Aku : cuti Deepavali g mana ?
Ija : Entah. Cadang nak ride Jeli - Gerik.
Aku : Ok jom !
Ija : Tun buat route, nanti tunjuk kat Wak. Cam proposal la konon2 nya.
Aku : Workey.
Aku pun gigih mencari route yang bagus mengikut citarasa sang pengembara. Setelah siap pemetaan berserta jarak dan kos minyak yang akan digunakan sepanjang perjalanan, kertas kerja elektronik aku pun ditunjukkan kepada Wak. Kopi dan tepek ja kat peti surat Fb dia. Wak berpuas hati dan bersetuju. Tarikh dan lokasi janji temu pun ditetapkan.
Menjelang hari kejadian, para pengembara sudah berkumpul di kediaman Wak dan Ija di Taman Perepat. Para pengembara mengunakan 2 buah motor Honda Ex5 dan sebuah Modenas Kriss. Apa yang menarik perhatian aku adalah semangat berkehendak Wan Faiz bila tekad bawa motorsikal Kriss nya. Penampilan motornya memang nampak nazak tapi gagah perkasa. Cuma tak pick up selaju Ex5, tapi..tapi..taapiii langsung tak mendatangkan masalah sepanjang perjalanan. Hebat ! Aku suka semangat dan keberanian beliau. Korang hado ? Ada berani ?? Malu nak bawak motor macam ni. Eyy pey gey daaaa.
Hari Pertama
Sabtu [7hb Nov 2015]
Seperti yang telah dipersetujui, tepat jam 0630 pagi tayar golek. Melalui jalan pintas, terus tembus ke Kampung Bukit Cerakah. Tiba-tiba Wak memberhentikan motornya sambil menunjukkan arah sebuah kedai makan. "Kita berhenti sarapan dulu ya," Wak bersuara. Tengok macam menarik ja nasi lemak kukus tu. Masing-masing menyusun motor depan kedai tersebut. Bila masuk ja terus Ija cuit, Tun ! ni kedai pahlawan yang kita nak pergi tu la. Aku pun tengok para pekerjanya. Eh eh iya lah. Waaa...tak terduga Allah dorongkan haluan destinasi kita ke sini dulu. Syukur alhamdulillah. Memang aku nak sangat ke sini. Dapat pun.
Wak macam biasa lah ~> " Saya punya naluri memang tepat !".. huhuhu.
Ye la wakkk. Padahal dia pun tak tahu. 555
AGAMA USUL BANGSA
BAHASA JIWA BANGSA
BUDAYA RAGA BANGSA
ADAT MARTABAT BANGSA
Inilah dia Restoren Qawwam yang terletak di Seksyen 3 Bandar Baru Puncak Alam di tepi Jalan Meru Tambahan. Kedainya biasa-biasa saja tapi kostum para pekerjanya memang unik sekali. Bertanjak, berkerongsang, berbaju melayu dan bercapal persis zaman Hang Jebat. Segak berkali-kali.
Aku cuma makan roti canai 2 keping dan air teh tarik untuk mengekalkan tenaga sebelum berhenti kali kedua untuk makan tengahari. Kuah dal dia memang sedap. Yummeh ! Lain-lain menu mungkin di lain waktu. Dah kenyang dan setelah puas mengambil gambar hiasan dalaman kedai tu, kami pun menyambung kembali perjalanan menuju ke Rawang.
Motor terus dipecut menghala ke Kuala Kubu Bharu. Ketika melalui jalan berkelok-kelok berselisih dengan sorang rider basikal. Macam kenal, tenung semula, eh Tok Ji la. Kayuh solo ja dia naik Fraser Hill. Apa ada hal, memang gelarannya Tok Penghulu FH. Memang itulah makanannya. Angkat topi larh !
