Friday, August 29, 2014

Mana nak letak muka [P.O.T]

Sabak Bernam - Sitiawan
Ahad, 7hb April 2013
Hari pertama aku di Sabak Bernam masih menikmati keselesaan. Tidur di atas tilam yang empuk, ruang yang sejuk dengan  penghawa dingin, dan kemudahan bilik air untuk membersihkan diri. Segalanya cukup selesa.
Kak Ann seorang yang 'puntual'. Seingat aku, jam 5 pagi dia dah bangun untuk bersiap dan berkemas. Aku biarkan saja dia menyelesaikan segala urusannya sedangkan aku masih terkebil-kebil berselimut, ini kes tak puas tidur la ni.
Dengan malas, aku pun bingkas bangun untuk mandi. Dari dalam bilik air aku terdengar Kak Ann memanggil. "Tun ! cuba tengok kat luar tu, cantiknya." Aku menyahut ‘kejap’ sambil segera keluar. Sepintas kilat tangan aku mencapai kamera dan sempat juga merakamkan suasana pada pagi tu dari tingkap bilik hotel. Lihatlah, subhanallah. Sungguh indah ciptaan ilahi di subuh hari.

Permandangan dari tingkap bilik hotel
Selesai mengemaskan segala barang keperluan masuk kedalam beg, kami turun ke lobi di tingkat bawah untuk mengambil basikal dan kemudian terus keluar dari hotel. Jam 7 pagi, kami berdua sudah sedia untuk memulakan kayuhan. Tapi sebelum tu bersarapan dulu di restoren mamak sambil menunggu kedatangan rakan kayuhan yang semalam. Lama menunggu, bayangnya pun tak muncul. Selesai bersarapan, juga masih tidak muncul. *Hrm, hairan. Ke mana pulak dia pergi ?


Aku memang tak suka menunggu. Aku ajak Kak Ann terus mulakan kayuhan. Talipon bimbit aku berbunyi, satu pesanan ringkas (SMS) aku terima yang mengatakan dia baru habis solat. Ha ? takkan baru bangun tidur ? OMG ! Aku memandang Kak Ann dan beliau mengeleng-gelengkan kepala. Baiklah, aku tunggu di tepi jalan. Lebih kurang 15 minit kelihatan dari jauh dia memecut laju basikalnya.



Aku malas nak cakap banyak, aku malas nak dengar segala macam alasan, aku teruskan semula kayuhan menuju ke Telok Intan. Cuaca pagi itu cukup baik dan cerah. Aku lihat Kak Ann mengayuh basikalnya dengan laju. Jadi aku berikan laluan untuk dia berada di hadapan. Tak terkejar aku rasanya. Sesekali ku pandang ke langit, teruja melihat gumpalan awal yang bertampuk- tampuk di atas kanvas langit yang biru. Terlihat bentuk awan yang berpusar membentuk lubang di tengah-tengah. Menakjubkan.


Hari ini aku akan menuju masuk ke negeri Perak. Perak merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Pahang dan keempat terbesar di Malaysia. negeri ini juga mempunyai 10 daerah dan Telok Intan terletak dalam daerah Hilir Perak.

Sepanjang jalan ke Telok Intan telah disediakan lorong untuk pesikal dan motosikal. Lebih santai dan bolehlah menikmati pemandangan sawah padi dan kampung-kampung yang berhampiran dengan tenang. Sebab itulah  laluan ini menjadi pilihan utama bagi pengembara-pengembara dari luar dan dalam negara. Jadi kurang lah rasa bimbang ketika berkayuh di sini, walau bagaimanapun tetap juga perlu berhati-hati. Malang tidak berbau, kan ?


Ku cari-cari Kak Ann entah ke mana. Entah bila Kak Ann hilang dari pandangan aku pun tak perasan. Lajunya dia. Tak pe lah, aku tahu dia cukup berani untuk berjalan sendirian.

