Tuesday, October 10, 2023

MASJID TUA DI NEGERI SEMBILAN)


Senarai masjid - masjid lama ini didapati dari maklumat di internet. Kemudian aku terasa nak mencari semua masjid yang disenaraikan tersebut yang berada di Semenanjung.

Maka inilah gambar-gambar yang dapat aku rakam. 

Masjid/Surau Tua di Negeri Sembilan :

01. MASJID KUALA DULANG - 1618 (405 tahun)✅


Merupakan masjid tertua di Jelebu yang dibina di tepi sungai. Diasaskan oleh dua ulama besar Minangkabau pada abad ke 16. Mereka telah meneroka perkampungan ini yang kemudiannya dinamakan kampung Peninjau. Pada mulanya, masjid ini adalah bangsal beratap ijuk yang dijadikan tempat mereka berteduh (Dato Nika dan Mudim Khatib Raja). Nama masjid ini diambil sempena peristiwa kemunculan dulang makanan yang tidak diketahui siapa pemiliknya. Makanan tersebut mencukupi untuk dimakan oleh ramai orang.

Tetapi masjid lama tidak lagi wujud kerana masjid ini adalah masjid yang telah dinaik taraf kepada binaan moden. Mungkin hanya tapak masjid sahaja di tempat yang sama.

Kesimpulannya,  masjid ni hanya lama pada tapaknya sahaja. Seni bina asli sudah tiada lagi.

02. MASJID KG PARIT ISTANA - 1796 (227 tahun) ✅



Masjid Lama Kg Parit Istana  merupakan bangunan kayu seni bina warisan yang dibina pada tahun 1796. Ia terletak di Kampung Parit Istana, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah dan antara bangunan terawal di Terachi. Reka bentuk unik masjid tradisional Negeri Sembilan ini melambangkan Adat Perpatih yang diamalkan oleh penduduk Negeri Sembilan.



Masa masuk rasa best ja. Macam nak berlama-lama ambik gambo tiang yang berukir tu. Sayang betul dah reput, menanti rebah.


03. MASJID BUNGA TANJUNG- 1828 ( 195 tahun)✅



Diberi nama sempena nama sebatang pokok bunga tanjung yang tumbuh di persekitaran masjid ini. Terletak di tepi sungai yang mana dahulunya menjadi tempat mengambil wuduk bagi para jemaah. Masjid ini masih cantik dan harapan terbesar adalah dipelihara dengan sebaiknya. Dibina pada tahun 1828, bermakna usianya sudah mencecah 195 tahun tetapi keadaan bangunannya masih kukuh berbanding Masjid Lama Kampung Parit Istana (227 tahun) yang telah terlalu uzur menanti rebah. Masjid Kuala Dulang (405 tahun) pun sudah hilang ke asliannya setelah diubah suai.


04)Masjid Kg Nerasau - 1834 (189 tahun)

05. MASJID TERUSAN - 1840 (183 tahun) ✅



Masjid Warisan Kampung Terusan terletak di Kampung Terusan, Juasseh. 

Dibina pada tahun 1840 dan diasaskan oleh Dato' Siamang Gagap yang juga merupakan arkitek masjid lama ini. 

Penduduk Kampung Terusan turut bekerjasama secara bergotong-royong membina masjid ini yang mengambil masa 6 bulan. Bahan asas binaan asal masjid ini ialah kayu Seraya. 

Bumbung masjid pula diperbuat daripada nipah dan ijok. Terdapat 4 batang tiang utama di dalam masjid yang diperbuat daripada kayu jenis Balau Kumus. Lantai masjid pula diperbuat berasaskan rasuk dan pelancar dan dialas dengan kulit kayu kepong. 

Struktur lantai masjid pada asanya diperbuat daripada kayu sebelum diganti dengan lantai konkrit pada tahun 1924. 

Terdapat penambahbaikan pada masjid ini di mana kubah kecil pyramid diletakkan di atas atap masjid. 

Struktur kubah sekarang telah menggantikan struktur kubah pyramidal yang asal. 

Antara ciri menarik lain yang ada pada masjid ini ialah jenang pintu masuk masjid yang rendah. Ini bertujuan supaya jemaah berjalan tunduk sebelum memasuki masjid sebagai tanda hormat. 

Jumlah jemaah yang boleh dimuatkan dalam satu masa ialah seramai 40 orang. Kerajaan Negeri Sembilan melalui inisiatif pemuliharaan rumah dan bangunan warisan telah mengeluarkan geran bagi membaikpulih dan memulihara masjid ini dan menjadikannya Masjid Warisan Negeri.

06) Kg Machang Ulu - 1840 (183 tahun)

07) Dato Klana Petra - 1840 (183 tahun)


08. MASJID LAMA LINGGI- 1884 ( 139 tahun) ✅



Masjid ini dibina oleh pemerintah autonomi Luak Linggi iaitu Y.M Dato Muda Muhammad Parghal @ Dato muda Peral. Dato Muda Linggi ke 4. Kompleks makam dihadapan Masjid ini adalah makam beliau beserta ahli keluarganya.

Ada perigi juga tapi aku tak xplore pusing keliling.

Dua pucuk meriam dihadapan masjid ini dipercayai sebagai salah satu alat kebesaran Dato Muda Linggi. Satu bernama Padam Pelita dan satu lagi bernama Gempita Alam. Linggi suatu masa dulu adalah wilayah autonomi dikenali dalam istilah adat "Bergajah Tunggal". Linggi dalam sejarah Negeri sembilan amat penting sekali. Pemerintah Linggi berkuasa memungut cukai dari kapal dan perahu yang membawa bijih timah dari pendalaman Negeri Sembilan ke Melaka. Kemakmuran dan kekayaan pemerintah Linggi terbukti dengan pembinaan Masjid Warisan ini yang dikira cukup elegan dan berqualiti di zaman itu. Dengan bahan binaan batu,beratap genting dan berukiran kayu yang sarat melambangkan dana yang cukup tinggi bagi pembinaannya ketika itu. Masjid ini dipercayai dibina sekitar pertengahan tahun 1800. - enchek Anonymous.

09) Tanjung Beringin - 1892 (131 tahun)


10. MASJID LAMA REMBANG PANAS - 1897 ( 126 tahun) ✅



Jikalau nak tahu cerita dengan lebih lanjut, sila lah klik di link 👇

Aku datang pun ketika hujan, jadi tiada siapa yang boleh ku tanyakan tentang sejarah masjid ni.  Mengikut tarikh yang tertera di dinding masjid tahun 1897 bermakna masjid ini sudah berusia 126 tahun.

11. MASJID KAMPUNG SAWAH RAJA - 1898 (125 tahun) ✅



Masjid lama yang paling ringkas rekabentuknya. Dikatakan ia telah dibina pada tahun 1898, tetapi tiada cerita bertulis mengenainya. Hrm, telek- telek jugak takkan tiada satu pun kesenian dalam binaan macam surau atau masjid yang seusia dengannya. 

Terletak di tepi sungai Rembau. Pada aku bentuk asalnya memang unik, akan tetapi apabila ditambah-tambah menjadikan masjid ni dah nampak macam rumah. Tak menarik mata yang memandang.

12) MASJID JAMEK SEREMBAN - 1900 (123 tahun)


Cantik rekabentuknya. Masjid yang dibina pada tahun 1900, oleh Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan keluarga Sheikh Abdul Kadir, yang dikatakan antara pendakwah terkenal asal dari Tanah Arab.


Pada asalnya, masjid ini dibina menggunakan separa kayu dan separa simen, bagi memudahkan masyarakat Islam pada ketika itu menunaikan solat, memandangkan lokasinya berdekatan dengan sungai.


Bangunan utama tidak terjejas termasuk menara masjid yang dibina pada 1924, masih kekal di ruang legar masjid ini.




13. MASJID TOK MUAR - 1900 (123 tahun)✅



Masjid ini dikatakan telah dibangunkan sebelum tahun 1900 yang mengambil nama seorang Penghulu Luak Ulu Muar yang pertama yang bernama Dato’ Muar Bongkok Abdul Malik yang hidup sekitar tahun 1839 dan dikatakan beliau disemadikan dikawasan masjid tersebut. To’ Muar Bongkok ini pula sezaman dengan Yam Tuan Radin iaitu Yam Tuan N. Sembilan Yang ke Empat. 

Menurut cerita orang-orang dahulu, pedagang-pedagang terutama dari Johor dan Melaka menggunakan laluan sungai ini dan singgah untuk berdagang dengan peduduk tempatan. Dengan kepesatan urus dagangan waktu itu, mereka mendirikan sebuah surau dan lama kelamaan jadilah ia sebuah masjid bagi penduduk Kuala Pilah.

Bangunan masjid ni dibaiki beberapa kali, cuma bahagian atap tu masih kekal bentuk asal.

Sekarang masjid ni jadi tempat kuliah anak-anak tahfiz.


14) Pekan Juasseh - 1900 (123 tahun)

15) Tanah Chembong - 1900 (123 tahun)


16. MASJID WARISAN KG KUALA SERDANG - 1908 (115 tahun) ✅



Masjid ini terletak di Kampung Kuala Serdang di atas permukaan tanah tinggi berdekatan dengan cabang Sungai Muar. Pengasas masjid ini ialah Dato' Orang Kaya Bongsu Kitong dan kini diwarisi oleh Puan Kathom binti Zainal Abidin. 

