Sunday, May 21, 2023

PULAU BINTAN DARI KACAMATA AKU.

Cerita awal di SINI

Penceritaan disambung semula.

Setelah selesai urusan sewa motorsikal, tanpa banyak fikir aku terus set ke lokasi yang dak Anje nak pergi Gurun Pasir. Macam biasa, aku mesti cari tempat - tempat yang menarik atau bersejarah di sepanjang laluan dahulu. Kalau boleh tak mahu terlepas satu pun.


Sebelum tu berhenti isi perut dahulu dengan makanan orang Melayu Kepulauan Riau. Nasi dagang. Nasi yang dimasak bersama halba. Hrm. Tapi sayang, nampaknya sudah hilang keasliannya. Sepatutnya nasi dibungkus dalam daun pisang macam yang aku makan di Lingga. Rasanya kosong macam nasi biasa, yang membezakan cuma dia letak halba.  Yang oren tu ubi keledek goreng. Orang zaman dulu bungkus dengan daun pisang untuk di bawa ketika berdagang. Itu ja kisah asalnya. 

DAPOR ARANG

Tempat pembakaran kayu arang ini sudah berusia hampir 50 tahun.


Dahulu banyak dapur arang di dalam Pulau Bintan ni, tapi setelah pemerintah mengarahkan supaya perusahaan ini dihentikan, maka semua pemilik telah membongkar dapur mereka termasuk pakcik Janiti pemilik dapur arang yang aku lawat ni.


Beliau mempunyai 3 buah dapur, dan sebuah sudah dibongkar kerana dua buah dapur kayu ini dia nak jadikan tempat pelancongan. 

WISATA ALAM BUSUNG KENCANA


Tempat ni baru sahaja dibuka. Bila aku tanya tiket masuk berapa ? Percuma je tapi berilah sumbangan untuk beli makanan ikan yang berharga 5000rp. 


Eh ada burung helang la. Bukan seekor tapi dua. Dua-dua belah kaki diikat. Seekor diletakkan di atas pagar di bawah terik matahari. Aku diamkan sahaja, walau hati dah rasa tak best. 


Di sini boleh memancing dengan bayaran yang tertentu. Jika nak bersantai sambil berkelah boleh menyewa pondok-pondok dengan harga 50k.



Selain itu, ia menjadi tempat untuk berfoto-foto ja.


Boleh la buat rasa-rasa.

GURUN PASIR TELAGA BIRU

Asal usul tempat ini adalah tempat perlombongan  bauksit.  Setelah perlombongan ini dihentikan ketika pemerintahan Presiden Soeharto, pasir bauksit ini sudah pun mengeras

Makanya masyarakat mengambil inisiatif untuk menjadikan tempat ini sebagai tempat pelancongan.


Tempat ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti tandas, musolla dan tempat makan. Tiket masuk 10k seorang .


Pemandangan memang cantik. Air yang biru , jernih dan lanskap yang menarik memang memukau pandangan. Walaupun cuaca panas, aku tetap akan bertahan untuk datang merakam gambar di sini. 


Walaupun papan replika unta yang dicetak terus dari google siap ada watermark, tetap aku boleh menerima. 



Tetapi bila aku nampak ada 5 ekor burung helang yang menjadi pamiran untuk pelancong bergambar, itu memang tak boleh terima. Tempat yang pertama aku pergi 2 ekor helang, sini pulak 5 ekor.

Dengan cuaca dan bahang yang sangat panas, burung helang diletakkan di tengah kawasan lapang. Walaupun di bawah bumbung tapi tetap terasa bahang. 



Bukan itu sahaja, dengan tanpa bersalah memandikan burung helang dengan air dari takungan bekas lombong bauksit, siap letak sabun. Kau rasa ?


Sedangkan aku sendiri boleh rasa berpinar mata, kemudian dada rasa sesak sangat ketika berada di tengah kawasan gurun pasir  ni.

Sungguh sadis.

Harap pihak yang berkaitan dengan haiwan liar mengambil solusi terbaik kepada aktiviti mengekploitasi haiwan-haiwan ini.

PENYU BESAR

Tempat ni sebenarnya tempat suci orang Cina. Sebelum datang, manalah aku tahu, bila nampak atas badan penyu tu ada tulisan Cina, eh ! Kau ni siapa? Kau tinggal sini ke?Ingatkan replika penyu ni Dinas pariwisata yang bina.


