Thursday, September 26, 2019

Ber-Pulang.

Tour de Borneo
30hb Ogos - 8hb September 2019

Kisah sebelumnya ketik di sini. 

Beaufort - Tenom : 48km

Mengimbau kembali tahun 2007 aku pernah berpeluang menaiki keretapi ni. Masa tu ada trip aktiviti  WWR di Sungai Padas. Kini aku kembali semula dengan  cerita yang berlainan.


Setelah memastikan basikal berkunci dan di dalam keadaan selamat, kami dengan segera menuju ke gerabak.  Teruja sangat bila masih dapat menikmati pengalaman menaiki keretapi lokomotif.



Untuk perjalanan pergi kali ini, ada 3 gerabak yang akan berlepas, 2 gerabak penumpang, satu gerabak untuk barang. Kami memilih duduk di gerabak barang sebab dapat duduk di tepi pintu dan pemandangan pun luas.





Peringatan ini hanya sebagai syarat tampal. Melaksanakannya adalah krik krik. Ahaks. 


Keretapi ini akan berhenti di setiap perhentian untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Lebih-lebih lagi jam sudah pukul 1 petang. Waktu anak-anak pulang sekolah. Perhentian pertama di sekolah St John Beaufort,  ramai anak-anak sekolah sudah menunggu.



Ini adalah keretapi rakyat yang menghubungkan setiap penempatan di sepanjang Sungai Padas. Malah ia menjadi pengangkutan yang sangat penting untuk nadi kehidupan masyarakat si sini.





Setiap hari keretapi ini tanpa lewat akan membawa anak-anak ulang alik ke sekolah, menanti para petani membawa naik hasil tanaman ke atas gerabak untuk dijual ke  pasar tamu, memberi peluang pada sang pengembara seperti aku yang ingin melihat kehidupan yang lain dari kebiasaan.



Seronok dan terasa sedikit hiba bila melihat wajah anak-anak sekolah yang keletihan duduk di pintu gerabak mengharapkan keretapi cepat sampai ke rumah.



Kita takkan kehausan atau kelaparan kerana ada penjual makanan dan minuman yang akan berjualan dari satu gerabak ke gerabak yang lain.


Untuk fotografi jalanan, suasana macam ni yang paling manang untuk dirakamkan.



Segala benda boleh dibawa naik keretapi. Malah haiwan ternakan juga katanya  dibawa naik.



Seorang konduktor akan memastikan keselamatan kelancaran perjalanan  di mana dia akan memberi tahu pemandu keretapi sekiranya penumpang selamat turun/naik dengan menggunakan walkie talkie dari hujung gerabak. Dengan itu pemandu keretapi boleh mulakan perjalanan dengan segera.





Oke itu cerita dari pemerhatian mata aku yang rabun jauh, rabun dekat dan silau mengenai suasana perjalanan keretapi ini.

Ini pula cerita tentang pengalaman aku bersama penumpang di dalam keretapi.
Kadang bila keretapi berhenti, aku dapat rasa bagaimana sukarnya nak turun dari gerabak yang tiada tangga.


Ada juga yang membeli barang yang sangat banyak berkotak-kotak dari Beaufort, bila sampai terkial-kial dia nak menurunkan barangannya tu.


Nah ! jangan risau, kami ada skuad turun tangan dibawa khas dari Semenanjung. King dan Naim hero of the day.




Satu jam pertama duduk dalam keretapi seronok la. Masuk jam yang kedua mula mengantuk. 


Keretapi dari Beaufort akan berhenti di stesen Halogilat dan semua penumpang akan berpindah naik keretapi yang lain untuk meneruskan perjalanan ke Tenom. Keretapi yang asal akan berpatah semula ke Beaufort. 



Keretapi yang ini ada penghawa dingin. Jadi dah tak boleh tengok luar dan menikmati angin yang sepak-sepak muka. Haih, mengantuk. 


