Wednesday, January 22, 2020

Umrah Selama 2 Tahun


ZIARAH & UMRAH
MADINAH  & MEKAH
2019-2020

Assalamualaikum,


Pada hujung tahun 2019, dengan kaseh sayang Allah yang maha hebat, Allah telah memberi aku hadiah  untuk mengerjakan ibadah umrah selama 12 hari, bermula 29hb Disember 2019 hingga 8hb Januari 2020. Agak menarik juga kerana penutup dan pembuka tahun aku berada di tanah suci. Dua tahun tau. Alhamdulillah.


Dalam pemilihan pekej dari agensi-agensi pengendali ibadah Umrah, aku juga diberi peluang untuk memilih sendiri. Selain dari harga pakej, aku tengok juga pada set beg-beg nya. Maka akhirnya aku memilih Pakej Alumni dari Syarikat Emraz Travel  & Tour. Sebab bag dia warna merah. Aku suka🤗.



Usai urusan bayaran dibuat secara ansuran, aku mula mengambil suntikan vaksin Meningococcal yang boleh bertahan selama 5  tahun. Harga di Poliklinik Sijangkang cuma RM120. Sebuah buku akan diberikan di mana buku ini nanti akan disertakan bersama passport untuk kelulusan visa Umrah.



Tiba di hari kejadian, Fashilah, Eija dan Wak Jan datang menjemput aku di rumah, dan menghantar ke KLIA. Terima kasih kerana bersusah payah. Umrah yang pertama ini, aku ditemani kakak aku sebagai mahram. Memandangkan dia datang dari arah Kuala Lumpur, maka kami berkumpul di KLIA saja.


Penerbangan dijangka pada jam 13:40, jadi jam 10:00 sudah berada di tingkat 5 untuk urusan bagasi serta taklimat oleh mutawif.


Selain dari kawan-kawan, abang dan anak-anak saudara juga datang untuk mengucapkan Selamat Jalan.





Untuk penerbangan pergi dan pulang, Emraz memilih  Saudia Air, dapat jugalah aku merasa menaiki kapal terbang ni. Ramai yang kata best.



Ternyata memang best, sebab asyik dihidangkan dengan makanan ja. Mula-mula pramugari berikan tuala basah  untuk membersihkan muka, kemudian diberikan set earphone dan satu bag kecil yang berisi stokin, penutup mata, penutup telinga (ear plug)dan set berus dan ubat gigi.


Setelah keadaan kapal stabil di ruang udara, pramugari akan memberikan  jus pilihan. Selang beberapa waktu dihidangkan dengan makanan berat serta pencuci mulut. Lepas tu tanya nak kopi ,teh atau coklat panas. Huhuhu. 8 jam punya servis, terbaik.



Buat kali pertama dalam sejarah hidup aku, selama aku menaiki pesawat, inilah kali pertama aku mengunakan tandas dalam pesawat 😬. Masuk ja tengok kosong ja. Mana hos paip ?
Mujur aku bawa botol kosong, selesai masalah. Phews.
Kelebihan Saudia Air ni dia ada ruang untuk solat yang boleh memuatkan 4 orang dalam satu masa.


Pesawat akan berhenti di lapangan terbang Riyadh dahulu, kemudian akan menyambung penerbangan kembali selama 1 jam 6 minit ke Madinah.

Madinah




Sampai di lapangan terbang Madinah para jemaah terus menaiki bas yang telah menunggu untuk dibawa ke hotel.


Aku ditempatkan bersama empat orang jemaah lain termasuk kakak aku dalam sebuah bilik. Mulai saat itu, ke mana sahaja pergi, mesti berlima. Bukan apa, di antara yang berlima ini ada seorang warga emas yang berumur 70'an yang datang bersama suaminya. Disebabkan suaminya berlainan bilik maka dia terpaksa bergantung harap dengan kami. Takkan nak tinggalkan dia sendirian.


Hari pertama di Madinah, kami dibawa melawat ke Masjid Nabawi oleh mutawif yang bertugas iaitu Ustadz Firdaus Soffian.



Malangnya, pada tanggal 29hb tiba-tiba aku boleh datang haid. Sedangkan sebelum itu dah ambil pil menangguhkan darah haid. Jiwa aku sudah kacau dan kecewa, macam-macam aku fikir. Maka aku terlepaslah untuk menziarahi Raudah , maqam Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Akhirnya, aku kena redha dengan kesalahan diri sendiri.


Sepatutnya,  tak perlu makan pil hormon Norethisterone atau mengambil suntikan untuk menghentikan darah haid, kerana  kita memang kena berserah 100% dan meminta kepada Allah atas segala kehendak. Tapi tanpa sedar aku dok berharap pada pil untuk melawan kuasa Allah. Kan salah tu. Taubat wei. 

Jadi nasihat aku pada bakal jemaah, tak perlu ambil apa-apa pil penahan darah haid. Jika kita ambil, bila haid keluar dia akan keluar sikit-sikit dan tersekat-sekat. Akhirnya mengambil masa yang lebih lama dari kebiasaan, sedangkan tempoh masa kita di tanah suci tidak lama. Biarkan sahaja haid itu keluar secara alami. Allah tahu yang terbaik untuk kita. Jika kita tak dapat lakukan ibadah umrah kali ni, berkemungkinan Allah suruh kita datang lagi dan lagi..dan lagiii. Tenang-tenang saja, Allah maha tahu dan bijaksana. Relaks.

Ada satu petua yang mutawif beri untuk menghentikan darah, petua ini sekadar usaha dan selebihnya yakin dan tawakal. Jika Allah izinkan maka jadilah, jika tidak, jangan dipersalahkan pula.


Ambil kayu sugi kemudian rendamkan dalam air zam zam semalaman, keesokkan harinya baca surah *Al Fatihah, *Ayatul Qursi, *3 qul, *Selawat nabi dan surah Tabbatyada...hingga akhir ayat, kemudian minum dan niatkan dengan apa yang kita kehendaki. Sebenarnya, mutawif ajar suruh baca surah Tabbatyada ja, tapi mengikut pendapat aku lebih afdal didahulukan dengan ayat-ayat yang bertanda *. Wallahu'alam.