Saja je la berhenti untuk bergambar memandangkan ia berada di tepi jalan yang menghadap laut. 


Kalau siapa berminat nak tengok THE SLEEPING BUDDHA boleh masuk ke kawasan tokong seberang jalan. 

Info ni pun aku dapat bila bersembang dengan pelancong dari Batam yang dah masuk bergambar dengan patung Buddha tu. Siap tunjuk gambar lagi. Ok lah tu, sekurang-kurangnya aku tahu di Pulau Bintan pun ada patung Buddha tidur.

Sepatutnya banyak lagi tempat aku nak jejak, tapi tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Terpaksa batalkan semua dan balik semula ke hotel. 

Disebabkan hujan, perut pun lapar maka kita berhenti di KFC. Konon nak terai KFC Tanjung Pinang pulak.



KFC Indonesia ada tempat jual CD artis popular


Parkir sekejap nak beli KFC pun kena bayar.

 
Daging ayam di Tanjung Pinang kecik sangat. Cawan air pun kecik. Nasi pun kecik. Tapi harga rm15.



Sesungguhnya, beruntung dan bertuahnya hidup di bumi Malaysia.

Nanti sambung esok.

Friday, May 19, 2023

Pulau Bintan Di Tahun 2023

Kembara kali ini, boleh dikatakan perancangan yang tertunda. Pada asalnya plan nak ke Pulau Bintan pada bulan 2, masa tu dah siap beli tiket bas dan tempah hotel. Malangnya pada saat-saat akhir dapat info bahawa semua kepulauan Riau dilanda badai yang mengakibatkan banjir yang teruk. Maka dengan pantas aku batalkan perjalanan dan menukar arah masuk ke negara Thailand sahaja.

Kali ini cadang nak masuk ke kepulauan Anambas, lagi sekali Allah tak izinkan. Mungkin belum masanya lagi aku jejak ke sana. Tapi Allah gantikan dengan perancangan aku yang batal dahulu. 

Nak buat macam mana, redha dan ikhlaskan hati dengan perancangan Allah. Aku akur, (padahal di hari kedua aku menulis ni, masih berusaha nak dapatkan tiket feri 😪)

Oke lah layan je la cerita aku kali ni.

Hala tuju aku semestinya ke Stulang Laut.


Dari Klang aku menaiki bas ekspress jam 7.45 pagi menuju ke Larkin Sentral. Sampai dalam jam 1.30 petang. Dari Larkin Sentral terus tempah grab menuju ke Berjaya Waterfront. Harga grab rm16. Untuk ketenangan hati, elok beli tiket feri melalui atas talian seminggu awal. Tapi aku malas, konon nak walk in ja. Sampai-sampai kaunter tiket untuk ke Tanjung Pinang tutup. Ah sudah.

Berdebar jugak lah masa beratur. Sampai giliran aku, terus aku tanya tiket ke Tanjung Pinang ada?’ Ada’ jawab kakak kaunter tiket. Pheww lega. Nak beli untuk balik sekali tak ? Aku jawab tak, sehala saja.

Harga tiket ke Tanjung Pinang rm130, cas pelabuhan rm21, jadi harganya rm151.


Tempoh perjalanan lebih kurang 2 jam 35 minit. Dalam feri petugas memberikan borang kesihatan yang berkaitan dengan vaksin dan borang kastam untuk diisi.


Sekitar jam 5.35 petang waktu Malaysia sampailah ke Pelabuhan Bintan Pura. 

Keluar saja dari balai ketibaan aku terus mulakan operasi bertanya-tanya kepada petugas mengenai cara membeli tiket ke pulau Anambas dan di mana lokasi kaunternya. Oleh kerana langsung tiada maklumat tentang laluan ke pulau ini, ia menjadi cabaran untuk aku menyelesaikannya.

Sebelum tu kena tukar duit dulu. Harga yang dia bagi memang bagus berbanding yang dalam pelabuhan. Cari nama kedai ni. Harga dia jual memang terbaik.

1,000 myr = 3 juta 280 idr hanpir sama dengan harga di google.

Kemudian cari hotel, satu malam 180k= 55myr. Murah sebab tingkat paling atas. Murah-murah pun dapat tengok pemandangan indah.





Kesian, selimut pun dah koyak rabak. Menunjukkan hotel ni , hotel yang paling lama bertahan. Aku tak kesah sangat , asal kan ada ekon, dan heater. Lokasi pun paling dekat dengan pintu pelabuhan.