Masjid ini telah dibina sekitar awal abad ke 18 di kawasan sawah padi oleh seorang tukang kayu yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera secara bergotong - royong bersama masyarakat kampung. 
Peralatan pertukangan yang digunakan pada masa itu untuk membina masjid ini ialah kapak,beliung, ketam kayu dan gergaji. Dari segi rekabentuk senibina, masjid kayu ini mempunyai 20 batang tiang serta dilengkapi dengan tingkap dan sisi angin yang banyak untuk tujuan pengudaraan. 

Binaan bumbung masjid ini adalan jenis limas dua tingkat dengan tunjuk langit berbentuk kubah kecil pada puncak bumbung. Bahan binaan yang digunakan untuk membina masjid ini adalah daripada jenis kayu keras yang diambil dari pokok hutan berhampiran dengan menggunakan kerbau melalui kerjasama seorang penduduk Cina yang nama islamnya Hassan sebagai pemilih kayu. Bumbung pula diperbuat daripada atap ijok sebelum ditukarkan kepada atap zink. Tangga masjid pada asanya diperbuat daripada kayu dan kemudian ditukar kepada tangga batu. Jumlah jemaah yang boleh dimuatkan dalam satu masa ialah seramai 80 orang. Kerajaan Negeri Sembilan melalui inisiatif pemuliharaan rumah dan bangunan warisan telah mengeluarkan geran bagi membaik pulih dan memulihara masjid ini dan menjadikannya Masjid Warisan Negeri.

17. MASJID LAMA PELANGAI - 1910 (113 tahun) ✅



Pada tahun 1910, Masjid Lama Pelangai ini dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Senibina masjid menggunakan rekabentuk Melayu lama dan pengaruh seni Demak selain mempunyai maksud tersirat di sebaliknya.

Contohnya, 7 anak mata tangga yang masih lagi kukuh hingga kini membawa maksud kukuhnya ilmu yang diajar. Selain itu, 5 tiang gantung di tengah-tengah bumbung masjid pula membawa maksud 5 Rukun Islam. Tambahan pula, masjid tersebut juga mempunyai sebuah kolah yang digunakan untuk mengambil wuduk.

Pada sekitar tahun 1930-an pula, Shamsiah Fakeh, reformis Parti Komunis Malaya (PKM) pernah menjadikan masjid tersebut sebagai pusat pengajiannya.

Masjid yang berusia 113 tahun ini dianggap mempunyai nilai sejarah kerana wujud sekitar zaman Allahyarham Maulana Lebai Maadah Layang yang merupakan ulamak tersohor Kuala Pilah pada ketika itu.- Sumber enchek wikipedia

18. SURAU BATU KAMPUNG GADONG - 1920 (103 tahun) ✅



Surau Batu Rembau atau nama khas sebenarnya Surau Warisan Undang Dato' Lela Maharaja Hj Sulong bin Ambia (Undang Rembau 1917-1921).

Boleh semak perkembangan terkini masjid ini di sini.


19. MASJID TUAN TULIS - 1921 (102 tahun) ✅



Syeikh Tuan Tulis atau nama sebenar beliau Haji Ismail Hussein merupakan seorang tokoh agama dan wali Allah yang terkenal di Negeri Sembilan, khasnya di sekitar Kuala Talang, Kuala Pilah. Beliau dilahirkan pada tahun 1840 (ada juga keterangan yang menyebut dalam tahun 1860-an) dan meninggal dunia pada tahun 1922, dalam bulan Ramadhan ketika berzikir selepas solat subuh. Beliau telah membina masjid yang dikenali sebagai masjid Tuan Tulis di Kuala Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah dan masih digunakan sehingga kini.
Di sebelah masjid ada makam beliau dan tabuh lama. Aku tak masuk sebab tujuan utama cuma nak tengok rekabentuk masjid tu sahaja. 

Kenapa dipanggil Tuan Tulis adalah disebabkan beliau suka menulis , dalam ertikata menyalin semula kitab-kitab yang dipelajarinya.

20. SURAU LAMA KG PILIN - 1926 (97 tahun) ✅



Bila tambah atap, tambah pagar  telah menutup dan mengubah wajah asal masjid. Dibina pada tahun 1926, kini umurnya 97 tahun.

Di sini juga letaknya makam Ustaz Ashaari Muhammad ( pengasas Al Arqam)

21. MASJID LAMA NILAI - 1928 ( 95 tahun )✅



Inilah masjid lama Nilai yang dibina tahun 1928. Terletak di pekan Nilai. Bentuk bumbung piramid bertingkat tiga lapis yang merupakan bentuk tradisional masjid Alam Melayu tapi
masjid ni dimakmurkan oleh masyarakat India Muslim setempat bersama penduduk Melayu tempatan.
Ambik gambar dari luar ja.

22. MASJID QARIAH KG MENDUM - 1928 (95 tahun)✅



Masjid yang dibina pada tahun 1928 ini antara masjid tertua di Lenggeng.  Bahan asas bangunan masjid ini telah diganti dengan binaan batu keseluruhannya. Sudah tidak nampak keasliannya melainkan bahagian menara.


23. MASJID LAMA KAMPUNG BATU SERAMBAI ✅


Masjid ni dipercayai dibina pada era 1930-an dan kini kajian terperinci sedang dilakukan pihak berkaitan bagi merungkai sejarah masjid yang dipercayai berusia lebih 100 tahun. Buat masa ini, masjid ni menjadi tempat anak-anak kariah belajar mengaji.





24. MASJID LAMA ULU BERANANG - 1935 ( 88 tahun)✅



Masjid Qariah Ulu Beranang telah dibina pada tahun 1935 oleh penduduk setempat. Tapak masjid ni telah dikurniakan oleh kerajaan negeri. Masjid ini pernah dibaiki dan dibesarkan pada tahun 1993. Sejak covid melanda selama 2 tahun lalu, jemaah sudah tidak datang lagi ke masjid ini Dengar2 masjid ini akan dirobohkan setelah 88 tahun memberi khidmat.


25. MASJID LAMA KAMPUNG BONGEK - 1936 ( 87 tahun) ✅



Tak de kisah yang boleh didendang, cuma ada tertulis tarikh pada kolah masjid pada tahun 1936. Kalau itu tarikh dibina bermakna usia masjid ni baru 87 tahun.

26. MASJID LAMA PORT DICKSON- 1945 ( 78 tahun) ✅



Terletak di atas sebidang tanah bertingkat, masjid ini mempunyai bumbung tiga tingkat, dan anjung hadapannya dihiasi dengan kubah emas kecil.

Tangga batu ala Melaka menghala ke anjung hadapan. Bumbungnya disokong oleh tiang konkrit dengan gerbang berbentuk ladam yang dihiasi dengan kubah warna emas.

Di katakan bina tahun 1945, kalau betul masjid ni baru 78 tahun umurnya.

27. MASJID WARISAN SUNGAI RELAI ✅

Masjid ini terletak di tepi jalan sahaja. Telah mendapat status masjid warisan dan dibaik pulih pada tahun 2007. Dikatakan ia dibina pada tahun 1950. Beginilah keadaan terkini masjid ini.




28. MASJID LAMA KUALA KLAWANG - 1965 ( 58 tahun)✅

Telah dibina pada tahun 1965. Pengasasnya ialah Allahyarham Tuan Haji Ibrahim bin Haji Mansor. Tapak masjid ini telah dikurniakan oleh kerajaan negeri.

Sejarah bermula apabila seorang pekerja Jabatan Ukur, Allahyarham En.Shafie ( Bapa Tan Sri Ghazali) menyediakan sebidang tanah untuk tapak surau di tepi Sungai Teriang. Hasratnya diteruskan oleh En.Munshi (peniaga India Muslim) dan berjaya mendirikan surau dagang di simpang Ulu Jelebu. Masjid yang ada sekarang telah dibina dan dinaik taraf pada tahun 1988, 2003, 2008, 2009 dan 2010.

* Akan ada lagi penambahan masjid lama.


Monday, September 18, 2023

EKPLORASI BERMOTORSIKAL DI NEGERI SARAWAK


Perjalanan bermula pada 15/8/23 dan tamat pada 29/8/23.Kali ini aku bersama anak lelaki telah menjelajah Negeri Sarawak dari Kuching sampai Bintulu sahaja kemudian berpatah balik ke Kuching semula.

Di sini aku catitkan lokasi-lokasi yang aku dah senaraikan sepanjang laluan. Beginilah aku membuat peta perjalanan. Yang mana aku dah sampai aku tandakan ✔️. Bila buat begini, kebanyakkannya alhamdulilah aku dapat sampai. 

Oleh sebab itu, penelitian sebelum membuat kembaraan itu penting supaya kita tahu hala tuju nak ke mana dan tidak membuang waktu mencari-cari dan berpusing-pusing. Setiap tempat ni aku susun satu persatu.

Hari 1  (15/8 - Selasa)

Klia- Kuching Airport✔️

11.00 pagi- 12.50 tgh



Selamat sampai ke Sarawak.


Naik grab ke Rent & Ride : 10km✔️

Tambang : rm18

Selama 10 hari tersebut aku menggunakan motorsikal yang disewa daripada Rent & Ride Motorcycle Rental dengan harga sewa sehari rm60. Ini harga membawa motor keluar dari bandar Kuching. Deposit yang perlu aku letak adalah sebanyak rm150 untuk sebuah motorsikal.

