Thursday, May 18, 2017

"Jungle Train" ke Tak Bai

Jungle train ? atau Ekspres Rakyat Timuran - 26
Apa tu ?
Nah, sila klik di sini dan baca.

Aku memang suka naik keretapi. Setelah perkhidmatan keretapi "Senandung" dari KL Sentral ke Arau dihentikan dan diganti dengan ETS, aku rasa kerugian besar kepada industri pelancongan di Malaysia ni. Pengurusan KTMB tak tahu ke pengembara dalam dan luar negara memang suka menaiki keretapi lama kerana dapat menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan sambil baring-baring atas katil. Kalau mereka nak naik keretapi moden, di negara mereka pun ada. Lagi lama usia keretapi tu, lagi banyak nilai nostalgianya. Tapi dengan syarat, servis dalam keretapi mestilah tip top. Sepatutnya KTMB pergi berkursus dan belajar dengan negara Thailand dan Vietnam bagaimana mereka memanafaatkan perkhidmatan keretapi bagi menjana keuntungan syarikat berlipat kali ganda. Mereka tidak menghentikan perkhidmatan dan menukar kepada keretapi moden, sebaliknya mereka menaik taraf dan menjadikan keretapi lebih mesra rakyat dan pelancong. Motorsikal boleh naik, basikal pun boleh naik bersama penumpang dalam satu perjalanan dengan bayaran yang ditetapkan, semua tu boleh tambah keuntungan kepada pihak KTMB, tau ke tidak ?? Ah cakap banyak tara guna. Lecce. 

Oleh kerana itulah, aku bersungguh-sungguh hendak menaiki 'Jungle Train' ni. Ini je la satu-satunya keretapi yang ada katil yang masih beroperasi. Entah sampai bila mampu bertahan. Mungkin akan diganti juga dengan ETS.

Aku membuat kajian tentang perjalanan sebulan lebih awal, cari info tentang laluan, harga tiket dan waktu. Selesai.
Tetapkan tarikh, kemudian cari teman. Siapa nak ikot jom ! Cerita banyak tak mau, terus beli tiket keretapi tanda jadi. Tiba hari kejadian, jumpa di KL Sentral. Mudah bukan ?.

10hb Mei 2017
Rabu

Aku tetapkan janji temu di KL Sentral. Jam 5 petang, semua peserta sudah menjelma dengan basikal masing-masing. 
Jam 6 petang ETS ke Gemas memulakan perjalanan. Cadangan awalnya, aku hanya mahu berkayuh di sekitar Tumpat dan Tak Bai sahaja, tetapi rakan kayuhan mengesyorkan agar terus mencari masjid yang berusia 300 tahun di Telok Manok di wilayah Naratiwat. Terpaksa rombak semula jadual perjalanan untuk memasukkan lokasi terbaru.




Hairan, kenapa papantanda di sini menggunakan tulisan asing ? Bukankah Bahasa Malaysia bahasa rasmi ? Dah rasa macam negara Jepun , China dan Korea pulak. Huh.


Seramai 6 orang wanita bersama 6 buah basikal lipat akan memulakan perjalanan dari KL Sentral ke Gemas menaiki ETS. Tambang perjalanan termasuk bagasi (basikal dlm bag) sebanyak RM40. Kami terpaksa menaiki ETS Platinum kerana hanya ETS ini sahaja yang berlepas jam 6 petang.
Semasa di pintu platform, petugas di situ mengesyorkan kami untuk menggunakan porter mengangkat semua bagasi kami. Pada mulanya agak cuak juga sebab memikirkan mesti dikenakan bayaran. Ahaks, dah la semua trip aku ni trip 'bajet', trip berkira-kira gamaknya. Tapi pekerja tu kata tiada bayaran. Jadi aku pun ocey aja lah.
Bila melihat pekerja Bangladesh aka porter mengangkat bagasi aku yang berat lebih kurang 25kg di bahu kiri dan 25kg bagasi kakak aku di bahu kanan, tiba-tiba rasa perikemanusiaan dihumban ke dalam hati aku. Dang ! Terhoyong hayang aku tengok porter tu jalan dengan bebanan. Uhf, kesian o. Dia bawa dengan cermat hingga bawa masuk ke dalam koc ETS. Dah la platform atas sedang diubah suai, makan terpaksa turun ke platform bawah dengan bebanan sebegitu.
Aku bisik pada kakak, kita bagilah sagu hati kat dorang, tak lah banyak tapi memadailah kiranya untuk peluh dia yang menitik tu. Lagipun kitakan nak bermusafir, digalakkan untuk bersedekah. Mudah mudahan perjalanan diberkati dan dilindungi Allah. Dah la kita nak masuk ke wilayah bergolak. Jeng ! jeng ! jeng !
Sebelum porter tu pergi aku hulurkan $ pada tangan dia, dia menolak kerana dia sudah dibayar gaji fikirnya. Tapi aku bagi jugak sebagai saguhati. Terima kasih baiya, kasi posing skit ! Klik.