Meningggalkan Tok Ji sendirian semula, kami meneruskan perjalanan melalui Empangan Kuala Kubu Bharu. Berhenti lagi ambik gambar. Cuaca cantik dan cerah. Langit biru dan awan berkepul-kepul sekaligus menimbulkan refleksi membiru ke atas permukaan air empangan. Aku lihat Wak leka bergambar berbagai gaya disamping motornya yang berlatar belakangkan pemandangan bukit bukau yang indah. Aku dan Wan Faiz lari mencari pokok untuk tempat berteduh. Panas oi.
Enjin motor dihidupkan semula, 'throttle' dipulas total dan jentera bergerak laju melalui perbukitan yang tak henti-henti hingga ke batu tanda Fraser Hill. Berhenti lagi ambil gambar buat bukti kapcai ku telah sampai di FH. Ketika berhenti, aku mengambil peluang untuk mengisi semula tangki minyak yang hampir kering. Dengan botol minyak tambahan yang aku bawa, tinggi keyakinan aku untuk pergi lebih jauh lagi.
Dari FH kami mengambil jalan 55 dan 8 hingga masuk ke bandar Raub, Dong, Benta dan Kuala Lipis. Sebelum sampai Padang Tengku, Wak nampak sebuah bukit batu kapur, lantas dia terus mencari jalan masuk dengan meredah kebun dan semak. Aku dan Wan Faiz ? ikut je. Apada hal. Naik motor. Kalau naik basikal, pergilah Wak sorang-sorang. Gagaga.
Gua Bama, yang terletak di Kampung Relong. Dulu masa aku buat kayuhan DOP memang lalu kat sini, nampak jugak papan tanda masuk ke gua ni, tapi sebab naik basikal kan. Sentiasa mencongak jarak km. Naluri kata tak payah lah. Lain kali.
Cuaca makin redup, awan mulai menampakkan tanda-tanda mahu hujan. Di tengah perjalanan, hujan turun dari rintik kepada lebat. Aku nampak Wak memberhentikan motornya. Aku pun berhenti jugak lah. Masing-masing menyarungkan baju hujan. Kemudian teruskan perjalanan semula. Di satu kawasan, kalau tak silap aku selepas simpang keluar kawasan rekriasi Sungai Yu, di hadapan aku tersergam jajaran komplek batu kapur yang sangat cantik. Aku yang sedang memandu ni rasa nak berhenti ja. Tapi nanti tertinggal jauh pulak. Mujurlah Wak berhenti untuk membuka baju hujan sebab hujan dah reda. Phews ! cepat-cepat aku keluarkan hp dan ketik sesegera mungkin. Tak dapat penuh, dapat separuh pun jadilah.
Sekitar jam 0530, aku sampai di simpang masuk Taman Negara Sg. Relau. Berhadapan dengan Stesen Keretapi Merapoh. Wak mana ? Haish, laju ja dia ke depan tanpa memandang belakang. Call dan mesej Ija minta dia berpatah balik. Tetau dia dah sampai pekan Gua Musang. Dari simpang masuk masih ada 7 km lagi sebelum sampai di pintu masuk Taman Negara. Kami berhenti di deretan kedai kayu untuk membeli bahan masakan. Telur, ikan bilis, ikan masin,cili dan bla bla bla. eceyy macam nak masak best ja malam nanti.
Masjid Al-Taqwa |
Seperti biasa bila memasuki sesuatu lokasi taman Negara, pemandangan ladang kelapa sawit sepanjang jalan. Wah dah banyak perubahan berlaku di kampung ni. Dulu ketika tahun 2006 aku datang keadaan masih hijau. Sekarang.., hmm. Dikhabarkan akan dibina 'highway' terus ke Raub.
Kelihatan Chef Wak sedang mempamirkan skill memasaknya kepada Wan Faiz untuk makan malam kami. Apasaja yang Wak masak kami makan. Menunya adalah kari daging Damia, telur dadar dan petai bakar. Perghh menusuk pekat ke tekak bau petai bakar tu.
