Monday, August 19, 2019

KEMBARA RIDE HALA TUJU KE HATI AWAK 0.3

Ride Menembus Mimpi
22 hb Jun - 7 hb Julai 2019

Kisah sebelumnya

Ahad, 30 hb Jun
Hari Ke - 9

Lebuhraya Timur-Barat Gerik/Jeli
Lepas solat subuh, kami dah memulakan perjalanan. Saja nak menikmati suasana pagi yang berkabus dan dingin di laluan banjaran Titiwangsa.


Dalam hati aku sentiasa berdoa, moga dapat ketemu dengan gajah. Sepanjang laluan mata aku sentiasa mencari kelibat gajah di tepi hutan. Sampai ke sudah, najis dia pun aku tak jumpa. Haish.



Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat



Di kawasan ni ada sebatang anak sungai, jikalau kita masuk ke dalam sikit akan jumpa jeram kecik. Cantik la, cuma kat situ kawasan laluan gajah. Tak berani la nak berlama-lama kat situ. Kang tak sempat nak start enjin motor. Kalau terjumpa dari jauh berani la. Kalau tiba-tiba muncul kang , innalillah.

Kubu Tentera




Jika kita hampir tiba di jambatan Tasik Banding, kita akan jumpa 5 buah pillbox di tepi jalan. Letaknya sebelum sampai jambatan di kedua-dua bahagian.


Hentian Banun Rimba
Sebelum sampai RnR Titiwangsa, kami berhenti dulu di Hentian Banun Rimba tempat rehat bagi pemandu-pemandu lori yang berulang alik dari Jeli-Gerik atau sebaliknya. Di situ ada menjual masakan panas. Macam-macam lauk kampung ada disediakan. Siapa nak minum air rebusan akar kayu, air rebusan daun ketum pun ada.


Memandangkan kami memang belum bersarapan, jadi kami beli nasi bungkus sahaja. Menu pilihan aku adalah nasi putih, ikan jelawat masak lemak cili api dan sedikit ulam. Pertama kali ni makan ikan jelawat.


Sedap sungguh masakan dia. Lagi-lagi makan panas-panas dalam cuaca yang dingin. Terbaik lah. 


Makan di rnr Titiwangsa sambil menikmati pemandangan awan nano yang berkepol-kepol. 

Hentian Titiwangsa


Ketika sedang menikmati pemandangan, kami disapa oleh sekumpulan penunggang motorsikal dari Trengganu, mereka baru pulang dari Phuket.


Sebelum memulakan perjalanan, kami rakamkan kenangan bersama, mudah mudahan silaturahim terjalin untuk seterusnya.

Jeli


Gunung Reng

Bila memasuki Batu Melintang di jajahan Jeli, kita akan nampak sebuah gunung seketul ja. Itu lah dia Gunung Reng. Ada kisah menarik mengenai gunung ni. Baca di sini.



ICQ Bukit Bunga

Memasuki pintu sempadan yang ke 6.




Jambatan Guillemard


Merupakan sebuah jambatan keretapi yang mana keseluruhan struktur binaannya menggunakan besi. Jambatan ini merentasi sungai Kelantan yang bermula dari Paloh Rawa, Machang hingga ke Kusial, Tanah Merah.



Masih berdiri teguh papan tanda Stesen keretapi Sungei Kusial.





Dibina pada tahun 1920, siap pada tahun 1924. Ia adalah jambatan keretapi terpanjang di Malaysia.





Terima kasih kepada abang kawasan Kelantan, kerana sudi membawa aku ke mari.

Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra ( masjid Beijing)



Abang kawasan mampu host kami sampai di sini sahaja, itu pun dah cukup berterima kasih. Seterusnya aku menuju ke  pintu sempadan yang ke 7.

ICQ Rantau Panjang




Ketika menyusuri tepian sungai Golok untuk ke ICQ Pengkalan Kubur , tiba-tiba aku ternampak jeti pengkalan bot tambang. Terus aku membelok masuk ikut laluan tanah merah di celah-celah rumah orang.


