Sunday, October 16, 2022

Kembara Bermotor Ke Negeri Di Bawah Bayu (BHG 1)

 

KEMBARA DI BUMI SABAH

16hb-5hb Sep 2022


Assalamualaikum.

Aku nak cerita tentang keinginan aku, untuk merialisasikan impian mengelilingi negara Malaysia.

Oleh kerana dah puas pusing Semenanjung, 2 kali dengan basikal, 2 kali dengan motor, kali ini aku nak melengkapkan pengembaraan aku ke negeri Sabah pula. Jika Allah berikan keizinan rezeki lebih dan kesihatan yang baik, aku nak lengkapkan ke negeri Sarawak pula. Baru la puas hati dapat kenal tanah air ku, MALAYSIA. Insya allah.

Peserta untuk projek ini hanya 3 orang termasuk aku. 

Segala urusan pembelian tiket penerbangan, jalur laluan, lokasi menarik, tempat penginapan, urusan penyewaan motor, semua aku uruskan. Kakak aku uruskan bab keewangan. 

Kembara Sabah : 21 hari
Tarikh : 16hb-5hb Sep 2022
MAS : RM349.42 seorang (pergi/pulang)
MH2646 : 11:35-14:50   
MH2645 : 17:30 - 20:05

Tambahan bagasi: rm38.16 (5kg)
Sewa 2 buah motor : 19 hari ( 17 Ogos - 4 September )
Gogo Sabah :
Honda Wave 125i : rm760
Honda Alfa 110c: rm700
Wang cagaran sebuah motor : rm200


Berat beg setiap satu aku hadkan kepada 5kg sahaja, kerana memikirkan tentang penerbangan pulang nanti, kami tidak diberikan kuota untuk bagasi. Sebab ketika aku beli tiket, aku pilih harga yang paling murah, penerbangan pergi dapat percuma 35kg, bila balik tak dapat ruang bagasi. Pasal tu kena beli 5kg.

Sepatutnya boleh ja bawa 1 beg, tapi  aku banyak bawa pakaian, dengan baju , seluar telekong, kain batik, tuala mandi, baju mandi, baju tidur, stokin, tudung, payung dan bla bla bla. Sikap yang tak boleh hilang sejak zaman dahulu. Aku masih tak boleh praktikkan untuk pakai hanya sepasang baju untuk beraktiviti dan diguna berulang-ulang selama tempoh kembara. Sebab aku malas nak basuh baju hari-hari, lecceh. Hahaha. Itu je sebabnya. 

Itu belum masuk mess-tin, dapur dan beras sikit, maklumlah 21 hari. Kenalah bersedia dalam bab makan.

Oh, aku bawa helmet oren kesayangan dan baju hujan. Padahal pihak Gogo Sabah memang ada menyediakan keperluan ni semua. Saja je nak rasa selesa.

Untuk tip pengurusan kewangan pula, setiap peserta akan mengeluarkan rm900 seorang dan duit itu akan dipegang serta diuruskan oleh seorang menteri kewangan. Kegunaan untuk bayar hotel, bahan masakan dan segala jenis tiket. Sebab perkara-perkara yang begini kiraannya adalah sama dan boleh kongsi bayar. Senang kira. Nanti di akhir kembara, jika ada baki akan dibahagi 3 dan dikembalikan semula. Cara ini hanya dipakai untuk 2 atau 3 orang sahaja bila berkembara. 

Sementara minyak dan jajan pribadi kena keluar duit lain. Tangki minyak motor tak sama, jadi tak adil jika guna duit yang rm900 tu.

Ini adalah cara aku mengembara sejak dahulu. Kebaikannya adalah, kepala tak serabut. Anggap je la dah ada orang belanja bayarkan semua benda. Keh keh keh.

Hari 1 ( Selasa 16/8/22)




KOTA KINABALU

KKIA - The Jesselton Cabin: 8.7km

Dari lapangan terbang aku tempah grab dengan harga rm10, jarak 8km.