Aku tak pasti di stesen mana sekumpulan kru kayak naik ke gerabak dengan membawa beberapa buah  kayak. Nampaknya tiada halangan untuk penumpang  membawa apa sahaja ke atas keretapi. Sporting betul pihak pengurusan Keretapi Sabah dan penumpang di sini. Barangkali mereka tahu semua itu untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan di negeri Sabah. 





Kalau kat negeri pasir berdengung, basikal seketol pun tak boleh naik keretapi. Lecce.

Tenom



Kami sampai di Tenom jam 4 petang. Termanggu-manggu tak tahu hala tuju. Dah la belom solat, makan pun belum, maka emosi masing-masing terganggu.

Cadangan pantas pergi ke KFC dahulu, sejukkan badan yang sedang hangat sebab cuaca di Tenom panas juga. Nanti masa makan baru bincang dengan waras.


Memandangkan banyak hotel yang dah penuh, kami tiada pilihan untuk bermalam di sini. Lagipun tak jauh dari stesen keretapi.


Di sini Wak Jan bertemu kawan lama. Bila dia tahu Wak Jan ada di Tenom, dengan tidak teragak-agak terus dia datang sejauh 43 km dari Keningau. 


Terima kasih sebab belanja kami makan kepak ayam bakar. Baru tahu yang kepak ayam ni amat popular di seluruh Sabah. Setiap tempat ada rasa  yang tersendiri. Menarik. 


Tiada apa-apa aktiviti yang boleh kami buat di sini kerana pekannya sepi lepas Isyak. Hanya berjalan-jalan melihat bangunan yang berdekatan. Paling kuat pun masuk 7 eleven beli ais krim. 


Tenom terkenal dengan produk kopinya. Sayang, kami tak berpeluang untuk menjelajah ke seluruh pelusuk daerah ini. Mungkin di lain waktu, insya allah. 

6hb September 2019
Tenom- Beaufort : 48km
Selamat tinggal Tenom. 



Jam 7 pagi kami sudah berada di Stesen Keretapi Tenom untuk pulang ke Beaufort semula. Waktu berlepas jam 7.15 pagi.


Tambang

* Beaufort - Tenom: RM2.75

* Beaufort - Pangi: RM2.20

* Beaufort - Rayoh: RM1.65

* Beaufort - Halogilat: RM1.20

* Beaufort - Saliwangan Baru: RM0.90

* Beaufort - Kota Kinabalu: RM4.80

Sumber dari sini.



Aku nampak benda ni, tiba-tiba aku teringat ada mendengar seseorang bercerita pasal perkhidmatan keretapi sampai 6.30 petang ja. Habis tu kalau cikgu-cikgu yang ada kerja sampai lewat malam macamana nak balik ke Tenom ? 


Mereka akan balik gunakan kenderaan macam troli. Adakah benda ni yang dimaksudkan ? 
Lupa la siapa yg cerita. 


Masih memilih untuk duduk di pintu gerabak. Kali ni aku nak rakam pemandangan Sungai Padas pulak.


Perjalanan pagi ni agak menarik sebab dapat tengok pemandangan kabus di atas bukit. 



Keretapi terus melintasi empangan Tenom Pangi yang tenang menampung air. Difahamkan bila ada aktiviti WWR baru mereka buka empangan dan lepaskan air ke sungai.  


Bila aku tengok keadaan sebenar dasar sungai Padas, aku macam tak percaya yang suatu ketika dahulu aku pernah bermain WWR di permukaan sungai yang deras. Gila ah. Batu sesaja. Besar dan berwarna hitam pulak tu. Ish. Sekarang dah tahu memang takkan layan WWR dah. Ngeri. 


Tapi tu la bila tengok keadaannya sekarang jadi sedih pulak. Kering kontang. 

Keretapi terus bergerak laju. Masa ni aku dah rasa mengantuk. Jadi mengesot sikit bersandar ke dinding gerabak lalu pejamkan mata. Tiba-tiba perempuan sebelah lelaki baju biru tu berteriak. 