Sepanjang 4 hari di Madinah, haid aku on / off akibat makan pil hormon tu la, aku hanya boleh berada di dataran Masjid Nabawi ja. Memandang kubah hijau dari jauh. Mengharap simpati mereka-mereka yang masuk ke raudah untuk merakamkan video. Kalau darah haid tak keluar, aku cepat-cepat mandi dan pergi solat berjemaah. Macam tu la rutin aku selama di Madinah. Hadapi dengan tenang, kan ujian tu.

Di Madinah dan di Mekah, para jemaah dibawa menziarahi lokasi-lokasi bersejarah yang berkaitan dengan Rasulullah. di antaranya ialah ;


Masjid Nabawi



Disebut juga dengan panggilan Masjid Nabi dan menjadi masjid kedua paling suci bagi umat Islam. Di sini juga terdapat maqam Rasulullah SAW, maqam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khattab. Di bawah kubah berwarna hijau itulah kedudukan maqam Rasulullah di mana Baginda wafat di dalam bilik Siti Aisya.





Masjid Abu Bakar As Siddiq R.A
Diceritakan oleh mutawif bahawa tapak masjid ini dahulunya adalah tapak rumah Saidina Abu Bakar As Siddiq. Lokasi masjid ini berada di sisi barat daya Masjil Nabawi melalui pintu nombor 6.


Masjid Ghamamah
Masjid ini terletak tidak jauh dari Masjid Abu Bakar. Ghamamah bererti awan. Rasulullah pernah melaksanakan solat istisqo' ( solat minta hujan ) dan ketika itu awan mendung datang memayungi di atas tempat Rasulllah solat.



Masjid Saidina Ali
Melalui pintu nombor 7 kita boleh melawat ke masjid Saidina Ali. Tapi sebab aku malas nak berjalan, ambil gambar dari jauh saja lah. Seperti Masjid Abu Bakar, tapak masjid ini juga berasal dari tapak rumah Saidina Ali bin Abi Thalib dan Fatima Az-Zahra, puteri kesayangan baginda Rasulullah SAW.


Masjid Jumaah
Masjid ini menjadi masjid pertama baginda Rasulullah menunaikan solat Jumaat ketika penghijrahan dari Mekah ke  Madinah. Ini pun mutawif tunjuk ketika dalam bas tanpa berhenti.


Telaga Salman Al Farisi/ Telaga Al Faqir/ Telaga Al Mitsab
Tinggalan telaga atas nama seorang sahabat Nabi yang berasal dari Parsi berstatus hamba kepada seorang Yahudi yang akhirnya telah dibebaskan oleh Rasulullah SAW dengan beberapa pohon kurma dan sekian-sekian dirham.



Telaga Ghars
Erti Ghars adalah tanaman. Pesan Rasulullah SAW  ; "Wahai Ali, jika aku wafat, mandikan aku dengan 7 timba air dari sumurku dan sumur Ghars." Rasulullah juga pernah berwuduk dan sisa wuduknya ditumpahkan ke sumur Ghars.
Kebanyakkan telaga-telaga sudah dihapuskan dalam usaha pembangunan dan ada juga yang tidak digunakan lagi, cuma dikekalkan menjadi tanda tinggalan sejarah.



Masjid Quba'
Merupakan masjid pertama yang dibina dalam syariat Nabi Muhammad SAW atas dasar TAQWA. Baginda membinanya bersama-sama Saidina Abu Bakar, para sahabat dari kaum Ansar dan Muhajirin sebaik saja beliau tiba dari Mekah ke Madinah. Bahkan Nabi sendiri yang meletakkan batu kiblat pada masjid tersebut.



Kebiasaan, sebelum jemaah dibawa ke masjid Quba, mutawif akan memperingatkan jemaah supaya berwuduk dahulu kerana disarankan untuk melaksanakan solat 2 rakaat di masjid Quba'.


Sesungguhnya ganjaran pahalanya seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW, " Barangsiapa yang bersuci di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba' lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah."


Di halaman sebelah belakang masjid ini terletaknya pasar kecil. Ramai peniaga menjual buah-buah kurma dan pelbagai barang dagangan dengan harga yang murah.


Ada juga booth kecil di sisi masjid ini yang memberikan buku 'bacaan doa dan wirid' sebagai cenderahati secara percuma. Jemaah boleh datang dan cakap ja dari MY, nanti petugas akan beri buku cetakan Bahasa Melayu.


Telaga Arris
Di mana cincin nabi terjatuh ke dasar telaga ketika baginda hendak berwuduk. Sekarang telaga tersebut sudah tiada cuma di ceritakan tapak telaga itu terletak di antara 3 pohon kurma berhampiran dengan Masjid Quba.



Telaga Izziq
Pada asalnya air di dalam telaga ini masin, dan tidak boleh diminum, namun setelah Rasulullah meludah ke dalamnya, rasa airnya berubah menjadi seperti air zam zam sebelum diproses. Air di telaga ini tak pernah kering sehingga kini.




Di sini juga tapak rumah Kalthum Ibnu Hadm, rumah yang pernah Rasulullah tinggal untuk sementara sebelum membina Masjid Quba'.



Masjid Musabbih
Nabi berhenti solat subuh di masjid ini sebelum ke Quba'.



Kubu Ka'ab bin Asraf
Ka'ab bin Asraf ni seorang penyair berbangsa Yahudi. Dia ni musuh Islam paling lantang memusuhi Islam dan memporak perandakan, mencerca serta menghasut masyarakat ketika itu melalui puisi, syair dan lagu. Kisah dia panjang, aku tak rajin nak menaip maka silalah klik tajuk Kubu Ka'ab bin Asraf .



Bukit Thur
Gunung ni, aku cuma dapat pandang dari jauh sahaja, tiada masa untuk melakukan pendakian  disebabkan jadual yang terbatas.
Sedikit kisah tentang gunung Thur dan gua Thur. Di gua inilah tempat Rasulullah dan Saidina Abu Bakar bersembunyi dari dikejar Bani Quraisy ketika dalam perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah.
Di pintu gua ni la labah-labah buat sarang. Ala, yang Saidina Ali menyamar dan tidur di tempat Rasulullah selalu tidur tu.  Boleh ingat semula kisah-kisahnya ni di sini.

Tengok lah betapa tingginya gunung ni,  walaupun dari aras bumi cuma 458 meter, tapi bayangkan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar mendaki dalam kesejukan gelap malam.