Kaki aku terus menekan pedal mengayuh tanpa henti, dan ketika itu pandangan aku tertumpu kepada seseorang yang sedang mengayuh basikal dari arah hadapan di seberang jalan. Uhf, mat saleh la. Pengembara berbasikal yang pertama aku jumpa. Ku lambaikan tangan sebagai tanda 'hello'. Dia kemudiannya berhenti dan terus melintas jalan menuju ke arah aku.



Seperti biasa soalan-soalan soal kaji selidik yang selalu aku tanyakan kepada pengembara-pengembara ini telah sedia untuk ditanyakan. Walaupun bahasa Inggeris aku hancur, tapi aku belasah mana yang boleh. Janji dia paham, aku pun paham. Ya sudah ! Dari mana nak ke mana, negara asal, mula kayuh dari mana, dah berapa lama mengembara. Kalau dia nampak tua sangat aku tanya la umur dia berapa, kemudian aku akan kata yang aku benar-benar kagum dengan kesungguhan dia. Macam bagus ja aku bercakap bahasa Inggeris an, an , an ?



Pengembara ni berasal dari Perancis dan USA. Mereka mula berkayuh dari utara Thailand dan hendak menuju ke Singapura. Kedua-duanya sudah berumur 60 tahun, tetapi masih kuat mengayuh basikal. Kagum sungguh dengan semangat dan cara mereka mengisi hari-hari tua mereka. Tidak lah seperti orang kita yang suka menghabiskan hari tua di kedai kopi sambil bermain dam ' aji ' dan hebat bersembang seolah-olah mereka tau segala-galanya. Whoops!

Setelah bergambar, bersalaman dan mengucapkan 'selamat jalan', masing-masing meneruskan perjalanan ke destinasi pilihan. Teluk Intan masih jauh, aku teruskan kayuhan sambil mencari-cari sesuatu, suatu tempat yang pernah diceritakan oleh Ija dan Wak tentang sebuah tapak masjid lama. Aku sangat berminat tentang kisah dahulukala. Walaupun aku bukanlah seorang yang fanatik dan pengingat yang berjaya, sekurang-kurangnya aku dapat melihat dan mengetahui untuk diri aku sendiri cukuplah.



Sedang aku melintasi sebuah masjid, aku terpandang papan kayu kecil yang bertulis ' TAPAK MASJID LAMA'. Opps! berhentiii, alahai terlajak pulak.
Ahah ! ini agaknya lokasi yang diceritakan tu. Masjidnya terletak terlalu hampir dengan jalan utama. Segera aku meninjau-ninjau di sekitar kawasan masjid tersebut. Tapak masjid lama berdekatan dengan kawasan kubur. Ruangnya terlalu sempit. Tiada siapa yang boleh aku tanyakan kisah dan sejarah masjid ini. Sepi.





Ketika zaman Sultan Perak yang ke 26, Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ja'afar Mua'azzam Shah, masjid ini telah dijadikan masjid utama untuk Negeri Perak pada zaman itu. Selain itu tarikan kepada nama BATAK RABIT itu sendiri diambil sempena Batak upahan yang datang dari daerah Batak di Sumatera yang dibawa oleh Raja Laut semasa perang saudara Selangor yang mana orang-orang Batak ini  memakai gelang telinga dan hidung yang tergantung keluar.
Ada banyak versi tentang nama Batak Rabit ini, ada yang kata wajah orang Batak dengan orang Melayu se akan sama maka mereka membezakan dengan merabit telinga orang dari keturunan Batak, betul atau tidak wallahu a'lam.



Lagi 6 km aku perlu mengayuh untuk sampai ke Menara Jam Condong yang aku idam-idamkan untuk melawat. Dari kecil sampai lah umur aku sekarang ni, tak pernah jejak ke Telok Intan. Masa zaman sekolah dulu mak tak bagi pergi rombongan langsung. Rupanya dia suruh aku pergi naik basikal. Allah maha mengetahui apa yang tersurat dan tersirat.


