Hari ke- 18
Mersing - Desaru
Selasa 23hb April 2013
Pagi ini begitu tenang sekali. Keluar dari kawasan masjid, basikal aku terus meluncur laju hingga ke simpang jalan utama. Melewati lampu-lampu jalan yang masih terpasang. Jalanraya masih lengang. Dalam cahaya yang samar-samar aku tercari-cari kedai makan, tiada satu kedai makan pun yang dibuka awal pagi ni, maka aku teruskan saja perjalanan
Sebelum susur keluar menuju jalan ke Kota Tinggi, ada sebuah lagi bukit di kawasan bandar tertera perkataan MERSING, di bawah bukit pula terletak sebuah tokong Cina bersebelahan dengan kuil India. Kalau ada masjid sebelah kedua-dua tempat ibadat tu, mesti epik kan ? Baru lah 1 Malaysia.
Menghampiri Kampung Gajah Mati, aku nampak kabus yang berlapis-lapis menyelubungi seluruh ladang kelapa sawit. Nampak berbalam-balam dari jauh dan sinar matahari mula keluar dari balik awan. Cantiknya.
JEMALUANG
Dari satu kampung ke satu kampung, suasana tenang. Kereta pun hanya sesekali melintas. Lengang. Cabaran sudah bermula. Tekanan pada kayuhan mula terasa mulai memasuki Jemaluang menuju ke persimpangan Tanjung Leman / Desaru sejauh 21 km. Jantung mula berdegup kencang, nafas dihela pendek-pendek tetapi laju. Hingga satu tahap bila dada terasa bagai nak pecah, nafas hampir terputus dan otak sudah mengatakan cukuplah, aku terus berhenti. Berhenti sebelum aku nampak bintang -bintang di siang hari.Aku, Tok Ji dan RP bergilir-gilir berhenti untuk melepaskan kelelahan pendakian bukit di ladang sawit yang terbuka. Tiada pokok untuk berteduh di sepanjang jalan, tiada gerai minuman untuk berhenti menghilangkan dahaga. Yang ada hanyalah bukit bukau dan ladang sawit. Perjalanan yang aku rasa tak habis-habis dan tak sampai-sampai.
Kali ini aku tidak mengikut laluan yang biasa dari Mersing ke Kota Tinggi, sebaliknya aku lebih suka mencari dan menjelajah laluan yang baru melalui pesisir pantai. Ternyata sangat mencabar sekali dan aku suka.
Tiba di persimpangan Sedili Besar/Tenggaroh ada sebuah perhentian teksi sapu. Aku berhenti untuk bertanyakan tentang jalan ke Sedili Kecil. Pakcik-pakcik yang sedang berehat di situ memberitahu bahawa sudah ada jambatan yang menghubungkan dari Sedili Besar dan Sedili Kecil. Mendengar maklumat dari mereka, aku mula tersenyum kerana matlamat aku untuk menjelajah mengikut pesisir pantai Semenanjung mengikut seperti yang dirancang. Jadi keputusannya aku akan membelok masuk ke simpang menuju Sedili Besar /Felda Tenggaroh/ Jeti Tanjung Leman.
FELDA TENGGAROH
Lebih kurang setengah jam perjalanan, kami berhenti rehat di sebuah gerai. Gerai yang menjadi tumpuan pekerja-pekerja ladang ketika waktu makan. Semasa aku sampai pun ada beberapa orang pekerja ladang sedang membeli makanan dengan jumlah yang banyak. Oleh kerana masih awal, tiada banyak pilihan lauk pauk yang dihidang. Walaupun begitu itu bukan menjadi satu masalah asalkan ada nasi dan ikan, itu sudah memadai. Lauknya pun baru saja dimasak. Rasanya juga sedap lebih-lebih lagi jika ikan seekor dikongsi makan tiga orang.Dari jauh aku perhatikan gelagat tokey gerai ni. Sambil masak dia membancuh air sirap, dan kemudian dia campurkan dengan susu dan air berkarbonat. Aku pun bertanya, air apa tu kak ? dia senyum dan berkata, ‘ni sirap bandung, akak suka kalau campurkan dengan air ais krim soda. Rasanya sedap. Kalau adik tak percaya nanti adik cuba.’ Macam sedap ja, macam nak cuba ja, bisik aku. Kalau aku nak, boleh ja pesan air tu suruh kakak tu buatkan. Bila aku fikir semula, perjalanan aku ni jauh lagi, kalau minum nanti tak sesuai dengan perut aku nanti kan susah. Tak pe lah. Nanti bila ada kelapangan akan aku cuba.
