Monday, September 22, 2014

Asal kayuh, layankan ja [POT]

Hari ke- 17
Nenasi- Kuala Rompin - Mersing
Isnin 22hb April 2013 

Alhamdulillah, sudah masuk ke hari yang ke 17, masih diberikan aku dengan kesihatan dan kekuatan oleh Allah SWT. Syukur ya, Allah. Awal pula aku keluar hari ni, mungkin sebab aku mahu lebih bersedia untuk berhadapan dengan jalan Kuala Rompin ke Mersing. Kata orang jalannya sangat mencabar. Kata orang lah.


Jam 6.30 pagi dah kelihatan cahaya matahari terbit. Subhanallah, cantiknya. Nampak jalur-jalur sinaran mula timbul tapi tak lama, hanya beberapa saat saja. Sempat juga ambil gambar walaupun tak jelas. Maklumlah kamera biasa-biasa.


Setengah jam kemudian ketika melalui hutan risab Bebar perjalanan aku dipintas oleh sebuah kereta. Menurut RP, itu kereta kawannya yang sudah berjanji hendak mengirimkan bekalan sarapan pagi. Mereka pergi ke masjid, tapi tengok tak da orang. Itu sebab mereka kejar sampai ke sini. Alahai, terima kasih banyak-banyak. Nasi lemak dan air milo panas ikat tepi 2 bungkus rezeki untuk pagi ni. Syukur alhamdulillah.


Setelah mengucapkan terima kasih, kayuhan disambung semula hingga berjumpa dengan kedai makan di tepi jalan. Sengaja aku berhenti sebab nak cari kuih tradisional yang pelik-pelik, tapi sayang tak ada pula. Hanya kuih yang biasa aku makan yang dijual. Makan je lah, asal kenyang. Sambil tu boleh jugak tengok suasana pagi di sini.



Perjalanan disambung semula. Bila sampai di atas sebuah jambatan, aku berhenti kerana ada sesuatu yang menarik perhatian aku. Sesuatu yang aku tak pernah lihat, mungkin pada orang lain ianya sudah biasa tapi tidak pada aku. Orang yang lahir di bandar mana pernah tengok benda-benda macam tu. Aku tak tahu apa bendanya, tapi batangnya macam pokok pinang, ada ruas macam pokok buluh. Bersusun-susun terapung dalam sungai. Batang pokok apa tu ? dan kenapa direndam dalam air sungai. Aku biarkan segala persoalan bermain-main dalam fikiran.



ROMPIN
Selamat datang ke daerah Rompin. Aku ingat dah sampai bandar, rupanya baru masuk sempadan daerah Rompin. Jauh lagi rupanya. Nasib baik masih awal pagi, dapat lah aku bertahan mengayuh basikal sejauh yang boleh.


HUTAN LIPUR MENCHALI
Terletak 16km dari bandar Rompin. Hutan lipur ni macam kurang popular ja. Mengikut rasa naluri aku, kalau tak ramai orang bermakna tak ada sungai dan air terjun. Ingat nak masuk tengok apa yang ada, tapi memikirkan perjalanan masih jauh maka aku batalkan saja hasrat tu, aku hanya berhenti minum dan mengambil gambar dari luar saja.




Jauh lagi. Di sini tiada yang menarik untuk dikongsi kerana hanya hutan dan ladang kelapa sawit di sepanjang jalan. Nak berhenti rehat pun tak ada gerai menjual air. Bahu jalan pun kecil saja, jadi tahap keselamatan mesti lebih daripada biasa.



MASJID AL-IMAN
Aku tak sangka yang aku masih berpeluang untuk melihat reka bentuk masjid lama di sini. Masjid ni dikenali dengan nama Masjid Leban Chondong. Didirikan pada tahun 1984 dan terletak kira-kira 12 km dari bandar Rompin. Aku suka tengok reka bantuk masjid ni, ala-ala rumah Melayu tradisi. Berbumbung piramid atau bumbung tangkup tiga lapis. Masjid ini tidak mempunyai kubah bulat tetapi di puncak bumbungnya terdapat tetunjuk langit yang dihiasi dengan bintang dan bulan sabit sebagai lambang.