Kami memilih tempat duduk yang berhampiran dengan pintu kerana ruang di situ lebih luas untuk letak basikal. Semasa tiket sedang diperiksa, kami diberikan juga dengan sebungkus jajan berisi air milo kotak kecil dan 2 bungkus biskut oleh kondukter tiket.
Eh ? kenapa masa naik ETS Gold tak dpt ? Gold dengan Platinum mana lagi berharga ? Owhh pelik, Platinum lagi istimewa ya. Riuh rendah koc tu kalau 6 orang macik duduk sekali.


Tiba di stesen Gemas jam 8.30 malam. Masih ada 3 1/2 jam lagi untuk menaiki keretapi berikutnya ke Tumpat pada jam 11.50 malam. Elok pergi cari kedai makan dulu. Buka basikal dan kayuh menuju kedai makan yang berhampiran.




Kedai makan tu rasanya bekas stesen keretapi Gemas yang lama. Dia nak buat ala-ala 'Kluang Railway Station'. Siap ada tempat karaoke.


Di stesen keretapi Gemas, kemudahan bilik solat ada disediakan, jadi kami selesaikan segala yang diperintahkan dahulu, kemudian baru senang rasa di hati. Cuma yang tak gemar adalah, bila kita tanya keretapi ke Tumpat di platform nombor berapa ? pegawai di kaunter pun tak tahu. Mereka hanya terima maklumat 15 minit sebelum keretapi tiba. Kau rasa ?
Bila kaunter panggilan mengumumkan bahawa keretapi ke Tumpat berada di platform no 3, apalagi kelam kabut semua menyorong basikal menuju ke platform tu. Kami diberi masa 15 minit, untuk mencari platform, memasukkan basikal dalam bag dan seterusnya mencari koc keretapi seperti yang tertulis di dalam tiket. Semput macik nak oiii..




Harga tiket bagi perjalanan Gemas ke Tumpat untuk katil bawah berharga RM46 dan katil atas RM40. Perjalanan mengambil masa selama 13 jam. Okey, nak buat apa lagi, kasi tidur lah !.

-----------

11hb Mei 2017
Khamis

Aku terjaga jam 5.30 pagi. Tengok google map, baru sampai Dura, daerah Kuala Lipis. Bangun dan bergegas ke tandas untuk membersihkan diri serta berwuduk. Bersolat di atas katil ja. Arah kiblat aku tentukan menggunakan  kompas dengan arah jarum  291° - 293°. Kebiasaannya aku guna 292°. Ketika ini, matahari sudah mula menampakkan diri dibalik gunung ganang. Cahayanya malu-malu dibalik pucuk dedaunan. Wahh, dah nampak..aku dah nampak..kabus menutupi sebahagian bukit batu kapur disepanjang laluan. Kembara kali ni aku banyak merakam video berbanding gambar.




Tiba di Stesen keretapi Gua Musang jam 7.40 pagi. Diberikan masa selama 20 minit untuk bersarapan atau bergambar sebelum keretapi menyambung perjalanan ke Tumpat.





Tepat jam 8 pagi keretapi mula bergerak.





Jika di Thailand, sekitar jam 7 pagi, katil kita akan dibuka untuk dijadikan kerusi semula. Memang menarik perkhidmatan mereka. Cepat dan pantas atenden koc mengemas membuka cadar, sarung bantal dan langsir tak sampai 3 minit.


Info menarik, dikatakan ada 11 terowong kesemuanya dari Merapoh ke Kuala Krai. Tiga buah dalam negeri Pahang dan 9 buah dalam negeri Kelantan. Bukan itu sahaja, kita akan melalui berpuluh buah jambatan besi ala-ala jambatan River Kwai di Thailand. Termasuklah jambatan Bertam Baru dan jambatan Kemubu. Cantik pemandangan dia. 

Pukul 1 petang kami tiba di stesen terakhir iaitu stesen keretapi Tumpat. Cuaca sungguh terik. Nak buka mata pun rasanya tak mampu, terang sangat.




Setiap hari jam 1.30 petang, jalan ini akan ditutup untuk memberi laluan kepada kepala keretapi untuk membuat pusingan. Hampir setengah jam juga la pemandu kenderaan kena berhenti menunggu di bawah terik matahari. Sabarnya orang Tumpat.



Dari stesen keretapi Tumpat ke ICQ Pengkalan Kubur hanya 10km. Perut dah menjerit-jerit minta diisi, sabar ya perut kejap ja lagi.








Ini adalah kadar tambang feri untuk menyeberang ke Tak Bai. Malangnya sudah dua minggu feri rosak. Alternatif lain adalah dengan menaiki bot tambang.


Sebelum naik, aku tanya dulu berapa harga tambang untuk seorang dan sebuah basikal. Jawapannya RM2 untuk orang dan RM1 untuk basikal, jumlah hanya RM3 sehala. Ocey cun lah !