“ Tenggaroh 2 Selamat Datang”
Ucapan alu- aluan yang membawa makna yang besar pada pengayuh basikal seperti aku. Nah ! Lihat saja gambar- gambar yang aku titipkan di sini.
Sekali pandang, terkeluar dari mulut aku perkataan,
“ mak ai!, 3 bukit nak kena hadap ?’’. Owh tak pe, boleh punya lah. Lepas puncak ke tiga sampai la tu. Bila sampai di puncak ke 3, aku tengok ada lagi puncak-puncak bukit yang tak putus-putus umpama belakang badan seekor naga. Dan begitu lah keadaan seterusnya. Di atas kepala aku matahari sedang elok tegak meninggi memancarkan cahayanya ke seluruh ladang kelapa sawit. Bahangnya cukup panas, di kiri dan kanan jalan tiada satu pun pokok untuk aku menumpang teduh.
Apabila kadar peratusan mental mulai menurun, di hadapan aku tersergam satu bukit yang paling tinggi di antara bukit- bukit yang telah aku lalui tadi. Nah ! ini mungkin bukit yang terakhir, bisik hati kecil. Senyuman mula terukir. Hati mulai melonjak kegembiraan. Harapan sudah kembali semula. Aku gagahkan juga kaki untuk mengayuh basikal dengan kadar kelajuan 3kmsj.
Tak mengapa, biar lambat walau pun satu kayuhan. Asal jangan terus berhenti.
Berkat kesabaran, sampai juga di puncaknya. Cantik membiru dan luas terbentang pemandangan depan mata aku..
Aku dah nampak dah, aku dah nampak laut. Macam dah tak jauh ja. yay ! Punya lah suka hati aku waktu tu. Tak sabar rasanya nak menuju ke tepi laut. Bersungguh-sungguh aku mengayuh basikal dengan harapan biar cepat sampai. Kayuh punya kayuh, makin lama, laut makin menjauh. Eh ! kenapa macam ni pulak ? Masa tu aku rasa mental aku pecah bila tengok jalan di hadapan adalah jalan yang berbukit-bukit lagi.
SEDILI BESAR
Hampir jam 4 petang, baru sampai di kawasan penempatan Kampung Semayong , Sedili Besar. Aku berhenti rehat di kedai makan kerana perut terasa lapar dan dahaga. Kedai makan yang dibina oleh KEMAS dalam projek Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) khas untuk orang-orang kampung di sini. Sepanjang jalan tadi tiada satu kedai makan pun yang aku jumpa. Ketika aku sampai, ramai pelanggan yang sedang menjamu selera. Tiada ruang kosong untuk aku nak duduk, selit menyelit saja di kalangan pelanggan yang lain.Meriah sungguh kedai ni. Lebih-lebih lagi tokey kedainya memang peramah. Sambil minum aku bertanya tentang jarak ke Sedili Kecil. “Tak jauh dah dik, ke depan sikit nanti jumpa lah jambatan yang boleh terus ke sana”. Maklumat yang aku terima amat mententeramkan jiwa aku.