Dari jalan utama kita boleh nampak perkampungan orang asli Sabak. Rumah-rumah mereka sekadar yang ada saja. Bagi kita bentuk macam tu kita panggil sebagai pondok. Tak ada sofa, tak ada tv berskrin besar atau langsir beropol-ropol. Hanya sebuah radio kecil menjadi penghibur ketika sunyi.






Kampung Tebu Hitam ? Agaknya zaman dulu-dulu banyak pokok tebu hitam tumbuh di kawasan ni, kerana itu dinamakan dengan nama tu.



KUALA ROMPIN
Hampir memasuki Bandar Baru Rompin. Masjid Tengku Mahkota Abdullah menjadi tumpuan pandangan aku, hanya dapat merakam gambar dari jauh.



Sepanjang perjalanan selama 17 hari, aku terdedah dengan habuk kotoran dari asap kenderaan dan udara yang bercampur dengan peluh. Kulit aku tak tahan dan sensitif sampai mengeluarkan bintik-bintik ruam di pergelangan buku lali. Gatal. Makin aku garu makin merebak dan membengkak. Walaupun mandi menggunakan sabun berubat, masih tak membantu. Aku ambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di Klinik 1 Malaysia. Jimat, bayar satu ringgit dah dapat rawatan.


Aku perhatikan ramai orang di depan klinik tu, tapi semuanya cuma berdiri dan berbual kosong. Bila aku bertanya klinik ni buka atau tidak, mereka hanya menjawab yang klinik ini  belum beroperasi lagi. La, nak kena buat majilis perasmian dulu ke ? leceh betul. Terpaksalah aku bertahan selagi yang boleh.

Baru jam 11 pagi, ada lagi 61km lagi nak sampai ke Mersing. Sempat juga aku melihat pada meter, cantik pulak nombor yang tertera di skrin.


Jalan di sini lengang, sekali sekala berselisih dengan lori  dan kenderaan lain membuatkan aku berdebar. Kadang-kadang tiupan angin juga boleh membuatkan kita akan hilang kawalan. Jika bernasib baik sempat berhenti, jika tidak akan jatuh tergolek.
Haa ! jumpa lagi perkampungan orang asli.


Semua orang tahu, lalu kawasan ladang kelapa sawit di tengah hari memang terbaik. Kalau tak nampak fatamorgana tak sah. Sebelum aku nampak bintang-bintang baik aku berhenti rehat dulu sambil pekena air kelapa bagi sejuk sikit badan.


Aku dimaklumkan bahawa ada seorang rakan RP yang ingin ikut serta dalam kayuhan ini dan akan sampai tidak lama lagi. Kalau begitu, aku tunggu hingga dia sampai baru sambung perjalanan. Dari jauh dah nampak seseorang sedang mengayuh basikal dengan begitu laju. Uhf, siapa tu, laju betul dia kayuh.


Inilah Tok Ji. Beliau memulakan kayuhan dari Kuala Kubu Baru tetapi dengar khabarnya tersasar hingga ke Tasik Chini kemudiannya berpatah balik ke Muadzam.



Tempat wajib untuk aku berhenti ialah di setiap jambatan . Kali ini di jambatan Endau di Tanjung Gemok . Di sini juga terletaknya jeti terminal feri untuk ke Pulau Tioman.




Aku sudah sampai ke Negeri Johor Darul Ta’zim. Negeri yang terletak di selatan semenanjung. Johor merupakan negeri ke-5 terbesar di Malaysia dan ke 3 besar di Semenanjung Malaysia. Nama rasminya Darul Ta’zim berasal dari perkataan Arab yang bermakna tempat perlindungan yang bermaruah.

Setiap kali aku mengembara, bila terjumpa gerai menjual buah tembikai, aku mesti singgah untuk membeli. Kenapa ? sebab aku suka. Ha ha. Sebenarnya tembikai terlalu banyak khasiatnya. Kalau nak tau sila ‘google’ di internet. Takkan semuanya aku nak bagitau kan ? Ahaks !