Buaya  !  Buaya !  "Ada dua ekor aku nampak di tebing" . Kemudian dia gelak seronok. Riuh rendah la sekejap sebab semua menerjah ke pintu gerabak. Aku yang terkejut mencari-cari gak mana yang dia kata ada buaya tu. Hrm dah terlepas jauh. 


Keretapi berhenti untuk menurunkan satu grup pemancing. Nampak banyak barang keperluan yang mereka bawa. Aku rasa hidup di sini tidak lah bosan sangat eh. Hari cuti boleh berkelah atau pergi memancing di sungai.

Kalau aku, mungkin seminggu dua aku boleh tahan kot. Kalau bertahun mau mereng jugak. Hu hu.

Keretapi berhenti lagi. Kali ni berguni-guni pisang  dinaikkan ke atas gerabak. King tak lepaskan peluang membantu menaikkan guni-guni tu. Seronok bercampur dengan orang lokal ni.


Sampai di stesen Halogilat. Kami kena turun dan berpindah  ke gerabak keretapi lain menuju ke Beaufort. Oo, Stesen Halogilat adalah stesen transit rupanya.


Beaufort - Pantai Beringgis : 66km

Setelah 3 jam perjalanan, akhirnya kami sampai di stesen Beaufort. Terus ambil peluang untuk rakamkan kenangan bersama basikal di stesen itu. 


Hajat hati nak naik keretapi terus ke Kota Kinabalu juga musnah kerana keretapi laluan ke Tanjung Aru rosak pulak. Akhirnya terpaksa juga mengayuh basikal.

Untuk hari ini, kami perlu mengayuh sejauh yang boleh, sebelum jam 6 petang.


Disebabkan tiada apa yang menarik di laluan ini, kami tangkap gambar papan tanda je la. Simpang ke pekan Membakut. 


Cuaca memang tak boleh bawak bincang langsung. Kena juga cari tempat berteduh sebelum simpang ke Pekan Kinarut. 


Sampai di pekan Papar kami berhenti cari kedai dobi sebab King sudah kehabisan baju bersih. 
Kedai dobi bersebelahan dengan Petronas. 

l

Sedang kami duduk bersembang, datang seorang pekerja Petronas menegur dan memberikan kami topi lambang Petronas. Eh, kenapa pulak ni, katanya bos yang beri. 
Rupanya  kedai dobi dan stesen Petronas tu pemilik yang sama. Patut la kedainya sama macam warna Petronas. 


Setelah siap membasuh, aku dan King teruskan perjalanan. Sebelum sampai ke Pantai Beringgis, terhampar sebuah bukit tinggi yang panjang. Aku cakap pada King, "potong ah nanti tunggu Tun kat depan".

Kalau dia terus ada kat belakang, nanti aku pulak rasa mental. Selain itu, akan buat kaki dia sakit kerana terpaksa imbang badan nak kayuh perlahan mengikut rentak kayuhan aku. 

Kita kawan-kawan kena sensitif tentang keadaan kawan kita. Tak boleh la buat kepala sendiri. Selama beberapa hari ni dia dah jadi sweeper yang paling berdedikasi. Aku berhenti, dia berhenti. Aku lambat dia ikut ja dari  belakang. Penat berganda tau jadi sweeper ni. Bukan semua orang mampu jadi sweeper. Yang terpilih ja. 

Pantai Beringgis




Menghampiri waktu maghrib,  aku baru sampai di Pantai Beringgis. Cantik pantainya. Pasirnya  halus tapi mampat hingga kan kita boleh kayuh basikal tanpa tayar tenggelam. 





Tempat berkhemah kami bernama Pasakon Beach Campsite. Mempunyai kemudahan tandas, tempat bbq dan tempat berkhemah yang luas dan selesa. 




Cuma 1 ja yang sangat mengganggu kami. Nyamuk. Terlalu banyak nyamuk yang menyerang. Nak pasang khemah pun tak boleh, banyak sangat yang menghurung dan menggigit. 