Terkesima aku seketika bila melihat aktiviti menyeberang ke Thailand hanya beberapa meter sahaja dengan menggunakan bot tambang seluas parit ja. Nak berenang pun boleh. Bila tiba air surut, lagi mudah untuk melintas ke Thailand.

Dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa di situ memang tempat parkir kenderaan jika rakyat MY nak ke Thailand tanpa passport. Pengkalan jeti bot Mundok.

Begitu lah keadaannya sempadan antara MY dan Thailand. Beberapa pos pengawal keselamatan memang ada di sepanjang sungai Golok. Setiap pos tu ada nama-namanya. Tak sempat nak catit sebab fokus dengan pemanduan.

Rupanya ikut laluan nombor 196 tepi sungai Golok ni cantik pemandangannya. Sawah padi belaka. Mula dari Balai Polis Kuala Jambu, sawah padi luas terbentang hingga ke Pengkalan Kubur. Pandang kiri sungai Golok dan Thailand, pandang kanan sawah bendang berekar-ekar. Sila lah bayangkan.

ICQ Pengkalan Kubur
Pintu sempadan yang ke 8.

Pantai Sri Tujuh
Hari semakin petang melewati jam 5 petang. Sepatutnya dan berhenti rehat. Tapi masih mencari-cari lokasi yang sesuai dan selamat. Aku cuma mampu berfikir nak berkhemah ja tepi pantai. Pantai terdekat adalah Pantai Sri Tujuh.

Nak mandi , pergi mandi di masjid. Lepas mandi, kami makan siap-siap. Kemudian terus ke wakaf yang dekat dengan lampu jalan. Kira terang la kawasan tu.


Kami pasang khemah dan gantung hamok. Malam tu memang tak lena tidur sebab bising dengan bunyi motorsikal yang lalu lalang. Orang sini tak tidur ke ?


Sekejap-sekejap terjaga, bila dengar orang berdikir barat. Pakkal la badan terlalu letih. Kalau tidak, mahu gak pergi tengok acara tu. Dengar ja pun dah meriah.
Tu belum lagi diganggu makhluk halus. Pasang kelambu pun dia boleh masuk gak. Nasib la labu.

Total ride : -+ 271 km

Isnin, 1 hb Julai
Hari ke - 11



Oleh kerana semalaman tidur tidak lena, masing-masing bangun awal. Usai membersihkan diri dan solat di masjid, perjalanan dimulakan.


Lokasi pertama adalah :

Galeri Tunku Anis



Letak nya di penghujung Pulau Ubi. Boleh nampak Tak Bai di seberang sana.


Cantik sungguh reka bentuk rumah ini. Dibina pada tahun 2002 dan dirasmikan pada tahun 2004. Mungkin sebelum tahun 2018 lagi sudah jadi tempat jin , lembu dan kambing check in, check out.
Sayang seribu kali sayang. Khazanah negeri tidak dilestarikan.





Keluar semula ke jalan besar menuju ke Kampung Chat. Di pertengahan jalan berhenti untuk bersarapan pagi. Aku memilih untuk menikmati nasi dagang di tepi pantai.




Sekarang dah banyak buaian di tepi pantai. Itu untuk menarik pelanggan untuk singgah makan di restoren mereka. Sorang buat, semua buat.

Kampung Chat
Sebenarnya takda pun cadangan nak ke sini, tapi entah lah barangkali Allah dorongkan hati Kak Norela untuk menghubungi jirannya yang pulang ke kampung waktu tu. Tak sangka, Kampung Chat ni dekat sangat dengan Jeti Kok Majid. Lama dah aku berhajat nak pergi menjejak Pulau Suri. Tak tersangka-sangka Allah permudahkan.


