Wednesday, January 3, 2018

Jalur Bayu Laut

Gass ke Dunia Tersembunyi
6hb-20hb Disember 2017

3 Unit 4 Jiwa
Loen Dari Malaya
~~~~
Lhok Nga - Calang

Cerita sebelumnya

Sabtu, 9hb Disember 2017

nampak tak kelibat makhlok itu ?

Akibat peristiwa malam itu, seusai solat subuh kami terus berkemas. Memang potong betul. Perancangan diatur semula untuk keluar  menyeberang  ke pelabuhan  Ulee Lheue dengan feri pertama  jam 0800. Perlu segera sampai ke pelabuhan Balohan untuk mengelakkan pembaziran waktu menunggu feri yang berikutnya.


Teurimong Geunaseh !


Semua bersetuju untuk bersarapan di seberang sana.  Alhamdulillah, kami sempat naik feri pertama walaupun di saat akhir pintu pagarnya sudah pun ditutup. Tiket balik ni lain harga sebab kita guna orang tengah (Calo)  untuk belikan. Ala, upah dia ambik 5,000rp/rm1.50 ja. Daripada kena tinggal dengan feri dan mereput sampai pukul 2 petang. Mau ka ?









Seketika aku telah  memasuki tanah besar, terasa sedikit  gementar  bila menunggang motorsikal di jalan utama. Kenderaan semakin banyak, lampu isyarat hanya sebagai pameran. Garisan tengah memang tidak selamat untuk pejalan kaki berdiri ketika melintas. Lampu ‘signal’ di kenderaan tidak berfungsi untuk menyampaikan hasrat ke kiri atau ke kanan, kerana pemandu  dari belakang akan tetap memintas. Maka, kita yang perlu menjaga diri sendiri dan diri mereka.



Perjalanan hari ini pada aku kurang jelas ke mana arahnya secara visual, kerana aku tak semak peta langsung lokasi-lokasi yang Ija  telah maklumkan.  Ahaks, nanti balik rumah baru aku semak bila nak tulis blog. Ngee !


Lampisang.


Bila menunggang motorsikal  melalui Jalan Banda Aceh-Calang, mata aku tetap mengerling sekilas  pandang reka bentuk bangunan dan rumah di sepanjang jalan.  Tiba-tiba mata terpandang sebuah bangunan rumah kayu yang begitu cantik. Aku segera memperlahankan motorsikal menunggu Wak di belakang.  Wak terus membelok masuk ke kawasan rumah tersebut.  Motorsikal diparkir dan terus  berjalan  ke arah rumah yang tersergam indah. Keluar seorang wanita yang berperanan sebagai penjaga. Dia memberitahu bahawa rumah itu adalah replika dari rumah Cut Nyak Dhien dan dibina semula di atas tapak rumah asal yang telah dibakar oleh Belanda.




Terdengar sahaja nama tersebut, aku, Ija dan Wak berpandangan sesama sendiri. Hapa ?? Masing-masing melompat kegirangan.  Allahu akbar ! DIA mendorongkan hati kami untuk berhenti di sini. Tak terlintas dalam fikiran untuk mencari apalagi memang tak tahu adanya muzium Cut Nyak Dhien. Nama srikandi ni memang tersohor sejak dahulu dan telah diangkat menjadi Pahlawan Nasional Indonesia. Filem mengenai perjuangannya juga aku sudah tonton. Gerun dengan semangat dan ketegasannya menentang penjajahan Belanda.  Oleh kerana itulah Belanda mengelarkan beliau sebagai ‘Singa Betina’.


Walaupun replika, bahan asas yang digunakan adalah dari jenis  kayu keras yang sukar didapati pada masa sekarang iaitu pokok cengal. Reka bentuknya memang 100% mengikut rumah asal Cut Nyak Dhien. Perabut hiasan dalaman juga terdiri dari ukiran kayu yang berkualiti tinggi. Setiap ruang di dalam rumah mempunyai maksud tersendiri. Tidak hairan lah kerana  Cut Nyak Dhien ini terlahir dari golongan bangsawan yang cukup berpengaruh.

palong yang tinggi itu adalah perigi






Tiang-tiang rumah semua menggunakan kayu cengal yang sama besar ukurannya. Terfikir aku ; manalah dorang dapat pokok kayu cengal banyak-banyak tu eh ?. Cuma 1 perkara ja yang aku terlepas pandang untuk meneliti, samada keseluruhan rumah ini hanya menggunakan kaedah pasak dan sepit atau campuran menggunakan paku.


Pintu bahagian dapur.








Pintu sebelah kanan yang digunakan untuk laluan masuk


Ini adalah lakaran Belanda tentang wajah Cut Nyak Dhien. Sejak dahulu lagi wajah sebenar Cut Nyak Dhien telah dan masih menjadi kontroversi. 





 Gambar Kuburan Masal Pejuang Aceh yang gugur di Kubu Kuta Reh Aceh Tenggara


Gambar Sejumlah  kapal perang Belanda sedang berlabuh di perairan pantai Aceh Besar


Gambar satu pasukan tentera Belanda melakukan serangan besar- besaran ke kampung Rigaih, Aceh Barat. Tempat Teuku Omar memimpin pasukannya.