Sedikit cerita yang baru aku baca, nama Telok Intan ini diambil sempena nama seorang wanita bangsawan dan hartawan berketurunan Mandailing yang bernama Mak Intan. Ini bererti Mak Intan adalah anggota keluarga (Namora-Natoras, Yang Dimuliakan dan Yang Dituakan). Oleh yang demikian, boleh diterima akal bahawa Mak Intan menjadi penaung kelompok pedagang di Teluk Intan.
Semangat aku berkobar-kobar hendak melihat dengan mata sendiri rupa bentuk Menara Jam Condong itu. Kayuhan semakin dipercepatkan. Mujur jalan rata, memang laju aku mengayuh. Memasuki pekan Telok Intan, membuatkan aku rasa puas, tersenyum sendirian. Terpandang aku sebuah bangunan yang kelihatannya masih kukuh dan sangat menarik. Balai Polis, aku fikirkan ianya masih digunakan, rupanya terbiar. Sayang sekali. Alangkah molek jika pihak yang berkenaan membaik pulih dan menjadikan ia sebagai salah satu tarikan pelancong.


Teringat aku pada Kak Ann, di mana dia agaknya, mungkin sudah lama sampai. Tiba-tiba talipon berbunyi, rupanya Kak Ann yang memanggil dan memaklumkan bahawa dia baru 10 minit sampai di menara. Aku segera mengayuh basikal menuju ke sana. Dari jauh ku lihat kak Ann melambai-lambaikan tangan di tangga menara sambil makan limau. Amboi !



Terpaku melihat menara jam yang sememangnya kelihatan condong. Aku mencari sudut yang menarik untuk merakamkan gambar aku berlatarbelakangkan menara condong. Sejujurnya, aku tak naik langsung ke tingkat atas, hanya melihat gambar-gambar sejarah di bahagian pintu masuk saja. Entah kenapa aku kurang berminat, mungkin sebab tak sanggup meninggalkan basikal kesayangan sendirian di kaki tangga menara agaknya. :)


Sebelum pelawat memasuki ruang dalam menara, mereka perlulah menulis nama di dalam buku log yg disediakan di ruang legar menara. Jika di lain waktu, siapa-siapa yang pergi melawat menara ni, sila lah cari nama aku dalam buku pelawat yang tertulis ' Tun Teja'. Itu pun kalau ada yang berminat dan rajin mencari lah. :p



Hampir satu jam juga berada di situ, perut pun terasa lapar. Aku mengajak Kak Ann dan rakan pengiring untuk mengisi perut. Gerai di tepi sungai Perak menjadi pilihan. Cuaca hari itu terlalu panas hingga aku kurang berselera untuk makan tetapi lebihkan untuk minum. Sambil makan, sambil menjamu mata melihat air sungai yang mengalir tenang, melihat  sendiri suasana rutin harian masyarakat di situ. Tiba-tiba terdengar suara wanita bercakap dengan agak kuat, gayanya seperti sedang merungut membincangkan tentang masalah rumahtangga disusuli dengan tangisan. ~ Uhf, rona kehidupan. Aku, Kak Ann dan rakan pengiring saling tersenyum dan terus makan sambil buat-buat tidak dengar. Ngap..ngap..ngap.


Selesai makan, kami pun sedia untuk menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya kecuali Kak Ann. Kak Ann hanya sampai di Telok Intan, kini tiba masanya untuk dia pulang semula ke Kapar. Selamat jalan Kak Ann ! Hati-hati di jalanan ya.



Seterusnya misi mencari jeti bot penambang ke Kg. Sungai Kerang, di mana laluan itu boleh terus tembus ke Pasir Salak dan Sitiawan. Melilau- lilau juga mencari laluan masuk ke jeti bot. Tanya orang itu, katanya di sana, tanya orang ini, katanya di situ. Berpusing-pusing dalam pekan mencari akhirnya jumpa juga. Lokasinya agak tersorok, dan tiada papan tanda langsung yang menunjukkan di situ letaknya jeti bot penambang.