Bot penambang akan menurunkan penumpang tidak jauh dari bangunan baru Imigresen Tak Bai. Kami bergilir-gilir masuk untuk menguruskan pasport. Salah seorang mesti menjaga basikal dan barang-barang berharga.


Alhamdulillah, sepanjang perjalanan sangat mudah. Setelah urusan cop paspot selesai, tiba masa untuk mencari makan. Pesan sup campur dan nasi putih ja, itu ja yang boleh masuk ke tekak bila dah lewat dari jadual makan.


Asal lalu ja mesti orang tegur "mari dari mana lagi ni ?"
Bila kita cakap datang dari Kolumpor. Semua hairan.
Mari dari Kolumpor nuh getteh basika ? jauhnya dek oi (dengan muka terkejut)
Ahaks, terpaksa la kami cepat-cepat terangkan, "dari KL naik keretapi sampai Tumpat. Dari Tumpat baru getteh basika".
Ooo.

Perut sudah kenyang, dah boleh mulakan kayuhan mencari tempat tidur. Lokasinya hanya berjarak 5 km dari pasar Tak Bai.

Tak Bai Lagoon Resort. Harga sebuah bilik 600baht = RM75 ( harganya tetap sama dari dulu cuma ringgit ja yang makin merundum). Dari luar bilik dan tercium bau haruman daun pandan. Bila buka pintu, perghhh dia punya bau wangi sungguh. Rasa nak terus lompat atas katil golek-golek ja. Tuala dilipat bentuk bunga. Ada peti ais, tv, ekon, almari baju dan meja solek. Wifi wajib ada. Nyaman.





Kami sampai di hotel jam 4 petang waktu tempatan. Dapatlah rehat lama sikit sambil melihat pemandangan Pulau Panjang sebelum masuk waktu maghrib.




Jambatan Ko Yao (Pulau Panjang) pandangan dari Tak Bai Resort. Laa, di situ rupanya jambatan yang aku cari. Tak perasan langsung. Ku fikirkan jambatannya belah lain. Koh koh koh. Tak pe, tak pe. Dia tak bagi kita rasa semua, sebab dia nak kita datang lagi tu. Paham ke paham ?

Selepas solat maghrib, aku ajak semua keluar makan. Di Tak Bai Lagoon Resort ada juga restoran, jadi tak perlu keluar mencari kedai makan malam-malam yang entah di mana lokasinya. Keselamatan diri wajib diutamakan.
Pilih meja betul-betul tepi sungai.



Menu kesukaan aku adalah nasi goreng seafood, air tembikai, somtam dan kailan goreng ikan masin. Tengok somtam dia, tak kedekut buah gajus langsung.



Selepas 15 minit. Pinggan yang penuh berisi telah licin licau. Maknanya apa ? Sedap sangat.
Makan mengalahkan kayuh 100 km, padahal kayuh 10 km ja.


Lepas makan ayuh la kita tidur. Esok kayuhan mencecah 60km. Daa...

---------

12hb Mei 2017
Jumaat
Subuh jam 4.50 pagi waktu tempatan, kedengaran laungan azan sahut sahutan dari corong masjid Pulau Panjang dan surau di sebelah Tak Bai Resort. Segera bangun, mandi dan terus solat. kemudian terus keluar ke tebing sungai untuk melihat pemandangan matahari terbit.


Bukan setakat dapat tengok matahari terbit saja, kelibat nelayan keluar ke laut dengan bot pun sempat dirakam. Hanya suara burung bersahut-sahutan dan bunyi enjin bot yang kedengaran di awal pagi. Damai ja.



Sementara ada wifi, hantar laporan dulu sebelum mulakan perjalanan.




Hiasan papantanda disimpang masuk ke Tak Bai Lagoon Resort.


Di sini kambing paling banyak berkeliaran di tepi-tepi jalan, kat tempat lain banyak anjing. Lucu pulak kita tengok.


Tempat tujuan yang pertama adalah Wat Chon Thara Singhe, kerana ianya tak jauh dari Tak Bai Lagoon lagipun satu laluan menuju ke Narathiwat. 

Wat Chon Thara Singhe

Pada tahun 1873, Phra Khru Ophat Phutthakhun (sami dan abbot) menubuhkan Wat Chonlathara Singhe dan meminta tanah dari Phraya Kelantan (penghulu) untuk pembinaannya. Pada masa itu, Tak Bai masih sebahagian daripada Kelantan di Malaysia. Kemudian, kuil Buddha ini memainkan peranan yang penting dalam pembahagian tanah antara Siam dan Malaya (ketika itu tanah jajahan United Kingdom) semasa pemerintahan Raja Rama V pada tahun 1909. Thailand membangkitkan fakta bahawa, sebagai kuil Buddha, kawasan itu perlu kekal dengan Thailand. British mengalah dan bersetuju untuk menggunakan Sungai Klok (Tak Bai River), yang mengalir melalui Tak Bai, sebagai sempadan.
Akibatnya, kuil ini berjaya menegaskan bahawa kuil Buddha dan kawasan sekitarnya tidak boleh dikaitkan dengan Malaya Muslim tetapi Siam Buddha. Kuil ini terletak di tengah-tengah daerah majoriti Muslim berorientasikan Tak Bai. Dikenali sebagai Wat Phithak Phaen Din Thai, diterjemahkan sebagai "kuil yang melindungi kedaulatan Thai".