Jabal Muhtaraq/ Khuraidah
Gunung terbakar.
Baginda SAW bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga keluar api dari bumi Hijaz yang akan menerangi tengkuk unta di Busra (sebuah negeri di Syria).” (HR Bukhari)

Bukit  ini salah satu tanda kiamat kecil yang menunjukkan mukjizat Rasulullah SAW dan tanda kekuasaan Allah SWT. 

Ni diceritakan oleh mutawif kepada para jemaah. 



Jabal Uhud



Bukit yang memiliki jajaran bukit yang panjang sekitar 7km dari timur ke barat. Pada pandangan aku ia bukan taraf bukit dah tapi gunung. Ketinggiannya 1077 meter dari aras laut. Tinggi jugak. Tak tercapai akal aku, macamana kesukaran Rasulullah ,para sahabat dan tentera-tentera mendaki di celah-celah batuan gunung tu dengan baju besi serta peralatan perang. Dengan batu kerikil yang tajam, lereng gunung yang curam. Allahurabbi..kesian dan susah payahnya Rasulullah nak menegakkan syiar Islam dahulu. Aku baru pecah tumit sikit masa tawaf dan timbul rasa adehh. Insof.


Walau bagaimana pun gunung Uhud sangat menyintai Rasulullah dan telah menjadi saksi bisu gugurnya para shuhada perang Uhud dan yang pastinya gunung ini akan ada di syurga nanti.


Jabal Rumat
Bukit yang menempatkan 50 orang  pemanah untuk bersiap siaga ketika perang Uhud. Malangnya kebanyakkan para pemanah lupa pada pesan Rasulullah supaya tidak meninggalkan bukit tersebut kerana mereka tergoda dengan harta rampasan perang. Yang tinggal hanya komandan Abdullah bin Jabir serta 6 pemanah yang lain.


Situasi itu di ambil oleh Khalid bin Al Walid (sebelum Islam) untuk menyerang hendap dari belakang. Seramai 70 sahabat Nabi termasuk bapa saudaranya, Saidina Hamzah bin Abdul Mutholib terbunuh. Itulah saat Nabi sangat terpukul dan sedih sekali atas kematian paling kejam terhadap pahlawan yang bergelar Singa Allah.


Gua Maharith (menjaga)
Tempat Nabi berlindung dan dirawat ketika terluka dalam peperangan Uhud. Menurut mutawif yang pernah masuk ke dalam gua tersebut, di dalam gua masih berbau wangi. Mungkin atas keselamatan dan mengelak perbuatan khurafat, pihak pemerintah Arab Saudi telah menutup laluan masuk ke gua ini. Jadi, dapat tengok dari jauh aja lah.


Gua Thaibah 
Gua pertama Rasulullah berlindung ketika tercedera sebelum berpindah ke Gua Maharith. Gua ini pun telah ditutup dengam simen dan dipagar.



Masjid Fassah
Nabi bersolat dalam keadaan duduk kerana beliau dalam kesakitan terluka dalam peperangan Uhud. Fash ertinya luas atau beri ruang ketika itu Rasulullah sedang sakit/luka.


Dulu-dulu punya masjid simple ja.

Masjid Mustarah/ Masjid Bani Harithah
Mustarah bermakna tempat untuk berehat, di mana tempat ini menjadi tempat Nabi Muhammad SAW  berehat dan menunaikan solat ketika pulang dari peperangan Uhud.


Kami tak turun pun, cuma tengok dari dalam bas. Itu pun sebab ada jemaah lelaki nak tumpang tandas masjid ni, tapi malangnya, masjid ini berkunci.

Sempat ambik gambar papan tanda ja. Nak tengok bentuk masjid keseluruhannya sila google ya 😅. 

Jabal Rahmah
Bukit kecil di Padang Arafah yang bermaksud Bukit Kasih Sayang di mana tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa setelah berpisah beberapa ratusan tahun akibat melanggar larangan Allah SWT dengan memakan buah khuldi.




Di puncak bukit ini dibina sebuah monumen berbentuk tiang bersegi empat. Di tiang batu itu ditampal papantanda bergambar larangan- larangan yang selalu dilakukan jemaah Umrah dan Haji. Ada juga peniaga-peniaga kurma dan tasbih di atas sana.



Tak kurang juga ada photographer dengan kamera di tangan menawarkan khidmat mengambil gambar.



Aku naik sekadar untuk melihat dan mengambil gambar. Maklumlah, aku memang alergik kalau tentang batu-batu tanda ni. Mesti nak pegang tanda sudah sampai.



Kubu Khalifah Harun Ar-Rasyid
Dalam perjalanan , mutawif menunjukkan suatu tinggalan binaan di atas bukit di tepi jalan raya. Katanya, itu lah kubu Khalifah Harun Ar-Rashid. Aku sempat mengambil gambar sepintas lalu sahaja. Istilah kubu di sini adalah tempat kediaman.



Masjid Bir Ali (miqat)
Di sinilah para jemaah yang datang dari madinah berhenti untuk bermiqat untuk melakukan umrah wajib yang pertama.



Masjid Aisya (miqat)



Memandangkan aku gagal melakukan  umrah yang pertama kerana masih tidak bersih dari haid, maka pada hari berikutnya ada satu hari aktiviti bebas. Aku mengambil keputusan untuk melakukan umrah sendiri dengan pergi ke miqat yang berhampiran iaitu di Tana'im dengan menaiki bas awam.


Setelah bersarapan aku keluar bersama 2 orang teman menuju ke stesen bas yang terletak sebelah bangunan Hotel Al Tawheed. Di situ memang tersedia bas-bas yang berwarna merah yang memang di khaskan untuk pergi  bermiqat.


Tambang yang dikenakan cuma 3 rial sehala.

Di perkarangan Masjid Aisya ada ditulis "batas tanah halal dan tanah haram".

Masa baru sampai ghairah nak bergambar kat batu tanda. 

Usai menunaikan solat tahyatul masjid, solat dhuha dan solat sunat ihram, kami pun beredar untuk memastikan kami berada di tanah halal untuk berniat ihram.


Kemudian beli tiket untuk pulang semula ke Masjidil Haram dengan harga yang sama. Kaunter tiketnya ada di hadapan tempat bas.