Model ini sedang mempromosikan produk Damia |
Usai makan malam, hujan masih turun sekejap lebat sekejap rintik. Kedengaran aliran air sungai berbunyi dengan kuat dan deras. Tiba-tiba kami disapa oleh pegawai ranjer yang datang dengan basikal MTB. Bila dah bersembang dengan Wak alamatnya memang panjang la ceritanya sampai hujan berhenti. Dari cerita basikal, beralih ke topik photografi, kemudian berselang seli dengan cerita tugas pegawai renjer hutan. Kami faham akan tugasnya perlu menjaga keselamatan ikan-ikan dalam lindungan perhilitan. Sebab TN Sg. Relau ni orang awam bebas keluar masuk. Kes-kes kecurian ikan kelah banyak berlaku. Kerana itu kami perasan berkali-kali penjaga TN dan pak guard datang menjenguk apa yang kami tengah buat. Alasannya bimbang air akan naik sebab dulu banjir air naik hingga ke kawasan dewan. Kami tumpang tidur saja. Usahlah bimbang Enchek.
Entah jam berapa kami lena. Tidur didodoikan dengan suara fauna yang mendendangkan alunan musik alam yang mengasyikkan. kroh ! krrooh ! krroooh !
---------
Hari Kedua
Ahad [8hb Nov 2015]
Se awal jam 0500 Wan Faiz sudah bangun. Aku, Ija dan Wak masih bermalas-malas didalam 'sleeping bag' masing-masing. Nak tak nak paksa jugak bangun dan menuju ke tandas yang terletak dalam 50 meter dari wakaf. Dalam gelap ternampak bag-bag celoreng bersusun di tiang dewan. Uhf, bila masa geng terap masuk ? Tak dengar bunyi apa pun. Mereka ni pelatih baru pasukan komando, jadi pagi ni mereka ada latihan masuk ke hutan. Tabik lah kat mereka kerana memilih untuk menjadi pasukan tentera. Terima kasih.
Jam 0630 kami meninggalkan TN Sg.Relau dengan badan yang cergas setelah mendapat cukup rehat serta menghirup udara yang bersih dan segar dari hutan. Jentera kami dihalakan ke Stesen Keretapi Merapoh. Dulu di sini lah destinasi tujuan aku untuk pergi mendaki Gunung Tahan. Stesen yang telah banyak memberi khidmat kepada rakyat setempat mahupun rakyat yang jauh seperti aku. Nostalgia.
26 km lagi nak sampai Gua Musang.
"Nanti kita berhenti sarapan dan isi minyak kat GM", kata Wak.
"Orait Wak !"
Fuhh.. ride pagi-pagi memang asyik. Dingin. Terasa titik-titik air mencium wajah. Arhh. Aku saja buka 'visor' helmet biar terus merasa kenikmatan kabus pagi. Tebal sungguh kabus di sini. Terima kasih Allah beri nikmat ini.
Pemandangan bukit batu kapur dari Merapoh hingga Gua Musang memang 'osem'. Jika kita bijak mengolah pandangan mata kita, pasti ia menjadi sesuatu yang sangat menarik. Kami ni jenis suka sesuatu cabaran baru. Tak ada cabaran pun kami cipta cabaran. Kalau dah terlepas, kami sanggup berpatah balik semata-mata nak cipta kenangan.
Wak memang alergik bila nampak pondok.
Bila dah puas bergambar, perjalanan diteruskan hingga ke pekan lama Gua Musang. Wak gunakan naluri ke 6 untuk mencari tempat makan yang sedap seperti yang dilakukan sewaktu hari pertama. Nah, Nasi Kerabu Ayam Penyek. Memang sedap. Ramuan perapan ayamnya rasa berbeza. Isi ayamnya dibuang tulang kemudian diketuk penyek, Akhir sekali baru diperap dan dibakar. Resepi rahsia yang disatukan dari masakan Kelantan dan masakan susur galur Jawa Indonesia. Rasanya ? mcm nak pergi lagi la.