Wat Chon Thara Singhe terletak di sepanjang jalan 4985 (Narathiwat-Tak Bai) berhampiran persimpangan dengan Tak Bai Market di Tambon Chehe. Dari sini kita boleh sampai ke pulau Ko Yao.






Aku sekadar masuk dan melihat dari jauh sahaja semua bangunan di sini. Langsung tak ada hati nak selidik dengan lebih terperinci. Sekadar buat syarat. Wat Buddha kan. Tengok-tengok udah la. 
Dalam kawasan watt ni memang banyak anjing  tapi anjingnya semua berehat santai sahaja. Mungkin dah biasa dengan orang yang datang melawat.



Sudah memasuki wilayah Narathiwat. Laluan jalan yang lurus di highway 42. Terlupa pulak hari ni hari Jumaat. Cuti. Padan lah banyak kedai yang tutup. Cari kedai makan di sepanjang jalan ni pun tak ada. Perut dah sangat lapar. Jauh jugak kayuh tu dengan perut kosong, aku orang terakhirnya tiba di gerai makan tepi jalan.


Terpandang pulak kereta kebal sedang parkir di sebelah kedai makan yang sedang membuat pemerhatian. Alamak ! Automatik perasaan takut menyelubungi bila jumpa askar. Padahal bukan ada apa pun. Gagaga.

Aku tengok macik-macik tu beriya pergi kat askar minta bergambar. Oi oi, ikut suka korang ja ya nak ambik gambar. Tak tahu ke, itu salah satu perkara' do & don't' yang perlu kita tahu ?.Aku punya la cemas bila dorang berfoto dengan askar Thai selamba badak ja. Aku yang selalu masuk Thailand pun tak pernah berani nak minta berfoto dengan petugas beruniform. Apalagi nak mengangkat lensa kamera  bila berhadapan dengan mereka. Gila kentang la korang. Phews !


Kalau korang perasan, askar yang di atas tu sedang buat tanda peace di dadanya. Pakai topeng berani la ya. Ngeh ngeh ngeh..sebenarnya dorang sporting. Lagi-lagi kalau kami sedang mengayuh melepasi pos kawalan. Polis dan askar Thai ni semua muda-muda  belaka. Sekali pandang muka garang. Bila kita angkat tangan dan senyum, dorang pun balas senyuman. Haa masa tu lah boleh buat aku jatuh basikal berkali-kali. Manis sungguh senyuman mereka. Aumm.


Kami tiba di kedai makan ni pun lauk hampir habis. Dapat la merasa sikit kuah gulai ayam kampung makan dengan nasi putih. Ayam kampung ? waw. Nasi, gulai ayam kampung dua ketul dan air teh 'o ais makcik tu cakap harga 4 rial = 4 ringgit. Kalau tidak makcik tu nak sedekah ja. Ohoi ~ mana boleh. Kena bayar juga.


Jam menunjukkan pukul 8.39 pagi waktu tempatan, tapi panasnya mak ai, macam pukul 12 tengahari.
Pelahan-lahan aku ikut kakak aku dari belakang. Nak laju nanti dia tertinggal pulak, sampai satu ketika aku tukar basikal dengan dia. Sama jugak tak laju. Bila basikal jenis yang tak ada momentum lajakan, kau hebat atau kuat macamana pun, kau tetap pewai.


Mujur kawan-kawan yang lain kerap berhenti sambil menunggu. Dapatlah aku menarik nafas lega.


Berhenti rehat di hentian bas dalam 10 minit. Mata melilau memandang keliling, tiba-tiba terpandang pokok gajus yang berbuah lebat di laman sekolah. Patut lah buah gajus murah kat sini, sebab mereka menanamnya. Melambak-lambak ni dorang tak kutip ke ? Busuk macam tu ja di tangkai. Haiyo !





Berhenti lagi, kali ni depan kem tentera 151st Infantry Regimen Thailand. Nampak tak permainan bijak macik-macik  ni ? Di samping memilih lokasi selamat, mereka juga dapat mencuci mata.


Asal melepasi jambatan ja semua pakat berhenti mencari tempat redup. Dah la sepanjang route 42 banyak sungai. Memang berhenti berkali-kali lah kisahnya.




Hingga satu tahap, Fashilah melihat bacaan suhu di jam tangannya. Hampir mencecah ke 40 darjah celsius. Tu dia, patutlah semua pewai.


Sepanjang jalan, banyak berjumpa nama kampung yang masih mengekalkan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi. 



