


Sepasang itek ni menunggu aku makan. Elok pulak tu mengadap kat depan aku. Lucu.


Reka bentuk rumah penduduk Koh Jam tak kurang hebat juga. Kreatif dan unik. Kebanyakkan mereka menggunakan batang-batang kayu. Tak semestinya lurus. Yang bengkok pun mereka boleh olah menjadi tiang dan pasak.





"Tiang tak semestinya lurus"~ Ingat kata-kata aku ni.


Kami menghala ke perkampungan Koh Pu yang mana penduduknya juga terdiri dari masyarakat Islam dan mereka adalah dari keluarga nelayan. Di sini juga ada sebuah masjid. Di hadapan masjid ada beberapa buah kubur lama. 



Musykil sedikit bila tengok jarak kedua-dua batu nisan ni. Semuanya kecik-kecik. Adakah ini kuburan kanak-kanak atau bayi ? Bayi kecik dikuburkan di hadapan masjid ?


Batu nisan siap ada bulan dan bintang.


Motorsikal terus dihalakan ke jeti kampung Koh Pu. Aman dan damai ja keadaan di sini.





Entah dari mana datangnya idea membeli ketam, tiba-tiba ja
" Tun jom beli ketam nak ? kata pergi Pulau Ketam, kena lah makan ketam.
"Oke la oke la, tapi duit cukup tak ?"
" Duit cukup."
Akhirnya semua pakat setuju. Apalagi borong terus dari nelayan.



Rasanya dalam 6 ekor ketam, tak sampai sekilo pun harganya 120 baht

Lebihan ketam, makcik tu masukkan semula ke dalam bakul yang direndam dalam laut. Nak bagi terus segar la tu.




Patut lah di namakan Ban Koh Pu atau dalam Bahasa Melayu ~ Kampung Pulau Ketam, memang hasil nelayan di sini adalah ketam.





Kita parkir kereta, motorsikal tepi rumah. Mereka parkir bot depan rumah.


Di pulau ni ada 3 buah sekolah, sebuah tadika, sebuah hospital dan 3 buah masjid yang mewakili 3 buah kampung iaitu Kampung Koh Pu berada di utara, Kampung Tingrai di tengah dan Kampung Koh Jam berada di selatan. Hanya di Kampung Koh Jam sahaja penduduk yang beragama Buddha tinggal di situ. Hampir 90% penduduknya beragama Islam. Ini cuma dari pemerhatian aku je la. Betul atau tidak wallahu a'lam.


Rasanya sekolah rendah ja kat sini, bila dah masuk menengah mereka kena keluar dari pulau dan bersekolah di pekan Laem Kruat atau Nue Khlong. Agaknya lah.. lalala.



Sekolah dalam kebun getah.




Apa nama benda ni eh ? lupa pulak nak tanya. Rasanya sangkar untuk tangkap ketam.


Macam-macam bentuk hasil tangan mereka.


Ini adalah satu-satunya kedai 'bakery' yang ada di pulau ni, tapi malangnya sudah tidak beroperasi kerana pemiliknya sudah berpindah ke Bangkok dan membuka kedai 'bakery' di sana. mana aku tahu ? Sebelum aku datang, aku dah baca 'review' tentang pulau ni. Dapat bayangkan ketika zaman kegemilangannya. Mesti roti dan bermacam-macam jenis kek dijual di sini. Berangan nak cari cheese kek hasil tangan orang pulau la konon. Huh.


Jalan sikit berhenti, jalan sikit berhenti. Banyak naw perkara yang menarik di sini. Ini pula pembuatan sangkar ikan. Sangkar yang dianyam dawainya menjadi jaring.


Satu sangkar mereka jual 2,000 baht = RM233. Korang tengok badan dia, tak payah pergi gym. Berketak-ketak.


Kalau kat tempat kita beli jaring yang dah siap kemudian balut saja pada rangka sangkar kan ? Tapi di sini tidak. Mereka pintal satu-satu dawai hingga menjadi sangkar.


Jalan depan sikit ja jumpa gerai jual kuih ni. Ku fikirkan otak-otak tapi bukan. Namanya 'Kha Num Chap'. Aku mengeja mengikut bunyi yang makcik tu sebut. Kelapa parut bakar. Kelapa muda yang diparut kasar dicampur dengan tepung beras/pulut ( mungkin), garam dan gula. Di balut dengan daun kelapa macam otak-otak. Kemudian di bakar di atas arang.



Rasa dia manis dan garing. Tak liat. Simpan satu malam pun masih sama keadaannya. Orang Thailand kebanyakannya makanan mereka berasaskan kelapa. Ais krim pun berasaskan kelapa di pelbagaikan dengan bahan campuran yang menarik.