Hari itu, penumpang tidak begitu ramai maka kurang kebimbangan aku terhadap keselamatan menyeberangi sungai Perak ni kerana aku tak nampak apa-apa lesen bot ditampal di ruang cermin tempat pemandu bot. Jaket keselamatan pun tak kelihatan. Uhf. Menurut rakan yang pernah menaiki bot ini mengatakan bahawa, kadang-kadang bot ini diisi terlalu padat dengan para penumpang dan motosikal. Harapan aku, pertingkatkan lagi tahap keselamatan di sini. Jangan apabila sudah berlaku tragedi, baru nak bertindak.



Lihat saja bagaimana aku membawa naik basikal ke atas bot. Hanya meniti di atas sekeping papan yang disangkutkan di tepi bot. Terkial-kial aku mengimbangi badan agar tidak jatuh ke dalam air. Walaubagaimana pun ia sesuatu yang amat menarik, kerana untuk mendapatkan pengalaman yang hebat perlu mengharungi perkara-perkara yang berisiko.



Perjalanan menyemberangi sungai hanya mengambil masa kira-kira 3 minit sahaja.



Tiba di jeti Kg.Cina, aku terus mengayuh basikal mengikut jalan kecil yang tersedia.




Melalui jalan-jalan tanah merah dan berbatu- batu membuatkan aku bimbang akan tahap kekuatan tayar untuk menerima tusukan batu- batu tajam. Dengan berhati-hati mata aku liar mencari laluan yang elok, jauh dari lopak-lopak dan batu tajam. Hati berdetik, aku dah makin jauh masuk ke pendalaman, betul ke laluan ni ? Apabila berselisih dengan orang kampung aku bertanya arah ke jalan besar. Aku anggarkan dari jeti kg. Cina ke Kg. Sungai Kerang kira-kira 7- 9km ja, tapi aku rasa jauh sangat, mungkin disebabkan kondisi jalan itu menyebabkan kayuhan sangat perlahan.



KAMPUNG SUNGAI KERANG
Bila sampai di hujung jalan tanah merah, baru kelihatan jalan tarmac. Di situ aku disajikan dengan pemandangan yang hijau. Alangkah indahnya jika waktu itu padi sedang menguning. Aku ambil peluang untuk berhenti rehat di bawah sebatang pokok kelapa di tepi sawah tu sambil menikmati tiupan angin yang mendamaikan.



Kampung Sungai Kerang, kampung yang paling hujung dari jalan utama. Aktiviti harian penduduknya bertani dan berkebun. Waktu ni pokok padi sedang menghijau, pemandangan amat menarik sekali.


Cuaca hari itu panas terik, jadi tidak ramai penduduk yang aku jumpa. Berkayuh dalam panas rembang membuatkan kulit tangan dan kaki aku menjadi sensitif. Mula timbul ruam merah yang berair dan gatal di lengan. Aku dah  rasa tak selesa dan rimas. Untuk mengurangkan kesakitan panahan matahari aku tutup lengan dengan kain kemboja. Sekurang-kurangnya dapat bertahan untuk sementara.




Kalau aku tanyakan kepada mereka yang pernah melalui jalan ni, semesti mereka akan mengatakan ‘mental gila’ !.Ini adalah kawasan pertanian. Kiri dan kanan hanya ada sawah bendang yang berekar-ekar  luasnya. Pokok-pokok di tepi jalan yang ada pun boleh dikira. Bayangkan kita berbasikal ketika cuaca panas terik, di jalan yang lurus. Dengan anginnya yang kuat datang dari arah hadapan menyebabkan kita terpaksa menggunakan tenaga lebih daripada biasa. Setiap 500 meter kita akan berhenti mencari pokok untuk berlindung.

Di kawasan ini juga aku diekori oleh sebuah kereta. Setiap kali aku berhenti, kereta ni akan berhenti 50 meter dari tempat aku berhenti. Bukan sekali, tapi berkali-kali hingga satu masa hati aku dah rasa cuak. Masa kereta tu berhenti, aku cepat-cepat mengayuh basikal dan ketika berselisih di tepi kereta tu, pemandu tersebut buat-buat seperti sedang bercakap melalui talipon. Haish, tak boleh jadi. Aku kayuh laju-laju sampai jumpa sebuah gerai menjual air nira. Terus aku berhenti.