Masjid Ja'ranah (miqat)
Ja'ranah adalah nama sebuah perkampungan Wadi Saraf. Masjid ini berjarak sekira-kira 25 km dari Mekah. Oleh sebab dekatnya dengan Mekah, ia telah dijadikan tempat bermiqat bagi penduduk Mekah. Kelebihan bermiqat di masjid Ja'ranah adalah kerana nabi pernah berihram dari tempat ini. Infomasi lanjut boleh baca di sini.


Masjid Hudaibiyah (miqat)

Terletak sekitar 22 km di perbatasan kota Mekah ke Jeddah. Masjid ini kecil dan tidak seperti masjid Bir Ali dan Masjid Aisya. Jika kita ke bahagian belakang masjid ini akan terlihat bekas bangunan batu masjid lama yang telah di hadang dengan gerai-gerai peniaga baju dan kurma.


Ini gambar tahun 2013 dari posting blog umrohkudus.com. Tahun 2020, keadaannya sudah banyak berubah. Terlalu sesak dengan peniaga dan gerai-gerai hingga menutupi bekas bangunan masjid yang lama.

Memang nampak macam takde nilai sejarah langsung. Di tambah dengan suasana hiruk pikuk suara penjual dagangan menawarkan harga, aku langsung tak terfikir nak mengambil gambar.

Di sinilah termetrinya perjanjian Hudaibiyah yang berat sebelah. Sabarnya lah Rasulullah dengan perangai kafir Quraisy Mekah tu. Haisy.

Boleh baca cerita lanjut di sini ya. Hehe, aku masih jet leg la. Malas taip panjang-panjang.

Mekah



Di Mekah Allah berikan aku  nikmat sebuah bilik yang berhadapan dengan Masjidil Haram. Hotel Safwah Royale Orchid, tingkat 11 bilik no 1122.


Celik mata ja mengadap kaabah😍.


Ladang Kurma.
Hrm, masa aku datang pokok-pokok kurma kering tak berbuah.  Nak menggambar pun aku rasa tak de selera.


Cuma dalam gedung tu ja meriah dan penuh dengan jemaah dari Indonesia. Harga pun agak mahal, akhirnya aku sekadar pusing-pusing kemudian keluar dan naik atas bas semula.


Muzium Al Maudi 



Muzium ini mempamirkan peradaban dan kelengkapan alat-alat kehidupan seharian masyarakat Arab di zaman dahulu.





Mulai dari rekabentuk rumah yang dibina dari campuran tanah dan rumput jerami, seni anyaman, alat berburu, alat penimbang dan yang berkait dengannya.





Ada juga ruang mempamirkan gambar dan pekakas bangunan kaabah, pedang dan senjata perang tentera Arab. Ada sudut 3D Hajarul Aswad. Pada mereka yang tak dapat mencium Hajarul Aswad yang asli boleh la  acah-acah bergambar di situ. Aku ? malas lah.


Di ruangan lain ada juga dipamirkan haiwan-haiwan buruan yang diawet seperti unta, beruang, kambing gurun burung unta, musang  dan...tiba-tiba aku nampak rangka dinasour. Haa ? Kat Mekah dulu ada dinasour ke ? Musykil nih.



Jabal Nur
Gunung Cahaya yang berketinggian 640 meter adalah tempat Nabi Muhammad bersendirian sehingga menerima wahyu yang pertama dari Jibril AS. Di puncak gunung ada sebuah gua kecil yang dipanggil Gua Hira'. Untuk mereka yang mempunyai stamina yang kuat boleh capai ke puncak dalam 20 - 25 minit. Untuk aku sendiri dengan sedikit paksaan mampu buat dalam 30 minit. Itu pun mintak nyawa.


Trip aku di sebelah malam, maka tidak la siksa sangat dengan panas matahari di siang hari, cuma sejuk dan berangin ja. Memang benar lah dengan nama Gunung Cahaya kerana di waktu malam dinding gunung tu terang bila disinari cahaya bulan. Pakkal lah talipon bimbit aku tak mempunyai kuasa sakti untuk merakamkan gambar dengan jelas. Hanya mampu rakam di dalam ingatan saja betapa cantiknya Jabal Nur.


Untuk sampai ke Gua Hira' kita perlu turun sedikit dari dataran puncak melalui tangga kemudian lalu di celahan batu yang sempit. Pandai-pandai la kecikkan badan.


Guanya kecil, hanya boleh memuatkan seorang tapi ramai orang berebut-rebut nak solat di situ. Lebih baik aku berundur saja dan naik ke ke atas semula untuk menikmati pemandangan waktu malam.


Di sepanjang pendakian , kita akan bertemu dengan tukang buat tangga yang terdiri dari rakyat Pakistan, India, Bangladesh dan Rohingya. Mereka ini akan meminta sedekah atas khidmat mereka membina tangga dan menjaga kebersihan di sepanjang laluan bertangga tu. Sebaiknya kita sediakan pecahan kecil wang 1 rial untuk beri sedekah. Kalau nak beri silakan, kalau tak nak, diam dan terus jalan saja.
Kadang mereka scam jugak. Dah simen tangga tu, kemudian mereka pecahkan semula hanya kerana nak raih simpati pengunjung memberikan sedekah.

Mereka ni sebenarnya datang atas tiket umrah dan haji. Sebelum mereka datang, mereka jual segala harta benda dan tanah semata-mata nak kerjakan ibadah di tanah suci. Yang tak bagusnya setelah selesai, mereka tak nak balik. Sebab kalau balik pun dah tak da harta di negara sendiri. Jadi mereka jadi pelarian dan bersembunyi di Jabal Nur. Di situ lah dia berumah, tidur, makan dan sebagainya. Info ni diceritakan oleh mutawif.

Pengalaman aku ketika naik dan turun di Jabal Nur agak menakutkan lah kalau jalan sendirian. Dah la gelap, tiba-tiba ada makhluk berselubung pegang cangkul minta sedekah. Ngeri oo. Jangan lah dia buat apa-apa kalau aku tak beri sedekah. Huhu. Mujur ada jemaah lelaki yang satu grup, saja jalan lambat-lambat menemankan aku. Alhamdulillah.