Para pejuang Aceh ditangkap pasukan tentera Belanda dan dijadikan buruh paksa. Ketika bekerja, tangan mereka tetap diikat.



Pasukan Belanda sedang menyeberangi sungai dengan menggunakan jambatan darurat yang diperbuat dari bilah-bilah bambu.


Armada pedati Belanda sedang mengangkat barang-barang personal dan peralatan perang untuk melawan pejuang-pejuang Aceh di kawasan perbukitan.

Jalan keretapi di Aceh utara yang dirosakkan oleh para pejuang Aceh di bawah pimpinan Pang Nanggro, suami Srikandi Aceh Cut Mutia.





Teuku Omar duduk di nombor 3 dari kiri.


Maqam Cut Nyak Dhien di Sumedang Jawa Barat. Kenapa ia dimaqamkan jauh dari tempat kelahirannya ? Siapa yang punya angkara ?
Silalah baca sejarah selanjutnya ya. Apalagi google lah.



 


Tempat Cut Nyak Dhien bersantai di dalam kamarnya. Di hadapan tu adalah dulang hidangan berganding dengan tudung saji bertekad.



Pintu bahagian kiri, untuk laluan keluar.


Di rumah ini juga ada mempamirkan jenis-jenis senjata termasuk lah senjata yang bernama RENCONG.
Owh, begini bentuk rencong. Bentuk senjata inilah yang banyak aku nampak  pada mercu tanda pintu gerbang dan monument titik 0KM. Sekarang baru aku faham yang Rencong ini adalah senjata kebanggaan orang Aceh. Tatacara pemakaiannya juga ada maksud tertentu. Tak boleh main sisip sahaja.










Selama 45 minit kami meneroka keseluruhan rumah Cut Nyak Dhien. Air periginya pun, aku berusaha gigih untuk menceduk. Sengaja nak menghayati kehidupan Cut Nyak Dhien di zaman lampau. Airnya aku buat berwuduk. Terasa sejuk dan segar.





Sejurus kami  beredar, kakak penjaga  itu pun menutup pejabatnya kerana  sudah masuk waktu rehat. Selepas solat Zohor , dia akan masuk bertugas semula. Undang-undang di Aceh telah menetapkan, setiap kali masuk waktu solat, semua premis hendaklah ditutup.  Jadi jangan hairan bila melihat banyak kedai-kedai yang ditutup ketika hari biasa. Kena tengok ketika itu dalam waktu apa, nanti korang akan dapat jawapan.

Lhok Nga


Sekarang kami sudah memasuki Lhok Nga jalur pesisir pantai. Sepanjang 136km perjalanan ke Calang  akan nampak laut dan pokok rhu sahaja. Dari jalanraya pun kita dah boleh nampak air lautnya bersih dan sangat biru. Bergetar tulang kaki aku bila tengok kejernihan air lautnya. Macik tak kuat, putih mata hitam macik nak. Ehek. 




Kita juga akan lihat pembangunan dari segi infrastuktur jambatan yang dibina oleh USAaid dan Jepun untuk warga setempat yang mengalami kemusnahan Tsunami dahulu. Di sini masih menggunakan rekabentuk binaan Truss. Semua jambatan yang aku jumpa rekabentuknya begini. Teringat aku pada Jambatan Kota Klang. Sama sahaja binaannya, cuma Jambatan Kota adalah satu-satunya jambatan Truss bertingkat yang masih dikekalkan di Semenanjung MY. Itu yang mahal tu, jika tidak terus dipelihara, tak tahulah betapa kita sudah kehilangan banyak tinggalan sejarah. Lama-lama jadilah kita bangsa Malaysia yang tidak jelas. Kabur !




Kadang-kadang aku rasa agak sedikit bosan kerana jalannya lurus hingga aku mampu menunggang dengan sebelah tangan. Lagi sebelah tangan menongkat dagu, sambil memalingkan muka memandang ke pantai. Terasa angin bayu sepak-sepak muka.  Nak elakkan dari terus mengantuk sampai menguap berkali-kali, sesekali aku sengaja memecut laju memintas  Naqi dan Wak . Itu sahaja aktiviti yang boleh buat bagi menghilangkan kebosanan.



Aha, haiwan ternakan bersantai di tepi dan tengah jalan, suasana yang aku dah biasa hadap. Yang pastinya kerbau itu tak akan naik ke atas motor aku dengan kelajuan 50kmsj ni. Tak laju pun, walau pun jalan ni lurus dan kurang kenderaan, tak perlu pun nak bawak macam "F1 atau grand prix.". Tenang-tenang aja. Nak mengembara tak perlu laju-laju. Nanti banyak yang terlepas pandang. Rugi.