Mujur ada gerai menjual air nira di tepi jalan. Dapatlah aku mengelak dari diekori. Tak berapa lama selepas tu, aku nampak kereta yang mengekori aku tu melintas dan terus hilang dari pandangan. Lega. Untuk lebih menenangkan hati aku, aku memesan sebotol air nira. Air yang fungsinya menyejukkan badan ketika cuaca panas. Sebelum ni aku pernah minum air nira, tapi tak sesedap yang ini.



Bukan setakat air nira, air kelapa pun aku minum, tapi bukan air kelapa biasa, ini air kelapa pandan. Buahnya sama seperti kelapa biasa cuma saiz agak kecil sedikit dan airnya ada rasa daun pandan. Salah satu tujuan aku mengembara adalah untuk menikmati makanan dan minuman yang tak pernah aku rasa dan jumpa di tempat sendiri.


Sepanjang jalan pelbagai perkara dan benda yang aku lihat. Dari rumah-rumah tradisi, aktiviti masyarakat setempat, pemandangan alam sekitar dan juga kematian.



Menjelang petang baru  aku sampai ke Kg Koh. Kampung tempat kelahiran Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan pada 21 Oktober 1924.  Dia adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi bersenjata yang didukungnya banyak menumpahkan darah.
Di sini terdapat rumah-rumah kayu dua tingkat yang masih kekal. Aku suka sangat tengok rekabentuknya. Kalau lah aku diberi peluang untuk masuk dan meninjau ruang dalam rumah tersebut mesti lebih bermakna. Majoriti penduduknya adalah dari kaum cina, terdapat juga wat yang dibina di pekan itu.



SITIAWAN


Aku sampai di Sitiawan hampir masuk waktu maghrib, dan terus menuju ke Masjid Jamek Sitiawan. Aku uzur pulak hari itu. Itulah cabaran aku yang harus aku hadapi, ketika baru sampai di Masjid An- Nasriyah azan sedang berkumandang. Qariah silih berganti memasuki masjid, dan aku ? hanya duduk di ruang legar berhampiran tempat solat wanita sambil menjaga basikal. Bayangkanlah, masing-masing memandang aku dengan sinis. Mungkin pelbagai persoalan dan hukuman telah dilemparkan kepada aku. Entah apalah yang ada dalam benak hati mereka. Tebal rasanya muka aku. Malu.


Tiada apa yang mampu aku lakukan selain beredar dari kawasan masjid menuju ke deretan kedai-kedai di pekan Sitiawan itu. Ke hulu ke hilir tanpa tujuan. Macam orang bodoh ja. Di hadapan masjid ada sebuah pondok perhentian bas, aku ambil keputusan untuk duduk di situ hingga usai solat Isyak. Aku rasa itulah keputusan yang paling bijak aku buat setakat ini. Hihi.. Haih !


Sekitar jam 9 malam baru aku masuk semula ke perkarangan masjid. Setelah yakin mendapat kebenaran untuk bermalam di situ, aku mula mendirikan khemah di kawasan garaj jauh sedikit dari laluan orang ramai.  Untuk malam kedua, di sini lah aku menginap. Aku rasa selesa sedikit, walaupun badan aku rasa sakit-sakit yang amat sangat. Tak mengapa, ini baru permulaan. Suka atau tidak, aku tahankan saja. Selamat malam semua.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.

Info kayuhan hari kedua :
Masa : 8:00 pagi - 7:15 malam

Jarak : 127.95km

Thursday, August 28, 2014

Sokongan moral penuh kaseh dan sayang [P.O.T]

Cerita sebelumnya...