Lepas solat, keluar cari makan di Melayu Square


Melayu Square ni macam tempat riadah di tepi laut. Orang MY panggil ‘waterfront’🤭. Ada tempat makan makanan laut , tempat jualan jajan dan tempat anak-anak bermain.



Tempat solat ada disediakan tapi…


…nak solat kena bayar. Haa, kat sini baru boleh nampak orang yang benar-benar beriman. Kalau kat MY dah kena protes habis habisan.


Banyak ja gerai jual masakan ikan bakar dan haiwan laut di sepanjang Melayu Square ni, tapi aku pilih yang hujung sekali sebab malas nak memilih.



Aku order air limau panas tanpa gula, sekali dia hantar teh o limau panas. Hrm, perbezaan bahasa rupanya. Lain kali kena cakap jeruk hangat. Ih ihh.


Hidangan makan malam. Nasi putih 2, kangkung goreng, ikan bakar dan 2 gelas air limau suam harganya 100k = 30myr.
Tak leh telan sangat sebab terlalu banyak guna serbuk perisa. Berpinau mata. Peniaga-peniaga kat sini semuanya perantau dari Jawa. Nak cari masakan asli orang melayu Bintan agak susah sikit. Paksa telan jugak sikit.




Hari kedua.
Pagi-pagi lagi aku dah keluar nak mencari tempat jual tiket ke Kepulauan Anambas . Tanya orang sini, tanya orang sana. Mereka kata kantor buka jam 8 pagi. Ok lah, biar aku bawak dak Anje masuk Pulau Penyengat dulu.


Di sinilah pintu masuk nak ke Pulau Penyengat. Hari ini hari Jumaat, jadi seluruh masyarakat diwajibkan berpakaian baju Melayu.



Kelihatan kapal pompong dah beratur menunggu penumpang yang di kalangan guru- guru sekolah.


Tiket untuk seorang 9k = 1.20 sen  , tapi perlu cukupkan penumpang 15 orang. Jenuhlah nak menunggu siapa lah pulak nak pergi ke Pulau Penyengat pagi-pagi buta. 
Kalau nak sewa sebuah bot 130k untuk sehala. Kalau pergi /pulang harga 250k. Tak berbaloi ah, sebab dua orang ja. Rugi ja.


Memandangkan dak Anje tak minat tentang sejarah sejarah Melayu, maka aku pun batalkan hasrat nak ke Pulau Penyengat. 



Keluar dari dermaga, kantor tiket sudah dibuka. Aku tanyalah jadual dan tarikh. Jawapannya… ah lupa catit pulak. Yang aku ingat hari Sabtu, maknanya esok. Tapi dah penuh. Kalau nak, boleh letak nama dalan list menunggu. Jika ada yang tarik diri saat akhir, mereka akan panggil kita. Jika senyap ja maknanya takde harapan. Harga tiket sehala 426k. 

Aku masih lagi berharap, otak aku dah set satu hala ja dan ambil masa nak ubah. Masa tinggalkan kantor tu pun otak dan hati aku tak leh terima hakikat yang Allah belum bagi izin aku ke sana.

Tapi aku kena bersangka baik dengan perancangan Allah yang maha tahu.

Masa awal pagi nak pergi ke kantor tiket, ada orang menyapa, dik nak sewa motor ? Dalam kecelaruan jiwa aku tanya berapa sehari ?

Maka dijawablah 120k motor matic. Akal lembab aku ni mula mencongak 15+15+3+3 = 36. Haaa boleh-boleh. Sebab sebelum ni aku dah cari rata-rata 150k dan ke atas.

Aku cakap nanti saya datang balik, nak pergi beli tiket dulu. Bila dah dapat jawapan pasal tiket, tu yang terus jumpa abang tu semula.



Aku tahu, memandu di Indonesia perlukan IDL. Tapi tu lah. Tawakkaltu Allah. Mudah mudahan Allah pelihara aku dengan kasih sayang. Memang tak cadang langsung nak ride kat Bintan. Semua benda untuk ride pun aku tak bawak. Habis hitam tangan aku.


Beginilah keadaanya bila nak isi minyak. Beratur. Isian penuh 37k rp = rm11. Kalau beli botol botol tepi jalan sebotol 1 liter 18krp = rm5.50.


Nak isi angin pun kena bayar. Di MY percuma saja, itu pun rakyat Malaysia tak nak bersyukur. 


Nanti aku sambung cerita, bateri talipon lemah sangat.

Sambungan