Akhirnya melalui kawasan berbukit. Di kiri kanan ada gerai menjual durian. Aku terus memecut laju diikuti Naqi. Satu persatu  gerai aku  hanya  mengerling sekilas  pandang. Sehingga  melepasi  gerai yang terakhir aku terasa nak berhenti sebab teringat kata-kata Wak dan Ija tentang keinginannya  makan buah durian. Aku  cakap pada Naqi jom patah balik. Bila patah balik, kelihatan Wak memberhentikan motorsikalnya di gerai terakhir tadi. Aha,  deria ke 6 aku kuat. 





Gerai durian ini menarik sedikit kerana  mereka membina pondok kecil di atas pokok betul-betul di tebing  jalan berkelok.  Bila kita makan durian, nampak kenderaan lalu di bawahnya. Bila makan durian bijinya campak ja ke bawah sahaja. Nampak tak betapa melampaunya  aktiviti Geng Gayo ni. Ha Ha Ha.



Di Aceh, kat mana sahaja kita makan, mereka mesti berikan kita air mineral. Makan durian ni pun mereka berikan air mineral sebotol seorang. Sama konsepnya seperti di Thailand. Thailand akan berikan kita segelas ais dan sejug air masak. Cuma kat negara ehem ehem ja air masak kena bayar 20 sen /50 sen. Sedih !


 Geng hantu durian sedang beraksi. Sekelip mata sahaja tinggal kulit dan biji.



Jam 1400 kami sudah memasuki Wilayah Aceh Jaya. Di hadapan nanti akan  bertemu dengan Puncak Geurute. 




Ija dan Naqi nak mencuba Kopi Khuep. Apa tu ?? Ala, air kopi dalam cawan ditangkupkan ke atas piring. Nak minum kena guna straw. Teknik ni membolehkan air kopi akan tetap rasa panas, dan serbuk kopinya akan melekat di dinding cawan.



Wak macam biasa, minum air kelapa. Awet muda katanya.


Jika diamati, jalan ni hanya di tepi tebing gunung sahaja. Disebabkan  pemandangannya indah, mereka membina  kedai makan, tandas dan musolla sebagai kemudahan untuk pengunjung. Kami mengambil peluang untuk berhenti rehat sebentar dan menunaikan solat. Di dalam musollah ada disediakan sejadah, kain pelikat dan kain telekung. Ada juga tabung untuk bersedekah.
Pada mereka yang ingin melihat pemandangan, boleh la mendaki tangga di sebelah musollah tu hingga ke atas puncak pandang.



Hentian akhir untuk hari ke 4 adalah di Calang. Mencari-cari lokasi sesuai di sepanjang pantai, akhirnya kami memilih Pantai Cemara Indah untuk bermalam. Ada banyak wakaf-wakaf kayu dibina, kawasannya bersih dan yang paling penting berdekatan dengan tandas. Sumber airnya datang dari perigi. Uhf.  Ahh boleh la, untuk berwuduk dan urusan alam ja.


Sebenarnya ada banyak lokasi hotspot yang cantik-cantik di sepanjang jalan pantai di Aceh Jaya seperti Pantai Pasie Saka dan Pantai Pasi Saka Ujong Gla. Cumanya laluan masuk ke tempat tu agak tersorok. Itu yang buat kami tak perasan. Nak berpatah balik memang tak lah.





Satu hal yang perlu kita peduli adalah, jika kita berada di negeri Aceh dan ingin bermalam di surau, menumpang tidur di masjid atau berkhemah di mana-mana sahaja, perkara penting yang perlu kita buat adalah meminta izin kepada Pak Kechik ( Tok Penghulu) atau ketua pemuda di sesuatu tempat. Jika tidak berjumpa dengan orang yang aku sebutkan tadi, cukup sekadar memberi tahu kepada penjaga di situ, kerana mereka sendiri akan pergi memaklumkan kepada orang yang bertanggungjawab.


Kerana hal-hal keselamatan mereka cukup jaga. Lagi-lagi bila melibatkan mahram, lelaki dan perempuan. Mereka akan datang bersama  2 atau 3 orang kawan dan beri salam dengan penuh hormat. Memperkenalkan diri dan meminta izin untuk melihat pengenalan diri serta kad nikah dengan suara yang lemah lembut serta beradab. Bila sudah jelas, mereka pun beredar.
Selain itu, jika kehadiran kita dimaklumkan, sekiranya terjadi sesuatu perkara berkaitan dengan keselamatan, Pak Kechik lah yang akan bertanggungjawab. Tapi jika kita datang macam tu ja, tunjuk besar kepala. Haa apa-apa perkara buruk berlaku, tiada siapa pun kesah. Nak macam tu ?

Dalam kes kami ni, Wak dan Ija la selalu jadi suspek utama.  Aku  dan Naqi okey ja. Kami motor lain-lain, khemah asing-asing.  Lagipun aku kan adik Wak, Naqi pulak kan adik Ija. Tengok kulit la. Coklat dengan coklat, putih dengan putih. Strategi dan 'confident' kena cantik. Kah !


Sepanjang malam, dari jauh mereka menjaga keselamatan kami di situ. 
So don’t play-play ha di sini. Sila beri kerjasama. 

~Di mana bumi dipijak, di situ lah langit dijunjung ~

..bersambung lagi di sini

No comments:

Post a Comment