Hari pertama
Jalan Nangka - Sabak Bernam
Sabtu 6hb April 2013


Hari yang di nanti-nantikan telah tiba. Seawal jam 5 pagi, aku  dah bangun dan mula mempersiapkan diri. Berulang kali aku memeriksa barang-barang keperluan agar tidak ada satu pun tertinggal. Jika ditanya tentang perasaan, sumpah memang aku tak rasa apa-apa. Hanya yang aku fikirkan adalah kayuhan aku mesti dimulakan tepat jam 7 pagi kerana rakan-rakan telah menunggu di pekan Kapar.

Ketika melalui ruang tamu, terlihat samar-samar seperti kelibat orang sedang tidur. Aku amati rupanya kakak dan abang sedang lena tidur. Entah bila mereka balik.Tak sangka abang dan kakak datang untuk memberikan sokongan moral di saat-saat akhir. Sebak juga dalam hati aku melihat kasih sayang abang dan kakak sebesar itu. Ingatkan nak keluar ‘lone ranger’. Rupanya ada juga nak mengiringi permulaan kayuhan hari ini.




Pagi itu, ketika masih remang- remang dinihari, disaksikan kakak, abang dan dua orang anak bujang yang masih mamai berbungkus dengan selimut toto, aku mengucapkan salam perpisahan dan berharap mereka menjaga diri dengan sebaiknya. Untuk mereka aku sudah sediakan keperluan secukupnya sepanjang ketiadaan aku nanti. Moga mereka baik-baik saja menjaga diri sendiri. Setelah selesai bergambar, dengan ucapan Bismillah aku mulakan kayuhan. Seperti bermimpi, aku telah memasuki fasa 'hati kering' di mana keluar saja dari rumah segala urusan dan permasalahan telah aku tinggalkan.



Minda aku kosong, hanya fokus kepada keselamatan diri sepanjang jalan ke pekan Kapar. Walaupun begitu di dalam dada, jantung aku berdegup kencang. Aku mengayuh dengan kelajuan yang sederhana, di samping itu perlu juga peka dengan kesesakan trafik dalam bandar Klang. Aku teruskan kayuhan dengan berhati-hati, sentiasa berzikir dan berdoa agar diri mudah kelihatan dari pandangan orang ramai. Sungguh mendebarkan. Phews!





KLANG

Pengembaraan aku bermula di negeri Selangor. Ia terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Lokasi pertama yang hendak dituju adalah pekan Kapar. Untuk menuju ke sana aku mesti memasuki ke bandar Klang terlebih dahulu, kemudian mengambil susur kiri arah ke Kapar. Kenderaan di pekan Klang makin bertambah, dengan jalan yang bersimpang siur buat aku cuak, bimbang mereka tak nampak kelibat aku yang berbasikal ni. Motosikal, kereta, lori tanah dan lori kontena berlumba-lumba di jalan yang sesak. Mata aku dah mula berpinar-pinar. Cepatlah keluar dari pekan Klang ni. Takut !




KAPAR

Setelah satu jam meredah jalan yang aku kira laluan paling bahaya, akhirnya aku sampai di pekan Kapar. Ketika aku sampai Ija, Wak dan Kak Ann telah lama menunggu. Ni lah peluang aku untuk berhenti rehat dan bersarapan, walaupun tekak tak rasa nak makan, tapi aku paksakan diri untuk makan walau sedikit. Jika tak makan pengsan pulak nanti tengah jalan. Tanpa aku sedar  dalam diam abang dan kakak mengekori aku hingga ke sini sambil mengambil gambar.



Dari Kapar hingga ke Kuala Selangor, Ija dan Wak akan mengiringi aku, sementara Kak Ann akan terus menemani hingga ke Teluk Intan. Kemudian kak Ann akan berpatah balik semula ke Kapar keesokkan harinya.