TANJUNG SEDILI
Betul kata mereka tadi, dah ada jambatan baru. Jambatan Haji Mohd Lazim atau dikenali dengan Jambatan Tanjung Sedili. Jika dahulu, bila hendak pergi ke Sedili Besar atau Sedili Kechil, penduduk terpaksa menyemberang menggunakan bot penambang dengan tambang 50 sen. Kini perkhidmatan bot penambang sudah hilang ditelan pembangunan. Ramai yang lebih suka memilih untuk menggunakan jambatan kerana ia lebih cepat dan selamat. Ala, tak dapat lah aku merasa naik bot penambang dah. Selain dari mengembara melalui jalan pesisir pantai Semenanjung, aku juga mencari jalan yang boleh dihubungkan dengan menggunakan bot-bot penambang. Setakat ini, yang aku tahu perkhidmatan bot penambang yang masih beroperasi adalah di :Telok Intan - Kampung Sungai Kerang yang boleh terus ke Pasir Salak.
Sabak Bernam - Kampung Kota ( Perak) menuju ke Hutan Melintang.
Ladang Sungai Bernam - Hutan Melintang
Seberang Takir - Kuala Trengganu
Bukit Pelanduk ( N. Sembilan ) - Sungai Pelek (Selangor)
Semua yang aku senaraikan di atas menjadi laluan pintas dan jalan alternatif ketika aku melakukan kembara berbasikal. Menarik dan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Bercerita tentang Tanjung Sedili, di sini juga tempat kelahiran Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang, yang mana dahulu ianya dikenali sebagai Tanjung Lembu.
Setiap kali aku melintasi jambatan, semestinya aku berhenti di tengah-tengah kerana pemandangannya sangat menarik. Ini pandangan dari atas jambatan Tanjung Sedili. Kelihatan banyak bot -bot nelayan bersusun di tepi sungai. Kelong penternakan ikan dalam sangkar, rumah-rumah nelayan yang dibina di tepi sungai. Begitu lah kehidupan para nelayan di sini.
Lebih jauh aku mengembara, lebih banyak perkara yang aku tidak ketahui. Ada banyak tempat peranginan di pesisir pantai Sedili yang masih kurang dikenali. Antaranya ialah Pantai Telok Mahkota yang dulu dikenali sebagai Jason Bay. Pantai yang mengadap Laut Cina Selatan mempunyai kuasa tiupan angin dan ombak yang kuat. Memang sesuai untuk sukan ‘windsurfing’, bukan itu saja ianya tempat yang sesuai bagi para pemancing pantai. Aku berhenti seketika di bawah pokok rhu sekadar untuk melepaskan lelah. Hanya Tok Ji dan RP saja yang bersiar-siar di pantai dengan basikal. Aku lebih suka di sini, redup,berangin dan tenang saja. Dari jauh aku melihat gelagat mereka berdua sambil memikirkan perjalanan seterusnya.
Kayuhan di teruskan hingga melewati satu kawasan yang ditumbuhi pokok yang seakan pokok pinang. Aku bertanya kepada Tok Ji, pokok apa ini ? Dari jauh nampak cantik, rimbun dan batangnya tinggi menjulang, daun-daunnya melintuk liuk bila ditiup angin.
Itu lah pokok nibong, orang dulu-dulu gunakan batang nibong ni buat tiang rumah, buat jambatan sebab batangnya kuat dan tahan lama. batangnya sama macam batang pinang tapi berduri,kata Tok Ji.
Oo..ini dia pokok nibong. Sumpah , tak pernah tengok. Kalau macam tu, nama tempat Nibong Tebal kat Pulau Pinang tu sempena dengan nama pokok ni ke. Tok Ji senyum ja. Aku cepat-cepat ambil gambar pokok nibong sebab aku nak tunjukkan gambar ni pada anak-anak aku nanti. Setidak-tidaknya biar mereka tau sebelum pokok ni pupus. Baru aku tahu, batang-batang pokok yang aku nampak direndam dalam air tempohari ialah pokok nibong rupanya.
Aku sampai di Sedili Kechil jam 5 petang.
Mengikut perancangan, aku akan berhenti dan bermalam di sini, tapi RP mencadangkan untuk teruskan perjalanan hingga ke Desaru. Desaru lebih kurang 40 km lagi dari Sedili Kechil. Jadi ketika melalui jambatan Sedili Kechil, aku bertanya kepada seorang abang yang sedang memancing di situ.