Untuk penginapan di Kota Kinabalu, aku dah tempah sebulan awal sebab cari yang murah dan selesa untuk kami bertiga (rm65.70), The Jesselton Cabin. Harga termasuk sarapan pagi. Lokasi yang dekat dengan tempat sewaan motor, Gogo Sabah. Senang, 450 meter jalan kaki je.        

                      


Aku berurusan kat tepi jalan je. Bagus pekerjanya ni. Elok boleh diajak bersembang.


Aku memilih motorsikal Honda Wave 125i kerana ianya jimat minyak dan punya ruang bagasi di bawah tempat duduk yang besar.


Ketika kita terima motorsikal, perkara paling penting adalah memeriksa kerosakkan di badan kenderaan tu. Ambil gambar untuk rujukan sekiranya ada isu berbangkit di kemudian hari. Semak cukai jalan dan insuren motor. Jika semua dalam keadaan bagus, boleh mulakan perjalanan.


Hari ke 2 ( Rabu 17/8/22) 

0km Kota Kinabalu. 

Memulakan perjalanan dari kilometer kosong.

 I Love KK


Marlin Statue 

KK ➤ Putatan ➤ Kinarut ➤ Papar  ➤ Pekan Lama Kimanis 

Berhenti isi minyak dan bersarapan.

 ➤Bongawan ➤ Membakut.

Berhenti di Pantai Pimping, bergambar sekejap kemudian teruskan perjalanan ke Kuala Penyu.

Pantai Mempakul 

Pantai ni terletak 3 km dari Terminal Feri Menumbok dan ia cuma untuk tempat berehat atau memancing. Aku singgah sini sementara menunggu waktu roro belayar jam 1 petang.


Membunuh masa dengan mengemaskini info di sosial media.



Terminal Feri Menumbok 


Tahun 2019 aku pernah sampai di sini. Kali pertama, merasa buah tarap dan bambangan di pekan Menumbok ini lah. Dah banyak perubahan yang terjadi di pekan kecil ni. Makin tersusun, bersih dan meriah.



Sampai aku jadi tercengang- cengang. Jeti roro kat sini ke atau bukan ?

                              

Bila segalanya main terjah. Inilah jadinya. Tak tahu kaunter tiket kat mana, tak tahu cara nak beli tiket. Semuanya aku kena cari tahu sendiri waktu itu juga. Jadi aku tengok je la gelagat orang-orang yang sedang beratur. Setiap mereka memegang kad pengenalan. Oh, nak k/p ke? Ok-ok aku kumpulkan kad pengenalan siap-siap.


Tiket untuk penunggang motorsikal berharga rm15, manakala penunggang bersama pembonceng kena tambah rm2.50. Ketika membeli kena sertakan kad pengenalan dan nombor plat motorsikal. Aku beli juga tiket untuk keluar keesokkan hari.


Kenderaan dibenarkan masuk setengah jam sebelum waktu belayar.




Tempat parkir motor di tepi tangga.


Ini adalah ruang untuk para penumpang yang berada di dek kedua. Ada penghawa dingin dan layar lebar untuk menonton filem. Ada kedai jualan makanan ringan juga di situ.

LABUAN

Pulau Labuan asalnya merupakan sebahagian dari Kesultanan Brunei. Sejarahnya banyak bertukar-tukar pemerintah. Asal dari Brunei kemudian British kemudian Jepun. Setelah pengunduran Jepun dan pemerintahan British tamat, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara. Pada akhirnya bersama-sama Sabah masuk ke dalam Malaysia.
Selamat datang ke 👇.


Sebenarnya Labuan tidak termasuk dalam perancangan awal yang saya buat. Tapi bila difikirkan semula, alang-alang dah dekat, rugi kalau tak masuk.

Saya pernah masuk ke Labuan menggunakan basikal, tetapi hanya berpusing sehingga ke kawasan bandar. Kali ini saya masuk dengan motosikal dan boleh mengelilingi seluruh pelusuk pulau Labuan


Tiba di Labuan jam 3 petang, terus mencari Hotel Oyo RK Cahaya. Harga untuk 1 malam rm64.64 untuk 3 orang. Aku rasa ini yang paling murah. Biliknya memang cantik dan selesa. 


