Thursday, August 28, 2014

Sokongan moral penuh kaseh dan sayang [P.O.T]

Cerita sebelumnya...

Hari pertama
Jalan Nangka - Sabak Bernam
Sabtu 6hb April 2013


Hari yang di nanti-nantikan telah tiba. Seawal jam 5 pagi, aku  dah bangun dan mula mempersiapkan diri. Berulang kali aku memeriksa barang-barang keperluan agar tidak ada satu pun tertinggal. Jika ditanya tentang perasaan, sumpah memang aku tak rasa apa-apa. Hanya yang aku fikirkan adalah kayuhan aku mesti dimulakan tepat jam 7 pagi kerana rakan-rakan telah menunggu di pekan Kapar.

Ketika melalui ruang tamu, terlihat samar-samar seperti kelibat orang sedang tidur. Aku amati rupanya kakak dan abang sedang lena tidur. Entah bila mereka balik.Tak sangka abang dan kakak datang untuk memberikan sokongan moral di saat-saat akhir. Sebak juga dalam hati aku melihat kasih sayang abang dan kakak sebesar itu. Ingatkan nak keluar ‘lone ranger’. Rupanya ada juga nak mengiringi permulaan kayuhan hari ini.




Pagi itu, ketika masih remang- remang dinihari, disaksikan kakak, abang dan dua orang anak bujang yang masih mamai berbungkus dengan selimut toto, aku mengucapkan salam perpisahan dan berharap mereka menjaga diri dengan sebaiknya. Untuk mereka aku sudah sediakan keperluan secukupnya sepanjang ketiadaan aku nanti. Moga mereka baik-baik saja menjaga diri sendiri. Setelah selesai bergambar, dengan ucapan Bismillah aku mulakan kayuhan. Seperti bermimpi, aku telah memasuki fasa 'hati kering' di mana keluar saja dari rumah segala urusan dan permasalahan telah aku tinggalkan.



Minda aku kosong, hanya fokus kepada keselamatan diri sepanjang jalan ke pekan Kapar. Walaupun begitu di dalam dada, jantung aku berdegup kencang. Aku mengayuh dengan kelajuan yang sederhana, di samping itu perlu juga peka dengan kesesakan trafik dalam bandar Klang. Aku teruskan kayuhan dengan berhati-hati, sentiasa berzikir dan berdoa agar diri mudah kelihatan dari pandangan orang ramai. Sungguh mendebarkan. Phews!





KLANG

Pengembaraan aku bermula di negeri Selangor. Ia terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Lokasi pertama yang hendak dituju adalah pekan Kapar. Untuk menuju ke sana aku mesti memasuki ke bandar Klang terlebih dahulu, kemudian mengambil susur kiri arah ke Kapar. Kenderaan di pekan Klang makin bertambah, dengan jalan yang bersimpang siur buat aku cuak, bimbang mereka tak nampak kelibat aku yang berbasikal ni. Motosikal, kereta, lori tanah dan lori kontena berlumba-lumba di jalan yang sesak. Mata aku dah mula berpinar-pinar. Cepatlah keluar dari pekan Klang ni. Takut !




KAPAR

Setelah satu jam meredah jalan yang aku kira laluan paling bahaya, akhirnya aku sampai di pekan Kapar. Ketika aku sampai Ija, Wak dan Kak Ann telah lama menunggu. Ni lah peluang aku untuk berhenti rehat dan bersarapan, walaupun tekak tak rasa nak makan, tapi aku paksakan diri untuk makan walau sedikit. Jika tak makan pengsan pulak nanti tengah jalan. Tanpa aku sedar  dalam diam abang dan kakak mengekori aku hingga ke sini sambil mengambil gambar.



Dari Kapar hingga ke Kuala Selangor, Ija dan Wak akan mengiringi aku, sementara Kak Ann akan terus menemani hingga ke Teluk Intan. Kemudian kak Ann akan berpatah balik semula ke Kapar keesokkan harinya.



