Wednesday, December 27, 2017

ACEH



Gass ke Dunia Tersembunyi
6hb-20hb Disember 2017
3 Unit 4 Jiwa
Loen Dari Malaya
~~~~

A C E H

Hrm.
Apa yang aku tahu tentang Aceh hanyalah tentang Tsunami tahun 2004.
Apa lagi ada kat sana eh ?
Owh titik 0KM yang terletak di Pulau Weh.
Lagi ?
Ramainya orang Aceh bermastautin dan ada juga yang menjadi penduduk tetap di MY. Kedai-kedai di kampung aku juga banyak yang dimiliki oleh orang Aceh. Termasuk penyewa rumah sewa aku ada orang Aceh juga. 

Itu je ke ?

Tidak juga, cerita Cut Nyak Dhien, sri kandi paling digeruni suatu ketika dulu pun berasal dari Aceh.

Owh, dan lagi, tentang sejarah kedatangan Islam dan terdapatnya banyak tanda-tanda terutamanya batu nisan yang dijumpai di Tanah Melayu.

Jadi apa lagi yang menarik ada di ACEH ni ? 
Entah. Pasal itulah aku  jadi teruja nak tahu dengan lebih lanjut tentang negeri ini.

Apabila dipelawa oleh Ija dan Wak untuk berkembara ke sana, aku tidak berfikir panjang terus  bersetuju tetapi tenang (sebab kalau beriya-iya nanti bimbang tak jadi). Bermula hari itu aku berusaha mengumpul duit dengan jumlah yang telah diberitahu RM1.3k.
Gila kentang ! baru balik Vietnam, selang 2 bulan nak terbang lagi ke Indonesia.
Mana kau nak korek duit.
Puasalah. Uhf !

Allah maha baik dan pemurah. Dipermudahkan segala urusan. Alhamdulillah.

Perancangan awal, sepatutnya berkembara menggunakan basikal, aku punyalah stres sebab dah membayangkan azab menghadap beribu bukit nanti, akan tetapi setelah difikir dan dicongak akhirnya Wak membuat keputusan untuk menyewa motorsikal sahaja. Masa tu aku bahagia berkali-kali. Sengeh ja.
Yee hah.
Mendekati hari kejadian, aku selesaikan segala urusan keperluan di rumah, keperluan anak-anak, keperluan kucing-kucing, keperluan penyewa-penyewa jangan ada masalah berbangkit ketika aku tiada nanti. Aku nak mengembara dengan tenang, gembira dah bebas.

Oke GO !

Malam 5hb Disember 2017

Ini King Hassan.

King menjemput aku di rumah setelah dia menjemput Ija, Wak dan Naqi dari Taman Perepat. King, seorang sahabat yang terlalu baik budinya sanggup menghantar kami hingga ke KLIA2. Memang tahu, King terkilan tak dapat nak ikut serta dalam pengembaraan ini atas sebab tidak dapat cuti sehingga 15 hari. Walaupun tak dapat ikut, tolong hantar pun jadilah. Sekurang-kurangnya dapat merasa aura kembara. Terima kasih King. Jangan berduka tau,  ada rezeki kita komplot kembara lagi ya.



Rabu, 6hb Disember 2017

Penerbangan AK423 KUL-BTJ ditetapkan pada 6hb jam 0740, jadi biarlah datang awal supaya tidak kelam kabut ketika nak daftar masuk nanti.  Beg-beg pun siap dibungkus (wrap) untuk keselamatan. Harga mengikut berat sesuatu bag. Senarai harga ada tertera di dalam kiosk tersebut.



Kali ini, aku hanya  menjadi ‘follower’ sahaja. Segala urusan tiket, penyewaan motorsikal, perancangan perjalanan, lokasi henti, makan dan minum semua dibawah selia Ija dan Wak. Selalunya, jika aku ingin mengembara, aku akan membuat kaji selidik melalui Wikipedia, wikitravel dan peta supaya aku jelas ke mana hala tuju nanti. Kali ni satu hapa aku tak buat. Relak ja. Kerana aku amat percaya.
Set dalam minda, -> I will follow you,  just follow you.
Ini trip orang, maka aku harus  hormat.

Dalam penerbangan aku dihidangkan dengan  lasagna ayam & air  kopi oleh pramugari bertugas.  Kira boleh la sarapan pagi macam orang ada-ada. Bila lagi kan? Ehem. Selama 1 jam 30 minit aku di udara melayan jiwa dengan pemandangan kepul-kepul  awan putih yang terbentang luas.


Subhanallah. Ketika menghampiri  Banda Aceh, kelihatan Gunung Seulawah yang ditutup awan puncaknya menyambut kedatangan aku. Cantiknya awak.



Peuyoh !
Bandara Sultan Iskandar Muda, lapangan terbang Aceh kelihatan tenang.



Keluar dari pintu pelepasan, aku rasa aku masih lagi di MY.  Mata aku nampak orang yang sama kulit dengan aku, muka lebih kurang macam aku, berpakaian macam aku, cuma bahasanya agak asing.