Ada surat perjanjian yang harus kita tandatangani.


Kedai ni sebenarnya kedai menjual motorsikal, tapi ada membuat sewaan motor juga.


Sebelum bersetuju menerima kunci, aku memeriksa keadaan badan motor dengan teliti, lebih senang rakam je video untuk rujukan masa kita pulangkan nanti. Tempat yang calar atau rosak kena ambil peduli. Minyak motor memang penuh, jadi sewaktu pulangkan nanti pun kita kena isi minyak penuh. 



Selesai urusan penyewaan motor, aku pun bergerak menuju tempat penginapan untuk hari pertama. Sebelum tu singgah kedai dahulu untuk membeli gas butane. 

Woodpecker lodge: RM47✔️

Kat sini ada 2 ekor makhluk yang berbulu sangat lebat. Pada awalnya aku sangkakan anjing, memang nampak macam anjing yang berbulu lebat tu, sampai mata pun tak nampak. Dah nak balik bila ditenung betul-betul, eh rupanya kucing. Tak terfikir pula nak rakam gambar 2 ekor makhluk tu.



Bilik memang kecil, sampai nak solat pun kena pandai-pandai hadkan pergerakan. Bilik ni ada kipas , kalau nak penghawa dingin kena tambah rm10. Sebab nak budget sangat kan, boleh lah tu. Untuk tidur dan mandi saja. Malam bila tidur, nah rasakan ! Aku turun tidur kat simen. Panas pula. Eheh.


Seperti biasa, jadual perjalanan aku yang sediakan termasuk tempat penginapan. Semua aku dah aturkan dari awal. Memandangkan waktu di Sarawak lebih awal dari di Semenanjung, maka perjalanan pun akan dimulai awal pagi sekitar jam 6:30 pagi. Itu pun dah cerah macam jam 8 pagi.


Kuching Word sign✔️


Kuching waterfront✔️



Pada hari pertama aku tak jelajah sangat kawasan bandar Kuching ni, aku simpan untuk hari terakhir nanti.




Bila dah sampai Sarawak, kena lah makan laksanya. Tak gitu ? Di sini bukan saja ada laksa, tapi nasi ayam penyet dan pelbagai kek pun dijual. 


Laksa Serawak rasanya macam mee hoon makan dengan kuah kari.


Hari ke -2 ( 16/8/23- Rabu )207km

Sebelum memulakan perjalanan, kami berhenti sarapan dengan mee kolok di kedai Cina Muslim.





Aku mulakan perjalanan aku di titik 0km iaitu di Pejabat Pos Besar Kuching. Kalau Majlis Perbandaran Kuching buat batu titik 0km kan lagi menarik.


Di hadapan pejabat pos ada bangunan Pavillion.Pembinaan bangunan Pavilion sewaktu zaman Brooke adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan kesihatan dan perubatan penjawat-penjawat bangsa Eropah dan keluarga Brooke.  Dek kerana itulah suatu waktu dahulu ianya turut digelar sebagai “European Hospital” kerana hanya bangsa Eropah bersama keluarga Brooke sahaja yang dibenarkan untuk mendapat rawatan di sini.  


Diceritakan “European Hospital” yang menempatkan Ibupejabat Perubatan Sarawak Kingdom dilengkapi dengan pelbagai asas dan ruang kesihatan yang terkini. Di aras bawahnya sahaja dilengkapi dengan beberapa buah bilik konsultansi, sebuah makmal perubatan dan ruang pejabat para pegawai perubatan.  Manakala aras satunya pula menempatkan barisan katil-katil pesakit serta mempunyai beberapa buah bilik ekslusif seandainya ada keluarga Brooke yang tidak sihat.  

Perjalanan sejarah bangunan ini sangat panjang, aku singkatkan cerita, sehinggalah pada tahun 2000, penghuni bangunan Pavilion telah berpindah tangan dengan menjadikannya sebagai Muzium Tekstil Sarawak sehinggalah sekarang.  


Di Muzium Tekstil inilah berhimpunnya segalanya mengenai sejarah tekstil Sarawak seperti pua kumbu, pakaian tradisi dan banyak lagi.  Ianya menjadi antara tempat wajib dilawati apabila berkunjung ke Kuching, Sarawak Bumi Kenyalang.  Dan bangunan Pavilion ini masih utuh lagi dipelihara sebagai antara saksi bisu Sarawak yang telah ditransformasi dari era pemerintahan yang berbeza.  


On the bike !

WL - sempadi terminus✔️

Aku mencari jeti feri, sebab di Sarawak banyak sungai jadi mesti ada lagi perkhidmatan feri. Inilah Feri Rambungan yang menyambungkan perjalanan melintasi Batang (Sungai) Rambungan.



Aku sampai betul-betul feri dah nak bergerak. Alhamdulillah sempat naik. Jika tidak terpaksa lah menunggu lama untuk feri menurunkan penumpang dan berpatah balik ke jeri seberang sini semula. 


Tambang hanya dikenakan kepada kenderaan yang besar seperti kereta dan lori berharga rm1.Manakala motorsikal dan basikal percuma.


Pantai Rambungan 

Ada banyak pantai di sepanjang laluan menuju ke Telok Melano, aku cuma singgah sebentar, saja nak tengok keadaannya macamana.



Pantainya landai dan air jauh sangat. Mungkin ada pasang surutnya sebab nampak hakisan pada jalan tarmac tu. Sarawak ni menghadap ke Laut Cina Selatan mesti ombaknya sangat kuat. 
Nampak dari jauh Pulau Sampadi. Kalau nak berkhemah dan memancing boleh lah ke sana.


Pemandangan laluan Pan -Borneo.



Lundu ✔️

Lundu ni sebuah daerah yang bersempadan dengan Kalimantan Barat. Bandarnya pun bernama Lundu. Walaupun bertaraf bandar, keadaan pembangunan di sini seperti sebuah pekan kecil. Masih ada bangunan kayu yang lama tapi masih diselenggara dengan baik.





Pantai Pandan✔️

Aku mengambil peluang untuk singgah di beberapa buah pantai yang terkenal di daerah Lundu.






Kampung Sebemban.


Taman Negara Gunung Gading terletak berhampiran pekan kecil Lundu di Barat Daya Sarawak. Sebelum ini, Gunung Gading hanya sebagai Hutan Simpan pada tahun 1929 kemudian diwartakan sebagai Taman Negara pada tahun 1983. Taman Negara Gunung Gading adalah salah satu tempat terbaik di Asia untuk melihat bunga Rafflesia, sejenis tumbuhan parasit tanpa daun yang menghasilkan bunga terbesar di dunia. Selepas 10 tahun sebagai zon pemuliharaan untuk melindungi tumbuhan luar biasa ini, taman ini dibuka kepada pelawat pada tahun 1994.


Pantai Siar✔️






Telok Melano Zero KM✔️





Kampung Telok Melano.
Sejak laluan Telok Melano - Sematan dibuka, penduduk kampung di kawasan itu tidak lagi perlu bergantung kepada bot untuk mengharungi ombak Laut Cina Selatan untuk sampai ke pekan yang terdekat, Sematan.


Pada masa ni, perjalanan dari Sematan ke Telok Melano melalui jalan baharu hanya mengambil masa 27 minit untuk ke KM 0 di Telok Melano.


Aku singgah makan tengahari di gerai ni, alhamdulillah sedap masakan nasi ayam dan ayam penyetnya.



Inilah papan tanda Selamat Datang yang dicari.



Macam biasa, rakyat Malaysia memang suka tepek sticker di mana-mana. Nak bangga yang dia dah sampai. Padahal tempat yang ditepek itu adalah harta awam. Tidak sepatutnya ada benda asing di situ. Itulah perangai Vandalisma.

Aku dapat tahu  bahawa papan tanda KM0 Telok Melano sudah diganti baharu dengan gambar yang lebih menarik gara-gara kedatangan YDPA tempohari. Rasa terkilan juga lah kenapa tak tukar awal sikit masa aku datang. Haish.


Pos Telok Melano

Alang-alang dah dekat, aku pun terus menuju ke sempadan Telok Melano di pos Sematan. Pada awalnya memang tak berani nak dekat bila pegawai-pegawai pandang ja, tapi aku beranikan diri bertanya dan meminta izin untuk masuk bergambar. 



Syukur alhamdulillah pegawai yang bertugas sangat mesra dan ramah. Terus dia suruh masuk dan dibukakan pintu pagar sempadan. Maka bergambar lah aku anak beranak di situ.



Bila dah puashati, cepat-cepat aku keluar. Pada masa tu baru aku sedar yang tangki minyak perlu diisi. Untuk makluman, stesyen minyak memang tak ada dari Sematan hingga ke Telok Melano. Stesyen minyak terakhir cuma di pekan Lundu. Di situ ada Petron, Shell dan Petronas. Jadi kalau penduduk nak beli minyak terpaksa pergi ke pekan Lundu dengan jarak 58km sehala.

Walaubagaimana pun, ada satu tempat yang menjual minyak petrol dalam botol. Terletak di simpang bulatan menuju ke pos sempadan Telok Melano.



Masuk saja dalam kawasan halaman rumah, beri salam. Nanti keluar seorang makcik yang akan melayani permintaan kita. Di sini minyak seliter berharga rm3. 