Memang merimaskan, tapi aku tahankan juga sambil cepat-cepat pasang khemah. Bila siap pasang  khemah, aku terus pergi mandi. Jarak tandas lebih kurang 50 meter ke belakang. Dekat dengan semak. 

Masa tu memang dah masuk waktu maghrib. Gelap pulak tu. Dua ekor anjing yang ditambat ada tidur di laluan menuju ke tandas. 

Wak Jan, King dan Naim sebok pasang khemah dan cuba buat asap untuk menghalau nyamuk. Tak pe lah aku pergi mandi sorang je la. 

Bohong la kalau aku kata aku tak takut. Memang rasa takut, lebih-lebih lagi nak lalu kat kawasan anjing yang dua-dua warna hitam tu. Huhu. 

Aku cuba lawan perasaan dan tak nak melayan fikiran-fikiran jahat yang datang bertubi-tubi. Apa aku buat  ialah baca la ayat qursi ketika melangkah. Pastu jangan pandang anjing tu. Buat-buat tenang ja. 

Sampai kat tandas aku pilih yang tepi paling kanan. Jap, kenapa  bilik air tu warna merah.  Aku dalam bilik tu la. Hrm. 


Oke sambung cerita balik. Aku buka air besar-besar dan mandi. Sedang elok aku da bersiap dan  ambil wuduk, azan isyak berkumandang. 

Tak semena-mena anjing-anjing tu melolong melalak mendayu-dayu. Adoiii. Mana tak seram. Setahu aku, bila azan  ja, syaiton lari terkentut-kentut masuk dalam tandas. Anjing tu nampak syaiton lari masuk dalam tandas kot. 
Dan aku pulak ada dalam tandas !  Oi, erks. Arrghh lari. 

Cepat-cepat aku keluar. Berjalan laju-laju tanpa pandang anjing yang dok menderam kat tepi tu. Phews ! 

Sampai khemah, ketika aku nak solat terdengar Naim ajak King dan Wak Jan mandi. Dorang pun pergi bersama-sama. Cis ! 
Kenapa masa aku, takde sapa nak kawankan. Huwaaa. Owh ye la, aku yang tak ajak. Ha ha ha. 

Malam tu aku terasa rintik hujan. Khemah aku bukan jenis yang kalis air, jadi aku ambil keputusan alihkan khemah masuk ke cafe. Situ ada bumbung. Kalau malam, tiba-tiba hujan takde la kelam kabut aku nak pindah. 

Kira dah terpisahlah khemah aku dengan yang lain. Aku buat keras hati, tak mau fikir yang bukan-bukan. Masuk khemah, zip dan terus tidur. Cuma bila azan subuh berkumandang dari masjid anjing menyalak lagi. Ah sudah. 

Jadi aku simpulkan bahawa, anjing menyalak sebab dia menjawab azan. Sebab, sampai  "haiya alasolah" dan seterusnya dia tak bunyi dah. Menyalak bila "allahuakbar dan ash haduallah ila haillallah... ".

Ataupun kedua-duanya, menjawab azan dan nampak syaitonirrajim. 

Tak caya dengar video clip ni. Masa ni aku dalam khemah, terjaga bila azan subuh. 


7hb September 2019
Pantai Beringgis - Tamu Kinarut : 8 km

Lepas subuh aku tengok semua tak de. Rupanya dorang pakat bergambar dan mandi laut. 








Sebelum kami beredar, kami ambil peluang untuk berbual dengan pengurus kem tersebut. 



Keluar sahaja dari Pasakon Kemsait, kami berhenti untuk bersarapan dahulu. Masakan pilihan aku adalah masak pindang. Makanan orang dalam pantang. Kiranya masakan orang Sabah boleh layan la. Sedap macam masakan di Semenanjung. 


Ini lah dia hirisan buah bambangan yang menjadi hidangan pembuka selera yang terkenal di Sabah. 