Walaupun ada pemandu teksi yang menawarkan perkhidmatan, tetapi tidak sekecoh di tettttt… ahaks. Tiada tekanan. Di sini harga perjalanan antara lokasi telah ditetapkan.


Ke mana ke kita ? Peuuyoh ke rumah Santi dulu.  Jaraknya 14km, umpama dari rumah aku ke pekan Klang.



Ini Fahrijal, beliau seorang pemandu teksi yang dipilih untuk membawa kami ke rumah Santi.
No Tel :  +62 813-6036-1211


Orangnya bagus, banyak informasi kami dapat tentang kejadian Tsunami apabila ditanya. Tenang bila bercerita. Dalam bab bertanya, memang aku ‘failed’. Aku ni kurang peramah, kerana itu bahagian ini aku serahkan kepada Wak dan Ija. Aku sebagai pemerhati dan tukang merekodkan  maklumat sahaja.
Sepanjang perjalanan, laluannya sangat redup. Dipayungi dengan pokok- pokok yang rendang bertindak seakan bumbung.


Tidak semena-mena Fahrijal memberhentikan  keretanya ke suatu tempat bersejarah.
Monumen Tsunami Kuburan Masal Siron.
Tempat apa ni ?




Menurut Fahrijal, di sinilah salah satu tempat, mayat-mayat yang terkorban dikebumikan dengan 7  lapisan.
Tujuh ?? Gulp.


Tidak kelihatan satu pun batu tanda sebagai nisan, ia lebih seperti sebuah taman yang sunyi. Tiada apa yang mampu aku berikan, cuma menghadiah kan bacaan Al-fatihah dan sedikit sumbangan ke dalam kotak yang disediakan di situ. Al-fatihah.


 Pelbagai bentuk binaan monumen di setiap bulatan di Banda Aceh.



Ibu-ibu ini lah yang menjadi pejuang kebersihan di bandar ini. Di tengah kesesakan trafik, mereka menjalankan tugas dengan gigih. Aceh bandarnya bersih.


Kami meneruskan perjalanan menuju ke rumah Santi yang terletak di Lhong Raya. Agak keliru juga kata Ija kerana sudah banyak berlaku perubahan. Sekitar jam 09.45, kami tiba di hadapan kediaman Santi.
Nah, itu dia Santi yang memang sudah menunggu.


Aihh.. kecil ja orangnya. “Kecil-kecil cili padi oi. Pulau Weh sudah ditakluk dengan basikal besi 7 'speeds'.
Kau mampu ?”
Dengan basikal ? TAK HINGIN.

Sejurus tiba ke kediaman Santi, terus dihidangkan kami dengan kueh dan masakan asli Aceh. Macam-macam benda yang aku tak pernah tengok dan makan disuruh rasa.



Kue Timphan Asoe Kaya- Bahannya menggunakan tepung  beras, labu, telur, nangka santan, gula dan garam. Kulit daun pisang tu pun dipilih menggunakan daun di bahagian pucuk yang masih bergulung.



Kolang Kaling – Buah nipah yang direbus dengan air kelapa, pati daun pandan menjadi pewarna dan dimasak dengan gula.


Ada beberapa buah yang begitu asing pada aku seperti buah linggey @ batok. Kulitnya keras seperti kelapa. Nak buka perlu diketuk. Isinya masam dan bertekstur lembut.



Begitu juga buah kelubi ni. Kulitnya macam buah salak. Di sini panggil buah Meria. Masam jugak. Eiuu.


Pepes – kelapa, cili, garam dan kunyit.


Kuah Plik U`u – kuah yang menggunakan  tahi minyak kelapa, dicampur dengan banyak sayur dan  ulam terutama buah malinjau. Biasa kita makan siput sedut masak lemak cili api, dia specis  siput sedut juga tapi berwarna hitam yang terdapat di antara sungai dan laut. Siput ni dipanggil ‘Chu’




Satu lagi masakan yang mesti ada setiap hari. Kalau kat sini macam ikan masak asam rebus. Kita punya kuah cair, tapi di sana kuahnya pekat sebab menggunakan asam belimbing yang dijemur kering. Memang sedap. Boleh masuklah dalam tekak aku.

Semua masakan ini dibuat secara asli dan alami. Maksudnya; kalau nak santan memang kena petik, kopek, parut kelapa dan perah. Nak tahi minyak, kau parut, kau perah, kau masak lah santan tu sampai jadi tahi minyak. Rempah dan cili, sila giling sampai lumat ya. Di situlah terletaknya rasa kesedapannya. Dibuat dengan kesungguhan dan penuh rasa kaseh sayang. Masakan ni tidak ada jual kat kedai makan. Dicatit tu !

Lepas  makan, kami keluar untuk membeli sim kad bagi memudahkan urusan perkhabaran  ke MY, tidak lupa barang yang paling penting, gas butane dan ada jugak yang membeli barangan EIGER. Yang pastinya itu bukan aku. Auum.


Di Sumatera khasnya (Indonesia bahagian lain aku tak tahu sebab belum pergi lagi), apa-apa acara, mereka akan buat papan bunga macam ni sebagai hadiah ucap selamat. Papan bunga ini akan diletakkan di tepi jalan.