Pantai Pueh
Aku tak masuk pun, sebab tak berminat dengan pantai waktu ni. Padahal pantai di sini cantik juga, cuma yang tak cantik adalah harga penginapannya tu yang akutak mampu bayar. Ehek.


Ini pemandangan di Kampung Pueh. Ada sawah bendang berlatar belakang gunung ganang. Sikit masa lagi padi dah menguning dan boleh dituai.


Gunung Pueh yang terletak di sempadan Malaysia dan Kalimantan. Maknanya separuh gunung milik MY separuh gunung Indonesia yang punya.


SEMATAN

Ketika aku sampai, kawasan waterfront sedang dinaik taraf. Jadi tak nampak lah pemandangan. Berhenti ambil gambar dan singgah ke kedai membeli air minuman sahaja sebelum menuju ke tempat penginapan untuk malam ke dua.




Putra Sentosa Retreat rm114.52✔️

Ini saja penginapan yang paling murah di ketika itu. Rata-rata chalet, hotel dan rumah inap harga sekitar rm150 satu malam. Ini adalah harga biasa di Sarawak. Bila dapat harga di bawah rm150 siap sarapan pagi, aku rasa paling bahagia. Aku tempah melalui agoda VIP ya 😬. Pasal tu semua hotel yang aku dapat harga cun-cun belaka.



Petugas di meja hadapan pun  ramah dan sangat membantu.



Tengok lah ruangan dalam bilik. Luas dan cukup selesa.




Waktu sarapan pagi dari jam 7 pagi. Tengok la bagaimana persembahannya. Kami cuma berdua sahaja yang menginap malam tu, tapi yang disediakan macam 5 orang makan. Alhamdulillah masakan chefnya sedap. Nak tapau, tapi leceh pula nak bawa nanti. Walau apa pun, tempat ni memang terbaik.


Bilik aku dalam bangunan tu. Di sini juga ada tempat gym dan kolam renang. Sesiapa nak berkayak juga ada aktiviti yang boleh mereka lakukan di sepanjang hari dengan kadar harga bayaran yang tertentu.


Day 3 (17/8/23 - Khamis) 208km

Pos Biawak✔️

Selepas pos Telok Melano, aku nak pergi ke Pos Biawak pula. Saja nak tengok keadaan tempat yang tak pernah aku sampai.

Aku sangkakan kalau penempatan jauh dari bandar dan di sempadan negara, tempat tu mundur dan tiada kemudahan yang sepatutnya seperti yang ditayangkan dalam televisyen.

Ternyata lain halnya jika di Sarawak. Percaya atau tidak, di sini ada sekolah yang cantik, bersih dan cukup keperluannya. Jaringan internet pun penuh bar.



Rumah-rumah di sini semua cukup sifat dan kebanyakkannya dibuat dari batu. Rumah-rumah panjang pun sudah moden. Aku bukan nak menjelikkan Sarawak tetapi aku nak sampaikan maksudnya pemerintah Sarawak sangat bagus dalam mentadbir negerinya. Semua rakyat dijaga dan dibantu sama rata. Termasuk sistem jalanraya nya. Dari Miri ke Telok Melano termasuk jalan-jalan kecil di kampung, semuanya cantik dan halus. Berbeza dengan pemerintah di satu negeri tu. Sejak 60 tahun, sama sahaja tiada perubahan. Kesian rakyat.



Beginilah pemandangan di hadapan Pos Imigresen Biawak. Tak berani nak masuk, ambil gambar dari luar pagar pun jadi lah.



Sebenarnya, minyak ada ja lagi satu bar yang boleh sampai ke 40-50km, tapi tu lah kan, aku dah biasa cemas. Maka aku carilah kedai jual minyak dalam botol. Harga di sini agak tinggi sikit rm4 untuk satu botol mineral.


Ini adalah kawasan yang dibina pemerintah untuk kegunaan penduduk menjual hasil pertanian, pembuatan kraftangan anyaman serta menjadi hab pelancongan di sempadan Biawak/ Indonesia.


Tugu Peringatan Jangkar

 

Ceritanya begini, di sinilah telah gugur 15 anggota batalion ke 7 Rejimen Renger Diraja (7RRD), manakala 4 lagi anggota pasukan itu cedera parah dalam serang hendap yang dilancarkan segerombolan komunis kira-kira 60 orang pada 26 Mac 1972. 9 bulan sebelum kelahiran aku.😪.



Beginilah keadaan terkini tugu tersebut. Tak ada papan tanda khas pun, orang memang tak perasan. Aku sendiri dah terlajak jauh, kemudian aku berpatah balik sebab nak tahu apa benda tu. Biasanya kalau bentuk begitu adalah sebuah tugu. Bila sampai, memang benarlah telahan aku, itu tugu peringatan perang.


BAU
Aku baru tahu yang Bau ini adalah bandar perlombongan emas sekitar tahun 1800 dahulu. Panjang la kisah sejarahnya kalau aku nak tulis di sini. 
Nama asal Bau adalah Ulu Sarawak.
Di pendekkan cerita, sekarang Bau berstatus mukim dan mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi seperti Gua Angin, Gua Pari-Pari, Tasik Biru, Tasik Orkid dan Paku Rock Maze Garden.
Aku cuma sempat singgah di Tasik Biru dan Tasik Orkid sahaja. Sepatutnya nak pergi ke pos sempadan di Serikin, tapi bukan hari Sabtu dan Ahad untuk aku pergi ke pasar hari minggu di sana. 


I love Bau✔️


Mercu Tanda Bau✔️

Replika pelombong emas dan pokok periuk kera menjadi mercu tanda pekan Bau.



Tasik Biru ✔️

Difahamkan tasik biru ni bekas lombong emas. Sekarang dah jadi tempat rekriasi awam.




Serombong Asap Bau✔️

Aku ternampak tinggalan cerobong asap yang diperbuat dari batu bata merah. Tiada maklumat yang aku jumpa di internet. Adakah cerobong asap ini cerobong kilang sagu ?



Tasik Orkid✔️

Tasik ni tak dijaga seperti Tasik Biru. Kedudukan juga jauh dari pekan. Tak ada yang menarik di sini selain tempat orang memancing. Kenapa dinamakan Tasik Orkid, mungkin pada waktu tertentu banyak pokok orkid liar mula berbunga. Masa aku datang, tak ada pun pokok orkid. Lalang ja banyak tumbuh meliar.




Bengoh Dam ✔️

Dari Bau ke Bengoh Dam berjarak 36 km. Laluannya cukup cantik dengan pemandangan gunung batu kapur yang banyak.





Sampai di pondok pengawal, kita kena daftar masuk dahulu. Tulis nama, alamat, nombor talipon dan waktu masuk. 


 
Tempat parkir khas tak ada, jadi pandai-pandai lah cari tempat yang aman untuk tinggalkan motor untuk satu malam.



Kampung Sting✔️
Kenapa lah rumahnya atas bukit. Bila aku tanya jauh lagi ke ? Guide cuma cakap 10 minit lagi. Hadoih.



Aku mengambil pakej 2 hari satu malam di Bungai Homestay siap dengan makan tengahari, makan malam dan sarapan pagi. Harga yang ditawarkan adalah rm95 untuk seorang (bot pergi/balik + 2 air terjun + penginapan + jurupandu + 3x makan.)


Dari pemerhatian aku, jika kawan-kawan muslim yang nak menginap di sini eloklah masak sendiri. Bawa la makanan ‘ready made’. Dapur pun ada boleh ja masak. Penduduk di sini semuanya beragama Katolik.


Di kawasan empangan ni tiada talian internet. Tapi kalau siapa nak boleh beli melalui pemilik rumah inap Bungai.


Inilah rumah inap Bungai. Ruang dalamnya cukup luas. Ada dapur dan gas untuk memasak. Tandas pun cukup selesa. Elektrik 24 jam ada sebab mereka ada pam hidro sendiri.


Kita tak akan berkongi satu rumah dengan tuan rumah. Jadi lebih selesa dan ada ruang untuk bersendiri. Homestay yang lain memang berkongsi rumah. Jadi yang ni lebih elok.



Beginilah suasana di waktu pagi selepas subuh.



Tenang dan damai je, hanya bunyi cengkerik dan ayam berkokok bersahut sahutan.




Curtain waterfall✔️

Jika nak ke air terjun, kita perlu menaiki bot lagi.



Ini adalah pintu masuk ke air terjun.


Perjalanan nya lebih kurang macam nak ke inap desa. Mendaki.



Kemudian lalu di kawasan padi bukit. Kita akan melintas beberapa batang jambatan buluh.




Ini ialah jurupandu dan pemilik rumah inap Bungai. Dia yang menjemput aku di jeti empangan. Namanya Kikik. Dia akan bawa aku separuh jalan, kemudian perjalanan seterusnya akan diganti oleh ibunya.


Ini pula ibu Kikik. Masih kuat mendaki naik turun bukit. Dia yang akan meneruskan menunjuk jalan ke lokasi air terjun Susung dan Pe’en.






Kita akan bertemu dulu dengan air terjun Pe’en, tapi kita tak berhenti kerana nak pergi dulu ke air terjun Susung. Nanti bila waktu balik baru singgah dan kalau nak mandi manda pun boleh.


Malangnya, waktu balik aku tak dapat nak berhenti mandi mahupun bergambar di air terjun Pe’en sebab hujan turun dengan sangat lebat.