FELDA ENDAU
Di tengah perjalanan, aku nampak sesuatu. Sesuatu yang aku rasa bangkai binatang yang mati dilanggar kenderaan. Aku tak tau nama dan specis apa, tapi rasa sedih bila jumpa haiwan-haiwan liar yang jarang kita lihat mati kerana perbuatan manusia. Aku harap sangat kepada mereka yang membaca cerita aku ni akan lebih prihatin dan lebih berhati-hati bila melalui kawasan hutan. Kadang-kadang ada antara mereka yang bila nampak ular atau biawak yang sedang  melintas, mereka sengaja melanggar haiwan tersebut. Untuk apa ? adakah haiwan tersebut membawa kemudaratan atau menyerang  mereka ketika dalam kenderaan ? Haiwan tu hanya nak mencari makan dan terus hidup saja. Kenapa begitu keji sekali ?



Melintasi jirat Cina di tengah terik matahari rasanya sangat menguji ketahanan mental . Bukan itu saja, kena mendaki bukit yang tinggi, tak lah setinggi jirat di Bukit Jugra tapi sesak juga lah dada ni akibat bahang panas jalan tar.



Nah, ini makan dia. Jam 2 petang, di tengah panas rembang aku melayan bukit bukau di ladang kelapa sawit Felda Endau. Tak da tempat berteduh apalagi gerai air, jalanraya pun lengang. Sekali sekala baru nampak kenderaan lalu. Fuh !


Selama 2 jam berada di atas jalanraya di tengah ladang kelapa sawit membuatkan mata aku berpinar-pinar. Hingga sampai di Hutan Rekriasi Gunung Arong barulah dapat berteduh.


Berhenti pun tak lama, sambung semula perjalanan menghadap laluan berbukit-bukit. Owh sungguh seronoknya. Kayuh tetap kayuh.

TENGLU
Salah satu mukim yang terdapat di dalam Daerah Mersing yang sejarahnya berkait rapat dengan sejarah Mersing ialah Tenglu. Dikatakan ia mendapat nama dari persahabatan yang erat antara pemuda Melayu, Abul dan pemuda Cina, Lam Seng yang telah membawa kepada kerjasama untuk menanam getah di kawasan yang terletak lebih kurang 5 batu dari Sungai Mersing. Setelah menjalani proses pembersihan kawasan dan penanaman, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan makanan. Abul tidak tahan menanggung risiko ini dan ingin segera kembali ke Mersing. Beliau telah berkata kepada Lam Seng "Tinggallah Lu" sehingga terbitlah nama Tenglu. Wallahua’lam. Sumber maklumat ni aku dapat dari laman portal rasmi majlis Daerah Mersing.


 Basikal yang aku kayuh lama-kelamaan rasa makin berat dan perlahan. Tayar basikal aku pancit rupanya. Cepat-cepat aku tolak ke tepi jalan. Tok Ji banyak membantu aku ketika proses penukaran tiub. Bukan tiub saja bocor, lapik brek belakang juga pecah. Jadi aku baiki mana yang penting dulu sementara mencari kedai basikal.




Keadaan tayar tak begitu memuaskan, makin lama tayar makin kurang angin. Mengagau aku cari kedai basikal tapi tak jumpa, yang ada bengkel kereta, aku singgah juga lah minta tumpang pam tayar guna pam angin kat bengkel tu. Tak jauh dari bengkel kereta baru lah jumpa kedai basikal ni.



Pemilik kedai ni istimewa orang nya. Biar gambar yang berbicara.




MERSING
Lama juga berhenti di kedai basikal tu sebab mencari alat gantian untuk pad brek belakang yang sesuai. Yang ada semua jenis kepala bulat, tak muat untuk basikal Bridgestone aku.
Jam 6 petang baru siap, perancangan aku kalau boleh tak mahu sampai di Mersing bila keadaan dah malam. Kena kayuh laju sikit, lagipun dah tak jauh dah nak sampai bandar Mersing.


Mersing, dikenali sebagai bandar pelancong, kerana di sini titik mula bagi para pelancong untuk ke Pulau Tioman, Pulau Sibu, Pulau Tengah dan pulau di sekitarnya. Ada beberapa cerita mengenai bagaimana Mersing mendapat nama. Ia mendapat nama dari kisah penahanan buang daerah seorang pesuruh Sultan Pahang yang berketurunan Sikh yang melakukan kesalahan berat. Pesuruh itu bernama Amer Singh. Oleh kerana lelau di sebut-sebut akhirnya bunyinya kedengaran seperti Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang bernama Awang. Mersing ni amat diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing memilih anak Penghulu sebagai bakal menantunya.
Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya. Namun begitu, Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing. Mana satu yang betul aku pun tak tahu. Wallahu’alam.

