Hari pertama, semua peserta berkumpul di kedai makan sebelah Petronas Telok Panglima Garang batu 9 Kebun Baru. Peserta paling jauh yang menyahut jemputan aku ialah dari Ipoh, Kuala Lumpur dan Puchong. Selainnya adalah kawan-kawan pesikal tegar sejati yang tinggal di Klang, Kapar dan Shah Alam yang sama-sama memberi sokongan moral walaupun ada yang tidak berbasikal tetapi tetap menghadirkan diri.
Hari itu, langit kelihatan redup dan mendung. Hujan gerimis mulai turun. Aku memulakan kayuhan dengan perlahan diikuti rakan-rakan yang lain. Aku mengambil jalan pintas di pekan Telok Panglima Garang - Telok Mengkuang yang kurang kenderaan, walaupun jauh sedikit, tapi tak mengapa kerana di situ ada satu pemandangan yang menarik dan comel. Kolam itek dan angsa. Siapa yang lalu di Jalan Perepat akan dapat lihat pemandangan itu.
Aku dah sediakan pelbagai laluan dan cabaran untuk kawan-kawan. Cabaran pertama untuk dihadapi oleh peserta adalah mendaki jambatan Kampung Sawah. Jambatan yang merentangi Sungai Langat, boleh tahan gak dia punya tinggi dan ia menjadi laluan singkat ke Klang atau Banting untuk penduduk di sekitarnya. Dari atas jambatan kita boleh nampak Bukit Jugra tersergam gagah. Ladang kelapa sawit terbentang luas, dan Sungai Langat mengalir tenang. Sekali sekali kita dapat lihat kapal tunda menarik pelantar besi di sungai. Mujur cuaca redup nak hujan, kalau tak memang masak berpinar-pinar mata kalau lalu kat sini. - Sessi bergambar.
Dalam trip kali ini, aku dibantu oleh kawan-kawan 'leader' dan 'sweeper' yang tersohor. Kerjasama mereka sangat 'well done'. Segala urusan perjalanan selama tempoh 2 hari 1 malam dalam keadaan yang baik. Lokasi kedua adalah Istana Sultan Alaedin di Kampung Bandar. Masuk adalah percuma, pelawat hanya perlu menulis nama di buku pelawat di post pengawal. Pelawat juga dibenarkan masuk ke dalam istana. Jadi kita bebas untuk melihat sendiri rekabentuk dalaman istana ni. Ini lah satu-satunya istana yang tak perlu ada protokol dan tak ada pengawal. Memetik sedikit kata-kata dari pemerhatian pribadi rakan turing yang melawat istana ini :
Rizq Fadzlin Mohd Ramli : 1914-2014 genap usia istana ini 100 tahun, saudara. Kita bagai meraikan ulangtahun seabad nya~
Bahrumsah Abrani : Naik motor..naik kereta tk pernah sampai area ni..dgn basikal kita jejak warisan disini...
Jika mahu mengetahui lebih lanjut boleh klik di sini sejarah serta kisahnya. Untuk pengetahuan semua, gambar-gambar yang aku sisipkan di sini semuanya aku ambil dari sudut pandangan rakan-rakan turing yang mengikuti penjelajahan tempohari. Dari paparan gambar-gambar ini tidaklah aku dikatakan syok sendiri. Biar mereka yang telah melihat /mengalami yang berbicara, aku hanya menunjukkan jalan.
Memandangkan kedudukan setiap tempat berdekatan, maka perjalanan kayuhan menjadi lebih mudah dan tidak membuang begitu banyak masa. Seterusnya aku menuju ke Masjid Alaedin atau Masjid Bandar. Dari jauh dah nampak keunikannya. Masing-masing bergegas mencari 'angle' yang menarik untuk merakamkan gambar masjid ni. Kalau penampilan luarannya saja sudah begini, apa lagi hiasan dalamannya. Berada di dalam masjid ini aku rasa tenang sekali. Terpesona melihat ruang solat dan mimbarnya. Aku ni tak pandai nak menyusun ayat untuk menerangkan apa yang aku lihat, jadi silalah baca di blog ini kerana apa yang diceritakan sama seperti yang aku lihat.
Kebiasaan lokasi setiap pemerintahan mesti berdekatan dengan sungai atau laut. Aku maklumkan kepada Wak Jan untuk mencari sungai atau jeti di sekitarnya. 500 meter dari masjid ini ada jalan kecil yang terletak betul-betul di tepi sungai. Cantik juga pemandangan di sini, boleh nampak bot tunda dan tempat ni jadi lokasi untuk memancing. Jadi sila bayangkan suasana 100 tahun dahulu.
Menyelusuri laluan tepi sungai akan membawa ke Makam Di Raja Kampung Bandar. Di sinilah tempat persemadian kaum kerabat sultan Selangor dari dulu hingga kini. Kelihatan kawasan makam ini dijaga rapi. Pintu pagarnya juga tidak berkunci dan ia memboleh kan sesiapa saja boleh datang menziarah.