Di atas setiap meja memang telah diletakkan sepinggan pulut panggang. Itu pun sedap jugak. Tak ingat nak ambik gambarnya. Terlampau sedap dan leka menikmati ayam penyeknya. Aku perasan yang Ija tak makan nasi, sebaliknya meratah ayam je. Haa..itu menunjukkan apa ? Boleh ulang datang lagi nampaknya ni.
|
Ada 2 jalan nak ke Jeli. Satu ikut Kuala Krai dan satu lagi ikut Dabong. Yang dekat ikut Dabong. Wak bertanya pada pemilik kedai makan tadi, jalan mana yang paling menarik. Beliau mencadangkan ikut arah Dabong sebab nanti ada pemandangan air terjun Jelawang. Okey ikut situ.
Laluan lebuhraya nombor D29 menjadi pilihan. Sedang aku asyik memulas throttle seumpama pelumba motor di trek, dan motor meluncur laju di jalan yang lurus tiba-tiba Wak memberhentikan motor di sebuah kedai minum. Eh eh Wak ni.., berhenti main ikut suka hati ja tak bagi lampu isyarat pun. Nak ke Jeli ikut sini kenapa berhenti nak tanya orang lagi ? Aku merungut. !@#$%&. Hrm. pelik. kenapa berhenti lama ? Aku pun berpatah balik. Sesampai ja kat situ aku nampak seseorang yang macam 'familiar' ja.
Tun ! Tak sangka jumpa Wak Nik kat sini, kata Ija.
Ha ? Wak Nik naik basikal lalu sini ? Oiihh gile kentang dahsyat ! Relak selamba ja kayuh basikal pusing Semenanjung. Tak de kesah nak canang masuk tv, buat sidang akhbar bagai. Diam - diam sudah. Itu tanda orang hebat. Low profile. Waa.. Seronok dengar cerita Wak Nik, bila anak call Wak Nik cakap duit belanja dah habis. Nanti anaknya bank in kan tanpa banyak bicara. Anaknya nak tengok ayahnya sihat dan bahagia. Indah bukan ?
Lama juga kami berhenti bersembang tanya kisah perjalanan Wak Nik. Sekira-kira jam 1000 pagi, matahari dah mula meninggi, akhirnya kami minta diri untuk meneruskan perjalanan. Sebelum tu sempat bergaya dengan motor idaman aku ~ Honda Groom. Kecik dan 'rugged'. Amat sesuai pada aku. Tapi hingga kini ia tak dibawa masuk ke pasaran MY.
Di laluan D29 ni banyak papan tanda Hutan simpan kekal. Tapi tak nampak pun hutannya. Yang ada pokok kelapa sawit sepanjang jalan. Apa sudah jadi ?
Jalan punya jalan hingga melintasi satu kawasan batu-batu yang timbul keluar dari tanah. Memang menarik perhatian kami. Wak terus berhenti. Entah apalah yang ada dalam kepala dia tu. Ada sesuatu yang nak dibuat agaknya. Aku teringat masa aku di Ha Giang, Vietnam Utara, memang macam ni lah bentuk batu-batunya bersepah- sepah di kawasan tu. Orang asli Hmong tak biarkan kawasan tu kosong, mereka menanam padi bukit, jagung atau bunga lavender dicelah-celah batu. Kita di MY bagaimana ?
Wak mulakan dulu memeriksa laluan, kemudian aku, disusuli Wan Faiz. Aha, layan offroad la konon-kononya. Pemandangan memang 'rare'. Tak payah pergi jauh-jauh, kat Gua Musang ja ada. ~Nikmati perjalanan, ciptalah kenangan.
Motor terus dihalakan ke destinasi pilihan. Cuaca pagi itu cukup cerah. Langit membiru, awan putih berkepol-kepol nun di atas puncak gunung dan banjaran hijau seolah-olah asap dari gunung berapi menjadikan kombinasi paduan warna panorama alam yang cukup menarik.