Untuk hari pertama 6hb Disember, kami akan menginap di rumah Santi bagi menguruskan beberapa hal seperti  menyediakan barang keperluan untuk kembara pada hari esok yakni 7hb, menguruskan penyewaan motorsikal dan membiasakan diri dengan perjalanan trafik di sini, sebelum memulakan perjalanan jauh.

Kesempatan ini aku ambil untuk mencari poskad dan pejabat pos  dahulu. Ia menjadi satu ‘habit’ pulak bila aku mengembara.
Puas mencari kedai menjual poskad, memang tak ada. Pelik. Akhirnya Santi membawa aku ke Dinas Pariwisata dan Kebudayaan, ia sama dengan Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan jika di MY.


Di sana sahaja yang mengeluarkan poskad untuk seluruh Aceh. Ketika ini, poskad terbaru belum lagi dicetak. Aku sedikit terkilan.


TAPI,

Adat, Adab dan Budaya orang Aceh menyantuni tetamu ialah seboleh-bolehnya akan memberi apa sahaja yang mereka ada untuk meraikan tetamu.
Aku ditanya;
Kamu mahu apa ? Jika uwang, kamu lebih banyak uwang dari kami.
Katakan, kamu mahu apa ?
Erk ! hah ? aku ‘blur’. Sebab aku memang tak faham. Mujur ada Santi yang menerangkan situasi itu.
Aku terus jawab; Saya cuma mahu poskad (kartu pos) yang melambangkan tempat pelancongan di Aceh untuk dibawa pulang ke MY sebagai cenderahati. Itu sahaja.
Nah ! tanpa berlengah lagi, bapak kepala di situ mengarahkan pekerjanya mencari saki baki poskad di dalam stor. Rezeki aku, cuma tinggal 3 keping sahaja. Pun bolehh ~wee
Berapa harganya ni ?
Ambil saja. Gratis.


Kemudian, pekerjanya datang lagi dan memberikan aku sebuah bag dan 3 buah kipas kecil jahitan tangan. Eh, dapat lagi. Ehem.

Keluar saja dari situ aku terus ajak Santi ke pejabat pos  untuk aku hantar poskad tadi ke MY. Aha, tengok stemnya pun aku dah seronok. Di Aceh, wanita lebih diangkat kedudukannya  kerana keberanian mereka setanding pejuang tersohor  Aceh, Cut Nyak Dien. Siapa dia ? Nanti aku cerita.



Di hadapan pejabat pos ada taman kecil yang mempamirkan sebuah peti pos besi yang telah dibina pada tahun 1911.

Ada sajak yang ditulis di plat tersebut ;

Baktiku jauh sebelum merdeka
Dalam melayari Aceh tercinta
Sekarang diteruskan oleh yang muda
Dengan bentuk yang berbeda.

Setelah aku tidak berbakti
Cukup lama aku menanti
Untuk dapat melihat lagi
Wajah Aceh masa kini

Tubuhku masih perkasa
Untuk dipajang atau berjaga
Janganlah lupa untuk dipelihara
Kerana menambah sapta pesona.



Selepas  Maghrib,  Mr Agus, agen penyewaan motorsikal datang untuk menyerahkan motorsikal . Pengurusannya begitu  rasmi sekali. Ini nombor  taliponnya, jika ada yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan motor sewa di Banda Aceh. No tel :  +62 813-7590-8756


Sehari 150,000rp/+-rm45 selama 13 hari = 1,950,000.00 / RM585. Harganya berbeza mengikut lokasi yang ingin kita pergi. Jika mahu bawa motor keluar dari kawasan Banda Aceh, harganya seperti yang tertulis. Sekiranya mahu pusing-pusing bandar  sahaja  harganya lebih murah. Apapun lebih elok berbincang dahulu


Selesai urusan menandatangani surat perjanjian sewa motorsikal, walaupun hujan renyai, kami keluar juga untuk makan malam sekaligus mencari 'kopi paling enak' di warkop (warung kopi) Ayah Gadeng.


Dalam hujan, kami didatangi teman di Aceh bernama Mahendra Mahdi, banyak juga info menarik yang diceritakan beliau.Makan malam kami beliau yang belanja. Terima kasih.



Ehem. ‘Kopi paling enak’ ya… Oke harus dicobak !
kopi campuran daun kat seluar aku
Mula-mula aku agak ragu-ragu nak minum kopi  tu, tapi bila difikirkan kopi ni ‘rare’, entah bila nak dapat rasa, maka aku  tutup mata tahan nafas  je la. Tegok jugak. Koh Koh Koh. Mungkin pada tekak Ija, Wak dan Naqi rasa biasa. Tapi pada aku yang sangat jarang minum kopi memang terasa sesuatu. Sejujurnya aku rasa ada berangin macam ubat batuk. Hahaha. Sungguh ! Lepas tu memang terasa kepala pening sikit. Jom la balik, nak tidur. Esok nak mula gass. Huhu.

Sambungannya ketik di sini

No comments:

Post a Comment