Singgah sebentar untuk tumpang mandi dan basuh baju. Sementara menunggu kain jemuran kering, kami meronda-ronda hingga ke Jeti Kok Majid.


Jeti Kok Majid

Papan tanda yang menunjukkan bahawa kawasan ni pernah ditengelami banjir.


Tambang bot untuk pusing beberapa pulau seorang cuma RM10. Sepanjang menyusuri sungai, pengendali bot akan menunjukkan dan bercerita tentang pulau-pulau yang ada.

Sepanjang menyusuri sungai, kami dapat melihat aktiviti penduduk tempatan yang hidup di situ.






Pulau Suri
Pasar terapung ala-ala Khlong Hae Market  yang viral dulu tu terletak di Pulau Suri la. Dibuka pada setiap hari Sabtu. Peniaganya terdiri dari penduduk Pulau Suri itu sendiri. Ada juga chalet dan tempat penginapan kat sini. Boleh lah datang untuk mereka yang nak merasa ketenangan alam semulajadi.




Jika ada sesiapa yang berminat nak menikmati kehidupan di kepulauan  Tumpat ni, boleh lah menghubungi saudara  EMY 011-19472508. Beliau ini pengusaha bot tambang di Jeti Kok Majid. Boleh hubungi jika nak mencari penginapan. Nanti dia boleh uruskan.

Pengkalan Chepa

Masjid Ar-Rahman Mukim Pulau Gajah
Bachok

Masjid ini sangat unik kerana hiasan dalamannya semua menggunakan kayu. Ukiran ayat-ayat al quran ditempah dari Indonesia dan ketika hendak memasangnya juga menggunakan khidmat tukang ukir yang sama. 

Mempunyai 5 buah tiang pokok kayu cengal yang menjadi menyokong, serta 2 buah tiang kayu pokok kurma di bahagian mimbar.


Setiap pintu mempunyai selak yang berukir Allah dan Muhammad


Ini adalah tiang dari pokok kurma




Hiasan lanskap di luar juga diambil kira dengan meletakkan beberapa buah batu yang diukir dengan ayat-ayat quran. 


Wat Phothikyan Phutthaktham ( Wat Dua Naga)
Memang kebiasaan kalau aku menunggang motorsikal, mata akan memandang kiri dan kanan melihat suasana dan perkara yang menarik.




Tiba-tiba sekilas pandang ternampak patung buddha yang besar. Terus aku berhenti dan berpatah balik mencari jalan masuk ke tempat patung tu. Rupa-rupanya itu adalah sebuah wat. Di pintu masuknya dibina dua ekor naga yang panjangnya mengelilingi kawasan wat sekali gus sebagai pagar.


Tertulis di batu penerangan tentang wat tersebut bahawa tembok berkembar berwarna warni mengelilingi wat yang membentuk pintu gerbang di bahagian hadapan adalah yang terpanjang di Asia Tenggara iaitu 598 meter.

Kompleks Rakan Muda Besut



Hari menjelang petang. Aku terpaksa tambah kelajuan motorsikal kerana nak mengejarkan waktu berkerja Kompleks Rakan Muda sebelum ditutup.

Hampir-hampir tak dapat menginap kat situ. Kami sampai ja, staf KRM dah hidupkan enjin kereta nak balik rumah. Tak buang masa, kami ambil peluang bersembang sekejap moga-moga terbit rasa simpati staf wanita tu.

Bila dia tengok kami semua wanita, timbul kesian agaknya. Terus dia ajak masuk ke pejabat untuk isi borang dan ambil cadar, sarung bantal dan selimut.


Bayaran untuk menginap di sini cuma RM13 seorang. Boleh menghubungi mereka pada waktu pejabat di nombor : 09-695 6362 untuk tempahan.

Terima kasih Cik Ida kerana bersimpati dengan kami. Layanan pun bagus.

Total ride : -+ 117km


~Jangan Tua Tanpa Cerita~

Bersambung.