Jam sudah menunjukkan jam 12 tengahari. Lapar barangkali. Tiba di simpang tiga, arah ke kiri menuju ke Jelawang, ke kanan menuju ke Kemubu. Perjalanan tidak diteruskan kerana Wak berhenti di sebuah gerai yang menjual air cendol. Oklah berhenti minum dulu. Dek kerana keramahan Wak, maka pakcik dan makcik yang berniaga tu rasa terhibur dengan telatah Wak yang macam-macam. Dihidangkan dengan buah rambai, bubur asyura, goreng pisang, tapai dan pulut manis. Katanya, semua makanan ni dibuat untuk anak-anaknya. Tunggu anak tak balik-balik sampai keras bubur asyura. Alahai anak. Sedih ja bunyi rintihan makcik tu. Sebelum bergerak, kami kongsi-kongsi bayar lebih harga air yang kami beli tu. Mudah mudahan dapat memberikan sedikit kegembiraan buat mereka berdua.
Kerana seronok sangat dah sampai sini, motor Wak nak sujud syukur. Maaf la Wak, tak dapat nak tolong angkat. Tolong tangkap gambar buat kenangan je ya.
Mandi 50 sen, lain-lain 30sen. Cuba kira yang lain-lain tu kalau dah duduk kat tempat sejuk, berapa kali masuk tandas ? Lumayan jaga tandas kat atas ni. ~ LOL
Secara berhemahnya aku kena tunggu keadaan gelap sikit baru aku sorong motor ke wakaf depan surau. Wak awal-awal lagi dah chop tempat. Bila orang tak ramai baru boleh mulakan operasi buka khemah dan gantung hammock.
Malam tu hujan tak berhenti. Mujur wakaf ni membelakang laluan angin. Kurang sejuknya. Jadi lena sungguh aku tidur malam tu. Zzz
-------
Hari ketiga
Isnin [ 9hb Nov 2015 ]
Akibat hujan sepanjang malam terasa jugaklah kesejukannya. Jam 0500 aku dah terjaga nak ke tandas. Keluar saja dari hammock aku pandang ke langit. Subhanallah ! cantiknya langit ditaburi bintang-bintang berkerlipan. Rasa nak baring hadap ke langit ja menikmati keindahan alam ciptaanNYA. Satu jam jugak lah layan sorang-sorang tepi cenuram sambil tunggu matahari terbit. Sejuk pun sejuk lah, ada aku kesah ? Wak , Ija dan Wan Faiz dah lama siap berkemas. Aku ja yang terkial-kial baru nak kemas.
Posing satu kali di titik pemandangan indah sebelum jentera bergerak. Pagi-pagi rasa ketat ja semua urat saraf. Dah la motor basah kerana hujan, dicampur dengan kabus tebal. Woo ! Kejang dan kebas jari jemari ku.
Dah melepasi Tasik Banding ni, mana pulak tugu peringatan tak jumpa-jumpa bisik aku dalam hati. Haish. Tugu dah hilang atau dibutakan mata langsung tak jumpa ? Ahaks ! bisikan yang jahat. Aku terus memecut laju, mata mencari-cari lokasinya.
Akhirnya..
Jumpa pun !
Alamak ! kenapa tinggal 1 wakaf ? Wakaf yang satu lagi atapnya sudah hilang. Ini mesti gara-gara perbuatan Sang Gajah. Kawasan dia, suka hati dia lah nak buat apa. Kita manusia yang menceroboh kemudian bina itu ini. Umpama rumah kita, tapi jiran datang buat dekorasi macam-macam kat dalam rumah kita. Apa kita rasa ? Rasa vanilla strawberry kan. Hajat hati memang nak cuba berkhemah di sini. Tapi memang bahaya, kemungkinan 99% akan bertemu dengan gajah. Tak sempat nak start enjin motor nak lari nanti. Hiks. Ada yang berani ?
Aku nampak ada satu jalan masuk ke kawasan hutan. Nak gak tau ke mana arahnya. Menyusur laluan berbatu-batu dengan motor lebih memudahkan. Aku tiba di kawasan lapang, betul-betul dekat dengan gigi sungai. Lawanya tempat ni. Selesa kalau nak berkhemah. Air sungai pun bersih. ada kolam kecil untuk berendam. Jatuh chenta dengan tempat rekriasi yang tak bernama ni. ~ ku beri nama Lata Noname.