Hampir jam 5 petang waktu tempatan, kami baru tiba di persimpangan kampung Telok Manok. Lega rasanya kerana aku tak perlu kayuh lebih masa. Kuderat memang dah ke laut Cina Selatan perginya. Harap mental ja masih tinggal saki baki meneruskan kayuhan. Kali pertama pewai di siratthalmustaqeem lagi rata. Cis.


Sekarang musim menuai padi. Para petani sibuk mengerjakan hasil tuaian. Mereka masih menggunakan cara tradisi di selang seli dengan cara separa moden


Inilah masjid Telok Manok atau dengan panggilan Masjid Wadi Husein yang telah berusia 393 tahun. Berbaki lagi 7 tahun untuk genap usianya 400 tahun. Ia  dibina menggunakan kayu tanpa mengguna sebarang paku. Menurut cerita dari Tok Su (qariah masjid ini) yang membina masjid ini adalah Husein, beliau lah yang membuka tanah dan  membina masjid ini untuk diwakafkan kepada masyarakat seterusnya bersama adiknya Hasan. Kedua-dua mereka dimaqamkan di kampung ini juga tidak jauh dari masjid ini.
WAN HUSEIN AS-SANAWI AL-FATHANI HAFIZ adalah pendiri Masjid Teluk Manok. Sekiranya ingin mengetahui latar belakang  beliau, sila baca di sini.


Ketika kami sampai anak-anak sedang seronok mandi di kolam.



Bangunan asal masjid ini hanya setakat tangga batu sahaja, kemudian ditambah menjadikan ia lebih luas. Mempunyai tangga kayu yang curam untuk naik ke tingkat atas menara, barangkali zaman dahulu menara itu tempat untuk melaungkan azan.

Huraian tentang senibina masjid kayu boleh rujuk di sini. Ada 5 buah masjid kayu yang menggunakan ukiran dan senibina yang sama. Tiga buah di Semenanjung Malaysia, 2 buah di Pattani.




1357 ? tarikh apa ni ? Walaupun tulisan jawi tu, aku tak berapa nak faham, Aku cari jugak apa yang terjadi pada tahun 1357.
"Terdapat pendapat yang mengatakan Islam telah sampai ke Kepulauan Melayu seawal kurun pertama Hijrah atau kurun ketujuh Masihi lagi. Dalam masa yang sama. tidak diketahui dengan pasti tarikh yang tepat Patani menerima Islam, namun kalau dilihat kebanyakan karya sastera sejarah dan merujuk kepada Teeuw dan Wyatt dan W.K Che Man, dapat disimpulkan bahawa Patani menjadi negeri Islam pada 1357." Cerita lanjut boleh baca di sini.



 Pintu masuk ke ruang solat.





 Ukiran bunga teratai.





 Laluan masuk ke ruang menara, boleh muat sekira-kira tiga orang dewasa.




Hari menjelang senja. kami masih tak dapat mencari tempat bermalam. Guesthouse dan hotel dalam 25km jaraknya. Macik tak larat la nak oii nak getteh memalam. Ikhtiar terakhir adalah bermalam di masjid ni. Suraya, salah seorang qariah merangkap guru agama yang berniaga baju dan tudung di halaman masjid mencadangkan kepada kami untuk pergi berjumpa dengan imam masjid untuk meminta izin dahulu.
Alhamdulillah diberi keizinan tanpa banyak soal. Tanpa berlengah lagi kami pun pergi membersihkan diri untuk solat maghrib berjemaah.


Aku teringat masa mula-mula membuat jadual perjalanan ke sini, niat aku kalau dapatlah aku nak solat dhuha kat masjid tua ni, sebab masa tu yakin sangat boleh sampai sebelum zohor. Ala 60km jalan landai ja, apa ada hal. Sekali bila tiba hari kejadian amik kau. Pewai. Tapi tak pe, tak dapat solat dhuha, sekali 3 waktu Allah beri sekali gus dengan tambahan dapat tidur lagi kat sini. Allah maha mengetahui dan Allah maha baik.


Usai solat Maghrib sementara menunggu solat Isyaq kami berbual-bual dengan jemaah kampung.
Kami bersembang dengan bahasa melayu Kedah/Kelantan kerana kebanyakkan penduduk di sini asalnya dan masih mempunyai saudara mara di Kedah/Kelantan.
Dari situlah kami dapat pelawaan dari seorang wanita bernama Fatimah untuk bermalam di rumahnya. Beliau adalah seorang balu yang baru 5 bulan kematian suami akibat kanser tekak. Mempunyai 4 orang anak, dua daripadanya adalah kembar lelaki. Seboleh-bolehnnya kami tak mahu menyusahkan orang, akan tetapi setelah didesak berulang-ulang kali hingga rasa serba salah. Akhirnya kami terima juga. Dengan syarat, Fatimah jangan buat -apa-apa. Kami tumpang tidur sahaja, makan malam kami sudah siap sedia tapau.