Terlupa aku nak bercerita tentang pemandu bas yang pihak agensi upah. Dari hotel kami menaiki bas hingga ke kaki gunung. Kemudian bertukar menaiki van untuk sampai ke tangga titik permulaan . Pemandu bas dan van orang yang sama. Laluan di kawasan tu memang curam 70° dan sempit, ditambah dengan kenderaan yang diparkir di tepi jalan. Jadi, si pemandu van ni bawa macam kelajuan F1 melalui pendakian dicelah-celah bangunan. Aduh, aku rasa perut dan jantung aku tertinggal ja. Bayangkan macamana roller coaster..haa macam tu la kelajuannya bila turun bukit. Sudah la laju, bila sampai kat selekoh sempit, dia tekan minyak lagi. Macam dia nak langgar dinding bangunan ja. Kus semangat. Aku rasa, mutawif pun tak sempat nak baca doa naik kenderaan.

Umrah Wajib
Alhamdulillah, setiap jemaah dapat melakukan 3x umrah. Aku kalau tak, cuma dapat 2x ja tapi sebab gigih nak cover kerugian umrah di hari pertama, tu yang keluar bermiqat di Tanaim naik bas.
Walaupun yang afdal cukup sekali sahaja melakukan umrah wajib, tapi sebab nak merasa setiap tempat bermiqat yang pernah Rasulullah pergi, apasalahnya😎.


Umrah sunat.
Umrah sunat aku dapat buat 2 x ja. Kali pertama macam banyak yang tak sempurna gara-gara nak pergi kat maqam Ibrahim, rukun yamani dan hijr Ismail. Memang Allah bagi laluan mudah tapi tu la terrrrlupa nak jaga bahu. Memang betul-betul lupa sebab ghairah sangat nak tengok bekas tapak kaki nabi Ibrahim.

Sama juga dengan sudut di rukun Yamani, ghairah sangat nak ikut sunah nabi sentuh dah usap, sampai berpusing bahu. Jahanam tawaf aku. Terpaksa ganti pusingan la nak cukupkan 7 pusingan yang sempurna.

Di hari terakhir, aku berazam nak buat tawaf sunat dengan sempurna dan diikuti dengan tawaf wada'. Aku tidur awal kerana keletihan mendaki Jabal Nur malam semalamnya. Jam 1 pagi aku terjaga terus mandi bersihkan diri dan berwuduk.
Sebelum keluar, aku solat tahajud dulu.
Oke kali ni aku nak buat betul-betul. Kalau nak singgah ke mana-mana pun biar selesaikan tawaf 7 pusingan dulu, bisik hati aku.

Maka turunlah aku sendirian, kawan-kawan sebilik masih diulit mimpi. Suasana di Masjidil Haram sama ja, baik siang atau malam, sentiasa ada jemaah yang melakukan tawaf atau pun beriktikaf.


Berbekalkan getah tempe tujuh gelung, aku sangkutkan di pergelangan tangan buat kiraan jumlah pusingan.
Tiba di rukun hajarul aswad aku mula pasang niat dan lanjutkan dengan doa dan zikir. Satu - dua - tiga - empat - lima pusingan, tiba - tiba datanglah seorang jemaah dari gaya cakapnya berslang Indonesia. "Mbak mahu cium hajarul aswad?". Masa tu aku tengah fokus baca doa dari rukun Yamani nak ke rukun Hajarul Aswad, aku buat tak pandang teruskan perjalanan hingga ke pusingan ke enam.

Pusingan ke tujuh datang lagi perempuan tadi mempelawa aku mencium hajarul aswad lagi, kali ni aku cuma menolak dengan mengoyang-goyangkan tangan ja.

Fokus wei fokus.. Hajarul Aswad tu bukan wajib. Kalau nak pun tunggu habis tawaf, minta Allah berikan laluan mudah. Kalau tak dapat, tak payah la nak bertolak, berhimpit di antara jemaah yang bercampur.

Yang tadi tu scammer. Kau rasa dia nak bawak percuma ? Mimpi la. Kena bayar tau.  200 hingga 300 rial mungkin ada lagi mahal dari itu. Kalau tak bagi dia ikut kita sampai ke hotel. Dari bagi duit kat scammer baiklah kau sedekah, wakafkan quran, kerusi atau bagi makan apa saja pada orang miskin di Masjidil Haram.  Ada gak faedah dan pahala. Jadilah jemaah yang bijak dan cerdik. Ching !

Selesai 7 x pusingan, laluan mudah terbentang ke Hijr Ismail. Aku pun terus menyusup masuk. Nak solat takde ruang langsung, akhirnya aku cuma berdoa ja kemudian keluar mencari tempat untuk solat sunat tawaf berhadapan multazam dan seterusnya tunaikan tawaf Wada'.


Pukul 4 pagi aku dah selesaikan tawaf wada'. Ambil peluang untuk merakam gambar dan video buat kali terakhir. Kemudian berlalu pergi tanpa toleh kebelakang lagi.

Sampai di tempat kasut, aku tak nampak bayang selipar aku di rak. Allah nak uji aku ke  ni. Tenang, tenang..kira halal dan sedekah je la. Terus aku naik ke hotel dengan kasut tawaf sambil senyum simpol.

Sedekah dan Wakaf
1. Kita digalakkan bersedekah dengan memberi makan kepada fakir miskin di sekitar Masjidil Haram. Nanti mutawif akan buka sesi untuk bersedekah.


2. Boleh juga kalau nak wakafkan Al Quran di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Tapi kena pastikan dulu qurannya buatan dari Madinah. Jika tidak, al quran tersebut akan dikeluarkan dari rak.


Hanya Al Quran yang mempunyai cop dan di helaian akhir Al Quran bila dihalakan pada cahaya timbul bayangan tulisan jawi sahaja yang dibenarkan berada di Masjidil Haram. Harga sekitar 40 - 50 rial.



3. Bila kita membeli kerusi, nyatakan pada penjual kedai tu untuk wakaf. Nanti penjual akan menulis seperti dalam gambar. Kalau tiada tulisan, nanti orang akan ambil dan jual semula. Harga sebuah kerusi adalah 20 rial.



4. Atau pun berilah 1, 2 atau 5 rial pada petugas-petugas di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram yang membantu kita mencarikan pintu keluar masjid atau menunjukkan di mana tandas.

Oke ni ada bonus untuk bakal jemaah. Sekiranya ada niat untuk meninggal dunia di Madinah, rajin-rajinlah membaca doa ini.  Mudah mudahan Allah kabulkan.

Biasa kita dengar jemaah meninggal di Mekah, tapi di Madinah sangat jarang. Bila mana dia meninggal di Madinah, keistimewaannya, dia akan dikuburkan di Perkuburan Baqi' dan akan mendapat kelebihan syafaat dari Nabi Muhammad SAW.