Destinasi seterusnya Gerik, sebab nak mencari sarapan. Kemudian terus menuju ke Lenggong untuk melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. Masuk adalah percuma. Di dalam tu ada ditunjukkan kisah dan sejarah perjalanan manusia. Sekilas dari pembacaan aku lah, orang asli di Semenanjung berasal dari Afrika beratus-ratus tahun dulu. Ni dari pemahaman aku setelah melihat carta gambaran yang telah ditunjukkan di galeri tu.
Pejabat Pos Lenggong |
Pasu ni dijumpai di Pulau Tuba ? |
Keluar semula ke jalan 76 dan terus ke kampung Raban yang terkenal dengan panorama tasiknya dan produk makanan ikan pekasam. Nampak seorang abang yang baru nak memulakan menjala ikan di tepi jambatan. Wak berhenti untuk melihat hasil tangkapan, sambil bersembang. Di tepi jambatan ada selembar jala yang diikat pada 2 batang buluh bersilang. Teknik menangkap ikan cara ni memang unik, kali pertama dapat tengok depan mata. Orang belah Perak memanggil benda ni 'Anchor'.
Anchor |
Berhenti lagi di kedai kawasan rehat tasik. Ija nak beli ikan pekasam. Soping lagi. Motor terus bergerak menyelusuri kawasan perkampungan, kelihatan banyak rekabentuk rumah lama masih utuh didiami. Aku jadi rambang mata pandang kiri pandang kanan. banyak lagi rumah tradisional kat sini eh, bisik hati.
Lalu kat sebuah tempat bernama Sauk, aku melalui satu kawasan hutan. Hutan dia memang berbeza dari hutan-hutan yang pernah aku pergi. Terlalu padat dan pokok-pokoknya besar dan tinggi. Lantai hutannya diselaputi dengan pokok menjalar. Padahal dalam kawasan kampung tu. Ija cakap di sinilah tempat persembunyian dan kubu ahli Al Maunah masa kes tragedi Bukit Jenalik oleh kumpulan pengganas militan Al Maunah dulu pada tahun 2000. Nak tau cerita lanjut sila baca ya.
Kami mengambil jalan susur ke Kati yang boleh juga ke Sungai Siput melalui Temong, sempat singgah di makan Tok Temong. Siapakah beliau ? Sila baca wikipeida sejarah Tok Temong. Makam ini terletak di tepi Sungai Perak. Ketika kayuhan [ Dot Of Peninsular] yang lalu, aku ada singgah di sini. Ketika itu istiadat pertabalan Sultan perak akan bermula. Aku nampak 3 orang pemuda turun mandi di sungai Perak dengan memakai kain batik dengan beberapa pantang larang yang tertentu. Aku cuma melihat dari jauh tanpa bertanya dengan lebih lanjut. Mungkin rakyat Perak tahu adat istiadat apa yang mereka sedang lakukan.
Seorang teman memberitahu, jika melalui jambatan Iskandar, cari lah tiang serinya. Yang mana di situ lah 'jamuan' diadakan. Ni kira bab mistik la ni. Nak tau apa kesahnya sila mengadap Enchek Yen di Ipoh. Orang-orang macam aku cuma nampak tiang-tiang besi dan satu bunker ja kat bawah jambatan tu. Ahaks. ~ tidak tersingkap hijab ku.
Jumpa orang kampung bertanya arah jalan pintas ke Jambatan Victoria pulak. Dibawanya kami ikut jalan celah-celah rumah orang. Keluar masuk lorong kecik-kecik tup-tup sampai. Seronok betul, semua tempat kami terjah.
Yen dan geng Ipoh sudah menunggu di Chemor. Setiba ja kami di sana mereka terus membawa kami melawat stesen keretapi Tanjung Rambutan. Katanya stesen ini akan dirobohkan. Sebelum hilang eloklah abadikan kenangan di batu tandanya. Singgah makan dulu di bangunan keretapi lama yang di jadikan cafe. Geng Ipoh belanja makan. Yay ! terima kasih ya.