Punya gembira la Fatimah bila tetamu nak datang rumah. Mungkin ada teman berbual nanti. 
Ocey lah, menggembirakan orang satu amalan mulia bukan ?
Menariknya tentang masjid ni, pintu dan tingkap tak pernah berkunci. Sesiapa pun bebas untuk masuk menunaikan solat. Pintu hanya dirapatkan sahaja. Bahagian yang terbuka mereka letakkan jaring supaya kelawar tidak terbang masuk dan membuang najis di dalam ruang solat. 


Rumah Fatimah hanya di sebelah masjid ni saja. Rumah pusaka aruah keluarga mertua. Atap genting dan binaan berasaskan kayu. Pergh ! terkesima aku menatapnya. Teringat rumah aruah tok uwan aku dulu-dulu. Uhf, nostalgia. Barang-barang antik masih tersimpan dalam almari.
Malam tu malam nisfu Syaaban. Bulan mengambang penuh dan cantik sekali. Selepas makan malam, Fatimah mengeluarkan 6 biji bantal, selimut dan menghamparkan toto buat alas tidur. Masing-masing baring dengan wajah penuh kebosanan sebab seharian tak dapat mengemas kini lokasi terkini kepada sanak saudara serta sahabai handai. 


Tiba-tiba Fatimah bersuara; "kalu nok wifi, di mesejid ado. Paswed nu bulih minta pada anok. Dia saje tahu".
Kami semuanya menyahut, HAPA??? !! apasal tak tau dari awal. Terus semua bernyawa, berdezup pergi ke masjid.


Tengok lah muka masing-masing yang begitu khusyuk mengadap talipon pintar bila dapat wifi percuma. Tak diendahkan benda lain termasuklah tanah perkuburan di hadapan masjid. Hantu dengan wifi mana lagi korang takut ? Lagi takut kalau wifi tak de. Hua hua hua. 
Padahal dah jam 10 malam waktu tempatan, di mana secara kebiasaannya penduduk di sini terutama kaum wanita tidak  keluar di waktu malam. Maafkan kami ya penduduk kampung. Keadaan kami sungguh terdesak untuk menyampaikan khabar berita pada orang tersayang. Dah hantar khabar kami semua masuk ke rumah dengan segera.


Krik ! krik! krik !


------
13hb Mei 2017
Sabtu
Plan asal telah berubah, mungkin terkesan dengan kepewaian semalam. Aku terus buat keputusan hendak gunakan kuasa magik. Berbincang dengan grup, sekiranya kita nak melawat maqam dan air terjun, kita mesti cari kenderaan pikap dahulu. Baru boleh kita keluar lewat dari sini. Jika nak kayuh terus menyeberang hingga ke Kota Bharu memang tak kan sempat dengan kondisi basikal kakak.
Bercerita dengan Fatimah akan hajat kami untuk mencari kenderaan, serta merta Fatimah keluar mencari orang yang ada kenderaan.
Lagi sekali Alhamdulillah, ada orang yang sudi hantar kami ke Tak Bai selepas solat Zohor nanti.
Apalagi, gumbira betul si Fatimah berselfie dengan kami. 


~ BAHAGIA ITU SEDERHANA...


Pagi tu Fatimah keluar membeli sarapan, dicarikan nya nasi Khao Mok (nasi kuning) gara-gara dia mendengar permintaan aku nak makan nasi tu. Padahal orang-orang di situ sarapan pagi mereka dengan nasi kerabu ja. Hok alloh Fatimah. Susah-susah je.


Beza sedikit nasi khao mok di sini, mereka makan dengan ayam goreng dan kuah cili. Di bahagian utara Thailand nasi ni didatangkan bersama gulai ayam/daging berserta sup. Walaupun begitu keistemewaan nya tetap terletak pada rasa rempah di nasinya.


Kopinya juga sedap. Secukup rasa. Jarang sangat aku menambah minum air kopi samada sejuk atau yang panas. Eceyy, cawan gambar kaabah. Mudah mudahan dapat rezeki aku ke sana. In sya allah amiinnn.






Waktu kami sedang bersarapan, datanglah beberapa orang jiran Fatimah yang berpangkat Tok Su mempelawa kami untuk datang ke rumah. Bersungguh-sungguh ajak kami datang. Ocey la boleh la. "In sya allah, nanti lepas makan kami datang ya Tok Su."


Ziarah rumah Tok Su, dihidangkan lah dengan air teh, kuih cek mek molek dan roti. Disua-sua ke kita suruh jamah. Bukan ke aku baru makan nasi tadi ?. Adoi lah. Demi menjaga silaturrahim, ku jamah juga kuihnya. Haish, macamana nak kurus ni. Gagaga.


Belum habis air diminum, datang sorang pangkat Tok Su yang lain (duduk di pintu), ajak juga datang ke rumah. Alamak, mujur kita dah guna kuasa magik, boleh la singgah menyinggah lama-lama sikit.



