Friday, February 28, 2020

15 Puasa di Narathiwat


RAMADHAN DI NARATHIWAT

Cerita sebelumnya di sini

18hb, Sabtu 2019
Hari ke 2.

Jam 4 pagi, Fatimah kejutkan kami untuk bangun sahur. Lembut ja suara dia kejut. "Assalamualaikum..bangun sahur deh." 



Hallah hallah😍. Nak bangun pun malas rasanya. 

Semalam ketika berbuka puasa, aku minum air nenas satu kole, jadi bila tiba sahur dah tak lalu nak makan sangat. Lagipun

aku lebih fikir macamana nak mencari kereta sewa untuk pergi ke setiap lokasi yang aku nak cari nanti. 

Lepas sahur, kami menunaikan solat subuh, kemudian baring-baring sambil merenung atap rumah, berangan. 

Habis dah tak ada apa nak dibuat, internet pun tak ada, makanya krik krik saja lah. Zzz

Fatimah pulak pagi-pagi lagi sudah keluar mencari kereta sewa. Bila dapat sahaja terus dia suruh kami mandi dan bersiap persis seorang ibu menyuruh anak-anaknya mandi . Baikkk Fatimah !

Lokasi pertama, Masjid Kerisik.


Nama resmi Masjid Kerisik adalah “Masjid Sultan Muzaffar Shah”. Masjid ini merupakan yang pertama di Asia Tenggara dibina dengan menggunakan bata merah buatan kampung Tarab Bata, sekarang di kawasan Gamia Daerah Muang Wilayah Patani.





Masjid ini juga meninggalkan cerita duka berdarah bagi masyarakat Melayu Pattani. Aku tak mahu cerita, seeloknya korang sila lah google sendiri untuk mengetahui sejarahnya.






Memang sudah lama aku berhajat hendak ke sini. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat. Tak lah susah sangat nak mencari lokasinya, ia betul-betul di tepi  jalanraya bernombor  42.

Kemudian, di seberang jalan ada sebuah perigi yang dikatakan digali oleh Hang Tuah. 





Perigi ni pun ada kisahnya. Oleh kerana ada beberapa versi cerita, maka boleh lah membaca di link ini. Perigi ini tak pernah kering dan airnya sangat jernih dan bersih. 





Seterusnya aku nak mencari masjid yang berusia 500 tahun pula. Berpandukan alamat yang diberikan berpusing-pusing mencari. Oleh kerana tak ada internet terpaksa minta guna hotspot pakcik yang menjadi pemandu arah. Aku mencari semula link tentang masjid tersebut. Ternampak alamat 'Nad Tanjung' . Untuk mengesahkan, Pakcik tu pun membuat panggilan talipon ke kawannya untuk bertanyakan tentang beradaan masjid tersebut.


Yeah, akhirnya jumpa juga.


Berstatus surau. Surau Ahol nampak comel saja. Jauh betul pengubahan namanya dari Aur ke Ahol. Masa aku sampai jemaah surau baru selesai solat zohor. Ramai yang berehat serta beriktikaf dalam surau tu, sebab dalam tu sejuk.
Inilah peluang untuk aku nak merasa solat dalam surau 'legend' . Wee hoo.


Pembinaan surau ini tidak menggunakan sebarang paku, hanya menggunakan kaedah pasak. Tapi ada sesetengah bahagian yang kecil seperti nak cantumkan selak tingkap sahaja menggunakan paku. 




Aku merasa amat kagum sebab tak tercapai akal aku memikirkan bagaimana orang dahulu menaikkan tiang kayu jati/cengal atau apasaja yang berat untuk dijadikan rangka atap. Hrm.


Pembuatannya agak simple, tidak seperti Masjid Telok Manok yang mempunyai ukiran bunga teratai dihujung tiang penyambung.


Ingat nak berlama-lama di surau tu, tapi hujan turun pula. Aku memutuskan untuk kembali sahaja ke Telok Manok. 


Kiranya aku dah berpuas hati dengan kembara hari ke 2 ini. Matlamat aku telah dicapai. Syukur alhamdulillah. 



Masa untuk pulang. Cadangnya balik dari Patani ni nak terus keluar dan tidur kat mana-mana hotel di Narathiwat, tapi Fatimah asyik memujuk meminta tidur lagi satu malam di rumahnya. 