Hari semakin petang, geng Ipoh tak dapat ikut serta, cuma mereka hantar sampai Petronas Simpang Pulai saja. Kami berhenti untuk membuang apa yang patut serta memakai baju hujan. Awan gelap sudah menjelma.
Permulaan perjalanan baik-baik saja. Hari semakin gelap, hujan turun tak henti walau tak lebat. Tapi kesejukannya sama seperti di Banjaran Titiwangsa. Kali kedua aku terpaksa memintas Wak, Ija dan Wan Faiz. Tak boleh tahan oo. Mengigil. Keadaan makin gelap, aku dah la rabun dan silau. Memang orang kata terjah gila-gila lah. Mujur kereta tak banyak , jadi aku masih mampu melihat keadaan jalan. Sesekali berpandukan garisan putih ja. Terus pulas throttle sehabis boleh. Kadang terfikir jugak nak berhenti menunggu Wak, tapi betul-betul tengah perjalanan, gelap tepi hutan kiri kanan pulak tu. Cuak jugak. Walaupun masa tu melalui satu kawasan berkabus yang sangat tebal. Aku redah jugak. Menyeramkan. Wuu wuu wuu.. Nak berhenti ke tak ? nak berhenti ke tak ? Uhf. teruskan je la sampai kedai makan dekat air terjun nanti aku berhenti lah menunggu. Vroommmm...!
Puas layan selekoh sampai menguap-nguap mengantuk, akhirnya nampak cahaya terang di tepi jalan. Lega dah sampai kedai ni. Berhentikan motor, matikan enjin. Duduk ja kat motor tunggu Wak lalu. ~ menggigil kesejukan.
Dalam 10 minit, Wak pun sampai. terus ja menuju ke Sungai Pauh. Tiba di pondok jaga, pengawal pondok tu bagitau, kem ditutup sehingga tahun hadapan. Alamak ! nak tidur mana malam ni ?
Ija kata, tak pe kita tidur kat Masjid Tanah Rata.
Sampai saja di depan masjid, kelihatan qariah sudah selesai solat Isyaq. Perkenalkan diri sekaligus meminta keizinan untuk bermalam di situ. Alhamdulillah dapat kebenaran. Masjid ini mesra musafir. Di bilik airnya ada sebuah mesin basuh, bilik mandi pun Ija kata ada pancuran air panas. Mesin air panas memang disediakan di kawasan rehat. Baguslah.
Malam ketiga kami tidur dengan agak selesa. Walau tidur di dalam bilik rehat yang bertutup rapat, kedinginan tetap terasa menusuk hingga ke tulang walau pun diselubungi 'sleeping bag'. Tidur pun kurang lena akibat kesejukan. Wan Faiz sampai selubung badan dengan tikar getah. Itu kes dah habis ikhtiar la tu.
--------
Hari ke empat
Selasa [10hb Nov 2015]
Pagi ni rasanya semua tak lalu nak mandi. Cuci muka, gosok gigi, lap badan dengan 'wet tissue' ja. Sejuk.
Lokasi pagi ni adalah ladang Teh milik Syarikat BOH yang terletak di Sungai Palas. Laluan yang sama untuk mendaki ke puncak Gunung Brincang.
Dengar perkhabaran bahawa laluan Cameron Highland ke Tapah mengalami tanah runtuh. Kami tekad mengambil jalan tu juga. Mustahil motor tak boleh lalu kan ?. Jom redah, tak pergi tak tau cerita. Tiba di kampung orang Asli bt 13 kenderaan mula berhenti. Untung siapa yang naik motor, boleh mencelah-celah hingga ke penjaga lalu lintas. Aku ajak Wak, Ija dan Wan Faiz untuk lepak kat rumah orang asli kat depan tu. Sebab nampak ramai anak-anak orang asli sedang berkumpul.