Kami baru nak mulakan kayuhan. Sekali pandang depan, kus semangat !  Bukit lagi oi oi. Mau muntah keluar balik apa yang aku makan tadi. Huhu. Pagi-pagi dia nak bercanda. 


Oke Tun, kayuh dengan tenang, kawal penafasan jangan laju sangat, nanti jantung  pam dengan laju sampai tak cukup nafas pulak. Tenang-tenang aja. Kayuh lambat tak apa asal jangan berhenti terus. 



Tamu Kinarut- Kapayan DnD Homestay : 17km

Hari ni ada buat temu janji nak jumpa seseorang di Tamu Kinarut. Percepatkan kayuhan sebelum  habis waktu Tamu. 


Kami sampai pukul 10.30 pagi. Tapi bahangnya seperti pukul 12 tengahari. Panas terik. Sementara menunggu kawan tersebut sampai, kami duduk berlindung di bawah gerai air kelapa. 


Dah habis sebiji kelapa, baru kami bergerak masuk ke pasar Tamu untuk melihat-lihat barang yang dijual. Bermacam-macam benda yang di jual dari buah buahan, ikan bilis, segala jenis siput, benih pokok dan banyak lagi. 




Tak lama kemudian kawan tu pun datang. Ini Rachel, kenalan dari instagram. Sebelum ni masing-masing main surprise hantar barang pos laju dari Semenanjung ke Kota Kinabalu (vice versa) . Sekarang baru berpeluang untuk bertemu muka. 


Aku menolak nak berfoto sebab muka berbelang. Kalau sekata satu muka tu gelap terbakar tak apa, ini dari dahi ke hidung cerah, separuh hidung ke dagu  gelap. Fesyen apa tu, huduh oi. 


Tu yang mengelak ja. Rachel mengajak aku untuk cuba makanan yang ada di Tamu ni. Disebabkan aku baru ja makan nasi, aku cuma nak cuba burasak pulut dan burasak nasi bersama ayam masak lengkuas. 


Sedap, masakan ayam lengkuas pun tak ada sangat rasa lengkuasnya. Burasak makanan orang Bugis. Kat Semenanjung ramai ja orang Bugis cuma aku ja belum berpeluang jumpa kedai yang jual burasak ni.

Ku fikirkan yang menjual burasak orang Bugis, tapi bila dengar gaya percakapannya lenggok orang Filipina rupanya.

Sebenarnya aku meminta tolong Rachel untuk mencarikan kotak basikal. Jadi dia datang nak hantarkan lah. Tapi sebelum tu kami kena cari hotel / homestay dulu. Untuk tidak membuang masa Rachel, aku minta dia pulang ke rumah dulu berehat. Bila aku dah jumpa hotel aku akan maklumkan.

Nak cerita satu kejadian, kami sedang mencari jalan menuju ke homestay, tapi google map nak bergurau, jadi Wak Jan berhenti untuk membetulkan kordinat.  Kami pun sama-sama ikut berhenti di tepi jalan. Wak Jan tiba-tiba memusingkan basikalnya melawan arah untuk berpatah balik. Tak semena-mena berlaku kemalangan depan mata kami. Bump ! Kereta kancil langgar belakang kereta Myvi. Kereta Myvi melambung ke tengah pembahagi jalan.
Uisyy ! Terbeliak mata aku. Mujur tak ada yang cedera.

Dengan pantas kami beredar sebab tak nak jadi saksi kejadian. Wak Jan kayuh tak pandang belakang, aku pun ikut kayuh laju-laju.

Akhirnya kami sampai di Kepayan DnD Homestay.



Tempat ni selesa, tak bising, persekitaran pun cantik dengan pokok bunga. 


Susun atur pun simple, yang penting bersih.

Mempunyai halaman yang luas, sangat sesuai untuk proses packing basikal. 




Jam 5 petang Rachel datang untuk menghantar kotak. Terima kasih kerana bersusah payah mencari dan menghantar kotak pada kami. 