Katanya malam 15  dan 27 Ramadhan jemaah masjid akan adakan majlis berbuka puasa ala-ala pot luck. Setiap jemaah masjid yang tinggal berdekatan, dikehendaki membawa satu juadah masakan. 




Alahai. Takkan nak tolak pelawaan orang. Baiklah. Tidur lagi 1 malam. Sebelum sampai  ke rumah Fatimah, kami  singgah di pekan yang terdekat untuk membeli juadah berbuka puasa. 
Suasana di pekan kecil di Narathiwat sangat meriah dengan pelbagai jenis juadah kuih muih, lauk pauk dan air minuman. 






Inilah kali pertama aku melihat kuih yang dipanggil 'koba guling'. Penampilannya sama seperti kuih kaswi, akan tetapi warnanya hitam macam cincau. Menurut Fatimah, dahulu orang buat pewarna kuih ini menggunakan abu sabut kelapa. 



Sabut kelapa dibakar hingga menjadi abu, kemudian abu tersebut direndam dalam air kemudian ditapis. Air tapisan itulah yang dimasukkan ke dalam campuran tepung beras, tepung pulut dan tepung jagung.


Jam 5 petang keadaan sudah mula riuh rendah, orang lelaki memasang khemah. Yang perempuan pula sibuk di dewan masak, menyediakan hidangan. Jam 6 petang aku dan Katt pergi ke dewan untuk melihat apa yang boleh dibantu. 


Hrm.. Nak tolong apa eh ? Semua kerja dah penuh. Terpinga-pinga tak tahu nak buat apa. 

Akhirnya kami berdua duduk sahaja sambil memerhati gelagat jemaah yang sebuk menyediakan dulang hidangan. Meriah sungguh dengan pelbagai juadah yang bermacam warna dihidangkan.  Seronok. 









19hb, Ahad 2019
Hari ke 3


Menjelang keesokkan harinya, kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia. Seperti biasa, mesti datang berziarah ke rumah Tok Su terlebih dahulu untuk mengucapkan selamat tinggal. 


Sebelum pulang, mereka sedaya upaya nak memberikan buah tangan. Disebabkan kami datang di bulan puasa tak ada apa nak dihidangkan. Jadi mereka berikan gula kabung dari nira pokok kelapa laut. Insya allah, jika ada kelapangan dan sihat tubuh badan kami kembali lagi. 


Dari Kampung Telok Manok kami dihantar oleh Cikgu Suraya hingga ke pekan Narathiwat dengan kereta. Seterusnya kami menaiki Songthiew ke Tak Bai.




Untuk hari ke 3 ni cadangnya nak singgah menjelajah ke Pulau Panjang. Jadi lokasi  untuk bermalam paling dekat adalah di TakBai Resort.  


Bilik di sini luas, selesa dan harganya kira mampu dibayar untuk orang yang macam aku, si pengembara bajet. Lokasi pun cantik dengan pemandangan yang menghadap sungai. Paling penting, wifi percuma dan laju.


Petang itu hujan turun dengan lebat. Tergendala projek nak pergi ke Pulau Panjang. Maka kami sekadar berehat di dalam bilik sementara menungggu waktu berbuka puasa. Makanan untuk berbuka puasa kami buat pesanan awal pada restoren di resort sahaja.


Mentang-mentang hari terakhir, perangai orang kaya mula timbul. Pesan makanan macam-macam, padahal makan berdua ja. Ni kalau tak habis, kita bungkus bawak balik bilik aja la untuk makan sahur.



20hb Isnin, 2019
Hari ke 4

Sekitar jam 9 pagi kami keluar untuk mencari cara ke Pulau Panjang. Ternampak gerai jual bubur di tepi jalan. Agak hairan la sebab masih awal lagi kalau nak berjualan makanan. Kan Bulan Ramadhan ? Hairan betul.


Kami pun cuba bersembang dengan  penjual bubur tu. Dalam bersembang tu aku selitkan pertanyaan tentang berniaga makanan di awal pagi bulan Ramadhan.

Tak salah ke menjual makanan dalam bulan Ramadhan ?
Mereka menjawab ; di Thailand tak salah sebab penduduknya pun bukan semua muslim. Biasa bubur ni anak-anak kecil atau yang sekolah tadika yang makan. Tak kurang juga mereka yang beragama Buddha. Jadi ianya dah jadi kebiasaan.