Kami singgah makan malam dulu, sebelum mencari tempat untuk bermalam. Ini lah kali pertama aku sampai di Mersing. Dah macam rusa masuk kampung, tercangak-cangak melihat sekeliling. Bandarnya tak lah besar sangat. Masih mengekalkan bangunan-bangunan lama. Kalau nak bersiar-siar elok kalau menaiki basikal atau berjalan kaki saja. Lepas makan baru lah tercari-cari arah nak ke masjid Jamek Mersing. Berpusing-pusing juga nak mencari jalan menuju masjid jameknya. Rupanya masjid terletak di atas bukit. Tu dia, tinggi betul. Mencanak bukitnya. Mengah.
Sampai saja di tempat letak kereta dah pukul 7.00 petang, gelap. Walau dalam remang-remang senja, terpegun bila tengok pemandangan dari masjid ni cukup cantik mengadap laut China Selatan. Di sebabkan masjid ini di atas bukit maka dapatlah melihat pemandangan bandar Mersing. Di lereng bukit ditanam dengan pokok-pokok dan ada disediakan tangga untuk laluan pejalan kaki untuk ke masjid. Aku tak ambil gambar pun masa kat sini. Bateri kamera dah habis.

Ketika  sampai di perkarangan masjid solat maghrib sedang didirikan. Jadi aku kenalah menjaga basikal di kawasan kantin di bahagian belakang masjid sementara menunggu Tok Ji dan RP pergi menunaikan solat. Duduklah aku di kantin yang gelap, penuh dengan nyamuk yang sedang lapar mencari makan, hanya kucing jadi peneman aku. Banyaknya kucing kat sini. Tak lama kemudian, Tok Ji dan RP pun sampai. Tiba masa untuk aku pula menyelesaikan urusan aku. Kami memang bercadang untuk tidur di kantin, pasang ubat nyamuk atau aku gantung hammock saja, asal  boleh tidur, apa ada hal. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang tak terurus keadaannya dengan membawa makanan. Sambil merungut-rungut dia mencari sesuatu di bawah para batu yang terletak di bahagian dapur.
Aku cuak gak, siapa ni tiba-tiba ja muncul.
Dengan suara yang perlahan RP memberitahu, penjaga masjid ada pesan lelaki tu memang tinggal di kantin masjid. Hari-hari dia keluar, dan bila balik dia akan membawa makanan untuk diberikan kepada kucing-kucing yang ada di situ. Dia memang tak suka kalau ada orang luar datang dan menumpang tidur di masjid.
Owh ! cam tu ke. Tu dia merungut-rungut marah-marah, dia tak suka kita ada kat sini la ya, aku mengagak. RP diam. Risau jugak aku, nanti tengah tidur tak pasal-pasal dia mengamuk.
Aku rasa RP pun fikir macam apa yang aku fikir, kemudian aku tengok RP menuju ke masjid. Beberapa minit kemudia dia muncul dan menyuruh aku berpindah tempat tidur ke ruang beranda masjid. Dia sudah meminta keizinan atas sebab- sebab keselamatan. Aku pula dibenarkan untuk tidur di dalam ruang solat wanita. Wah, lumayan sekali. ahaks ! Alhamdulillah.
Aku tak tahu pukul berapa Tok Ji dan RP tidur. Mereka berdua seronok bersembang tak habis-habis. Maklumlah RP dah ada kawan ‘mengopi’. Sepanjang jalan dengan aku memang tak ada  cerita aku nak bualkan. Aku banyak diam dan menghayati nikmat perjalanan. Apa yang penting pada aku adalah, waktu rehat, mesti berehat. Tidur lagi bagus untuk memperbaiki dan menambah kembali tenaga yang sudah habis.
Bismillahirrahmanirrahim. Al-fatihah dan  ayatul qursi. Zzz.

Info kayuhan hari ke 17 :
Jarak kayuhan : 134km
Masa : 6.30 pagi - 7.00 petang

No comments:

Post a Comment