Abang, tompang tanya, dari sini nak ke Desaru jauh tak ? Sepanjang jalan ni ada kampung atau tempat hentian tak ?
Dari sini nak ke Desaru tak jauh sangat, tapi lepas dari kampung ni memang dah tak ada kampung. Ni lah kampung akhir, dengan ramah abang tu menjawab,
Aku terus buat keputusan, oklah kita patah balik cari masjid, malam ni tidur kat sini ja.
Tok Ji dan RP menolak cadangan aku. Mereka nak teruskan perjalanan hingga ke Desaru.
Dengan yakin mereka cuba memujuk dengan kata-kata yang aku rasa macam hebat benar lagaknya.
Sambil ketawa mereka berkata, “Tak pe Tun, kan dia dah kata tak jauh. ‘Kalau Tun tak larat nanti kami ‘towing’ lah.’
Geleng kepala aku dengar. Uhf ! Nak towing aku ? Ok baiklah, kita tengok siapa towing siapa.
2 lawan 1, ok baiklah aku mengalah. Mengalah bukan kerana aku kalah. Aku mengalah kerana aku mahu mengajar. Aku mampu buat, aku mampu kayuh walau tengah-tengah malam. Aku sudah dilatih untuk segala keadaan. Aku teruskan kayuhan dengan hati yang terbuku. Dalam dada rasa panas terbakar. Panas kerana mereka tak hormatkan keputusan yang telah aku tetapkan. Panas kerana mereka tidak fikir kemungkinan yang akan berlaku jika meneruskan perjalanan dalam gelap. Panas kerana mereka tidak mengkaji tentang maksud “dekat’. Memang lah ‘dekat’, dekat mengikut persepsi orang yang menaiki kereta atau motor, berbeza dengan ‘dekat’ orang yang hanya berbasikal. Persoalannya, sekarang ni apa kenderaan yang kita guna ? Apakah mereka berdua tidak fikir ?
Sepanjang jalan aku asyik berfikir dan memujuk hati sendiri agar menerima segalanya secara positif. Pujuk dan terus memujuk. Kaki terus mengayuh tanpa henti. Berfikir tentang hala tuju aku sekarang sejauh mana dan bila akan sampai. Sesungguhnya aku terlalu letih, terlalu penat dan lapar, tapi kerana marah aku meneruskan perjalanan. Dalam keadaan yang makin gelap. Lampu yang aku ada memang tak cukup terang nak menerangi laluan di tengah hutan. Aku redahkan juga, ada lubang ada lopak aku langgar saja kerana tak larat nak mengelak lagi.
Hingga tiba di satu kawasan, yang agak berbukit. Masing-masing aku rasa sudah betul- betul letih tak larat nak mendaki, tiba-tiba Tok Ji meminta supaya aku berhenti sebentar, keletihan barangkali kerana aku tak berhenti rehat sejak dari Sedili Kechil. Bila aku tak berhenti, maka mereka pun tak berhenti, kena lah ikut supaya tidak terpisah.
Aku berhenti, Tok Ji dan RP pun berhenti. Memang sepatutnya aku berhenti rehat kerana keadaan aku sudah menggigil kelaparan. Tenaga aku sudah habis, kiranya kalau dicuit saja aku boleh terus rebah. Tok Ji hulurkan aku roti. Terima kasih Tok Ji kerana prihatin. Aku terus makan dan meneguk sedikit air. Kemudian, tak sampai 10 minit aku aku sambung semula kayuhan. Aku rasa Tok Ji dan RP tersentap dengan perbuatan aku sebab mereka belum habis makan lagi aku dah mula kayuh. Ok lah tu, ini yang mereka nak aku bagi la betul-betul. Kayuh tetap kayuh.
Dan ketika RP mula mengayuh, aku terdengar bunyi srettt krakk ! krak ! Aku menoleh dan nampak RP berhenti. Tok Ji pun berhenti. Aku ? Ahh jalan terus lah. Bukan aku tak biasa dengar bunyi tu. Dari hari pertama pengembaraan lagi aku dah dengar. Bunyi rantai yang tak masuk ke ’cassette’ dengan sempurna. Bila tukaran ‘shifter gear’ atau ‘speed’ dibuat dan kayuhan dilakukan dengan kasar.