Elok ja kami bergerak dan berkumpul di halaman rumah orang asli tu, semua orang yang terkandas ikut sama. Budak-budak motor semua ikut parking kat situ. Yang mana dalam kereta keluar nak tengok kerja-kerja mengalihkan tanah. Lucu ah, orang semua tengok Wak bergurau dengan anak-anak orang asli. Mereka tengok dengan muka sinis. Seolah-olah orang asli ni kasta yang paling bawah sehingga mereka tidak perlu dipedulikan. Huh.
Bila tanah-tanah sudah dibersihkan, semua kenderaan dibenarkan meneruskan perjalanan. Mat- mat motor tak kira berkuasa kecik dan besar berebut-rebut nak pergi dulu. Lecce. Apa yang nak dikejarkan. Buat-buat bertenang macam aku ni, sampai jugak. Siap berposing bersama El Fateh depan air terjun Lata Iskandar.
Lebih kurang 12 km dari Lata Iskandar, berhenti lagi di Hutan Lipur Kuala Woh. Tarikan utama di sini adalah ada punca air panas di sungai yang sama. Ija kata kalau mandi dapat lah rasa sebelah air panas, sebelah air sejuk. Masuk kena bayar RM3. Kemudahan asas semua ada disediakan. Aku cuma jenguk- jenguk dari jauh. Memandangkan ramai orang aku rasa tak best. Buat syarat sudah sampai cukup la.
Dari pekan Tapah, Wak ikut laluan nombor A10 ke Tapah Road. Singgah sebentar di Stesen keretapi Tapah Road. Untuk melihat saki baki tinggalan bangunan lama.
Jambatan keretapi yang merintangi kuala Sungai Bidor. Setelah perkhidmatan keretapi Telok Intan ditamatkan, inisiatif pihak berkuasa tempatan telah membaik pulih seterusnya diturap untuk dijadikan laluan motorsikal dan pejalan kaki kerana ia boleh memendekkan laluan untuk ke Telok Intan.
Bangunan Istana Raja Muda Perak. Tahun terakhir ia didiami oleh Raja Muda Musa ialah sekitar tahun 1980'an. Ayahanda kepada Raja Di Hilir, Raja Jaafar.
Tiba di Telok Intan kami disambut oleh Raja Hassan. Dalam hujan lebat sudi juga dia turun menyambut. Uh Raja jugak yang menyambut. Keren bangat sih !
Dari Telok Intan kami berhenti makan, sembang-sembang sampai jam 1900 malam. Bila gelap aku mula la risau, jalanraya banyak kenderaan, hujan renyai-renyai, ditambah dengan silau lampu dari arah hadapan buat aku perlu lebih berhati-hati dan makin perlahan.~ 50 kmsj.
Gigih jugak memandu, dalam keadaan nampak tak nampak aku redah. Lubang ke lecah ke aku lanyak je. Dah tak nampak nak buat macamana. Kawal handle je lah asal jangan tergolek sudah. King dan Wan Faiz terus pulang ke rumah masing-masing kerana hujan lebat.
Secara rasminya, sekitar jam 2045 malam aku , Wak dan Ija selamat sampai di kediaman mereka. Jarak perjalanan kami selama 4 hari 4 malam sejauh 1,200 km. Kos perbelanjaan minyak petrol sebanyak RM44.20. Satu tank penuh RM6 boleh pergi sejauh 184km.
Kau sampai aku pun sampai
Aku sampai, belum tentu kau sampai.
Jangan tanya berapa laju aku boleh bawa,
Tapi tanyalah berapa jauh aku boleh pergi.
Curhat~ Wak Pandan
------
Allah ciptakan kita manusia dengan sifat kehebatanNYA. Kita saja yang tak mahu menikmati apa yang telah dikurniakan. Kita semua hebat. Keluarlah mengembara. Galilah dan carilah kehebatan diri sendiri. Pasti jumpa. Cheers !
Tahniah !
ReplyDeleteSuka baca cerita-cerita macam ni.
Bukan cc jadi ukuran, tapi jiwa !
Kental! Geladangan adalah pilihan kami!
ReplyDeleteSempoi.suka cmni..
ReplyDelete