Susung waterfall✔️

Inilah rupa air terjun yang viral tu. Keadaan cuaca di sini tidak menentu. Dalam sekelip mata dia boleh hujan. Masa aku sampai keadaan di sini memang dah redup dan gelap ja. Memang tak dapat nak duduk lama-lama konon nak healing sampai lebam.




Akhirnya aku pasrah dengan keadaan cuaca. Nak cepat nak cepat nak cepat.


Nak posing banyak- banyak pun tak dapat.


Day 4 (18/8/23- Jumaat)

Sekitar jam 8 pagi, Kikik menghantar kami berdua ke jeti empangan.





Barang siapa nak buat tempahan di inap desa Bungai, boleh hubungi Kikik melalui nombor wassap 
+60 13-507 4478


Segala puji bagi Allah untuk kasih sayangnya menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan di air. Motorsikal pun dalam keadaan baik. Alhamdulillah.


Kolam Air Panas Anna Rais

Di sebabkan ada satu tempat tumpuan pelancong yang cuma 18km sahaja dari Bengoh Dam, aku membuat keputusan untuk pergi melihat-lihat. Laluan masuk ke sini boleh tahan mencabar, jalan berbukit bukit tinggi naik turun tapi jalanrayanya bertarmac elok.



Kedudukannya dalam kawasan kebun penduduk, maka banyak lah pokok buah- buahan di situ.


Masa aku sampai, ada seorang pakcik sedang menganyam sesuatu. Mungkin bag atau topi suku kaum. Agaknya dia punya tanah kot.



Punca air panasnya tidak la besar, dan mereka telah buat satu kolam untuk menampung air panas tersebut. Untuk ke sana kita perlu meredah air sungai untuk ke seberang sana.



Pekan kecil Lachau
Aku teruskan perjalanan  menuju ke lokasi seterusnya. Nampak papan tanda ni, mujur kurang huruf N. 😬


Pekan Lachau berada di tepi jalan Pan Borneo. Di sini ada stesen minyak, surau dan tandas. Pekan dia kecil saja, tapi jadi tumpuan orang ramai kerana di sinilah tempat penjualan hasil-hasil anyaman, pertanian, ikan masin, sayur dan buah-buahan. Jika dilihat dari peta, kedudukan Lachau ni begitu hampir dengan sempadan Kalimantan Indonesia, hanya dibatasi dengan banjaran gunung yang panjang. 
Aku tak pusing habis pekan ni, cuma lalu sahaja. Padahal jika masuk sikit lagi ke dalam ada mercu tanda pekan Lachau. Tempat ini dinamakan sempena nama seekor cicak hutan.


Tasik Danu Serian ✔️

Tasik ini terletak dalam laluan aku menuju ke Sri Aman. Jadi memang tak pusing merata lah. Dulu tasik ini cuma sebuah paya dan penduduk setempat menjadikannya tempat untuk menanam padi. Kemudian seorang pegawai teknikal Majlis Daerah mencadangkan untuk menjadikan ia sebagai kawasan rekriasi. Maka inilah yang terjadi sehingga hari ni.




Aku baru tahu yang Serian adalah pengeluar hasil durian yang terbaik, dan itulah idenditi Serian apabila buah durian menjadi mercu tanda bandar ini. Sebab aku baru tahu, maka aku tak ada gambar di 2 mercu tanda durian gergasi tersebut. Cis.



Place to Stay Hotel : rm78✔️


Hotel yang sangat selesa, sebelah hotel ada dobi. Lagi mudah kerja aku tak payah pergi jauh jauh nak membasuh pakaian.






Sri Aman Waterfront✔️

Ikon Sri Aman adalah burung merpati. Ada beberapa pusingan jalan ada replika burung merpati lambang keamanan. 



Bujang Senang

Replika buaya tembaga ni pulak ikon sungai Batang Lupar agaknya. Menurut penduduk, kadang ada nampak buaya timbul di tebing.




Nama lama Sri Aman ialah Simanggang.


Tugu Ikan ✔️
Selain buaya, ada tugu 3 ekor ikan lumba-lumba.


Taman Panorama Benak✔️

Ia dibina sebagai salah satu kawasan santai dan riadah di samping menjadi tempat untuk menyaksikan fenomena air pasang (benak) yang viral yang mana orang boleh bermain papan luncur ketika air pasang.





Kubu Alice✔️


Asal nama kubu ini adalah kubu Simanggang. Tapi ditukar namanya sempena Margaret Alice Lili de Windt, isteri Charles Brooke setelah Brooke berjaya menawan kubu tersebut.



Hari ke - 5 (19/8/23 - Sabtu) 243km

Engkilili - Lubok Antu ✔️



Satu-satunya stesen minyak di Engkilili. Apalagi, kita isi minyak siap-siap.




Kebanyakkan pekan-pekan kecil yang terletak di hujung-hujung masih mengekalkan bentuk bangunan kayunya. Dan mereka selesa dengan keadaan itu. Yang penting kereta mesti ada dan keadaan persekitaran memang bersih.


Ini semua gara-gara mitos seekor ular gergasi bertukar menjadi batu. Aku pun nak mencari lah. Papan tandanya jumpa, tapi bila nak cari batunya, hati jadi ragu-ragu sebab kena masuk dalam hutan yang aku sendiri tak tahu apa yang ada dalam tu. Separuh perjalanan, aku buat keputusan untuk keluar semula demi keselamatan kami berdua.Tak pe lah, batu je tidak la penting sangat. Itu lah ceritanya.



Ini jalan masuk yang tiada bertanda. Kiri ke kebun sawit, kanan masuk ke dalan hutan. Tak ada orang pun untuk bertanyakan arah.

 Batu 0km tak ada, 1km pun jadi lah.



Pos Sempadan Lubok Antu✔️

Saja masuk sini nak cari pos imigresen. 44km dari jalan besar Pan Borneo.



Jikalau bawa motor sendiri dah boleh lintas sempadan.


Pejabat Pos Lubok Antu
Aku anggap di sini titik 0km Lubuk Antu. 


Lubok Antu Waterfront✔️
Aku kagum betul. Jauh jauh masuk ke dalam laluan bukit bukau, hutan dan ladang kelapa sawit, tiba-tiba ada ketamadunan. Penduduk di sini nampak begitu santai beriadah di taman tepi sungai. Taman pun nampak cantik dan bersih je. Orang Sarawak memang menitik beratkan soal kebersihan. Pergi lah mana-mana tempat memang bersih.


Aku mengambil peluang untuk berhenti rehat dan memasak makanan sarapan + makan tengahari sekali.
Bekal paket Brahim’s yang aku bawa dari rumah menjadi penyelamat ketika lapar.


Replika orang utan menjadi ikon di Lubok Antu.


Terdapat juga replika perisai dari suku Dayak.Talawang adalah tameng atau perisai Suku Dayak yang terbuat dari kayu ulin atau kayu besi.


Aku rasalah, Majlis Daerah di semua bahagian di Sarawak ni berlumba-lumba mencantikkan kawasan mereka. Mereka menggunakan semua peruntukan untuk memberi keselesaan kepada rakyat semula. Syabas🫡

 
Lubok Antu ada satu stesen minyak.


Jambatan Gantung Lubok Antu✔️

Menurut cerita yang diperturunkan daripada beberapa keturunan dan orang-orang tua di Daerah Lubok Antu, nama Lubok Antu wujud kerana  di kawasan-kawasan Ulu-Ulu Sungai Batang Ai,  sering berlaku peperangan dalam masyarakat Iban. Lantaran itu mayat-mayat orang yang terlibat dalam peperangan itu dibuang atau kemungkinan terjatuh kedalam sungai dan dihanyutkan oleh  aliran deras sungai Batang Ai. Mayat-mayat yang dihanyutkan ini telah berkumpul di satu kawasan atau lubuk di hilir Batang Ai. Mayat-mayat berkenaan telah tersekat dan tersadai di lubuk berkenaan tanpa sesiapapun yang berani menguruskannya. 



Kerana itu penduduk tempatan beranggapan bahawa kawasan atau lubuk itu telah menjadi  "keras"  atau "berhantu". Lalu lahirlah  nama Lubok Antu yang mengambil sempena nama lubuk tempat mayat-mayat dari ulu sungai Batang Ai tersekat atau tersadai. 



Namun kini, lubuk yang dianggap berhantu  dan berpuaka itu hanyalah tinggal  nama dan menjadi persoalan  kepada sesiapapun yang baru mendengar  nama Lubok Antu.
 

Malah, kawasan lubok berkenaan telah diperindahkan dengan lanskap taman rekreasi yang amat menarik oleh pihak Majlis Daerah Lubok Antu. 


Betong ✔️
Ya, Betong bukan saja ada di Thailand. Betong juga ada di negeri Sarawak, Malaysia. Dahulu Betong dikenali dengan nama Rantau Anak.
Di sini juga terdapat sejarah tentang Panglima Rentap tapi tidak dapat informasi tepat di manakah  makam dan kubu beliau yang sebenarnya. Hanya tercatat di peta google atas nama ‘Makam Rentap’ jaraknya 73 km dari Betong.



Ku fikirkan inilah mercu tanda Betong, tapi salah. Ini menara jam Betong.


Mercu tanda Betong adalah replika pokok getah kerana Betong adalah pengeluar getah utama di Sarawak.


Kubu Lily✔️

Dibina pada 1858 di atas Bukit Betong. Kubu terbabit sangat unik kerana ia diperbuat daripada kayu berlian dan struktur atapnya menggunakan daun nipah. Sekarang usianya sudah mencapai 165 tahun.