Ketika berkayuh menuju ke Kuala Selangor, ada satu insiden yang membuatkan aku tergelak. Gaya Wak bergaduh dengan anjing membuatkan basikal aku pun jadi terhoyong hayang akibat asyik ketawa. Waktu tu, kami leka berkayuh dan di hadapan kami ada sekumpulan anjing. Tiba-tiba Wak memberhentikan basikalnya dan mula mencari-cari sesuatu untuk digunakan menghalau anjing yang begitu banyak. Kami teruskan kayuhan, meninggalkan Wak di belakang untuk menghadapi sekumpulan anjing bersendirian. Tanpa dia sedar, beg khemah yang terikat di rack belakang terjatuh dan tertinggal di situ. Nak dijadikan cerita, bila tersedar beg khemah sudah hilang, Wak terpaksa berpatah semula ke tempat anjing tadi untuk mengambil khemah yang terjatuh. Yang menariknya ketika itu makin banyak anjing mengelilingi khemah  dan mereka memang sedia menunggu kedatangan Wak. Apa yg berlaku selepas itu dan bagaimana wak menangani situasi tersebut ? Sila tanya Wak sendiri.




Seperti kebiasaan, lokasi popular untuk pesikal-pesikal adalah di gerai cendol Borhan. Di sinilah kami berhenti untuk membasahkan tekak dan mengisi perut.  Di sini juga lokasi yang sepatutnya seorang lagi rakan akan tiba seperti yang dijadualkan. Sementara menunggu, kami menikmati laksa dan cendol sepuas-puasnya.



Hampir 2 jam menunggu, kelibat rakan tersebut  tidak juga kelihatan. Mujur dia menghantar pesanan ringkas (SMS) mengatakan bahawa dia mengalami masalah tayar pancit dan rantai basikal putus di pertengahan jalan. *Hrm. Aku tak boleh menunggu lebih lama lagi kerana ia akan merosakkan jadual perjalanan aku untuk hari pertama ini. Aku dan Kak Ann akan meneruskan perjalanan, sementara Ija dan Wak akan pulang semula ke Kapar.

Isyarat tangan aku berikan  kepada Kak Ann untuk meneruskan perjalanan kerana Sabak Bernam masih terlalu jauh. Cuaca ketika itu kelihatan mendung, mungkin bila-bila masa saja hujan akan turun. Benar tekaan aku, ketika melalui Sekinchan, hujan turun dengan sangat lebat. Aku dan Kak Ann terpaksa mencari tempat berteduh. Sempat juga aku  berhenti di Masjid Sekinchan, jika tidak memang lencun satu badan.



Di hadapan sebuah kedai aku meletakkan basikal dan membiarkan beg dan basikal aku ditimpa air hujan. Kesian basikal aku habis basah, tapi apa nak buat, pemilik kedai tak membenarkan basikal dibawa naik ke atas simen kedainya. Sementara menunggu hujan reda  aku tertidur. Setengah jam kemudian, dari jauh ternampak seseorang sedang mengayuh basikal masuk ke perkarangan masjid. Mungkin inilah orang yang berniat nak jadi pengiring aku, bisik hati. Aku terus menghampiri dan menegur, ‘tuan ke yang nak ikut sekali ?’ Dia mengangguk. Aku tak tunggu lama walaupun hujan masih renyai, aku terus saja mengayuh tanpa banyak bicara, kerana masa telah banyak terbuang dek kerana menunggu. Rakan kayuhan yang baru hanya mengekori dari belakang.

SABAK BERNAM

Menjelang jam 8 malam, kami tiba di pekan Sabak Bernam. Kak Ann berpusing-pusing  mencari hotel murah yang berdekatan dengan jalan utama. Mujurlah ada sebuah hotel yang mesra ‘pesikal’ di mana ada menyediakan ruang untuk meletakkan basikal dengan selamat. Malam itu Kak Ann menaja penginapan aku di Sri Bernam Hotel, dapat lah aku berehat dengan selesa. Sementara rakan baru tadi bermalam di masjid yang berdekatan. Kami hanya akan berjumpa kembali pada keesokkan harinya tepat jam 7 pagi.
Bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah & ayatul qursi. Zzz.

Info kayuhan hari pertama :
Jarak : 164.72km
Tempoh masa :7:00 pagi - 8:20 malam

Gambar hasil ikhsan dari : Red Door To Hunt dan Ann Daim.

No comments:

Post a Comment