Usai mandi dan solat, aku keluar semula untuk menjelajah pulau Labuan di bahagian barat dahulu. 

Masjid Jamek An-Nur.

Ini adalah masjid negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Seni binanya dari gabungan seni Melayu Brunei dan Turki.


Kampung Patau- Patau adalah perkampungan atas air. Kampung tu besar, bila tengok jalan masuk, aku jadi tidak yakin diri untuk masuk dengan motorsikal. Pelantar konkrit yang tidak ada penghadang. Silap pulas, terjun masuk air. Aku buat keputusan untuk melihat sambil lalu sahaja. 


Kampung Bebuluh Laut pula adalah termasuk kawasan Geopark. Disebabkan dah nak senja, aku tak masuk pun.

Aku terus jalan sampai masuk Kampung Kiamsam di jalan Kiamsam bernombor 740.

Terkejut tengok keadaan kawasan perumahan di situ seperti perkampungan setinggan. Pembinaan setiap rumah rapat-rapat, persekitarannya terlalu kotor dengan sampah sarap. Anjing banyak berkeliaran. Silapnya aku tak rakam video atau pun gambar sebab rasa cuak dengan pandangan tajam penduduk di situ ketika aku lalu. Aku tinggalkan kawasan itu dengan tanda tanya. Adakah kawasan tu menjadi penempatan pendatang dari Filipina ?

Penghujung jalan no 740 adalah Terminal Minyak Mentah Labuan ( LCOT).

Hari makin senja, aku ambil keputusan untuk pulang ke hotel sahaja. Eh ada pasar malam, jom singgah.


Mencari masakan dan kuih tradisional Labuan. Tapi tak ada.



Hasil jaringan untuk hari itu. Boleh la buat isi perut.

Hari ke 3 ( Khamis 18/8/22)

Feri untuk keluar dari Labuan jam 11 pagi. Jadi lepas subuh aku keluar lagi untuk menghabiskan penjelajahan aku yang tak habis pada hari semalam. 

Pantai UMS 

Pantai ni terletak betul-betul di hadapan Universiti Malaysia Sabah. Beruntunglah mereka yang belajar di sini. Suasana aman sekali. 

United Nation Beach

Pantai-pantai di sepanjang 9 km di laluan bernombor 751 telah menerima anugerah United Nation COBSEA Clean Beach tahun 2008. Bermula dari Pantai Sungai Miri, Pantai Sungai Pagar, Pantai Sungai Labu, Pantai Layang Layangan, Pantai Pancur Hitam dan Pantai Batu Manikar.



Beginilah pemandangan di jalan pantai redup dan rendang dengan pokok-pokok yang ditanam tepi jalan. Aku ternampak sebatang pokok yang pelik. Banirnya tumbuh menegak. Terkesima dengan keunikan pokok tersebut.

Pesisir pantai-pantai ni memang cantik, bersih terjaga dan pemandangan paling cantik adalah ketika matahari terbenam.





Surrender Point.

Tugu Peringatan Perang Dunia ke 2, inilah tempatnya ketika tentera Jepun menyerah kalah pada tentera Australia tahun 1945.




Labuan Geopark Layang-Layangan

Nak pergi ke kawasan geopark tu kena treking lalu kawasan semak samun. Jadi aku malas nak tinggalkan motor kat tepi jalan. Cara orang malas adalah dengan zoom kamera hp dekat-dekat lokasi tersebut. Nampaklah garis garis hakisan batu yang memanjang. Kalau nak tengok dengan lebih jelas bolek ketik di 👉 Geopark Tanjung Layang-layangan.



Muzium Chimney

Mempamirkan sejarah tinggalan lombong arang batu ketika dibawah pengurusan British North Borneo Charterd Company. Muzium ni juga telah menerima anugerah Epal Hijau Antarabangsa untuk Amalan Terbaik Alam Sekitar dan Pembangunan Mampan 2013 untuk gaya senibina sejarahnya.

Masuk adalah percuma.