Ketika dibina pada pemerintahan Brooke, kubu ini digunakan sebagai pusat pertahanan bagi menangani serangan pahlawan Iban iaitu Panglima Rentap bersama ahli kumpulannya.



Kubu Betong kemudiannya ditukar nama kepada Kubu Lily mengambil nama Ranee of Sarawak Margaret Alice Lili de Windt iaitu isteri Rajah Charles Brooks yang menjadi Raja Sarawak yang ke 2.


Semua kubu dinamakan dengan nama isterinya. Membuatkan aku tertanya-tanya kemudian mencari , sebab aku nak sangat tengok wajah nya. 


Margaret bersama teman pendamping dari kalangan wanita Melayu. Cuba tengok pakaian wanita Melayu tu. Cantik. Lengkap sepersalinan seperti mereka ini golongan bangsawan. Whoaaa 😲 
Aku mendapat rujukan gambar ini dari blog Dayak Daily Jadi kalau nak mengetahui lebih lanjut tentang Ranee of Sarawak boleh la membaca di link tersebut.

Saratok✔️

Dalam perjalanan nak ke Sarekei melalui lebuhraya Pan Borneo, di tepi jalan simpang nak ke pekan Saratok, aku nampak macam hentian RNR, banyak kereta dan nampak macam ada gerai makan. Aku dah terlepas, tapi membuat pusingan semula sebab aku nak rakam nama Saratok tu je. Kat sini ada gerai jualan produk pertanian dan gerai makan, surau kecil pun ada. 

Bila dah balik rumah, waktu nak tulis blog sambil mencari maklumat tambahan, baru lah aku tahu bahawa jika aku masuk ke pekan Saratok cuma 6km sahaja aku dah boleh rakam mercu tanda Saratok iaitu udang, ikan keli dan buah sawit. Selain itu ada lagi satu tinggalan sejarah Kubu Ranee yang telah dibina pada tahun 1888 ( 135 tahun ) di pekan Saratok.



Taman Sebangkoi adalah taman rekriasi di tepi lebuhraya Pan Borneo. Jika penat memandu, boleh lah berhenti rehat di sana. Aku nak ke sana tak boleh sebab kena cari susur pusingan yang entah berapa km jauhnya. 



Pusat persinggahan Sebangkoi. 

Barangkali macam nak buat hentian rawat dan rehat. Tapi nampak sepi je, pintu pagar pun bertutup.



Sarekei✔️

Selamat datang ke bandar pengeluaran nenas tersedap di Sarawak.



Menara jam Sarikei



Replika nenas yang berketinggian 3.6m yang menjadi lambang kemegahan penduduk Sarikei. Nenas antara sumber terbesar pendapatan penduduk di sini selain lada hitam.



Masuk je bandar Sarekei, aku dah nampak gereja-gereja yang besar di sana sini. Salah satu gereja yang menarik perhatian mata aku adalah gereja yang diperbuat daripada kayu.


St. Antony Jubilee Mall


Hotel Oyo Payang Puri Baru: rm53.78✔️

Hotel lama yang masih beroperasi. Sebab apa aku kata lama ? 





Sebab ruang dalaman dia memang rekabentuk hotel zaman 80-90an. Bilik yang sangat luas.



Paling unik alat penghawa dingin dia. Macam jangka suhu pula.


Hari ke- 6 (20/8/23- Ahad)265km


Jambatan besi yang merentasi Batang Mukah.




Masa ni memang terpaksa masuk ke pekan Selangau sebab minyak motor dah di bawah paras takuk merah. Seram jugak kalau tiba-tiba terhenti di tengah jalan. Cuaca ketika itu amat-amat panas.

  



Selain mengisi minyak motor, perut juga perlu diisi. Bagus juga google map ni. Dapat jejak kedai makanan halal di mana-mana. Ini ja satu-satunya kedai makan halal di Selangau.



Selangau waterfront ✔️




Kerana cuaca terlampau panas, aku berhenti berteduh dan rehat sebentar di Shell pekan Tatau.


Lebuh raya Pan Borneo (Sarawak)

Route nombor 150AH adalah satu rangkaian laluan persekutuan yang menghubungkan Sarawak, Brunei dan Sabah.
Rangkaian di Sarawak bermula dari Okm Telok Melano  dan berakhir di Jalan Pujut 7 Link, Miri.
Buat masa sekarang tiada hentian rawat dan rehat yang rasmi dibina sepanjang laluan ini, tapi ada pekan pekan kecil yang boleh disinggahi untuk kita mendapatkan minyak petrol,  berhenti makan, ke tandas, menunaikan solat dan berehat sebentar

Kalau perasan, di sepanjang laluan lebuh raya ni bermula dari Serian hingga ke Bintulu kita akan dapat melihat pemandangan rumah-rumah panjang di tepi lebuh raya.



Berbagai bentuk dan warna. Ada juga yang masih mengekalkan binaan daripada kayu. Tapi kebanyakkannya sudah di moden kan.





Bintulu, aku datang ni.


4rty Inn : rm74.40✔️


Masuk ja Bintulu aku terus menuju ke tempat penginapan. Cuaca panas wooo nak cari ekon, nak cari ekon.




 Selak langsir nampak laut.




PANTAI TANJUNG BATU✔️

Setelah berehat secukupnya, pada sebelah petang aku pun keluar bersiar-siar hingga ke Pantai Tanjung Batu. Punya la ramai orang sampai sesak di kawasan parkir. Aku pun jadi hairan, ada karnival dan pesta ke kat sini.

Aku terlupa, yang hari tu hari Ahad. Setiap petang dan hujung minggu memang lah penuh kawasan rekriasi ni. 




Ada gerai makanan di pasar malam pantai , kedai gunting rambut bergerak pun ada. Di sini juga tempat mereka bermain layang-layang sambil melihat matahari terbenam. 




Banyak kemudahan yang telah dinaik taraf oleh Lembaga Kemajuan Bintulu untuk menjadikan Bintulu sebagai Bandar Raya Perindustrian Mesra tahun 2025.


Taman Lasar Kenyalang✔️



Taman ni dulu asalnya lapangan terbang lama Bintulu. Sekarang dah dijadikan tempat untuk beriadah, tapak untuk segala jenis pesta, ada juga kiosk jualan makanan.


Hari ke-7 (21/8/23- Isnin) 264km

Monument council of state✔️

Monumen apa ni ?



Bintulu adalah rumah kepada mesyuarat dewan undangan pertama Sarawak. Ia telah diadakan pada tahun 1867. Selain Charles Brooke, Rajah putih kedua Sarawak di kerusi, terdapat 5 orang Pegawai British dan 16 Ahli (Ketua) Melayu dan Melanau untuk menandakan era baru dalam pengendalian urusan negara. 



Batu memperingati seratus tahun pertemuan bersejarah ni telah didirikan di tapak ini pada tahun 1967, kemudian telah ditambah baik dengan memasukkan menara jam dan air pancut pada tahun 1987.



Waterfront Balingian✔️




Di Baligian baru ada stesen minyak.



Deretan bangunan kayu lama yang masih ada di tepi sungai Balingian.

Jambatan Batang Mukah ✔️


Tapak pesta kaul Mukah✔️

Di sini tempat berlangsungnya pesta tradisi suku kaum Melanau yang disambut secara tahunan yang menghimpunkan pelbagai acara dan adat resam. Ia terletak di tepi laut. Kawasannya bersih dan ada disediakan wakaf-wakaf untuk berteduh.



Menurut kepercayaan masyarakat Melanau, Kaul Petanak ini merupakan antara upacara keramaian di Mukah yang diadakan setiap tahun bertujuan memastikan keberkatan dari “Ipok” iaitu makhluk alam yang menjaga bumi dengan sesi menjamu selera makanan di pantai.
Boleh baca di sini 👉Apa itu Kaul untuk info selanjutnya.


Serombong Kilang Rumbia✔️

Tinggalan serombong kilang rumbia ini adalah mercu tanda bandar Mukah. Dengan ketinggian 20 meter ianya masih kukuh dan merupakan tinggalan sebuah kilang sagu pada anad ke-19 untuk perusahaan sagu dan kanji.


Pada anad ke 20, harga sagu jatuh teruk dan banyak kilang sagu tidak dapat meneruskan operasi. Dinasti Brooke telah mengabaikan tanaman rumbia dan telah memperkenalkan tanaman dagangan yang baharu.



Replika udang dan ikan merah menghiasi pekan lama Mukah.




Pekan Oya✔️

Oya adalah sebuah pekan kecil yang terletak 26km dari bandar Mukah.



Majoriti penduduk di sini terdiri dari orang Melanau beragama Islam. Jadi tidak sukar untuk mencari makanan halal.



Keadaan di sini bersih dan kemas aja.




Pekan kecil pun dihias cantik.




Tolok hujan.


Muzium Warisan Melanau. 


Ikan yu di atas tukun sebagai mercu tanda pekan Oya. Memandangkan penduduk Oya terdiri daripada nelayan yang hampir setiap hari memperolehi ikan yu ketika menangkap ikan maka sebab itulah ikan yu dipilih untuk dijadikan mercu tanda.


Arca tukun separa bola pula menandakan di sepanjang perairan Oya telah ditanam tukun-tukun seperti itu.