Ketika berkayuh menuju ke Kuala Selangor, ada satu insiden yang membuatkan aku tergelak. Gaya Wak bergaduh dengan anjing membuatkan basikal aku pun jadi terhoyong hayang akibat asyik ketawa. Waktu tu, kami leka berkayuh dan di hadapan kami ada sekumpulan anjing. Tiba-tiba Wak memberhentikan basikalnya dan mula mencari-cari sesuatu untuk digunakan menghalau anjing yang begitu banyak. Kami teruskan kayuhan, meninggalkan Wak di belakang untuk menghadapi sekumpulan anjing bersendirian. Tanpa dia sedar, beg khemah yang terikat di rack belakang terjatuh dan tertinggal di situ. Nak dijadikan cerita, bila tersedar beg khemah sudah hilang, Wak terpaksa berpatah semula ke tempat anjing tadi untuk mengambil khemah yang terjatuh. Yang menariknya ketika itu makin banyak anjing mengelilingi khemah  dan mereka memang sedia menunggu kedatangan Wak. Apa yg berlaku selepas itu dan bagaimana wak menangani situasi tersebut ? Sila tanya Wak sendiri.




Seperti kebiasaan, lokasi popular untuk pesikal-pesikal adalah di gerai cendol Borhan. Di sinilah kami berhenti untuk membasahkan tekak dan mengisi perut.  Di sini juga lokasi yang sepatutnya seorang lagi rakan akan tiba seperti yang dijadualkan. Sementara menunggu, kami menikmati laksa dan cendol sepuas-puasnya.



Hampir 2 jam menunggu, kelibat rakan tersebut  tidak juga kelihatan. Mujur dia menghantar pesanan ringkas (SMS) mengatakan bahawa dia mengalami masalah tayar pancit dan rantai basikal putus di pertengahan jalan. *Hrm. Aku tak boleh menunggu lebih lama lagi kerana ia akan merosakkan jadual perjalanan aku untuk hari pertama ini. Aku dan Kak Ann akan meneruskan perjalanan, sementara Ija dan Wak akan pulang semula ke Kapar.

Isyarat tangan aku berikan  kepada Kak Ann untuk meneruskan perjalanan kerana Sabak Bernam masih terlalu jauh. Cuaca ketika itu kelihatan mendung, mungkin bila-bila masa saja hujan akan turun. Benar tekaan aku, ketika melalui Sekinchan, hujan turun dengan sangat lebat. Aku dan Kak Ann terpaksa mencari tempat berteduh. Sempat juga aku  berhenti di Masjid Sekinchan, jika tidak memang lencun satu badan.



Di hadapan sebuah kedai aku meletakkan basikal dan membiarkan beg dan basikal aku ditimpa air hujan. Kesian basikal aku habis basah, tapi apa nak buat, pemilik kedai tak membenarkan basikal dibawa naik ke atas simen kedainya. Sementara menunggu hujan reda  aku tertidur. Setengah jam kemudian, dari jauh ternampak seseorang sedang mengayuh basikal masuk ke perkarangan masjid. Mungkin inilah orang yang berniat nak jadi pengiring aku, bisik hati. Aku terus menghampiri dan menegur, ‘tuan ke yang nak ikut sekali ?’ Dia mengangguk. Aku tak tunggu lama walaupun hujan masih renyai, aku terus saja mengayuh tanpa banyak bicara, kerana masa telah banyak terbuang dek kerana menunggu. Rakan kayuhan yang baru hanya mengekori dari belakang.

SABAK BERNAM

Menjelang jam 8 malam, kami tiba di pekan Sabak Bernam. Kak Ann berpusing-pusing  mencari hotel murah yang berdekatan dengan jalan utama. Mujurlah ada sebuah hotel yang mesra ‘pesikal’ di mana ada menyediakan ruang untuk meletakkan basikal dengan selamat. Malam itu Kak Ann menaja penginapan aku di Sri Bernam Hotel, dapat lah aku berehat dengan selesa. Sementara rakan baru tadi bermalam di masjid yang berdekatan. Kami hanya akan berjumpa kembali pada keesokkan harinya tepat jam 7 pagi.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.

Info kayuhan hari pertama :
Jarak : 164.72km
Tempoh masa :7:00 pagi - 8:20 malam

Gambar hasil ikhsan dari : Red Door To Hunt dan Ann Daim.