Sebelum berpisah, Rachel hadiahkan sebuah kotak kecil. Katanya itu perhiasan dari keturunannya kaum Dusun Lotud yang dipanggil Simpai ( gelang perak). Waw lawa wei. Suku Dusun Lotud kebanyakkan datang dari  Daerah Tuaran.
Jika nak tahu lebih lanjut tentang suku kaum ni boleh klik di sini. 
Rasa bersalah pulak nak pakai gelang ni, sebab cantik sangat. Takut calar dan rosak nanti. 


Semua kotak kami angkat bawa ke depan pintu bilik. Tanpa membuang masa Naim  terus mulakan operasi membuka basikal. 






Bila dah siap, baru kami keluar untuk mencari makan. Malam terakhir di Sabah kenalah raikan dengan makan besar. Nak ke bandar kami gunakan perkhidmatan Grab ja. 


Grab menurunkan kami di Waterfront Seafood Night Market. Tengok keliling, punya lah ramai umat manusia. 


Kami sekadar berjalan-jalan melihat suasana dan mencari gerai yang menarik perhatian untuk dimasuki. 


Banyak betul pilihan, dari sekecil-kecil siput gonggong, sehingga sebesar-besar macam gergasi. Tak lalu nak makan siput yang berbelang ni. 





Semuanya Naim dan King yang pilih. Aku tahu makan dan bayar ja. 


Lihatlah hidangan yang banyak ni. Betul-betul makan besar. Rasa perut macam nak pecah ja. 



Hari terakhir ni kami ambil peluang untuk merayau ikut langkah kaki. Dari satu gerai ke gerai yang lain, haish lenguh kaki aku. 


Aku teringat tentang 0km Kota Kinabalu yang aku nampak postingnya di FB. Apalagi, aku ajak semua pergi cari. Haa berpusing-pusing mencari. Bila dah puas bergambar kami panggil Grab untuk  pulang ke homestay. Ngantuk dan letih. 


8hb September 2019

Kepayan DnD Homestay- KK Int Airport

Tiba lah masa untuk berpulang. Sebelum tu bersarapan Ngau Chap di kedai yang berhampiran dengan homestay. 


Aku tanya lah apa makna Ngau Chap ? Pelayan kedai tu kata mee sup. 
Owh, mee sup rupanya. 


Naim makan 2 mangkuk, lepas makan ngau cap dia order mee kari pulak. Fuuhh, bela saka kot. Ha ha ha. Lepas makan Wak Jan, Naim dan King nak pergi jalan-jalan kat mall. Aku cakap malas la nak ikut, nak sambung tidur kat bilik sebelum ke lapangan terbang. Aku pun balik la sorang - sorang. 


Diringkaskan cerita, penerbangan kami jam 4.15 petang. Sengaja datang awal supaya tak kelam kabut. 



Sekali lagi aku dapat duduk tepi tingkap. Dan kerusi sebelah aku semua kosong. Skrin kat depan aku pun cuma boleh pandang ja sebab aku tak x reti nak pasang. Ga ga ga.




Alhamdulillah, selamat tiba di KLIA dengan selamatnya.




Keluar saja dari pintu ketibaan, tak disangka-sangka kawan-kawan sudah pun menunggu untuk menyambut  kepulangan kami. Terharunya. Terima kasih Don buat live video, terima kasih pada Aza sebab belanja makan, terima kasih juga pada Jinggo sebab hantar aku pulang ke rumah. 


Jelas betul belang muka aku kat dalam gambar ni. Haish. Pasal tu lah aku tutup separuh muka.

Maka, dengan ini berakhirlah cerita tentang perjalanan aku dan rakan-rakan ke Borneo selama 10 hari.

Oke tu ja.

Sekian. Tamat.

Segala gambar-gambar perkongsian hasil ihsan dari Wak Jan, Naim dan King Hassan.
Terima kasih.