Buat sementara waktu, roti dan air kosong tadi boleh lah memberi sedikit tenaga untuk aku sampai ke Desaru. Terasa cukup jauh. Bila aku toleh ke belakang aku tak nampak kelibat mereka berdua. Aku perlahankan kayuhan, ketika itu aku berada di dua keadaan. Berhenti dan menunggu atau teruskan kayuhan. Aku pilih teruskan kayuhan. Kerana pilihan ini pilihan mereka, jadi aku takkan tunggu.
DESARU
Aku terus mengayuh tanpa henti dan tanpa menoleh kebelakang lagi. Misi aku ketika ini adalah untuk sampai ke destinasi yang berikutnya. Desaru. Aku pun tak tahu di kawasan mana nak berhenti tidur. Seingat aku, Desaru mana ada kawasan perkelahan, maksud aku macam pantai-pantai yang lain. Di situ semua kawasan hotel mewah. Aku pernah sampai ke Desaru, tapi masa umur aku lebih kurang 10 tahun lah. Itu dulu, sekarang entah macamana lah agaknya. Memang aku tak boleh nak bayangkan arah mana aku nak tuju nanti, lebih-lebih lagi di tengah malam gelap ni.
Dalam keadaan begini, aku cuma mengikut rasa naluri saja. Kayuh hingga penghujung jalan. Kalau tak jumpa, atau semuanya kawasan hotel, memang aku mati kutu lah. Apa yang boleh aku buat berserah pada nasib dan takdir. Kayuh dan terus kayuh dengan mengikut petunjuk arah yang tertulis DESARU, aku terus masuk jalan bertar ke kawasan hotel-hotel mewah. Di dalam dada aku, jantung berdegup kencang. Pelbagai rasa ada. Bimbang, risau, marah, letih, lapar dan semuanya terhimpun dalam satu waktu. Walaupun begitu aku cuba kawal supaya tidak terlalu panik. Aku tak ingat lain dah, sepanjang kayuhan aku tadi, aku baca ayat qursi dan al-fatihah berulang-ulang kali. Tidak ada siapa yang boleh aku minta tolong selain dari Allah. Sudah lah talipon tak de. Malam pula tu. Kalau jadi apa-apa, apa ikhtiar aku ? Tawakal. Hingga ke hujung jalan ada selekoh, dan selekoh tu menuju ke tapak pembinaan yang berpagar. Alamak ! jalan mati. Mana pantainya ?Aku memang dah rasa lemah, lemah kerana putus asa barangkali. Panik pun ada. Memang aku dah tak ada hala tuju dah. Dalam gelap malam, aku berhenti dan memerhatikan sekeliling, mencari jalan ke kawasan perkelahan awam yang tertulis. Di simpang sebelah kiri aku, ternampak lampu dari pondok pengawal. Harapan aku kembali berbunga. Aku nekad untuk meminta pertolongan sedaya yang boleh.
Sampai di depan pondok pengawal, kelihatan dua orang lelaki yang ku kira umurnya dalam lingkungan 25- 30 tahun. Aku memberi salam dan salam ku dijawab.Terus aku bertanya di manakah arah ke pantai awam. Menurut mereka berdua, di situ lah pantai awam Desaru, tapi malangnya ia sudah ditutup. Tidak dibenarkan barang sesiapa pun memasuki kawasan tersebut sehingga keesokkan hari jam 8 pagi. Kami memang tak boleh nak benarkan cik masuk atas arahan bos kami, tegas mereka.
Gulps ! ah sudah. Camana ni. Fikir..cepat fikirkan ikhtiar. Agak kecewa juga tapi sehabis daya, aku merayu juga.
“Bang. Kalau ada belas ihsan dari abang berdua, benarkan lah saya bermalam untuk malam ni ja. Esok pagi-pagi saya keluar. Cuma nak tumpang bersihkan diri dan tidur ja. Saya memang tak da tempat lain nak pergi dah ni.”