Di dalam kawasan makam ini juga terdapat tinggalan tapak masjid lama. Pada dahulunya, sebelum terbina Masjid Alaeddin atau Masjid Bandar, telah dibina sebuah masjid untuk digunakan oleh penduduk awal Kampung Bandar ini. Masjid lama ini diberi nama Masjid Raja Muda.
Masjid Raja Muda ini dibangunkan lebih kurang pada tahun 1875 di tapak tanah perkuburan Makam Diraja Kampung Bandar ini. Pada tahun 1920, masjid ini telah rosak teruk dan tidak boleh digunakan untuk solat berjemaah. Sesuatu yang menarik dan perlu untuk difikirkan adalah, bagaimana batu granit yang menjadi bahan asas pembinaan masjid ini dipotong dengan saiz keseluruhannya hampir sama. Cuba fikirkan, zaman dulu mana ada mesin pemotong batu. Adakah mereka menggunakan tukul dan pahat ?
Untuk peringkat ke tiga, cabaran paling agung yang perlu ditempuh adalah pendakian ke Bukit Jugra. Ini adalah klimak yang dinanti-nanti. Sebelum ni laluan adalah landai, jadi semua macam mengantuk dan lenggang kangkung ja. Aku pulak asyik memikirkan boleh ke tidak aku naik ni ? Kadang-kadang kita bukan nak bertarung kehebatan atau kekuatan dengan orang lain, tetapi hanya nak tahu kemampuan diri sendiri. Setidak-tidaknya mesti nak capai tahap ~ mampu buat dan boleh buat. Dari situ boleh tahu tahap kesihatan diri.
Maka kayuhlah aku mengikut sistem yang biasa aku buat. S1G1 (speed 1, gear 1). Kalau nak ikut mode malas aku, tunggu kat kaki bukit ja. Kawan ngan beruk dan kera. Tapi apa barang gogo lepak bawah. Layan satu kali terus puncak la. Haih ! Basikal aku cuma 7 speed ya. Jadi siapa yang punya basikal 10- 15 speed, jangan kata tak boleh naik. Henjut je lah ! Kecuali ada masalah kesihatan, yang tu elok tolak basikal ja.
Aku 'target' nak buat 1 kali henti, tapi sebab kesilapan aku tidak mengikat kaki seluar dengan kemas, maka berkali-kali lah aku terpaksa berhenti. Habis seluar aku jadi roti kirai. Lece ! Alhamdulillah, kesemua rakan-rakan kayuhan selamat tiba di kawasan rehat Bukit Jugra. Tak kira bagaimana cara sampai ke puncak, asal selamat ya udah !
Cadangan asal untuk terus ke puncak Bukit Jugra yakni di pintu masuk tinggalan kem tentera. Tapi bila nafas masing-masing tinggal nyawa-nyawa ikan, maka sampai di tempat paragliding je la.
Kebiasaannya pada hujung minggu kita akan dapat melihat aktiviti paragliding diadakan. Hari tu memang ada satu kumpulan sedang menunggu ketibaan tiupan angin untuk memboleh kan mereka terbang. Hasilnya pemandangan yang kita dapat lihat seperti gambar ni.
Lama juga duduk berehat kat situ. Leka tengok orang berparagliding. Bila perut masing-masing dah lapar, baru la mulakan kayuhan semula. Hentian akhir ialah di Pantai Kelanang dan akan bermalam di situ.
Walaupun aku dah bertahun-tahun menetap dia daerah ni, tapi tak pernah sekali pun tidur kat sini. Pasal tu lah kali ni aku nak cuba. Gerak hati aku bilang semuanya baik- baik aja. Selepas mengisi perut di restoren yang berdekatan, aku pun mencari kawasan yang strategik untuk mendirikan khemah diikuti rakan-rakan yang lain.
Tempat ni memang sesuai sekali dan best untuk berkhemah. Keperluan asas semuanya ada disediakan. Dari segi keselamatan semua terjamin. Tandas dan surau pun ada, cuma kalau ada yang rosak sikit-sikit tu adalah disebabkan tangan-tangan pengunjung juga. Tandas akan dikunci pada jam 11 malam, cuma ada tandas OKU saja yang dibuka. Itu pun sebab kuncinya dah rosak. Pintu pulak kena lah sendal dengan batu. Suraunya pulak tak berkunci, bersih telekongnya cuma tenaga elektriknya tidak diaktifkan. Gelap.
Bila semua khemah dah siap, baru lah bancuh kopi, teh dan bakar jagung. Aktiviti sembang menyembang pun bermula. Dari satu topik ke satu topik, sampai la masuk ke topik hantu. Eh ! dia cerita hantu daa. Dah la time maghrib, tepi laut, khemah pulak tu jauh jaraknya dari satu sama lain. Haish ! Lastly aku potong cerita hantu dengan lelongan meh meh makan jagong bako meh ! hihihi.