Feri Igan- Matu ✔️

Ini adalah feri yang kedua, setelah feri di Rambungan.




Di atas feri ini lah motorsikal aku tergolek sebab aku tak nampak tayar terpijak sebiji buah kelapa sawit yang berada di laluan.



Mujur motorsikal tak ada kecederaan. Aku cedera tak pe, asal jangan motorsikal sewa.


Style Inn : rm60✔️

Di ceruk-ceruk tempat pun masih ada hotel. Sarawak memang pantas membangun. Cuma mereka buat relak ja, tak de nak kecoh-kecoh. Bila kau datang baru kau tahu betapa up to date nya mereka di sini.



Penginapan di sini aku cari di google map. Ada nombor talipon aku terus call. Walaupun tempat ni macam jauh dari bandar, tapi hotel sentiasa penuh. Risau pulak aku kalau sampai malam tak ada penginapan.


Daftar masuk kat kedai hardware 😁. Maknanya tokey ni memiliki hotel, kedai makan dan kedai hardware. Di bahagian belakang tu bengkel kereta. Aku rasa, itu pun dia punya.



Lengkap semua ada. Pada aku, jika ada tandas, pemanas air macam ni pun dah cukup bersyukur.



Tengok tu, berapa banyak channel yang disediakan. Siap password wifi dia bagi.


Pekan Daro✔️



Daro ialah sebuah daerah dan pekan di Bahagian Mukah. Majoriti penduduk Daro terdiri daripada kaum Melanau.


Mengikut ceritanya nama Daro berasal dari "Dao Aro" yang bermaksud "Bagus Ke" menjadi singkatan Daro. Kini pekan Daro pesat membangun dengan terbinanya pasar-pasar baru dan beberapa buah hotel.


Ikan terubuk pula menjadi mercu tanda pekan Daro.



Dulu-dulu sebelum ada jambatan , bot feri penumpang ni la agaknya menjadi medium penghubung antara satu tempat ke tempat yang lain. Rasanya masih digunakan lagi tu.



Keadaan di pekan Daro ni macam satu kawasan ceruk kampung yang mempunyai semua kemudahan awam. Kat situ lengkap dengan hospital, masjid, sekolah, Majlis Daerah, pejabat -pejabat kerajaan, pejabat pendidikan, mahkamah, balai polis, bomba, hotel , bank , stesen minyak, cafe dan medan selera. Bangunan pun paling tinggi setakat 3-4 tingkat ja. Naik motor pun tak payah pakai helmet. Rasa macam penduduk hidup sejahtera sekitar situ saja tak payah keluar ke mana-mana. Internet? Tip top penuh bar.



Makan mee kolok di medan selera. Sedap sup dia.


Petang-petang meriah kat medan selera ni dengan anak-anak remaja. 


Hari ke-8( 22/8/23- Selasa)270km

Feri Muara Lassa - Feri Pulau Bruit✔️


Pagi-pagi lagi aku dah keluar dari hotel sebab nak mengejarkan feri. 




Ini adalah feri ke -tiga.



Feri ke Pulau Bruit ni lain sikit sebab pelantarnya dari kayu. Seronoknya dapat naik feri, sebab akan datang perkhidmatan feri di Sarawak akan ditamatkan kerana jambatan pun sudah dalam proses pembinaan.


Sementara masih ada, dapatlah aku merasa dan rakamkan gambar banyak-banyak. Akan datang ianya menjadi sejarah.



Pulau Bruit✔️

Pulau Bruit adalah pulau kedua terbesar di Malaysia selepas Pulau Banggi, Sabah. Beginilah pemandangan di Pulau Bruit. Tanahnya landai, jalan rayanya lurus sahaja sejauh 24km menuju ke jeti feri Batang Paloh. Pekerjaan penduduk di sini kebanyakkannya sebagai nelayan dan petani sebab nampak ladang pokok kelapa. Mereka kat sini pergi kebun naik ATV saja. 



Feri Batang Paloh✔️

Selama ini feri lah yang menjadi penghubung antara pulau dan tanah besar.



Sedikit masa lagi, apabila jambatan sudah siap, maka tiada lagi perkhidmatan feri di Sarawak. Sekarang kerajaan negeri sedang rancak membina jambatan di setiap sungai yang menggunakan feri. Projek jambatan tersebut dilaksanakan serentak.


Feri ke-empat.



Yang menariknya, di atas feri ada kedai runcit menjual makanan ringan dan air.




Lukisan mural di tiang penghadang stesen minyak Shell.



Feri  Paradom- Feri Tanjung Kunyit
✔️
Hanya feri ni sahaja yang kenakan tambang sebanyak 50 sen untuk motorsikal. Feri yang lain tambang cuma dikenakan pada lori dan kereta sahaja.





Feri ke-5





Ingatkan rumah setinggan ke apa, rupanya jirat Cina.


Feri Kaba Saratok ( Feri Sungai Krian)✔️
Feri ke-6






Kedai runcit di atas feri.







Feri Saribas - Feri Pusa ✔️

Feri ke 7




Nun di sana tiang-tiang jambatan sedang dibina.



Selamat datang ke Maludam.

Hotel Maludam rm88✔️







Hari ke- 9 ( 23/8/23) Rabu 146km

Feri Batang Lupar - Feri Triso✔️

Keluar saja dari hotel Maludam, hujan masih turun tanpa henti. Aku teruskan juga perjalanan, biar cepat sampai, mungkin di hadapan hujan sudah berhenti. Dari hotel ke jeti feri Triso cuma 16 km sahaja.

Ini adalah feri ke-8.



Itu hanya sangkaan aku. Hujan semakin turun dengan lebatnya. Aku terpaksa bawa motorsikal dengan perlahan dan lebih berwaspada ketika mengelak takungan air di atas jalan raya. Bimbang air masuk dalam enjin nanti terus mati tengah jalan. Aku juga yang susah.
Mujur sempat naik feri sebelum ia bergerak, dapat lah berteduh dari kebasahan yang terlampau.


Senarai feri yang telah aku naiki. Ini adalah laluan tepi laut dari Mukah ke Kuching.

Feri Rambongan

Feri Igan-Matu

Feri Muara Lassa-Pulau Bruit

Feri Batang Paloh 

Feri Paradom- Feri Tanjung Kunyit

Feri Kaba Saratok ( Feri Sg. Krian)

Feri Saribas -Pusa

Feri Triso


Hujan terus turun tanpa henti membuatkan aku terpaksa berhenti berteduh di Petron Asajaya. Pakai baju hujan pun tak membantu. Habis lencun sampai aku tak boleh teruskan pemanduan sebab terlampau menggigil kesejukan.


Place To Stay Riverside✔️RM69

Terlupa nak ambil gambar hotel ni. Sama juga terlupa nak bawak beg duit pergi ke dobi. Nak basuh baju duit takde. Kemudian, rasa tenang ja bawa motor tanpa lesen. Bila tersedar, baru kelam kabut kecut perut takut kena tahan dengan polis.




Hari ke- 10 (24/8/23- Khamis) 61km

Kampung Sapit✔️

Sebenarnya Kampung Sapit tak ada dalam jadual. Malam sebelum tu badan dah rasa tak sedap, macam nak demam. Bila tengok cuaca pagi tu cerah dan cantik, gagah jugak lah keluar. Nanti menyesal pula kalau tak pergi. Terletak sejauh 62 km dari bandar Kuching dan kampung ni adalah kampung paling hujung bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.



Perjalanan ke kampung Sapit memang agak mencabar sebab laluan nya kena mendaki bukit yang sangat tinggi. Walau bagaimana pun jalan rayanya memang cantik. Jadi tidak lah bimbang sangat untuk membawa motorsikal skuter. Boleh ja lepas.





Sampai di tempat letak kereta di Kampung Sapit. Rumah-rumah semua dibina di lereng bukit. Ada rumah batu dan cantik-cantik. 


Batu sempadan ni terletak dalam 300 meter dari tempat parkir. Kena berjalan melalui tepi-tepi rumah warga dan kebun mereka. Akhir sekali akan jumpa dewan orang ramai dan padang bola. Belakang gawang gol ada satu jalan kecil. Di situ lah batu sempadan Malaysia/Indonesia.



Di belakang tu adalah jalan keluar masuk penduduk ke negara jiran. Jiran sebelah pun dengan mudahnya masuk dengan motorsikal.


Padang bola Kampung Sapit, Padawan Sarawak.


Dewan orang ramai Kampung Sapit, betul-betul di  sempadan.




Keluar dari Kampung Sapit aku berhenti di kedai cuci kereta untuk membersihkan motorsikal aku yang sudah teruk rupa parasnya. Harga cucian biasa untuk sebuah motorsikal rm10.





TAMAN SAHABAT MALAYSIA-CHINA

Taman yang bersih dan cantik ni dikenali juga dengan nama Taman Sahabat. Ada kolam ikan di tengah-tengahnya dan ikan yg boleh kita beri makan. Terletak dalam kawasan taman perumahan. Ia dibina atas dasar meraikan ulangtahun ke 30 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.




Tugu Laksamana Cheng Ho di atas kapal menjadi pilihan untuk diletakkan di tengah taman.




Ini adalah mural yang diperbuat dari batu yang diukir menggambarkan ikon terkenal setiap negeri di Malaysia.



Kucing dan panda simbol di Taman Sahabat.