Air Zam Zam
Setiap jemaah akan mendapat sebotol air zam zam 5 liter dari kerajaan Arab Saudi sebagai cenderahati ketika di airport.



Air zam zam rasanya dah tak macam dulu sebab setelah diproses, rasanya dah macam air mineral yang biasa kita minum, macam ja, tapi lagi sedap. Lagi-lagi air zam zam dingin yang ada di Madinah dan Mekah.




Sesi Melontar
Barang siapa yang nak melontar wangnya ke kedai-kedai, seelok-eloknya melontar lah ketika di Madinah. Harga di Madinah lebih murah dan selesaikan semua hal duniawi di Madinah.

Nanti di Mekah, kita fokus sahaja pada ibadah.

Kurma Ajwa Aliya
Kurma terbaik adalah dari jenis kurma Ajwa Aliyah gred A yang ditanam di Madinah. Harga dalam 100 rial sekilo. Kurma jenis ini tidak dijual secara lambak dan bersepah-sepah kerana ia ada khasiat syifa'. Sila google khasiatnya.


Kalau nak, kena tanya  kurma Ajwa 'ALIYA' ada tak  ?  Baru dorang tunjuk atau keluarkan dari tempat simpanan.

Beli melalui mutawif dapat 90 rial sekilo.

Kurma Dhuha
Kurma jenis ni pun sedap dan khasiatnya untuk sakit lutut. Sekilo sekitar 30 rial.

Aku keluar ikut pintu airport Jeddah terus ke KLIA.


Rasanya, cukup lah setakat ini aku bercerita. Nak standby untuk kembara yang seterusnya.

Gambar-gambar ni ada antaranya dari ihsan kawan-kawan satu jemaah, satu dua yang dari google. Tapi kebanyakkan dari henpon aku sendiri. Seandainya ada tulisan aku yang tidak tepat  aku mohon ampun, itu adalah dari kesilapan aku menerima dan memahami informasi dari mutawif.

Semoga Allah menjemput aku, kawan-kawan yang memberi sumbangan ketika umrah tempohari dan pembaca-pembaca sekalian untuk menunaikan umrah / haji ke kota Madinah dan Mekah di masa yang terdekat. Insya allah, Amiin.



🗣️Bisikan lembut dari lubuk hati yang paling dalam..
" TERIMA KASIH awak, atas pemberian ini. "

Tuesday, December 3, 2019

Kisah Aku & Baby Chenchorot



*Traveler's Life*

Khilaf manusia, sila ambik iktibar. Allah tegur aku dengan mendatangkan 🐀. Malu. 


Satu hari, datang mood rajin nak kemas laci kasut. Kemas punya kemas, terdengar bunyi🔊. 
Selak plastik nampak anak 🐀bukan tikus tapi cencorot. Bukan sekor, tapi 3 ekor. Ha ha ha, dulu 🐍, kali ni haiwan tauladan yang lain pulak. ( rumah aku memang hotel bagi makhlok semua ni check in😜)

Terus, aku ambik 3 ekor anak 🐀 masuk dalam plastik dan letak kat luar rumah tepi longkang. Plastik tu aku biar terbuka. Tanpa fikir dan tanpa ada sebarang rasa, aku tinggalkan kat situ. Cuaca mendung dan redup hingga ke malam. Kering tak kering hati aku ni 😅. 

Dari waktu Dhuha, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak aku rasa relak ja. Leka tengok YT layan bab kursus dan ceramah Ustaz Wan Hizam bab tauhid, Allah di mana dan kenapa Allah ciptakan manusia.

Tiba-tiba, masa nak solat Isyak, hati aku terdetik. Eh, anak 🐀 tadi apa cerita🤪 ? Nah !. Mula datang rasa takut sebab teringat apa yang ustaz tu cakap. "Allah sangat kasihkan manusia, sebab itu dia ciptakan segala-gala apa yang di dunia ini untuk manusia nikmati."

Dan aku pulak senang-senang letakkan baby🐀baru lahir kat luar kesejukan tanpa ada rasa belas kaseh sayang pada ciptaanNYA. Dush ! Manusia apa aku ni. Erk 🤪. 

Hati aku bisik lagi, INGAT ! Tak lama lagi ko nak buat kembara yang suci, ko rasa Allah nak lepas kan ko macam tu je ke kat sana ?
Haa.. Nanti kat akhirat, bila dia tuntut kenapa aku biarkan mati, aku nak jawab apa ? Dia punya perasaan TAKUT tu bergetar teruk terasa kat dada. Gila gaban rasa tu. 

Serius, solat pun aku tak tenang. Usai solat, aku cepat-ceoat keluar rumah tengok baby🐀 masih hidup lagi atau tak. Alhamdulillah, masih hidup.

Aku ambik dan letakkan 🐀 di sebelah lubang tempat laluan air di dalam tandas. Penutup lubang tu aku buka. Itulah laluan keluar masuk mak🐀. Mudah-mudahan maknya terhidu dan akan ambik anaknya tu.

Tengah malam tu, aku bangun taubat mintak ampun sangat-sangat😭 kat Allah dengan kelakuan buruk aku.

Keesokkan hari nya, aku memang tak berani nak tengok. Aku tahankan hati. Menjelang petang baru aku tengok dalam plastik. Aku selak pelahan-lahan. Alhamdulillah, dah tak ada. Phews !
Serik. 

Moral of the story :

Nah ! Kita sebagai manusia ni memang selalu tak nak fikir dan faham tentang benda-benda ni semua. Kita anggap remeh, padahal Allah dah kata, setiap kejadian yang dia cipta bukan saja-saja. Ada sebab dan kegunaannya.
Pasal takde ilmu la yang kita banyak buat DOSA. Ada ilmu pun, kalau tak nak beramal pun DOSA gak. Erk, aku lah tu😔. 

Contoh :
Nampak ular kat dalam rumah atau kat mana-mana pun kita nak pukul bunuh. Padahal dia tak buat apa pun. Halau je la elok-elok. Kucing atau anjing datang minta makan, kita sepak terajang. Padahal kita lupa, makanan yang kita telan tu Allah yang bagi dengan penuh kaseh, Allah hantar kucing atau semua haiwan tu untuk kita bersedekah. Tak nampak lagi ke Allah nak tambah pahala kita yang entah ada entah tidak tu.
Dosa lagi banyak dari pahala, lagi kita nak kedekut taknak kongsi sikit. Tak sedar diri lagi letew😏. Besar sangat ke kuasa kita hingga mendustakan makhluk ciptaan dia.  Haa esok kat akhirat  menjawab la ya. Tak dapat jawab siap lalalala. Malaikat kiri kanan bahu, tenung ja sambil mencatit. 