Malam tu, lepas makan malam di restoren berhampiran, geng-geng yang masih tinggal ni sambung semula bentang tikar dan minum kopi. Sembang lagi dan lagi. Suasana tiba-tiba jadi riuh sedikit dengan bunyi enjin motor. Tak sangka pulak kat Pantai Kelanang ada trek untuk sukan bermotor , tapi untuk anak-anak sekitar usia di bawah 12 tahun. Memang agak bising tetapi setakat 2-3 jam ja. Lepas tu suasana kat situ sunyi senyap. Dapat lah aku tidur lena sehingga jam 5.30 pagi.
Tepat jam 05.30, mata masih pejam. Sayup-sayup aku dengar suara orang datang dari arah pantai. Mungkin nelayan agaknya sebab yang berkhemah di pantai semua geng BikePackers My ja. Aku tarik selimut lagi. Tiba-tiba bunyi tik tik tik tik...eh ! hujan ke ? makin lama makin lebat. Aduh ! terus aku kemas barang-barang masuk dalam beg, pakai tudung dan tudung saji terus keluar cari wakaf. Hujan lebat gile, tak sampai 5 minit lantai khemah dah banjir. Angin pulak kuat,dengan tempiasnya lagi. Tahan je la sejuk.
Aku peratikan ja khemah yang lain. Sorang-sorang keluar cari tempat berlindung. Cuma 2 buah khemah ja masih steady penghuninya tak bergerak. Aik ! elok ja tidur. Owh mungkin khemah dia kalis air agaknya. Nasib badan la. Alang-alang dah bangun, terus bersihkan diri,solat dan jerang air.
Gambar kenangan di Pantai Kelanang sebelum memulakan perjalanan ke lokasi seterusnya.
Ini adalah lokasi yang popular di Pantai Kelanang. Tunggul-tunggul bakau yang telah mati menghiasi panorama tepian pantai. Dengan cuaca yang baik dan langit yang membiru menjadikan pemandangan lanskap begitu menarik. Siapa yang datang ke Pantai Kelanang tapi tidak merakamkan gambar di sini amat lah rugi sekali.
Dari Pantai Kelanang ada laluan pantai terus menuju ke Pantai Morib. Kadang kita boleh nampak orang asli mencari siput pepahat ketika air surut hingga nun ke tengah laut. Jika di lain masa, mungkin kita boleh berhenti dan membeli hasil tangkapan mereka. Sikit-sikit bantu mereka apa salahnya.
Trip kayuhan hujung tahun hampir ke penghujungnya. Sebelum tu tak sah kalau tak berhenti makan dulu di gerai berhadapan dengan Pantai Morib. Macam-macam menu ada kat sini. Tengok memang menyelerakan. jadi aku menyeru kepada kawan-kawan yang lain "Sila datang ke Daerah Kuala Langat untuk menikmati segala pengalaman yang menarik dan pelbagai''
Hentian terakhir sebelum berpisah, aku bawak geng ni berhenti minum kat gerai goreng pisang sebab masing-masing dah kempunan air tebu. Gerai ni memang jadi tempat persinggahan aku bila ulang alik hantar anak pergi ke kolej. Macam-macam hado. Tempe goreng, cucur udang, kopok lekor, kerepek, tolo masin pun hado. Lagi menarik bila semua pekerjanya adalah terdiri dari rusuk kiri. Hahaha. Pastikan korang berhenti rehat di sini ya.
-Terima kasih pada para peserta yang bersungguh-sungguh menghadirkan diri ke kayuhan ini.
-Terima kasih pada Atok dan isteri, sebab bagi pakai dapur gas.
-Terima kasih pada Wak dan Ija sebab bagi pinjam 5 million stars hotel dan menunggu hingga lewat
malam.
- Terima kasih pada King/ Wak Jan sudi jadi sweeper.
- Terima kasih Tok Iski dan isteri belanja jagung.
- Terima kasih Enchek Rizq Fadzlin Mohd Ramli yang sanggup datang dari jauh semata-mata nak
ikut kayuhan ni. Sangat menghargainya.
- Terima kasih juga buat Adi Manap, Wan Faiz dan Bahrumsah Abrani kerana meramaikan jumlah
peserta.
- Mintak izin dari kawan-kawan untuk guna pakai gambar-gambar dari album korang.
- Jangan serik dan jangan jemu. Daerah Kuala Langat masih banyak tempat-tempat yang menarik.
- Silalah menjelajah.
- Minta maaf jika ada banyak kekurangan, minta maaf juga jika ada nama yang tertinggal untuk
disebut.
J U M P A L A G I
---
T.kasih Cik Tun.
ReplyDeletejgan serik ajak sya dn Tas ya..
mana ada serik. Terima kasih sudi join kayuhan ni.
Delete