Rent & ride (Pulang motor)✔️

Setelah cukup 10 hari menyewa, tiba masa untuk pulangkan semula motorsikal. Motor aku dah siap cuci bersih dan  tangki minyak aku dah isi penuh. Aku pulangkan dalam keadaan yang sama macam aku ambil dulu. 

Aku bagitau yang aku dah cicirkan pemegang talipon (phone holder) dan tanya berapa dia ambil kos untuk ganti rugi. Tokey tu cakap, tak apa lah. Tak perlu ganti sebab benda tu pun memang dah longgar. 😬 Alhamdulillah. Kalau tak duit deposit aku kena potong.

Selesai dia memeriksa keadaan motorsikal tersebut dia terus minta nombor akaun bank aku untuk pulangkan semula duit deposit rm300. 

Servis dari kompeni ni sangat memuaskan. Layanan pun baik sangat. Motorsikal yang ditawarkan pun semua yang baharu. Tiada masalah ketika dalam perjalanan yang jauh. 



Bacaan mula perjalanan 3,182km

Bacaan tamat : 4,925km

Total : 1,743km



One stop hotel : rm69✔️

Aku pilih menginap di hotel ini sebab dekat dengan lapangan terbang dan Sentral Terminal Kuching.



Aku tanya, kenapa harga berbeza padahal bilik sama. Jawapannya adalah; harga berbeza mengikut tingkat. Lagi tinggi lagi murah. Ok faham sudah. Lepas ni aku pilih yang tingkat paling atas. Nak murah punya pasal. Kah !





Hari ke 11 masuk 
Pontianak, Kalimantan

Hari ke 12 - di Kota Pontianak

Hari ke 13 - Keluar dari Kota Pontianak dan kembali semula ke Kuching.


Hari ke- 14

Bandar Kuching

Tahun 1827- menjadi pusat pemerintahan ke 3 Sarawak di bawah Empayar Brunei.

1841- Diserahkan pada James Brooks kerana membantu kerajaan Brunei menamatkan pemberontakan.

1942-1945 perang dunia ke -2, tentera Jepun menguasai.

1946 -perang tamat, Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak menjadi sebahagian daripada Mahkota British.

1963- pembentukan Malaysia.

1988- mendapat status bandar. 


Kalau lah tanah Kuching ni macam orang, memang kental  betul sejarah kehidupan dia. Macam benda saja diberi ke sana sini. Begitulah siksanya rakyat pribumi ketika itu yang berjuang habis habisan, pada akhirnya dianggap pemberontak. 


Ah sama saja macam sejarah di Semenanjung. Titik.


Patung Kucing✔️

Aku perasan, patung kucing bukan sahaja ada di sini malah ada di beberapa lokasi. Ada yang di tepi jalan bawah pokok. Cumanya aku tak sempat nak ambik gambar sebab sekilas pandang masa kat lampu trafik. Kenapa kucing menjadi lambang bandar Kuching ?



Ada pendapat yang menyatakan bahawa Kuching mendapat nama sempena sebatang sungai kecil, Sungai Kuching yang mengalir di antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong. Sungai Kuching pula barangkali memperoleh nama daripada Kucing Hutan yang kerap mengunjunginya. 



Di sinilah terletaknya sungai tersebut. Kini sudah dihiasi dengan air pancut yang ada arca burung enggang.


Sungai tersebut juga berhampiran dengan sebuah bukit yang banyak ditumbuhi oleh pokok Buah Mata Kucing. Lantaran tersebut ianya diberi nama Bukit Mata Kucing. 


Terdapat teori yang menyatakan Brooke mengambil nama Kuching dari perkataan 'Cochin' yang bermaksud pelabuhan pada zaman itu. Sebelum meneruskan pelayaran, pedagang-pedagang dari India mahupun China sering singgah sebentar Kuching (Borneo) untuk mendapatkan bekalan dan ada yang mengambil kesempatan untuk memperbaiki kapal-kapal mereka.



Jambatan Darul Hana ✔️

Jika melihat dengan mata kasar saja kita dah boleh nampak yang jambatan ni berbentuk huruf S- awalan huruf Sarawak. Jambatan ini menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan. Jika korang tahu, bandar Kuching dibahagi menjadi dua wilayah pemerintahan yang dikawal selia oleh dua pemerintah bandar yang berbeza. 



Di puncak dua batang tiang yang menampung jambatan ni ada diletakkan simbol Burung Kenyalang, burung kebanggaan negeri Sarawak.




Kubu Margherita✖️

Tak pergi pun. Tengok dari Kuching waterfront sahaja.


Satok suspention bridge✖️

Nampak dari jauh sahaja.



Water cascade✖️

Aku baru sedar yang aku tak pergi pun kat bahagian Kuching Utara. Banyak berpusing-pusing di bahagian selatan sahaja.


Nurul Hana Musical Fountain✔️

Air pancut berirama Nurul Hana ni diurus selia oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara.



Persembahan air pancut berirama akan dimainkan pada setiap hari selama 15 minit. Ahad hingga Khamis dari jam 8:30 malam - 8:45 malam dan 9:30 malam - 9:45 malam. 
Manakala hari Jumaat hingga Sabtu ada 3 sesi persembahan ; 8:30 / 9:30 / 10:30.




Square tower✔️

Bangunan empat segi ini dahulunya adalah Rumah Pasung kerana pernah menjadi tempat tahanan sementara bagi menempatkan pesalah sebelum dikurung di Kubu Margerita. Sekarang dah jadi tempat informasi Pelancongan.



Plat Sejarah Sarawak

Di sepanjang laluan pejalan kaki di Kuching waterfront ada dibina beberapa siri plat tembaga ‘History Walk’ menceritakan tentang kisah sejarah negeri Sarawak. Kalau nak memahami tentang negeri Sarawak, cari lah dari awal plat nombor 1.






2 ekor buaya tembaga menghiasi  waterfront Kuching di tepi Sungai Sarawak. 


Dapat bertemu dengan rakan fb di Kuching waterfront di mana beliau adalah seorang ‘tour guide’. Banyak juga lah cerita-cerita sejarah tentang Sarawak dikongsi bersama.


Setakat itu sahaja cerita pengembaran aku di bumi Sarawak. Banyak lagi tempat yang aku tak pergi dan ada yang terlepas pandang. Insya allah, rasa macam nak datang lagi. Tapi entah bila.


Hari ke-15

Ayoh lah kita pulang.

Hari terakhir, sekali lagi aku menginap di One Stop Hotel. Kali ni dapat harga rm49 sebab tingkat paling atas. 

Jam 9 pagi dah tempah grab yang berharga rm5 untuk 5 km ke lapangan terbang. 



Aha.. bunga kebangsaan menyambut ku pulang.     Malaysia ku ter- chentaaaaa.


Catatan ringkas aku selama 12 hari di Sarawak :

Pandangan aku untuk 12 hari ni, rasanya best sangat. Negeri yang dari hujung ke hujung sangat menitikkan soal kebersihan. Setiap daerah, mukim dan kampung semua ada disediakan tong sampah. Tong sampahnya pun sentiasa kosong.

Jalan raya kebanyakkannya halus mulus. Hatta masuk ke dalam kampung -kampung pun jalan berturap halus.

Para pekerja buruh pun semua dari anak tempatan.

Majlis Daerah di semua daerah macam berlumba-lumba untuk mencantikkan daerah mereka.


Trafik walaupun sesak, tapi semua relak ja. Jalan kosong pun grab boleh bawak santai-santai. Dalam hati aku boleh cakap “ala tekan je la minyak tu kasi laju sikit🤭”.

Takde langsung bunyi honk. Kalau ada bunyi honk itu bermakna pemandu dari negeri lain.

Orang-orang Sarawak sangat ramah. Tak buka mulut nampak sombong dan garang. Bila dah buka mulut, cerita sambung menyambung senyum aja.


Termasuklah pelayanan sewa motor dan tempahan hotel. Hotel ada yang terpaksa dibatalkan kerana penuh, seboleh-bolehnya mereka nak bercakap dengan kita dan uruskan pulangan duit  kita serta merta. Lembut dan berkali-kali minta maaf.

Makan, aku ni cerewet bab makan. Siap bawak pek Brahim’s takut jadi mcm kat Sabah dulu. Asyik makan Mcd ja. Tapi alhamdulillah masakan orang Sarawak aku boleh terima dan sedap. Masuk kampung-kampung pun sedap masakannya. Aku cuma makan KFC 2 x itu pun sebab nak rasa burger satay. Kali kedua sebab kat Terminal Sentral Kuching cuma ada bakso dan ayam penyet. Tak mau lah.

Orang Sarawak suka bersukan dan beriadah. Setiap daerah, mukim dan kampung akan ada padang dan gelanggang tempat untuk mereka beriadah.

Aku simpulkan, kerajaan Negeri Sarawak sangat bijak mentadbir negerinya, lebihkan keperluan rakyat seperti jalanraya yang bagus dan kemudahan awam. 

Yang lebih penting adalah jaringan internet yang kuat. Sepanjang aku mengembara, masuk ke ceruk -ceruk kampung yang berada di tengah gunung ganang, data internet ada ja. Penuh. Aku guna U-Mobile dan Digi.

Kalau tak ada bendera Malaysia dipasang berganding dengan bendera Sarawak, aku boleh kata Sarawak ni sebuah negara. Ini hanya pandangan aku yang cetek sahaja.


-S E L E S A I-