Oooo... Aku terlupa. Kadang aku keliru jugak dengan wajah-wajah orang Melayu di Selatan Thailand ni. Ingat muslim tapi sebenarnya Buddha. Kejutan budaya.

Agak lama juga bersembang, akhirnya aku membuka hajat pada peniaga itu sekiranya dia tahu di mana boleh aku menyewa sebuah motor. Tanpa berbasa basi, dia terus membuat satu panggilan. Katanya nanti kawannya datang bawa motor. Harga nanti bincang kemudian.

Hampir setengah jam menunggu, baru muncul kawannya dengan sebuah motorsikal. Setelah berpuas hati dengan kadar harga, kami pun mula bergerak ke Pulau Panjang.


Asalnya Pulau Panjang dihubungkan dengan sebuah jambatan kayu, tapi kini sudah dibina jambatan batu yang lebih kukuh. Jambatan kayu yang lama masih dikekalkan walaupun ada bahagian yang sudah reput.



Di pulau ni tak banyak rumah penduduk,  pulau yang lanskapnya berpasir putih dan halus. Pemandangan cantik jika nak tengok suasana matahari terbenam. Ada juga didirikan beberapa buah buaian sebagai daya tarikan untuk sesi fotografi.






Tak banyak benda yang boleh dibuat di sini. Lagipun bulan puasa. Sekadar menjelajah dari hujung  ke hujung pulau. Pulau ni jadi tempat lembu dan kambing meragut rumput.



Aku singgah sebentar di masjid yang dalam pembinaan. Kariah di situ yang bersungguh-sungguh mengajak kami masuk dan tengok keadaan ruang dalamannya. Cadangan rekebentuk masjid seperti replika di dalam gambar. Nampak tabung tepi tu, maka dah tahu la maksudnya. Settle. 



Lebih kurang satu jam, kami pun bergerak keluar dari Pulau Panjang dan kembali semula ke hotel. Hari ini kami akan pulang, maka perlu segera berkemas-kemas untuk ke pekan Tak Bai, kemudian menyeberang ke Pengkalan Kubur.

Dari tempat penginapan, kami sewa teksi motor. Ingatkan yang menghantar ada dua buah motorsikal, rupanya cuma sebuah motor. Eh tak kan naik sampai 3 orang ? Gila ah. Aku dengan Katt mengekek-ngekek gelak tak berhenti-henti.


Sampai di Tak Bai, terus menuju ke Kompleks Imigresen Thailand. Di ruang kaki lima ada beberapa orang pengurup wang sedang menanti pelanggan. Baki duit bath kami tukar kat situ ja. Tak nak simpan ah.


Sebelum kami menaiki bot, saja la jalan-jalan di pasar tepi Sungai Golok. Fuh, godaan terlampau. Keadaannya sama macam aku ceritakan tadi. Juadah pelbagai masakan sudah mula dijual. Masa aku datang tu baru jam 1 petang. Berpinau mata tengok makanan yang berwarna warni termasuklah buah buahan. Awal lagi kot !


Matahari sedang tepat atas kepala, tanpa ada pilihan lain, kami pun menaiki bot tambang untuk menyeberang ke Pengkalan Kubor.



Tak tersangka di pekan Pengkalan Kubur ada sudut mural.



Boleh la singgah sebentar untuk buat syarat. Tak larat nak beriya-ria sangat. Letih. 


Jadual perjalanan bas ke Klang/Johor di sebelah malam. Maka duduk la kami di pondok teksi dengan juadah untuk berbuka puasa nanti. Baru pukul 4 petang. Mereput. 


Aku rasa nak baring ja kat pondok tu. Tapi sebab tempat terbuka, jadi malu pulak. Nak tak nak bersandar aja lah di tiang pondok tu dengan sabar menanti waktu berbuka puasa. 


Setakat itu sahaja cerita perjalanan aku ke Narathiwat di bulan Ramadhan untuk menikmati pengalaman berpuasa bersama-sama masyarakat Melayu di Selatan Thailand. Insya allah, di lain waktu aku nak merasa berpuasa di negara Indonesia bersama masyarakat Melayu di Kepulauan Riau pulak. Mudah mudahan Allah izinkan. Aminn.