Di sekitar muzium ni jugak ada beberapa tempat tinggalan sejarah seperti Gedung Ubat dan Tip Of Kubong. Oleh kerana ia memerlukan aku untuk merentas hutan sedikit, maka aku tinggalkan saja hasrat ke Tanjung Kubong. Tak daya aku nak ke sana walaupun cuma sekitar 260 meter - 500 meter.



Beginilah rupa bentuk binaan gedung ubat.


Tip of Kubong atau Tanjung Kubong, termasuk dalam Geopark Labuan 




Ini adalah jalan masuk ke gedung ubat dan Tip of Kubung. Malas lah masuk semak- semak ni. Pada yang banyak masa boleh lah pergi.



Anjung Ketam Tanjung Aru adalah tempat makan makanan laut. Mereka kata sedap dan murah. Tak sempat merasa pun. Datang melawat je lah 



Batu Pasir Belait Tanjung Batu.

Satu lagi lokasi  Labuan geopark. Yang ni dekat dengan jalan Tanjung Batu. Batu yang kat sini berbentuk macam sarang anai-anai atau macam otak manusia. Hebat betul kuasa Allah kan ?







Singgah kejap.

Ok, dah habis pusing Pulau Labuan, masa untuk keluar semula ke Menumbok.

Terminal Feri Labuan




Tengok air lautnya, hijau jernih kan ?

BEAUFORT

Tempat harus singgah. Saja singgah untuk merasa suasana ja.


Beginilah keadaan jalan AH150 (Pan Borneo) dari Beaufort ke Sipitang sedang dalam pembinaan.


SIPITANG


Aku teruskan perjalanan ke bandar kecil di tepi laut. Singgah solat di Masjid Imam Haji Hashim sebelum meneruskan perjalanan ke Tenom. 


Boleh tahan cantik juga Sipitang ni.



Lagi 82 km nak sampai, jauh lagi ni. Jam sudah pukul 4 petang. Risau jugak kalau kemalaman atau hujan di tengah jalan. Risau, risau dalam hati.

Kalau nak tengok keadaan jalan Sipitang- Tenom boleh ketik 👉 Hutan Simpan Lumaku.

Bulatan gasing laluan untuk ke Merapok, sempadan negeri Sarawak.


Bulatan simpang tiga Tenom - Kemabong - Sipitang mempamirkan replika sumpitan ( The Wooden Blowgun). Bagi kaum Murut, sumpitan ni bukan hanya untuk berburu, tetapi menjadi harta turunan sesebuah keluarga seperti keris bagi orang Melayu. Selain itu menjadi tradisi pemberian hadiah perkahwinan kepada pengantin perempuan.


TENOM

Di Sabah ni, jam 6 petang dah nampak macam nak senja. Tu pasal aku kena sampai sebelum gelap. Dah lah laluan hutan, penempatan pun jauh- jauh jaraknya. Gereja banyak lah. 

Aku sampai Homey Backpackers Tenom jam 7.35 malam. Sebaik masuk ja hotel hujan turun selebat lebatnya. Allahuakbar. Masuk bilik, mandi solat dan rehat. Malam nak keluar cari makan pun hujan masih turun. Lemau.


Bersih dan wangi.



Maaf bilik bersepah, masa daftar masuk lupa nak tangkap gambar masa kemas. Ni cuma nak tunjuk keluasan rupa biliknya saja. Kecil ja, nak solat kena alihkan tilam ke tepi.

Di Tenom aku tidur 2 malam sebab aku nak naik keretapi ke Kampung Pangi.

Day 4 ( Jumaat 19/8/22) 

Tenom- Pangi - Tenom


Jam 8.55 pagi aku dah tercegat kat stesen keretapi Tenom. Tak ada orang selain dari petugas yang sedang mengawal. Aku tanya lah pukul berapa keretapi baru ada ? katanya jam 1 petang nanti. Hok aloh. Lama lagi nampaknya. Jadi aku ajak kakak aku dan Anje ke Fatt Choi Coffee Kabin.




Ber - ootd lah kami di atas bukit itu dengan riang ria sekali.