Adab budi orang Melayu lembut hatinya, akhirnya mereka benarkan aku bermalam di wakaf berhadapan dengan pantai, tapi aku perlu membayar bayaran masuk seperti biasa. Haih ! tak ingat la berapa ringgit. Rasanya RM3, tanpa fikir panjang dengan pantas aku keluarkan duit. Pada aku, itu bukanlah satu masalah, masalah aku waktu tu cuma aku tak de duit kecil. Semua duit besar-besar nilainya. Hu hu hu.
Bang, kat sini ada kedai makan tak ? tanya aku, dengan cara tu boleh lah aku mendapatkan tukaran wang yang lebih kecil.
Kat sini tak de kedai makan dik, kalau ada pun kedai makan untuk pekerja kontrak depan tu. Kalau pergi sekarang masih buka agaknya.
Kalau macam tu, abang boleh tolong saya sekali lagi tak ? Belikan saya apa-apa makanan yang ada. Tak kesah la roti ke biskut ke dengan air. Boleh tak bang, saya belum makan lagi ni. Lagi pun saya tak ada duit kecil buat bayaran masuk yang abang minta tadi.
Mungkin abang tu kesian sangat pada aku, dia pun bersetuju. Aku hulurkan duit RM50 dan dia terus hilang dalam kegelapan malam. Sementara itu, aku menunggu di tepi pondok kawalan sehingga abang tadi kembali semula dengan membawa roti dan air teh o ais.
Syukur alhamdulillah. Syukur kepada allah kerana melembutkan hati orang-orang yang aku temui di sepanjang pengembaraan ini.
Setelah aku membayar wang masuk yang diminta, abang tadi menunjukkan lokasi untuk aku bermalam. Aku memilih untuk tidur di kawasan tandas saja. Bukan saja ruang legar di depan tandasnya luas, ada pangkin kayu, keadaannya bersih dan terang berderang dengan lampu yang disediakan. Aku kuncikan basikal di tiang pagar, keluarkan barang-barang untuk aku bersihkan diri kemudian terus gantung hammock. Tiba-tiba aku teringat satu hal yang aku mesti buat dulu iaitu memaklumkan lokasi aku berada kepada Admin POT. Sekurang-kurangnya mereka tahu, yang aku selamat walaupun sudah terpisah dengan Tok Ji dan RP.
Aku keluar semula ke pondok pengawal dengan hasrat untuk meminta tolong pada abang tadi menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada waris aku atau kawan-kawan admin. Minta tolong aku bukan tolong kosong, aku bayar harga kos perkhidmatan. Sebaik saja aku sampai di pondok pengawal, aku nampak Tok Ji dan RP baru sampai di depan simpang masuk ke pantai awam. Aku hanya melambai-lambaikan tangan agar mereka nampak panggilan aku .
Lambaian aku tidak sia-sia. Tok Ji dan RP lalu membelok masuk mendatangi aku sambil berkata, “basikal RP ada masalah. Sepanjang jalan tadi kami towing. Aduhh ! teruknya.”
Aku cuma jawab, Tun dah cakap, tapi degil tak mau dengar, nak jugak jalan malam. Sekarang kan dah mendapat. Siapa yang susah ? Bukan diri sendiri susah malah turut mengheret orang lain susah juga. Kita rasa kita mampu, tapi tidak pada basikal. Kena ingat tu.
Aku segera kembali ke tempat aku tinggalkan barang-barang dan basikal untuk segera membersihkan diri. Setelah semuanya selesai aku mendirikan solat dan kemudiannya terus masuk ke dalam hammock merehatkan diri. Tok Ji dan RP mendirikan khemah mereka di wakaf berhadapan dengan tandas tempat aku tidur. Lain-lain hal aku malas nak ambil tahu. Penat. Al-fatihah dan ayatul qursi. Zzz...
Info kayuhan hari ke 18 :
Jarak kayuhan: 166 km
Masa : 7:00 pagi - 9:30 malam
No comments:
Post a Comment