Oke aku dah insof😥. Pasal tu aku redha, semua haiwan yang nak check in kat rumah aku, aku biarkan. Selama mana tak memudaratkan aku dan anak-anak, its oke😎🤗. 

Mohon Allah ampunkan dosa-dosa aku dari sekecil-kecil hingga yang besar-besar selama mana aku tak mensyirikkanNYA, dan izinkan aku menyambut panggilan kembara suci tak lama lagi dengan tenang, sempurna dan tertib. Permudahkan urusan semasa perjalanan, sepanjang tempoh ibadah dan semasa perjalanan pulang ke pangkuan keluarga semula. Insya allah. 
Labbaikkallah. 


Dirgahayu buat...



Hari ini...,
Tanggal 6 Rabiul Akhir 1441H, maka berkuranglah lagi setahun umur aku. ENTAHLAH, berbaki lagi berapa tahun la agaknya🙄.

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah, pemilik langit dan bumi serta segala isi di dalamnya. 

Tak terhitung, terlalu banyak nikmat dan kasih sayang yang Allah berikan kepada setiap makhluk yang diciptakanNya, salah satu makhlok ciptaannya itu adalah aku😬.

Kerana Allah izinkan lah, aku dapat menikmati semua ni. Rezeki setiap makhluk berbeza-beza. Maka, rezeki bahagian aku, dapat buat aktiviti kembara lasak.

(a) 2005 :
Mendaki Gunung Kinabalu. 
White Water Rafting Sungai Padas. 

(b) 2007 :
Kembara (duo backpackers) ke Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang

(c) 2008 :
  • Mendaki Gunung Bujang Melaka di Kampar, Perak
  • mendaki Gunung Batu Merah Tasik Pedu, Kedah
  • mendaki Gunung Peninjau Ulu Chepor, Perak
  • mendaki Gunung Ulu Sepat, Perak
  • mendaki Gunung Tangga, Cameron Highland
  • penganjur dan menyertai kembara mencari bunga reflesia di Kg. Bungor , Perak
  • mengikuti aktiviti mencandat sotong di Terengganu.
  • menyertai kembara  pacuan empat roda ‘Ekspedisi Sungai Mekong’ merentas 3 buah negara Thailand - Laos - Vietnam.

(d) 2009 :
  • Menyertai kembara pacuan empat roda bersama PAT (Petronas Adventure Team) dalam misi bantuan kepada orang asli Kuala Mu, Sg. Siput, Perak.
  • melakukan kembara (duo backpackers) ke Pulau Perhentian, Terengganu.
  • mendaki Gunung Batu Putih, Tapah Perak
  • mendaki Gunung Datok, Negeri Sembilan
  • mendaki Gunung Nuang, Selangor
  • mendaki Gunung Stong, Jelawang, Kelantan
  • melakukan kembara Trans Gopeng bersama Kelab PKNS
  • penganjur dan menyertai kembara hutan (jungle trekking) ke Air Terjun Lepor, Ulu  Langat Selangor
  • penganjur dan menyertai pendakian ke Bukit Tabuh, Taman Melawati
  • penganjur dan menyertai aktiviti canyoning & flying fox di Sungai Pisang, Gombak
  • penganjur dan menyertai aktiviti riadah ke FRIM, Kepong


(e) 2010 :
  • penganjur dan menyertai pendakian ke Bukit Broga, Semenyih Selangor
  • melakukan pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk dan Bukit Kutu
  • mengikuti aktiviti berkayak di Royal Belom
  • mengikuti aktiviti berkayak dan laser di ALAM (Akedemi Laut Malaysia) Melaka
  • mendaki Gunung Bintang, Sedim, Kedah
  • mendaki Gunung Tahan, Pahang
  • penganjur dan menyertai kembara mencari air terjun dan gua di Chenderiang, Perak
  • terlibat dalam penganjuran dan menyertai aktiviti pacuan empat roda ke hutan Ulu Muda, Lasor Kedah.
  • mendaki ke Gunung Lambak, Johor
  • mendaki Gunung Suku, Cameron Highland
  • penganjur dan mengikuti aktiviti riadah Skytrex di Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam
  • mengikuti aktiviti ‘abseiling, caving, body rafting dan water rafting’ di Gopeng Perak


(f) 2011 :
  • mendaki Gunung Fansipan,Vietnam.
  • kembara bermotorsikal dari Sapa - Ha Giang - Bac kan - Cao Bang - Ban Gioc Fall - Hanoi,Vietnam (11 hari)
  • Kembara backpackers ke Thailand, Cambodia dan Laos.
  • terlibat dalam penganjuran dan menyertai aktiviti kembara berkumpulan (backpackers) ke Pulau Pinang dan Perlis.
  • melakukan pendakian Trans Jelawang 10 puncak gunung di Jelawang, Kelantan.


  • terlibat dlm penganjuran Program Hari Keluarga WOA (Wild Outdoor Adventure) di Paya Indah Wetland
  • mengambil bahagian ‘flying fox’ dalam acara pembukaan Karnival Sejuta Belia di Kluang, Johor
  • menganjur dan mengikuti kembara air terjun dan gua ‘ Discover Ulu Kenaboi ’ Kenaboi Negeri Sembilan
  • menganjur dan mengikuti  Ekspedisi ke Gunung Chemerong, Berembun dan Air Terjun  Langsir
  • terlibat dalam penganjuran program 4B Ramadhan (berbuka, bertarawih, bersahur sambil beramal) bersama anak-anak yatim dan ibu tunggal di Taman Rekriasi Suara  Hutan Sungai Congkak.
  • terlibat dalam penganjuran serta mengikuti aktiviti ‘white water rafting’ di Kuala Kubu Baru.
  • menyertai aktiviti berbasikal ‘Kayuhan Upu Cendana Burung’, Kuala Selangor

(g) 2012 :
  • penganjur dan mengikuti pendakian Gunung Korbu dan Gunung Gayong, Hulu Kinta Perak
  • penganjur dan mengikuti pendakian Gunung Yong Yap, Cameron Highland
  • mendaki gunung Yellow dan Gunung Pass, Cameron Highland
  • penganjur dan mengikuti pendakian Gunung Yong Belar, Cameron Highland.
  • Kayuhan duo "Eksplorasi Daerah Kuala Langat" laluan  Banting - Bukit  Jugra Pantai Kelanang - Pantai Morib - Banting.
  • kembara berbasikal duo "Eksplorasi Sungai Sepang" bagi mencari laluan pendalaman sekitar Bukit Pelandok, Negeri Sembilan ke Sungai Pelek, Selangor.
  • kembara berbasikal trio laluan Shah Alam - Teluk Panglima Garang - Pulau Carey
  • menyertai aktiviti berbasikal “ Merdeka Raya’ anjuran Darul Ehsan Touring-Club.