Di sini juga ada menyediakan tempat penginapan.

Jam 1 petang, aku datang semula ke stesen keretapi. Suasana sudah berubah dari sunyi ke riuh rendah. Ramai pulak orang.



Terus ke kaunter membeli tiket ke Kampung Pangi. Tiket sehala cuma 65 sen.


Harapan aku kecewa bila tengok gerabak sudah bertukar baharu. Ala. Baru nak duduk kat tangga keretapi sambil juntai-juntai kaki melihat pemandangan Sungai Padas. Maka duduk lah aku dalam gerabak yang berhawa dingin dengan perasaan krik-krik. 


Wajah- wajah orang yang pertama kali naik keretapi di Sabah.


Video sebelum kena tegur dengan petugas, dilarang melebihi dari tingkap.

Kampung Pangi

Kampung ni adalah tempat sehenti bagi aktiviti WWR di Sungai Padas. Selain itu ada jambatan gantung yang panjang merentasi sungai. Aku bila tahu ada jambatan gantung memang cergas badan. Tak sabar nak lalu sambil lompat-lompat atas jambatan tu.




Kerana notis di papantanda inilah membuatkan aku melupakan hasrat nak naik motor-troli. Padahal itulah tujuan utama ke Kg Pangi, memang nak naik bendalah tu.


Boleh tonton video melintas di jambatan gantung Kg Pangi 👇



Di sini juga ada tapak perkhemahan. Cuma tandas/ bilik persalinan tak ada lah.


Kami dimaklumkan bahawa keretapi pulang ke Tenom jam 2 petang. Sebab takut terlepas keretapi, aku pun cepat-cepat kembali ke stesen. Sekali kena sidai sampai pukul 4 petang. 



Dua jam kena sidai di stesen keretapi.
Beginilah rasanya, kehidupan  penduduk di sepanjang landasan keretapi yang setiap hari bergantung kepada pengangkutan keretapi.

Day 5 ( Sabtu 20/8/22) 


Hari ni hari paling  mencabar menurut pengamatan aku. Mana taknya, perjalanan hari ini akan merentasi Kalabakan yang terkenal dengan laluan gajah dan hutan simpan. Padahal itu yang aku cari. Heh heh heh.

Pusat Kebudayaan Murut 

Singgah di pintu gerbang sahaja sebab belum masa waktu melawat.

Tenom ➤ Malalar  ➤ Keningau

Kelebihan keluar awal pagi adalah cuaca sejuk, kenderaan pun tak banyak lagi.


Ansip Ferry Memorial 

Aku nak cari tempat ni tapi dah tutup. Tapak bersejarah mengenai penggunaan feri merentasi Sungai Pegalan ketika permulaan pembinaan jalan Keningau - Kalabakan. Tonton je la video tentang Ferry Ansip untuk lebih tahu.

Nabawan  ➤ Matiku  ➤ Sapulut  ➤ Kalabakan



Sepanjang jalan selepas Sipitang ke Tenom membawa ke Nabawan langsung tak jumpa masjid atau surau di tepi jalan. Paling banyak gereja Katolik setiap 500 meter - 1 km. Bila masuk ke pekan Nabawan baru lah nampak surau dan ramai orang muslim. Boleh lah berhenti minum dan bersarapan.


Jalan raya di Sabah, kus semangat. Aku berdoa sepanjang waktu agar jangan lah tayar motor mengalami kecederaan, koyak atau bocor. Payah nak cari bengkel kat tengah hutan nanti. Dia punya jalan boleh buat cover set motor tanggal satu persatu. Kalau kau isi minyak dalam tangki, minyak tu boleh keluar kat celah penutup. Motor  melompat-lompat bila langgar lubang. Menunjukkan kasar betul permainan pemerintah di Sabah ni. 

Sebelum sampai ke pekan Kalabakan pemandangan hutan simpan saja sepanjang jalan. Seronok bawa motor dengan kelajuan 70 kmsj. Saja..nak menikmati.