Di hadapan rumah menjual kuih, di belakang rumah pula mereka sedang mencantikkan bahagian badan bot. Sibuk betul masyarakat di sini. ada saja pekerjaan yang mereka buat. Tengok waktu penang nanti, apa pulak mereka lakukan.



Jam sudah menghampiri ke tengahari. Perut pun dah terasa lapar. Cadangnya nak balik dulu ke chalet untuk berehat sebelum sambung semula penjelajahan ke bahagian selatan pulau pulak. Bila fikir tentang ketam hidup yang kami beli tadi perlu direbus dulu, sebelum disimpan untuk dimakan kemudian, terpaksa lah singgah di restoren Mutu Seafood milik salah seorang penumpang yang kami jumpa semasa di atas bot semalam.


Laa, ketam lagi. Order la jugak ketam dari restoren ni. Sekilo 300 bath. Yang ni suruh dia masakkan menu yang istimewa dari Koh Jam.



Sementara menunggu hidangan dimasak, mata melilau melihat hiasan dalaman restoren ni. 





Inilah hidangan ketam yang dimasak menggunakan rempah kari ala Thai. Bau karinya melekat di tangan dua hari masih tak hilang. 


Ini pulak ketam yang kami beli di jeti Koh Pu. Sekadar di kukus sahaja. Sebabnya nak bawak balik chalet untuk dimasak dengan maggie.



Semua ni bila tanya berapa harganya ? Tokey kedai cuma senyum, mengeleng-gelengkan kepala dan berkata ; " up to you". Alamak ! Dia pun tak tau nak letak harga. Harga 'up to you' ni yang lemah sikit. Senang cerita kami beri 500 baht. 300 baht untuk harga ketam, 200 baht harga upah kukus ketam dan nasi untuk 4 orang. Ikan goreng tu dia sedekah. Hiks.


Bila nak balik beriya-ria dia mintak 'add facebook'. Wah ! Jangan kau fikir mereka tak 'up-to-date'.
Mereka lagi kehadapan dari segi komunikasi internet. 


Restoren ni terletak berdekatan dengan jeti Mutu. Segala aktiviti dapat dilihat dengan jelas. Kelihatan hanya dua orang pelancong asing yang masuk ke Koh Jam. Ternyata pulau ni lebih dikenali oleh pelancong dari barat.


'Book bank' ini digantung di pondok menunggu. Mungkin disediakan bagi anak-anak yang hendak ke sekolah. Sementara menunggu bot sampai , mereka boleh lah membaca.


Dapur arang yang digunakan kebanyakkan penduduk Koh Jam.


Kucing-kucing kat sini betul-betul senang hati. Nampak ja macam ni, cuba angkat tengokkk. Berat !
Oke balik tidur dulu lah. ~ Zzz


Sampai di chalet, tak sempat nak tidur, terus bukak dapur masak maggie. Tu dia, selak ketam baru nampak maggie. Melampau nau.


Jangan keliru dengan ejaan nama Koh Jam - Koh Jum - Koh Cham. Sama saja sebenarnya.


Bila matahari mulai condong, kami pakat keluar lagi untuk habiskan pengembaraan kami ke bahagian selatan pulak. Banyak betul motorsikal yang di parkirkan di tepi jalan. Ingatkan ada pesta apa, rupa-rupanya mereka sedang bermain bola sepak.


Ini pula jeti Kampung Koh Jam.




Dataran helang dibina berdekatan dengan tokong untuk penganut Buddha beribadat. Nampak jugak sistem tong kitar semula dijalankan di sini.




Tu dia, bila waktu petang, semua warga keluar untuk beriadah. Kelihatan seperti warga yang sudah berusia sedang bermain sepak takraw. Tenaga dorang masih kuat. Bagus lah.



Rumah merangkap tempat untuk melukis tatto. Ia terletak di Kampung Koh Jam. Maklumlah di sini ramai penduduk yang beragama Buddha. Maka tak hairan lah hal-hal sebegini ada di kawasan ni.



 Beginilah laluan di sekitar pulau Koh Jam. Redup saja lalu di bawah lindungan pokok getah.



 Ingatkan vitagen, rupanya budu.


Jumpa buah limau, beli. Jumpa buah mata kucing, beli. Jumpa buah salak, beli. Jumpa anggur beli. Amboi kau kak.


 Jumpa awek tangkap gambar. Asal nampak awek lawa ja teringat Wak Rahim.


Dah nak masuk maghrib dah, jom la kita pulang.


 Tadika


Hospital


 Menikmati matahari terbenam di Golden Pearl Resort.


 Makan malam kami .


Tiada internet, tiada wifi. Kau tengok aku, aku tengok kau. Malam yang panjang. Zzz.

*Wifi di resort ni hanya dibuka pada waktu 'high season' sahaja.

Otak dah jam la. Idea tak de. Tepek gambar je la ya.

Bersambung lagi..