(h) 2013 :
  • kembara (duo backpackers) ke Koh Pha Ngan dan Koh Phi Phi, Thailand.     
  • Mengikuti ekplorasi 7 buah pulau di Semporna, Sabah;  Mabul, Kapalai, Selakan, Bohey Dulang, Mantabuan, Maiga dan Sibuan.      
  • mendaki gunung Bunga Buah, Genting Highland
  • mendaki gunung Chamah, Kelantan
  • kembara berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia selama 23 hari.
  • kembara berbasikal  ‘Tasik ke Tasik’. Temerloh- Tasik Bera - Tasik Chini.
  • Kembara berbasikal ke Danau Toba, Indonesia. 

(h)   2014 :
  • Kembara berbasikal ekplorasi daerah Kuala Langat
  • Kembara berbasikal ke Satun, Thailand
  • Kembara berbasikal merentas Kepulauan Riau ( Karimun, Kundur, Galang dan Batam) 
  • bermotorsikal menjelajah utara Vietnam; Hanoi-Sapa- Ha Giang - Ninh Binh(12 hari).


(i) 2015 :
  • Ekplorasi ke Pulau Tuba, Langkawi. 
  • Kembara berbasikal mencari titik tengah Semenanjung (20 hari).
  • bermotorsikal dari Klang - Taman Negara Kuala Tahan- Kampung Mat Daling (3 hari).        
  • bermotorsikal dari Klang ke Gua Musang - Jeli - Gerik  - Cameron Highland (4 hari).

(j)  2016 :
  • Menyertai kembara berbasikal ke Pulau Rupat, Indonesia
  • kembara berbasikal ‘Mencari Gajah’ dari Gua Musang - Felda Aring - Tasik Kenyir - Kota  Bharu (5 hari)
  • bermotorsikal ke Johor - Melaka dan Negeri Sembilan dalam misi mencari batu  Megalith (3 hari)
  • Ekplorasi backpacker ke Koh Pu, Thailand.

(k) 2017 :
  • Kembara bermotorsikal ke 4 sempadan negeri; Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  • Kembara berbasikal ke Tak Bai dan Narathiwat. 
  • Kembara bermotorsikal ke Utara Vietnam mencari ‘Dinasour Spine’; Hanoi, Yen Bai dan Lao Cai (7 hari)
  • Kembara bermotorsikal jelajah ke ‘Dunia Tersembunyi Tanah Gayo Acheh’, Indonesia

(l)  2018 :
  • kembara menjejak Bunda Tanah Melayu di Bintan, Pulau Penyengat dan Lingga.
  • Kembara bermotorsikal ke Utara Vietnam mencari Legendary Ho Chi Minh Trail. Dari Hanoi ke  Hoi An. 


(m) 2019 :
  • Kembara backpacker '15 Ramadhan' di Narathiwat, Thailand.
  • Kembara bermotorsikal dijemput mengambil TEMPOYAK 😜 di MasTana, Melaka. 


  • Kembara bermotorsikal ‘ Ride Hala Tuju Ke Hati Awak’ mengelilingi Semenanjung Malaysia termasuk  negara Thailand & Singapura (16 hari)
  • Kembara berbasikal merentas Sarawak, Brunei dan Sabah selama (10 hari)
  • Kembara backpacker ke Pakistan selama (17 hari)
  • Insya allah, Kembara menunaikan ibadah Umrah (12 hari). 


Semua yang aku tulis ni sebagai rekod peribadi untuk bacaan anak cucu cicit aku kelak. Biar dorang tahu, yang suatu ketika dahulu, emak/uwan dorang pernah mencipta cerita. Paling tidak boleh dijadikan motivasi untuk mereka melakukan lebih dari ini. 

Alhamdulillah, terima kasih Allah. Melalui sisa baki umur aku ni, aku bermohon agar dikekalkan iman dan Islam pada diri aku ni. 

Ya Allah ya Rahman ya Rahim, kau ampunkanlah segala dosa mak dan abahku, tempatkan lah mereka di dalam syurgamu, jauhkan lah mereka dari siksaan kegelapan kubur dan siksaan api neraka.

Ya allah, ampunkan lah dosa-dosa ku, dosa anak-anak ku, dosa abang dan kakakku, dosa saudara-mara, sahabat, kawan-kawan dan kenalan yang mengenali ku.

Ya allah ya Razzak, kau berkatilah dan percukupkanlah rezeki yang kau beri kepada ku, lindungilah keselamatan ku dibawah pandangan rahmat dan kaseh sayangmu. Kurniakanlah aku dengan kesihatan yang baik agar mudah beribadat kepadamu. Jika kau uji dengan kesakitan, kau berilah kekuatan untuk aku menanggungnya. Mudah mudahan ia suatu kebaikan buat aku. 

Ya allah, kau teguh serta tetapkan hati aku di dalam iman untuk agamamu, kau tutup lah aib-aib ku, kau jauhkanlah aku dari hasad dengki manusia dan kelalaian nikmat dunia. Kau buangkanlah sifat sombong, malas, kedekut, riak dan ujub pada diri aku.

Jadikan anak-anak aku anak-anak yang soleh dan akan berbakti dan mendoakan aku kelak. 



Dan pagi ni, 4 ketul budak dalam gambar ni buat 'surprise' kejutkan aku dari tidur dengan keadaan mamai dorang suh aku tengok apa ada kat dapur. Allahuakbar, terima kasih Allah😭




Ya Allah yang maha bijaksana, Terima kasih😍. 

Aaaaaamin.