KALABAKAN

Walaupun aku dah isi minyak penuh-penuh di Tenom. Minyak simpanan pun ada, tapi tetap tak cukup nak hadap laluan Kalabakan ni. Tenom ke Kalabakan lebih kurang 291km. Yang buat tak cukup adalah bila mendaki bukit dengan bebanan. Nak kata laju memang tak boleh la sebab sebahagian permukaan jalanraya di Sabah ni, separuh cantik, separuh hanya sesuai untuk lori dan pacuan 4 roda saja.


Minyak dah sampai paras merah. Anje dah risau, jadi aku cari tempat berhenti untuk bertanyakan tentang kedai menjual minyak petrol. Restoren rimba rasa Tibow Motel ada menyediakan tempat bermalam, kedai runcit, tandas dan kedai makan, tetapi tak jual minyak petrol. Kata pekedai tu, kalau nak beli minyak boleh pergi ke Kantin Tibow. 

Eh, tempat yang kita nampak ada lori askar ke ? Ingatkan tempat kem askar. Rupanya kedai makan. Orang Sabah panggil kedai makan kantin. Kerana terdesak, terpaksa patah balik 5.5 km ke kantin tu.


Sampai-sampai terus tanya ada jual minyak petrol ? 

Ada. Sebotol rm5.

Masing-masing pandang sesama sendiri. Ah ! lima hengget pun lima hengget lah ! janji tak tersadai.



Lepas isi dua botol minyak petrol ke dalam tangki motor, baru lah hati menjadi lega dan perut pun terasa lapar. Kita makan dulu !

Mengikut perancangan aku, untuk hari ke 5, aku nak bermalam di Motel Rimba Rasa Tibow. 

Tapi tersampai awal sekitar jam 11 pagi. Awal sangat kalau nak daftar masuk hotel. Aku pun mula mengira tolak campur buat pertimbangan dengan kadar segera, akhirnya buat keputusan teruskan perjalanan hingga ke Tawau.

Simpang Maliau Basin 

Inilah lokasi yang aku nak pergi. Konon-konon kalau tidur kat motel Rimba Rasa Tibow, esok pagi boleh lah masuk ke Maliau Basin Centre kejap. Tak pun tunggu gajah lalu. Tak apa lah, dapat masuk kat pintu masuk pun jadilah. Kami diberi kebenaran masuk untuk menumpang solat.



Kalau nak masuk hingga ke Maliau Basin Centre kena hadap jalan tak cantik sejauh 26km sehala. Barai badan makcik ni nak oi. Bukan tak boleh, boleh tapi mesti dah petang sangat, sedangkan perjalanan masih jauh. 

Sepanjang jalan ke Kalabakan pemandangan menarik, laluan dalam hutan simpan Sapulut sangat menenangkan. Perhatikan juga kiri dan kanan jalan kalau ada kelibat gajah. Sampai kesudah tak mau dia tunjuk diri.




Mana lah gajah ni..

Negeri Sabah paling banyak bulatan di setiap simpang. Setiap bulatan akan ada replika sesuatu objek yang melambangkan budaya, haiwan atau tanaman di setiap tempat. Bulatan paling besar adalah bulatan di Kalabakan. Tapi bulatannya kosong, menjadi tempat lembu dan kambing beristirehat.


Awas buaya !

Masuk je pekan kecil Kalabakan, nah ! Pemandangan hutan sudah bertukar kepada kelapa sawit. Tengok saja la pokok sawit sampai ke Tawau. 

Di Kalabakan ada satu tugu peringatan. Aku dah catit dalam jadual perjalanan, tapi boleh terlupa nak pergi cari. Mungkin aku dah mula cemas bila tengok jam sudah pukul 3 petang, baki jarak masih ada 90 km nak ke Tawau. Rasa rugi juga, tapi nak buat macamana. Redha.

Alhamdulillah, sampai di Tawau jam 5:03 petang. 


Kota Kinabalu - Labuan : 165km
Pusing Labuan : 72km
Terminal Feri Menumbok - Tenom : 184km
Tenom - Tawau : 388km

Total : 809km



No comments:

Post a Comment