Sebelum beredar dari rumah Tok Su ni, kami dah berpakat untuk kumpul sorang sedikit $ untuk diberikan kepada Fatimah sebagai saguhati. Kalau beri ke tangan dia memang sah beliau tak akan terima. 'Malu' dia ditangga teratas. Maka kami berikan secara sembunyi-sembunyi kepada Tok Su sebagai orang tengah untuk menyampaikan pemberian kami kepada Fatimah. Tok Su bersedia menyampai kan hasrat kami dengan sedikit kata-katanya yang sememangnya aku benar-benar terlupa; "Owh nok beri pada anok yatim "
Haaa ya ya ya untuk anak yatim. Hihihi, aku menyengeh.


Rumah Tok Su yang kedua aku tak amik gambar. Sempat snap gambar katil buluh ni ja sebab masa tu anak perempuan dia tengah gosok baju nak pergi mengajar. Kebanyakkan anak-anak muda yang kekal menetap di sini adalah di kalangan petani, guru sekolah agama/kerajaan dan mereka yang bekerja sebagai pegawai kerajaan. Selebihnya ramai yang merantau.

Rumah kedua pun kami dah singgah, selepas ini singgah di rumah yang ke tiga untuk mengambil tudung yang ditempah. Aku berkenan sangat dengan tudung yang masyarakat di sini semua pakai. Labuh hingga ke pinggang. Boleh terus buat telekung untuk solat. Nak cari kat MY harganya yang tak tahan. Bila tanya beli kat mana, penjual air ni cakap dia menjahit tudung juga.


Alang-alang dah tanya, terus tanya harga sehelai berapa dia ambik.
Edah (berbaju biru)" Kalo hok yang biaso kosong 20kok jah." Yang ado mannek atau batu-batu dale 35kok. Kadde tengok jugok jenih kain lagu manno."
Ok -ok pahe. Kito nok duo hela hok yang biaso-biaso ya.
Lupa nak cerita, kopi ais dia sedap sangat. Aku tak pernah minum kopi ais sebanyak ini. Atau mungkin cuaca panas yang membuatkan aku dahaga teruk ?


Tudung yang ditempah sudah pun diambil. Suraya ajak berehat di rumah dia pulak sementara menunggu waktu Zohor. Sambil tu dia bercerita tentang air terjun Pan Cho dan maqam pemilik masjid 300 tahun tu. Ala, dia dah goda aku dengan air terjun pulak. Kalau tak pergi, tersangatlah rugi sebab dah dekat. Nak kayuh aku memang tak kuasa lagi dah. Akhirnya, aku nyatakan hasrat nak pinjam motorsikal.
Hasrat aku diperkenankan. Yahoo !
Baru saja nak berbincang tentang rancangan ke air terjun,  Makcik Mariam pulak ajak masuk ke dalam rumah dia dulu. Di suruh duduk baring, diangkatkan air sirap ais, dikeluarkan roti arab yang dia masak untuk sarapan cucunya berserta kuah kacang pool.


Seboleh-boleh dia suruh jugak makan kasi habis. Erkks. Sedap memang lah sedap tapi perut dah terisi penuh sampai takat leher dah ni. Ku paksakan jugak makan, kerana tak baik membazir. Kiki.
Makcik Mariam ni dahulu bekerja sebagai pembantu rumah di Arab Saudi. Berpuluh tahun jugak dia tinggal di sana. Bila dah tua, dia balik kampung, buat rumah dengan duit gajinya yang berjuta-juta tu. Tengok hiasan dalaman rumah dia, cukup mewah.


Okey cukup. "Makcik, kami nak minta diri dulu ya sebab nak pergi ke air terjun".
"Haa, bulih bulih. pergi lah. Nanti balik mari lagi sini no""
Baikkk."
Suraya dah sediakan motorsikal.
Aku dan kakak naik motorsikal, yang lain naik kereta Suraya. Dia pandu terus ke air terjun.



Tiket masuk Taman Negara Budo Su-Ngai Padi hanya 10 baht. Kenderaan tidak dibenarkan masuk hingga ke air terjun. Kena jalan kaki sikit dalam 500 meter.


 Batu tandanya dibentuk seakan-akan batang dan banir pokok. Thailand sangat kreatif.







Tak kan datang cuma nak tengok ja. Tak dapat mandi, celup kaki pun jadilah buat syarat merasa. Sejuk.

 Tong sampah juga direka bentuk seakan batang pokok. Kawasan sangat bersih.


Di celah batu pun plastik sampah disediakan. Tiada alasan lagi untuk tidak menjaga kebersihan. Di tempat kita pulak macamana ? koh koh koh.


Di sini masih banyak pokok-pokok bersaiz besar, kalau nak bina bangunan pun mereka membina dicelah-celah pokok tanpa menebangnya.



Menghampiri  jam 12 tengahari, kami pun bergerak pulang.



Terus menuju ke rumah makcik Mariam untuk berehat. Apa lagi, dah tentu-tentu lah dia sibuk mengeluarkan 6 biji bantal, 6 helai tuala mandi, 6 helai kain batik dan 6 helai telekung. Semua tu dia suruh kami guna. Owh berraq ni !
Tak nak mandi , disuruh mandi. Taknak guna kain batik disuruh pakai juga bila masuk ke tandas. Telekung boleh ja kita kongsi guna satu, tapi disua-sua suruh pakai juga. Hahaha bising betul suaranya.


Setelah semua urusan solat selesai, lori pikap pun sampai. Enam buah basikal yang telah sedia dilipat dimuat naik ke belakang lori. Seorang duduk di depan, 5 orang berhimpit-himpit duduk dibelakang. Tak pe, demi nak menyampaikan diri ke sempadan negara aku rela tersepit. Mujur la orang tempatan yang pandu, melintasi di pos kawalan polis, angkat tangan dan senyum tak kena saman sebab tak pakai talipinggang keledar untuk penumpang belakang.


Dalam perjalanan memasuki pekan Tak Bai kami nampak tahi gajah bersepah-sepah di tengah jalanraya. Pelik jugak, kat tengah pekan ada gajah. Rupanya ada pesta keramaian bagi masyarakat Siam. Sebanyak 15 ekor gajah diarak sepanjang jalan menuju ke watt yang berhampiran. 


Apalagi aku nampak ? Ni ha rakyat Afrika dengan bahagia riang ria bebas berjalan-jalan sendirian di situ. Maknanya apa ? Usahlah bimbang untuk datang ke wilayah ni. In sya allah selamat.


Cari sesuatu yang tersembunyi dalam gambar di bawah.


Dah sampai di pekan Tak Bai. 


 Selesaikan urusan pasport dahulu, kemudian baru naik bot menyeberang semula ke negara asal.






Allah maha mengasih dan menyayang, DIA tahan musibah masa di Thailand,  Alhamdulillah, Allah beri ketika hampir tamat pengembaraan. Tayar basikal kakak meletup ketika menuju ke Kota Bharu. Hari semakin petang, tiba-tiba lalu seorang penduduk kampung dan memberitahu bas terakhir akan lalu jam 6.30 petang dari Tumpat ke Kota Bharu. Cepat-cepat  kakak masukkan basikal ke dalam bag. Tak lama tu bas pun lalu. Masalah selesai.

Selebihnya teruskan kayuhan hingga ke hotel yang telah ditempah. Pasal hotel kat MY ni malas nak cerita. Dah tempah awal, di hari kejadian, kita dah sampai dia boleh hantar kita kat hotel lain. Dia bagi alasan bilik kat tempat dia tinggal satu. Kemudian tak bagitahu harga hotel yang dia hantar tu. Bila dapat resit, harga tertulis  RM72. Padahal sebelum tu kita tempah bilik kat tempat dia dapat harga RM45 (3 org). Hotel yang baru tu pulak tuala dan sabun kena ambik kat kaunter, tuala pun dah berzaman tak ganti keras macam berus dawai. Buka ja pintu bilik bau kepam. Huh ! Owh kamon lah MY. Bilik stended macam ni, aku boleh dapat dengan harga 350baht kat Cathay Guesthouse Hatyai. Tapi tuala kat CG tak lah keras macam berus dawai, lembut dan wangi jugak. Tu kat Tak Bai taraf resort baru 600baht. Malu lah.


 14hb Mei 2017
Ahad
Tiket untuk pulang ke Kuala Lumpur/ Klang kami ambil jam 9.00 pagi. Sani Ekpress ada menyediakan wifi percuma dan plug di dalam bas.


Sehingga bertemu lagi di pengembaraan yang lain pula. Salam keamanan 
untuk bumi Tak Bai, Narathiwat dan Pattani.

Tudung yang aku tempah di Kampung Telok Manok,
Cantek tak ?

************************

Tiket komuter  Klang-KL Sentral : RM5.20 + RM2 (basikal)
Tiket ETS KL Sentral - Gemas : RM40
Tiket keretapi Gemas- Tumpat : RM46/RM40 (bawah/atas)
Tiket bas Kota Bharu - Klang/TBS : RM50/ RM44
Tambang bot Pengkalan Kubor- Tak Bai : RM2 + RM1 (basikal) = RM3x2 = RM6
Total untuk pengangkutan : RM150-+

Duit poket bawa RM200

RM100 tukar kepada Baht dapat 780b guna untuk :

Hotel Tak Bai Lagoon Resort : 600baht (bahagi 3 = 20baht)
Tiket masuk Taman Negara : 10baht
Upah/minyak pikap : 1000baht (kongsi 6 org =160baht)
Makan, minum, beli tudung, sedekah.

RM100 guna untuk :
makan dan sewa hotel (satu malam) rm24 seorang. Itu ada lebih lagi.

Kos keseluruhan RM350 selama 5 hari 4 malam.

p/s : Hah ! apa tunggu lagi, pergilah mengembara.